Sabtu, 10 Mei 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Selesa dikenali dengan imej berhijab

Posted:

Selesa dikenali dengan imej berhijab

Selesa dikenali dengan imej berhijab

LANGKAH gadis genit itu kelihatan tersusun sopan tatkala kakinya perlahan menerjah masuk ke dalam dewan utama Hotel Aloft, Kuala Lumpur baru-baru ini. Seraya tersenyum, mulutnya petah membutirkan kata maaf atas kelewatannya bertemu pihak media untuk sesi wawancara.

"Aduh, maaf ya, saya lewat sedikit," tutur Fatin Shidqia Lubis, 18, sambil memperbetulkan kedudukannya di atas kerusi.

Tidak sampai setahun, kemenangan anak jati Jakarta ini dalam pertandingan pencarian bakat X Factor Indonesia telah memekarkan namanya bukan setakat di negara kelahiran sendiri, bahkan di seluruh rantau Nusantara. Pertama kali terbang ke Malaysia, Fatin singgah ke Kuala Lumpur selama lima hari bagi mempromosikan album sulungnya berjudul For You.

Merupakan protege kepada penyanyi terkemuka, Datuk Rossa, Fatin mengakui tidak menyangka dinobatkan sebagai juara musim pertama bagi pertandingan tersebut sekaligus membuatkannya dirinya dikenali di negara seberang.

"Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur kerana dikurniakan rezeki seperti ini oleh Allah SWT. Sebelum bergelar penyanyi, saya sama sahaja seperti remaja lain. Selepas berpeluang mengikuti pertandingan X Factor Indonesia, kehidupan saya ternyata berubah," ujar Fatin membuka bicara.

Walaupun sedikit terkejut dengan transisi yang dialaminya setakat ini, ujar Fatin, perubahan itu tidak sedikit pun mengganggu jadualnya pelajarannya ketika berada di sekolah.

"Saya akui, selepas menjadi penyanyi, saya lebih dikenali oleh khalayak umum. Ke mana saya pergi pasti ada yang mengenali. Namun, populariti itu tidak mengganggu tugas saya sebagai seorang pelajar," ujarnya yang baru sahaja menduduki ujian nasional peringkat SMA.

Hijab

Menyentuh mengenai penampilannya yang sopan serta mengenakan hijab, pelantun lagu Aku Memilih Setia itu tidak kisah jika dia dianggap berbeza berbanding rakan-rakan seperjuangannya yang lain.

Katanya, apa yang berbeza adalah penampilan, bukan genre muzik yang dibawakannya.

"Saya tidak ambil pusing mengenai hal ini. Bagi saya, semua penyanyi itu sama sahaja. Kami menjadi penyanyi kerana kami suka dengan bidang ini. Kebetulan, saya memulakan karier dengan penampilan berhijab. Apapun, imej sebegini tidak menghalang saya untuk menyanyi pelbagai jenis lagu," ungkapnya.

Begitupun, Fatin memberitahu, kelebihannya mengenakan hijab terletak pada kekerapan undangan yang diterima apabila tibanya bulan Ramadan.

"Penyanyi di Indonesia yang mengenakan hijab tidak ramai. Jadi, apabila tibanya bulan Ramadan, saya kerap diundang untuk menyanyi pada majlis-majlis berbuka puasa.

"Selain itu, pada hari-hari biasa, saya juga sering dijemput untuk memeriahkan majlis-majlis berunsur keagamaan," ujarnya yang kini merupakan duta bagi butik fesyen Rabbani.


WALAUPUN muncul dengan imej berhijab, ia tidak menghalang Fatin untuk menyanyikan lagu-lagu dari genre yang berbeza.


Amanah

Menyorot kembali kisah di sebalik kejayaannya di X Factor Indonesia, Fatin menyertai pertandingan tersebut ketika masih bergelar pelajar sekolah. Bagaimanapun, setelah meraih kemenangan pada usia yang sangat muda, popularitinya juga ternyata naik dengan mendadak.

Tidak gentar jika suhu popularitinya itu menjadi pemangkin kepada sebarang kontroversi dan cerita-cerita kurang baik, akui Fatin, dia percaya dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT terhadap jalan hidupnya sebagai seorang anak seni.

"Nama saya sudah dikenali sejak menyertai pertandingan X Factor Indonesia. Andai Tuhan telah menggariskan takdir saya sebegini, saya perlu mendukung amanah itu sebaik mungkin.

"Memang ada perasaan takut, tetapi jika perasaan itu dibiarkan berterusan, sampai bila pun saya masih berada di tempat yang serupa. Apa yang penting ialah jalannya perlu seimbang," kata Fatin sambil tersenyum.

Bercakap mengenai hala tujunya sebagai seorang insan seni, Fatin memberitahu, dia mahu memberi fokus yang utama terhadap bidang nyanyian sebelum berfikir tentang perkara lain.

"Walaupun saya pernah membuat kemunculan istimewa dalam filem 99 Cahaya Di Langit Eropa, prioriti saya masih kekal sebagai penyanyi. Jika ditawarkan watak kecil, mungkin saya akan menerimanya. Tetapi jika diminta untuk berlakon sinetron, saya harus menolak," ujar bakal penuntut jurusan Komunikasi Seni Persembahan di London School of Public Relations - Jakarta, Indonesia ini.


MENYANYI merupakan prioriti utama bagi anak jati kelahiran Jakarta, Indonesia ini.


Minat Shila, Najwa

Sebelum sesi temu bual ini dijalankan, Fatin terlebih dahulu menghiburkan peminat-peminat bertuah menerusi sebuah showcase mini dengan membawakan beberapa buah lagu popularnya.

Selain itu, dia turut mendendangkan lagu Grenade, nyanyian asal Bruno Mars serta Patah Seribu yang dipopularkan oleh Shila Amzah. Ujar Fatin, dia begitu meminati penyanyi yang kini sedang membina nama di China itu.

"Saya suka dengan suara Shila. Saya sering menonton video-video yang dimuat naik olehnya di akaun YouTube.

"Personalitinya lucu dan kebolehannya menembusi pasaran antarabangsa memang mengagumkan. Lebih-lebih lagi dia turut menyanyikan lagu Grenade dalam salah satu pertandingan yang disertainya," ujar Fatin yang turut meminati Datuk Siti Nurhaliza dan Najwa Latif.

Pesan Rossa

Walaupun telah lama meninggalkan pentas X Factor Indonesia, namun, nasihat dan pesanan yang diberikan oleh Rossa tidak pernah haus daripada kotak ingatannya.

"Teh Ocha (panggilan mesra Fatin kepada Rossa) banyak memberikan nasihat kepada saya. Jika saya menghadapi masalah sebelum membuat persembahan, saya pasti akan menghubunginya meminta kata-kata semangat.

"Ketika masih bertanding dulu, dia seperti sudah tahu apa yang ingin saya nyatakan walaupun saya belum mengeluarkan suara meminta nasihat daripadanya. Gayanya sudah seperti seorang ibu," luahnya.

Selain nasihat mengenai kariernya sebagai penyanyi, Rossa juga turut mengingatinya agar selalu menjaga hati setiap orang yang bekerja dengannya.

"Dia sering berpesan supaya sentiasa merendahkan diri, jangan pernah sombong dengan sesiapa pun dan sentiasa berbuat baik dengan semua orang," ujarnya menutup bicara.

Kolaborasi dengan Ricky Martin

Posted:

Kolaborasi dengan Ricky Martin

Kolaborasi dengan Ricky Martin

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


DARI kiri, Alif Satar, Judika dan Sezairi teruja dapat berkolaborasi dengan Ricky Martin.


IBARAT pucuk dicita ulam mendatang, tiga penyanyi Asia iaitu Alif Satar (Malaysia), Judika (Indonesia) dan Sezairi (Singapura) berpeluang berkolaborasi dengan penyanyi antarabangsa, Ricky Martin untuk lagu versi Asia Piala Dunia FIFA 2014, Vida.

Vida merupakan lagu pemenang dari pertandingan Super Song, sebuah pertandingan cipta lagu global berprestij yang memberi kesempatan kepada seluruh rakyat dunia untuk terlibat dalam menghasilkan lagu rasmi untuk Piala Dunia FIFA 2014 itu.

Karya Elijah King itu terpilih berdasarkan kualiti muzik, lirik dan juga hubung kaitnya dengan tema serta semangat Piala Dunia FIFA 2014.

Lagu itu dipilih di antara 2000 buah lagu yang menyertai pertandingan Super Song. Pertandingan itu dianjurkan oleh Sony sendiri sebagai penaja rasmi Piala Dunia FIFA 2014.

Secara terpisah, Alif, Judika dan Sezairi telah merakamkan lagu tersebut.

Pelantun lagu Lelaki Seperti Aku, Alif Satar, mengakui sukar menyanyikan bait-bait bahasa Sepanyol dalam lagu Vida. Apatah lagi, penghayatan Ricky dalam menyanyikan lagu itu sangat luar biasa.

"Pertama kali saya dengar lagu nyanyian Ricky menerusi lagu Vida ini, penghayatannya sangat luar biasa. Seperti dia menyanyikannya secara langsung di pesta bola.

"Malah, lagu itu juga dinyanyikan dalam bahasa Sepanyol. Jadi, agak sukar untuk saya menyebut bait-bait lagu dalam bahasa tersebut.

"Saya juga perlu mendapatkan penghayatan Ricky terlebih dahulu dan kemudiannya baru mudah untuk saya menyanyikan lagu tersebut," ungkap Alif.


SIDANG akhbar melalui Skype bersama Ricky Martin di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.


Penghayatan

Bersetuju dengan Alif, penyanyi lagu Setengah Mati Merindu, Judika pula memberitahu, sukar untuk menyambung emosi Ricky yang cukup bersemangat menyanyikan lagu Vida.

"Saya cukup bangga dalam ramai artis di Indonesia, saya terpilih untuk berkolaborasi bersama Ricky. Namun, saya juga gementar apabila mendengar Ricky menyanyi. Emosi dia cukup membakar dan ia kekal sehingga lagu itu habis. Lagu itu juga bagus dan memberi semangat buat siapa yang mendengarnya," luah Judika.

Mengulas lanjut, Judika juga memberitahu, sukar untuk menyatukan suara dengan Ricky kerana rakaman lagu tersebut dilakukan secara terpisah.

"Merakamkan lagu ini gampang (sangat) susah. Saya terpaksa mendengar nyanyian Ricky dengan teliti untuk mendapatkan lenggok dan penghayatannya. Dengan tujuan, biarpun rakamannya dilakukan terpisah namun penhayatannya sama," ulasnya lagi.

Sementara itu, menurut Sezairi pula, mereka tidak hanya menyanyikan lagu Vida dalam bahasa Sepanyol tetapi juga dalam bahasa Inggeris, Indonesia dan Melayu.

"Sejak kecil lagi saya menyukai muzik pop latin dan amat meminati Ricky. Ibarat mimpi menjadi kenyataan saya berpeluang bekerjasama dengannya (Ricky) dan juga penyanyi Asia seperti Judika dan Alif.

"Paling menarik apabila lagu Vida itu juga diberi sentuhan Asia melalui lirik yang diolah dalam bahasa Melayu dan Indonesia," ujarnya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan lagu Vida versi Asia kepada media, baru-baru ini.

Vida versi Asia turut dimuatkan dalam album Piala Dunia 2014 yang berjudul One Love, One Rhythm.

Dalam album yang mengandungi 17 buah lagu itu juga terdapat lagu Vida versi Sepanyol nyanyian Ricky, lagu We Are One (Pitbull featuring Jennifer Lopez & Claudia Leitte) serta lagu nyanyian Aloe Blacc X David Correy berjudul The Worlds Is Ours.

Di sebalik konsert mini Encik Mimpi yang hambar

Posted:

Di sebalik konsert mini <br />Encik Mimpi yang hambar

Di sebalik konsert mini
Encik Mimpi yang hambar

BERBEKALKAN sebuah lagu popular Rindukanlah yang menjadi lagu runut bunyi untuk drama bersiri Playboy Itu Suamiku, penyanyi Encik Mimpi telah ditawarkan mengadakan konsert mini oleh Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Melihat pada sambutan yang diberikan peminat di laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram kepada penyanyi yang menggunakan topeng sebagai imejnya itu cukup memberangsangkan.

Mempunyai seramai 18,678 pengikut di Instagram bagaimanapun tidak lebih daripada 20 orang peminat yang hadir pada konsert mininya itu.

Rata-rata media yang datang membuat liputan agak terkejut dengan jumlah peminat yang hadir. Di manakah silapnya, sehingga begitu sedikit sekali peminat yang memberi sokongan.

Selain jumlah peminat yang sedikit, mutu vokal dan persediaannya juga dipersoalkan memandangkan dia kelihatan seperti 'semput' ketika menyanyikan tujuh buah lagu pada mini konsert tersebut.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Encik Mimpi usai konsert mininya berakhir.


TETAP teruja melayan peminat yang hadir pada konsert mininya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Kosmo!: Adakah anda terkejut dan kecewa melihat jumlah peminat yang hadir terlalu sedikit?

ENCIK MIMPI: Saya tidak terkejut dan kecewa kerana sudah dapat mengagak jumlah peminat yang hadir tidak ramai. Peminat saya terdiri daripada pelajar pusat pengajian tinggi dan pelajar sekolah. Tiket untuk konsert mini ini berharga RM50, mungkin harga tiket menyebabkan ramai yang tidak mampu untuk menghadiri konsert mini saya.

Bagaimanakah kerja promosi konsert mini ini dijalankan?

Selain promosi yang dibuat oleh pihak Hard Rock Cafe, saya juga memberitahu peminat di blog dan laman sosial. Rasanya memang ramai yang tahu tentang konsert mini ini.

Anda dilihat seperti tidak bersedia ketika melakukan persembahan. Selain terlupa susunan lagu, vokal anda juga kedengaran agak 'semput'.

Saya akui vokal saya tidak sehebat penyanyi yang lain. Ingin saya tegaskan, menyanyi adalah hobi sahaja, bukanlah mata pencarian utama kerana saya mempunyai kerja tetap sebagai eksekutif teknologi maklumat. Kesibukan membataskan saya untuk menjalani latihan dengan konsisten. Mungkin sebab itu ada beberapa kesilapan yang berlaku.

Jika anda tahu tidak mempunyai masa untuk membuat persediaan yang lengkap, mengapa masih menerima tawaran daripada pihak Hard Rock Cafe?

Sebagai penyanyi baharu, apabila tawaran diberikan Hard Rock Cafe, bagi saya itu rezeki yang tidak harus ditolak. Saya juga tidak mempunyai sebarang alasan untuk menolak. Saya mempunyai waktu yang terluang dan hanya datang untuk menyanyi sahaja, tidak perlu mengeluarkan wang langsung, semuanya disiapkan oleh pihak Hard Rock Cafe.

Jika saya tidak mengambil peluang dan mencuba perkara yang tidak pernah saya lakukan, sampai bila saya akan belajar menjadi penyanyi yang baik.

Apakah langkah yang anda ambil untuk memperbaiki mutu vokal dan persembahan?

Memang terlalu banyak perkara yang harus saya pelajari terutama selepas membuat konsert mini. Apa yang saya tahu, pihak pengurusan telah mengaturkan kelas vokal untuk saya memantapkan vokal. Soal persembahan, saya belajar hari demi hari daripada komen yang diberikan peminat.

Sampai bilakah anda akan kekal dengan imej bertopeng?

Saya bermula sebagai penyanyi di laman YouTube dan blog. Peminat yang meminta saya kekalkan imej bertopeng dan saya sendiri selesa begini. Sebelum dilamar oleh syarikat pengurusan untuk diambil menjadi penyanyi, saya telah meletakkan syarat untuk tidak mendedahkan soal peribadi.

Bagi saya, lebih bagus begini kerana peminat hanya tertumpu pada karya muzik yang saya bawakan, bukannya penampilan diri atau soal peribadi. Mungkin sampai bila-bila selagi bergelar penyanyi saya akan memakai topeng.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Selepas lagu Rindukanlah, saya telah muncul dengan lagu Menu Cintaku, Ayuh Tinggalkan Dia dan lagu khas untuk mengenang tragedi pesawat MH370 yang berjudul Hikmah Atas Segalanya. Lagu itu merupakan kolaborasi bersama Nomad, Aepul Drama Band dan Ronnie HyperAct.

Bukan mengambil kesempatan atas tragedi tersebut tetapi lagu yang saya tulis seminggu selepas tragedi itu berlaku merupakan satu doa dan berharap ada hikmah atas apa yang berlaku. – HARYATI KARIM

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved