Jubah medium dakwah secara halusJubah medium dakwah secara halus
Oleh ALIF ABU BAKAR
'KITA adalah apa yang kita pakai.' Frasa tersebut merujuk kepada persepsi sekeliling terhadap seseorang berpandukan pemakaian dan gaya peribadi yang dibawa. Masyarakat mudah melabelkan individu tertentu terhadap sebentuk penampilan, ibarat satu pembelajaran menerusi penelitian rawak lantas dijadikan kesimpulan dan dipersetujui seisi dunia.
Jenis pakaian yang menjadi pilihan itulah yang bakal mencerminkan karakter diri pada kaca mata luar. Dewasa ini, dunia dipenuhi rekaan pakaian yang tidak terperi indahnya. Industri fesyen pula mendominasi minda manusia yang sering dahagakan kecantikan dan kesempurnaan. Kita mengalu-alukan penyebaran dogma fesyen sebagai satu kemestian hidup masyarakat, meskipun garis panduan asas berpakaian kian menipis.
Barangkali fesyen yang mengutamakan penutupan aurat yang ditekankan Islam dianggap kurang relevan dalam peradaban moden, terutama kepada Muslim liberal. Mereka bukan jahil, cuma leka dek propaganda gah jenama eksklusif yang mengaburi mata. Janji jenama sebegitu mudah, jika anda memiliki helaian pakaian label mewah mereka, hierarki anda dalam kelompok sosial akan dinaik taraf ke tahap lebih tinggi.
Sedangkan mereka yang memilih pakaian bertentangan trend terkini, dijeling aneh bahkan ditempelak manja sebagai orang bercita rasa lapuk. Gambaran tersebut terbentuk sempurna terhadap jubah, sehelai pakaian tradisional yang pernah menjadi kebanggaan umat Islam dan masih diguna pakai secara harian di negara-negara Asia Barat.
Kegemilangan jubah dalam kalangan golongan Adam pada zaman Rasulullah SAW bukan rahsia malah ia termasuk sebagai salah satu sunah baginda.
Di Malaysia, penggayaan jubah oleh golongan lelaki bukanlah sesuatu yang baharu. Namun kekurangan masyarakat mengagungkan persalinan itu menenggelamkan populariti dan fungsi jubah secara keseluruhan. Kita sekadar berjubah ketika beribadat dan meraikan hari raya Aidilfitri atau Aidiladha. Luar daripada waktu itu, agak sukar melihat alunan jubah pada tubuh seorang jejaka.
Bagaimanapun, generasi muda hari ini dilihat mula menghargai sunah tersebut. Dalam diam, jubah kembali memenangi hati golongan Adam di negara ini sebagai pakaian yang tinggi nilainya.

PENAMBAHAN penutup kepala menyuntik jiwa muda kepada pada jubah trendy ini.
Hidupkan sunah
Al-Fitra antara nama baharu yang memainkan peranan dalam menyuntik fahaman moden terhadap jubah. "Setiap perniagaan mempunyai objektif berbeza. Bagi jubah Al-Fitra, kami mahu menghidupkan sunah Rasulullah yang semakin dilupakan," ujar Pengurus Al-Fitra Sdn. Bhd., Muhammad Fitri Hashim.
Berpangkalan di Paris, Perancis, rangkaian jubah Al-Fitra yang direka khusus untuk lelaki memaparkan keunikan dan kesederhanaan gaya. Jubah trendy, klasik, elegan dan bisnes keluaran mereka diolah rapi menerusi penerapan rona-rona maskulin yang berjiwa kontemporari.
"Kami mahu orang berbangga dengan sunah yang diangkat oleh junjungan besar, Nabi Muhammad. Sebagai Muslim, apa salahnya kita mengutamakan pakaian yang melambangkan pegangan kepercayaan kita tanpa dibatasi sebarang acara.
"Majlis korporat atau mesyuarat contohnya, kita boleh menggantikan sut atau blazer kepada jubah berkolar Al-Fitra bisnes yang jelas mendukung nilai formal. Penerimaan masyarakat terhadap jubah ini amat meyakinkan khususnya dalam kumpulan lelaki pertengahan iaitu mereka yang bergelar eksekutif muda dan bekerja dalam sektor korporat.
"Bagi remaja pula, kami sediakan jubah trendy yang direka khas berserta penutup kepala agar gaya tampak bergaya dan bersahaja. Potongan slim fit juga menjadikan jubah ini sesuai untuk lelaki muda urban.
"Secara tidak langsung, fungsinya berevolusi daripada pakaian beribadat kepada persalinan yang dipakai ketika ke pusat beli-belah, lebih kasual dan memecahkan konotasi konservatif terhadap jubah," jelas Muhammad Fitri, 33, yang memberitahu setakat ini Malaysia hanya memasarkan jubah bisnes dan trendy.
Tempoh dua tahun fasa penyelidikan dan pembangunan koleksi jubah Al-Fitra membuktikan kesungguhan jenama itu menghadirkan pakaian islamik moden yang berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan di negara yang berbeza.
Sebelum dipasarkan, material jubah Al-Fitra diuji mengikut kesesuaian cuaca di benua Eropah, Asia Barat dan Asia Tenggara. Malaysia yang menjadi lokasi percubaan awal Al-Fitra. Al-Fitra kemudiannya mencipta jubah dengan fabrik yang seragam untuk setiap negara.
Polister lembut menjadi fabrik utama dan digunakan sebanyak 70 peratus diikuti viskos, 25 peratus. Penyerapan material spandeks sebanyak lima peratus pada helaian jubah Al-Fitra menjadikannya cukup istimewa berbanding jubah sedia ada di pasaran. Kebolehan meregang di samping memberi keselesaan berpanjangan menjadikan jubah persalinan sempurna untuk digayakan secara harian.

TAMPIL sederhana tetapi menarik dengan jubah berpotongan slim fit.
Didik perilaku
Bak kata umum, memilih pakaian biarlah bertepatan dengan waktu, tempat dan tujuan. Mungkin dalam diri setiap individu pernah terbit rasa apabila dalam persalinan yang melambangkan keagamaan, tingkah laku wajib dijaga.
Begitu juga kepada lelaki Muslim. Ketika mereka berjubah, kecenderungan untuk menjaga tatasusila dan menampilkan akhlak terpuji sangat tinggi. Jubah menjadi kiasan keluhuran budi terbaik yang wajar dipraktikkan secara kerap.
"Saya sendiri melalui keadaan sedemikian. Apabila berjubah, perangai kita pun secara automatik berubah. Kalau kita jenis orang yang suka ketawa berdekah-dekah, bila memakai jubah, kita akan berusaha mengawal tawa agar tidak keterlaluan.
"Jubah banyak membantu seseorang menjaga kelakuan kerana seperti yang kita sedia maklum, fesyen merupakan impresi pertama terhadap seseorang. Jadi apabila individu itu mula membiasakan diri menjaga akhlak ketika berjubah, kefahaman mereka terhadap agama juga meningkat.
"Jubah juga boleh memandu seseorang untuk berubah ke arah kebaikan dan menjadi medium dakwah secara halus," berhemah Muhammad Fitri membutir kata.