Khamis, 25 Oktober 2012

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


750 murid tabika perpaduan terima sijil

Posted:

750 murid tabika perpaduan terima sijil

SEBAHAGIAN daripada 750 kanak-kanak tabika perpaduan dari seluruh Perlis gembira semasa meraikan majlis konvokesyen mereka di Arau baru-baru ini.


KONVOKESYEN CILIK. Seramai 750 kanak-kanak taman bimbingan kanak-kanak (tabika) perpaduan di seluruh Perlis diraikan pada majlis konvokesyen yang diadakan di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada pelajar 37 buah tabika di Perlis itu mengenakan pakaian jubah berwarna merah bagi mengambil sijil masing-masing yang disampaikan oleh Senator Mohd. Khalid Ahmad.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Perpaduan Integrasi Nasional Perlis, Rohai Zahar Nedi.

Pelajar KPTM tunjuk bakat sempena Kempen You Can!

Posted:

Pelajar KPTM tunjuk bakat sempena Kempen You Can!

PELAJAR mengayakan fesyen rekaan masing-masing sempena Kempen You Can! di KPTM di Kuala Lumpur baru baru ini.


FESYEN. Para pelajar jurusan Diploma Komunikasi Korporat semester lima dari Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) mengadakan Kempen You Can! buat julung-julung kali di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kempen tersebut diadakan di bangunan KPTM Kuala Lumpur selama 10 hari bermula pada 18 September dari pukul 10 pagi hingga 4 petang dan berakhir pada 27 September ini.

Tujuan kempen itu diadakan adalah untuk mencungkil bakat dan menarik minat pelajar-pelajar KPTM terhadap bidang kulinari, fesyen, seni dan muzik serta keusahawanan.

Sementara itu, ia juga dilihat sebagai satu platform untuk mewujudkan semangat kerjasama dan kesatuan antara para pelajar di samping memperhalusi kemahiran serta bakat mereka.

Antara tetamu yang hadir menyerikan hari kemuncak kempen tersebut ialah Pengarah KPTM, Nurul Khamar dan Dekan Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan, Umran Mohd. Anas Khan.

Murid SKDJ sertai perkhemahan dua hari

Posted:

Murid SKDJ sertai perkhemahan dua hari

MURID-MURID SKDJ bergambar pada perkhemahan unit beruniform di Rantau Agro Park baru-baru ini.


AKTIF. Seramai 80 orang murid Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin (SKDJ), Nilai, Negeri Sembilan mengikuti program perkhemahan unit beruniform selama dua hari satu malam di Rantau Agro Park, Rantau baru-baru ini.

Program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Unit Kokurikulum SKDJ itu melibatkan murid tahap dua iaitu murid tahun 4 hingga 6.

Menurut Guru Penolong Kanan Kokurikulum SKDJ, Zulkarnain Mohamed, program tahunan tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada murid-murid pengalaman pembelajaran di luar darjah.

Antara aktiviti yang dijalankan seperti senamrobik, latihan dalam kumpulan, pertandingan memasak, merentas hutan dan pertolongan cemas.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Pelajar buang bayi ke dalam sungai

Posted:

Pelajar buang bayi ke dalam sungai

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my

ZULL AZNAM (kanan) membawa mayat bayi perempuan yang dipercayai dibuang dua remaja di Sungai Berembang, Simpang Empat, Kangar semalam.


KANGAR – Dua remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki membuang bayi yang baru dilahirkan oleh seorang pelajar perempuan sekolah agama yang juga rakan sebaya mereka ke dalam sungai di sini malam kelmarin.

Bayi perempuan yang cukup sifat itu dicampak dua remaja terbabit dari sebuah titi ke dalam Sungai Berembang di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat di sini kira-kira pukul 9.20 malam.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Harun berkata, dua suspek tersebut iaitu seorang sepupu serta teman lelaki kepada pelajar perempuan yang melahirkan bayi itu dan ketiga-tiga mereka bersekolah di tingkatan lima sebuah sekolah menengah agama di sini.

"Komplot mereka terbongkar setelah ibu bayi tersebut mengaku kepada doktor yang merawatnya setelah pelajar itu mengalami komplikasi pendarahan selepas melahirkan bayi itu.

"Ekoran itu, doktor berkenaan memaklumkan kepada polis. Siasatan dijalankan serta-merta sehingga penahanan dua remaja terbabit dan mencari lokasi bayi tersebut dibuang," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

'Jaga Leuniey macam jaga gawang'

Posted:

'Jaga Leuniey macam jaga gawang'

NOR LAILA (kanan) bersama Leuniey di Kota Bharu baru-baru ini.


KOTA BHARU - "Saya harap Apek (Khairul Fahmi Che Mat) akan jaga anak saya dengan baik seperti dia menjaga gawang daripada dibolosi."

Itulah harapan Nor Laila Abu Bakar, ibu kepada Nur Eilunie Natasha Nazri atau Leuniey, 21, terhadap penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi, 23 yang akan berkahwin dengan anak sulungnya itu yang dijadualkan pada Disember ini.

Nor Laila, 45, turut berharap perkahwinan itu nanti bakal menutup segala kontroversi yang memalit Khairul Fahmi selama ini.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Hayati konsep korban Aidiladha

Posted:

Hayati konsep korban Aidiladha

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada semua umat Islam yang merayakannya hari ini.

"Semoga Aidiladha tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya dan Aidiladha yang akan datang akan menjadi lebih baik daripada tahun ini," katanya dalam perutusan yang dimuatnaik dalam blog 1Malaysia semalam.

Beliau berharap agar Aidiladha diraikan dalam keadaan makmur, sejahtera dan penuh keberkatan sambil mengajak umat Islam menghayati konsep pengorbanan yang dituntut Islam yang sanggup berkorban masa, wang ringgit, jiwa raga dan dan kepentingan diri bagi memperoleh keredaan Allah.

Beliau berkata, konsep itu terkandung dalam Surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik."

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Danny bermula garang

Posted:

Danny bermula garang

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

DANNY menamatkan saingan pusingan pertama semalam dalam kelompok 10 pemain terbaik.


PEMAIN berpengalaman negara, Danny Chia bermula cemerlang pada hari pertama Kejohanan Golf CIMB Classic 2012 apabila berjaya berada dalam kelompok 10 pemain terbaik.

Pada aksi yang berlangsung di The Mines Golf and Resort, Seri Kembangan, Selangor semalam, pemain berusia 39 tahun itu melakukan lima pukulan bawah par 66 untuk berkongsi mata dengan J.B Holmes, Ricky Barnes serta Greg Chalmer.

"Permainan saya bagus hari ini (semalam) malah boleh dikatakan yang terbaik pernah saya lakukan pada permulaan saingan. Saya juga tidak mencatat bogey dan ia membuatkan saya lebih selesa dan bersemangat untuk meneruskan saingan pusingan kedua esok (hari ini)," katanya yang agak terkejut dengan prestasinya semalam.

Rentak cemerlang bekas juara Terbuka Taiwan 2002 itu bermula apabila berjaya melakar birdie berturut-turut di lubang kelima dan keenam sebelum melakukannya sekali lagi di lubang kelapan.

"Kejayaan menghasilkan birdie berturut-turut memang cukup mengujakan. Saya rasa, keadaan lapangan serta pemilihan kayu yang tepat banyak membantu saya terutama ketika melakukan pukulan putt," jelasnya yang mengakui agak gementar ketika memulakan saingan.

"Ada tekanan tetapi saya cuba menumpukan sepenuh perhatian kepada permainan saya. Lama kelamaan, saya semakin selesa dan tekanan itu terus hilang," tambahnya.

Pada saingan semalam, dia juga berusaha untuk mengejar kedudukan Jeff Overton dari Amerika Syarikat (AS).

"Bagaimanapun, apabila dia (Overton) mendapat eagle pada lubang ke-15, saya semakin ketinggalan. Jadi, saya cuba mendapatkan birdie pada lubang seterusnya untuk merapatkan jurang," jelas Danny.

Mengulas mengenai cabaran yang bermula semalam sehingga 28 Oktober ini, Danny mengakui tekanan yang diterima ketika bersaing pada kejohanan ini berbanding Terbuka Malaysia amat berbeza.

"Saya akui, saya lebih tertekan ketika beraksi pada Terbuka Malaysia. Mungkin disebabkan saya bertanding sebagai pemain pilihan dan ia membuatkan saya agak terbeban.

"Situasinya amat berbeza. Walaupun pada kejohanan ini saya menghadapi saingan yang cukup sengit, tetapi saya mampu bermain dengan tenang," katanya yang masih menaruh harapan mengutip mata terendah sehingga ke pusingan terakhir Ahad ini.

Bukan itu saja, Danny turut berharap dia dapat bermain dengan bekas juara dunia, Tiger Woods menerusi kutipan mata yang diperolehnya.

"Sudah tentu itu membuatkan saya lebih bersemangat dan saya amat berharap prestasi saya konsisten sehingga hari Ahad ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, Troy Matterson berjaya meraih posisi pendahulu selepas melakukan catatan lapan pukulan bawah par 63.

Lebih menarik, Matterson menutup saingan dengan penuh bergaya dengan melakukan birdie berturut-turut di empat lubang terakhir untuk memastikan dia memulakan saingan hari ini dengan penuh selesa."Secara jujur, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi hari ini (semalam) tetapi kejayaan menamatkan saingan dengan empat birdie berturut-turut merupakan sesuatu yang cukup mengujakan," kata pemain dari AS itu.

Tambah pemain berusia 32 tahun itu, lapangan golf di situ banyak membantunya melakar pukulan yang baik malah keadaan rumput yang bagus membuatkan permainannya semakin sempurna.

"Saya sukakan lapangan golf ini dan ia membuatkan saya seperti bermain di tempat sendiri. Walaupun ada beberapa tempat yang agak sukar, ia masih membuatkan saya selesa untuk bermain," katanya yang berazam mahu menamatkan saingan kali ini dengan kemenangan.

Harimau Muda makin matang

Posted:

Harimau Muda makin matang

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SKUAD Harimau Muda yang tiba di KLIA semalam dengan membawa pulang bersama mereka Newspaper Cup yang dimenangi di Vietnam minggu lalu.


PENDEDAHAN berterusan yang dinikmati skuad Harimau Muda nampaknya mula membuahkan hasil.

Rentak permainan mereka semakin matang dan kejayaan demi kejayaan terus diraih.

Kejayaan yang mereka capai di pentas antarabangsa itu juga membawa perkhabaran gembira buat sukan bola sepak negara bahawa pemain-pemain muda ini menjanjikan masa depan yang cukup indah.

Begitupun, jika mahu terus bergerak ke hadapan, program pendedahan harus lebih kerap dilakukan.

Terbaharu, skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mencipta nama pada Kejohanan Jemputan Newspaper Cup di Vietnam.

Biarpun beraksi tanpa lima tonggak utama pada kejohanan tersebut tetapi mereka tetap berupaya meraih kejayaan.

Hanya 14 pemain dibawa oleh Kim Swee ke Vietnam untuk mengharungi kejohanan tersebut, dan mereka masih mampu bergelar sebagai juara, sekali gus meraih hadiah wang tunai RM37,000.

Kejayaan itu dicapai dengan gaya yang sungguh istimewa kerana mereka menundukkan tuan rumah, Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir.

Kim Swee mendedahkan, kejayaan manis skuad negara itu membuktikan bahawa barisan pemainnya sentiasa komited untuk meletakkan diri mereka di puncak kejayaan.

"Yang paling menarik, kita bukan sahaja menjuarai kejohanan tersebut tanpa lima pemain utama tetapi saya hanya bergantung kepada 14 pemain sahaja untuk menggalas cabaran. Syahrul Azwari Ibrahim dan A. Thamil Arasu pula mengalami kecederaan.

"Jadi, ini bermakna program pendedahan yang kita lakukan sebelum ini berbaloi," katanya kepada pemberita selepas tiba di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Sebelum bertandang ke Vietnam, lima pemain utama yang tidak turut serta ialah Izham Tarmizi, Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbat (Harimau Muda A) serta Zubir Azmi (Terengganu) kerana mereka disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya yang beraksi menentang Hong Kong pada satu perlawanan persahabatan antarabangsa 16 Oktober lalu.

Selepas beraksi dalam perlawanan persahabatan tersebut, hanya Izham Tarmizi sahaja 'diterbangkan' ke ke Vietnam bagi menyertai skuad Harimau Muda dalam kejohanan Newspaper Cup itu.

Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Melaka itu mengakui bangga dan gembira selepas menyaksikan perkembangan pasukan tersebut yang dilihat semakin positif.

"Saya tidak terkejut kerana saya selalu menaruh kepercayaan kepada semua pemain, tidak kira menang atau kalah," katanya.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi Sukan SEA Myanmar dan Liga Singapura (Liga S) pada tahun depan, Kim Swee berkata, beliau akan merujuk terlebih dahulu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak pasti sama ada akan terus beraksi dalam Liga S.

"Yang mustahak, pihak persatuan (FAM) harus tetapkan perancangan buat Harimau Muda A terutama untuk menghadapi Sukan SEA (Myanmar).

"Jadi, selepas berakhirnya Liga S, saya akan berjumpa dengan pihak persatuan untuk membincangkan perkara-perkara ini.

"Bagi saya, setahun itu tidak lama, sekejap sahaja dan perancangan perlu ada serta saya berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum berakhir bulan November," ujarnya.

ASUM lega keputusan Zhuliang untuk kekal

Posted:

ASUM lega keputusan Zhuliang untuk kekal

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

KESATUAN Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengakui keputusan ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang (gambar) untuk menyambung kontrak bersama skuad kebangsaan sangat melegakan banyak pihak.

Menurut Setiausaha Kehormat ASUM, Edwin Chong, keputusan yang diambil ketua jurulatih tersebut membuktikan Zhuliang masih gembira melatih skuad negara meski pun dilaporkan telah menerima tawaran lumayan daripada negara-negara lain.

"Saya gembira dengan keputusannya untuk terus membimbing skuad terjun negara, malah selepas beliau (Zhuliang) menandatangani kontrak baharu banyak pihak yang berasa lega.

"Jadi, harapan kami untuk Zhuliang kekal bersama skuad negara sudah menjadi kenyataan. Kontroversi yang mengatakan beliau akan meninggalkan negara ini juga sekadar gosip sahaja," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, ratu terjun negara, Pandelela Rinong turut bersetuju dengan pendapat Edwin, malah pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012 London itu mengakui, dia kini dapat memberikan tumpuan dalam latihan menjelang Kejohanan Renang Asia di Dubai pada 22 November depan.

"Saya gembira perkara ini sudah selesai, jadi tidak perlu lagi fikir mengenai kontrak jurulatih, jurulatih baharu atau sebagainya lagi.

"Keputusan Zhuliang sangat baik untuk semua pihak. Saya juga percaya bukan saya seorang sahaja dapat beri tumpuan tetapi rakan-rakan atlet yang lain pun mungkin begitu," kata Pandelela.

Dalam perkembangan lain, skuad terjun negara kini dalam proses mencari tiga lagi jurulatih asing setelah badan induk tersebut mendapat persetujuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

Edwin mengakui, tugas untuk mencari jurulatih bagi mengurangkan bebanan para jurulatih di kem latihan negara bukan sesuatu yang mudah kerana negara-negara lain pun sedang mencari jurulatih baharu.

"Bukan Malaysia sahaja mahukan jurulatih yang hebat tetapi negara lain seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia pun mencari jurulatih yang bagus.

"Kita juga dapat lihat, kebanyakan jurulatih yang bagus pun dari negara China jadi ia tidak akan jadi terlalu mudah untuk kita kerana persaingan mendapatkan jurulatih akan wujud," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Persepsi salah terhadap AES

Posted:

Persepsi salah terhadap AES

RAMAI pihak masih tidak mengerti kesan jangka panjang menguatkuasakan peraturan demi keselamatan pengguna jalan raya. - Gambar hiasan


PEMASANGAN kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengawal tingkah laku dan pemanduan melebihi had laju dalam kalangan pengguna jalan raya tiba-tiba menimbulkan polemik.

Ia menjadi kontroversi apabila ada pihak beranggapan sistem itu menyebabkan rakyat terbeban dengan belenggu saman. Lebih hangat apabila isu ini telah dijadikan modal kempen politik yang mungkin tidak menyelesaikan isu kemalangan jalan raya itu sendiri.

Tidak dapat dipastikan sama ada kamera ini yang bermasalah atau kita mempunyai persepsi salah terhadap budaya selamat di jalan raya.

Cuba fikirkan, mengapa ketika kita memandu di negara lain yang ketat peraturan lalu lintas, kita boleh mematuhi peraturan yang dikenakan, tetapi kita seolah-olahnya tidak dapat menerimanya di negara kita sendiri.

Benarlah, sistem AES akan menyebabkan lebih ramai pengguna yang akan disaman, khususnya apabila ada yang memandu dengan kelajuan melebihi had yang dibenarkan.

Ia mungkin menyebabkan sebahagian pengguna jalan raya, khususnya mereka yang berpendapatan rendah akan terbeban dengan sistem ini.

Bagaimanapun, kita mungkin perlu juga melihat kepada beban lain yang mungkin tidak disedari. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dalam kajiannya merekodkan bahawa terdapat lebih 400,000 kes kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2010.

Pada tahun yang sama, dilaporkan sebanyak 6,872 kes kematian kerana kemalangan jalan raya.

Kes kemalangan jalan raya semasa pergi dan pulang daripada kerja juga nampaknya meningkat. Daripada lebih kurang 17,000 kes pada tahun 2001, ia mencecah lebih 22,000 kes pada tahun 2010.

Impak daripada kemalangan jalan raya ini mungkin bukan sedikit. Ia memberi kesan kepada individu, keluarga dan negara. Akibat kemalangan, ada yang mungkin berubah daripada manusia normal kepada individu kelainan upaya.

Kesulitan hidup

Ini akan menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan. Ada pula yang mungkin meninggalkan balu dan anak yatim di rumah sekali gus berdepan pula dengan kesulitan hidup yang lain.

Semua ini sebenarnya antara kesulitan yang terpaksa dihadapi hanya kerana kecuaian memandu di jalan raya.

Dalam kebanyakan kes kemalangan jalan raya, ia sebenarnya bermula dengan sikap manusia itu sendiri. Kemalangan berlaku kerana ada segelintir pengguna yang tidak mengambil berat terhadap aspek keselamatan dan tidak bertimbang rasa terhadap pengguna yang lain.

Sikap buruk yang ada pada segelintir individu ini akan menyebabkan orang lain turut menjadi mangsanya.

PENGGUNA jalan raya yang tidak mematuhi had laju berisiko menyebabkan kemalangan dan seterusnya membawa beban kerugian dari aspek yang lain. - Gambar hiasan


Pemasangan kamera AES tidak menyelesaikan semua masalah kemalangan di jalan raya. Tidak semestinya juga memandu laju itu satu-satunya sebab kemalangan di jalan raya.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya, ia sedikit sebanyak membantu kita mengubah sikap pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan.

Untuk permulaan, ia mungkin sedikit 'mengganggu' kehidupan kita yang biasanya mungkin memandu tanpa mengikut peraturan. Namun, untuk jangka masa panjang, ia mungkin membantu mewujudkan persepsi baharu kita terhadap budaya selamat di jalan raya.

Kajian-kajian menunjukkan bahawa hanya ada satu cara untuk menghidupkan budaya selamat ini. Ia mesti bermula dengan polisi dan penguatkuasaan.

Di kebanyakan negara maju misalnya di Australia, pemasangan kamera AES ini bukanlah merupakan isu yang besar. Kita akan melihat begitu banyak kamera yang dipasang, bukan sahaja di lebuh raya, malah di kebanyakan lampu isyarat di tengah bandar.

Walau bagaimanapun, kamera ini bukan masalah yang besar kepada masyarakat yang mengutamakan peraturan dan keselamatan jalan raya.

Menegur pengguna

Malah, orang awam sendiri boleh melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada pemandu yang melakukan kesalahan, misalnya tidak memakai tali pinggang keledar atau memandu secara cuai. Orang awam juga boleh menegur pengguna yang lain sekiranya ada yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Negara-negara maju ini melaksanakan undang-undang yang jauh lebih ketat daripada apa yang cuba kita terapkan.

Tidak hanya had kelajuan maksimum, bahkan kenderaan tidak boleh diparkir sesuka hati. Kereta yang diparkir di tepi jalan tidak boleh menghadap arah yang bertentangan dengan arah jalan.

Ada kawasan-kawasan tertentu, kenderaan hanya boleh diparkir tidak lebih daripada 15 minit. Itu belum termasuk udang-undang yang menghalang merokok di dalam kenderaan sekiranya ada kanak-kanak bersama di dalamnya.

Bagaimanapun, budaya selamat dan berhemah ini belum lagi muncul dalam budaya kita. Tatkala orang lain berlumba-lumba untuk memastikan masyarakatnya mematuhi peraturan di jalan raya, kita pula masih berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang paling hebat di jalan raya dengan memandu secara laju dan membahayakan.

Persepsi salah kita terhadap budaya selamat itulah sebenarnya menjadi punca mengapa ada pihak yang tidak mampu menerima pelaksanaan peraturan yang diperkenalkan oleh pihak berwajib.

Satu-satunya cara untuk kita semua mengelakkan disaman ialah mematuhi peraturan jalan raya.

Menu baharu Nando's

Posted:

Menu baharu Nando's

Oleh NASRI JAMALUDIN
nasri.jamaludin@kosmo.com.my

SHUNG LYNN menunjukkan menu baharu yang dipromosikan di Nando's.


SAINGAN dalam industri makanan segera di negara ini semakin sengit dengan pelbagai syarikat berlumba-lumba memperkenalkan konsep serta tarikan terbaharu. Mengubah suai restoran, menampilkan menu-menu terbaharu dan menawarkan harga terbaik antara langkah-langkah yang diambil syarikat berkenaan.

Nando's Chickenland Malaysia Sdn. Bhd. (Nando's) juga tidak ketinggalan dalam menaik taraf rangkaian restorannya di seluruh negara selain memperkenalkan menu terbaharu bagi meningkatkan kepuasan para pelanggan.

"Sebahagian daripada langkah untuk meningkatkan kedudukan jenama kami di negara ini, restoran-restoran akan diberikan wajah baharu bermula di restoran Nando's KLCC dan Kompleks Beli-belah Queensbay, Pulau Pinang. Restoran-restoran lain akan dibuat secara berperingkat-peringkat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Nando's, Mac Shung Lynn.

Para pelanggan di kedua-dua restoran berkenaan dapat menjamu selera dalam suasana serba baharu. Kedua-dua restoran itu mengekalkan ciri-ciri asal signatur rustik Nando's dengan penggunaan kayu padu, pinggan mesra alam, namun suasana restoran lebih indah dengan penggunaan gambar hasil seni yang menarik.

Restoran yang dinaik taraf itu memberikan pengalaman menjamu selera yang berbeza.


CHICKEN WRAP mampu meningkatkan keinginan selera para pelanggan Nando's.


Mac menambah, seiring wajah baharu restoran, para pelanggan turut diberi pilihan menu terbaharu.

"Antara menu tersebut termasuk Chicken Wrap, Altogether Now, Wing Roulette, Chicken Breast Burger dan menu sampingan lain," jelasnya.

Bagi penggemar ayam panggang Nando's, pelanggan kini boleh memilih 12 pilihan menu sampingan. Variasi menu tersebut merangkumi kentang goreng Peri, nasi Mediterranean hingga hidangan baharu seperti keledek lecek.

Para pelanggan tetap juga boleh mendapatkan kad istimewa, Nando's Card dengan bayaran RM10 untuk seumur hidup. Ia menawarkan pelbagai keistimewaan bernilai tambah kepada pelanggan tetap.

N-Durance bukan sekadar minuman isotonik

Posted:

N-Durance bukan sekadar minuman isotonik

RIZAL bersama dua pekerjanya menunjukkan minuman isotonik N-Durance yang berada di pasaran sejak awal tahun.


MINUMAN isotonik banyak mengandungi elektrolit dan garam sekali gus ideal diminum golongan yang aktif bersukan. Umum mengetahui, dalam pasaran di negara ini terdapat pelbagai jenama minuman isotonik, namun ia bukanlah penghalang bagi syarikat-syarikat lain memperkenalkan produk mereka.

Sebuah syarikat bumiputera, Wonders Avanue Resources, sejak tujuh bulan lalu telah mengenengahkan 'buah tangan' mereka iaitu minuman isotonik yang dikenali sebagai N-Durance.

Meskipun perlu bersaing dengan jenama-jenama besar, N-Durance mempunyai keistimewaan tersendiri. Minuman itu boleh dipelbagaikan cara untuk menikmatinya seperti dicampurkan dengan buah-buahan seperti nanas, longan dan laici.

Ia juga boleh dicampurkan dengan kelapa muda dan pastinya boleh menyejukkan badan.

MINUMAN N-Durance boleh dipelbagaikan rasanya dengan campuran buah-buahan seperti nanas, longan dan laici.


Pengurus Jualannya, Rizal Darus berkata, N-Durance juga mengandungi vitamin C dan kalsium.

"Syarikat kami merupakan yang pertama memperkenalkan minuman isotonik di negara ini yang boleh dicampurkan dengan bahan lain," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi memperkenalkan N-Durance kepada masyarakat, pihaknya turut merancang untuk bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta persatuan bola sepak negeri terutamanya dalam program pembangunan bola sepak.

Dalam pada itu, syarikat tersebut turut mencari ejen-ejen yang berminat untuk memasarkan minuman isotonik itu di pasar-pasar malam seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi syarikat berkenaan di talian 03-4266 4774.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Pembunuhan Altantuya: Rayuan 2 anggota polis ditangguh

Posted:

Pembunuhan Altantuya: Rayuan 2 anggota polis ditangguh

25/10/2012 6:44pm

PUTRAJAYA - Pendengaran kes rayuan dua bekas komando Unit Tindakan Khas (UTK) yang dihukum mati atas pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, ditangguhkan.

Sebelum ini tarikh pendengaran kes rayuan, yang dijadual didengar pada Ogos lalu, telah ditangguh pada 31 Oktober dan 1 November oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan N. Kanageswari pada Julai lepas.

Pendaftar Mahkamah Rayuan serta peguam Datuk Hazman Ahmad, yang mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri dan peguam bersama Kitson Foong bagi Koperal Sirul Azhar Umar, mengesahkan tarikh pendengaran kes itu dikosongkan.

Bagaimanapun, tiada tarikh baru ditetapkan.

Hazman, ketika dihubungi berkata, kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan memerlukan lebih masa untuk meneliti rekod rayuan yang mengandungi 65 jilid. - BERNAMA

Polis Terengganu tubuh pasukan khas buru samseng

Posted:

Polis Terengganu tubuh pasukan khas buru samseng

25/10/2012 5:31pm

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu enam samseng yang dipercayai terlibat dalam empat kes serangan di Besut sejak Julai lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata, semua suspek dipercayai menyerang dan memukul sehingga mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

"Kita memandang serius perkara ini walaupun serangan yang mereka lakukan hanya disebabkan cemburu, menunjukkan isyarat lucah dan gagal membayar hutang," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya, polis tidak boleh bertolak ansur dengan perbuatan suspek yang tidak menghormati undang-undang.

Mereka yang diburu itu termasuk seorang kontraktor, Che Wan Sharmizie Che Wan Mat, 29, dari Kampung Baru Bukit Tumbuh, Besut bagi membantu siasatan serangan ke atas seorang guru lelaki berusia 35 tahun kelmarin. - BERNAMA

Polis cari Safiah Muhamad berkenaan kes dadah

Posted:

Polis cari Safiah Muhamad berkenaan kes dadah

25/10/2012 5:11pm

KUANTAN - Polis sedang menjejaki seorang wanita yang perlu hadir sebagai saksi pada perbicaraan kes berkaitan dadah di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 30 Oktober ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd. Jasmani Yusoff berkata, Safiah Muhamad, 38, beralamat terakhir di 439 Felda Bukit Kuantan dinamakan sebagai saksi pendakwaan dalam kes pengedaran dadah membabitkan seorang lelaki.

Wanita itu turut ditahan bersama lelaki terbabit pada 29 Julai lepas dalam satu sekatan jalan raya di KM23 Jalan Jerangau-Jabor, namun dibebaskan kemudian, katanya di sini hari ini.

Wanita itu kini tidak dapat dikesan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya menghubungi balai polis berdekatan, katanya. - BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Jemaah haji mula bergerak ke Mina

Posted:

Jemaah haji mula bergerak ke Mina

BEBERAPA jemaah haji berehat dekat Masjidil Haram di Mekah selepas selesai mengerjakan solat Maghrib kelmarin.-AFP


MEKAH – Lebih dua juta jemaah haji mula menunaikan ibadah haji yang secara rasmi bermula semalam selepas tiba di Mekah seminggu lalu.

Jutaan jemaah kini menuju ke Mina untuk bermalam sebelum menuju ke Arafah bagi menunaikan wukuf

Antara mereka termasuk 28,000 jemaah haji Malaysia yang mula bergerak ke Mina dan Padang Arafah untuk berwukuf esok.

Jalan-jalan utama di kota Makkah kini sesak teruk dengan kenderaan yang membawa jemaah haji dari seluruh dunia bagi menunaikan ibadah berkenaan.

Pergerakan jemaah haji Malaysia bermula pada pukul 12.30 tengah hari (waktu Arab Saudi) melalui perjalanan sejauh 20 kilometer.

Jemaah haji Malaysia menuju ke Mina dan Arafah dengan menaiki bas dengan perjalanan tersebut berakhir pukul 12 tengah malam tadi.

Pengurus Media Tabung Haji, Mohamad Naser Jaffar berkata, 800 petugas Tabung Haji digerakkan secara berperingkat seawal jam 7.30 pagi bagi memastikan persedian awal dilakukan bagi menerima ketibaan jemaah haji Malaysia.

Dalam pada itu, kebanyakan jemaah haji sudah mula menuju ke Mina pada malam kelmarin selepas selesai melakukan tawaf mengelilingi Kaabah.

Kerajaan Arab Saudi yang memberi keutamaan kepada keselamatan para jemaah telah mengerahkan beribu-ribu anggota keselamatan di Mekah, Mina, Arafah dan Muzdalifah.

Satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi kelmarin memberitahu, kesemua jemaah haji bergerak ke Mina dengan lancar tanpa sebarang halangan. – Agensi

Apple perkenal iPad mini

Posted:

Apple perkenal iPad mini

IPAD mini (kiri) dipamerkan bersama generasi keempat iPad di San Jose, California kelmarin.- Agensi


SAN JOSE – Syarikat Apple Inc. yakin kehadiran iPad mini yang diperkenalkan kelmarin mampu mengatasi pasaran komputer tablet daripada beberapa pesaing terdekatnya seperti Amazon, Google dan Samsung.

"Komputer ini bukan versi mini bagi iPad, tetapi satu gajet rekaan baharu secara keseluruhannya," kata Timbalan Presiden Pemasaran Apple, Phil Schillernya pada majlis perasmian iPad mini di sini.

Paparan skrin sentuh iPad mini lebih kecil iaitu 20 sentimeter (sm) berbanding 24 sm untuk iPad.

Sebuah iPad mini 16 gigabit (GB) dengan sambungan wi-fi dijual di Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$329 (RM1,003), manakala versi dilengkapi WiFi dan keupayaan selular pula berharga AS$459 (RM1,400).

Bagi iPad mini 64GB dengan wi-fii dan keupayaan selular pula berharga AS$659 (RM2010).

IPad mini turut dilengkapi kamera hadapan dan belakang sama seperti iPad.

Tempahan iPad mini boleh dibuat bermula esok di AS.

Proses penghantaran iPad mini versi Wi-Fi akan bermula pada 2 November depan ke beberapa buah negara di rantau Asia, Eropah dan Amerika.

Pada masa yang sama Apple turut memperkenalkan komputer tablet iPad generasi keempat pada harga bermula daripada AS$499 (RM1,522) bagi model 16GB dengan sambungan wi-fi.

Apple menjual lebih 100 juta iPad sejak dua setengah tahun lalu.

Lebih 35 bilion pengguna juga telah memuat turun sebahagian daripada 275,000 aplikasi sedia ada bagi pengguna iPad.

Apple mencetuskan fenomena pasaran komputer tablet dengan mememperkenalkan iPad pertamanya pada awal 2010.

Walaupun iPad mini paling murah ditawarkan pada harga AS$329, tetapi gajet tersebut masih lagi lebih mahal daripada komputer tablet keluaran Amazon, Google dan Samsung yang dijual pada harga bermula harga AS$199 (RM607).

Mengulas berhubung produk terbaharu Apple itu, seorang penganalisis teknologi, Jeff Kagan berkata, iPad mini boleh menyebabkan iPad biasa menjadi kurang popular.

"Namun, kehadiran gajet baharu itu mampu meningkatkan lagi dari segi jumlah pelanggan yang membeli produk Apple," katanya. – AFP

Empat trak, lima treler berlanggar

Posted:

Empat trak, lima treler berlanggar

KEADAAN sebuah treler yang berlanggar di lebuh raya Interstate 5 kelmarin.


NEWHALL, California - Dua kemalangan berturut-turut melibatkan empat buah trak dan lima treler menyebabkan kesesakan lalu lintas selama beberapa jam di lebuh raya Interstate 5 di sini kelmarin.

Pihak berkuasa Peronda Lebuh Raya California (CHP) berkata, nahas sekitar pukul 2.20 pagi (waktu AS) itu berlaku apabila seorang pemandu lori sampah gagal mengawal kenderaannya yang menyebabkan pelanggaran empat buah trak.

Menurut CHP, pemandu-pemandu lain mula memperlahankan kenderaan mereka susulan nahas tersebut dengan lima buah treler yang menuju ke lokasi kejadian berlanggar sejurus selepas itu.

Stesen televisyen AS, KTLA melaporkan seorang pemandu treler mengalami kecederaan serius dalam kemalangan tersebut tetapi berada dalam keadaan stabil di sebuah hospital di sini.

Tiada laporan mengenai kecederaan lain setakat ini.

Kemalangan itu turut menyebabkan sejumlah 1,514 liter minyak diesel tumpah di atas lebuh raya tersebut. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Keluarga jadi keutamaan

Posted:

Keluarga jadi keutamaan

KREDIBILITINYA sebagai seorang penghibur di atas pentas nyanyian memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Kualiti vokal, lenggok alunan suara yang unik serta bakat yang dikurniakan kepadanya menjadi kunci utama kejayaan yang diterima sebagai seorang anak seni sehingga ke hari ini.

Tidak hairan jika bakat nyanyian dan hasil kerja Krisdayanti atau KD sering kali mendapat pengiktirafan pada majlis-majlis anugerah tempatan mahupun antarabangsa.

Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapi oleh penyanyi yang popular dengan lagu Cobalah Untuk Setia ini tidak mungkin datang tanpa sebarang kontroversi.

Sejak beberapa tahun lalu, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini kerap menjadi sasaran utama ruangan-ruangan gosip akhbar dan majalah ekoran isu penceraiannya dengan bekas suami, Anang Hermansyah.

Setelah isu penceraiannya selesai, KD akhirnya mendirikan rumah tangga dengan Raul Lemos. Hasil daripada perkongsian hidupnya dengan usahawan yang berasal dari Timor Leste itu, KD dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Ariannha Amora Lemos.

Ketika ditemui pada acara Persembahan Konsert Diraja dan Majlis Penutupan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2012 minggu lalu, KD kelihatan sungguh anggun dalam persalinan serba mewah hasil rekaan Anne Avanthi, pereka yang sama mereka busana perkahwinannya dengan Raul tahun lalu.

Menambahkan seri, wanita itu kini sedang sarat hamil tujuh bulan. Ia merupakan anak kedua baginya bersama Raul.

Berasa amat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah, KD mengaku tidak sabar untuk menanti kelahiran cahaya mata keempatnya itu.

"Kandungan saya kini sudah menjangkau usia tujuh bulan dan insya-Allah dengan izin-Nya, Ariannha bakal mendapat seorang adik lelaki pada hujung tahun ini," katanya penuh teruja ketika membuka bicara.

Ditanya mengenai pengalaman hamil anak kedua bersama Raul, KD memberitahu, dia berasa sedikit penat dan sering mengalami kesakitan pada bahagian belakang badannya.

Begitupun, perkara remeh-temeh itu tidak menghalangnya daripada memenuhi sebarang undangan nyanyian.

"Ketika mengandungkan anak pertama iaitu Aureile, saya masih boleh menyanyi walaupun pada waktu itu usia kandungan telah mencecah sembilan bulan.

"Berbeza sekarang, saya cepat berasa letih dan keadaan ini memaksa saya untuk tidak melakukan tugas-tugas yang berat selain memperlahankan sedikit aktiviti seni saya," katanya yang ditemui usai menghiburkan pengunjung konsert tersebut dengan rangkaian lagu-lagu popularnya.

Menyorot kembali saat-saat manis ketika mendapat tahu dia hamil untuk kali yang kedua, KD berkata, dia yang sedang menghabiskan masa dengan keluarga mertuanya di Timor Leste ketika itu sering menjadikan gabungan buah mangga, kicap masin dan cili sebagai salah satu pilihan menu hariannya.

"Pembantu rumah di sana (rumah mertua) sungguh hairan kerana saya sering meminta mereka membelikan buah mangga. Ketika itu, saya sedang berdiet dan tidak terfikir langsung akan hamil buat kali yang kedua.

BAHAGIA. Krisdayanti atau KD bersama suaminya, Raul Lemos dan anak sulung mereka, Ariannha Amora Lemos.


"Bagaimanapun, lama-kelamaan, saya mula merasakan perubahan yang ketara pada tubuh saya. Justeru, saya nekad untuk menjalankan ujian kehamilan di rumah. Alhamdulillah, selepas itu memang sah, saya hamil lagi," ujarnya tersenyum lebar.

KD juga memberitahu bahawa suaminya begitu terkejut ketika dikhabarkan mengenai berita gembira tersebut.

Jelasnya: "Raul seperti tidak percaya ketika itu kerana julat masa kehamilan pertama dengan yang kedua adalah sangat singkat. Dia ternyata gembira dan tidak sabar menanti kelahiran putera pertama kami."

Rawatan tradisional

Jika ditanya mengenai persiapan dan rawatan selepas bersalin, sudah pasti adik kepada penyanyi Yuni Shara yang berusia 37 tahun ini mempunyai cara yang tersendiri dalam menyediakan diri untuk melalui proses berpantang.

"Sama seperti sebelum ini, saya akan menghabiskan tempoh berpantang selama 40 hari dengan mendapatkan rawatan tradisional.

"Rawatan-rawatan seperti lulur seluruh badan dan bengkung bersama ramuan akar kayu berserta herba tradisional merupakan antara rawatan yang wajib untuk saya ketika melalui tempoh berpantang," katanya.

KD juga berkata, dia harus mengamalkan cara pemakanan yang seimbang agar mampu untuk menghabiskan proses itu dalam masa yang telah ditetapkan.

Dalam masa yang sama, dia mahu kembali cergas bagi menyambung semula aktiviti seninya yang tergendala.

"Cara pemakanan juga perlu dititikberatkan, terutamanya selepas bersalin. Saya tidak boleh memilih makanan dan perlu mengikut jadual pemakanan yang telah ditetapkan oleh pengamal perubatan tradisional di sana.

"Doktor juga ada menasihati saya supaya mengambil beberapa jenis suplemen tambahan ketika ini agar saya kekal bertenaga, tidak mudah letih dan senang ketika melahirkan bayi kelak," katanya lagi.

2NE1 gegar Malaysia Disember ini

Posted:

2NE1 gegar Malaysia Disember ini

2NE1


BERITA baik buat para peminat K-pop di Malaysia apabila kumpulan popular 2NE1 bakal membuat persembahan di Malaysia dalam satu konsert yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 8 Disember ini.

Kehadiran kumpulan tersebut ke negara ini diumumkan sendiri oleh Pengarah Kreatif Running Into The Sun, Beatrice Chia Richmond selaku penganjur 2NE1 Global Tour - New Evolution Concert.

"Sudah tentu kami sangat berbesar hati kerana berjaya membawa 2NE1 membuat persembahan di Malaysia memandangkan ini kali pertama mereka berpeluang menghiburkan para peminat di sini.

"Pihak kami percaya kumpulan tersebut juga sangat teruja dan bakal menampilkan satu persembahan yang menarik kerana Malaysia merupakan salah satu lokasi yang menjadi pilihan dalam siri jelajah mereka pada tahun ini," ujar Beatrice.

Dianggotai empat orang gadis jelita iaitu Lee Chae-rin (CL), Sandara Park (Dara), Park Bom (Bom) dan Gong Minji (Minzy), 2NE1 merupakan antara kumpulan K-pop yang sukses di Korea Selatan serta sudah merangkul pelbagai anugerah.

Menurut Beatrice, tiket untuk menyaksikan konsert tersebut akan mula dijual pada 27 Oktober ini. Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh melayari laman Facebook www.facebook.com/runningintothesun.

MLM 2012 tawar RM500,000

Posted:

MLM 2012 tawar RM500,000

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

BARISAN peserta MLM 2012 yang akan berentap bermula 16 November ini menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).


PROGRAM pencarian pelawak terunggul di rantau Asia Tenggara, Maharaja Lawak Mega atau MLM yang masuk musim kedua cuba membuat kelainan dengan menampilkan pula pelawak-pelawak veteran yang tidak pernah menyertai pertandingan itu sebelum ini.

Selain juara pertandingan akan membawa pulang sebanyak RM500,000 berbanding RM300,000 pada tahun lepas, beberapa pertukaran kumpulan dan muka baharu ditonjolkan pada musim kali ini.

Kumpulan Dadidu misalnya, menampilkan pelawak veteran AR Badul yang disertai pelawak dari Singapura, Arif Sudin dan Bobo.

Kesemua mereka termasuk AR Badul yang berasal daripada Singapura akan memberi saingan kepada para pelawak baharu kali ini.

AR Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 62, ketika ditemui pada majlis sidang program MLM 2012 di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini berkata, walaupun paling senior dalam program tersebut, dia merasakan seperti orang baharu.

"Saya dan kumpulan Dadidu terpanggil untuk menyertai program ini kerana merasakan ia juga gelanggang kami yang sememangnya golongan pelawak. Tiada istilah lama atau baharu, kami semua sama," jelasnya.

Badul menambah, dia merasakan satu penghormatan apabila ditawarkan sebagai kumpulan jemputan kerana sebelum ini hanya melihat program berkenaan di kaca televisyen sahaja.

"Saya mahu beri saingan kepada kumpulan jemputan negara lain dan bukan hanya menyaingi kepada kumpulan tempatan," ujarnya yang pernah menjadi juri program Raja Lawak musim pertama.

Sementara itu, kumpulan Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik bakal tampil dengan ahli baharu mereka iaitu Nabil yang sebelum ini tampil solo dalam MLM musim pertama.

Kata Nabil, dia menyertai Boboi kerana merasakan adalah terlalu sukar untuk membuat lawak setiap minggu secara solo.

"Saya rasa dapat pergi jauh dengan menyertai Boboi," ujarnya yang pertama kali bersama Boboi dalam pementasan Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya baru-baru ini.

KUMPULAN Saywho yang terdiri daripada Eko, Bocil dan Vicha juga mahu mencuba nasib merebut gelaran juara MLM 2012, sekali gus membawa pulang habuan RM500,000.


Satu lagi kelainan pada musim kali ini ialah apabila salah seorang anggota Osbon yang menjuarai Raja Lawak Mega musim pertama iaitu Abon kini bersama Sathia muncul dengan kumpulan baharunya yang dikenali sebagai Sabon.

Kata Abon, Osbon yang turut dianggotai Mr. Os tidak menyertai program itu kerana kumpulan itu pernah menjadi juara Raja Lawak Mega musim pertama.

Abon juga menafikan wujud masalah antara dia dan Os.

"Tidak wujud sebarang permasalahan antara saya dan Os. Sabon muncul untuk buat kelainan dan saya tiada masalah bersama Sathia kerana kami sudah kenal lebih 20 tahun," jelasnya.

Boboi, Dadidu dan Sabon bakal bersaing dengan tujuh buah kumpulan pelawak tempatan lain iaitu Pimai (Imuda dan Mat Over), Jozan (Johan dan Zizan), Jambu (Taukeh dan Yus), R2 (Rahim dan Wan Lopez), Shiro (Shahrol dan Ajak).

Mereka akan turut menerima saingan daripada kumpulan jemputan luar negara, masing-masing dari Indonesia dan Filipina iaitu The Bandung Jokers (Dodon, Amin dan Aman) dan Saywho (Eko, Bocil dan Vicha).

Tiga kumpulan lain yang telah memenangi peluang yang dikenali sebadengan istilah 'kerusi panas' baru-baru ini iaitu Balas, Kecik dan Mamu pula akan menyertai sebuah lagi pertandingan pada 14 November ini bagi menempatkan diri mereka dalam kalangan 10 kumpulan terpilih.

Sementara itu, menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani, program itu masih mengekalkan sistem pemarkahan juri sebanyak 70 peratus dan selebihnya undian penonton.

"Juri tetap pula akan ada empat orang yang dirahsiakan sehingga program berkenaan, tetapi dua dari negara ini dan dua lagi masing-masing dari Indonesia dan Singapura," ujarnya.

MLM 2012 akan bersiaran secara langsung bermula 16 November ini, pada setiap Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Ia akan di adakan Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved