Ahad, 26 Jun 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Memahami emosi si penjaga pesakit

Posted:

Memahami emosi si penjaga pesakit

Memahami emosi si penjaga pesakit

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my



ACAP KALI kita melontarkan simpati apabila mengetahui seseorang itu didiagnosis menghidap sesuatu penyakit, lebih-lebih lagi jenis penyakit yang kritikal seperti barah.

Tanpa kita sedari, rasa simpati dan rasa belas itu hanya difokuskan kepada 'derita' empunya badan yang menanggungnya sahaja tanpa memikirkan kemelut emosi yang terpaksa dilalui oleh si penjaga pesakit atau caregiver.

Penjaga pesakit merupakan seseorang yang menguruskan pesakit yang bergantung sepenuhnya atau bergantung separa untuk hal-hal pengurusan diri.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa penjaga pesakit juga berdepan dengan banyak masalah terutamanya dari segi emosi tatkala menjaga ahli keluarga yang memerlukan perhatian mereka.

Bukan mahu mengeluh mengenai khidmat yang dicurahkan atau menganggap amanah itu sebagai beban, penjaga pesakit juga berhadapan dengan isu tersendiri.

Mereka sebenarnya memerlukan kekuatan bagi mengurus pesakit yang dijaga tanpa mengabaikan penjagaan diri mereka sendiri.

Banyak kemelut emosi dan fizikal yang mereka rasai tidak dapat dilihat secara zahir. Penjaga pesakit turut berdepan dengan keadaan yang mengundang stres, rasa bersalah dalam diri, takut, murung, kelesuan dan sebagainya.

Bagi Amiron Zuki, 50, dirinya mula merasai kemelut emosi apabila anak bongsunya, Nor Amiza, 10, didiagnosis menghidap leukemia seawal usia dua tahun.

Tubuh anaknya begitu lemah dan simptom seperti demam denggi merupakan tanda bahawa puterinya itu sedang menanggung kesakitan.

"Pada masa itu, Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya yang bercampur baur. Sedih sudah semestinya. Saya tidak percaya anak yang baru mahu mengenal erti hidup menghidap penyakit itu.

"Pada mulanya memang susah untuk menerima. Perasaan saya tertekan kerana sebelum ini saya tidak tahu langsung tentang penyakit leukemia. Bagaimana mahu menjaga anak saya? Apa tindakan saya jika anak saya sakit?" katanya ketika ditemui di kediamannya di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya yang bekerja sebagai pemandu, dia hanya bergantung kepada doktor untuk mendapatkan maklumat mengenai penyakit leukemia.

Kehilangan isteri tercinta, Zaitun Ariffin akibat penyakit darah tinggi dan sakit jantung ketika Amiza baru berusia lima bulan amat dirasainya ketika dia menghadapi saat-saat genting dalam penjagaan kesihatan Nor Amiza.

"Walaupun isteri tiada di sisi, saya bersyukur kerana tiga orang lagi anak saya iaitu Fairul Azman, 27, Nor Idayu, 22, dan Nor Maliya, 19, yang dulunya masih bersekolah turut membantu menjaga Amiza di hospital secara bergilir-gilir.

"Banyak pengorbanan ketika menjaga orang sakit ini terutamanya dari segi masa. Banyak aktiviti tidak dapat dilakukan kerana sepenuh perhatian perlu diberikan kepada anak yang sakit berbanding anak-anak yang lain," ujarnya.

Begitupun, Amiron lebih suka menyimpan masalah dan stres yang dihadapinya sendirian. Sesekali, dia berjumpa dengan rakan-rakan yang berdepan situasi sama.

Kebiasaannya, topik perbualan adalah berkisar mengenai cara mengurus anak-anak yang sakit. Baginya perjumpaan tersebut sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan yang dihadapinya.


AMIRON (kiri) menyaksikan gelagat Nor Maliya (tengah) yang memanjakan adik bongsu kesayangannya, Nor Amiza.


"Amiza menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan keadaannya kritikal pada usia dua tahun.

"Hampir dua tahun kami anak-beranak 'berkampung' di HKL ibarat rumah kedua kami.

"Menjaga orang sakit ini amat memerlukan kesabaran yang tinggi. Jika tidak sabar, anda selaku penjaga bukan sahaja akan tertekan malah boleh melukakan perasaan pesakit yang kita jaga," kata pesara tentera itu.

Tambah Amiron, sokongan moral daripada rakan-rakan, anak-anak, saudara-mara dan doktor menjadi tonik untuknya terus cekal mengharungi dugaan hidup.

Walaupun kini anaknya sudah sembuh, doktor menyarankan supaya tidak mengabaikan temu janji rawatan susulan bagi memantau keadaan kesihatan anaknya itu.

Kasih kakak

Mengimbas kembali rutinnya menjaga adik kesayangannya, Nor Maliya memberitahu: "Balik sahaja dari sekolah, saya terus ke hospital. Waktu bermain dengan kawan-kawan bukan lagi keutamaan saya kerana tanggungjawab menjaga adik lebih penting."

Disebabkan usia Nor Maliya baru 12 tahun ketika diuji dengan aspek tanggungjawab tersebut, dia mengakui adakalanya dia melepaskan kemarahan kepada Nor Amiza.

"Namun, apabila kemarahan sudah reda timbul kekesalan terhadap perbuatan tersebut," katanya yang sempat berkongsi tanggungjawab itu bersama kakak dan abangnya.

Ujar Nor Maliya, melihat Amiza yang kini sihat dan ceria, dirinya puas dan lega walaupun terlepas fasa keseronokan yang dialami rakan-rakan lain.

Keadaan kesihatan Nor Amiza kini jauh lebih baik. Murid darjah empat Sekolah Kebangsaan Danau Kota 2 itu sangat pemalu dan manja dengan ayahnya.

"Di sekolah, saya sangat suka subjek bahasa Melayu, Saya juga aktif dalam acara lumba lari, bola tampar dan lontar peluru," ujarnya dalam nada segan.

Menjaga emosi

Mengambil tanggungjawab menjadi penjaga pesakit bukanlah sesuatu yang mudah kerana kebanyakan mereka mengalami masalah emosi.

Ia adalah sesuatu yang normal dan apabila emosi ini diurus dengan bijak, seseorang itu mampu memberikan komitmen sebagai seorang penjaga pesakit dengan lebih baik.

Menceritakan pengalaman menjaga orang tua yang menghidap Alzheimer, Rokiah Zamani, 42, memberitahu, kesabarannya benar-benar teruji.

Alzheimer merupakan sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks. Ia bukannya penyakit berjangkit.

Penyakit Alzheimer membuatkan daya ingatan seseorang merosot dengan teruk sehinggakan penghidapnya tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Pengalamannya menjaga ibu mertua menghidap Alzheimar atau nyanyuk selama empat tahun sedikit sebanyak menguji kekuatan mental dan fizikalnya.

"Kesabaran adalah perkara yang paling utama kerana penghidap Alzheimer akan bertanya perkara yang sama berulang kali.

"Jika anda ditanya mengenai perkara yang sama dekat 20 kali berturut-turut, apa yang anda rasa? Marah bukan? Itulah yang saya alami sepanjang empat tahun," katanya yang mengumpamakan menjaga pesakit Alzheimer seperti menjaga bayi.

Rokiah mengakui berasa tertekan sepanjang tahun pertama menjaga ibu mertuanya itu.

Pernah sekali, ibu mertuanya keluar dari rumah dan berjalan-jalan di kawasan perumahan sementara dia sibuk memasak di dapur.

"Cemas saya dibuatnya. Jika sesuatu tidak diingini berlaku pasti saya akan dipersalahkan oleh suami dan ipar-ipar yang lain. Mujur jiran saya yang mengenalinya bawa pulang ke rumah.

"Menjaga orang nyanyuk memerlukan banyak pengorbanan terutamanya dari segi masa. Jika dulu saya mempunyai masa keluar bersama rakan-rakan dan keluarga, kini banyak masa dihabiskan di rumah," jelasnya.

Rokiah memberitahu, dirinya kerap diselubungi rasa bersalah dan kecil hati apabila ada adik-beradik suaminya mempertikaikan cara dia menjaga ibu mereka.

"Itu yang membuatkan saya rasa lebih tertekan sedangkan saya menjaga ibu mereka seperti ibu saya sendiri. Mujur suami saya memahami dan banyak membantu saya dalam kerja-kerja rumah," luahnya.

Bagi mengurangkan rasa tertekan, Rokiah banyak membaca dan mendapatkan informasi mengenai penyakit itu di Internet selain mendapatkan pandangan rakan-rakan yang mempunyai pengalaman menjaga pesakit Alzheimer.

Khidmat nasihat


PELBAGAI aktiviti dianjurkan oleh pihak NCSM untuk golongan penjaga pesakit dan pesakit tanpa dikenakan sebarang bayaran.


Sementara itu, Ketua Pusat Sumber dan Kesejahteraan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Adeline Joseph mengakui ramai penjaga pesakit yang tampil dan menghubungi NCSM bagi mendapatkan nasihat berhubung penjagaan pesakit kanser.

"Tidak dinafikan bahawa yang kerap menjadi fokus adalah diri pesakit walaupun keperluan si penjaga juga perlu diambil kira.

"Penjaga juga mengalami apa yang ditanggung oleh pesakit kecuali kesakitan yang mereka alami. Jadi, bagi meringankan beban si penjaga ini, kami menyediakan maklumat yang mereka mahukan selain memberikan panduan untuk mengurus pesakit," katanya.

Menurutnya, Pusat Sumber dan Kesejahteraan NCSM menyediakan pelbagai aktiviti untuk pesakit dan penjaga mereka tanpa sebarang bayaran.

Begitupun, tidak ramai yang tampil menggunakan sepenuhnya peluang tersebut.

Adeline memberitahu, ada di antara penjaga pesakit mengadu masalah mereka kerana kebanyakan mereka tertekan kerana beberapa faktor.

"Kebiasaannya mereka akan rasa takut, marah dan kecewa, kesepian, rasa bersalah, kemurungan dan sebagainya. Semua perkara ini adalah biasa.

"Perasaan itu bercampur baur kerana mereka tidak mahu kehilangan orang yang mereka sayang. Mereka takut tidak mampu memberikan penjagaan yang terbaik selain tidak tahu ke mana untuk merujuk masalah mereka," jelasnya.

Tambah Adeline, sama seperti pesakit, penjaga pesakit juga memerlukan kumpulan sokongan supaya mereka dapat mengharungi dan mengurus kemelut emosi dengan baik.

"Di sini contohnya, kami membantu penjaga pesakit yang memerlukan bantuan dan sokongan dengan memberikan mereka nombor telefon penjaga pesakit yang mempunyai pengalaman yang sama seperti mereka.

"Jadi mereka boleh menghubungi dan bertanya terus kepada orang berkenaan. ia juga bertindak sebagai sistem sokongan antara satu sama lain," ujarnya.

Adeline sempat menitipkan pesan buat penjaga pesakit supaya banyakkan membaca dan belajar mengenai penyakit yang dihidapi oleh individu yang mereka jaga.

"Jangan pendam masalah, sebaliknya kongsi masalah anda dengan ahli keluarga mahupun penjaga pesakit yang lain dan ketahuilah anda tidak keseorangan dalam hal ini.

"Paling penting adalah kekuatan dalaman anda dan sentiasalah berfikiran positif kerana segalanya akan menjadi mudah," katanya yang merupakan survivor kanser.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved