Jumaat, 1 Mac 2013

Kosmo Online - Pemotoran

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Talaan baharu CR-Z

Posted:

Talaan baharu CR-Z

Talaan baharu CR-Z

Oleh SHAWKATH AZDE

TANGGAL 3 November 2011 menyaksikan Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) membawa masuk satu lagi kenderaan hibrid bagi pasaran tempatan iaitu CR-Z. Ia merupakan kereta hijau ketiga selepas Insight dan Civic.

Produk keluaran Jepun itu turut membuktikan bahawa bukan semua kenderaan mesra alam dicipta dengan rekaan hadapan yang landai dan agak hambar. Bagi Honda Malaysia, CR-Z adalah sebuah kereta hibrid sport.

CR-Z versi manual dibawa masuk untuk menemui para pelanggan terlebih dahulu, sebelum diikuti oleh varian transmisi automatik (CVT).

Tahun lalu, Honda membuat kejutan apabila menampilkan model naik taraf CR-Z di Indonesia International Motor Show (IIMS) dan disusuli di Paris Motor Show, Perancis.

Honda Malaysia tidak mengambil masa lama untuk membawa masuk model naik taraf itu kepada peminat tempatan. Dua varian ditawarkan iaitu automatik (CVT) dan manual.

Lazimnya model naik taraf yang diperkenalkan oleh pengeluar kenderaan sekadar mengenakan kit badan atau memasang bampar baharu sahaja.

Biarpun itu senario yang lazim berlaku, ada juga model naik taraf melibatkan penukaran beberapa komponen penting.

Contoh mudah ialah CR-Z 2013. Pembaharuannya melibatkan dua perkara iaitu kosmetik dan prestasi.

"CR-Z baharu akan menawarkan keseronokkan pemanduan kepada peminat kenderaan di Malaysia. Ia kereta ideal untuk mereka yang tahu menilai teknologi termaju, mahu menarik perhatian orang dan mementingkan penjagaan alam sekitar," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.


DARI kiri: Tomobe dan Ueno pada majlis pelancaran CR-Z naik taraf di Setia Alam, Selangor baru-baru ini.


Individu di sebalik pembangunan CR-Z ialah Norio Tomobe. Selaku Large Project Leader CR-Z, beliau ditugaskan untuk menyerlahkan lagi hibrid sport itu berdasarkan kepada maklum balas yang diterima daripada para pelanggan.

Memetik ucapan Tomobe sewaktu pelancaran model hot-hatch itu di Setia Alam, Selangor, beliau memberitahu, konsep pembangunan model naik taraf adalah untuk memantapkan lagi konsep hibrid sport CR-Z.

Penambahbaikan luaran membabitkan penggunaan bampar hadapan dan gril baharu. Set lampu hadapan jenis HID pula diadun bersama lampu DRL LED.

Lampu belakang membabitkan lampu LED dengan perumah berwarna biru jernih. Tidak lupa juga pengenaan peresap di bahagian belakang.

Butang S+

Ruangan kabin diberikan transformasi minimum dengan jahitan benang merah pada kerusi yang disalut material separa kulit. Tambahan lain sekadar stereng dan tuil gear baharu. Ada satu butang Plus Sport (S+) dipasang pada stereng. Ini perkara baharu.

S+ merupakan sistem penggalak yang membolehkan anda menikmati pemanduan berprestasi. Bagaimanapun, bateri CR-Z perlu memiliki kadar cas melebihi 50 peratus jika mahu menikmati ledakan kuasa itu.


BAMPAR dan gril baharu mengukuhkan imej sport pada jentera hibrid ini.


Jika butang itu ditekan sewaktu kereta berada pada kelajuan 100 kilometer sejam (km/j), CR-Z berupaya mencapai kelajuan sehingga 180km/j dalam tempoh tujuh saat. Ledakan kuasa itu ibarat prestasi sebuah kereta dengan enjin tiga liter V6. Menarik?

Harus tahu, fungsi S+ akan dimatikan secara automatik andainya sistem komputer mengesan tayar beralih dari kiri ke kanan (atau sebaliknya) apabila membelok secara mendadak, contohnya membuat pusingan U. Ini sebagai langkah keselamatan.

Idea untuk mengenakan butang S+ pada CR-Z naik taraf datangnya daripada model BMW (BMW Z4). Tomobe merupakan salah seorang peminat tegar BMW dan mahu menawarkan perasaan berbeza sewaktu memandu sebuah CR-Z.

Li-ion

Ketika ditanya sama ada S+ bakal dipasang pada model-model Honda hibrid yang lain, Tomobe menyatakan pihaknya tidak ada rancangan untuk perkara itu buat masa sekarang.

Pembaharuan kedua membabitkan penggunaan bateri jenis litium-ion (Li-ion). Model sebelumnya mengguna pakai pek bateri jenis logam nikel hidrida (Ni-MH). Bateri itu dibekalkan oleh Blue Energy Co. Ltd. (Blue Energy).

Blue Energy merupakan syarikat usaha sama di antara GS Yuasa Corporation dan Honda. Ia berperanan sebagai pengeluar, jualan, selain penyelidikan dan pembangunan bateri Li-ion bagi kegunaan kenderaan hibrid.


LAMPU meter akan beralih daripada biru ke hijau jika pemanduan kurang efisien dari segi penggunaan bahan api.


Bateri Li-ion sebenarnya lebih banyak menghasilkan haba dan lebih mahal jika dibandingkan dengan bateri Ni-MH.

Perkara itu diakui Tomobe dan sebagai penyelesaian, Honda memasang kipas sebagai sistem penyejukan pada bahagian sisi pek-pek bateri berkenaan.

"Alat pengesan suhu juga dipasang bagi membolehkan suhu bateri dapat dipantau dan dikawal. Buat masa sekarang, suhu yang ditetap adalah 45 darjah celcius.

"Sekiranya suhu melangkaui takat tersebut, keseluruhan sistem bateri (IMA) tidak berfungsi dan hanya akan bertindak menyimpan tenaga serta beroperasi dengan enjin sepenuhnya," jelasnya.

Bateri yang mendiami but CR-Z itu tahan air (water resistance) namun bukannya bermaksud kalis air.

Pek bateri Li-ion pasti rosak jika ditenggelami air. Bak kata Tomobe, ia bukan macam jam G-Shock yang boleh direndam di dalam air.

Standard keselamatan pada CR-Z naik taraf membabitkan dua beg udara kembar SRS hadapan, beg udara langsir tepi dan sisi, sistem pengesanan posisi penumpang, G-CON, VSA, ABS, BA, EBD dan ACE.

Honda Malaysia berhasrat mencapai sasaran jualan sebanyak 300 unit sebulan bagi kedua-dua varian itu. Pilihan warna disediakan ialah ungu, putih, kelabu dan merah.

Harga atas jalan termasuk insurans bagi varian manual ialah RM119,000 seunit, manakala model automatik dijual pada harga RM123,000 sebuah. Jaminan pula selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Rekod Nissan dicipta selepas 56 tahun beroperasi

Posted:

Rekod Nissan dicipta selepas 56 tahun beroperasi

Rekod Nissan dicipta selepas 56 tahun beroperasi


BON BENG bersama model naik taraf Nissan Teana 2.5L di Subang, Selangor baru-baru ini.


EDARAN Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) berjaya merekodkan jualan sebanyak 34,966 unit kenderaan jenama Nissan di Malaysia pada tahun lalu.

Angka itu merupakan jualan tertinggi ETCM sejak beroperasi di negara ini kira-kira 56 tahun lalu.

Pencapaian tahun 2012 turut membantu jenama Nissan menduduki tangga kedua kategori kenderaan bukan nasional di Malaysia selepas Toyota.

Selain itu, jenama Nissan juga menempatkan kedudukan nombor satu dalam Kajian Indeks Kepuasan Jualan Malaysia (SSI) oleh J.D. Power Asia Pacific 2012.

"Ketika kami meraikan kejayaan ini, kami tidak akan lupa dengan cabaran-cabaran dalam pasaran dan kehendak daripada para pelanggan yang terus mahukan kualiti produk serta perkhidmatan tanpa kompromi.

"Dengan sejarah panjang di negara ini, kami akan terus menawar dan mengujakan pengguna di Malaysia melalui produk-produk, perkhidmatan dan penjagaan berkualiti tinggi yang sinonim dengan kami sejak 56 tahun lalu," kata Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng pada satu majlis makan tengah hari di Subang, Selangor baru-baru ini.

Jelas beliau, pihaknya akan meneruskan sasaran bagi meningkatkan kepuasan para pelanggan menerusi tawaran perkhidmatan dan model-model inovatif dalam pasaran tempatan.

Antaranya model naik taraf Nissan Teana 2.5L yang sudah dipasang beberapa ciri termaju dalam kelas tersendiri.

Anda kini boleh mengunjungi bilik pameran ETCM di seluruh negara untuk melihat secara dekat model Teana 2.5L 2013 yang telah ditambah baik.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian khidmat pelanggan: 1800-88-8368 atau layari laman web: www.nissan.com.my.

Lancar dan praktikal

Posted:

Lancar dan praktikal

Lancar dan praktikal

Oleh SHAWKATH AZDE


PELEKAT rekaan grafik kini ditampilkan pada badan skuter Suzuki SkyDrive.


SESI tunggang uji kali ini melibatkan model Suzuki SkyDrive. Skuter itu bagaimanapun bukanlah baru di pasaran tempatan.

Jentera jenama Jepun itu telah diperkenalkan pada tahun 2009 oleh Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) di Genting Highlands, Pahang.

SkyDrive direka dan dibangunkan sepenuhnya di Jepun. Ia mewarisi tradisi kecemerlangan dan teknologi inovatif Suzuki.

Kedua-dua aspek itu diadun pada reka bentuk dan prestasi skuter tersebut. Sasaran pelanggannya adalah golongan muda urban dan peminat skuter.

Kali pertama memandang SkyDrive, jelas terpapar rekaan yang moden dan futuristik. Set lampu hadapan yang besar dengan reka bentuk tiga dimensi dan garisan badan menguatkan seni rekaannya. Madgad yang melindungi percikan air daripada roda hadapan menjadi pelengkap.

Gayaan sebegitu rupa ada rasionalnya. Ia membantu meningkatkan lagi faktor aerodinamik skuter seberat 107 kilogram itu.

Perkara itu dirasai sewaktu menunggang. Aliran angin di belah dan disalurkan keluar dengan bantuan garis badan dan keluk pada SkyDrive.

SkyDrive dipasang dengan enjin empat lejang silinder tunggal sejukan udara bersesaran 124cc. Untuk pasaran Malaysia, jentera itu hanya didatangkan bersama sistem karburator jenis Mikuni BS 26 berserta transmisi pembolehubah berterusan (CVT).

Enjin tersebut dikatakan mampu menghasilkan kuasa 6.9kW @ 7,500rpm, manakala tork tertinggi adalah 9.6Nm @ 6,500rpm. Ada dua cara menghidupkan enjin sama ada menerusi butang pemula atau penendang kaki.

Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang uji skuter itu. Untuk menghidupkan enjin, tuli brek perlu ditarik terlebih dahulu sebelum menekan butang penghidup. Anda boleh memilih untuk menarik tuli kanan atau kiri untuk tujuan menghidupkan enjin.

Ini perbezaan SkyDrive. Lazimnya, hanya tuli kiri berperanan membantu operasi menghidupkan enjin skuter. Tuli kanan tidak menjadi pilihan pengeluar lain kerana ia berkait rapat dengan soal keselamatan.

Andainya tongkat tunggal tidak dinaikkan, enjin tetap boleh dihidupkan. Saya mendapati tiada suis untuk mematikan enjin dipasang pada tongkat tunggal SkyDrive. Jadi, sila pastikan tongkat sudah dinaikkan sebelum anda memulakan tunggangan.

Deruman bunyi ekzos cukup lembut walapun saya memulas pendikit minyak secara mendadak. Enjin tidak meraung dengan kuat. Hamburan kuasa cukup lancar dan sempurna dengan adanya teknologi kotal gear CVT.


SET lampu belakang kelihatan moden dan memainkan tugas dengan cemerlang.


Saya menunggang jentera menyusuri laluan di sekitar ibu negara dan Selangor selama sembilan hari sebagai motosikal kegunaan harian.

Sepanjang tempoh itu, saya membuat pengisian minyak petrol sebanyak tiga kali (RM5 setiap pengisian). Saiz tangki minyak ialah empat liter.

Pengisian pertama membabitkan kelajuan tunggangan antara 90 kilometer sejam (km/j) sehingga 110kmj. Saya mencatat jarak perjalanan sekitar 68km sahaja.

Jarak itu sama seperti menunggang dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di ibu negara ke bandar Seremban, Negeri Sembilan.

Ujian kedua dengan nilai isian minyak petrol sama dilakukan untuk tunggangan santai. Saya mencatat perjalanan sehingga 116km dengan mengekalkan kadar kelajuan tunggangan di bawah paras 60kmj.

Sepanjang sesi tunggangan saya mendapati suspensi teleskopik untuk tayar hadapan dan penyerap hentak tunggal pada roda belakang menawarkan tahap keselesaan yang masih boleh diterima.

Saiz tayar hadapan bersaiz 70/90 dan 80/90 (roda belakang) pada rim berukuran 14 inci sedikit sebanyak membantu meningkat kestabilan ketika menyusuri selekoh.

Kelajuan maksimum berjaya diperoleh ialah 110kmj.

Keupayaan memberhentikan SkyDrive diserahkan kepada brek cakera hadapan dan gelendong pada roda belakang.

Tugas tersebut disifatkan sebagai bersesuaian untuk mengawal hamburan kuasa enjin skuter berkenaan.

Satu kekurangan nyata jentera Suzuki ini adalah kapasiti ruang simpanan barang di bawah tempat duduknya. Ia agak terhad. Untuk menyelesaikannya, anda boleh memasang kotak simpanan barang.

Ada khabar mengatakan Suzuki Assemblers bakal membawa masuk beberapa model motosikal berkuasa tinggi untuk pasaran Malaysia dalam beberapa bulan akan datang. Benar atau tidak, sama-sama kita nantikannya nanti.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘FAM tidak pilih kasih’

Posted:

'FAM tidak pilih kasih'

'FAM tidak pilih kasih'

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak bersikap pilih kasih.Demikian tegas Setiausaha Agungnya semalam, Datuk Azzuddin Ahmad berhubung keputusan FAM mengambil sebarang tindakan kepada mana-mana ahli majlis gabungannya yang memburukkan badan induk bola sepak negara itu.

Azzuddin menegaskan pihaknya tidak mengamalkan dasar pilih kasih walaupun pihaknya menangguh bentuk tindakan ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim pada Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM, kelmarin.

Azzuddin memberitahu, FAM masih menjalankan siasatan bagi meneliti kes Tunku Ismail selain mengumpul bukti kukuh sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau menjelaskan, perbezaan kes Tunku Ismail dan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim tidak boleh dijadikan perbandingan untuk melabel FAM sebagai pilih kasih.

Katanya, hukuman tetap dilaksanakan terhadap Tunku Ismail sekiranya baginda didapati bersalah.

Sebelum ini, Tunku Ismail tampil secara terbuka mengkritik mutu pengadilan liga tempatan yang tidak mencapai standard diharapkan sementara Shahidan, dihukum selepas secara terbuka menggesa FAM melakukan transformasi dalam barisan kepimpinan mereka.

Shahidan digantung dua tahun setengah atas kesalahan melanggar Artikel 88 Statut FAM.

Artikel 88 menjelaskan bahawa hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM sahaja dibenarkan membuat kenyataan kepada media.

"Kes Tunku Ismail dan Shahidan berbeza. Ini kerana, berdasarkan siasatan FAM, laporan yang mengeluarkan kenyataan baginda masih tidak menggambarkan motif sebenar.

"Selain itu, dalam laporan atau keratan akhbar itu juga menyatakan satu sidang akhbar diadakan. Oleh itu, FAM memerlukan bukti yang lebih kukuh dengan meneliti pita rakaman yang merujuk kenyataan Tunku Ismail.

"Manakala kes Shahidan, kenyataan beliau dalam keratan akhbar yang dilihat kenyataan itu dibuat secara terbuka kepada media dalam tempoh yang agak lama.

"Kes Shahidan sudah selesai, dan bagi kes Tunku Ismail, FAM akan cuba menyelesaikan masalah dengan cara lebih profesional. Kami hanya memerlukan sedikit masa," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Azzuddin berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang negatif terhadap FAM.

Jelasnya, beliau tidak mahu kenyataan awal itu disalah tafsir oleh pengamal media selepas bertindak merahsiakan keputusan terhadap kes Tunku Ismail selain yakin keputusan akan dicapai sekiranya pihaknya telah mendapat pita rakaman sidang akhbar baginda.

Anuar kempunan lagi

Posted:

Anuar kempunan lagi

Anuar kempunan lagi

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my


ANUAR bertekad untuk melakukan kejutan pada perlumbaan peringkat terakhir LTdL 2013 yang bermula dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu hari ini.


PELUMBA pecut negara, Anuar Manan kempunan lagi.Anuar, 27, daripada Synergy Baku Cycling Project masih gagal untuk menaiki podium selepas sembilan hari berkayuh pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

Pada perlumbaan peringkat kesembilan dari Pasir Puteh ke Kuala Berang sejauh 123.60 kilometer (km) semalam, Anuar hanya mengulangi pencapaian terbaik yang dicatatkan pada perlumbaan peringkat apabila sekali lagi menduduki tempat ketujuh.

Bagaimanapun, dia mempunyai satu lagi peluang untuk menaiki podium iaitu di kampungnya sendiri pada peringkat terakhir dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu sejauh 114.80km hari ini.

Anuar berkata, pelumba tempatan sudah melepaskan sembilan peluang untuk menaiki podium termasuk dirinya sendiri.

Ekoran itu, dia berjanji akan memberi persembahan terbaik selain mengharapkan rakan senegara juga mampu menaiki podium.

"Esok (hari ini) tidak kira macam mana sekalipun pelumba tempatan perlu ada wakil di podium.

"Saya akan melupakan terus mata di zon pecutan sebaliknya tumpu kepada garisan penamat," katanya yang sudah lima kali menjadi pelumba terbaik tempatan termasuk semalam.

Bekas Raja Pecut LTdL 2010 itu berkata, dia akan memberi fokus sepenuhnya untuk menaiki podium hari ini selepas tidak menumpukan perhatian kepada zon pecutan kerana takut kepenatan di garisan penamat semalam.

"Saya banyak menyimpan tenaga hari ini (semalam) tetapi pada satu kilometer menuju ke garisan penamat terdapat kemalangan yang mengganggu rentak kayuhan saya," kata pelumba kelahiran Kampung Kuala Ibai, Terengganu itu.

Anuar berkata, dia berada di kedudukan paling kiri semalam, namun usahanya untuk melonjak ke depan sedikit terbantut kerana pelumba berebut-rebut mencari posisi pada 300 meter sebelum melepasi garisan penamat.

"Saya juga berasa sukar untuk meraih Jersi Biru (Raja Pecut) kerana Francesco Chicchi (Vini Fantini-Selle Italia) turut memberi tentangan kepada saya dan Andrea Guardini (Astana Pro Team)," katanya.

Penguasaan Coquard

Posted:

Penguasaan Coquard

Penguasaan Coquard

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my


COQUARD (depan) menjuarai perlumbaan peringkat kesembilan dari Pasir Puteh, Kelantan ke Kuala Berang, Terengganu sejauh 123.6km semalam.


PELUMBA muda Perancis, Bryan Coquard daripada Team Europcar membuktikan kehebatannya apabila memenangi perlumbaan peringkat kesembilan pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 semalam.

Coquard, 21, mengambil masa dua jam 42 minit 11 saat untuk menamatkan perlumbaan dari Pasir Puteh, Kelantan ke Kuala Berang, Terengganu sejauh 123.60 kilometer (km) itu.

Tempat kedua menjadi milik pelumba Vini Fantini-Selle Italia manakala Allan Davis daripada Orica Green EDGE di kedudukan ketiga dengan catatan masa yang sama.

Kemenangan itu adalah yang kedua berturut-turut buat Coquard selepas memenangi peringkat kelapan dari Kuala Terengganu ke Tanah Merah, Kelantan sejauh 164.50km kelmarin.

"Sebenarnya, hari ini (semalam) lebih sukar daripada semalam (kelmarin). Sesuatu yang sukar untuk memenangi peringkat pada LTdL kali ini kerana terdapat ramai pelumba pecut. Tidak ramai pelumba yang memenangi banyak peringkat.

"Pasukan saya juga melakukan kerja dengan baik. Kami berjaya mengulangi kejayaan semalam (kelmarin). Ini adalah satu kemenangan yang menarik.

"Saya berjaya mengelak daripada terbabit dalam kemalangan kira-kira satu kilometer sebelum sampai ke garisan penamat. Saya hanya dengar bunyi di belakang. Saya berjaya menyelamatkan diri dan mengekori pelumba di hadapan.

"Graeme Brown (Blanco Pro Cycling Team) melakukan pecutan awal sebelum diekori Allan Davis (Orica GreenEDGE). Saya berjaya melakukan tepat pada masanya. Menang dua peringkat cukup baik buat saya.

"Bagaimanapun, saya akan cuba menang esok (hari ini) tetapi peringkat terakhir selalunya lebih sukar.

"Apa sekalipun keputusannya, saya tetap gembira dengan keputusan saya pada penampilan di LTdL kali ini," kata Coquard.

Bagaimanapun, Coqu- ard sekadar menduduki tempat ke-72 dalam perebutan Jersi Kuning (Individu Keseluruhan).

Coquard berkata, dia tidak menghadapi tekanan daripada pasukan lain.

"Tidak ada lagi tekanan buat saya. Saya gembira dengan kejayaan di sini. Jika menang esok (hari ini), ia adalah bonus," katanya.

Untuk rekod, Coquard merupakan pemenang pingat perak dalam acara Omnium pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Kejayaan itu membuka peluang untuk dia menandatangani kontrak selaku pelumba profesional dalam acara lebuh raya bersama pasukan profesional benua, Team Europcar pada 2013.

Coquard memulakan kempen dengan baik apabila memenangi dua peringkat pada Etoile de Besseges di Perancis, Januari dan Februari lalu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Berdiri untuk Gaza

Posted:

Berdiri untuk Gaza

Berdiri untuk Gaza

PARA peserta pertandingan mencari harta karun menerima pek makanan dan baju T.


LEBIH RM7,000 berjaya dikumpulkan menerusi program Stand up for Gaza yang diadakan di pusat beli-belah Space u8, Taman Bukit Jelutong, Shah Alam awal Februari lalu. Kesemua hasil sumbangan itu akan disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza untuk meringankan beban penderitaan di negara itu.

Pengurus Jabatan Promosi dan Dana Kompleks Islam Al-I'tisam (KIAI) TTDI Jaya, Shah Alam, Mohd. Shah Sapiei berkata, sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan rakyat Malaysia terhadap kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin.

"Selain mengutip dana melalui yuran penyertaan pertandingan mencari harta karun, kami turut menjual barangan seperti baju T, air Darul Shifa, dan cawan.

"Bagaimanapun, kami berharap sumbangan kewangan untuk penduduk Gaza itu akan dihulurkan secara berterusan oleh rakyat negara ini," katanya sambil mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam program yang pertama kali diadakan itu.

Menurutnya lagi, pihaknya meletakkan sasaran untuk mengumpul dana sebanyak RM100,000 lagi pada masa depan.

"Bedilan-bedilan roket Israel telah memusnahkan pelbagai bangunan di Gaza. Kemudahan-kemudahan awam seperti sekolah, bekalan air dan elektrik banyak yang sudah menyembah bumi. Selain itu, kita juga perlu memainkan peranan dengan menghulurkan derma bagi memulihkan semangat mereka," ujarnya lagi.

Pertandingan mencari harta karun, berjaya menarik penyertaan 80 orang dengan 15 buah kenderaan membabitkan perjalanan sejauh 45 kilometer sekitar kawasan Shah Alam.

Pertandingan itu telah dibuka kepada orang ramai dengan yuran penyertaan RM380 yang merangkumi makan, baju T dan insurans keselamatan.

Program tersebut mendapat kerjasama Honda Global Amity Sdn. Bhd., pusat beli-belah Space u8, Shah Alam, Majlis Perwakilan Penduduk Zon 16 dan TV Hikmah.

Pertandingan itu turut menawarkan hadiah lumayan dengan hadiah pertama RM2,000, kedua RM1,500, ketiga RM1,000 keempat RM700 dan kelima RM500.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Berpuluh-puluh ikan pari terdampar

Posted:

Berpuluh-puluh ikan pari terdampar

Berpuluh-puluh ikan pari terdampar

NELAYAN Palestin sedang memotong ikan pari untuk dibawa ke pasar.


GAZA - Berpuluh-puluh ekor ikan pari jenis Mobula ditemui terdampar secara misteri di pantai Bandar Gaza dalam wilayah Palestin kelmarin.

Penemuan itu sekali gus menjadi rezeki beberapa orang nelayan di sini yang bertindak melapah haiwan tersebut untuk dijual di pasar.

Dalam satu temu bual bersama media tempatan, seorang nelayan itu dipetik sebagai berkata, ini merupakan kali pertama ikan pari ditemui terdampar di pantai itu sejak enam tahun lalu.

Media tempatan melaporkan, ikan pari itu mampu mencapai berat 76 kilogram dan ia dijual pada harga lima shekel (RM4.21) untuk 0.5 kilogram di pasar tempatan. - Agensi

Tunang Miley main kayu tiga

Posted:

Tunang Miley main kayu tiga

Tunang Miley main kayu tiga

MILEY CYRUS semasa menghadiri parti Oscar di barat California pada 24 Februari lalu.


LOS ANGELES - Aktor kelahiran Australia, Liam Hemsworth didakwa curang terhadap tunangnya iaitu pelakon dan penyanyi terkenal, Miley Cyrus, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Menurut laporan beberapa portal hiburan, Hemsworth dilihat bersama bintang rancangan televisyen Mad Men, January Jones di sebuah parti menjelang Anugerah Grammy pada Ahad lalu.

Aktor berusia 23 tahun itu menghadiri parti di hotel Chateau Marmont di sini tanpa Cyrus, 20, sebaliknya dia ditemani oleh Jones, 35.

Beberapa laporan menyebut, pasangan itu dilihat bercium dan berpelukan di hadapan para tetamu yang rata-rata tergamam melihat aksi mereka.

"Ia kelihatan seperti mereka mempunyai keserasian. Mereka berpelukan malah, bercium," kata seorang saksi memberitahu majalah US Star.

Sementara itu, Cyrus yang juga bekas bintang siri televisyen Hannah Montana pula dilihat hadir seorang diri di parti penyanyi terkenal, Sir Elton John di sini pada Ahad lepas.

Hemsworth dan Cyrus mula menjalin hubungan pada tahun 2009 ketika aktor kacak itu menjalani penggambaran filem The Last Song. - Agensi

Robot humanoid mampu bergerak seperti manusia

Posted:

Robot humanoid mampu bergerak seperti manusia

Robot humanoid mampu bergerak seperti manusia

ROLF PFEIFER bersalaman dengan robot humanoid,
Roboy pada satu sidang media di Zurich kelmarin.


ZURICH, Switzerland - Sepasukan saintis Switzerland berjaya mencipta sebuah robot humanoid yang dipanggil Roboy di Universiti Zurich kelmarin.

Pengarah makmal kepintaran buatan manusia (AI) Universiti Zurich, Profesor Rolf Pfeifer berkata, sebuah pasukan terdiri daripada beberapa cendekiawan dan wakil-wakil industri telah bekerjasama untuk menghasilkan robot masa depan itu sejak bulan Jun 2012 lalu.

Robot itu direka untuk kelihatan dan berkelakuan seperti seorang manusia.

Para saintis yang terlibat telah mengambil tempoh masa selama sembilan bulan untuk membina robot tersebut.

Katanya, apa yang membezakan Roboy dengan robot humanoid lain ialah cara ia bergerak.

Robot itu dibangunkan untuk berjalan seperti seorang manusia melalui penggunaan pacuan tendon berteknologi tinggi.

"Ia boleh digunakan dalam persekitaran isi rumah, yang boleh digunakan dalam persekitaran pembuatan, yang mana robot itu bekerjasama dengan orang dan saya fikir kerjasama ini adalah sangat penting.

"Manusia-robot ini amat berguna. Kita juga sering bercakap tentang proses penuaan dalam kalangan penduduk. Teknologi ini dapat membantu golongan warga emas tersebut," katanya.

Robot tersebut mempunyai ketinggian 1.2 meter dan diprogram dengan kecekapan mengenali muka seseorang. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


PM Sedih dua komando polis terkorban di Lahad Datu

Posted:


Ruang

Tragedi gajah kerdil

RABU lalu, negara digemparkan dengan penemuan bangkai 10 ekor gajah pigmy atau gajah kerdil Borneo yang mati dalam keadaan menyayat hati di kawasan Hutan Simpan Gunung Rara, kira-kira 130 kilometer dari Tawau, Sabah. Lagi...

Infiniti

Jana idea dan inovasi tempatan

MENINGGALKAN kenderaan seperti kereta di rumah lantaran terpaksa bertugas di luar daerah selama beberapa hari merupakan perkara normal yang dilalui ramai individu. Lagi...

Kesihatan

Minum air kencing sendiri

CARRIE STEELE, 53, merupakan seorang penghidap kanser yang sanggup berbuat apa sahaja. Menurut rakannya, dia pernah melakukan beberapa perkara pelik sejak dahulu lagi tetapi kali ini gelagatnya sedikit pelik bagi manusia normal kerana bertentangan dengan norma alam. Lagi...

Lahad Datu: Jangan percaya berita tidak sahih - Musa

Posted:

Lahad Datu: Jangan percaya berita tidak sahih - Musa

Lahad Datu: Jangan percaya berita tidak sahih - Musa

01/03/2013 9:52pm

KOTA KINABALU — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menasihatkan semua pihak supaya bertenang dan tidak sesekali percaya kepada khabar angin dan sumber berita tidak sahih disebarkan menerusi media sosial berkaitan insiden serangan kumpulan penceroboh bersenjata terhadap anggota keselamatan negara di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri berkata apa yang lebih penting pada masa kini ialah jangan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyebarkan khabar angin dengan tujuan untuk memburukkan lagi keadaan.

"Pihak berkuasa akan memberikan maklumat terperinci berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Musa yang mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden serangan penceroboh itu terhadap anggota keselamatan negara.

"Sesungguhnya kita berasa amat sedih dan bersimpati serta amat menghargai jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan kita dalam mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Musa berkata, pihak berkuasa keselamatan sedang menangani krisis tersebut.

"Pihak keselamatan berupaya dan mampu untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah telah terlebih dahulu memulakan serangan terhadap pasukan keselamatan Malaysia apabila mereka mara 1.5 kilometer dari tempat mereka berkampung sebelum ini.

Dua anggota keselamatan Malaysia terkorban dan tiga lagi cedera manakala 12 anggota kumpulan penceroboh itu terbunuh. — BERNAMA

Jenazah komando polis terkorban tiba di Subang malam ini

Posted:

Jenazah komando polis terkorban tiba di Subang malam ini

Jenazah komando polis terkorban tiba di Subang malam ini

01/03/2013 9:51pm

KUALA LUMPUR — Jenazah dua anggota komando polis pasukan gerakan khas 69 Komando yang terkorban dalam pertempuran dengan sekumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah, hari ini, diterbangkan ke ibu negara malam ini.

Penerbangan itu dijadual tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini, pada kira-kira 11.30 malam, kata Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), ACP Ramli Mohamed Yusof kepada pemberita.

Anggota terkorban yang berkhidmat di Kem Ulu Kinta itu ialah Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46.

Allahyarham Zulkifli, yang berasal dari Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu, meninggalkan seorang isteri, Noraziah Noor dan dua anak lelaki berusia empat dan satu tahun.

Sementara Allahyarham Sabarudin meninggalkan seorang isteri, Nurunisa Abu Bakar, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Allahyarham berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor dan alamatnya kini adalah di Kem Polis Komando Ulu Kinta, Perak.

Tiga anggota komando polis yang cedera dalam kejadian itu ialah Koperal Mohd. Tarmizi Hashim, 32, Koperal Azman Ampong, 39, dan Konstabel Mohamad Qaiyum'aiqal Zolkifli, 22.

Ramli berkata, Mohd. Tarmizi cedera di tangan dan kaki manakala Azman yang cedera di paha dan punggung, kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

Sementara Mohamad Qaiyum'aiqal yang cedera di bahu kanan dan kedua-dua kaki kini ditempatkan di Hospital Sandakan, katanya. — BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Pesona

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Fungsi mata terjejas secara perlahan-lahan

Posted:

Fungsi mata terjejas secara perlahan-lahan

Fungsi mata terjejas secara perlahan-lahan

Oleh SUHANA VERU
rencana@kosmo.com.my

MATA merupakan deria penglihatan yang amat berharga bagi setiap manusia. Namun malangnya, tidak ramai yang mengambil berat tentang penjagaannya kerana merasakan bahawa sudah dilahirkan dengan upaya penglihatan yang sempurna.

Lazimnya, kita hanya merujuk ke klinik apabila berhadapan dengan masalah sakit mata atau pandangan yang mula kabur. Perkara tersebut diakui seorang pesakit glaukoma yang hanya mahu dikenali sebagai Mei.

Cerita kakitangan swasta itu yang kini berusia 55 tahun, dia juga seperti individu lain yang jarang mengambil berat mengenai pancaindera mata walaupun sewaktu remaja dia sudah menggunakan kanta mata setinggi 400.

Episod duka mula melanda dalam kehidupan Mei ketika dia berusia 49 tahun apabila dia berdepan dengan simptom masalah penglihatan berganda atau melihat sesuatu objek seperti berbayang. Melihatkan kesihatan mata Mei semakin teruk, salah seorang saudara terdekat yang juga merupakan doktor telah menasihatkannya supaya menjalani pemeriksaan mata.

Selepas menjalani beberapa ujian, akhirnya Mei disahkan menghidap penyakit glaukoma.

"Pada masa itu, saya tidak mengetahui apa itu glaukoma tetapi selepas doktor menerangkan penyakit itu, barulah saya lebih memahaminya," jelasnya yang sedikit terkejut apabila menerima berita itu.

Penyakit glaukoma terjadi disebabkan kerosakan saraf optik dan boleh menyebabkan seseorang menjadi buta tanpa sebarang simptom yang ketara.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu terkesima seketika kerana tidak menyangka dirinya menghidap penyakit terebut.

Begitupun, wanita separuh abad itu mengakui neneknya juga menghidap penyakit yang sama.

"Tidak sangka saya mewarisi penyakitnya itu," kata Mei.

Tambahnya, memandangkan rawatan peringkat pertama bagi glaukoma ialah ubat titisan mata, jadi dia bergantung kepada ubat tersebut sahaja.

Ubat titis

Sejak hari itu, Mei terpaksa membelanjakan lebih RM100 setiap bulan untuk membeli ubat cecair yang perlu dititiskan ke dalam mata sebanyak dua kali iaitu sebelah pagi dan petang.

Namun, gara-gara sibuk dengan rutin harian di tempat kerja dan rumah, Mei kerap kali mengabaikan pengambilan ubat-ubatan.

Dia hanya meletakkan ubat titis itu ke dalam mata apabila dia teringat untuk melakukannya. Sikap itu berlarutan hampir enam bulan sehingga dia menjalani rawatan susulan di sebuah hospital sekitar Kuala Lumpur selepas penglihatannya bertambah teruk.


RAWATAN peringkat awal penyakit glaukoma ialah ubat titis mata.


"Jika seseorang berdiri di sebelah saya atau terdapat objek yang kedudukannya tinggi di atas kepala, saya sememangnya tidak dapat nampak apa-apa," katanya dengan nada kesal.

Sejurus doktor menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan Mei berisiko menjadi buta jika terus mengambil mudah pengambilan ubat dan penjagaan mata.

Khuatir menjadi buta, Mei tidak lagi mengabaikan pengambilan ubat-ubatan. Kini, dia mengambil ubat mengikut waktu dan menuruti segala nasihat doktor.

Dalam pada itu, Pakar Bedah Mata dan Okuloplastik, Klinik Pakar Mata Centre For Sight Petaling Jaya, Dr. Zurina Zainal Abidin berkata, penyakit glaukoma berlaku apabila tekanan intraokular meningkat sehingga menyebabkan saraf belakang mata rosak.

Apabila keadaan itu berlaku, ia akan mengakibatkan penurunan daya penglihatan terutamanya di bahagian sisi skop penglihatan mata.

"Ia merupakan penyakit senyap yang boleh menyebabkan buta secara perlahan-lahan dan jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera, seseorang itu akan menjadi buta sepenuhnya.

"Oleh itu, setiap orang perlu menjalani pemeriksaan mata secara berkala sebagai usaha mencegah daripada mendapat penyakit mata terutamanya glaukoma," katanya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurutnya lagi, pada kebiasaannya, penyakit tersebut lebih berisiko berlaku terhadap individu yang berusia 40 tahun ke atas. Lebih menakutkan, ia jarang menunjukkan sebarang simptom ketara.

Maka, tidak ramai yang menyedarinya sehingga kehilangan deria penglihatan yang serius.

Faktor risiko yang dikaitkan dengan penyakit itu termasuk sejarah keluarga , diabetes dan miopia (rabun jauh).

"Oleh itu, lebih elok setiap individu menjalani pemeriksaan mata, tidak kira tua atau muda," tegasnya.

Tekanan dalam mata

Mengulas lanjut mengenai jenis penyakit itu, Zurina berkata, terdapat empat jenis iaitu glaukoma sudut terbuka, glaukoma sudut tertutup, glaukoma akut dan glaukoma kongenital.

Jelasnya, glaukoma sudut terbuka jenis paling lazim berlaku. Ia disebabkan saluran keluar cecair mata kurang berkesan.


BEBERAPA ujian menggunakan teknologi terkini mampu mengesan glaukoma pada peringkat awal seterusnya mengelakkan seseorang itu kehilangan penglihatan.


Justeru, tekanan dalam mata meningkat secara beransur-ansur hingga mengakibatkan kerosakan saraf optik. Pada kebiasaan, jenis glaukoma ini tidak menunjukkan simptom awal dan penglihatan kekal seperti biasa.

Bagi glaukoma sudut tertutup pula, ia berlaku kepada individu yang mengalami rabun dekat manakala glaukoma akut pula menunjukkan simptom seperti sakit mata, mata merah, kesukaran melihat secara tiba-tiba.

Sementara itu, glaukoma kongenital pula berlaku selepas beberapa bulan bayi dilahirkan. Walaupun jarang terjadi, ia merujuk kepada keadaan bayi atau anak kecil yang mengalami perkembangan yang tidak lengkap lalu menyebabkan tekanan pada bahagian matanya hingga membentuk glaukoma.

"Selain itu, glaukoma juga boleh berlaku kepada individu yang terlibat dalam kemalangan, jangkitan, ketumbuhan dan masalah katarak," ujarnya.

Walau bagaimanapun, penyakit tersebut masih boleh dirawat dengan pelbagai jenis ubat titis yang mudah digunakan.

Jika tekanan mata tidak dapat dipulihkan dengan ubat titis, pembedahan harus dilakukan.

Anak-anak angkat Menteri Besar Perak

Posted:

Anak-anak angkat Menteri Besar Perak

Anak-anak angkat Menteri Besar Perak

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my


JELAS terserlah kemesraan yang ditunjukkan oleh pasangan suami isteri ini kepada anak-anak angkat mereka.


KETERUJAAN jelas terpancar pada wajah kanak-kanak ini apabila masing-masing disapa mesra Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Pernah bersua dalam beberapa pertemuan secara formal mahu pun santai yang diadakan sebelum ini, keakraban yang sedia terjalin membuatkan anak berkenaan tidak kekok bermesra dengan pemimpin nombor satu kerajaan negeri Perak itu.

Mereka merupakan antara ratusan anak-anak angkat Menteri Besar Perak yang dipilih daripada keluarga miskin atau anak yatim pelbagai kaum dan agama di seluruh negeri tersebut.

Mereka terpilih menyertai program Anak Angkat Menteri Besar yang dikendalikan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Pada petang itu, anak-anak angkat Menteri Besar Perak berkenaan berkumpul pada majlis khas iaitu penyampaian barangan persekolahan di AEON, Kinta City, Ipoh, Perak.

MASING-MASING begitu teruja selepas berpeluang melawat Zoo Taiping.


Ia merupakan sebahagian daripada program dan aktiviti secara berkala Program Anak Angkat Menteri Besar Perak yang bertujuan membantu murid terbabit cemerlang dalam pelajaran.

Menurut Zambry, anak-anak angkatnya yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi diberi kelas tuisyen percuma.

"Selain itu semangat mereka dipertingkat menerusi program-program motivasi di samping keputusan peperiksaan mereka sentiasa dipantau.

"Saya harap biarpun mempunyai latar belakang keluarga kurang berkemampuan, suatu hari nanti anak-anak ini akan menjadi manusia berjaya yang menjadi kebanggaan Perak," katanya.

Tambah Zambry, program yang dimulakan sejak 2010 itu juga bertujuan meringankan beban keluarga kanak-kanak terbabit dalam menguruskan persekolahan anak-anak mereka.

Imbau masa kanak-kanak

Justeru tidak hairanlah apabila anak-anak angkat berkenaan sebelum ini pernah dibawa Zambry untuk pakaian raya baharu dan rombongan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur.

"Melalui bantuan ini, kita harap ia dapat memotivasikan setiap kanak-kanak terlibat agar lebih bersemangat untuk menempuh sesi persekolahan akan datang.


LAWATAN sambil belajar ke Putrajaya merupakan salah satu aktiviti tahunan disertai anak-anak angkat Menteri Besar Perak.


"Anak-anak angkat saya ini datang daripada latar belakang keluarga miskin dan miskin tegar dari seluruh Perak. Pembelian baju raya diharap menggembirakan mereka," katanya.

Riak kegembiraan pada wajah kanak-kanak terlibat lebih terserlah apabila Zambry dan Saripah turut menghulurkan elaun pelajaran bernilai RM150 setiap seorang.

Zambry berkata, keperitan hidup anak-anak angkatnya sering membuat dia sendiri selalu mengimbau zaman persekolahan sebagai anak nelayan yang serba kekurangan.

"Ketika itu hendak beli baju sekolah baharu pun susah. Warna baju saya yang putih menjadi kekuningan. Kadang-kadang zip seluar rosak, hanya guna pin sebagai ganti. Kehidupan masa itu memang susah.

"Kalau boleh, kita tidak mahu anak-anak kita melalui kesusahan seperti itu. Sama-sama kita bantu mereka mengecapi hidup yang lebih baik," katanya.

Selain santai bersama Menteri Besar, anak-anak angkat berkenaan turut mengikuti siri lawatan sambil belajar dan motivasi perdana yang dikelolakan YBUDR.

Semarakkan cinta pasangan komuter

Posted:

Semarakkan cinta pasangan komuter

Semarakkan cinta pasangan komuter

HARI ini terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan komunikasi seperti telefon, chatting, Facebook dan sebagainya.


MUNGKIN ada yang tidak faham maksud pasangan komuter. Pasangan komuter bukan bermaksud mereka yang bekerja dengan pihak Keretapi Tanah Melayu dan bukan juga mereka yang selalu menggunakan komuter.

Pasangan komuter merupakan satu istilah yang sering diguna pakai kepada individu yang berkahwin, tetapi tinggal berjauhan. Mereka jarang berpeluang untuk hidup bersama sebagai suami isteri normal yang tinggal sebumbung. Bahasa mudahnya pasangan suami isteri yang berjauhan.

Jarak bukan halangan

Pengalaman saya mengendalikan kes-kes rumah tangga, isu jarak memang menjadi antara punca kepada masalah kebanyakan hubungan suami isteri kini.

Hakikatnya, jarak bukan alasan untuk bercerai, beralih arah atau pun putus kasih sayang.

Secara logiknya, tidak ada halangan untuk mencapai bahagia walau berjauhan.

Ini kerana kasih sayang yang ada antara suami isteri pada asalnya juga daripada individu-individu yang hidup berasingan sebelum ini.

Rata-ratanya kita berkahwin dengan seseorang dari daerah, negeri malah adakalanya dari negara yang berlainan. Jika jarak bukan alasan untuk membibitkan rasa cinta, wajarkah jarak kemudian dijadikan alasan untuk tidak lagi berkasih sayang?

Asas paling penting dalam hubungan suami isteri adalah melaksanakan komunikasi unggul. Tidak perlu tinggal sebumbung untuk mewujudkan komunikasi unggul.

Ketika inilah pengorbanan perlu dan dituntut iaitu untuk memahami kehendak keadaan semasa.

Jika perlu berjauhan kerana urusan kerja, maka perlu berusaha untuk mengekalkan semarak cinta. Andai berpeluang untuk kembali tinggal bersama, maka ia menjadi satu bonus yang perlu disyukuri.

Ada lima panduan yang boleh diaplikasikan agar cinta anda bersama pasangan komuter kekal mekar dan harum mewangi.

1Perkara paling penting ialah sentiasa sedar diri iaitu mengingati mengenai status anda sebagai suami atau sebagai isteri. Apabila anda sedar diri, anda akan berjaya mengawal diri agar tidak melakukan sesuatu yang melukakan hati pasangan, malah sentiasa berusaha untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab anda sebagai suami atau isteri seperti yang disarankan oleh syarak.

2Sentiasa wujudkan komunikasi unggul dengan pasangan. Jika berkemampuan, usahakan untuk berkumpul bersama pasangan dan anak-anak paling minimum sekali dalam masa dua minggu.

Hingga tempoh tersebut, sentiasalah berhubungan sama ada melalui telefon, chatting atau apa saja mekanisme komunikasi yang ada pada zaman penuh canggih ini.

Tiada alasan untuk menjarakkan hubungan biarpun berjauhan jika benar-benar menghayati dan menghargai kasih yang ada.

3Jangan bertindak memasarkan diri sendiri dirangkaian sosial terutamanya Facebook atau menerusi saluran komunikasi lain. Jika anda fikir pada mula nya tindakan itu mungkin hanya untuk cuba-cuba, percayalah ia akan berakhir dengan kejadian buruk apabila anda sudah terikat dengan orang baharu.

4Bataskan hubungan anda dalam bergaul dan berkawan. Elakkan hubungan yang terlalu mesra terutamanya dengan rakan berlainan jantina termasuk tidak boleh keluar berdua sahaja tidak kira apa juga alasannya seperti berkongsi kenderaan ke pejabat atau menjadi pendengar setia masalahnya.

Kajian membuktikan kebanyakan kes berkaitan orang ketiga yang menjadi punca kepada pecah-belah dalam hubungan suami isteri bermula daripada hubungan santai tanpa niat untuk memasang pasangan baharu.

5Elakkan juga daripada berkongsi masalah dengan rakan berlawanan jenis tidak kira masalah dengan pasangan atau masalah anda yang lain. Perkongsian masalah itu kerap kali membawa kepada perkongsian perasaan dan emosi yang memberi kesan besar kepada hubungan suami isteri pasangan komuter ini.

Paling utama, banyak berdoa agar kasih sayang anda sebagai pasangan suami isteri sentiasa utuh dan kekal dan hingga ke akhir hayat.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cerita tilam Izzue, lagu Sakinah

Posted:

Cerita tilam Izzue, lagu Sakinah

Cerita tilam Izzue, lagu Sakinah

PUAS menyaksikan tiga episod awal drama arahan Zul Huzaimy yang diberi judul Bunga Merah Punya pada sesi tayangan bersama peminat dan media di Auditorium P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada minggu lalu.

Bukan hanya tumpuan dan garapan sempurna diberikan kepada dua pelakon cilik, Izz Ilham Zulkifly dan Puteri Sasha yang masing-masing mendukung peranan Merah dan Bunga semasa kanak-kanak dalam drama itu, tetapi juga kekuatan bertunjang pada keupayaan menjayakan dua watak penting drama tersebut ketika dewasa itu yang dijayakan pula oleh Izzue Islam dan Sharifah Sakinah.

Mengakui berdepan kesukaran pada awal penggambaran, namun kata Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, tunjuk ajar pengarah dan pelakon senior banyak membantunya mencorakkan karakter.

"Cabaran dalam drama ini bukan hanya berlakon tapi saya juga perlu menyanyi dan bermain gitar pada masa yang sama. Saya perlu mendalami perasaan seorang busker (penghibur jalanan) yang sememangnya sukar.

"Mujur pengalaman saya ketika mula-mula berhijrah ke Kuala Lumpur beberapa tahun lalu memberikan sedikit sebanyak panduan berguna selain saya turut meninjau kehidupan busker sekitar Bukit Bintang, Sogo dan Pasar Seni setiap minggu," ujarnya.

Tambah Izzue, 23, latar kehidupan penghibur jalanan kini tidak sama seperti yang diceritakan dalam Bunga Merah Punya kerana kebanyakan mereka mempunyai rumah dan keluarga di Kuala Lumpur.

Penghibur jalanan

Mengimbas kembali pengalaman pertama anggota kumpulan Forteen itu ketika mula-mula tiba di ibu kota Kuala Lumpur pada tahun 2009, kata Izzue, dia pernah berdepan pelbagai kesukaran sebelum bergelar artis.

"Saya pernah menjadi busker lima tahun lepas ketika mula-mula berhijrah dan saya juga pernah tidur di bilik stor sebuah kedai jual pakaian terpakai tempat kawan saya berniaga di Kelana Jaya, Selangor. Ia bukan menyeksakan tapi itulah sebenarnya pengalaman yang tidak semua orang berpeluang untuk merasainya.

"Oleh kerana itu juga, sampai sekarang saya lebih gemar tidur tanpa tilam tidak kira di rumah sendiri di Kuala Lumpur atau apabila balik ke kampung (Kelantan)," kata Izzue.

MESRA. Izzue dan Sakinah sudah tidak kekok bergandingan dalam produksi lakonan.


Percaya pada rezeki yang dianugerahkan kepadanya hari ini, getus Izzue, dia pasrah sekiranya perjalanan hidupnya kembali ke keadaan asal ketika mula-mula berada di Kuala Lumpur.

"Saya terima jika saya menjadi seperti mana diri saya yang sebelum ini malah, menjadi seorang artis sekarang ini tidak bermakna saya hidup mewah. Cuma perlu menjaga penampilan lebih daripada sebelum ini.

"Tiada siapa yang mahu kembali kepada kisah silam dan harapnya tidak. Pastinya setiap hari kita mahu semakin maju ke depan," ujarnya yang baru selesai penggambaran telefilem Mencari Syifa yang akan disiarkan di TV AlHijrah pada bulan April nanti.

Selain itu, sebuah drama 13 episod berjudul Aku Tak Percaya Cinta sedang rancak ditayangkan menerusi saluran RTM di TV1 setiap hari Isnin hingga Rabu pada pukul 6.05 petang yang menggandingkan Izzue bersama Sura Sojangi dan Reen Rahim.

Tiada keghairahan menyanyi

Bunga Merah Punya yang bersiaran setiap hari Khamis pukul 8.30 malam menerusi slot Aurora TV9 pula menyaksikan permainan emosi, percintaan, persahabatan dan kehidupan mengenai Bunga yang diamanahkan untuk mencari Merah yang melarikan diri itu ketika berusia 10 tahun oleh Tuk Baen iaitu penjaga mereka sejak kecil.

Drama 13 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. itu juga memuatkan 15 buah lagu baharu yang ada antara lirik lagunya ditulis sendiri oleh pengarah Zul Huzaimy, sekali gus dinyanyikan oleh Izzue dan Sakinah.

Bagi Izzue, menyanyi mungkin tidak menjadi masalah besar namun berbeza pula perspektif Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 24, mengenai dunia nyanyian.

"Pertama kali menyanyi dalam drama lakonan adalah menerusi drama bersiri Hotel Mania tapi ketika itu peranan yang diberikan kepada saya cuma watak kecil sahaja.

"Kali ini saya perlu menyanyikan beberapa buah lagu dan dibantu oleh Izzue walaupun ada antara lagu-lagu itu dirakam pada saat-saat akhir tanpa latihan yang cukup. Namun Alhamdulillah, hasil akhirnya sedap didengar.

DRAMA BUNGA MERAH PUNYA turut menampilkan lakonan pelakon Sura Sojangi (kiri) yang bergandingan bersama Sakinah dan Izzue.


"Saya tidak suka menyanyi dan bagi saya, menyanyi hanya sekadar hobi. Lagipun pasaran semasa sudah terdapat ramai penyanyi berbakat dan saya tidak berminat untuk menceburi bidang nyanyian secara serius.

"Minat saya lebih kepada berlakon dan saya langsung tiada keghairahan untuk menyanyi. Kalau jadi penyanyi pun saya mungkin buat sambil lewa, tidak segigih berlakon," kata Sakinah.

Menerusi drama tersebut, Sakinah menyanyikan tiga buah lagu iaitu Sampaikan Rindu, Oh Bulan dan Rajuk.

Perlu jadi pendiam

Bagaimanapun tegas Sakinah, dia tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk menyanyi, malah ada antara kerja pengacaraannya memerlukan dia turut menyanyi.

"Saya boleh membuat persembahan nyanyian tapi perlu ada latihan dan individu yang menyokong serta membimbing saya," simpulnya.

Sakinah mengakui drama Bunga Merah Punya menuntut permainan emosinya yang lebih serius dan mendalam berbanding naskhah lakonan sebelum ini antaranya, Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.

"Sebelum mula penggambaran lagi saya perlu mula berdiam diri untuk mendapatkan karakter Bunga yang serius dan lemah-lembut.

"Watak ini sangat berlawanan dengan karakter sebenar saya dan saya berbesar hati dapat berlakon di bawah arahan Zul Huzaimy," tambah Sakinah.

Selain Bunga Merah Punya, Sakinah bakal muncul dalam telefilem Gadis Penjual Petai dan Racun Menantu serta sebuah dram berjudul, Tiga Abdul.

Bunga Merah Punya turut dilakonkan oleh Sura Sojangi, Syazwan Zulkifli, Zalfie Roul, Idzham Ismail, Roslan Madun, Hasnul Rahmat, Aleza Shadan dan Nasir Bilal Khan.

Patrick pernah dibuang kerja

Posted:

Patrick pernah dibuang kerja

Patrick pernah dibuang kerja

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my


PATRICK J. ADAMS (tiga dari kanan) bersama barisan siri drama Suits yang kini bersiaran untuk musim kedua.


PEMINAT setia siri drama Suits yang kini sedang bersiaran di saluran Diva Universal pastinya mengenali jejaka kacak yang membawa watak seorang peguam bernama Mike Ross. Bagi sesiapa yang mula mengikuti kisah peguam dalam Suits, drama ini sedang ditayangkan di Astro saluran 702 dan telah pun masuk musim kedua.

Bagi mempromosi drama yang sedang hangat meraih sambutan di serata dunia ini, salah seorang pelakon utamanya, Patrick J. Adams telah pun menjelajah ke beberapa negara termasuk hadir ke Malaysia.

Ternyata kehadiran Patrick tidak mengecewakan pihak media kerana jejaka kelahiran Kanada ini menjawab segala persoalan yang diajukan kepadanya dengan mesra sekali.

Sidang media yang berlangsung selama hampir dua jam itu telah diadakan di Hotel Le Meridian, KL Sentral, Kuala Lumpur.

Soalan demi soalan ditanya, dan mungkin ramai yang tidak tahu, Patrick pernah dibuang kerja sebelum berlakon dalam siri Suits.

Mengakui perkara tersebut, ujar Patrick ia berlaku selepas dia muncul dalam episod pengenalan siri Friends With Benefits pada tahun 2011, apabila namanya tiba-tiba digugurkan daripada barisan pelakonnya.

PENGALAMAN pahit masa lalu membuatkan Patrick bangkit untuk lebih berjaya di masa hadapan.


Kejadian itu bagaimanapun telah menjadikan dirinya lebih matang untuk membuat keputusan.

"Saya akui perkara tersebut memang pernah meruntuhkan sedikit keyakinan dan merasakan diri tidak bagus. Namun, dalam masa yang sama juga, saya merasakan ia perkara terbaik yang pernah terjadi dalam hidup saya.

"Setelah saya dipecat (daripada membintangi Friend With Benefit), saya mula berfikir tentang diri saya. Jika sebelum ini, saya cuba untuk menjaga hati semua orang dan saya buat apa yang orang lain mahukan dan bukan saya.

"Ia membuatkan saya berusaha melakukan apa yang saya inginkan dalam hidup," jelasnya.

Disebabkan itu, ketika mendapat tawaran membintangi Suits, dia hanya memikirkan ingin melakukan yang terbaik kerana baginya, ia suatu peluang keemasan yang cukup hebat.

Jelajah dunia

Walaupun terlibat dalam banyak drama bersiri lain dan filem, Suits merupakan antara yang paling istimewa buat Patrick. Ini kerana, katanya, terlibat dengan produksi Suits selama dua musim, telah banyak memberinya pengalaman berharga.


PATRICK (kiri) memuji rakan gandingannya dalam Suits, Gabriel Macht sebagai seorang aktor yang bagus dan mempunyai keserasian dengan dirinya.


"Setakat ini, saya rasa ini merupakan tawaran terbesar dalam perjalanan karier saya sebagai seorang aktor. Ini kerana, selain saya dapat menimba pengalaman, saya juga mendapat peluang yang jarang diperoleh.

"Sebagai contoh, sebagai mempromosi drama ini, saya berpeluang jelajah ke beberapa buah negara termasuk hadir ke Malaysia.

"Saya juga dapat berjumpa dengan peminat di beberapa negara yang tidak pernah saya sangka akan sampai," tutur Patrick yang berpeluang melawat Menara Berkembar Petronas, KLCC serta Batu Caves.

Johan As'ari nyaris jadi mangsa seksual

Posted:

Johan As'ari nyaris jadi mangsa seksual

Johan As'ari nyaris jadi mangsa seksual

JOHAN dan pelakon baharu, Nur Risteena merupakan pelakon utama drama Karlos.


PENGALAMAN dan cerita berbeza keluar daripada mulut Johan As'ari kali ini apabila dia mengaku berdepan situasi cemas hampir diliwat awal bulan Februari lalu.

Kejadian itu berlaku di dalam sebuah tandas apabila dia diserang oleh rakan baiknya sendiri, aktor Jay Iswazir ketika di set penggambaran drama bersiri Karlos yang akan ditayangkan di TV3.

Usah salah sangka kerana itu juga sebahagian kecil daripada babak yang dilakonkan Johan selaku watak utama bernama Irwan Zaid atau Karlos ketika dimasukkan ke Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima, Kuala Kubu Baru, Selangor.

Kata Johan yang pertama kali melakonkan aksi hampir diliwat oleh seorang lelaki, perasaan cuak, cemas dan kekok mengatasi segalanya.

"Babak itu sangat berat bagi saya selain perlu bertumbuk. Namun sebenarnya, babak itu bukan dirakamkan sekali gus, banyak juga bermain teknik kamera. Berat juga pada mulanya untuk melakonkan aksi sedemikian dan pada ketika itu saya melihat Jay seorang yang psiko sampai rasa cuak.

"Saya melalui proses perbincangan awal dengan pengarah (Feroz Kader) dan Jay yang mana sepatutnya babak itu memerlukan saya diliwat. Kami tukar menjadi situasi itu hampir diliwat atas faktor tertentu," ujar Johan yang menggalas watak utama dalam drama bersiri Karlos.

Karlos diadaptasi daripada kisah sebenar yang menelusuri perjalanan hidup seorang remaja bernama Irwan Zaid atau Karlos setelah dipinggirkan keluarga sendiri dan terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal.

PELAKON baharu Jay Iswazir diberikan kepercayaan untuk bergandingan dengan Johan menerusi babak serangan seksual.


Dia kemudiannya dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak dan mengenali seorang pelatih bernama Kenji (Syazwan Zulkifli). Selepas dibebaskan Karlos tidak mendapat pekerjaan kerana rekod jenayahnya sebelum ini.

Akhirnya, Karlos memilih untuk menjadi penyamun dan terlibat dengan aktiviti pecah rumah sekali gus menjadi sasaran polis.

Selain, Jay dan Syazwan, Karlos turut dibintangi Namron, Sherry Merlis, Azhar Sulaiman, Elmy Moin dan pelakon baharu Ika Zulkifli serta Nur Risteena.

Sekali imbas drama Karlos dilihat seolah-olah menyerupai drama rantaian popular Juvana memandangkan latar tempat dan watak utama yang ditonjolkan memegang peranan antagonis.

Bagi pengarahnya, Feroz Kader, Karlos berbeza daripada Juvana kerana mementingkan elemen kekeluargaan, persahabatan dan lebih banyak aksi.

"Tidak akan ada persamaan dengan Juvana kerana jalan cerita Karlos sangat berbeza walaupun ada babak di pusat pemulihan. Tapi babak itu cuma dipaparkan dalam dua episod awal sahaja," katanya yang ditemui ketika sesi ramah mesra drama Karlos di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Johan yang bakal muncul dalam tiga buah filem Tokan, Pencinta dan Paku pada tahun ini, mendedahkan dia bakal mengerjakan umrah pada 27 Mac nanti mengikuti rombongan bersama Hafiz Hamidun.


FEROZ KHAN (berdiri, kanan) bersama barisan karyawan drama Karlos.


"Beberapa hari lepas saya terdetik ingin mengikuti rombongan umrah yang diketuai Hafiz Hamidun selepas membaca Twitternya dan sekarang sedang menguruskan hal berkaitan pasport dan visa.

"Saya tidak memaklumkan kepada sesiapa lagi kecuali keluarga terdekat akan hajat saya ini. Bagi saya, ini peluang untuk saya mendekatkan diri dengan Allah memandangkan masih berkemampuan dan muda.

"Lebih manis kerana urusan kali ini menggunakan hasil titik peluh saya selama ini sepanjang bergelar anak seni. Mudah-mudahan hasrat saya yang sudah lama terpendam ini menjadi kenyataan," jelasnya yang sebelum ini pernah mengerjakan umrah dengan produksi Syahadah Cinta arahan Erma Fatima tahun lalu.

Tayangan drama bersiri Karlos bermula 4 Mac ini setiap hari Isnin pukul 9 malam menerusi slot Aksi TV3. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved