Khamis, 25 Oktober 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Persepsi salah terhadap AES

Posted:

Persepsi salah terhadap AES

RAMAI pihak masih tidak mengerti kesan jangka panjang menguatkuasakan peraturan demi keselamatan pengguna jalan raya. - Gambar hiasan


PEMASANGAN kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengawal tingkah laku dan pemanduan melebihi had laju dalam kalangan pengguna jalan raya tiba-tiba menimbulkan polemik.

Ia menjadi kontroversi apabila ada pihak beranggapan sistem itu menyebabkan rakyat terbeban dengan belenggu saman. Lebih hangat apabila isu ini telah dijadikan modal kempen politik yang mungkin tidak menyelesaikan isu kemalangan jalan raya itu sendiri.

Tidak dapat dipastikan sama ada kamera ini yang bermasalah atau kita mempunyai persepsi salah terhadap budaya selamat di jalan raya.

Cuba fikirkan, mengapa ketika kita memandu di negara lain yang ketat peraturan lalu lintas, kita boleh mematuhi peraturan yang dikenakan, tetapi kita seolah-olahnya tidak dapat menerimanya di negara kita sendiri.

Benarlah, sistem AES akan menyebabkan lebih ramai pengguna yang akan disaman, khususnya apabila ada yang memandu dengan kelajuan melebihi had yang dibenarkan.

Ia mungkin menyebabkan sebahagian pengguna jalan raya, khususnya mereka yang berpendapatan rendah akan terbeban dengan sistem ini.

Bagaimanapun, kita mungkin perlu juga melihat kepada beban lain yang mungkin tidak disedari. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dalam kajiannya merekodkan bahawa terdapat lebih 400,000 kes kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2010.

Pada tahun yang sama, dilaporkan sebanyak 6,872 kes kematian kerana kemalangan jalan raya.

Kes kemalangan jalan raya semasa pergi dan pulang daripada kerja juga nampaknya meningkat. Daripada lebih kurang 17,000 kes pada tahun 2001, ia mencecah lebih 22,000 kes pada tahun 2010.

Impak daripada kemalangan jalan raya ini mungkin bukan sedikit. Ia memberi kesan kepada individu, keluarga dan negara. Akibat kemalangan, ada yang mungkin berubah daripada manusia normal kepada individu kelainan upaya.

Kesulitan hidup

Ini akan menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan. Ada pula yang mungkin meninggalkan balu dan anak yatim di rumah sekali gus berdepan pula dengan kesulitan hidup yang lain.

Semua ini sebenarnya antara kesulitan yang terpaksa dihadapi hanya kerana kecuaian memandu di jalan raya.

Dalam kebanyakan kes kemalangan jalan raya, ia sebenarnya bermula dengan sikap manusia itu sendiri. Kemalangan berlaku kerana ada segelintir pengguna yang tidak mengambil berat terhadap aspek keselamatan dan tidak bertimbang rasa terhadap pengguna yang lain.

Sikap buruk yang ada pada segelintir individu ini akan menyebabkan orang lain turut menjadi mangsanya.

PENGGUNA jalan raya yang tidak mematuhi had laju berisiko menyebabkan kemalangan dan seterusnya membawa beban kerugian dari aspek yang lain. - Gambar hiasan


Pemasangan kamera AES tidak menyelesaikan semua masalah kemalangan di jalan raya. Tidak semestinya juga memandu laju itu satu-satunya sebab kemalangan di jalan raya.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya, ia sedikit sebanyak membantu kita mengubah sikap pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan.

Untuk permulaan, ia mungkin sedikit 'mengganggu' kehidupan kita yang biasanya mungkin memandu tanpa mengikut peraturan. Namun, untuk jangka masa panjang, ia mungkin membantu mewujudkan persepsi baharu kita terhadap budaya selamat di jalan raya.

Kajian-kajian menunjukkan bahawa hanya ada satu cara untuk menghidupkan budaya selamat ini. Ia mesti bermula dengan polisi dan penguatkuasaan.

Di kebanyakan negara maju misalnya di Australia, pemasangan kamera AES ini bukanlah merupakan isu yang besar. Kita akan melihat begitu banyak kamera yang dipasang, bukan sahaja di lebuh raya, malah di kebanyakan lampu isyarat di tengah bandar.

Walau bagaimanapun, kamera ini bukan masalah yang besar kepada masyarakat yang mengutamakan peraturan dan keselamatan jalan raya.

Menegur pengguna

Malah, orang awam sendiri boleh melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada pemandu yang melakukan kesalahan, misalnya tidak memakai tali pinggang keledar atau memandu secara cuai. Orang awam juga boleh menegur pengguna yang lain sekiranya ada yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Negara-negara maju ini melaksanakan undang-undang yang jauh lebih ketat daripada apa yang cuba kita terapkan.

Tidak hanya had kelajuan maksimum, bahkan kenderaan tidak boleh diparkir sesuka hati. Kereta yang diparkir di tepi jalan tidak boleh menghadap arah yang bertentangan dengan arah jalan.

Ada kawasan-kawasan tertentu, kenderaan hanya boleh diparkir tidak lebih daripada 15 minit. Itu belum termasuk udang-undang yang menghalang merokok di dalam kenderaan sekiranya ada kanak-kanak bersama di dalamnya.

Bagaimanapun, budaya selamat dan berhemah ini belum lagi muncul dalam budaya kita. Tatkala orang lain berlumba-lumba untuk memastikan masyarakatnya mematuhi peraturan di jalan raya, kita pula masih berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang paling hebat di jalan raya dengan memandu secara laju dan membahayakan.

Persepsi salah kita terhadap budaya selamat itulah sebenarnya menjadi punca mengapa ada pihak yang tidak mampu menerima pelaksanaan peraturan yang diperkenalkan oleh pihak berwajib.

Satu-satunya cara untuk kita semua mengelakkan disaman ialah mematuhi peraturan jalan raya.

Menu baharu Nando's

Posted:

Menu baharu Nando's

Oleh NASRI JAMALUDIN
nasri.jamaludin@kosmo.com.my

SHUNG LYNN menunjukkan menu baharu yang dipromosikan di Nando's.


SAINGAN dalam industri makanan segera di negara ini semakin sengit dengan pelbagai syarikat berlumba-lumba memperkenalkan konsep serta tarikan terbaharu. Mengubah suai restoran, menampilkan menu-menu terbaharu dan menawarkan harga terbaik antara langkah-langkah yang diambil syarikat berkenaan.

Nando's Chickenland Malaysia Sdn. Bhd. (Nando's) juga tidak ketinggalan dalam menaik taraf rangkaian restorannya di seluruh negara selain memperkenalkan menu terbaharu bagi meningkatkan kepuasan para pelanggan.

"Sebahagian daripada langkah untuk meningkatkan kedudukan jenama kami di negara ini, restoran-restoran akan diberikan wajah baharu bermula di restoran Nando's KLCC dan Kompleks Beli-belah Queensbay, Pulau Pinang. Restoran-restoran lain akan dibuat secara berperingkat-peringkat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Nando's, Mac Shung Lynn.

Para pelanggan di kedua-dua restoran berkenaan dapat menjamu selera dalam suasana serba baharu. Kedua-dua restoran itu mengekalkan ciri-ciri asal signatur rustik Nando's dengan penggunaan kayu padu, pinggan mesra alam, namun suasana restoran lebih indah dengan penggunaan gambar hasil seni yang menarik.

Restoran yang dinaik taraf itu memberikan pengalaman menjamu selera yang berbeza.


CHICKEN WRAP mampu meningkatkan keinginan selera para pelanggan Nando's.


Mac menambah, seiring wajah baharu restoran, para pelanggan turut diberi pilihan menu terbaharu.

"Antara menu tersebut termasuk Chicken Wrap, Altogether Now, Wing Roulette, Chicken Breast Burger dan menu sampingan lain," jelasnya.

Bagi penggemar ayam panggang Nando's, pelanggan kini boleh memilih 12 pilihan menu sampingan. Variasi menu tersebut merangkumi kentang goreng Peri, nasi Mediterranean hingga hidangan baharu seperti keledek lecek.

Para pelanggan tetap juga boleh mendapatkan kad istimewa, Nando's Card dengan bayaran RM10 untuk seumur hidup. Ia menawarkan pelbagai keistimewaan bernilai tambah kepada pelanggan tetap.

N-Durance bukan sekadar minuman isotonik

Posted:

N-Durance bukan sekadar minuman isotonik

RIZAL bersama dua pekerjanya menunjukkan minuman isotonik N-Durance yang berada di pasaran sejak awal tahun.


MINUMAN isotonik banyak mengandungi elektrolit dan garam sekali gus ideal diminum golongan yang aktif bersukan. Umum mengetahui, dalam pasaran di negara ini terdapat pelbagai jenama minuman isotonik, namun ia bukanlah penghalang bagi syarikat-syarikat lain memperkenalkan produk mereka.

Sebuah syarikat bumiputera, Wonders Avanue Resources, sejak tujuh bulan lalu telah mengenengahkan 'buah tangan' mereka iaitu minuman isotonik yang dikenali sebagai N-Durance.

Meskipun perlu bersaing dengan jenama-jenama besar, N-Durance mempunyai keistimewaan tersendiri. Minuman itu boleh dipelbagaikan cara untuk menikmatinya seperti dicampurkan dengan buah-buahan seperti nanas, longan dan laici.

Ia juga boleh dicampurkan dengan kelapa muda dan pastinya boleh menyejukkan badan.

MINUMAN N-Durance boleh dipelbagaikan rasanya dengan campuran buah-buahan seperti nanas, longan dan laici.


Pengurus Jualannya, Rizal Darus berkata, N-Durance juga mengandungi vitamin C dan kalsium.

"Syarikat kami merupakan yang pertama memperkenalkan minuman isotonik di negara ini yang boleh dicampurkan dengan bahan lain," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi memperkenalkan N-Durance kepada masyarakat, pihaknya turut merancang untuk bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta persatuan bola sepak negeri terutamanya dalam program pembangunan bola sepak.

Dalam pada itu, syarikat tersebut turut mencari ejen-ejen yang berminat untuk memasarkan minuman isotonik itu di pasar-pasar malam seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi syarikat berkenaan di talian 03-4266 4774.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved