Khamis, 20 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Usaha gigih buahkan hasil

Posted:

Usaha gigih buahkan hasil

Usaha gigih buahkan hasil

Shahlan Tahir dan Mohd. Sallehuddin Sidek merupakan dua orang anak jati Kajang, Selangor yang berjaya mengharumkan negeri Selangor dan Malaysia di peringkat antarabangsa.


WALAUPUN sudah 36 tahun meninggalkan zaman kegemilangan, setiap kejayaan yang dikecapi oleh Shahlan Tahir, 68, masih terpahat di sudut hatinya.

Merupakan salah seorang atlet yang mengharumkan nama negara menerusi acara lompat kijang dalam kejohanan besar di Asia Tenggara, pelbagai pengalaman pahit dan manis telah ditempuhinya.

Kejayaan menggondol pingat emas acara lompat kijang dalam kejohanan Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) di Singapura pada tahun 1973 merupakan antara kenangan yang masih segar diingatannya.

"Sepanjang lapan tahun terlibat dalam sukan lompat kijang, saya amat berpuas hati kerana berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Ia merupakan hasil usaha saya sendiri dengan sokongan pelbagai pihak," ujar anak jati Kampung Sungai Kantan, Kajang, Selangor sebagai pembuka bicara.

Shahlan merupakan seorang atlet berkaliber dalam acara sukan lompat kijang di peringkat antarabangsa. Namanya sebaris dengan legenda acara tersebut iaitu Allahyarham Kamaruddin Maidin yang mengharumkan nama negara pada tahun 1960-an hingga 1970-an menerusi acara yang sama.

Aktif

Menelusuri perjalanan hidupnya, beliau mula aktif dalam acara sukan sejak menuntut di Kajang High School (KHS) yang telah ditukar nama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang pada tahun 1982. Shahlan merupakan antara individu yang mewakili sekolah dalam kebanyakan acara sukan yang dianjurkan.

"Lari 100 meter, lompat jauh dan lompat kijang merupakan acara sukan yang saya sertai dalam kejohanan Sukan Antara Daerah Hulu Langat. Saya pasti membawa pulang pingat dalam setiap acara yang dipertandingkan. Saya turut bermain bola sepak bersama kelab KHS iaitu Old Boys sebagai penjaga gol.

"Apabila tamat persekolahan, minat saya terhadap acara sukan terutama olahraga tidak pernah padam. Sewaktu bekerja di Telekom Malaysia pada tahun 1966, saya sering menyertai kejohanan olahraga anjuran Telekom Malaysia dalam acara lompat jauh dan lompat kijang," ujarnya yang terkenal dengan imej rambut panjang ketika zaman kegemilangannya.

Tiga tahun kemudian, Shahlan menjawat jawatan juruteknik di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu ketika berusia 23 tahun. Ketika berkhidmat bersama PKNS, beliau telah mewakili daerah Hulu Langat dalam kejohanan olahraga Persatuan Olahraga Amatur Selangor (AAA) dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU).

Melalui acara lompat kijang anjuran MAAU, langkahnya semakin jauh apabila berjaya memenangi tempat kedua sekali gus dipanggil menyertai latihan pemilihan skuad Malaysia untuk sukan SEAP 1971 di Kuala Lumpur.

AKSI Shahlan dalam acara lompat kijang di Kejohanan Sukan Penjawat Awam pada tahun 1974.


Membuahkan hasil

"Selepas sesi latihan selama beberapa bulan, saya terpilih untuk mewakili negara. Sebagai seorang pendatang baharu dalam arena olahraga negara, saya tidak meletakkan harapan tinggi semasa kejohanan berprestij itu. Usaha dan komitmen saya akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menggondol pingat gangsa dalam acara itu dengan menewaskan peserta dari negara lain.

"Walaupun sibuk dengan kegiatan olahraga, saya masih bekerja bersama PKNS. Melalui organisasi itu, saya mewakili Selangor dalam Kejohanan Sukan Anggota Kerajaan. Kejohanan tersebut merupakan persediaan terbaik sebelum menyertai pertandingan di luar negara," ujarnya yang kini merupakan kontraktor kelas F.

Kejayaan membawa pulang pingat emas menerusi acara lompat kijang dalam sukan SEAP di Singapura pada tahun 1973 merupakan penghargaan tertinggi sepanjang tujuh tahun kariernya sebagai atlet negara.

"Stesen televisyen Singapura tidak memaparkan acara penerimaan pingat ketika saya menaiki podium. Sekitar tahun 1970-an, salah satu peraturan dan undang-undang di Singapura ialah tidak boleh berambut panjang. Saya perlu mendapat permit berambut panjang untuk beraksi di sukan SEAP," ujarnya sambil ketawa.

Tanpa bimbingan jurulatih, Shahlan melakukan segala persediaan secara bersendirian. Beliau sering menjadikan Bukit Mewah, Kajang sebagai lokasi untuk sesi latihan kecergasan dan menguatkan otot kakinya.

Padang Majlis Daerah Hulu Langat yang kini ditukar nama Stadium Kajang merupakan lokasi latihan jika tiada persediaan dengan skuad negara. Pencapaian terbaik Shahlan dalam acara lompat kijang di peringkat antarabangsa ialah berjaya melakukan lompatan sejauh 15.14 meter.

Baginya, daerah Kajang ketika tahun 1960-an dan 1970-an banyak melahirkan atlet yang berkaliber sama ada untuk negeri Selangor atau mewakili negara. Penganjuran kejohanan olahraga oleh majlis daerah ketika itu memberi peluang kepada golongan muda untuk menyerlahkan bakat mereka.

Setelah berjaya memenangi pelbagai kejohanan olahraga tempatan dan antarabangsa, Shahlan terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan kariernya pada tahun 1977.


STADIUM Kajang merupakan lokasi kebanyakan atlet olahraga dan bola sepak daerah tersebut berlatih sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.


Kecederaan

Kecederaan lutut yang serius membuatkan dia terpaksa bersara daripada arena sukan olahraga ketika berusia 31 tahun. Walaupun tidak dapat menyumbangkan keringat untuk negara, Shahlan ditawarkan menjadi jurulatih olahraga Persatuan Olahraga Pemuda UMNO (POPU) di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris.

Selain Shahlan, Mohd. Sallehuddin Sidek, 59, merupakan seorang lagi anak jati Kampung Sungai Kantan, Kajang yang mengharumkan nama Selangor dan negara dalam acara sukan.

Walaupun berjaya dalam karier sebagai pemain bola sepak Selangor dan negara dari tahun 1970-an hingga lewat 1980-an, Mohd. Sallehuddin tetap merendah diri.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu merupakan salah seorang pemain yang pernah bermain dalam pasukan Selangor bersama Allahyarham Mokhtar Dahari pada tahun 1982 hingga 1988.

Bercerita mengenai latar belakang kehidupannya, beliau mula mewakili negeri dalam kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Selangor pada usia 17 tahun ketika menuntut di KHS.

Beliau juga mendapat pendedahan awal tentang arena bola sepak tempatan sejak kecil kerana sering mengikut ayahnya, Allahyarham Mohd. Sidek Abdul Latif yang merupakan Pegawai Daerah Kuala Lumpur ke Stadium Merdeka untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

Ayahnya juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Ia memberi peluang kepadanya untuk menyaksikan perlawanan yang membabitkan Selangor secara percuma.

"Ketika itu, saya berpeluang menyaksikan ramai legenda Selangor seperti Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Chow Kwai Lam, Author Koh dan M. Chandran," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Kampung Sungai Kantan, Kajang baru-baru ini.


MOHD. SALLEHUDDIN menunjukkan dua helai baju yang dipakainya ketika beraksi bersama skuad Selangor dan kebangsaan.


Kajang Star

Mohd. Sallehuddin memberitahu, setiap daerah di Selangor juga aktif menganjurkan liga bola sepak sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. Beliau juga merupakan salah seorang pemain yang mewakili pasukan Kajang Star ketika itu.

Tamat persekolahan, beliau mendapat tawaran kerja sebagai kerani di United Malayan Banking Corporation (UMBC). Bank berkenaan kini tidak beroperasi lagi.

"Liga bola sepak Malaysia masih berada di tahap semi-profesional sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. Setiap pemain bola sepak negeri juga akan bekerja makan gaji dengan syarikat tertentu. Ketika itu, saya juga menyertai pasukan bola sepak UMBC dalam Liga Premier Selangor. Pada masa yang sama, saya juga bermain untuk pasukan Selangor.

"Saya dan seorang rakan baik yang juga dari Kajang, Osnan Osman turut dipilih oleh Allahyarham Datuk Seri Harun untuk mewakili pasukan UMNO Selangor ketika itu. Saya juga dipanggil untuk menyertai skuad negeri Selangor ketika bersama pasukan UMNO," ujar pemain posisi penyerang kanan dan tengah itu.

Walaupun kekangan kerjaya dan karier bola sepak di UMBC, FAS tetap memanggil beliau untuk menyertai skuad Selangor dalam liga atau perlawanan persahabatan.

Menurutnya, menyertai pasukan kebangsaan bawah 21 tahun merupakan satu pengalaman berharga buatnya. Pasukan kebangsaan ketika itu dipimpin oleh Allahyarham Ghani Minhat.

"Sepanjang lapan tahun bersama pasukan Selangor, banyak pengalaman yang telah dikutip. Ketika itu, FAS amat mementingkan pemain yang berbakat dan berkualiti untuk menyertai pasukan negeri. Saya merupakan antara 25 orang daripada ratusan pemain yang terpilih.

"Pada tahun 1980-an, Stadium Merdeka merupakan padang keramat bagi Selangor. Kira-kira 40,000 penonton hadir menyaksikan perlawanan yang membabitkan pasukan Selangor," jelasnya yang kini mengusahakan syarikat kontraktor, Shahbaz Enterprise bersama isterinya.

Beliau bersara daripada arena bola sepak pada tahun 1989 ketika berusia 35 tahun kerana ingin menumpukan perhatian kepada kerjayanya di UMBC.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved