Rabu, 03 September, 2025

Rabu, 19 Oktober 2011

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Pelajar KIA berlatih mendaki di Bukit Broga

Posted:

Pelajar KIA berlatih mendaki di Bukit Broga

Pelajar KIA berlatih mendaki di Bukit Broga


BEBERAPA pendaki gunung dan pelajar KIA bergambar kenangan bersama Mohd. Noor (berdiri enam dari kiri) di Bukit Broga baru-baru ini.


GEMBIRA. Beberapa pendaki gunung profesional dan amatur termasuk pelajar Kolej Islam Amtarabangsa (KIA) telah mengadakan latihan mendaki gunung di Bukit Broga, Semenyih baru-baru ini.

Turut bersama mereka ialah pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin.

Pelbagai latihan dilakukan sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran seterusnya mengikut jadual yang telah disusun.

Latihan tidak formal itu bermula pada pukul 6 pagi dan berakhir pukul 6 petang.

Mohd. Noor yang juga merupakan seorang jurugambar ketika ini sedang menjalani latihan bagi persiapan misi mencipta rekod dunia dalam pendakian tangga Menara Kuala Lumpur akhir tahun ini.

Paling menarik, gambar mereka menjalani latihan dirakamkan oleh sekumpulan jurugambar dari Cheras, Putrajaya dan Bangi yang kebetulan berada di situ untuk merakamkan pemandangan indah dari Bukit Broga.

Full content generated by Get Full RSS.

Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Koperasi

Posted:

Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Koperasi

Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Koperasi


WAKIL koperasi bergambar kenangan bersama Sharina (enam dari kanan) di Kuantan baru-baru ini.


KURSUS KOPERASI. Seramai 100 wakil koperasi dari sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan menghadiri Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Koperasi di Kuantan baru-baru ini.

Dalam program tersebut, kira-kira 1.25 juta ahli koperasi di negeri-negeri berkenaan diumum bakal menerima faedah menerusi penubuhan Konsortium Koperasi Wilayah Pantai Timur (KKWPT) yang ditubuhkan pada bulan depan.

Setiausaha Penaja KKWPT, Zambree Zakaria berkata, penubuhan konsortium itu bakal memberi kelebihan kepada ahli koperasi terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Hadir sama dalam program tersebut yang turut diserikan dengan acara kempen menanam pokok di kawasan bandar ialah Pengarah Maktab Koperasi Wilayah Timur, Sharina Abdullah.

Full content generated by Get Full RSS.

TM Kedah & Perlis anjur Program Jom Broadband

Posted:

TM Kedah & Perlis anjur Program Jom Broadband

TM Kedah & Perlis anjur Program Jom Broadband


MOHAMAD SIDIK (lima dari kanan) meraikan pemenang Kempen Festive Reward pada program Jom Broadband @ TM di Alor Setar baru-baru ini.


JALUR LEBAR. Telekom Malaysia (TM) Kedah & Perlis telah menganjurkan Program Jom Broadband @ TM di pekarangan Kompleks TM, Jalan Kolam Air, Alor Setar baru-baru ini.

Program itu bagi meningkatkan jumlah pelanggan jalur lebar TM dan meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di negeri ini.

Turut diadakan penyampaian hadiah utama kepada pemenang Kempen Festive Reward yang telah diadakan pada 1 Ogos hingga 31 Ogos lalu.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Penolong Pengurus Besar, Pemasaran Pengguna, TM Kedah & Perlis, Mohamad Sidik Md. Salleh.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Had pendapatan RM7,000

Posted:

Had pendapatan RM7,000

Had pendapatan RM7,000

PENINGKATAN had harga rumah di bawah Skim Rumah Pertamaku membolehkan orang ramai membeli hartanah yang lebih selesa. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Kerajaan menimbang untuk menaikkan had kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM3,000 sebulan sekarang kepada RM7,000 untuk membolehkan orang ramai membeli kediaman lebih selesa di bawah Skim Rumah Pertamaku.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, kajian menaikkan had pendapatan pemohon skim tersebut sebanyak dua kali ganda itu sedang dijalankan dengan institusi kewangan.

"Kita sedang kaji had kelayakan sekitar RM6,000 hingga RM7,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran aplikasi mudah alih 'Kurnia One Touch' di sini semalam.

Katanya, kajian semula itu adalah sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2012 yang menaikkan had pinjaman di bawah skim itu daripada RM220,000 kepada RM400,000.

Siang Chai memberitahu, kementerian itu sedang menunggu maklum balas dari bank-bank berkaitan cadangan tersebut.

"Kami telah meminta pihak bank memberikan kami angka yang mereka rasa selesa jika seseorang itu perlu meminjam lebih banyak wang (di bawah skim itu), katanya.

Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mengalu-alukan inisiatif menaikkan had pendapatan isi rumah di bawah pindaan skim itu dengan syarat ia tidak memberi kesan meningkatkan kadar hutang.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Menu Rakyat perlu berkualiti

Posted:

Menu Rakyat perlu berkualiti

Menu Rakyat perlu berkualiti


SEORANG pengusaha restoran, Aziz Md. Zain menunjukkan Menu Rakyat 1Malaysia di restorannya di Alor Setar.


KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan diminta memastikan mutu dan kualiti makanan yang ditawarkan di premis atau restoran yang menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia sentiasa berada pada tahap yang baik.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma'amor Osman berkata, walaupun harga yang ditawarkan murah namun, ia bukan alasan untuk pengusaha menyediakan makanan yang tidak berkualiti.

"Kita minta kementerian yang berkenaan memantau semua restoran yang terlibat dari segi perkhidmatan, mutu makanan dan pastikan kedai-kedai ini konsisten.

"Kita tidak mahu sekejap buka sekejap tutup," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai program Menu Rakyat 1Malaysia yang dilancarkan kerajaan pada 7 Julai lalu sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan beban rakyat ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menerusi inisiatif itu, harga sarapan pagi di Semenanjung ialah RM2 dan RM2.50 untuk Sabah, Sarawak serta Labuan manakala untuk makan tengah hari, harga di Semenanjung ialah RM4 dan RM5 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

Ma'amor juga mencadangkan agar pelepasan cukai diberi kepada restoran berkenaan sebagai menghargai peranan mereka dalam membantu kerajaan mengurangkan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Misteri kontena berat terungkai

Posted:

Misteri kontena berat terungkai

Misteri kontena berat terungkai

Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my


Toyota Hilux antara kenderaan yang banyak menjadi sasaran sindiket mencuri kenderaan antarabangsa untuk dieksport ke luar negara.


KUALA LUMPUR – Curiga dengan berat empat buah kontena yang diisytiharkan berisi peralatan pam air membawa kepada penemuan 12 buah trak pikap Toyota Hilux curi yang dalam proses dieksport ke luar negara.

Rahsia kegiatan jenayah itu terbongkar apabila polis membuat serbuan di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin lalu.

Ketika ditemui, kesemua 12 buah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM90,000 setiap sebuah itu dalam proses dieksport ke luar negara dipercayai untuk pasaran di Kingston, Jamaica.

Setiap sebuah kontena itu diisi dengan tiga buah kenderaan Toyota Hilux. Setiap kenderaan itu pula disusun atur dengan cara kenderaan itu digantung pada bumbung kontena.

Ia bertujuan menjimatkan ruang kontena bagi mengisi lebih banyak kenderaan curi untuk dieksport.

Difahamkan, perkara tersebut terbongkar selepas kakitangan yang bertugas di pelabuhan itu curiga dengan berat kandungan setiap kontena tersebut yang diisytihar berisi pam air.

Semua barangan itu disebut untuk dihantar ke Bangkok, Thailand.

Satu sumber berkata, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik setiap kenderaan tersebut tetapi tidak menolak kesemua kenderaan itu dicuri di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

"Sebelum dieksport setiap kenderaan itu dihantar ke sebuah gudang di Kampung Baru Subang untuk tujuan pembungkusan sebelum dimasukkan ke dalam kontena.

"Kita percaya kesemua Toyota Hilux itu akan diseludup ke negara-negara luar termasuk di Asia Barat," kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.

Namun Bangkok dipercayai dijadikan sebagai negara transit sebelum semua kenderaan curi itu dihantar ke negara-negara di Asia Barat.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Terengganu tetap waspada

Posted:

Terengganu tetap waspada

Terengganu tetap waspada

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my

MANAF muncul wira Terengganu apabila meledak dua gol untuk memusnahkan impian Selangor pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2011 di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.


"JANGAN terlalu selesa dengan situasi sekarang." Demikian peringatan jurulatih Terengganu, Irfan Bakti kepada anak-anak buahnya meskipun sudah memperoleh bekalan selesa selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2011, malam kelmarin.

Irfan secara sinis mengakui dua gol yang diperoleh di Stadium Shah Alam itu bukanlah modal besar sehingga membolehkan para pemainnya bermain sambil lewa pada aksi kedua di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

"Memang kami menang 2-0, tetapi permainan belum lagi berakhir. Masih ada 90 minit lagi yang perlu kami lalui dan dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku," katanya kepada Kosmo! semalam.

Justeru, kata pengendali kelahiran Kelantan itu, komitmen amat ditagih daripada kesemua pemain dalam misi mereka memburu tempat ke final Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

Jelasnya, kejayaan menumbangkan Kelantan pada suku akhir dan mendahului Selangor dengan kelebihan dua gol menjadi bukti terhadap kehebatan Terengganu ketika ini.

"Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpesta dan kami perlu mengelakkan diri daripada bersikap terlalu angkuh serta sombong. Kami perlu cekalkan hati kerana perjuangan kami masih belum selesai.

"Selangor akan hadir di Kuala Terengganu tanpa sebarang tekanan kerana mereka tahu kami memiliki kelebihan besar. Tetapi, situasi inilah yang membimbangkan saya kerana takut pemain akan leka sehingga membahayakan kedudukan pasukan," jelasnya.

Pada perlawanan di Stadium Shah Alam kelmarin, kesebelasan utama Terengganu sekali lagi menampilkan kelas tersendiri apabila mudah menjerat Selangor dengan dua gol menerusi sentuhan Abdul Manaf Mamat.

Kejayaan itu sekali gus mengulangi skrip yang sama di Kota Bharu minggu lalu apabila anak-anak buah Irfan mampu menyerap tekanan ribuan penyokong Gergasi Merah Kuning yang membanjiri stadium.

"Bukan mudah sebenarnya beraksi di Shah Alam kerana Selangor sama seperti Kelantan mempunyai kelompok penyokong yang sangat hebat. Namun, kami berjaya lepasi kesukaran ini dengan keputusan yang positif," katanya.

Mengulas perlawanan kelmarin, Irfan menjelaskan gol seawal minit pertama yang dijaringkan Manaf berjaya menaikkan semangat para pemain untuk terus bertahan mengekang asakan lawan.

Jelasnya, kehadiran Reshafiq Alwi dan Ahmad Nordin di bahagian tengah juga perlu diberikan pujian termasuk jentera tengah yang dikemudi Marzuki Yusof.

"Saya pilih Manaf sebagai pemain terbaik pada perlawanan semalam dan memberi kredit kepada Reshafiq dan Ahmad Nordin atas kesungguhan mereka membantu jentera tengah dan pertahanan.

"Inilah barisan terbaik saya dan pemain telah mempamerkan satu mutu permainan luar biasa sejak kebelakangan ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Amukan Hairuddin

Posted:

Amukan Hairuddin

Amukan Hairuddin

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


HAIRUDDIN (tengah) tampil dengan aksi yang menakjubkan pada aksi menentang T-Team di Kuala Terengganu malam kelmarin.


DUA tahun lalu, Hairuddin Omar dijulang bagaikan wira selepas membantu T-Team muncul juara Liga Perdana. Namun kelmarin, bekas penyerang kebangsaan itu seolah-olah dilabel sebagai 'musuh dalam selimut' oleh skuad kendalian Yunus Alif ekoran kejayaannya meledak dua gol ketika membantu Negeri Sembilan mencatat kemenangan 4-2 ke atas T-Team.

Kemenangan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu sekali gus menyaksikan pasukan pelawat membawa bekalan cukup selesa menjelang aksi kedua di Paroi pada 22 Oktober ini.

Bagi Yunus, dia tidak terkejut dengan kemampuan Hairuddin yang mudah merobek gawang pasukannya kerana menyedari pengalaman yang dimiliki pemain kelahiran Terengganu ketika bersama T-Team dua tahun lalu.

Malah katanya, dia sendiri telah memberi peringatan kepada anak-anak buahnya agar sentiasa mengawasi pergerakan penyerang kental itu sepanjang 90 minit permainan.

"Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan kami mudah dibolosi empat gol walaupun beraksi di gelanggang sendiri. Salah satunya adalah perasaan gentar yang ada pada pemain apabila beraksi di peringkat genting seperti ini.

"Namun, faktor utama pasti kepada Hairuddin kerana dia merupakan bekas pemain T-Team dan tahu kemampuan pasukan ini. Dalam masa sama, pemain saya pula terutamanya penjaga gol begitu gugup apabila melihat Hairuddin memegang bola.

"Sebab itulah Hairuddin mudah menjaringkan dua gol menerusi tandukan kerana tiada pemain yang mengawalnya," jelas Yunus kepada Kosmo!.

Pada aksi semalam, pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Shahurain Abu Samah pada minit kelima sebelum Indra Putra Mahyuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-11.

Namun, pengalaman luas Hairuddin membolehkannya meletakkan Negeri Sembilan kembali di hadapan minit ke-25, sebelum tuan rumah sekali lagi menyamankan kedudukan hasil jaringan Nor Farhan Mohammad.

Detik kemusnahan T-Team bagaimanapun hadir pada minit ke-42 apabila Hairuddin meledak gol peribadi keduanya, diikuti jaringan keempat oleh S. Kunalan pada minit ke-50.

Mengulas lanjut, Yunus kini mengakui tugas sukar terpaksa dilalui anak-anak buahnya di Paroi, Sabtu ini dalam misi menyekat kelebihan besar tuan rumah yang berjaya meledak empat gol pada aksi kelmarin.

Katanya, pemain T-Team tiada jalan lain untuk mara ke final Piala Malaysia musim ini selain bangkit dengan satu corak permainan menyerang habis-habisan.

"Laluan kami begitu sukar dan sejak dari awal lagi saya sudah katakan Negeri Sembilan bukanlah pasukan yang mudah ditewaskan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kok Chi: Malaysia tidak terjejas

Posted:

Kok Chi: Malaysia tidak terjejas

Kok Chi: Malaysia tidak terjejas

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

SETIAUSAHA Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi memberi jaminan kontinjen negara tidak akan menghadapi masalah kekurangan bilik penginapan pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Menurut Kok Chi, pihaknya telahpun menerima senarai penginapan daripada pihak penganjur berhubung penginapan buat atlet-atlet negara yang bakal bertanding pada temasya dwitahunan itu baik di Palembang mahupun di Jakarta.

"Setakat ini, tidak ada sebarang masalah yang dihadapi dan pihak penganjur pun telah menghantar senarai penginapan kepada kami (MOM) buat atlet-atlet Malaysia.

"Semuanya telah diatur mengikut perancangan dan tidak ada sebab untuk kita bimbang mengenai kekurangan bilik penginapan buat kontinjen negara," kata Kok Chi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Semalam, media di Indonesia melaporkan kekurangan bilik penginapan di perkampungan atlet dan bilik hotel terutamanya di Palembang mungkin memaksa Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA (Inasoc) untuk menggunakan kapal tentera Republik itu sebagai hotel terapung.

Sehingga kini, 15,900 atlet dan pegawai dari 11 negara telah mendaftar untuk beraksi pada temasya dwitahunan itu dan separuh daripada mereka akan berada di Palembang.

Bagaimanapun perkampungan atlet di Bandar Sukan Jakabaring, Palembang hanya boleh menampung kira-kira 2,000 peserta dan terdapat kira-kira 4,500 bilik hotel di bandar itu.

Kok Chi yang diminta mengulas mengenai perkara tersebut berkata: "Kami tidak dimaklumkan apa-apa mengenai masalah tersebut.

"Malah, senarai penginapan buat atlet-atlet Malaysia yang kami terima daripada pihak penganjur tidak ada pula menyebut yang atlet-atlet kita akan menginap dalam kapal tentera.

"Saya percaya, selaku penganjur, Indonesia tahu apa yang perlu mereka lakukan kerana mereka sendiri sudah berjanji bahawa segala persiapan bagi Sukan SEA kali ini akan siap sebelum ia bermula," ujar Kok Chi.

Dalam pada itu, Kok Chi turut memberitahu bahawa Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2011, Datuk Naim Mohamed bersama beberapa lagi pegawai daripada Majlis Sukan Negara (MSN) akan berlepas ke Indonesia, Sabtu ini bagi membuat tinjauan terhadap persiapan penganjur menjelang temasya yang bakal membuka tirainya 11 November ini.

"Apabila Datuk Naim bersama beberapa pegawai MSN sudah melakukan tinjauan itu nanti barulah kita akan tahu sejauh mana persiapan Indonesia bagi menganjurkan Sukan SEA kali ini dan selepas itu baharu kita boleh membuat sebarang keputusan sekiranya ada masalah-masalah yang timbul," tambah Kok Chi.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Burt's Bees sasar RM10,000

Posted:

Burt's Bees sasar RM10,000

Burt's Bees sasar RM10,000

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my

SEJAK mula beroperasi pada tahun 2000, Pulau Orang Utan kini menempatkan sejumlah 27 ekor haiwan istimewa berkenaan.


SUATU ketika dahulu, orang utan boleh ditemui dari selatan China sehingga ke kaki pergunungan Himalaya dan selatan kepulauan Jawa, Indonesia.

Hari ini, kepulauan Borneo dan Sumatera merupakan dua lokasi terakhir di bumi yang menempatkan spesies orang utan.

Semuanya berpunca daripada kerakusan manusia yang mengejar keuntungan dan membelakangkan etika alam sehingga memusnahkan habitat asalnya.

Di bawah Kesatuan Pemuliharaan Sedunia (IUCN), orang utan kini disenaraikan sebagai haiwan yang diancam kepupusan pada tahap kritikal. Sementara itu, Tabung Alam Sedunia (WWF) pula menganggarkan hanya terdapat kira-kira 3,000 ekor orang utan Borneo di seluruh dunia.

Dalam usaha menyokong pemuliharaan orang utan yang dilihat semakin terancam, Burt's Bees, jenama produk penjagaan diri secara semula jadi terkemuka di dunia melancarkan kempen mengumpul dana bagi Yayasan Pulau Orang Utan (OUIF), Bukit Merah Laketown Resort.

Pengarah Belmonde Corporation Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab memasarkan jenama itu di Malaysia, Susana Chung berkata, kempen itu diadakan sempena sambutan Hari Haiwan Sedunia baru-baru ini.

Melindungi hak asasi

Katanya, Burt's Bees sentiasa menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar dan persekitarannya sejajar dengan falsafahnya untuk melindungi hak asasi haiwan di seluruh dunia.

"Melalui moto Melindungi, Memulihara dan Mendidik, kami berharap dapat mengumpul dana secukupnya bagi meningkatkan kemudahan di Pulau Orang Utan.


SEORANG penjaga orang utan mendukung anak orang utan yang berusia dua tahun di Pulau Orang Utan Bukit Merah, Perak.


"Pada masa yang sama, ia dapat membantu penyelidikan dan pembangunan (R&D) pemuliharaan haiwan itu di sini," katanya.

Menyasarkan kutipan sehingga RM10,000 dalam kempen yang diadakan sepanjang bulan Oktober itu, Susana memberitahu pihaknya telah merangka pelbagai aktiviti bagi mengumpul dana berkenaan.

Antaranya, melalui penganjuran persembahan komedi bersama pelawak terkenal, Jason Leong dan Harith Iskandar yang bakal diadakan di PJ Live Arts pada 27 Oktober ini.

"Tiket-tiket berharga RM60 kini dijual di PJ Live Art Box Office. Sebanyak RM5 digunakan untuk yuran pemprosesan sementara RM55 lagi akan disumbangkan kepada OUIF," ujarnya.

Di samping itu, pihaknya turut bekerjasama dengana Rotaract Club of Port Klang Centennial Personnel untuk menganjurkan kempen kesedaran melalui aktiviti berjalan kaki pada penghujung Oktober nanti.

Katanya, orang ramai yang berminat boleh membeli tiket di semua cawangan Burt's Bees (kecuali Subang Parade dan Sephora) atau di Rotaract Club of Port Klang Centennial Personnel.

"Setiap penyertaan akan dikenakan bayaran RM30 dan RM20 daripadanya disumbangkan kepada OUIF.

"Peserta-peserta akan mendapat sijil penyertaan, kemeja-T dan produk Burt's Bees di samping berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah yang disediakan," jelasnya.

Beli sambil menderma

Pada masa yang sama, pelanggan-pelanggan juga berpeluang membeli sambil beramal apabila berkunjung seluruh cawangan Burt's Bees di seluruh negara sepanjang bulan ini.

"Caranya ialah dengan membeli baucar Burt's Bees bernilai RM10. Pelanggan boleh menukarkan baucar itu dengan produk-produk Burt's Bees yang mempunyai nilai yang sama.

"Bagi setiap penjualan baucar ini, sebanyak RM10 akan disumbangkan kepada OUIF," katanya.


PEMBELI produk Burt's Bees melalui baucar akan menyumbang kepada OUIF.


Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah OUIF, K. Mohanachandaran berkata, sejak beroperasi pada tahun 2000, Pulau Orang Utan kini menempatkan 27 ekor haiwan berkenaan.

"Objektif utama Pusat Orang Utan ialah membantu menjaga dan memulihkan anak orang utan yang ditinggalkan ibu, tersesat dan juga yang tercedera supaya ia boleh kembali ke habitat asal. Untuk mencapai matlamat ini, kami memberi mereka tempat tinggal, rawatan dan latihan yang sesuai," katanya.

Ujarnya, bagi tujuan itu pihaknya memerlukan sumbangan kerajaan dan syarikat-syarikat korporat dalam usaha memulihara orang utan di negara ini.

"Dana berterusan diperlukan untuk mengurus kos makanan, penjagaan dan R&D. Pada masa yang sama, kami memerlukan dana untuk meningkatkan kemudahan dan prasarana sedia ada bagi menarik lebih ramai pengunjung," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Penyelidik USM terus unggul

Posted:

Penyelidik USM terus unggul

Penyelidik USM terus unggul


YEE FUNG menunjukkan produk penyelidikannya yang berjaya menarik perhatian juri di Jepun.


BERMULA dengan idea kreatif, seorang penyelidik muda Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan serat makanan menerusi bahan sisa buangan pertanian yang dapat membantu dalam penjagaan kesihatan.

Hasil penyelidikan Wai Yee Fung, 23, dari Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) itu membuahkan satu penciptaan yang inovatif apabila mengungguli Anugerah Saintis Muda sempena Persidangan Asia keenam mengenai Bakteria Asid Laktik (ACLAB6) di Sapporo, Jepun baru-baru ini.

Pertandingan itu disertai kira-kira 3,000 peserta termasuk pembentang kertas kerja dari pelbagai disiplin ilmu termasuk bakterialogi, mikrobiologi gunaan, mikologi dan virologi.

Menurut Yee Fung yang merupakan pelajar tahun akhir PPTI, bahan itu dihasilkan dengan menggunakan sisa buangan pertanian seperti hampas beras, jagung, gandum dan sisa soya.

Katanya, penyelidikan itu berupaya memberi manfaat kepada penjagaan kesihatan usus, merendahkan tahap kolesterol, mengekalkan sistem penghadaman selain mencegah obesiti dan penyakit kencing manis.

"Serat daripada sisa pertanian melalui kaedah pengkapsulan nano ini menjadi bakteria baik dan dapat digunakan dalam produk penghasilan kesihatan dalam melindungi bakteria baik dalam badan.

"Ia tidak mempunyai rasa, namun boleh dijadikan bahan campuran seperti biskut dan mi bagi membantu penjagaan kesihatan selain dapat mengimbangkan kuantiti bateria dalam badan manusia," katanya kepada pemberita di USM baru-baru ini.

Kajian yang bermula pada tahun 2009 dengan geran penyelidikan USM berjumlah RM100,000 dan Dana Loreal of Women In Science sebanyak RM20,000.

Rangkul tiga emas

Selain itu, para penyelidik USM turut mempamerkan kecemerlangan mereka apabila berjaya merangkul tiga pingat emas dalam Pertandingan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2011 yang berlangsung di Kuala Lumpur September lalu.

Penyelidik berkenaan, Profesor Zainal Arifin Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral menyumbang emas melalui produk penyelidikan kategori Sains Gunaan.

Selain beliau, dua lagi pingat emas disumbangkan oleh Profesor Madya Kamal Zuhairi Zamli menerusi produk xGTWay dan Profesor Madya Cheong Kuan Yew dengan produknya, Chemical Vapor Growth of Nanowires.

Turut mengungguli malam anugerah tersebut ialah Profesor Madya Dr. Azizi Bahauddin menerusi rekaan tapak pameran yang berjaya merangkul Pempamer Terbaik. – ZAKI SALLEH

Full content generated by Get Full RSS.

Menambat selera anak

Posted:

Menambat selera anak

Menambat selera anak

SUSTAGEN memperkenalkan lima resipi yang bukan sahaja berkhasiat bahkan berwarna-warni dan lazat untuk hidangan si kecil.


TAHUKAH anda, tiga daripada empat ibu mengalami masalah dalam penyediaan makanan kepada anak-anak mereka yang mempunyai tabiat pemakanan yang tidak sihat? Kebanyakan kanak-kanak agak sukar untuk makan makanan berkhasiat yang disediakan ibu mereka terutamanya sayur-sayuran dan nasi. Mereka lebih gemar makan makanan yang diproses seperti makanan ringan, burger, nuget dan gula-gula.

Masalah itu dikhuatiri menyebabkan tumbesaran anak-anak terganggu dan membesar sebagai seorang kanak-kanak yang obes. Lantaran itu, Mead Johnson Nutrition yang juga pengeluar produk rangkaian Sustagen memperkenalkan lima resipi yang mudah, menyeronokkan dan berwarna-warni untuk menarik minat kanak-kanak yang cerewet terhadap pemakanan.

Dengan kerjasama ketua tukang masak yang dilantik oleh Sustagen, Chef Chin Pei Ling, beliau menyediakan lima resipi enak untuk diikuti oleh para ibu mengikut Piramid Makanan yang telah diluluskan serta diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Lima sajian itu ialah telur omelette berlapis bersama roti gandum, nasi mentega bersama dada ayam bakar dan salad bayam tomato, pasta bersos tomato klasik bersama ikan dan salad, puding vanilla Sustagen serta smoothie berperisa coklat Sustagen.

"Resipi-resipi dinamakan sebagai Appetit Support Nutrients ini mengandungi zat seperti tiamine, zink, vitamin B12, zat besi dan asid folik. Cara penyediaannya amat mudah dan sudah tentu setiap ibu boleh melakukannya dengan atau tanpa kemahiran memasak," kata Pei Ling.

Pengurus Besar Mead Johnson Nutrition, Roger Dallas berkata, kanak-kanak memerlukan pelbagai variasi makanan yang berkhasiat agar untuk tumbesaran tubuh dan minda mereka.

"Dengan tip memasak yang diberi kepada ibu bapa hari ini, anak anda pasti makan dengan penuh selera dan tidak lagi menolak makanan yang disaji," tambah Dallas semasa pelancaran Formulasi Terbaru Sustagen, Appetit Support Nutrients di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara tip tersebut termasuklah memasak dan menghidang makanan yang sesuai dengan cara yang betul, perhatikan minat anak terhadap penyediaan makanannya dan hidangkan dengan serta-merta. Selain itu cara memasak seperti mengukus, merebus, membakar dan memanggang adalah lebih baik berbanding menggoreng.

"Gunakan kreativiti anda jika anak anda menolak makanan yang dihidang, cuba masak dengan cara yang lain. Tambahkan pelbagai warna dalam makanannya dan buatkan makanan mengikut bentuk seperti animasi atau nombor yang disukainya.

"Jangan isi makanan terlalu penuh ke dalam pinggan, sebaliknya hidangkan sedikit demi sedikit. Ini akan menggalakkan anak anda meminta lebih banyak makanan lagi," kata Dallas.

Tegas beliau lagi, ibu bapa perlu memahami kualiti yang harus diutamakan bukannya kuantiti.

"Hidangkan makanan berkhasiat kepada anak-anak anda seperti pasta yang mengandungi nutrient untuk kanak-kanak dengan menambah brokoli, kentang, keju, telur, daging ayam, ikan, kacang buncis dan sebagainya.

"Daripada pengalaman kami, jika tabiat pemakanan yang tidak baik tidak diatasi dari awal, kanak-kanak mungkin tidak mendapat nutrien yang secukupnya dalam Piramid Makanan," kata Dallas ketika diminta mengulas mengenai corak pemakanan kanak-kanak hari ini.

Demonstrasi masakan resipi-resipi tersebut turut diadakan dan ibu bapa yang terpilih mengikuti program itu juga sama-sama mempelajari bagaimana teknik-teknik penyediaan makanan untuk anak-anak mereka.

Bagi salah seorang peserta, Noraizah Mohd. Jaafar, 32, yang mempunyai dua orang cahaya mata, Appetit Support Nutrients amat penting untuk tumbesaran anak-anak serta menguatkan memori mereka.

"Saya pernah mencuba pelbagai jenama susu formula untuk diberi sebagai makanan tambahan kepada anak saya, tetapi dengan Sustagen, mereka amat serasi dan ia mengandungi khasiat 100 peratus yang diperlukan oleh tubuh mereka," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Lapangan terbang angkasa pertama dunia dibuka

Posted:

Lapangan terbang angkasa pertama dunia dibuka

Lapangan terbang angkasa pertama dunia dibuka

KAPAL induk White Knight TWO yang membawa kapal angkasa SpaceShipTwo dipamerkan di hangar Lapangan Terbang Spaceport di New Mexico kelmarin.


UPHAM, Amerika Syarikat (AS) - Bilionair Britain, Richard Branson (gambar kecil) dan Gabenor New Mexico, Susana Martinez mengalu-alukan kehadiran beratus-ratus orang semasa perasmian Lapangan Terbang Angkasa Lepas pertama di AS dikenali sebagai Spaceport America kelmarin.

Pada majlis tersebut, orang ramai berpeluang menyaksikan penerbangan pesawat utama, White Knight TWO yang akan membawa pelancong mengelilingi orbit di angkasa lepas.

Ibu Branson, Eve turut hadir pada majlis tersebut.

Wanita itu berkata, dia sebelum ini tidak pernah terfikir bahawa orang awam akan dapat berkunjung ke angkasa lepas.

Mennurutnya, dia merancang untuk menaiki penerbangan White Knight TWO.

Syarikat penerbangan angkasa lepas milik Branson, Virgin Galactic dijadual memulakan penerbangan komersial angkasa lepas dari terminal ini yang dibina di sebuah gurun di Sierra.

Spaceport America akan menempatkan kapal angkasa lepas Virgin Galactic, pusat kawalan dan tempat persediaan untuk pelancong-pelancong angkasa lepas yang menempah penerbangan ke orbit bumi. - Agensi

Full content generated by Get Full RSS.

Obama guna bas untuk kempen

Posted:

Obama guna bas untuk kempen

Obama guna bas untuk kempen


SEBUAH bas yang membawa Barack Obama terletak dekat dengan pesawat rasmi Presiden Amerika Syarikat itu di Lapangan Terbang Asheville, Carolina Utara kelmarin. - Reuters


MILLERS CREEK, Carolina Utara - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memulakan kempen mengenai usaha memulihkan ekonomi dengan menggunakan sebuah bas melalui Carolina Utara dan Virginia selama tiga hari.

Rombongan Obama itu bermula semasa rang undang-undang pekerjaan bernilai AS$447 bilion (RM1.39 bilion) yang dianggap White House sebagai cara terbaik untuk menurunkan kadar pengangguran dibantah para wakil rakyat parti Republik yang menjadi pembangkang. Obama turut menyalahkan parti Republikan ekoran kesuraman ekonomi AS.

Para wakil rakyat Republikan telah menghalang satu undian terhadap rang undang-undang tersebut.

"Mungkin mereka (anggota-anggota Parti Republikan) tidak mengkaji undang-undang tersebut," kata Obama kepada orang ramai di sebuah sekolah tinggi di bandar ini.

"Mungkin mereka tidak mengetahui apa yang mereka tentang undian itu," tambah Obama.

Menurutnya, wakil-wakil rakyat Parti Republikan itu akan diberikan peluang sekali lagi untuk mengkaji undang-undang berkenaan.

Pada satu perhimpunan di Asheville, Carolina Utara, Obama menyatakan satu tinjauan pendapat menunjukkan 63 peratus rakyat AS menyokong rang undang-undang tersebut. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Video Beyoncesebelum hamil

Posted:

Video Beyoncesebelum hamil

Video Beyoncesebelum hamil


AKSI Beyonce dalam muzik video Love On Top di laman YouTube. - YouTube


LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Beyonce menunjukkan aksinya yang ligat dalam video muziknya yang terbaharu, Love On Top.

Dia yang kini hamil memakai jaket dan seluar tetapi hampir mendedahkan payu daranya. Beyonce juga menari dengan ligat dengan lima penyanyi sokongan dalam video tersebut.

Penyanyi tersebut juga memakai pelbagai jenis pakaian dalam persembahannya di dalam video berkenaan.

Sebelum ini, Beyonce yang sudah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Jay Z mencetuskan kontroversi mengenai kehamilannya.

Menurut beberapa laporan akhbar, dia dikatakan memakai kostum palsu untuk menunjukkannya sedang hamil. Spekulasi itu dibuat selepas perutnya itu kelihatan seperti palsu dalam program Sunday Night HD.

Namun seorang jurucakap Beyonce menafikan spekulasi itu dengan menyatakan ia dakwaan bodoh, mengarut dan salah.

Spekulasi itu tersebar selepas Beyonce mahu duduk dalam set program televisyen, Sunday Night HD.

Perutnya itu kelihatan mahu terjatuh semasa dia duduk. Terdapat juga spekulasi bahawa dia mungkin menyewa seorang ibu tumpang.

Dia memberitahu pengacara dalam program Sunday Night HD bahawa dia mungkin melahirkan anak pada Februari 2012 .- Agensi

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Suspek cubaan bunuh serah diri

Posted:

Suspek cubaan bunuh serah diri

Suspek cubaan bunuh serah diri

19/10/2011 5:46pm

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu lori yang diburu polis setelah cuba menembak seorang kontraktor di Kampung Cacar, Paka, Dungun Isnin lepas, ditahan setelah menyerah diri petang semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, lelaki berusia 55 tahun berasal dari kampung berkenaan menyerah diri di Balai Polis Paka kira-kira pukul 7 petang semalam.

"Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke rumahnya dan menunjukkan tempat senjata yang diguna semasa kejadian itu, disorok.

"Ekoran itu polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver .38 dan 16 peluru serta satu kelongsong peluru yang disorok dalam dua bekas di sebuah stor berhampiran rumahnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jamshah berkata, lelaki itu menyerah diri setelah gambarnya disiar dalam akhbar serta televisyen. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Judi siber: MB NS lancar perang

Posted:

Judi siber: MB NS lancar perang

Judi siber: MB NS lancar perang

19/10/2011 5:41pm

SEREMBAN - Bimbang dengan penularan judi siber pada kalangan umat Islam di negeri ini, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini berikrar melancarkan perang habis-habisan terhadap aktiviti itu.

Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada isteri yang datang ke pejabatnya, selepas suami mereka berhutang sehingga puluhan ribu ringgit dengan "ah long" termasuk ada yang kereta ditarik selain bayaran pinjaman rumah tertunggak berbulan-bulan.

"Ada kaki judi ini datang meminta bantuan kewangan dari kerajaan negeri selepas berhadapan dengan masalah. Kita memang ada dasar membantu rakyat yang benar-benar susah tetapi bukan susah yang mereka cari sendiri," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco, di sini.

Mohamad berkata, ada juga yang marah dengan kerajaan negeri apabila tidak membantu mereka. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Penganggur dituduh edar dadah

Posted:

Penganggur dituduh edar dadah

Penganggur dituduh edar dadah

19/10/2011 5:35pm

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 159.5 gram, minggu lepas.

A. Parameswaran,25, didakwa mengedar dadah tersebut di kawasan tangga Blok 4, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Jalan Lapangan Terbang Lama, Sg Besi, pukul 3.40 petang, 12 Oktober lepas.

Tertuduh berasal dari Matang, Perak didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B (2) akta yang sama membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan dicatatkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin yang menetapkan 19 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Farah tidak berlagak diva

Posted:

Farah tidak berlagak diva

Farah tidak berlagak diva

MUZIK asli Thailand beralun lembut, mendayu-dayu menghiasi ruang lobi Hotel The Imperial Mae Ping, Chiang Mai, Selatan Thailand. Biasan sinar suria melimpahi ruang lobi dan terpanah cantik pada wajah pengacara Rasa Halal Orient Astro Oasis, Farah Diana Anuar, 26, atau Farah Akademi Fantasia (AF).

Dari situ, penulis lihat wajah penyanyi lagu Antara Dua itu begitu gembira dan teruja bercerita mengenai kejutan yang diberi oleh suaminya, Johan Johari, 26, ketika dia menjalani penggambaran di Bangkok, Thailand.

Farah tidak menyangka suaminya sanggup datang ke Bangkok semata-mata untuk berjumpa dengannya. Biarpun kedatangan suami ke kota Bangkok hanya tiga hari iaitu 1 hingga 3 Oktober lalu, ternyata ia berbaloi buat pasangan itu melepaskan rindu. Maklumlah, baru dua bulan lebih berkahwin dan menyulam cinta sebagai suami isteri, Farah dan Johan terpaksa berjauhan hampir tiga minggu demi tuntutan kerja si isteri.

"Jika dulu sebelum kahwin saya hanya fikir pasal diri sendiri. Tetapi selepas berkahwin otak asyik melayang pada suami. Tetapi, bila fikir-fikirkan balik elok juga berjauhan sekejap dengan suami. Dari situ barulah saya fikir mengenai objektif perkahwinan," katanya kepada media yang mengikuti penggambaran program Rasa Halal Orient di Chiang Mai, Thailand, pada 5 hingga 8 Oktober lalu.

Biarpun berjauhan, Farah yang juga merupakan penyanyi dan pelakon itu tidak pernah putus mengirimkan khabar menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) setiap hari kepada Johan. Begitupun, Farah bersyukur kerana suami sangat memahami kesibukannya sebagai pengacara.

"Selama enam tahun bercinta lagi kami jarang berjumpa. Kadang-kadang dua atau tiga bulan sekali baru berjumpa. Disebabkan itu sehingga kini saya merasakan macam saya dan dia baru bercinta. Ada benda yang masih perlu disesuaikan lagi," katanya ketawa.

Tidak cerewet

Pandai menjaga tingkah laku sepanjang masa dan tidak membuatkan orang di sekelilingnya terasa hati dan menyampah, selain tidak cerewet soal makan jika dibawa ke mana sahaja oleh pihak produksi Rasa Halal Orient menjadi sebab mengapa Farah masih menjadi pilihan pengacara program travelog popular itu selama enam musim berturut-turut.


PENGGAMBARAN Rasa Halal Orient di Thailand disulami kegiatan bersama haiwan.


Saat diajukan soalan mengenai Farah kepada krew produksi ternyata sikapnya sangat disenangi oleh mereka. Salah seorang krew produksi, Nurjannah Mohd. Salleh yang juga bertanggungjawab bagi bahagian perolehan Astro Oasis memberitahu, walaupun Farah merupakan seorang selebriti dan juga pengacara program tersebut dia tidak pernah merungut mengenai makanan dan juga tempat makan yang dibawa oleh pihak produksi.

Tidak timbul langsung rungutan seperti tekak tidak boleh terima makanan negara lain selain makanan yang dijamukan tidak sedap daripada mulut comel Farah. Maka tidak hairanlah, selama pengacara berzodiak Capricorn itu berada dalam industri nyanyian mahupun di bidang pengacaraan tiada langsung suara sumbang dan kontroversi yang diperkatakan melainkan kisah cintanya bersama penyanyi Adam AF yang hanya bertahan hanya beberapa ketika sahaja.

"Alhamdulillah, saya masih diperlukan untuk mengacara program Rasa Halal Orient. Maklumlah sudah berkahwin. Saya ingat mereka akan cari pengganti lain," katanya yang memberitahu sering membuat rujukan demi memantapkan program yang dipikulnya.

Menjadikan program Travel & Living sebagai panduan pengacaraan, Farah mengaku tidak mahu nampak bodoh di hadapan penonton rancangan itu kerana tidak tahu apa kandungan yang terkandung dalam makanan yang dimakannya.

"Farah sayangkan program ini. Jadi, Farah akan fikirkan sesuatu yang lain untuk diterapkan dalam program ini.

"Untuk musim keenam ini, Farah ada berbincang dengan tenaga produksi untuk memasukkan istilah-istilah makanan. Farah juga akan pastikan apa bahan-bahan yang terkandung di dalam makanan yang Farah makan," katanya.

Fokus menyanyi

Sudah lama tidak menyanyi dan merakamkan lagu, kali terakhir Artis Harapan Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM 12) itu keluar dengan album Antara Dua pada tahun 2005 dan Fantasia pada tahun 2009.


FARAH tidak merancang keluarga. Dia menerima jika diberi rezeki hamil awal.


"Untuk album Fantasia ia tidak dapat dipasarkan walaupun Farah sudah rakamkan hampir 10 buah lagu dengan Aidit Alfian dan juga Ajai. Memang sangat kecewa tetapi nak buat macam mana ketika itu syarikat yang menguruskan kerjaya nyanyian Farah bermasalah," katanya yang rindu untuk aktif menyanyi semula.

Tidak mahu meninggalkan dunia nyanyian yang disukai, Farah akan kembali aktif menyanyi pada tahun depan. Untuk permulaan, dia baru sahaja merakamkan lagu ciptaan Edry Abdul Halim yang berjudul Warisan Hawa untuk program Ustazah Pilihan. Artis Baru Wanita Popular ABP 2005 itu juga memberitahu, masih menerima jemputan menyanyi pada hujung minggu jika mempunyai kelapangan.

Menyentuh mengenai kehidupan sebagai seorang isteri, kata Farah, dia kini sudah banyak mengenali bahan-bahan mentah dalam masakan. Jika diuji dengan jenis-jenis sayur Farah tiada masalah untuk membezakannya.

"Sejak mengacara program makanan, Farah dah tahu banyak benda mengenai masakan. Farah juga sudah cuba masak sambal udang untuk suami. Cuma lauk kegemarannya kari ikan masih belum Farah cuba buat," katanya terus terang.

Beralih soal anak pula, Farah memberitahu masih belum ada rezeki. Dia juga mengaku tidak merancang untuk mendapatkan anak.

"Farah ada dengar kalau orang rancang anak lepas itu susah nak dapat. Farah terima sahaja kalau dikurniakan anak pada bila-bila masa," katanya lagi.

Full content generated by Get Full RSS.

Hugh Jackman diundang Ratu

Posted:

Hugh Jackman diundang Ratu

Hugh Jackman diundang Ratu


HUGH JACKMAN


AKTOR Hugh Jackman boleh dikatakan antara rakyat Australia yang cukup bertuah apabila mereka mendapat undangan istimewa dari Ratu Elizabeth untuk hadir pada satu majlis jamuan yang diadakan di Buckingham Palace, London pada minggu lalu.

Majlis berkenaan dianjurkan sempena dengan lawatan Ratu Elizabeth ke Australia yang sehingga kini masih dianggap sebagai sebahagian dari wilayah jajahan Inggeris bermula pada Isnin lalu.

Oleh yang demikian, seramai 350 warga Australia telah diundang ke majlis tersebut. Malah, Jackman adalah antara selebriti kelahiran Australia yang berkesempatan untuk berbual dengan beliau sambil menyatakan masyarakat di negaranya itu berbesar hati dengan kunjungannya.

"Apa yang saya tahu rata-rata masyarakat di Australia memang menyukai Ratu Elizabeth. Bahkan, mereka yang menganggap Australia sekarang sebagai sebuah negara republik tetap menyimpan rasa hormat kepada beliau," ujarnya seperti yang dipetik melalui Contactmusic.

Seorang lagi pelakon yang turut mendapat undangan yang sama ke majlis itu adalah aktres Elle Macpherson.

Full content generated by Get Full RSS.

Perencah masakan Khadijah Ibrahim

Posted:

Perencah masakan Khadijah Ibrahim

Perencah masakan Khadijah Ibrahim

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
shreen.ismail@yahoo.com


KHADIJAH IBRAHIM


MENJADI kebiasaan artis atau selebriti di Malaysia, selain menjalani karier sebagai anak seni, mereka juga akan melakukan aktiviti sampingan seperti menjalankan perniagaan contohnya untuk menambah sumber rezeki ataupun kerana meminati bidang tersebut.

Bagi penyanyi veteran, Datuk Khadijah Ibrahim, minatnya terhadap masakan dan melancong telah memberinya insipirasi untuk menjalankan perniagaan yang berasaskan makanan namun mudah untuk dibawa.

Bermula dengan membuka restoran yang diberi nama Khadijah's Kitchen di Petaling Jaya, Selangor, Khadijah atau lebih mesra disapa Khaty, telah meluaskan perniagaannya dengan menghasilkan satu produk perencah masakan Melayu.

Ujar pelantun lagu Ku Pendam Sebuah Duka ini, jika kebiasaannya perencah sebegini diproses dalam bentuk pes, namun bagi produk terbaharu Khaty, ia dibuat di dalam bentuk serbuk yang mana setakat ini mempunyai empat perencah iaitu rendang tok, paceri nenas atau terung, laksa johor dan sambal ikan bilis.

"Biasanya apabila kita membeli perencah makanan segera ini, mereka akan hadir di dalam bentuk pes, tapi, produk Khadijah's Kitchen ini, kami hasilkan ia di dalam bentuk serbuk supaya ia senang dan ringan untuk dibawa ke mana sahaja.

"Serbuk ini juga boleh disimpan lama iaitu selama dua tahun. Harganya tidaklah terlalu mahal kerana sekotak hanya dijual dengan harga RM6. Selain itu, kami juga ada menghasilkan pek khas yang mempunyai kesemua resipi tersebut yang dijual dengan harga RM35 satu set," ujar Khaty yang turut memberitahu set khas itu mempunyai kotak yang boleh disimpan sebagai kenangan dan ia terhad kerana 1,000 set sahaja dikeluarkan.

Tambahnya, setakat ini produk tersebut hanya dijual di Restoran Khadijah's Kitchen dan belum lagi dilancarkan di Kuala Lumpur. Iai juga akan dilancarkan di Singapura kelak di dalam sebuah ekspo yang akan diadakan di sana pada November ini.


ANAK saudara Khaty, Sheikh Mohd. Firdaus Amri Sheikh Mohd. Puzi atau Firdaus mencuba nasib sebagai penyanyi.


Beri sokongan

Bicara Khaty lagi, majlis yang diadakan ini juga sebenarnya untuk menyokong anak saudaranya yang baru ingin menempa nama di dalam industri seni tempatan.

Anak kepada kakaknya yang bernama Datin Paduka Faridah Ibrahim, iaitu Sheikh Mohd. Firdaus Amri Sheikh Mohd. Puzi telah pun mengeluarkan mini album yang berjudul Firdaus yang kini menjadi artis sulung di bawah naungan Man Kidal Entertainment Sdn. Bhd.

Namun, timbul persoalan di mana mungkin pemuda berumur 18 tahun ini akan dibayangi atau dikatakan menumpang populariti ibu dan bapa saudaranya untuk menempah nama di dalam industri.

"Pada pendapat saya, tidak semestinya jika seseorang dilahirkan di dalam keluarga penghibur, maka mereka juga akan menjadi penghibur. Namun, bagi Firdaus, meminati bidang muzik adalah perkara yang sudah lama berada di dalam diri.

"Namun, ini dianggap rezeki kerana saya punyai keluarga yang sentiasa menyokong minat saya. Saya ingin berusaha sendiri dengan bakat yang ada dalam diri, tapi, tidak dinafikan bantuan dari keluarga juga memang diperlukan," ujar Firdaus yang masih lagi kelihatan malu dan sedikit gementar apabila diajukan persoalan.

Pelajar jurusan rekaan Audio dan Muzik di Universiti Limkokwing ini telah pun muncul dengan dua buah single iaitu Kamar Sepi dan Bila Cinta dan kini sedang giat menjalankan promosi bagi albumnya itu.

"Apa yang boleh dikatakan ialah saya akan cuba sebaik mungkin dan insya-Allah saya akan cuba bertahan di dalam bidang yang saya minati sejak kecil ini. Saya baru bermula, banyak lagi yang perlu saya tempuhi di masa akan datang kelak," akhiri anak muda yang mengambil Amy Search dan Man Kidal sendiri sebagai idolanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved