Sabtu, 29 Mac 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘Saya terkejut dicalonkan’

Posted:

'Saya terkejut dicalonkan'

'Saya terkejut dicalonkan'

Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my

MUKHRIZ (dua dari kanan) menerima replika cek bernilai RM250,000 daripada SM Nasarudin (dua dari kiri) pada majlis penyerahan tajaan Kumpulan Syarikat-Syarikat Naza kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah di pejabat Naza TTDI Seksyen 13, Shah Alam, Selangor semalam.


MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bukan sahaja terkejut tetapi turut menolak nama beliau untuk dicalonkan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres badan induk bola sepak negara itu 25 Mei nanti.

Mukhriz yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, beliau sendiri tidak tahu mengenai pencalonan itu, malah percaya ia bukan datang dari Kedah dan tidak tahu negeri mana yang mencalonkannya.

Beliau merupakan antara dua nama yang dicalonkan ahli gabungan FAM untuk bertanding jawatan kedua tertinggi FAM selain Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Jawatan Timbalan Presiden FAM sekarang disandang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Saya sebenarnya agak terkejut dengan pencalonan itu, saya tak tahu negeri mana yang mencalonkan nama saya.

"Baru sebentar tadi (semalam) saya menandatangani surat menolak pencalonan tersebut, saya rasa lebih ramai lagi tokoh yang layak daripada saya untuk memegang jawatan Timbalan Presiden FAM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Tajaan Kumpulan Syarikat-Syarikat Naza berjumlah RM250,000 kepada KFA di Shah Alam semalam.

Cek disampaikan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan tersebut, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Faliq SM Nasimuddin dan Naib Presiden KFA, Datuk Jeffrey Low.

Mengulas mengenai penajaan itu, Mukhriz berkata, penajaan seperti itu penting buat mana-mana pasukan bola sepak memandangkan kos perbelanjaan yang semakin meningkat.

"Untuk mengurus sebuah kelab bola sepak, ia memerlukan belanja yang agak besar.

"Bukan hanya untuk menjamin supaya pemain tidak ke mana-mana, tetapi juga kerana kita berbelanja dalam soal latihan, untuk pastikan bahawa kemampuan mereka menghadapi saingan yang semakin sengit sentiasa pada tahap tertinggi," ujarnya.

Melalui penajaan ini, logo syarikat Naza akan dipaparkan pada baju setiap pemain pasukan sepanjang berlangsungnya Liga Premier 2014.

Sebelum penajaan kepada KFA, Kumpulan Naza turut menaja Piala Sultan Selangor pada 2012.

Kedah kini menduduki tangga keenam liga dengan 13 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.

'Selayang tempat kami'

Posted:

'Selayang tempat kami'

'Selayang tempat kami'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

ATAS kertas, Stadium Majlis Perbandaran Selayang boleh disifatkan sebagai gelanggang keramat buat Sime Darby dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ekoran kedua-dua pasukan berkongsi venue itu sebagai tuan rumah dalam aksi Liga Super musim ini.

Namun, pengendali The Giant Killer, Ismail Zakaria percaya skuad kendaliannya mampu menjinakkan The Gladiators di Selayang menjelang pertemuan kedua-dua pasukan malam ini.

"Memang kami berkongsi venue, tetapi esok (malam ini) kami yang menjadi tuan rumah di Selayang.

"Jadi, saya harap pemain dapat meresap semangat selaku tuan rumah serta memberikan yang terbaik di depan penyokong sendiri ketika berdepan ATM nanti," katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Ismail, skuad kendaliannya kini berazam untuk kembali bangkit melakar kemenangan selepas tewas kepada T-Team di tempat lawan pada Selasa lalu.

"Moral pemain juga berada dalam keadaan terbaik, selain tiada pemain yang dilanda kecederaan mahupun menjalani hukuman penggantungan perlawanan.

"Pemain import dari Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov juga boleh diturunkan (malam ini) selepas selesai menjalani penggantungan kad merah ketika berdepan Johor Darul Takzim tempoh hari.

"Jadi, kami harus menewaskan ATM jika tidak mahu terlalu jauh ketinggalan di belakang pendahulu liga ekoran perbezaan mata antara beberapa pasukan ketika ini tampak masih belum begitu ketara," jelas beliau.

Skuad kendalian Ismail kini di tangga ketiga tercorot Liga Super dengan 10 mata, satu mata di depan ATM selain ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga iaitu Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Ismail juga mengakui beliau masih belum membuat keputusan berhubung dua calon pemain import baharu bagi menggantikan Wisdom Agblexo (Ghana) dan Mahmoud Amnah dari Syria yang dibelenggu kecederaan jangka panjang sejak permulaan musim ini.

Ini kerana, beberapa calon dari Mali dan Nigeria yang sedang diuji The Giant Killer setakat ini jelas gagal memikat hati beliau sebelum jendela pendaftaran pemain ditutup pada pertengahan April depan.

"Saya masih belum membuat kata putus kerana calon import yang diuji setakat ini gagal memberikan aksi yang diharapkan.

"Jika mahu ambil pun, saya percaya kehadiran mereka tidak akan membantu pasukan. Jadi, lebih baik tak payah.

"Buat masa ini, saya masih menunggu kehadiran seorang lagi calon import dari Ghana sebelum membuat sebarang keputusan muktamad," kata Ismail.

Tugas getir menanti skuad Kelantan

Posted:

Tugas getir menanti skuad Kelantan

Tugas getir menanti skuad Kelantan

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


FAKRI (kiri) terlepas aksi menentang Terengganu malam ini akibat penggantungan satu perlawanan.


TUGAS getir menanti Kelantan apabila turun menentang seteru tradisi, Terengganu pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Situasi tersebut diakui pengurus mereka, Azman Ibrahim yang menyifatkan Terengganu tidak akan memberikan laluan mudah kepada The Red Warriors pada perlawanan itu nanti.

Azman berkata, dia tetap menaruh keyakinan terhadap barisan pemainnya, malah mampu melakukan sesuatu pada perlawanan itu nanti walaupun Terengganu dilihat masih segar dengan kemenangan 3-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Selasa lalu.

"Saya harap para pemain dapat melupakan kekalahan kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) tempoh hari dan kembali memberikan fokus pada perlawanan ini dalam usaha mengembalikan semula moral pasukan.

"Saya juga berharap agar ketua jurulatih dapat melakukan sesuatu pada perlawanan itu nanti dan kita seboleh-bolehnya mahu mengelak kekalahan," katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Pada perlawanan itu nanti, Kelantan kehilangan dua tonggak di bahagian serangan iaitu Ahmad Shakir Ali yang mengalami kecederaan manakala Ahmad Fakri Saarani mengalami penggantungan satu perlawanan akibat kad kuning.

Azman memberitahu, kehilangan dua pemain tersebut menjejaskan persiapan mereka, namun Kelantan masih mempunyai barisan yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan oleh dua tonggak berkenaan.

Katanya, dia berharap pemain yang bakal diturunkan pada perlawanan tersebut dapat memberikan aksi terbaik dalam usaha mencuri sekurang-kuranya satu mata dari Kuala Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, Kelantan menerima khabar gembira apabila Brendan Gan, bekas pemain Sydney FC dalam Liga Australia pada tahun 2008 hingga 2011 berkemungkinan besar dapat beraksi dalam perlawanan itu nanti.

Katanya, segala urusan pemain tersebut sudah selesai dan pihaknya kini hanya menunggu kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jelasnya, kehadiran pemain itu dijangka akan memantapkan lagi pasukan Kelantan dalam mengharungi saingan musim ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved