Khamis, 20 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Usaha gigih buahkan hasil

Posted:

Usaha gigih buahkan hasil

Usaha gigih buahkan hasil

Shahlan Tahir dan Mohd. Sallehuddin Sidek merupakan dua orang anak jati Kajang, Selangor yang berjaya mengharumkan negeri Selangor dan Malaysia di peringkat antarabangsa.


WALAUPUN sudah 36 tahun meninggalkan zaman kegemilangan, setiap kejayaan yang dikecapi oleh Shahlan Tahir, 68, masih terpahat di sudut hatinya.

Merupakan salah seorang atlet yang mengharumkan nama negara menerusi acara lompat kijang dalam kejohanan besar di Asia Tenggara, pelbagai pengalaman pahit dan manis telah ditempuhinya.

Kejayaan menggondol pingat emas acara lompat kijang dalam kejohanan Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) di Singapura pada tahun 1973 merupakan antara kenangan yang masih segar diingatannya.

"Sepanjang lapan tahun terlibat dalam sukan lompat kijang, saya amat berpuas hati kerana berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Ia merupakan hasil usaha saya sendiri dengan sokongan pelbagai pihak," ujar anak jati Kampung Sungai Kantan, Kajang, Selangor sebagai pembuka bicara.

Shahlan merupakan seorang atlet berkaliber dalam acara sukan lompat kijang di peringkat antarabangsa. Namanya sebaris dengan legenda acara tersebut iaitu Allahyarham Kamaruddin Maidin yang mengharumkan nama negara pada tahun 1960-an hingga 1970-an menerusi acara yang sama.

Aktif

Menelusuri perjalanan hidupnya, beliau mula aktif dalam acara sukan sejak menuntut di Kajang High School (KHS) yang telah ditukar nama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang pada tahun 1982. Shahlan merupakan antara individu yang mewakili sekolah dalam kebanyakan acara sukan yang dianjurkan.

"Lari 100 meter, lompat jauh dan lompat kijang merupakan acara sukan yang saya sertai dalam kejohanan Sukan Antara Daerah Hulu Langat. Saya pasti membawa pulang pingat dalam setiap acara yang dipertandingkan. Saya turut bermain bola sepak bersama kelab KHS iaitu Old Boys sebagai penjaga gol.

"Apabila tamat persekolahan, minat saya terhadap acara sukan terutama olahraga tidak pernah padam. Sewaktu bekerja di Telekom Malaysia pada tahun 1966, saya sering menyertai kejohanan olahraga anjuran Telekom Malaysia dalam acara lompat jauh dan lompat kijang," ujarnya yang terkenal dengan imej rambut panjang ketika zaman kegemilangannya.

Tiga tahun kemudian, Shahlan menjawat jawatan juruteknik di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu ketika berusia 23 tahun. Ketika berkhidmat bersama PKNS, beliau telah mewakili daerah Hulu Langat dalam kejohanan olahraga Persatuan Olahraga Amatur Selangor (AAA) dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU).

Melalui acara lompat kijang anjuran MAAU, langkahnya semakin jauh apabila berjaya memenangi tempat kedua sekali gus dipanggil menyertai latihan pemilihan skuad Malaysia untuk sukan SEAP 1971 di Kuala Lumpur.

AKSI Shahlan dalam acara lompat kijang di Kejohanan Sukan Penjawat Awam pada tahun 1974.


Membuahkan hasil

"Selepas sesi latihan selama beberapa bulan, saya terpilih untuk mewakili negara. Sebagai seorang pendatang baharu dalam arena olahraga negara, saya tidak meletakkan harapan tinggi semasa kejohanan berprestij itu. Usaha dan komitmen saya akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menggondol pingat gangsa dalam acara itu dengan menewaskan peserta dari negara lain.

"Walaupun sibuk dengan kegiatan olahraga, saya masih bekerja bersama PKNS. Melalui organisasi itu, saya mewakili Selangor dalam Kejohanan Sukan Anggota Kerajaan. Kejohanan tersebut merupakan persediaan terbaik sebelum menyertai pertandingan di luar negara," ujarnya yang kini merupakan kontraktor kelas F.

Kejayaan membawa pulang pingat emas menerusi acara lompat kijang dalam sukan SEAP di Singapura pada tahun 1973 merupakan penghargaan tertinggi sepanjang tujuh tahun kariernya sebagai atlet negara.

"Stesen televisyen Singapura tidak memaparkan acara penerimaan pingat ketika saya menaiki podium. Sekitar tahun 1970-an, salah satu peraturan dan undang-undang di Singapura ialah tidak boleh berambut panjang. Saya perlu mendapat permit berambut panjang untuk beraksi di sukan SEAP," ujarnya sambil ketawa.

Tanpa bimbingan jurulatih, Shahlan melakukan segala persediaan secara bersendirian. Beliau sering menjadikan Bukit Mewah, Kajang sebagai lokasi untuk sesi latihan kecergasan dan menguatkan otot kakinya.

Padang Majlis Daerah Hulu Langat yang kini ditukar nama Stadium Kajang merupakan lokasi latihan jika tiada persediaan dengan skuad negara. Pencapaian terbaik Shahlan dalam acara lompat kijang di peringkat antarabangsa ialah berjaya melakukan lompatan sejauh 15.14 meter.

Baginya, daerah Kajang ketika tahun 1960-an dan 1970-an banyak melahirkan atlet yang berkaliber sama ada untuk negeri Selangor atau mewakili negara. Penganjuran kejohanan olahraga oleh majlis daerah ketika itu memberi peluang kepada golongan muda untuk menyerlahkan bakat mereka.

Setelah berjaya memenangi pelbagai kejohanan olahraga tempatan dan antarabangsa, Shahlan terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan kariernya pada tahun 1977.


STADIUM Kajang merupakan lokasi kebanyakan atlet olahraga dan bola sepak daerah tersebut berlatih sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.


Kecederaan

Kecederaan lutut yang serius membuatkan dia terpaksa bersara daripada arena sukan olahraga ketika berusia 31 tahun. Walaupun tidak dapat menyumbangkan keringat untuk negara, Shahlan ditawarkan menjadi jurulatih olahraga Persatuan Olahraga Pemuda UMNO (POPU) di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris.

Selain Shahlan, Mohd. Sallehuddin Sidek, 59, merupakan seorang lagi anak jati Kampung Sungai Kantan, Kajang yang mengharumkan nama Selangor dan negara dalam acara sukan.

Walaupun berjaya dalam karier sebagai pemain bola sepak Selangor dan negara dari tahun 1970-an hingga lewat 1980-an, Mohd. Sallehuddin tetap merendah diri.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu merupakan salah seorang pemain yang pernah bermain dalam pasukan Selangor bersama Allahyarham Mokhtar Dahari pada tahun 1982 hingga 1988.

Bercerita mengenai latar belakang kehidupannya, beliau mula mewakili negeri dalam kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Selangor pada usia 17 tahun ketika menuntut di KHS.

Beliau juga mendapat pendedahan awal tentang arena bola sepak tempatan sejak kecil kerana sering mengikut ayahnya, Allahyarham Mohd. Sidek Abdul Latif yang merupakan Pegawai Daerah Kuala Lumpur ke Stadium Merdeka untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

Ayahnya juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Ia memberi peluang kepadanya untuk menyaksikan perlawanan yang membabitkan Selangor secara percuma.

"Ketika itu, saya berpeluang menyaksikan ramai legenda Selangor seperti Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Chow Kwai Lam, Author Koh dan M. Chandran," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Kampung Sungai Kantan, Kajang baru-baru ini.


MOHD. SALLEHUDDIN menunjukkan dua helai baju yang dipakainya ketika beraksi bersama skuad Selangor dan kebangsaan.


Kajang Star

Mohd. Sallehuddin memberitahu, setiap daerah di Selangor juga aktif menganjurkan liga bola sepak sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. Beliau juga merupakan salah seorang pemain yang mewakili pasukan Kajang Star ketika itu.

Tamat persekolahan, beliau mendapat tawaran kerja sebagai kerani di United Malayan Banking Corporation (UMBC). Bank berkenaan kini tidak beroperasi lagi.

"Liga bola sepak Malaysia masih berada di tahap semi-profesional sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. Setiap pemain bola sepak negeri juga akan bekerja makan gaji dengan syarikat tertentu. Ketika itu, saya juga menyertai pasukan bola sepak UMBC dalam Liga Premier Selangor. Pada masa yang sama, saya juga bermain untuk pasukan Selangor.

"Saya dan seorang rakan baik yang juga dari Kajang, Osnan Osman turut dipilih oleh Allahyarham Datuk Seri Harun untuk mewakili pasukan UMNO Selangor ketika itu. Saya juga dipanggil untuk menyertai skuad negeri Selangor ketika bersama pasukan UMNO," ujar pemain posisi penyerang kanan dan tengah itu.

Walaupun kekangan kerjaya dan karier bola sepak di UMBC, FAS tetap memanggil beliau untuk menyertai skuad Selangor dalam liga atau perlawanan persahabatan.

Menurutnya, menyertai pasukan kebangsaan bawah 21 tahun merupakan satu pengalaman berharga buatnya. Pasukan kebangsaan ketika itu dipimpin oleh Allahyarham Ghani Minhat.

"Sepanjang lapan tahun bersama pasukan Selangor, banyak pengalaman yang telah dikutip. Ketika itu, FAS amat mementingkan pemain yang berbakat dan berkualiti untuk menyertai pasukan negeri. Saya merupakan antara 25 orang daripada ratusan pemain yang terpilih.

"Pada tahun 1980-an, Stadium Merdeka merupakan padang keramat bagi Selangor. Kira-kira 40,000 penonton hadir menyaksikan perlawanan yang membabitkan pasukan Selangor," jelasnya yang kini mengusahakan syarikat kontraktor, Shahbaz Enterprise bersama isterinya.

Beliau bersara daripada arena bola sepak pada tahun 1989 ketika berusia 35 tahun kerana ingin menumpukan perhatian kepada kerjayanya di UMBC.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Pakar IT India dakwa temui MH370 dalam imej satelit

Posted:

Pakar IT India dakwa temui MH370 dalam imej satelit

Pakar IT India dakwa temui MH370 dalam imej satelit

IMEJ satelit DigitalGlobe yang menunjukkan sebuah pesawat dipercayai MH370 terbang di Kepulauan Andaman pada 8 Mac lalu.


NEW DELHI - Seorang penganalisis teknologi maklumat (IT) di India menemui imej satelit menunjukkan sebuah pesawat besar terbang rendah di Kepulauan Andaman pada 8 Mac, hari yang sama sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dilaporkan hilang.

Akhbar The Hindu melaporkan, penganalisis IT itu, Anoop Madhav Yeggina, 29, percaya imej tersebut ialah pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China.

Pakar IT itu ialah antara beribu-ribu orang dari seluruh dunia yang melibatkan diri dalam projek 'crowdsourcing' iaitu khidmat luar kumpulan yang berusaha mengesan pesawat berkenaan yang membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Khidmat luar kumpulan ini merujuk kepada usaha mendapatkan maklumat atau input bagi sesuatu tugas atau projek dengan menyenaraikan perkhidmatan sejumlah individu, sama ada dibayar atau tidak, biasanya melalui Internet.

Kapal terbang jenis Boeing 777-200 itu hilang selepas dipercayai melencong dari laluan asal dan menuju ke Lautan Hindi.

The Hindu melaporkan bahawa Anoop telah meneliti sejumlah imej dari DigitalGlobe Satellite QB02 sejak beberapa hari lalu sehingga beliau terjumpa imej yang benar-benar membuatkannya terkejut.

Anoop berkata, dia yakin imej tersebut adalah pesawat MH370 yang hilang kerana pesawat itu terbang sangat rendah di satu kawasan hutan di Pulau Selatan Andaman berhampiran Laluan Duncan.

Katanya, kawasan itu juga sangat dekat dengan sebuah lapangan terbang di Pulau Andaman.

"Lapangan terbang ini hanya digunakan oleh tentera udara India dan pesawat awam tidak dibenarkan melalui kawasan ini.

"Sekiranya dilihat dengan teliti, pesawat ini terbang sangat rendah dan hampir dengan pokok yang menunjukkan juruterbang kapal terbang ini cuba mengelak daripada dikesan radar.

"Apa yang paling penting saiz pesawat dan warna kapal terbang ini hampir sama dengan pesawat yang hilang tersebut," katanya.

Lapor akhbar itu lagi, Anoop juga berdoa semua penumpang pesawat berkenaan terselamat. - Bernama

Bangkai kambing jadi aktiviti sukan

Posted:

Bangkai kambing jadi aktiviti sukan

Bangkai kambing jadi aktiviti sukan


DUA orang pemain berebut untuk mendapatkan bangkai kambing dalam sukan tradisi Kok-boru.


BISHKEK, Kyrgyzstan - Sekumpulan penduduk menyertai pertandingan merebut bangkai seekor kambing biri-biri yang dijadikan sebagai bola untuk mendapatkan pungutan mata di sini kelmarin.

Pertandingan yang disertai dua kumpulan yang masing-masing memiliki 10 orang pemain akan menunggang kuda dan mengejar pihak lawan untuk mendapatkan bangkai kambing biri-biri itu.

Namun, hanya empat orang pemain sahaja dibenarkan untuk berada di gelanggang dan setiap pemain memerlukan pengalaman selain kecekapan serta latihan yang cukup untuk menyertainya.

Menurut lagenda, pertandingan yang dikenali sebagai Kok-boru itu dijadikan penentu bagi memutuskan keputusan pemilik sesebuah kampung yang dijumpai oleh beberapa pemburu nomad.

Ia juga diadakan seperti satu sambutan perayaan tradisional, Navruz di mana penduduk tempatan perlu menunjukkan kekuatan dan semangat mereka.

Sukan itu menjadi semakin meluas ke beberapa negara yang lain termasuk Kazakhstan dan Uzbekistan manakala di Afghanistan sukan tersebut dikenali sebagai Buzkashi. - Agensi

Crimea usir perunding damai

Posted:

Crimea usir perunding damai

Crimea usir perunding damai


BEBERAPA militia Crimea bergelut dengan askar Ukraine di luar ibu pejabat Tentera Laut Ukraine di bandar pelabuhan Sevastopol semalam.


SEVASTOPOL - Pihak berkuasa di Crimea enggan membenarkan Menteri Pertahanan Ukraine dan seorang pegawai lain untuk memasuki wilayah berkenaan semalam.

Kedua-duanya menuju ke Crimea untuk cuba meredakan ketegangan antara wilayah berkenaan dengan Ukraine.

"Mereka tidak dialukan di Crimea," kata Perdana Menteri Crimea, Sergei Aksyonov yang dipetik agensi berita Interfax.

Dalam pada itu, beberapa ratus anggota militia pro-Rusia menyerbu dan menawan ibu pejabat tentera laut Ukraine di sini semalam tanpa menerima sebarang tentangan.

Bandar raya itu juga menempatkan pelabuhan Armada Laut Hitam Rusia manakala berpuluh-puluh ribu askar Rusia kini mengawal Crimea.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas konfrontasi antara askar Ukraine dan militia pro-Rusia yang menyebabkan dua orang terbunuh.

Dalam perkembangan berasingan, komander Tentera Laut Ukraine, Sergei Gaiduk kini ditahan pihak berkuasa Crimea untuk disoal siasat sekali gus meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.

Tentera Ukraine yang kecil bilangannya di Crimea kini semakin tertekan sejak wilayah berkenaan menyertai Rusia kelmarin.

Sementara itu, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi jaminan kepada pemimpin Lithuania dan Latvia bahawa AS akan mempertahankan mana-mana anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) jika negara berkenaan diserang.

Jaminan tersebut diberikan ketika Rusia mengambil Crimea di Ukraine menjadi sebahagian wilayahnya.

Lithuania dan Latvia merupakan anggota NATO. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


RAAF gagal kesan serpihan di Lautan Hindi

Posted:

RAAF gagal kesan serpihan di Lautan Hindi

RAAF gagal kesan serpihan di Lautan Hindi

20/03/2014 9:48pm

KUALA LUMPUR - Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) melaporkan cuaca buruk menyebabkan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berdepan masalah mengesan objek yang dicerap satelit di selatan Lautan Hindi yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia yang hilang.

Dalam tweetnya, AMSA menyatakan kepulan awan dan hujan mengehadkan jarak penglihatan anak kapal pesawat P-3 Orion RAAF dalam usaha mencari objek itu yang dicerap satelit kira-kira 2,500km dari barat daya bandar raya Perth di Australia.

Hari ini, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata, imej satelit itu mencerap dua objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.

Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 239 orang, berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac lepas dan hilang sejak itu yang kini masuk hari ke-13.

Pesawat itu dicari di Laut China Selatan namun kawasan pencarian diperluaskan dengan merangkumi sebahagian besar kawasan barat Malaysia termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dipercayai melencong daripada laluan asal penerbangannya setelah seseorang secara sengaja mematikan sistem komunikasi pesawat dan pesawat itu terbang untuk beberapa jam selepas itu.

Pencarian kini ditumpukan ke dua koridor iaitu koridor utara yang merangkumi Kazakhstan, Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. - Bernama

Suzuki Assemblers lancar empat model motosikal berkuasa tinggi

Posted:

Suzuki Assemblers lancar empat model motosikal berkuasa tinggi

Suzuki Assemblers lancar empat model motosikal berkuasa tinggi

20/03/2014 8:08pm

KUALA LUMPUR - Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. hari ini melancarkan empat model motosikal berkuasa tinggi baharu untuk pasaran tempatan di Hard Rock Cafe, petang tadi.

Empat model itu ialah Hayabusa GSX1300R, GSX1250FA, GSX-R1000 dan V-Strom 1000.

Keempat-empat model itu dijual dengan harga di antara RM102,697 sehingga RM75,958. - KOSMO!

Pengawal keselamatan didakwa bunuh isteri warga Indonesia

Posted:

Pengawal keselamatan didakwa bunuh isteri warga Indonesia

Pengawal keselamatan didakwa bunuh isteri warga Indonesia

20/03/2014 7:45pm

SHAH ALAM - Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh isterinya, seorang rakyat Indonesia, di sebuah flat di Seksyen 7 di sini minggu lepas.

M. Raman, 46, didakwa membunuh Rasiyah Tawil, 44, di 4-11, Blok 53, Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Jalan Plumbum 7/100, Seksyen 7, antara pukul 4.30 pagi dan 6 pagi, 13 Mac lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Ellyana Razali menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima laporan bedah siasat. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kini lebih selesa bertiga

Posted:

Kini lebih selesa bertiga

Kini lebih selesa bertiga

PENGALAMAN yang dilalui oleh Achey serta kumpulan Bocik yang dianggotai Fad dan Abam ketika berkecimpung dalam program realiti berbentuk komedi bukanlah sesuatu yang baharu.

Bagaimanapun, nasib dilihat menyebelahi mereka setelah menyertai program Bintang Mencari Bintang (BMB) musim pertama terbitan TV3 pada tahun lalu. Achey yang merupakan anak didik Harun Salim Bachik muncul juara, manakala Bocik yang mendapat bimbingan Afdlin Shauki pula dinobatkan sebagai naib juara.

Ternyata penyertaan Achey dan Bocik dalam pertandingan komedi tidak terhenti setakat itu sahaja. Selepas dikenali menerusi BMB, mereka terpilih pula untuk bertanding dalam Maharaja Lawak Mega (MLM) 2013 dan membentuk kumpulan Bocey.

Biarpun baru kali pertama bergandingan bersama-sama, kemunculan mereka dalam pertandingan tersebut telah membuahkan hasil sehingga muncul pemenang tempat ketiga setelah tewas kepada kumpulan Sepahtu dan Shiro.

Berkesempatan bertemu dengan Bocey semasa majlis pelancaran program BMB musim kedua yang berlangsung di SACC Mall, Shah Alam, Selangor minggu lalu, ketiga-tiganya menceritakan tentang perancangan masing-masing.

Menurut Achey, dia sama sekali tidak menyangka bahawa keputusan yang dibuat untuk bergabung dengan kumpulan Bocik memberikan impak tersendiri serta mampu menarik perhatian peminat.

Ujarnya, memandangkan sebelum ini dia bergerak secara solo dalam program BMB, sudah tentu masa yang lebih banyak diperlukan bagi mereka mendapatkan keserasian apabila beraksi secara berkumpulan.

"Hubungan saya dengan Fad dan Abam sudah mula akrab sejak kami menyertai BMB lagi. Meskipun saling bersaing, tetapi kami selalu lepak bersama serta berkongsi idea dan pandangan.

"Kemudian saya juga pernah memasang niat dan merancang untuk bergabung dengan mereka. Apabila saya menyatakan perkara tersebut kepada Fad dan Abam, tidak sangka pula mereka turut mempunyai keinginan yang sama," ujar pemilik nama sebenar Mohd. Nasir Hamza itu.

Jelas Achey, pada mulanya ia sekadar niat sahaja dan dia sendiri tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk bergabung. Malah, selepas berakhirnya BMB, dia dan Bocik membawa haluan masing-masing dengan memenuhi undangan membuat persembahan yang diterima.


AKSI lucu yang ditampilkan oleh Bocik ketika bersaing dalam BMB pada tahun lalu sentiasa dinantikan oleh peminat.


Ujarnya, niat tersebut akhirnya menjadi kenyataan setelah mereka dipilih menyertai pertandingan MLM 2013. Malah, idea gabungan sebagai satu kumpulan turut dicetuskan oleh sifu mereka sendiri ketika menyertai BMB dahulu iaitu Afdlin dan Harun setelah melihat potensi yang dimiliki.

"Kami tidak menyangka bahawa Afdlin dan Harun mencadangkan supaya kami bergabung dan akhirnya terbentuklah Bocey. Menariknya, kami bersaing dengan sifu sendiri iaitu kumpulan Boboi dalam MLM 2013.

"Namun begitu, matlamat kami menyertai pertandingan tersebut bukanlah sekadar bersaing semata-mata kerana ia akan memberikan lebih banyak tekanan. Asalkan penonton terhibur dengan persembahan Bocey, ia sudah memadai buat kami," ujarnya.

Dalam pada itu, pelawak kelahiran Segamat, Johor itu turut berterima kasih kepada program BMB yang telah membuka ruang kepada dirinya untuk berkecimpung dalam bidang seni secara lebih serius.

"Sebelum ini saya pernah menjalani uji bakat pertandingan realiti seperti Raja Lawak dan Mentor, tetapi menerusi BMB barulah saya dapat menampilkan kebolehan sebenar sehingga muncul sebagai juara," ujarnya yang pernah menjadi seorang mekanik sebelum menyertai BMB.

Berbeza pendapat

Memandangkan baru kali pertama bergandingan bersama, Fad atau nama sebenarnya Muhamad Fadzlie Mohd. Nizam tidak menafikan terdapat sedikit kesukaran sewaktu Bocey membuat persembahan pada peringkat awal saingan.

Apatah lagi, Bocey tidak diletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk mara lebih jauh dalam MLM 2013. Kesukaran yang dialami itu telah dapat diatasi dengan hasil usaha keras mereka.

"Tidak dinafikan hubungan kami sudah rapat sejak menyertai BMB dahulu, tetapi bukan mudah buat kami mendapatkan keserasian. Lagipun ketika itu kami tidak mampu melihat sejauh mana Bocey dapat beraksi sebagai sebuah kumpulan.

"Terdapat juga perbezaan pendapat apabila masing-masing memberikan idea, namun ia langsung tidak melemahkan semangat kami dan ia membuatkan hubungan saya, Achey dan Abam menjadi lebih erat," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya pandangannya sama ada mahu dikenali sebagai Bocik atau Bocey, Fad memberitahu, dia tidak kisah sekiranya peminat memanggilnya dengan kedua-dua nama tersebut.

Tegasnya, meskipun peminat lebih mengenali diri mereka bertiga sebagai kumpulan Bocey, dia menyatakan bahawa Bocik tidak pernah berkubur sama sekali dan akan terus menggunakan nama Bocik jika diundang membuat persembahan berdua dengan Abam.

BOCEY bakal tampil dengan filem sulung mereka berjudul Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa.


"Saya akui sekarang ini semakin selesa apabila dapat beraksi secara bertiga, namun kami tidak akan menolak rezeki yang diberikan sekiranya tawaran itu untuk Achey seorang atau cuma membabitkan Bocik.

"Jadi, kami tidaklah terikat dengan Bocey semata-mata kerana tidak semua tawaran membabitkan kami bertiga. Lagipun ia memberi kami peluang yang lebih luas untuk mengembangkan kerjaya yang diceburi ini," ujarnya.

Bahan jenaka

Apabila melihat kepada persembahan yang ditampilkan oleh Bocey, sudah tentu paling menjadi tumpuan penonton ialah Abam lantaran dirinya memiliki fizikal yang besar sehingga kerap menjadi bahan jenaka oleh Achey dan Fad.

Namun begitu, pemilik nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Ridzuan itu beranggapan ia merupakan sesuatu perkara yang normal dan tidak salah sekiranya ia boleh dijadikan humor untuk menghiburkan penonton.

"Bohonglah kalau saya katakan tidak pernah berasa kecil hati dahulu, cuma saya berpegang pada prinsip bahawa apa yang dilakukan itu sekadar lawak semata-mata dan perlu bersikap terbuka.

"Biasanya, kami selalu mengamalkan supaya saling bermaafan antara satu sama lain setelah selesai membuat persembahan agar masing-masing tidak berkecil hati dan itu merupakan langkah paling berkesan untuk kebaikan bersama," ujarnya.

Bercerita tentang kehidupan yang dilaluinya sekarang ini, Abam menyatakan dirinya sudah tidak bebas lagi seperti dahulu. Misalnya, jika pergi ke sesuatu tempat dia akan di kelilingi oleh peminat.

"Kalau dahulu saya bebas berpakaian untuk pergi ke mana-mana sahaja, kini saya lebih menitikberatkan tentang penampilan diri. Perkara tersebut perlu dijaga dan tidak sesuai sekiranya tampil dengan gaya terlalu ringkas," jelasnya.

Mengenai aktiviti seni terbaharunya pula, Abam ketika ini sedang sibuk menjalani penggambaran filem berjudul Hantu Bungkus Ikat Tepi terbitan Metrowealth yang turut dibintangi Nora Danish dan kumpulan Jambu.

Fuying, Sam ingin tembusi pasaran Melayu

Posted:

Fuying, Sam ingin tembusi pasaran Melayu

Fuying, Sam ingin tembusi pasaran Melayu

Oleh HARYATI KARIM

FUYING (kiri)dan Sam menjadikan penyanyi Soo Wincci sebagai idola mereka untuk menembusi pasaran Melayu.


DUA jejaka kacak, Fuying dan Sam mula menyimpan impian untuk bergelar seorang penyanyi ketika usia belasan tahun. Akhirnya, pada Disember 2012, Fuying atau nama sebenarnya Ong Fu Ying, 21, dan Sam Chin Neng (Sam), 24, tampil dalam kumpulan duo dengan album Love Protection.

Berjaya meraih perhatian peminat, di bawah label Halo Music (M) tahun ini mereka lahir dengan album Love & Dream.

"Kami bermula daripada bawah dan sekarang kami sudah mempunyai peminat tersendiri. Album kami sepenuhnya dalam bahasa Mandarin tetapi kami yakin, kami juga mempunyai peminat Melayu kerana ramai orang Melayu sudah boleh berbahasa Mandarin.

"Buktinya, jika kami buat persembahan, ada peminat Melayu yang akan menyanyi bersama-sama kami. Melihat situasi itu telah membakar semangat kami untuk meluaskan lagi pengaruh kami terhadap peminat Melayu," kata Fuying.

Meskipun belum berkesempatan untuk merakam sebarang lagu berbahasa Melayu, jelas Fuying, jika diberi peluang dan ruang mereka teringin merakamkan sebuah lagu berbahasa Melayu.

"Kami sedar untuk mempunyai kelompok peminat Melayu, kami harus mempunyai lagu dalam bahasa Melayu seperti mana yang dilakukan oleh idola kami iaitu Soo Wincci.

"Dia bermula daripada bawah dan sekarang ramai orang Melayu mengenalinya. Kami ingin berjaya sepertinya tetapi sebelum itu, kami harus mempertingkatkan bahasa Melayu kami sendiri," ujar Fuying.

Selain Malaysia, kumpulan duo ini juga merancang untuk meluaskan kerjaya seni mereka ke luar negara.

"Halo Music mempunyai beberapa cawangan di negara luar. Sasaran kami bukan hanya peminat di Malaysia tetapi juga kami mahu menembusi pasaran antarabangsa.

"Sebagai permulaan Halo Music di Taiwan telah mengatur strategi promosi untuk kami popular di sana. Peringkat permulaan kami diberi peluang menjadi duta untuk satu produk makanan ringan di sana.

"Walaupun kami tidak segera popular tetapi secara tidak langsung dapatlah kami mencipta nama perlahan-lahan di Taiwan. Jika tiada halangan kami akan menghasilkan album penuh khusus untuk peminat dan pasaran di sana," kata Fuying yang boleh mencipta lagu sendiri.

Tidak hanya mahu bergelar penyanyi, pasangan duo ini turut menceburi bidang lakonan dan bakal ke lokasi penggambaran filem The Dream Boyz tidak lama lagi.

Tegas mereka, meskipun bidang lakonan agak berbeza daripada bidang nyanyian, rezeki yang datang tidak harus ditolak sebaliknya kepercayaan yang diberi harus dilaksanakan sebaik mungkin.

"Memang minat utama kami adalah menyanyi tetapi kami mahu menjadi artis yang versatil. Kami mahu membuktikan kami artis berbakat dan mampu lakukan apa sahaja selain daripada menyanyi.

"Melalui filem The Dream Boyz ini, kami harap dapat membuka mata lebih ramai peminat untuk terus menyokong kami," ucap Fuying sambil dipersetujui oleh Sam.

Harapan mereka, suatu hari nanti mereka mampu mengadakan sebuah konsert berskala besar di Malaysia dan luar negara.

"Tanyalah mana-mana penyanyi, rasanya itulah harapan terbesar mereka. Saya harap suatu hari nanti kami akan popular dan mampu mengadakan konsert untuk menghiburkan peminat.

"Sebelum mampu mengadakan konsert sendiri, kami harus berusaha keras dan harap peminat akan terus memberi sokongan kepada kami," tutur Sam sambil menutup bicara.

Itu gambar enam tahun lepas - Tauke

Posted:

Itu gambar enam tahun lepas - Tauke

Itu gambar enam tahun lepas - Tauke

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

BAGI mengelakkan dirinya terus dilanda dengan kontroversi, Tauke menyatakan dia lebih berhati-hati untuk bergambar dengan sesiapa agar tidak timbul sebarang salah faham.


RABU lalu tersebar beberapa keping foto aksi mesra anggota kumpulan Jambu, Tauke bersama dua orang wanita berpakaian seksi yang dirakamkan di sebuah kelab malam.

Menerusi foto-foto yang telah disebarkan oleh sumber yang tidak diketahui, Tauke dilihat berpelukan bersama seorang gadis yang hanya memakai baju singlet putih manakala gadis yang memakai baju tiub biru memeluknya dari sisi.

Penyebaran foto-foto tersebut sekali gus mengundang pelbagai spekulasi peminat Tauke dan mendakwa pelawak terkenal itu kaki perempuan dan suka bersosial.

Tauke pernah tiga kali berkahwin dan menerusi perkahwinan pertama dan keduanya, Tauke dikurniakan enam orang anak.

Sementara perkahwinan ketiganya bersama seorang model sambilan putus di tengah jalan selepas dua bulan berkahwin sekitar awal tahun 2012.

Kosmo! mendapatkan penjelasan lanjut daripada Tauke dan ikuti perbualan berikut.

KOSMO!: Benarkah dakwaan yang timbul berkenaan tersebarnya beberapa keping foto Tauke sedang bersosial bersama dua orang wanita di sebuah kelab malam baru-baru ini?

TAUKE: Saya tidak nafikan itu adalah saya tapi gambar-gambar itu dirakamkan sekitar enam tahun lalu sebelum saya mendirikan rumah tangga. Benar setiap orang melakukan kesilapan dan saya mengakui kesilapan tersebut. Masing-masing ada kehidupan lampau dan adalah tidak adil untuk orang di luar sana menjatuhkan hukuman ke atas saya hanya kerana tersebarnya gambar-gambar itu.

Boleh gambarkan situasi sebenar foto-foto itu dirakamkan sekitar enam tahun lalu itu?

Gambar itu dirakam sekitar majlis selepas tamat penggambaran sebuah filem dan dua gadis itu merupakan peminat saya. Takkan pula saya mahu menolak kalau peminat mahu bergambar dengan saya, nanti dikatakan sombong pula. Manakala, lelaki yang berdiri di belakang saya pula merupakan salah seorang krew produksi filem berkenaan.

Bagaimanakah perasaan Tauke apabila foto-foto lampau anda disebarkan dan mengundang persepsi negatif banyak pihak?

Memang marah dan terkilan tapi saya sudah lali, saya percaya rezeki di tangan Tuhan. Sebelum ini pun banyak kali kes sebegini dikaitkan dengan saya cuma saya tidak boleh terlalu cepat melatah melainkan abaikan saja. Keluarga dan orang sekeliling saya tahu saya bukan individu sebegitu. Saya melihat perkara ini dalam sudut positif, mungkin impaknya orang akan lebih mengenali saya selepas ini.

Apabila foto-foto itu tersebar, Tauke dilabelkan seorang lelaki yang gemar bersosial dan kaki perempuan. Komen anda?

Saya sudah lama tidak ke kelab malam dan itu gambar-gambar masa lampau saya. Mungkin suatu masa dulu saya akan memuat naik foto saya bersama teman wanita baharu untuk berkongsi dengan peminat. Tapi ada pihak yang tidak faham akan nampak saya seorang kaki perempuan, padahal saya berkongsi perjalanan hidup saya atas dasar menghormati permintaan peminat.

Siapakah yang Tauke rasakan dalang di sebalik penyebaran foto-foto berkenaan?

Kalau dia adalah rakan saya dalam dunia seni, mungkin takut dengan bayang-bayang sendiri. Kalau dia orang luar atau bekas kekasih saya, mungkin niatnya mahu menjatuhkan saya.

Apakah pengajaran yang diperoleh selepas timbul perkara (penyebaran foto-foto sosial) itu?

Selepas ini saya akan lebih berhati-hati apabila bergambar dengan sesiapa saja. Malah, di laman sosial saya pun tidak banyak foto peribadi yang saya muat naik kerana risau serangan itu akan terkena pihak lain. Saya tidak paranoid untuk berkongsi kisah peribadi saya selepas ini tapi mungkin akan ada perkara yang perlu saya tapis.

Jika tidak keberatan, sudi kongsikan perkembangan terkini Tauke dalam bidang hiburan?

Saya baru selesai penggambaran filem Hantu Bungkus Ikat Tepi dan sedang menantikan tayangan filem Mana Mahu Lari dan Abang Long Fadil tidak lama lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved