Ahad, 4 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Jangan putus asa selagi masih bernyawa

Posted:

Jangan putus asa selagi masih bernyawa

Jangan putus asa selagi masih bernyawa


MOHD. RASHID turut membantu para pekerjanya melaksanakan tugas ketika lapang.


KIRA-kira 15 tahun lalu, Mohd. Rashid Mohd. Yusof, 45, hidup serba mewah apabila dua jenis perniagaan yang diusahakannya di Selama, Perak memberi keuntungan bersih antara RM15,000 hingga RM25,000 sebulan.

Keuntungan kedai menjual dan membaiki motosikal serta rangkaian restoran membolehkan Mohd. Rashid memiliki kenderaan mewah, tinggal di rumah besar serta mampu membeli semua yang diingini dalam tempoh singkat.

Kehidupan serba mewah hasil dua perniagaan itu juga membolehkan beliau yang berusia 29 tahun ketika itu membeli tanah dan premis kedai untuk dijadikan aset.

Berada di puncak kejayaan dengan kedudukan kewangan kukuh, kehidupan Mohd. Rashid bersama isteri dan tiga anaknya dilimpahi kemewahan yang diingini semua orang.

Namun, sepanjang tahun terakhir berada di puncak kejayaan, kehidupan Mohd. Rashid perlahan-lahan berubah apabila kedua-dua perniagaannya berdepan dengan masalah.

"Akhirnya, semua perniagaan saya lingkup. Akaun berakhir dengan nilai nombor negatif yang sangat besar. Saya tidak menyalahkan sesiapa, ia akibat kesilapan sendiri kerana salah urus kewangan dan berbelanja tanpa had.

"Sesudah perniagaan ditutup dan kehilangan semua aset, saya masih menanggung jumlah hutang yang banyak sehingga tidak mampu membayar kesemuanya," kata Mohd. Rashid yang berasal dari Perak.

Lebih malang, keluarganya turut terkena tempias kegagalannya dalam perniagaan. Mohd. Rashid terpaksa berpisah secara sah demi kebaikan masa depan isterinya dan mereka memilih untuk membawa haluan masing-masing.

Akibat perpisahan itu, fikiran Mohd. Rashid semakin buntu kerana dibebani masalah hutang. Dia kemudian memencilkan diri di hujung kampung kerana berasa sudah hilang arah untuk meneruskan hidup.

"Tidak mudah untuk telan semua kegagalan yang kita hadapi akibat kesilapan sendiri. Lebih perit ialah kegagalan sekelip mata tanpa kita jangka. Paling parah, saya langsung tiada wang simpanan kerana semua dibelanjakan.

"Selama dua tahun saya hilang arah, tinggal seorang diri di hujung kampung dan kegagalan saya dalam perniagaan menyebabkan diri saya menjadi buah mulut orang ramai sehingga berasa malu untuk menghadapi masyarakat.

"Bukan sahaja sudah tidak ada duit dan pekerjaan, bahkan kawan-kawan semasa senang dahulu lesap dan tidak lagi bertanya khabar," kata beliau ketika ditemui di pinggir pekan Kajang, Selangor baru-baru ini.


SELAIN bijak menguruskan kewangan, kemahiran seperti membaiki motosikal berupaya menjadi titik mula kepada seseorang untuk bergelar usahawan.


Bangkit semula

Namun, ketika seorang diri mengharungi dugaan tersebut, semangatnya untuk meneruskan hidup terbit kembali selepas disapa seorang buruh warganegara Indonesia yang tinggal di kampungnya.

Lelaki Indonesia itu datang melawatnya di rumah dan memberikan sedikit wang kepada beliau supaya keluar mencari pekerjaan untuk memulakan hidup baharu.

"Buruh Indonesia itu beritahu, dia sudah lama kenal saya sejak sebelum jatuh miskin, tetapi saya tidak kenal dia. Dia beri semangat supaya saya teruskan hidup, cari kerja, kumpul wang dan berniaga semula.

"Saya anggap itu adalah pertolongan Allah yang datang dari arah tidak disangka-sangka. Saya kemudian berhijrah keluar dari kampung yang menjadi tempat persembunyian selama dua tahun," katanya.

Sejak itu, Mohd. Rashid mula merantau mencari pekerjaan dan pada masa sama mengkaji kesilapan menguruskan perniagaan serta mencari ruang membaiki diri.

Menurutnya, dia pernah melakukan dua pekerjaan semasa merantau sehingga tiada masa rehat. Siang kerja di bengkel dan malam jadi pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kajang.

Walaupun letih melakukan banyak pekerjaan, namun dia tidak kisah. Wang tidak penting baginya sebab memang sudah biasa tiada apa-apa sejak gagal dalam bisnes.

"Duit gaji itu saya guna sedikit untuk makan dan hantar nafkah kepada anak-anak. Paling penting ialah saya mesti tambah ilmu, belajar semula dari bawah dan latih diri untuk lebih berdisiplin," kata beliau yang hanya menamatkan persekolahan sehingga di tingkatan tiga.


PENULIS (kiri) ketika menemubual usahawan muda, Asrol yang berusaha bangkit semula selepas gagal dalam perniagaan pertama kira-kira 10 tahun lalu.


Kumpul kekayaan

Berkat kesabaran dan kesungguhan, Mohd. Rashid kini perlahan-lahan bangkit dan kembali memiliki bengkel motosikal sendiri di Kajang, malah sedang merancang untuk membuka semula restoran seperti 15 tahun lalu.

Kisah serupa dilalui Asrol Amidon, 34, yang pernah bergelar usahawan kira-kira sedekad lalu. Baginya, jatuh dan bangun dalam dunia perniagaan adalah lumrah tetapi tidak mustahil untuk bangkit semula.

Beliau pernah mengumpul kekayaan apabila berjaya membangunkan perniagaan khidmat penghantaran barang di Lembah Klang serta mempunyai kewangan yang kukuh untuk menggaji ramai pekerja.

Perniagaan yang diusahakan Asrol tidak hanya tertumpu di Lembah Klang, malah meluas sehingga ke Pulau Pinang, Johor dan Pahang.

Kekukuhan perniagaan yang dijalankan Asrol bagaimanapun tiba-tiba rebah akibat salah urus tadbir kewangan syarikat sebelum jatuh sehingga gagal diselamatkan.

Disebabkan tersilap percaturan dalam membuat keputusan syarikat, beberapa premis kedai yang dibeli secara ansuran akhirnya bertukar menjadi liabiliti kepada perniagaan yang diusahakannya .

"Memang benar rumah atau kedai itu boleh dijadikan aset, tetapi ia juga berisiko menjadi liabiliti sehingga menjerat diri apabila tidak mampu membayar pinjaman bank serta kos tanggungan lain seperti cukai berkaitan dan sebagainya.

"Walaupun pahit menerima kegagalan dalam perniagaan, tetapi pengalaman itu menjadi guru yang sangat rapat dengan saya. Tanpa kegagalan, kita tidak akan mampu mengenal kesilapan diri dan jadi lebih baik.

"Perkara yang perlu dilakukan selepas gagal dalam perniagaan ialah kesungguhan untuk bangkit semula. Memang kita sudah habis wang kerana bisnes gagal, tetapi pengalaman dan ilmu yang ada tidak pernah habis," katanya ketika ditemui.


WANG bukan lagi matlamat utama bagi usahawan yang berazam untuk bangkit semula selepas mengalami kegagalan.


Ujar Asrol, seseorang yang pernah gagal mampu bangkit semula jika benar-benar insaf untuk tidak mengulangi kesilapan, sama ada secara sengaja atau kebetulan.

Tambah Asrol, menyedari kepentingan ilmu dan sentiasa berusaha memperbaharui pengetahuan bisnes mengikut persekitaran semasa yang kerap berubah juga amat penting untuk bangkit semula selepas gagal.

Ketika ditanya mengenai faktor pendorong bangkit semula, Asrol menambah, keinginan untuk memastikan anaknya yang masih kecil dapat membesar dengan sempurna menjadikan beliau terus berusaha.

Selain itu, tambah Asrol, sokongan daripada ibu serta isteri juga memberi kekuatan untuk beliau menyusun strategi baharu dan pada masa sama melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.

"Kita tidak tahu bila kita akan mati. Jadi, sebelum perkara itu berlaku, kita tidak boleh putus asa dan terus usaha memperbaiki keadaan supaya isteri dan anak tidak hidup dalam kesusahan selepas kita mati.

"Ia juga untuk menggembirakan semula hati ibu, membahagiakan isteri dan memastikan anak dapat membesar dengan sempurna. Ibu dan isteri sentiasa mahu saya jadi lebih baik," ujar Asrol.

Asrol yang kini bekerja makan gaji dengan sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur juga sedang berusaha menambah pengetahuan dalam bidang bisnes dan perlahan-lahan menyelesaikan hutang.

"Saya juga sudah sedia untuk bangkit dan berniaga semula. Apabila semua yang perlu diselesaikan itu berjalan seperti yang dirancang, saya akan kembali melakukan pekerjaan yang saya suka iaitu berniaga sehingga berjaya.

"Kalau pernah jatuh (gagal), jangan mengalah, kaji kesilapan diri dan cepat-cepat cari jalan keluar untuk bangkit semula. Tidak ada jalan pintas untuk berjaya, semua pahit getir harus ditempuhi dengan sabar," kata Asrol.

Disko hiburan keluarga

Posted:

Disko hiburan keluarga

Disko hiburan keluarga


DISKO keluarga kini menjadi konsep hiburan baharu khususnya kepada ibu bapa yang gemar menghabiskan masa di kelab malam.


BUNYI bass, lampu berwarna-warni yang malap dan lantai khas untuk menari merupakan sebahagian daripada suasana bar yang dikunjungi oleh seorang kanak-kanak lelaki.

Dengan berpakaian adi wira Spider-Man, kanak-kanak berusia empat tahun itu kemudianya berjalan menuju ke arah bapanya untuk mengadu sesuatu, sebelum diberi batang plastik bercahaya.

Itulah sebahagian daripada suasana sebuah kelab malam yang sering dikunjungi muda-mudi untuk berhibur. Namun selepas berkeluarga mereka terpaksa membawa anak-anak bersama.

Kelihatan seorang lelaki, Paul Crawley, 34 sedang menari sambil mendukung bayinya yang bernama Camille.

Bar kotor yang yang terletak di selatan London itu biasanya menjadi tumpuan pada waktu malam, tetapi suasananya berbeza pada petang apabila bertukar umpama sebuah taman permainan.

Ibu-ibu dilihat menyusukan anak-anak mereka di atas sofa kulit sambil mendengar muzik slow rock, manakala kanak-kanak yang lebih tua melukis dan mewarna di atas meja yang disinari imej-imej bergerak.

Bar yang mempunyai Deejay profesional itu turut memutarkan muzik punk dengan kuat. Pemiliknya menegaskan, bunyi tersebut selamat untuk sistem pendengaran bayi.


PENGUNJUNG kelab malam sanggup membawa anak kecil ke disko untuk meluangkan masa santai.


Gelagat seorang kanak berusia lima tahun, Caelan mencuri perhatian apabila menari.

"Menari ikut rentak!," jerit ayahnya, Michael Edie, manakala seorang kanak-kanak perempuan yang berpakaian seperti puteri memandang dengan kagum.

Caelan telah mengikuti kelas tarian sejak berusia tiga tahun dan itu merupakan tempat terbaik untuknya mendapatkan latihan berbanding di rumah.

Edie, juruhebah di stesen radio Rinse FM, gembira melihat aksi anaknya itu dari tempat duduknya. "Anda tidak akan dapat melihat saya menari. Saya tidak sebagus mereka," katanya sambil ketawa.

Kanak-kanak dan orang dewasa berkongsi kegembiraan di dalam kelab malam itu. Bezanya, pengunjung dewasa berparti, malah ada yang mabuk lantas menggambarkan suasana parti sebenar.

Jody Bullough, 43, yang menetap di Burnley yang terletak di utara England misalnya datang bersama anak perempuan berumur enam tahun, Jasmine.

"Ia satu tempat yang kotor. Ia benar-benar kotor," kata Bullough sambil mengesat tangan Jasmine selepas bermain di atas lantai.

Lokasi tersebut telah mengimbau kembali kenangan Bullough ketika berparti. Katanya, berhibur di disko keluarga itu merupakan idea yang baik.

Rakannya Rebecca Smith, 40, seorang pegawai perunding yang berambut pendek pula sedang menari chicken dance bersama anak perempuanya.

Sebelum menari, dia bersama anaknya sempat melukis tattoo tiruan yang boleh dibasuh di luar bar.

"Ini normal. Saya juga mengambil sedikit minuman alkohol tetapi saya OK. Saya masih boleh berhibur," katanya sambil menghentikan langkah tariannya.

Disko keluarga dan hiburan merupakan fenomena biasa di London. Ramai pengunjung kelab-kelab yang terkenal seperti Ministry of Sound masih berseronok walaupun setelah berkeluarga.


IBU bapa kini selesa membawa bersama anak-anak mereka berhibur dan pulang sebelum lewat malam.


Berhibur

Syarikat yang mengajurkan parti tersebut, Big Fish Little Fish, berharap acara yang berlangsung selama dua hingga empat jam itu dapat menghiburkan para pengunjung sebelum mereka pulang ke rumah bersama anak untuk tidur.

"Kami tidak akan sesekali berhenti melakukan perkara yang diminati," kata Hannah Saunders, 45, individu yang menguruskan parti tersebut.

Saunders misalnya sering menghabiskan masa hujung minggunya di kelab-kelab dan berparti.

Setelah memiliki dua orang cahaya mata, beliau mendapati acara muzikal yang mesra keluarga masih kurang. Bagaimanapun dia tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan muzik.

"Anak saya suka mendengar lagu kegemaran saya yang mempunyai bunyi drum dan bass, jadi saya tahu mereka suka berada di sini," katanya.

Menjelang tengah malam, para ibu bapa yang puas berhibur beransur-ansur pulang sambil mendukung anak masing-masing meninggalkan kelab malam dengan bekas minuma plastik bersepah di atas meja. -AFP.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Ramai rakyat hidap sakit mental

Posted:

Ramai rakyat hidap sakit mental

Ramai rakyat hidap sakit mental

Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
farhana.mydin@kosmo.com.my

SESEORANG pesakit skizofrenia cenderung untuk mengalami halusinasi seperti mendengar suara-suara ghaib. - Gambar hiasan


BANGI – Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) mendedahkan bilangan rakyat negara ini yang menghidap penyakit mental yang serius kini berada pada tahap membimbangkan apabila secara purata tujuh orang daripada mereka didiagnos mengalami skizofrenia setiap hari.

Presiden MPA, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, ketika ini sebanyak 2,500 kes baharu dilaporkan pada setiap tahun tetapi beliau yakin masih ramai pesakit skizofrenia yang tidak dirujuk kepada doktor untuk mendapat rawatan sewajarnya.

"Dijangkakan menjelang 2020, penyakit mental akan menjadi penyakit kedua terbanyak dalam kalangan masyarakat di negara selepas penyakit jantung.

"Dianggarkan lebih 25,000 pesakit tersebut tidak mendapat rawatan dan jumlahnya dijangka terus meningkat setiap tahun berikutan skizofrenia merupakan pesakit mental yang paling banyak mendapat rawatan di wad serta rawatan pesakit luar di hospital," katanya.

Beliau ditemui pada Program Hari Kesedaran Skizofrenia 2014 yang dirasmikan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azman Abu Bakar di Bangi Gateway di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tiga ditembak mati, 8 diberkas

Posted:

Tiga ditembak mati, 8 diberkas

Tiga ditembak mati, 8 diberkas

Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my


BAAZLAN IBRAHIM
POLIS memeriksa kereta Toyota Vios dinaiki tiga lelaki yang ditembak mati di persimpangan Jalan Taman Desa Tebrau, Johor Bahru malam kelmarin.


JOHOR BAHRU – Tiga penjenayah berbahaya bersenjatakan pistol yang disyaki merancang untuk merompak Aeon Jusco Tebrau ditembak mati dalam kejadian di persimpangan Jalan Taman Desa Tebrau di sini malam kelmarin.

Susulan kejadian itu, sebanyak lapan lagi suspek lelaki daripada kumpulan sama yang dipercayai bergerak aktif menyamun sejak dua tahun lalu dicekup dalam tempoh 24 jam di dua lokasi di sekitar bandar raya ini.


MOHD. BAKRI (dua dari kiri) menunjukkan pistol dan barangan lain dirampas daripada kumpulan penjenayah pada sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru semalam.


Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd Zinin berkata, dalam kejadian pada pukul 10.15 malam itu, polis yang melakukan rondaan cegah jenayah ternampak sebuah kereta Toyota Vios warna perak dinaiki tiga lelaki berada dalam keadaan mencurigakan.

"Sebelum kejadian, polis cuba menahan kereta Toyota Vios itu dengan memperkenalkan diri sebagai polis.

"Namun secara tiba-tiba, penumpang hadapan kereta itu terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta polis dengan menggunakan sepucuk pistol," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.

Bagi mempertahankan diri, menurut beliau, polis membalas tembakan tersebut sehingga menyebabkan ketiga-tiga lelaki yang menaiki kereta itu mati.

"Dua lelaki itu mati berdekatan dengan kereta Toyota Vios manakala seorang suspek yang cedera parah mati dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail," kata beliau.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Gadis 15 tahun hilang di Selangor, jumpa di Perak

Posted:

Gadis 15 tahun hilang di Selangor, jumpa di Perak

Gadis 15 tahun hilang di Selangor, jumpa di Perak

SUNGAI BULOH - Selepas 10 hari hilang entah ke mana, seorang gadis berusia 15 tahun akhirnya ditemui dalam keadaan selamat dikurung di sebuah rumah di Taman Damai, Air Tawar, Perak pada Jumaat lalu.

Sebelum itu, mangsa yang berasal dari Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 9 pagi, 23 April lalu untuk ke kolejnya di Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang (gambar) berkata, khuatir dengan keselamatan remaja itu, keluarganya membuat laporan polis pada keesokan harinya di Balai Saujana Utama mengenai kehilangan mangsa.

"Beberapa hari selepas membuat laporan polis, bapa mangsa menerima satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta wang tebusan sebanyak RM10,000," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, siasatan polis kemudian membawa kepada penahanan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 28 tahun yang berada di dalam sebuah kereta di Hentian Rehat & Rawat Sungai Buloh, arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira pukul 11.30 malam Jumaat lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Gempa kuat di Kepulauan Fiji

Posted:

Gempa kuat di Kepulauan Fiji

Gempa kuat di Kepulauan Fiji

04/05/2014 9:44pm

KUALA LUMPUR - Gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter melanda bahagian selatan Kepulauan Fiji pada pukul 5.25 petang hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu terletak di

856 kilometer selatan Laucala, Fiji dan 7,269 kilometer tenggara Semporna di Sabah.

Bagaimanapun, jabatan itu menyatakan gempa itu tidak mendatangkan sebarang ancaman tsunami. - Bernama

Rumah Pengarah Jabatan USM dirompak tiga lelaki

Posted:

Rumah Pengarah Jabatan USM dirompak tiga lelaki

Rumah Pengarah Jabatan USM dirompak tiga lelaki

04/05/2014 9:41pm

GEORGE TOWN - Seorang pengarah di sebuah jabatan di Universiti Sains Malaysia (USM) kerugian lebih RM21,000 selepas rumah dua tingkatnya di Changkat Minden, Gelugor di sini, dirompak tiga lelaki dipercayai warga asing, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa yang berusia 52 tahun, isteri dan empat anaknya turut berdepan detik cemas selepas diikat kumpulan perompak tersebut sambil leher mereka diacu dengan parang.

Jurucakap polis berkata, mangsa dan anggota keluarganya sedang nyenyak tidur sebelum kesemua mereka dikejutkan dengan kehadiran suspek yang bersarung tangan dan menutup muka.

"Ketika itu, dua anak lelaki mangsa berada di aras bawah manakala mangsa bersama isteri serta dua anak perempuannya berada di dalam bilik berasingan di tingkat atas," katanya di sini, hari ini.

Anak lelaki mangsa berusia 17 dan 18 tahun manakala anak perempuannya berumur 10 tahun dan 5 tahun. - Bernama

Bakal pengantin maut dalam nahas jalan raya di Setiu

Posted:

Bakal pengantin maut dalam nahas jalan raya di Setiu

Bakal pengantin maut dalam nahas jalan raya di Setiu

04/05/2014 9:32pm

SETIU - Hasrat dua bakal pengantin untuk menziarahi kematian anggota keluarga di Kuala Krai, Kelantan tidak kesampaian selepas kereta yang mereka naiki bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 46 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Balai Polis Sungai Tong di sini hari ini.

Dalam insiden kira-kira 1.30 petang itu, Mohd. Hafizan Jusoh, 35,

dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu dan tunangnya, Rosnazira Mahmud, 33, dari Kuala Krai, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Abd. Rahman Raja Mohamad berkata, kereta mangsa jenis Proton Iswara dipercayai bertembung sebuah Toyota Fortuner yang dipandu seorang lelaki.

Beliau berkata, dua penumpang dalam kereta mangsa iaitu seorang remaja lelaki berusia 14 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, yang merupakan anak saudara Rosnazira, parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, pemandu pacuan empat roda yang dalam perjalanan dari Kelantan menuju Kemaman, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Setiu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


2,100 maut di kampung Afghanistan

Posted:

2,100 maut di kampung Afghanistan

2,100 maut di kampung Afghanistan

BEBERAPA orang menggali tanah untuk mencari mangsa-mangsa tanah runtuh.


KABUL - Beberapa pegawai Afghanistan semalam putus harapan untuk menemui mangsa-mangsa tanah runtuh yang masih hidup di Kampung Aab Bareek, wilayah Badakhshan, timur laut negara ini yang berlaku akibat hujan lebat kelmarin.

Menurut pegawai-pegawai itu, lebih 2,100 orang terbunuh manakala 4,000 lagi hilang tempat tinggal ekoran kejadian tersebut.

"Lebih 2,100 orang dari 300 buah keluarga terbunuh," kata seorang jurucakap wilayah itu, Naweed Forotan kepada agensi berita Reuters.

Sejumlah penduduk kampung dan anggota-anggota polis yang dilengkapi peralatan menggali menyambung kerja-kerja untuk mencari mangsa-mangsa tanah runtuh itu.

Namun, mereka kemudian menyedari, tiada harapan untuk menemui mangsa-mangsa yang selamat yang tertimbus di dalam tanah berlumpur sedalam 100 meter.

"Tujuh anggota keluarga saya berada di kampung itu, Emapat atau lebih daripada mereka terbunuh. Saya juga nyaris terkorban," kata seorang wanita tua.

Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, fokus utama kini adalah untuk membantu 4,000 penduduk yang hilang tempat tinggal.

menurut jurucakap PBB Ari Gaitanis, keperluan yang diperlukan penduduk itu ialah air, ubat-ubatan, makanan dan tempat perlindungan. - Agensi

Waris mahu MAS sediakan bilik hotel

Posted:

Waris mahu MAS sediakan bilik hotel

Waris mahu MAS sediakan bilik hotel


TIGA anggota polis mengawal sebuah bilik semasa mesyuarat diadakan antara perwakilan Malaysia dengan waris-waris penumpang pesawat MH370 di Hotel Lido, Beijing kelmarin.


BEIJING - Seorang waris penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu, Wen Wancheng meminta beberapa buah bilik hotel yang menempatkan sebahagian kecil saudara-mara mangsa pesawat itu di sini.

Beliau membuat permintaan itu selepas MAS meminta waris-waris penumpang tidak lagi menginap di tiga buah hotel di sini yang dibiayai syarikat penerbangan tersebut mulai kelmarin.

Menurut kenyataan MAS, kemudahan penginapan untuk waris penumpang MH370 di tiga hotel di sini, termasuk Hotel Lido, akan dihentikan mulai hari ini.

Menurut Wancheng, beberapa saudara-mara penumpang itu akan menjadi wakil bagi mendesak MAS memberikan jawapan berhubung kehilangan pesawat MH370.

"Meletakkan beberapa orang waris itu merupakan satu cara untuk mendesak MAS terus mengendalikan perkara itu (mencari pesawat MH370) kerana kami tidak percaya kepada MAS berdasarkan pengalaman lalu," katanya seperti disiarkan agensi berita dpa semalam.

Wancheng, 62, berkata, dia berharap kerajaan China akan meminta MAS serta pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia untuk membiayai sebuah pusat yang menempatkan wakil-wakil saudara-mara waris penumpang MH370 di sini.

Menurutnya, wakil-wakil saudara-mara itu akan memberikan tekanan kepada MAS supaya memberikan jawapan berhubung nasib dan kehilangan pesawat tersebut.

Wancheng bercakap menerusi telefon dari rumahnya di bandar Jinan, timur China, kira-kira 400 kilometer dari Hotel Lido, Rosedale dan Chunhuiyuan yang menyediakan lebih 100 bilik untuk waris-waris penumpang MH370 selepas pesawat tersebut hilang pada 8 Mac lalu.

"Saya percaya anak lelaki saya masih hidup. saya percaya MAS tahu di mana lokasi pesawat itu berada.

"Mereka (pihak MAS) membuat rumusan yang awal dengan menyatakan semua penumpang telah mati.

"Pihak MAS tidak dapat membuktikan berlaku satu kemalangan (pesawat MH370 terhempas)," kata Wancheng.

Anak Wancheng, Wen Yongsheng, 34, menaiki pesawat itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China sebelum ia hilang di Laut China Selatan.

Misi pencarian pesawat itu dilakukan di selatan Lautan Hindi kerana ia dipercayai terhempas di kawasan tersebut berdasarkan data satelit.

Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal. Sebanyak 153 daripada 227 penumpang itu adalah warga China. - Agensi

Warga AS sah dijangkiti MERS

Posted:

Warga AS sah dijangkiti MERS

Warga AS sah dijangkiti MERS

NEW YORK - Beberapa pegawai kesihatan kelmarin mengesahkan seorang warga Amerika Syarikat (AS) dijangkiti virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Warga AS itu jatuh sakit semasa dia menaiki sebuah pesawat ke Chicago di negara ini dari London.

Ia merupakan kes pertama MERS di AS.

Dia sebelum ini tiba di London selepas menaiki sebuah pesawat British Airways yang berlepas dari Riyadh, Arab Saudi.

Lelaki itu kemudian menaiki sebuah bas selepas tiba di Chicago ke sebuah lokasi yang tidak didedahkan di bandar Indiana.

Pada 27 April lalu, dia mengalami simptom-simptom demam, batuk dan kesukaran bernafas.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Indiana, lelaki itu pergi ke Jabatan Kecemasan di Hospital Community di Musnter, Indiana pada 28 April.

Dia kemudian dirawat di hospital tersebut.

Ekoran sejarah pengembaraannya ke Arab Saudi, beberapa pegawai kesihatan membuat ujian kesihatan terhadapnya.

Sampel-sampel ujian itu dihantar ke Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit yang kemudian mengesahkan dia menghidap MERS.

Dalam pada itu, pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi mengesahkan semalam, terdapat dua kematian baharu akibat MERS.

Ekoran kematian baharu itu, jumlah pesakit yang mati akibat MERS di Arab Saudi kini meningkat kepada 109 orang sejak September 2012.

Kematian baharu itu melibatkan seorang lelaki berusia 25 tahun di Jeddah dan seorang wanita berusia 69 tahun di Mekah. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Seksi Anzalna ada batasan

Posted:

Seksi Anzalna ada batasan

Seksi Anzalna ada batasan

MOLEK budi bahasanya sewaktu meminta kelonggaran agar gambar-gambar yang keterlaluan menampakkan paha gebunya tidak diterbitkan. Sedar ada sensitiviti yang perlu dijaga, permintaan Anzalna Nasir itu tidak sukar untuk diturutkan.

Sementelah, rona merah dan krim yang dipadankan sebagai busana fotografinya kali ini sudah cukup untuk menyerlahkan penampilan selebriti berusia 26 tahun itu.

"Saya cuma mahu menjaga hati. Mahu lebih berhati-hati. Saya minta maaf kerana tidak dapat menggayakannya seperti model-model di pentas peragaan.

"Sampai ke tahap ini, rasanya saya kena menjadi seorang yang peka dengan perasaan orang lain terutama ibu bapa saya," tertib butir penjelasan Anzalna sambil memuji busana yang disediakan pereka fesyen terkenal, Hazree Wahid untuk fotografi tempoh hari.

Minta diperincikan lagi simpulan kata menjaga hati tadi, Anzalna tidak bersetuju jika pendiriannya itu dikatakan berpunca daripada larangan sang kekasih, Hanif Zaki.

"Hanif belum jadi suami saya, hormat saya terhadapnya masih lagi dalam acuan teman lelaki dan teman wanita. Lainlah kalau dia suami saya.

"Saya sebenarnya menjadi semakin terkesan dengan pesanan daripada ibu bapa saya yang sekarang tinggal di London. Sebelum ini, semasa tinggal bersama, saya tak berapa nak endah sangat apa yang ibu bebelkan, tapi bila berjauhan, saya semakin faham.

"Saya mudah rasa bersalah bila tak pedulikan pesanan ibu. Saya juga takut menyesal pada kemudian hari, kalau terjadi apa-apa yang tak diingini.

"Lagipun sebagai anak, hidup akan dirahmati selagi pesanan ibu bapa jadi panduan," panjang lebar cerita anak kedua daripada lima beradik ini.

Akur dengan permintaan ibu bapa, Anzalna hanya mengikut kata hati. Walaupun tidak bertudung, tidak bermakna dia boleh mendedahkan segala-galanya tanpa sekatan.


ANZALNA NASIR mahu hiasi peribadi agar tidak menimbulkan perasaan kurang senang ibu bapanya yang berada jauh di London.


Jangan perlekeh

"Saya memang suka pakai dres ketat tapi asalkan masih di bawah paras lutut saya okey, lebih atas daripada paras itu, saya mula rasa seksi, tidak selesa dan hilang keyakinan diri," luahnya mengenai pilihan dalam berpenampilan.

Lenggok dan bicara Anzalna masih seperti dahulu, masih manja dan tidak sah jika tidak diakhiri dengan ketawa. Awal mengenalinya sewaktu baru memasuki tahun pertama bergelar artis, perjalanan yang dilaluinya sudah memasuki tahun keempat.

Cuba mengenali lebih dekat personaliti anak kelahiran Tasik Gelugor, Pulau Pinang ini, sengaja karakternya yang lemah-lembut itu dikaitkan dengan kemampuan dalam bidang lakonan.

Kata Anzalna, dia masih menyimpan impak drama bersiri Adam & Hawa. Watak penggoda itu seperti satu pencapaian yang belum dapat diatasi. Untuk pergi lebih jauh, dia harus mencari watak yang boleh menyerlahkan lakonannya.

"Misi saya, selain bekerja untuk cari duit, saya mahu lakonan saya diingati. Seringkali saya diberi watak baik sebab watak begitu yang selalunya jadi watak utama.

"Saya juga suka watak antagonis sebab boleh beri banyak ekspresi. Saya nampak lembut, tapi, kalau diberi pilihan, saya mahu watak-watak yang lasak, tegas dan menuntut tenaga dalaman macam watak psiko atau kurang upaya.

"Risau juga peminat bosan dengan watak baik dan kontrol ayu sahaja," kata peminat sukan lasak seperti memanjat tebing tinggi ini.

Selama menjalani karier lakonan bermula dari pentas pencarian bakat Dewi Remaja 2010, pemilik nama Nur Anzalna Md. Nasir juga sudah mengumpul secebis pengalaman yang cukup bermanfaat untuk hari muka.

"Rasanya selama empat tahun ini, sudah agak banyak pengalaman yang mematangkan saya. Tempoh ini juga mendewasakan saya.

Kahwin tahun depan

"Sebelum memasuki bidang seni, saya seorang yang pemalu dan susah nak bergaul dengan orang. Sekarang, walaupun orang kata saya lembik, nampak lembut, tapi apa sahaja perkara yang berlalu, saya boleh hadapi sendiri.

TIDAK mengamalkan sikap tertutup dalam soal hati, Anzalna mengakui mahu bernikah dengan kekasihnya, seorang jejaka bernama Hanif Zaki sekitar tahun depan.


"Katakan saja apa gosip mengenai saya, saya tidak cepat melatah. Saya boleh berfikir dahulu dan barulah beri respons. Tapi jika tuduhan itu menjatuhkan maruah saya, saya akan bersuara.

"Saya akan bersuara jika saya tidak bersalah. Macam mana pun saya harus jelaskan, apa juga kecaman itu saya tak akan lari, saya akan jawab kalau wartawan tanya.

"Saya selalu anggap wartawan macam kawan. Mereka buat kerja mereka saya buat kerja saya. Jadi setiap masalah akan dapat diselesaikan dengan baik," jelas Anzalna yang baru-baru ini dipanaskan dengan isu perang dingin bersama pelakon Izzue Islam di lokasi drama Aku Isterinya.

Tambahnya: "Dalam soal itu, bukan saya mahu memuji sesiapa, tapi hubungan saya dengan Hanif banyak menyelamatkan saya daripada gosip yang lebih teruk."

Seperti yang telah diketahui ramai, Anzalna yang sudah dimiliki hatinya itu tidak mahu menunggu lama untuk mengakhiri zaman bujang.

Perancangan untuk berkahwin sekitar tahun depan juga sudah kerap kali dikongsikan dengan peminat.

"Perancangan memang ada, keluarga saya dan Hanif juga tahu keseriusan kami. Harap perancangan kami berjalan lancar," katanya.

Seperkara lagi tentang Anzalna yang boleh dipuji, dia tidak gemar berkongsi gambar-gambar kemesraannya dengan Hanif walaupun kisah cinta mereka disenangi ramai.

"Sebenarnya Hanif yang menjaga perkara-perkara begitu. Kalau sudah keluar bersama tak perlu nak tayang gambar lebih-lebih, nanti orang muak. Dia banyak jaga saya terutama selepas saya berjauhan dengan ibu bapa," ujar Anzalna.

Ditanya apa kritikan sang kekasih yang paling mengesankan tentang lakonannya setakat ini, kata Anzalna, Hanif cuma memuji watak air mata yang dijayakannya.

"Hanif tahu saya jenis yang susah nak menangis, jadi dia terkejut bila tengok saya boleh menangis dengan cemerlang depan kamera. Mesti dia takut, nanti saya akan pura-pura menangis depannya pula," mengekek lagi ketawa Anzalna mengakhiri ceritanya.

Nafas Cahaya Misha, Firos

Posted:

Nafas Cahaya Misha, Firos

Nafas Cahaya Misha, Firos

SETELAH dua kali menunda tarikh pernikahan, Misha Omar dan Firos yang bertunang pada Februari 2012 kini selamat bergelar pasangan suami isteri.


NAFAS lega terlerai keluar dari sanubari penyanyi Misha Omar saat sempurna jejaka dari Subang Jaya, Selangor itu melafazkan akad. Bak lagu yang pernah dilantunnya, Nafas Cahaya, terasa seperti segala perit yang membungkam dan menyesak dada dilepaskan lantas diganti cahaya bahagia yang lama didamba.

Seri pengantin bersulam bersama pancaran lega dalam mata Misha yang berkaca. Ada air mata yang tertumpah dan ada sinar bening yang terbit di ruang mata wanita yang ayu berkerudung dalam persalinan putih rekaan pereka Saiful Baharim itu.

Kegembiraan jelas terlukis di wajahnya setelah mengharungi pelbagai ujian dan penantian. Jendela dan pintu tohmah yang selama ini terbuka luas bagai terkatup usai juruterbang, Firos Ezzwan Rossly sah belahan jiwanya pagi Jumaat lalu.

Selama ini, Misha galak ditohmah pernah berkahwin, berkahwin sembunyi-sembunyi dan diceraikan sebagai isteri ketiga usahawan automotif bergelar Datuk.

Berkali-kali juga perkahwinannya tertangguh sejak mengikat tali pertunangan dengan Firos pada 21 Februari 2012. Sebelum ini, penyanyi Angin Syurga itu pernah merancang untuk berkahwin pada September 2012, namun ditunda untuk memberi laluan kepada adik Firos yang turut memilih bulan perkahwinan yang sama.

Ketika itu, Firos juga berdepan komitmen untuk mengambil peperiksaan lesen juruterbang kanan bagi mengendalikan pesawat Airbus A330.

Perkara yang sama berulang kembali apabila majlis yang dirancang pada Februari lalu ditunda sekali lagi sebagai tanda penghormatan kerana ahli keluarga Misha masih bersedih dengan pemergian arwah ayahnya, Omar Ismail, 75, pada 30 November lalu.

Namun, semua itu belum cukup menutup kata nista apabila ada mulut-mulut jahat menuduh penundaan tarikh pernikahan Misha dan Firos juga digosipkan berpunca daripada kelewatan Misha mendapatkan surat perceraian perkahwinan daripada seorang usahawan di Kelantan.

Namun, di tingkat enam Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan, tempat berlangsung upacara ijab kabul oleh jurunikah Imam Mukim Chempaka, Ustaz Ahmad Khamil Mat itulah bukti dan keterangannya dalam pembelaan diri wanita itu akhirnya.

"Pada saya, inilah realitinya. Kadang-kadang kita tak perlu terus berdiri mempertahankan benda yang kita dah sekian lama pertahankan iaitu 'saya tak pernah berkahwin', saya dah letih, jadi kita balas dengan benda-benda yang nyata, yang tak boleh dijual beli.


SEBAGAI simbolik cinta sejati, Misha Omar tidak mahukan wang sebaliknya hanya seutas gelang emas sebagai mas kahwin. Dia juga tidak menerima sebarang wang hantaran.


"Kami lega sekali akhirnya. Alhamdulillah, inilah hari kemenangan kami dalam melalui pelbagai ujian," kata Misha selepas majlis akad nikahnya.

Sang suami juga nampaknya turut teguh di belakangnya.

"Saya menitiskan air mata sebab gembira kami berkahwin dan tertutuplah segala apa yang orang hendak cakap tentang isteri saya," ungkap Firos sebak dan pantas mencapai tangan Misha yang berada di sisinya lalu tangan isterinya itu dikucup syahdu.

Dalam majlis tersebut, Misha dinikahkan berwalikan abangnya, Mohd. Rose Omar dan sepasang gelang emas sebagai mas kahwin.

Pernikahan dihadiri ahli keluarga kedua-dua mempelai termasuk ibu Misha, Zainab Mat Nor dan ibu Firos, Asmah Kenin. Majlis yang diacarakan oleh rakan artis, Adibah Noor itu turut dihadiri Amy Mastura, Jaclyn Victor, Fara Fauzana dan Dina Nadzir.

Berkongsi perasaannya sebelum hendak ke pentas pernikahan, Misha mengakui perasaannya bercampur-baur dan debarannya begitu hebat.

"Rasanya nak naik membuat persembahan di pentas-pentas lain termasuklah di pentas-pentas besar pun tak rasa begini. Selain rasa debar, ada rasa sedih, sayu dan syukur. Rasa syukur akhirnya detik ini sampai juga dalam hidup saya," ujarnya.

Bercakap mengenai mas kahwinnya yang memadai sepasang gelang emas, Misha berkata, itulah simbolik cinta mereka.

"Saya berbesar hati suami memberikan saya ini, betul saya tak nak duit. Duit boleh habis, kalau beli barang, barang pun boleh hilang. Bagus juga dia bagi saya emas, nilai emas sentiasa ada, kalau jatuh pun tak lama.

"Jadi harapan saya cinta kami pun simboliknya begitu. Cinta kami setulen emas dan harap nilai kasih sayang kami akan bertambah mekar," kata penyanyi yang popularitinya memuncak melalui lagu Bunga-Bunga Cinta pada tahun 2003.

Kini, apa yang diharapkan oleh Misha dan Firos ialah rumah tangga yang terbina pada 2 Mei lalu itu kekal hingga ke akhir hayat.

"Mudahan-mudahan tarikh 2 Mei bersamaan 2 Rejab, yang jatuh pula pada hari Jumaat yang barakah itu memberi keberkatan kepada kami dan jodoh kami akan berkekalan hingga ke akhir hayat, ke alam syurga," ungkap Misha.

Semoga abadi Misha, Firos!

Kontroversi matangkan Amyra

Posted:

Kontroversi matangkan Amyra

Kontroversi matangkan Amyra

MASIH digelar pendatang baharu, Amyra cepat memanjat populariti. Dia yang hanya dikenali menerusi drama Ku Cinta Kau Seorang kini bergelar Duta Aura White.


AWAL kemunculannya, Amyra Rosli bukanlah satu nama yang sentiasa meniti di bibir ramai. Bagaimanapun, secara tiba-tiba namanya dikenali gara-gara kontroversi yang mengaitkan dia bersama pelakon terkenal Fasha Sandha. Fasha mendakwa Amyra mempunyai masalah disiplin ketika di lokasi penggambaran.

Sebelum itu, tunang Amyra, Dazrin Kamaruddin juga didakwa Fasha mempunyai masalah yang sama.

Biarpun perkara itu sudah berlalu, pelakon Ku Cinta Kau Seorang itu mengakui ia satu pengajaran buat dirinya sebagai pendatang baharu.

"Saya anggap isu sebegitu asam garam dalam dunia hiburan. Itu semua salah faham sahaja.

"Perkara tersebut sebenarnya banyak mengajar saya dan menjadikan saya semakin matang," tutur pemilik nama sebenar Nur Amira Izzati Rosli itu.

Menurut pelakon berumur 23 tahun itu, dia bersedia untuk bekerjasama dengan Fasha jika diberi peluang lagi.

"Tiada apa-apa pergaduhan pun antara kami. Saya belum lagi berkesempatan untuk berjumpa dengannya ekoran kekangan masa, tetapi saya ada menelefonnya untuk bercakap mengenai perkara itu," kongsinya.

Tambah Amyra, dia juga bersikap terbuka dan tidak kisah jika ada individu yang ingin memberikan teguran demi kebaikan bersama.

"Saya sendiri pun selalu ditegur keluarga. Jadi, tak salah kalau saya ditegur oleh seorang yang boleh dianggap kakak. Apatah lagi saya ini pendatang baharu," tuturnya.

Bercakap tentang perancangan hidup, Amyra mendedahkan bahawa dia sudah bersedia untuk bergelar isteri kepada Dazrin.

Kata Amyra, usia muda tidak menjadi penghalang buatnya untuk mendirikan rumah tangga.

"Umur bukan satu masalah besar. Ibu dan nenek saya dulu pun berkahwin muda," kongsinya.

Ketika ditebak soalan mengenai tarikh majlis perkahwinannya nanti, Amyra memberitahu, dia akan membuat pengumuman mengenai perkara itu apabila segala persiapan sudah dibuat.

"Saya akan umumkan nanti. Insya-Allah dalam tahun ini juga, paling lewat pun tahun hadapan. Tak boleh nak cakap sekarang sebab hal ini melibatkan pihak lelaki juga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran duta baharu Aura White Beauty di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Amyra yang dilantik sebagai duta baharu produk penjagaan kulit Aura White turut melahirkan rasa syukur dengan rezeki yang diterimanya.

"Sebenarnya sebelum saya terima pelawaan untuk menjadi duta ini, saya sudah berfikir dalam-dalam. Tidak semua perkara boleh diambil mudah untuk bersetuju menjadi jurucakap produk.

"Tapi saya fikir tak salah kalau saya cuba untuk menggalas tanggungjawab itu. Sebelum dilantik menjadi duta pun, memang saya sudah menjadi pengguna produk berkenaan. Sempatlah juga habis enam botol," katanya.

Selain Amyra, pelakon Natasha Hudson turut dilantik menjadi duta bagi rangkaian produk minuman kolagen Aura White Beauty.

Kedua-dua mereka menandatangani kontrak perjanjian sebagai duta Aura White Beauty selama setahun bermula 1 Mei 2014.

Pengumuman yang dibuat pengasas produk, Furyna Azmeer itu sekali gus menjawab segala teka-teki yang bermain selama ini mengenai individu yang bakal menggantikan duta Aura White terdahulu, pelakon Hanez Suraya.

Sejak Hanez dilanda kontroversi mengaitkan dirinya sebagai perampas suami orang, dia dikatakan bertindak mengundurkan diri daripada terus menjadi Duta Aura White.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Kesihatan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Kesihatan


Mati jika hidu bau makanan

Posted:

Mati jika hidu bau makanan

Mati jika hidu bau makanan

TIDAK seperti kanak-kanak lain yang bersekolah, Joshua terpaksa belajar dari rumah.


HANYA terhidu sedikit bau makanan yang dimasak, nyawa Joshua Koscinki boleh diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

Selain bau makanan, kanak-kanak lelaki itu turut alah kepada pelbagai jenis makanan seperti kekacang, daging dan makanan laut.

Malah, buah-buahan dan sayur-sayuran juga dikhuatiri boleh menyebabkan kematian Joshua.

Mahu atau tidak, itulah realiti kehidupan yang dilalui kanak-kanak yang berasal dari New York, Amerika Syarikat (AS) itu.

Manakan tidak, seawal usia 11 tahun, Joshua disahkan menghidap penyakit yang jarang ditemui iaitu sindrom eosinofilik esofagitis.

"Bagi kanak-kanak biasa, makanan seperti piza, biskut dan sandwic mentega kacang adalah normal tetapi tidak bagi Joshua. Dia akan mengalami alergi seperti muntah-muntah dan cirit-birit," kata bapanya, Brant seperti dipetik portal berita The Post and Courier.

Penyakit pelik yang dihidap Joshua itu turut mencetuskan serangan anafilaksis atau keradangan teruk sekiranya dia termakan apa-apa makanan pejal.

Tiub

"Kami hanya makan di restoran pada lewat malam selepas Joshua tidur atau jika terlalu lapar, kami terpaksa makan di dalam kereta.

"Ia amat sukar bagi kami kerana dia tidak boleh makan apa yang kami makan namun apa yang lebih sukar ialah berdepan risiko kehilangan Joshua," tambah Brant.

Menurut Brant, Joshua boleh menjamah makanan bayi sahaja setiap hari bagi mendapatkan tenaga.

Selain itu, untuk memastikan dia mendapat khasiat secukupnya, doktor membekalkan kanak-kanak itu dengan sejenis formula khas berbentuk cecair untuk meningkatkan nutrien dalam tubuh.

"Ia dimasukkan ke dalam tubuh menerusi tiub pada perutnya yang telah dilubangkan," katanya.

Menurut Pengarah Jabatan Gastroenterologi Pediatrik Hospital Kanak-Kanak Greenville, AS, Dr. Jonathan Markowitz, eosinofilik esofagitis merupakan sejenis penyakit jarang ditemui yang menyebabkan keradangan pada saluran esofagus.

Saluran makanan itu terletak di antara tekak dan perut.

Jelasnya, pesakit dengan penyakit eosinofilik esofagitis yang kronik memiliki jumlah eosinofil iaitu sejenis sel darah putih dalam sistem pencernaan yang lebih tinggi daripada paras normal.

"Alahan kepada makanan dikaitkan dengan peningkatan eosinofil pada bahagian esofagus sedangkan secara amnya, sel tersebut tidak terdapat pada bahagian tersebut," ujarnya.

MAKANAN formula khas dimasukkan menerusi tiub ke dalam perut Joshua.


Keradangan

Mengulas mengenai masalah Joshua, kanak-kanak itu mengalami alahan yang sangat serius terhadap hampir semua jenis makanan kecuali makanan bayi.

Lebih sukar, keadaan itu sudah berada pada tahap kronik dan mampu membawa maut akibat tindak balas imun pada tahap ekstem yang dipanggil anafilaksis.

Pakar Hematologi dari Jabatan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nurasyikin Yusof berkata, eosinofil mengandungi bahan kimia yang dikenali sebagai mediator dalam jumlah banyak yang menyebabkan keradangan serius.

Disebabkan keradangan itu, tisu manusia terutamanya pada bahagian esofagus lebih cepat rosak sekali gus mengakibatkan saluran makanan itu menjadi sempit.

"Pesakit akan mengalami kesukaran menelan makanan dan berasa pedih ulu hati. Sekiranya serius, makanan tidak dapat bergerak dengan baik sehinggakan saluran esofagus tersumbat," katanya.

Jelas Nurasyikin, penyakit itu disebabkan oleh reaksi tindak balas imun pada tahap ekstrem terhadap sesuatu bahan.

Reaksi ini akan menyebabkan sel imun seperti sel eosinofil pada esofagus menyerang sel mukosa peitelium iaitu sel yang melapisi saluran esofagus.

Lazimnya, serangan penyakit ini dikaitkan dengan golongan kanak-kanak tetapi ia juga menyerang golongan dewasa.

Setakat ini, terdapat beberapa kaedah rawatan digunakan untuk mengekang penyakit ini antaranya, mengenal pasti dan mengawal pengambilan bahan-bahan makanan yang menyebabkan alahan.

Tambahnya, penyakit itu boleh dikesan melalui kaedah endoskopi iaitu kamera diletakkan pada satu tiub yang kecil dan disalurkan ke dalam esofagus melalui mulut dan tekak.

"Kaedah ini dapat merakam gambar dan mengambil sampel tisu bagi tujuan analisis untuk mengesahkan diagnosis penyakit tersebut," ujarnya.

Mengantuk siang hari berisiko sakit jantung

Posted:

Mengantuk siang hari berisiko sakit jantung

Mengantuk siang hari berisiko sakit jantung


GANGGUAN tidur dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular.


SERING mengantuk pada waktu siang dikaitkan dengan gangguan kesihatan yang mampu meningkatkan risiko serangan jantung dan strok khususnya dalam kalangan wanita.

Menurut data penyelidikan, para penyelidik menghubungkan rasa mengantuk pada siang hari dengan penyakit kardiovaskular.

"Tidur yang kurang, bekerja secara syif dan berdengkur ketika tidur adalah antara punca seseorang mudah mengantuk pada waktu siang. Gangguan berkenaan menyumbang kepada risiko strok dan penyakit jantung," kata ketua penyelidik, James E. Gangwisch.

Penyelidikan tersebut dijalankan ke atas 84,000 wanita di Amerika Syarikat yang mengikuti Kajian Kesihatan Kejururawatan II antara tahun 2001 hingga 2009.

Dalam kajian itu, penyelidik memantau perkembangan responden termasuk penggunaan aspirin, penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi setiap dua tahun sekali sehingga tahun 2009.

Pada akhir ujian, seramai 500 wanita didiagnosis dengan penyakit jantung dan strok.

"Sebanyak 5 peratus wanita yang sering mengadu mengantuk berisiko lima kali ganda lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung berbanding mereka yang tidak berasa mengantuk.

"Mereka juga cenderung menjadi murung, mengalami gangguan tidur, menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan mempunyai paras kolesterol yang tinggi," jelas Gangwisch.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved