Selasa, 27 Mei 2014

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Cuci tangan sebelum pegang beg tangan

Posted:

Cuci tangan sebelum pegang beg tangan

Cuci tangan sebelum pegang beg tangan

Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA

NORAFIDAH bersama sebahagian koleksi tas tangan berjenama mewah yang dimilikinya.


TAS tangan seringkali digelar sahabat karib wanita. Baik beg tangan, kepit mahupun dompet, aksesori yang didatangkan dalam pelbagai rekaan dan warna ini pasti dibawa golongan Hawa ke mana sahaja.

Kepada Pengasas Aurawhite Beauty, Nurfuryna Mohd. Azmeer beliau begitu gemar mengumpul tas tangan berjenama warna yang sama.

Setia pada jenama Chanel dan Dior, beliau turut menjadikan tas tangan warna hitam sebagai sebahagian daripada koleksi peribadi dan digunakan pada majlis-majlis yang bersesuaian.

Disebabkan harga beg yang mencecah harga ribuan ringgit, Nurfuryna amat menitikberatkan aspek penjagaan aksesori berkenaan agar ia tahan lama dan sentiasa kelihatan baharu.

Menurutnya, jika beg tersebut tidak digunakan, dia akan memastikan ia disimpan rapi di dalam kotak supaya beg tersebut tidak rosak terutama bagi beg kulit.

Menyukai beg jenis jinjing bersaiz sederhana, ia merupakan pilihan yang sesuai kepada Nurfuryna sebagai seorang ibu dan usahawan wanita.

"Semua wanita mesti mempunyai tabiat yang sama seperti saya. Selagi beg mempunyai ruang kosong, semua barang akan disumbat ke dalamnya," seloroh wanita yang mesra disapa sebagai Feena ini.

Selain faktor warna dan rekaan, Feena turut memastikan fungsi setiap beg yang dibeli.

Penggunaan beg yang betul, katanya, akan membolehkan beg itu bertahan lebih lama.

Feena menambah, beg-beg tersebut biasanya akan dibersihkan menggunakan kain lembut di rumah dan ada kalanya akan dihantar ke butik beg untuk dibersihkan dengan lebih rapi oleh mereka yang lebih arif.

Kegilaan seorang ibu tunggal kepada dua anak, Norafidah Nordin, 41, terhadap beg mewah menyebabkan dia langsung tidak kisah membeli beg pada harga minimum RM6,000 atas dasar kepuasan.

Namun, Norafidah hanya menyimpan beg di dalam almari supaya kemas. Meminati barisan jenama Louis Vuitton dan Gucci, Norafidah memberitahu, dia tidak mempercayai kepada kaedah penjagaan beg yang rumit.

"Sejujurnya saya tidak mempunyai masa untuk mengelap setiap beg supaya ia tahan lama dan kelihatan baharu.

"Jika kita mahu beg itu kelihatan baharu, lebih baik biarkan sahaja ia dipamerkan di butik dan kita tidak perlu menggunakan beg tersebut," katanya ketika ditemui Stailo! baru-baru ini.

Norafidah yang gemar membeli-belah di Suria KLCC dan Gardens Mid Valley, Kuala Lumpur sebagai lokasi membeli-belah, memaklumkan bahawa dia hanya akan mengunjungi semula butik terlibat jika terdapat kerosakan yang sukar dibaiki.

Penjagaan

Menurut beliau, dalam kalangan rakannya, ada yang menjaga beg mewah mereka dengan penuh tertib namun tetap rosak akibat jarang digunakan.

"Saya yakin jika kita meletakkan beg berkenaan di dalam kotak, ia tidak terdedah kepada udara dan lembapan akan meningkat.

"Kesannya, setiap beg akan kelihatan kusam dan kita perlu mengelap beg tersebut setiap kali mahu menggunakannya," jelas penasihat kecantikan theSkinTopic itu.

Seiring dengan peningkatan kesedaran umum terhadap kepentingan penjagaan beg mewah, portal jualan barangan mewah terkenal, Reebonz, baru-baru ini menganjurkan bengkel media berhubung penjagaan beg di Kuala Lumpur.

Bengkel sehari itu turut menyelitkan perkongsian ilmu mengenai pemilihan warna dan beg mengikut kesesuaian majlis. Turut dibentangkan ialah tip gaya musim panas dan sejuk 2014.

Rosak

Menurut Pegawai Kanan Promosi Barangan Wanita Ibu Pejabat Reebonz, Gail Chen, penjagaan rapi beg mewah bertujuan menjaga nilai harga beg berjenama tersebut jika pembeli mahu menjual semula beg mereka.

Katanya, penjagaan beg juga penting bagi membuang bendasing persekitaran yang terperangkap pada bahagian celah dan permukaan beg yang mampu menyebabkan material beg seperti kulit terkopek dan rosak.

Chen juga mendedahkan kesilapan lazim wanita ketika memegang beg tangan ialah tidak membersihkan tangan dengan teliti selepas bersolek.

"Bedak asas, krim pelembap dan losyen adalah antara bahan yang boleh merosakkan material beg.

"Ramai wanita tidak sedar bahawa bahan kimia yang terdapat dalam produk kecantikan mampu merosakkan beg," ujar beliau.

Selain memegang beg kulit tanpa membersihkan tangan daripada sisa alat solek, golongan wanita juga sering menyimpan beg mereka dalam beg plastik berbanding kotak yang disediakan.

"Beg menjadi mudah rosak apabila pelanggan meletakkan beg tanpa sebarang perlindungan.

"Jangan sesekali mengambil langkah mudah menempatkan beg berharga ribuan ringgit dalam beg plastik kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada permukaan beg," jelas beliau.

Tambahnya, kerosakan tersebut serta-merta akan membuatkan nilai sesebuah beg menyusut.

Chen memaklumkan ruangan dalam beg adalah bahagian yang sukar untuk dibersihkan.

Oleh itu, beliau mengesyorkan agar alat solek seperti bedak asas, gincu dan pemerah pipi diletakkan di dalam sebuah beg kecil sebelum dimasukkan ke dalam tas tangan.

Sempat menitipkan tip warna untuk musim bunga dan panas 2014, Chen berkata, rangkaian tas tangan serta aksesori wanita akan tertumpu kepada warna merah jambu, adunan merah dan oren, merah klasik dan biru terang.

"Tetapi warna klasik seperti hitam, pastel dan krim masih menguasai arena fesyen. Ini kerana, warna berkenaan mudah disuai padan dengan sebarang busana," katanya.

Arah tuju fesyen tanah air

Posted:

Arah tuju fesyen tanah air

Arah tuju fesyen tanah air


ALIA BASTAMAM (berdiri hadapan) antara pereka negara yang sering menjadi pilihan kebanyakan masyarakat tempatan pada masa kini.


BAYANGKAN anda berdiri di dalam sebuah gedung pakaian yang dipenuhi jenama mewah dan cuba anda lihat di sekelilingnya. Apa yang anda nampak? Satu ruang luas berwarna putih yang mengandungi pakaian menawan, dihimpunkan di bawah papan iklan yang membawa nama-nama pereka tempatan dan antarabangsa.

Cuba pula anda menyusuri rak-rak yang terlipat dan tergantung kemas pakaian label luar negara, pasti anda mula terasa bahawa ruang itu dipenuhi semangat feminisme. Misalnya koleksi Lanvin oleh Alber Elbaz yang membawa mesej glamor moden dan keseriusan sensual mahupun wanita Versace yang tampak yakin dengan karakter tersendiri.

Persoalannya, mengapa ilham orang luar yang dibanggakan? Apa kurangnya pereka berbakat besar negara seperti Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat dan Fairuz Ramdan yang sering muncul bersama koleksi yang begitu dramatik.

Bakat tempatan

Saya juga mengagumi bakat pereka-pereka muda seperti Jonathan Liang, FiziWoo, Sandra Azwan dan Alia Bastamam. Rekaan mereka mempunyai estetika yang berbeza, cukup inovatif, terkehadapan, unik dan seiring dengan kebangkitan pereka-pereka muda Asia sedunia.

Sudah sampai masanya industri fesyen Malaysia lebih terbuka. Menyokong dan membuka ruang kepada pereka-pereka ini untuk berkarya dan membina legasi yang membanggakan serta melonjakkan nama Malaysia di persada dunia.

Industri fesyen kini bukan berkisar tentang pakaian sahaja, sebaliknya ia lebih kepada industri yang berkembang pesat dan merupakan cabang perniagaan yang menyentuh hampir semua lapisan masyarakat.

Sememangnya industri fesyen Malaysia kini telah mula mencipta nama di benua Asia dan dunia. Masyarakat kini lebih berfikiran terbuka terhadap kepentingan dunia fesyen.

Pasaran fesyen di Asia masih lagi berteraskan fesyen yang praktikal dan komersial. Konsep perniagaan ini yang meraih pulangan paling lumayan buat masa kini. Oleh itu, adalah amat perlu bagi mereka yang menceburkan diri dalam industri fesyen memahami tentang ekonomi pasaran tempatan.

Pereka perlu menyediakan diri mereka dengan sebanyak mungkin kepakaran perniagaan dan juga kemahiran lain yang boleh mengimbangi serta membantu karya-karya kreatif mereka.

Untuk maju, penggiat industri fesyen perlu bersaing secara sihat, saling bantu-membantu dan cuba bergabung serta menganjurkan sesuatu yang boleh menjana minda, kreativiti dan ekonomi.

Paling penting perlu sentiasa membuat revolusi diri, menambah ilmu sealiran dengan masa demi kepentingan industri fesyen yang menjadi antara penyumbang utama sebahagian ekonomi negara.


GANDINGAN mantap Rizman (kanan) dan Ruzaini (kiri) sering ditagih kelompok selebriti yang menginginkan busana elegan yang eksklusif.


Sokongan

Kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak dana dan biasiswa untuk sesiapa yang layak dan berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen ke luar negara. Mereka juga disarankan supaya bekerja dahulu di sana sebelum pulang ke tanah air.

Ini adalah untuk meramaikan lagi pakar dalam bidang ini yang boleh menerajui industri fesyen di Malaysia suatu masa nanti. Dengan segala pengalaman, kepakaran serta jaringan antarabangsa yang mereka ada, diharapkan apabila mereka pulang nanti, mereka dapat membantu mempertingkatkan taraf industri fesyen di tanah air.

Perlu diingat, industri fesyen terlalu banyak saingannya. Untuk berjaya dalam bidang ini perlu ada kefahaman menyeluruh terhadap proses-proses yang berkaitan dengan industri tersebut.

Pereka perlu tahu selok-belok perniagaan dan pemasaran fesyen. Tanpa pengalaman dan pengetahuan ini, mungkin agak sukar untuk memasarkan produk atau jenama mereka dengan lebih berkesan.

Ketajaman intuisi terhadap fesyen dan kepekaan terhadap keindahan sekeliling secara umumnya, menjadi inspirasi, serta kunci utama kejayaan seseorang pereka. Hasil rekaan yang dijayakan pereka adalah merupakan sumbangan mereka kepada masyarakat.

Sememangnya fesyen bukan hanya tentang konsumerisme, tetapi sebaliknya ia juga merupakan komentar sosial serta cerminan masa seni itu sendiri. Pereka perlu lebih terbuka dan menerima idea baharu serta sentiasa mendengar keperluan industri, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang sentiasa berubah-ubah.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved