Selasa, 6 Mei 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Tidak mahu terlalu berfantasi

Posted:

Tidak mahu terlalu berfantasi

Tidak mahu terlalu berfantasi

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

SHILA ALISH merupakan seorang guru Kimia di Johor Bahru, Johor.
PENGUNJUNG memenuhi ruang pameran penerbitan Love Novel di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


TUTUR bicara penulis novel bestseller yang mesra dipanggil Shila Alish ini sungguh tertib sesuai dengan penampilan sopan dan elegan yang dikenakannya tatkala bertemu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra minggu lalu.

Siapa sangka guru subjek Kimia ini sebenarnya memiliki bakat menulis yang tidak kurang hebatnya. Walaupun beliau gemar menulis novel yang berkisarkan cinta, Shila Alish cenderung untuk menyelitkan kisah berbentuk pengajaran agar pembaca lebih berhati-hati dengan kehidupan.

Shila Alish atau nama sebenarnya Rosila Rahman, 40, berasal dari Johor Bahru, Johor merupakan guru di Sekolah Menengah Tasik Utara, Johor Bahru.

Minatnya terhadap bidang penulisan bercambah ketika berada di bangku sekolah namun, ketika itu beliau tidak mempunyai medium untuk mengetengahkan bakat yang terpendam. Kebelakangan ini, terdapat banyak penerbit yang berminat menerbitkan karya-karya penulis yang berpotensi sepertinya.

Peluang tersebut membolehkan penulis baharu sepertinya dapat memasuki pasaran dengan lebih mudah. Setakat ini, Shila Alish sudah menghasilkan dua naskhah novel bersama penerbit Love Novel Enterprise yang berjudul Mr. Secret Admirer dan Daripada Sekeping Surat Samanmu.

"Saya suka menulis kerana suka memerhati kelakuan orang dan ia tiada sempadan. Menulis juga membolehkan seseorang itu menjadi apa sahaja.

"Tapi saya cuba untuk tidak menerapkan elemen fantasi dalam novel kerana tidak mahu pembaca terikut-ikut dengan sesuatu yang tidak realistik," ujarnya yang mula serius menulis sejak tahun 2011.

Kenangan manis

Sepanjang bergelar penulis, kenangan paling manis Shila Alish ialah diundang ke Singapura dan menyaksikan sambutan luar biasa peminat di negara tersebut. Keterujaan peminat seolah-olah mereka berjumpa dengan personaliti bertaraf selebriti.

SHILA ALISH merupakan seorang guru Kimia di Johor Bahru, Johor.


Novel Mr. Secret Admirer yang diterbitkan pada Julai 2013 itu sudah dicetak buat kali kelima dan mencecah jualan 11,000 unit. Ia membakar semangat beliau untuk menghasilkan karya kedua yang ada menyelitkan kisah-kisah tauladan yang diperoleh dalam pengalaman mengerjakan umrah baru-baru ini.

Novel keduanya bertajuk Daripada Sekeping Surat Samanmu mengenai seorang guru wanita, Puteri Salwani yang terpaksa melalui pelbagai dugaan selepas menerima sekeping surat saman daripada Tuan Megat Irfan Wafiy akibat kesalahan jalan raya yang dilakukannya.

Puteri Salwani mula berubah setelah hidup dalam dendam dan benci selama lebih lima tahun akibat dikecewakan oleh lelaki yang dicintainya setengah mati.

Sementara itu, hati Tuan Megat Irfan Wafiy mula terdetik sesuatu selepas menyaman wanita tersebut dan berasa seolah-olah telah lama mengenali Puteri Salwani. Apa yang dirasakannya berasas apabila beliau terjumpa semula gambar Puteri Salwani yang pernah diberikan oleh ibunya setahun yang lalu, namun hanya disimpan kerana tidak berminat untuk dijodohkan.

Sejak hari itu Tuan Megat Irfan Wafiy mula mendekati Puteri Salwani kerana sikap wanita tersebut menarik hatinya. Niat yang pada asalnya sekadar ingin mengacau berubah apabila lama-kelamaan dia mula jatuh hati.

Kemunculan semula lelaki yang pernah dicintai Puteri Salwani iaitu Fauzan yang ingin menagih semula cintanya hanya memporak-perandakan hidupnya apabila kehormatannya telah diragut secara paksa.

Selepas episod hitam itu berlaku, Puteri Salwani cuba menjauhkan diri daripada Tuan Megat Irfan Wafiy kerana merasakan dia sudah tidak layak untuk lelaki sebaik itu.

Wanita itu membawa diri ke Tanah Suci dan tidak menyangka berlaku pertemuan misteri dengan seorang lelaki bernama Izham yang seiras dengan Tuan Megat Irfan Wafiy.

Bagi mengetahui kisah selanjutnya, pembaca boleh mendapatkan novel ini pada harga RM25 di kedai-kedai buku utama negara.

Kontroversi pembukaan Muzium Tiananmen

Posted:

Kontroversi pembukaan Muzium Tiananmen

Kontroversi pembukaan Muzium Tiananmen


DATARAN Tiananmen ini yang dikenali sebagai Pintu Keamanan Syurga merupakan monumen terkenal di Beijing.


MUZIUM pertama di dunia yang didedikasikan kepada kisah berdarah Dataran Tiananmen telah dibuka di Hong Kong baru-baru ini. Bagaimanapun, pembukaan tersebut menerima tentangan pihak pro-China dan mereka telah melakukan tunjuk perasaan bagi meluahkan rasa tidak puas hati.

Dataran Tiananmen dikenali sebagai Pintu Keamanan Syurga merupakan monumen terkenal di Beijing.

Pada 3 dan 4 Jun 1989, dataran itu menjadi lokasi satu peristiwa perjuangan demokrasi di China yang berakhir dengan pembunuhan beramai-ramai.

Sebahagian besar rakyat China terutama golongan antikomunis masih mengingati penindasan kejam yang dilakukan pihak tentera terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi di Beijing.

Ramai yang tidak menyedari bahawa semua rujukan terhadap tindakan kekerasan tersebut telah diharamkan di tanah besar China.

"Penduduk Beijing meminta kami menceritakan kisah sebenar kepada dunia tentang pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di dataran tersebut.

"Ia merupakan perkara yang masih jelas dalam ingatan saya," kata Lee Cheuk-yan, pengerusi kumpulan prodemokrasi yang membiayai muzium tersebut.

Cheuk-yan mendedikasikan muzium tersebut kepada mereka yang sanggup mengorbankan nyawa demi demokrasi.

Perikatan Menyokong Pergerakan Demokratik Patriotik China juga menganjurkan upacara menyalakan lilin pada 4 Jun setiap tahun di Hong Kong yang dihadiri oleh puluhan ribu pengunjung.

Pengkianat

Pembukaannya bagaimanapun dibantah ahli-ahli kumpulan pro-China yang menjerit kepada pihak penganjur di luar bangunan dan memanggil mereka pengkhianat.

Salah seorang penunjuk perasaan berteriak. "Mereka tidak bercakap tentang Pembunuhan Nanjing dan hanya bercakap mengenai peristiwa 4 Jun."

Dia merujuk kepada insiden di mana China mendakwa lebih 300,000 orang dibunuh oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.


IMEJ penunjuk perasaan Tank Man yang telah menarik perhatian dunia.


Penunjuk perasaan yang menggelar diri mereka sebagai Kumpulan Kebenaran 6.4 berkata, perikatan tersebut telah membentangkan akuan songsang terhadap peristiwa kekerasan yang berlaku dan tentera China juga turut terbunuh ketika peristiwa tersebut.

Ramai penduduk China tidak tahu mengenai Peristiwa 4 Jun ini. Kebanyakan generasi tua yang terselamat daripada kekejamam itu juga enggan bercakap mengenainya.

Kawasan seluas 74.32 meter persegi di daerah sedang membangun, Tsim Sha Tsui Timur, menayangkan klip video dan gambar Tank Man iaitu seorang penunjuk perasaan lelaki yang berdiri di hadapan kereta kebal tentera China. Dia merenung dan memerhatikan barisan panjang kenderaan tentera.

Terdapat juga tugu Dewi Demokrasi setinggi dua meter, sama seperti yang didirikan di Dataran Tiananmen semasa demonstrasi berlangsung.

"Jika suatu hari nanti muzium ini dibuka di Beijing, sudah tentu tanggapan terhadap peristiwa tersebut dapat dibetulkan," kata Jonathan Chan.

Beliau merupakan wakil pelajar Persekutuan Hong Kong yang membekalkan khemah dan makanan kepada penunjuk perasaan di Dataran Tiananmen.

Tragedi

Dia antara ribuan saksi tragedi di Dataran Tianamen. Ketika itu Chan ditugaskan di bahagian bekalan (di tapak khemah penunjuk perasaan) dan beliau melihat bagaimana sebahagian daripada mereka mati dan cedera akibat terkena tembakan tentera.

Katanya, tragedi berdarah itu tidak pernah padam dalam memorinya dan akan dikenang sehingga ke akhir hayat. Bagi beliau, generasi muda China juga perlu mengetahui kisah benar mengenainya.

"Sehingga hari ini, Beijing tidak pernah mengisytiharkan angka korban rasmi terhadap kekerasan tentera yang suatu ketika dahulu pernah mendapat kritikan masyarakat dunia," ujarnya sambil memandang ke arah muzium itu penuh sayu. – AFP

Istimewa buat ibu tercinta

Posted:

Istimewa buat ibu tercinta

Istimewa buat ibu tercinta

KUMPULAN tukang masak Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur menyediakan sendiri setiap hidangan khas sempena Sambutan Hari Ibu.


WANITA bergelar ibu adalah insan yang paling bernilai di dunia. Andai digadaikan segunung intan dan dileburkan emas permata belum mampu melunaskan jasa mereka.

Keringat tatkala mengendong generasi baharu selama sembilan bulan sebelum dilahirkan sudah cukup melambangkan betapa besar pengorbanan kaum Hawa.

Sehubungan itu, tarikh 10 Mei seharusnya menjadi momen indah bagi wanita yang bergelar ibu mendapat layanan manja daripada anak-anak.

Bulan Mei yang sinonim sebagai bulan meraikan ibu, lazimnya melibatkan aktiviti pemberian cenderamata atau makan malam bersama.

Bertempat di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur selain berpeluang meraikan Hari Ibu dengan menikmati hidangan ala Jepun, China, tempatan dan Barat, hotel tersebut turut menyediakan perkhidmatan spa khas buat ibu tercinta.

Hari bersejarah

Pada 11 dan 12 Mei 2014, Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur menawarkan pakej minuman petang bermula pada pukul 1 tengah hari hingga 5 petang.

Dihidangkan pada harga RM58++ seorang dan percuma bagi kanak-kanak di bawah umur empat tahun, para ibu berpeluang merasai nikmat spa bibir, tangan dan tata rias ubah rupa daripada rangkaian produk kecantikan Mary Kay.

Malah, bagi 30 ibu paling awal mendaftar layak membawa pulang baucar kecantikan membabitkan rawatan muka, mata dan pelangsingan badan bernilai RM1,000.

Sebanyak 50 baucar berupa hadiah bernilai RM278 setiap satu menanti ibu-ibu yang bertuah.

Pengurus Pemasaran Komunikasi Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur, Terry J berkata, pendekatan itu diharap mampu membuat para ibu berehat sepenuhnya sambil menikmati hidangan di hotel tersebut.


TANDURI ayam masakan yang turut menjadi kepakaran tukang masak Hotel Grand Seasons.


Beliau memberitahu, pihaknya yakin pada hari bersejarah itu, para ibu mahu lari seketika daripada tanggungjawab kelaziman mereka.

"Kami berpendapat perkhidmatan spa merupakan pilihan yang sangat tepat. Ia memberi ruang untuk mereka bersantai dan kembali segar selepas merasai sentuhan magis daripada rangkaian produk Mary Kay," katanya ketika ditemui Kosmo!

Selain menyediakan sesi minum petang, hotel tersebut menyediakan hidangan makan malam cita rasa antarabangsa pada harga bermula dari RM75++.

Kesemua hidangan diselia Ketua Tukang Masak Eksekutif Hotel Grand Seasons, Chef Randy YL Liow yang mempunyai pengalaman selama tiga dalam dunia kulinari.

Menjanjikan hidangan yang lazat, Randy mendedahkan setiap sos dalam hidangan merupakan adunan asli pasukan tukang masa di hotel itu.

Katanya, setiap rasa yang dihasilkan seperti masin, masam dan manis diadun sendiri menggunakan gabungan herba terpilih, buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Kita mahu mereka menyerap pelbagai khasiat sepanjang menikmati hidangan kami. Oleh sebab itu kami memerah idea bagi menghasilkan resipi seperti menghasilkan rasa manis tanpa terlalu bergantung pada gula, ujarnya.

Mengulas mengenai hidangan yang pasti membuatkan ibu dan pengunjung terliur, ia melibatkan hidangan ikan siakap masak tiga rasa, sup ayam ginseng dan hidangan daging kambing gril ala China. - AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved