Selasa, 6 Mei 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Langkah terbantut

Posted:

Langkah <i>The Reds</i> terbantut

Langkah The Reds terbantut

SUAREZ (kiri) tidak dapat menahan kesedihan selepas pasukannya, Liverpool mencatat keputusan seri 3-3 dengan Crystal Palace awal pagi semalam sekali gus menghalang hasrat mereka bersaing memburu kejuaraan


LONDON - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers masih berbangga dengan pencapaian anak-anak buah beliau musim ini meskipun prospek mendakap trofi Liga Perdana England tampak terjejas apabila sekadar seri 3-3 dengan Crystal Palace awal pagi semalam.

Dalam aksi di Selhurst Park itu, skuad kendalian beliau berjaya mendahului 3-0 kira-kira 10 minit sebelum perlawanan tamat sebelum tuan rumah kembali bangkit menyamakan kedudukan.

Meskipun masih menerajui liga dengan 81 mata, The Reds hanya memiliki baki satu perlawanan berbanding pencabar terdekat, Manchester City yang memiliki baki dua perlawanan dengan 80 mata.

Justeru, Rodgers percaya The Citizens lebih berpotensi mendakap trofi liga domestik musim ini.

"Sudah tentu saya kecewa apabila kami gagal membawa pulang tiga mata.

"Namun, kami harus berbangga dengan pencapaian kami musim ini.

"Bagi saya, Manchester City yang akan menjuarai liga," kata Rodgers selepas tamat perlawanan.

Rodgers berkata, kejayaan The Reds mencetak 99 gol musim ini juga wajar dibanggakan peminat selain kembali layak ke kempen Liga Juara-Juara musim depan.

"Kami berjaya membuktikan kemampuan kami musim ini.

"Berjaya mempamerkan aksi seperti ini sememangnya satu kebanggaan buat pasukan.

"Ia masih musim yang hebat buat kami meskipun gagal mendakap trofi liga," kata Rodgers.

Dalam perlawanan itu, gol-gol The Reds dicetak oleh Joe Allen, Daniel Sturridge dan Luis Suarez sementara gol-gol tuan rumah pula dijaringkan oleh Damien Delaney dan Dwight Gayle (dua gol).

Meskipun berharap keputusan antara City-Aston Villa memihak kepada beliau, Rodgers sebaliknya menyalahkan pasukannya sendiri yang mensia-siakan peluang meraih tiga mata berharga semalam.

"Kami seharusnya beraksi lebih baik terutamanya ketika berdepan tekanan seperti ini.

"Meskipun Aston Villa sebuah pasukan yang liat untuk ditewaskan, saya tetap percaya Manchester City merupakan pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan itu sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk menjuarai liga," jelas Rodgers. - AFP

Masih terlalu awal buat keputusan

Posted:

Masih terlalu awal buat keputusan

Masih terlalu awal buat keputusan

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

KIM SWEE (kiri) mengambil langkah berhati-hati membuat pemilihan pemain ke Sukan Asia.


PENGENDALI Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee enggan terburu-buru mengenalpasti skuad terbaik yang bakal membawa cabaran negara dalam temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September depan.

Sebaliknya, beliau lebih gemar menilai prestasi semasa skuad Harimau Muda A dalam saingan Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland, Australia terlebih dahulu sebelum mengenal pasti skuad terbaik menjelang temasya empat tahun sekali itu.

Menurut beliau, masih terlalu awal bagi menilai skuad terbaik negara ke Incheon lantaran saingan NPL Queensland masih di permulaan musim.

"Saya akan menunggu sehingga pertengahan musim saingan NPL Queensland terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Buat masa ini, ia masih terlalu awal kerana hanya pemain yang memiliki prestasi semasa terbaik yang akan disenaraikan ke temasya Sukan Asia," kata Kim Swee baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga lebih berminat menilai prestasi semasa skuad Harimau Muda A secara sepasukan berbanding keupayaan individu semata-mata.

"Kemampuan pasukan dinilai secara menyeluruh, namun perkembangan pemain secara individu juga dipantau.

"Pada masa sama, saya juga berharap kesemua pemain dapat dipupuk dengan mentaliti untuk menang sepanjang mengharungi saingan NPL Queensland musim ini.

"Ia cukup penting berbanding terlalu bergantung kepada keputusan perlawanan semata-mata.

"Saya juga percaya pertemuan berdepan lawan-lawan yang berkualiti dalam saingan NPL Queensland mampu memberikan impak yang positif terhadap skuad Harimau Muda A menjelang temasya Sukan Asia kelak," jelas beliau.

Skuad Harimau Muda A bakal berdepan Brisbane Roar Youth di Padang Sukan Perry Park 1, Brisbane hari ini sebelum berdepan cabaran lebih getir apabila berdepan pendahulu liga, Palm Beach Sharks pada Sabtu ini.

"Kami bakal mengharungi jadual yang padat bulan ini, jadi saya percaya kedua-dua aksi ini bakal menjadi penentu sejauh mana kemampuan kami dalam NPL Queensland musim ini," katanya.

Skuad kendalian Kim Swee kini menduduki tangga kelapan liga hasil tiga kemenangan, dua seri dan satu tewas.

Untuk rekod, skuad Harimau Muda A membuka tirai NPL Queensland musim ini dengan kemenangan bergaya 5-2 ke atas Redlands United sebelum tumpas 1-2 kepada Sunshine Coast.

Skuad muda negara kemudiannya menjinakkan Olympic FC QLD (2-1); Moreton Bay United (3-3); Brisbane City (0-0) sebelum membelasah SWQ Thunder dengan kemenangan bergaya 5-0 minggu lalu.

Larkin kecoh lagi

Posted:

Larkin kecoh lagi

Larkin kecoh lagi

Oleh M. RIZAL NOR
berita@kosmo.com.my


ANGGOTA polis terpaksa berkawal d luar stadium berikutan keenganan penyokong Johor DT bersurai selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.


PEMAIN dan penyokong Pahang terpaksa berlindung di dalam Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin selama dua jam selepas tamat saingan separuh akhir pertama kempen Piala FA 2014 gara-gara tindakan penyokong pasukan lawan yang mengepung pintu masuk stadium berkenaan.

Ribuan penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT) mula berkumpul di pintu masuk stadium sebaik perlawanan tamat yang berkesudahan seri 1-1 seolah-olah ingin membalas dendam kepada pemain dan penyokong Pahang ekoran peristiwa hitam di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 Februari lalu.

Ketua pasukan Pahang, Razman Roslan berkata, para pemain mula berjalan keluar dari bilik persalinan untuk menuju ke bas namun mereka tiba-tiba dihalang oleh pihak berkuasa kerana bimbang tindakan agresif penyokong pasukan tuan rumah.

"Ketika berjalan keluar menuju ke bas kami sudah dengar suara penyokong Johor DT yang tidak berpuas hati dan ketika menghampiri pintu keluar, kami dapati ramai penyokong mereka sedang berkumpul.

"Saya tidak pasti sama ada mereka tidak berpuas hati mengenai permainan tersebut atau masih berdendam ekoran kejadian di Kuantan pada 7 Februari lalu," katanya.

Menurutnya, tindakan pantas pihak berkuasa yang menghalang pemain serta penyokong Tok Gajah keluar dari stadium berjaya mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Razman berkata, penyokong Johor DT sepatutnya bertindak profesional kerana kedua-dua pasukan mempunyai baki dua perlawanan selepas ini masing-masing di Larkin dan Kuantan.

"Gara-gara tindakan mereka berkumpul di luar stadium, kami terpaksa berehat di dalam stadium hampir dua jam sebelum dibenarkan keluar pada pukul 1 pagi," ujarnya.

Sementara itu, pemain sayap kanan Tok Gajah, Mohd. Azamuddin Mohd. Akil berkata, pihak berkuasa sepatutnya bertindak dari awal agar insiden seperti itu tidak berlaku lagi.

"Senario ini sudah dijangka dan semua pihak sepatutnya sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi sebarang kemungkinan namun kami tetap bersyukur kerana tidak ada pemain atau penyokong Tok Gajah yang cedera," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved