Isnin, 14 Oktober 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Bahrain resah formula Raja

Posted:

Bahrain resah formula Raja

Bahrain resah formula Raja

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

HUDSON (kiri) bersalaman dengan Rajagobal pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


SAMA ada mahu merendah diri atau sengaja menyindir, Bahrain mula melakukan 'provokasi' awal menjelang pertemuan menentang Harimau Malaya pada saingan Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, jurulatih Bahrain, Anthony Hudson berkata, pertukaran barisan pemain Harimau Malaya sejak dua tahun kebelakangan ini menyebabkan beliau gagal 'membaca' kekuatan sebenar skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu.

Sambil menyifatkan 'eksperimen' itu sebagai satu helah, Hudson mengakui, anak-anak buahnya harus lebih berwaspada bagi mengelak terperangkap dengan strategi Rajagobal.

"Agak sukar untuk saya mengetahui siapakah pemain utama mereka (Harimau Malaya) ketika ini.

"Saya tahu mereka ditimpa masalah kecederaan pemain dan kita dapat saksikan pemain yang berbeza mengisi tempat dalam kesebelasan utama mereka.

"Namun, saya telah menyaksikan enam perlawanan membabitkan pasukan Malaysia sebelum ini dan melihat banyak perubahan besar berlaku," jelas Hudson.

Hudson menambah, beliau sukar untuk meramalkan siapakah barisan kesebelasan utama yang akan membarisi Harimau Malaya malam ini.

"Saya akui tidak dapat melihat kesebelasan utama pasukan Malaysia secara konsisten.

"Saya tidak tahu jika Safiq (Rahim) atau Safee (Sali) bermain esok (malam ini) kerana situasi itu sukar dijangka.

"Bagi saya, siapa juga pemain Malaysia yang akan beraksi nanti, mereka masih sebuah pasukan yang bagus.

"Namun, kami tetap berhasrat untuk mencapai kemenangan di sini," kata pengendali kelahiran England itu.

Ditanya mengenai peluang Bahrain meraih kemenangan ke atas Harimau Malaya selepas tewas 0-1 kepada Thailand dalam aksi persahabatan Khamis lalu, Hudson tetap optimis dengan kemampuan barisan kendaliannya.

"Jangkaan saya mudah. Kami mahu menang dalam perlawanan ini. Selepas (tewas) ketika menentang Thailand, kami tidak mahu memikirkan apa-apa lagi.

"Apa yang kami tahu ia akan menjadi satu perlawanan sukar. Seperti yang katakan tadi, kami sangat menghormati Malaysia tetapi kami juga tahu kekuatan serta kelemahan mereka," katanya.

'Patah tumbuh hilang berganti'

Posted:

'Patah tumbuh hilang berganti'

'Patah tumbuh hilang berganti'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

GERGASI pantai timur, Kelantan tidak panik biarpun dikatakan bakal kehilangan beberapa tonggak utama musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, perjuangan The Red Warriors perlu diteruskan meskipun kehilangan beberapa pemain utama yang kini dikaitkan bakal menyertai pasukan lain.

Ibarat kata pepatah - 'Patah tumbuh hilang berganti', Annuar sebaliknya memberikan jaminan kepada peminat fanatik Sang Kijang bahawa mereka akan memburu beberapa pemain berprofil tinggi bagi menggantikan pemain utama yang berhijrah musim depan.

"Kami tidak tertekan biarpun beberapa pemain utama dikatakan bakal berhijrah selepas ini.

"Selain Syakir Ali (Negeri Sembilan), kami juga bercadang memburu khidmat beberapa pemain Harimau Muda yang dilepaskan pasukan itu musim depan," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur semalam.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pemain-pemain Harimau Muda berkenaan.

Sebelum ini, antara pemain yang dikatakan bakal meninggalkan The Red Warriors termasuklah Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad dan juga kapten, Badhri Radzi.

Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, hanya empat pemain - S. Subramaniam, Daudsu Jamaluddin, Shakir Shaari dan Norfarhan yang melahirkan hasrat meninggalkan Kelantan musim depan.

"Ia belum muktamad dan kami cuba mengadakan perbincangan terutamanya Norfarhan supaya kekal menyarung jersi Kelantan," jelas beliau.

Dalam pada itu, Annuar juga memohon Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan kawalan keselamatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat ini.

Guna kelebihan laman sendiri

Posted:

Guna kelebihan laman sendiri

Guna kelebihan laman sendiri

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Shah Alam petang semalam menjelang pertemuan menentang Bahrain pada kelayakan Piala Asia 2015 malam ini.


PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menggesa barisan pemainnya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi meraih kemenangan ketika menentang Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Rajagobal berkata, Harimau Malaya wajib menang ke atas gergasi Timur Tengah itu bagi mencerahkan peluang layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia di Australia.

Jelasnya, beliau tidak sesekali tertekan dengan aksi penting tersebut meskipun mengakui Harimau Malaya tidak boleh tewas jika mahu meneruskan kemaraan dalam kempen kelayakan Piala Asia kali ini.

"Sudah tentu apabila kami beraksi di laman sendiri, kami mahu melakukan aksi terbaik untuk mendapatkan satu kemenangan.

"Itulah harapan daripada pihak pengurusan, saya juga telah memaklumkan kepada para pemain supaya beraksi dengan baik untuk mengutip tiga mata penuh.

"Bagi saya, mana-mana perlawanan sentiasa menjanjikan perasaan teruja, tekanan dan paling mustahak, kami berusaha untuk mencapai satu keputusan positif nanti," katanya dalam satu sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Rajagobal menambah, beliau yakin Harimau Malaya masih memiliki peluang cerah dalam usaha mendapatkan slot automatik Piala Asia 2015.

"Apabila kamu lihat (persaingan) Kumpulan D, ada tiga pasukan yang dilihat memiliki peluang iaitu Bahrain, Qatar dan Malaysia.

"Jadi, kami harus yakin dengan mengatakan perlawanan ini adalah peluang terbaik kami dengan mencuba layak ke pentas Piala Asia 2015," katanya.

Dalam pada itu, Rajagobal belum dapat mengesahkan sama ada tonggak pertahanan, Mahalli Jasuli mampu beraksi pada pertemuan dengan Bahrain.

Sebelum ini, Mahalli mencetuskan kebimbangan kem Harimau Malaya apabila tidak dapat menyertai sesi latihan selepas ditimpa masalah kecederaan pangkal paha.

Begitupun, Mahalli tetap kelihatan menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukannya di Stadium Shah Alam, petang semalam.

"Saya masih belum dapat mengesahkan status Mahalli tetapi ia bergantung pada sesi latihan hari ini (semalam).

"Semalam (kelmarin), dia tidak dapat menyertai sesi latihan selepas dinasihatkan oleh fisioterapi dan doktor," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved