Jumaat, 9 Mei 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Angkat kisah harian dalam lagu

Posted:

Angkat kisah harian dalam lagu

Angkat kisah harian dalam lagu

PERJUANGANNYA dalam irama hip-hop bukan satu usaha yang enteng. Mustahak atau tidak, 21 tahun bergelumang dalam genre yang berasal dari kejiranan Bronx, New York itu memberi banyak pengajaran untuknya mencorak karier dalam industri muzik tanah air.

Berbekalkan pendedahan tidak formal tersebut, semangat perjuangan Altimet dalam memberikan ruang untuk genre hip-hop berkembang menerusi industri hiburan tempatan tidak pernah luntur.

Pemilik nama Ahmad Abdul Rahman, 35, ini berkata, sepanjang dia berkecimpung dalam arena muzik tanah air, tiada sekelumit ruang yang mampu menonjolkan penyanyi hip-hop sebagai penulis atau komposer lagu.

Katanya, walaupun pernah menulis untuk lagu Kalau Berpacaran dan Kalau Aku Kaya, standard penulis lagu itu masih jauh jika mahu dipadankan dengan pengkarya muzik hip hop.

"Jika kita lihat, orang ramai lebih mengenali komposer-komposer yang mencipta lagu-lagu bergenre arus perdana. Sebagai contoh, peminat-peminat lebih arif tentang latar belakang seseorang komposer jika dia mencipta lagu untuk artis yang menyanyikan karya irama balada atau rock.

"Namun, kehadiran komposer atau penulis lirik yang berusaha mencipta lagu berkonsepkan hip- hop sukar untuk diberi perhatian.

"Justeru, menerusi album Kotarayaku, saya berharap agar peminat dapat meletakkan komposer dan penulis lirik yang menulis untuk muzik hip-hop sebaris dengan penulis-penulis lagu arus perdana yang lain," luah Altimet ketika ditemui selepas majlis pelancaran album keduanya itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Bukit Bintang (SMKLBB), Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bebas bercerita

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kalau Aku Kaya ini, album Kotarayaku dilihat dapat mencorakkan dimensi baharu terhadap perjalanan seni irama hip-hop di Malaysia, khususnya untuk lagu-lagu yang dicipta dalam bahasa Melayu.

FIGURA ini kini muncul dengan album terbaharu yang berjudul Kotarayaku.


"Menerusi irama hip-hop, saya boleh bercerita tentang apa sahaja. Kisah-kisah yang terkandung dalam album ini semuanya berkisar tentang pengalaman harian saya.

"Selain memberikan gambaran bahawa hip-hop sebagai salah satu cabang seni suara, saya juga mahukan genre ini dilihat sebagai satu platform untuk seni bertulis," ujar Altimet yang menulis lirik untuk semua lagunya di dalam album ini.

Menulis tentang perkara harian yang dilaluinya, Altimet beranggapan, cerita yang ingin disampaikan perlu menerusi bahasa yang mudah agar peminat yang mendengar dapat memahami mesej yang ingin diluahkan.

"Sejujurnya, jika kisah politik sosial atau isu semasa mahu diangkat menjadi sebuah karya di dalam lagu, sudah pasti bahasa yang digunakan perlu mudah difahami.

"Justeru, saya lebih gemar menggunakan bahasa percakapan harian sebagai medium penyampaian kisah di sebalik lirik yang saya hasilkan," ujar Altimet yang mengakui walaupun petah menulis dalam bahasa Melayu, dia bukanlah pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran tersebut.

Kisah peribadi

Walaupun lirik-lirik hasil tulisan Altimet banyak berkisar tentang kehidupannya, namun pelantun lagu Syukur ini enggan mencampuradukkan kisah peribadinya dengan hal kerjaya.

"Saya rasa, jika hal peribadi tidak dicampuradukkan, saya berasa lebih produktif ketika sedang bekerja. Apa yang sedang dilakukan ketika itu dapat disiapkan tanpa sebarang gangguan.

"Sama juga ketika saya berada di rumah, hal-hal kerja saya tinggalkan di studio," ujarnya.

Utuh dengan alasannya itu, Altimet juga turut menyifatkan dirinya sebagai sebuah jenama yang tidak memerlukan sebarang perkongsian kisah peribadi untuk dijual sebagai pelaris.

"Ada sesetengah orang, mereka gemar menjual kisah peribadi untuk tatapan khalayak. Pada masa yang sama, kisah peribadi tersebut digunakan sebagai pelaris untuk produk yang mereka hasilkan.

MENERUSI irama hip hop, Altimet menegaskan, dia boleh bercerita tentang apa sahaja.


"Bagi saya, itu semua tidak penting. Ketika berkarya sebagai seorang penulis, saya mahukan tulisan itu menjadi karya yang terbaik untuk album saya.

"Sesudah siap album itu sepenuhnya, barulah saya fikir cara yang sesuai untuk dipasarkan," ulas Altimet yang tidak menggunakan media sosial sebagai platform untuk meluahkan perasaan, apatah lagi berkongsi hal-hal peribadi.

Penangan media sosial

Melanjutkan bicara mengenai platform media sosial masa kini, Altimet memberitahu, perkembangan teknologi yang ada sekarang banyak membantutkan perasaan peminat terhadap sesuatu yang mereka minati.

"Pada waktu dulu, kami tidak mempunyai kemudahan sambungan internet mahupun telefon pintar. Apa yang berlaku disampaikan melalui akhbar sahaja. Sebagai peminat, apa sahaja berita yang dibaca mengenai idola kami memberi impak yang sangat besar.

"Namun, perasaan itu sudah tiada lagi sekarang. Apa yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari seseorang artis itu mesti dihebahkan menerusi Instagram, Twitter atau Facebook," kata Altimet.

Dalam pada itu, bekas ahli kumpulan Teh Tarik Crew ini tidak kisah jika dia mendapat kecaman atau cemuhan oleh sesetengah pengguna laman sosial mengenai dirinya.

"Mereka hanya berani berbuat demikian di belakang artis tersebut. Saya pasti, jika berjumpa secara bersemuka, mereka tidak mampu untuk berbuat seperti apa yang mereka lakukan di laman sosial.

"Lagipun, sejak di bangku sekolah lagi, saya sudah mula mendapat kritikan kerana mendengar lagu-lagu berentak hip-hop. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa," ujar Altimet positif.

Enot serik tanggung suami

Posted:

Enot serik tanggung suami

Enot serik tanggung suami

Oleh HARYATI KARIM

PELAKON komedi ini tidak kisah bekerja keras demi anak-anak.


PELAKON komedi, Enot mengakui serik untuk berumah tangga semula selepas dua perkahwinannya sebelum ini berakhir dengan perceraian.

Enot atau nama sebenarnya, Alliza Abdullah, 34, memperoleh dua cahaya mata, Andriana Balqis, 13, dan Ariana Qaseh Qistina, 7, menerusi perkahwinan pertamanya.

Namun, perkahwinan pertama itu berakhir dengan perceraian pada tahun 2006. Pelakon itu kemudian berkahwin buat kali kedua dengan Zainul Abidin Mat Noor, 42, pada 21 November 2008 dan bercerai talak satu pada Julai tahun lalu.

Katanya, dia sudah serik bekerja keras untuk 'menanggung' suami. Kini, dia selesa dengan status ibu tunggal dan fokusnya kini hanya untuk membesarkan dua orang anaknya.

Selain itu, Enot bertukar kerjaya kepada usahawan kek dan biskut selepas setahun lebih dia tidak menerima sebarang tawaran lakonan.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Enot yang ditemui pada majlis pelancaran Eh Eh Bazaar baru-baru ini di Restoran Serai, Kuala Lumpur.

Kosmo!: Bagaimanakah dengan kehidupan Enot selepas bergelar ibu tunggal?

ENOT: Alhamdulillah, saya meneruskan kehidupan seperti biasa. Fokus saya untuk membesarkan anak-anak sahaja. Saya bersyukur anak-anak faham dengan masalah saya dan sama-sama belajar hidup susah.

Adakah anda serik untuk berkahwin lagi selepas dua kali gagal dalam perkahwinan?

Memang saya serik. Kalau boleh saya tidak mahu berkahwin lagi. Saya selesa menjadi ibu tunggal selamanya daripada terpaksa bekerja siang malam untuk 'menanggung' suami. Kedua-dua perkahwinan saya mempunyai masalah yang sama. Sebab itu saya fobia dan serik.

Selepas bergelar ibu tunggal, adakah mana-mana lelaki cuba mendekati anda?

Buat masa ini tidak ada lagi sebab memang saya tidak mahu. Jika ada yang cuba mendekati, saya akan cepat-cepat menjauhkan diri. Luka di hati saya belum pulih, bagaimana saya mahu menerima kehadiran orang baharu.

ENOT sudah setahun lebih tidak mendapat sebarang tawaran lakonan.


Andai anda bertemu jodoh pada masa hadapan, apakah kriteria lelaki yang anda inginkan?

Saya akan lebih berhati-hati sebab jodoh itu ketentuan Allah. Perkara utama saya akan lihat adalah tahap ekonominya, mampu atau tidak untuk menanggung saya dan anak-anak. Kalau boleh jika berkahwin kelak, saya tidak mahu bekerja teruk untuk suami lagi. Bukan saya mahu yang kaya raya tetapi cukup untuk menampung keperluan asas, bertanggungjawab dan penyayang.

Apakah nasihat anda untuk wanita di luar sana?

Carilah calon suami yang benar-benar bertanggungjawab. Jika masa bercinta wanita sudah mula menanggung bermacam benda, lebih baik tinggalkan sahaja lelaki yang begitu. Kalau lelaki itu sanggup susah senang bersama dan rajin berusaha, itu lain cerita tetapi kalau awal-awal sudah nampak lelaki itu pemalas mencari rezeki, abaikan sahaja. Jangan biarkan diri anda sengsara kerana lelaki.

Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya seni?

Sejujurnya, saya sudah setahun lebih tidak menerima tawaran lakonan. Tidak tahu apa masalahnya, rasanya sejak saya mula berhijab. Namun, saya tidak salahkan sebab saya berhijab kerana rezeki Allah ada di mana-mana. Sekarang saya sibuk dengan perniagaan kek dan biskut sahaja.

Adakah anda tertekan bergelar ibu tunggal dan tidak diberi tawaran lakonan?

Saya anggap ini semua dugaan yang diberi Allah. Ada hikmah atas apa yang berlaku. Sejak tidak berlakon memang saya hanya bergantung hidup hasil perniagaan kek dan biskut sahaja. Alhamdulillah, ada sahaja rezeki walaupun tidak mewah seperti dahulu.

Anak-anak pun tahu bagaimana teruk saya mencari rezeki dan mereka tidak pernah merungut, sebaliknya membantu saya membuat kek.

Kehidupan itu seperti roda, ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. Tidak apa belajar susah sekarang supaya anak-anak saya ingat kesusahan yang pernah mereka alami.

Wali Band, satu titik hitam dalam warna putih

Posted:

Wali Band, satu titik hitam dalam warna putih

Wali Band, satu titik hitam dalam warna putih

Oleh IZWAN MOHD. ISA


DARI kiri: Tomi, Faank, Apoy dan Ovie menerima plag pelancaran album Doain Ya Penonton daripada wakil pengedar Malaysia, Tropic Jaya Entertainment.


SEJAK menempa nama di Malaysia pada tahun 2009, Wali Band pernah mencuri perhatian penggemar muzik di negara ini menerusi beberapa buah lagu yang berunsur komedi.

Lagu-lagu yang bertemakan kehidupan harian itu juga turut diselitkan dengan irama dangdut bagi memberikan kelainan terhadap kumpulan yang berasal dari Ciputat, Indonesia itu.

Walaupun terkenal dengan lagu-lagu yang disuntik dengan irama tersebut, namun kumpulan yang terdiri daripada Faank, Apoy, Ovie dan Tomi itu tidak pernah berasa sebal hati jika mereka dilabelkan sebagai band kampung.

Menurut vokalisnya, Farhan Zainal Muttaqin atau Faank, walaupun dilabel sebagai kampungan, mereka tetap memperjuangkan seni muzik sama seperti kumpulan-kumpulan yang lain.

"Kami tidak kisah jika digelarkan sebagai pemuzik kampung. Pada pendapat kami, walaupun kampung, seni yang terhasil itu masih mampu dinikmati oleh banyak pihak," ujarnya pada sidang akhbar yang berlangsung sempena majlis pelancaran album terbaharu mereka, Doain Ya Penonton di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru ini.

Menurut Faank, irama tersebut juga dipilih kerana mereka enggan kedengaran serupa dengan puluhan band yang ada di Indonesia.

Pilih Malaysia

"Sejujurnya, persaingan antara band-band di tanah kelahiran kami begitu sengit. Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk muncul dengan genre seperti ini.

"Biarlah kami menjadi satu titik hitam dalam warna putih. Kelainan itu juga mampu dinikmati oleh ramai orang, terutamanya peminat-peminat kami di Malaysia," ujarnya lagi.

Justeru itu, tidak hairanlah jika mereka mengambil keputusan untuk melancarkan album keenam mereka di sini terlebih dahulu sebelum di negara sendiri.

WALI BAND tidak kisah apabila ada segelintir pihak yang melabelkan mereka sebagai pemuzik kampung.


"Disebabkan sambutan yang menggalakkan oleh peminat di sini, kami mengambil keputusan untuk melancarkan album keenam kami di Malaysia terlebih dahulu.

"Tambahan pula, bahasa yang digunakan oleh kami boleh difahami oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia," ujarnya lagi.

Konsep serupa

Masih memilih konsep yang serupa untuk album terbaharu mereka, Faank memberitahu, keadaan dunia yang agak tegang pada waktu ini membuatkan mereka gembira untuk menghiburkan peminat-peminat dengan lagu yang berentak santai.

"Masyarakat dunia sudah cukup tertekan dengan masalah yang dihadapi oleh mereka seharian. Jadi, mengapa perlu kita menambah beban mereka dengan lagu-lagu yang berat?

"Kami percaya, dengan muzik yang berentak sederhana yang ditampilkan dalam setiap album kami, mereka mampu berhibur dan menikmati karya-karya Wali tanpa melibatkan sebarang gangguan emosi," tutur Faank.

Dalam pada itu, ketika disoal mengenai lagu yang dapat menyaingi lagu Cari Jodoh, Faank memberitahu, justifikasi itu perlu diletakkan sendiri oleh para peminat mereka.

"Album ini dihasilkan khas untuk peminat kami yang begitu setia dalam mengikuti perkembangan Wali sejak dahulu lagi.

"Jadi, kami tidak boleh meletakkan sebarang kategori terhadap lagu-lagu yang telah kami hasilkan. Semuanya terletak pada pendapat pendengar sendiri," jelasnya lagi.

Mengagumi bakat yang ada pada penyanyi Amy Search, Faank berkata, mereka begitu teringin untuk berkolaborasi bersama legenda rock itu jika diberi peluang pada masa akan datang.

"Kami membesar dengan lagu-lagu dendangan kumpulan Search. Kami berharap dapat bekerjasama dan berduet dengan Amy suatu hari nanti," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved