Sabtu, 29 Mac 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


10 tahun kenal Scarlett

Posted:

10 tahun kenal Scarlett

10 tahun kenal Scarlett

HIDUP dalam dunia moden pada abad ke-21 tetapi pemikirannya masih berada pada tahun 40-an iaitu saat Perang Dunia Kedua. Tetapi rasa sunyi yang membelenggu Steve Rogers yang memegang peranan sebagai Captain America dapat diubati apabila dia bertemu dengan Black Widow (Scarlett Johansson).

Bagaimanapun, apabila nyawa salah seorang anggota S.H.I.E.L.D berada dalam bahaya, Steve secara tidak langsung terpaksa menyelamatkan keadaan dan berdepan dengan musuh hebat berlengan logam, The Winter Solder.

Gelodak emosi dan aksi yang lebih mencabar itu perlu dimainkan oleh aktor bertubuh sasa, Chris Evans menerusi watak Captain America yang didukungnya dalam sekuel terbaharu Captain America: The Winter Soldier.

Filem yang telah menjengah pawagam Khamis lalu dan menelan belanja mencecah RM561.12 juta itu juga menampilkan Chris dengan sut Captain America yang baharu.

Mengulas mengenai sut baharu itu, kata Chris:

"Saya sangat menyukai sut baharu Captain America kerana ia memberi pergerakan yang lebih selesa. Namun saya rasa ramai yang menyukai sut lama Captain America kerana mungkin disebabkan sentimen yang menonjolkan sut itu ketika Perang Dunia kedua. Ada sesuatu yang menyebabkan sut lama itu lebih disukai."

Serasi dengan Scarlett

Biarpun menyukai sut baharu namun pelakon berusia 33 tahun itu berasa tidak selesa dengan perubahan topeng Captain America. Jika sebelum ini topeng Captain America menutupi telinga tetapi untuk filem yang terbaharu ini topeng tersebut perlu mendedahkan telinganya.


SELAIN berlakon, Chris amat menikmati karier sebagai seorang pengarah.


"Apabila saya memakai topeng baharu ini, saya mengatakan, tolonglah jangan memaksa saya memakainya. Saya kelihatan seperti orang bodoh. Tetapi mereka (pihak produksi) telah mengubahnya agar ia kelihatan lebih baik. Dan saya boleh menerima dan memakainya," luahnya yang gembira kerana dapat bergandingan dengan rakan lamanya, Scarlett Johansson yang membawakan watak Black Widow.

Mula mengenali pelakon seksi itu sejak 10 tahun lalu, aktor yang turut dikenali menerusi watak Johnny Storm dalam filem Fantastic Four itu juga mengakui selesa bergandingan dengan Scarlett.

Malah, Chris juga telah menganggap Scarlett seperti adik perempuannya sendiri.

"Kami pernah bergandingan dalam empat buah filem sebelum ini. Hubungan baik yang sudah terjalin selama 10 tahun ini menyebabkan kami cukup serasi dalam Captain America: The Winter Soldier.

"Pun begitu, dalam filem ini kami mempunyai karakter yang bercanggah. Black Widow seorang wanita yang licik dan mencari rezeki dengan melakukan penipuan. Sebaliknya, Captain America adalah seorang kapten yang setia dan tidak pandai menipu," ulas Chris yang dipetik daripada portal hiburan Screen Rant.

Puas

Melakukan aksi lagak ngeri sendiri tanpa bantuan pelagak ngeri dalam filem arahan Anthony Russo dan Joe Russo itu, Chris memberitahu, mengalami beberapa kesan lebam dan kecederaan ringan ketika menjayakan filem tersebut.

Namun, akuinya, dia berasa puas demi memberikan aksi lawan terbaik dalam filem berkenaan.

"Selalu akan ada kecederaan apabila ia membabitkan babak pergaduhan.

"Jika anda menghalang tumbukan sekalipun, badan anda tetap akan mengalami rasa sakit dan kesan lebam. Untuk filem ini saya berasa puas melakukan aksi lawan sendiri," ungkapnya.


CHRIS gembira kerana kembali bekerjasama dengan Scarlett Johansson.


Mengarah

Selain sukses sebagai pelakon, Chris juga melakar nama sebagai pengarah.

Biar sibuk sebagai pelakon, dia tidak terlepas untuk mengarah, satu perkara yang dicintainya dalam bidang seni.

Sebuah filem cinta arahannya berjudul 1:30 Train akan menemui penonton kelak.

Filem arahan dan turut dibintangi oleh Chris itu mengisahkan seorang wanita yang dirompak ketika dia mahu menaiki kereta api ke Boston.

"Saya telah meletakkan semua usaha dan tenaga saya ke atas filem ini. Selepas ini mungkin banyak lagi filem akan muncul," ujarnya.

Chris dijangka akan menamatkan karier lakonannya menjelang tahun 2017 selepas kontraknya bersama Malvel tamat.

"Saya lebih suka menjadi pengarah filem, tetapi saya tidak ada masa kerana ada lagi beberapa filem yang perlu saya selesaikan. Saya terlalu sibuk berlakon dan disebabkan itu saya perlu buat keputusan," katanya dalam satu laporan yang disiarkan melalui portal hiburan Variety, mengenai kecenderungannya mengarah filem berbanding meneruskan kariernya dalam bidang lakonan.

Astrid berduet dengan Tim Hwang

Posted:

Astrid berduet dengan Tim Hwang

Astrid berduet dengan Tim Hwang

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

ASTRID gembira kerana lagu-lagunya mula diterima pendengar di Malaysia.


SATU dekad catatan perjalanan karier nyanyian Astrid Sartiasari, ditandai dengan album keduanya iaitu Terpukau. Ia merupakan album kedua yang baru beberapa minggu dipasarkan di Malaysia manakala, di Indonesia ia merupakan album ketiganya.

Tempoh 10 tahun yang diambil Astrid untuk melebarkan sayap ke Malaysia barangkali cukup lama, namun ungkap penyanyi berasal dari Surabaya, Indonesia itu, peminat-peminat di Malaysia sudah mengenali dan sering mendengar lagu-lagunya seperti Tentang Rasa (lagu daripada album pertamanya) dan Mendua (album terbaharu, Terpukau).

"Ada yang bertanya kepada saya kenapa setelah 10 tahun baru datang ke Malaysia. Memang saya mula menyanyi di Indonesia sejak tahun 2003. Sudah 10 tahun. Namun, baru kini saya berkesempatan memasuki pasaran Malaysia dengan lagu yang sesuai.

"Mungkin sebelum ini lagu-lagu saya terlalu berat dan tidak sesuai untuk didengar bagi pasaran Malaysia.

"Saya juga bersyukur kerana lagu Tentang Rasa dan kini Mendua sering didengari di Malaysia," tuturnya lembut ketika ditemui pada majlis pelancaran album keduanya, Terpukau di Neway Karaoke Box, One Utama, Petaling Jaya.

Mengulas mengenai pembuatan album Terpukau, ia memakan masa lebih dari setahun dan ia menunjukkan perubahan hidupnya secara menyeluruh.

"Pembuatan album kali ini benar-benar berbeza kerana proses rakaman dilakukan mulai daripada saya hamil sehingga saya melahirkan anak pertama, Alec Djuara Djoewarsa, setahun dua bulan. Biasanya bagi wanita hamil akan mengalami morning sickness (alahan) tetapi saya diberi keupayaan menyiapkan album ini dengan jayanya walaupun saat itu saya sudah ingin bersalin," ulasnya.

Beruntung bagi ibu kepada anak lelaki itu apabila tidak ada sebarang halangan selama proses pembuatan album tersebut. Malah, Astrid menganggap pembikinan album Terpukau sangat istimewa.

Album tersebut berisi 11 lagu yang pemilihannya didasarkan pada suara dan kecintaannya pada muzik pop.

Tema galau masih begitu kental dalam album kali ini. Buktinya lagu Mendua giat diputarkan di corong-corong radio Indonesia dan mendapat maklum balas positif di Malaysia.


ASTRID dan Tim Hwang.


Tim Hwang

Lebih istimewa, selain lagu Mendua, terdapat satu lagu balada bahasa Korea, duet Astrid bersama penyanyi Korea Selatan, Tim Hwang.

Kesempatan kolaborasi itu diambil saat penyanyi Korea itu memasarkan lagunya di Indonesia. Ia diberi judul Saranghapnida.

"Saya menyanyikan lagu tersebut dalam bahasa Indonesia manakala Tim Hwang menyanyikannya dalam bahasa Korea. Lagu itu sebenarnya milik Tim Hwang dan ia cukup popular di Korea. Dalam ramai penyanyi saya beruntung kerana dipilih untuk berduet dengan Tim Hwang," ujar Astrid merendah diri.

Lagu Saranghapnida itu juga merupakan lagu runut bunyi bagi sinetron (drama), berjudul Saranghae I Love You, lakonan Tim Hwang bersama aktres popular Indonesia iaitu Revalina S Temat.

Selain lagu Mendua dan juga Saranghapnida, turut terkandung dalam album Astrid itu adalah Terpukau dan juga lagu yang diciptakan bersama suami, Arlan Djoewarsa untuk anak mereka iaitu Lagu Untuk Anakku.

Sheila Majid

Terlanjur berbicara tentang anaknya, Alec, Astrid mengakui teruja melihat perkembangan anaknya yang kini menginjak usia setahun dua bulan.

Kata Astrid, Alec sudah boleh berjalan dan bertutur walaupun bahasanya tidak difahami Astrid.

Belum lagi terfikir untuk menghasilkan anak kedua, luah Astrid, anaknya masih kecil dan masih memerlukan kasih sayang sepenuhnya daripadanya.

"Biar satu tetapi berkualiti," jelasnya yang masih menyusu anaknya dengan susu badan.

Kali kelima hadir ke Malaysia, Astrid turut disoal bilakah dia ingin mengadakan konsertnya di Malaysia.

"Saya teringin sekali untuk mengadakan konsert di Malaysia. Buat masa ini sedang dalam perbincangan untuk saya berduet dengan seorang penyanyi Malaysia. Tetapi saya tidak boleh beritahu lagi kerana ia masih dalam proses perbincangan," ujarnya yang teringin untuk berduet dengan penyanyi Sheila Majid.

'Jangan samakan saya dengan Hanez Suraya'

Posted:

'Jangan samakan saya dengan Hanez Suraya'

'Jangan samakan saya dengan Hanez Suraya'

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI

HANIS menerima tohmahan apabila disangka menjalinkan hubungan dengan suami orang kerana permulaan nama dia dan Hanez hampir sama.


MULA dikenali melalui kelantangan dalam penulisan blog, kini namanya semakin dikenali apabila mengambil keputusan untuk terjun dalam bidang hiburan sebagai pengacara dan pelakon.

Hanis Zalikha Zainal Rashid atau lebih mesra disapa Hanis melangkah setapak ke hadapan lagi apabila mula melebarkan sayapnya sebagai duta produk kecantikan.

Biarpun masih hijau dalam industri seni hiburan tanah air, gadis berusia 24 tahun ini manis melontarkan senyuman ketika diminta untuk ditemu ramah para wartawan ketika majlis pelancaran produk baharu Safi Balqis Trilogy di Empire Hotel Subang Jaya, Selangor.

Ketika karier Hanis sedang meningkat naik, Hanis melahirkan rasa kesal apabila sering disamakan dengan pelakon kontroversi Hanez Suraya.

Persamaan nama menyebabkan kontroversi yang melanda Hanez Suraya yang dikatakan menjalinkan hubungan percintaan dengan salah seorang lelaki berstatus suami orang sedikit sebanyak telah menjejaskan nama Hanis Zalikha.

Tohmahan yang dilemparkan kepada Hanis Zalikha di dalam laman sosial telah menyebabkannya tidak selesa dek kekeliruan orang ramai terhadap nama dua orang gadis cantik tersebut.

Ikuti temu bual Kosmo! dengan pelakon yang pernah membintangi filem terbitan Skop Production Snd. Bhd. iaitu Gangster Celop itu.

Kosmo!: Bagaimanakah perasaan anda apabila peminat keliru dengan nama anda dan Hanez Suraya yang kini sedang dilanda kontroversi?

HANIS ZALIKHA: Jauh di lubuk hati, saya merasa kesal sekali dan terkejut apabila baru-baru ini dalam laman sosial Twitter saya menerima pesanan yang tertulis 'Shame On You'. Saya betul-betul terkejut dan tidak tahu apa-apa mengenai perkara tersebut. Setelah diselidik ia merupakan pesanan daripada peminat yang keliru dengan nama saya dengan Hanez Suraya. Bagaimanapun, peminat tersebut telah meminta maaf kepada saya.

Apakah tindakan ataupun reaksi anda apabila menerima tohmahan sebegitu?

Pada mulanya saya kesal sekali, namun pada masa yang sama saya juga bersimpati dengan kontroversi yang melanda Hanez Suraya. Saya bersyukur apabila kontroversi tersebut kini mulai reda.

Adakah anda terdetik untuk menukar nama komersial anda daripada Hanis Zalikha kepada Zalikha?

Saya tidak terfikir untuk melakukan sedemikian memandangkan saya sangat sayang akan nama saya. Pada permulaan saya terjun ke dalam bidang ini, orang ramai sudah mula mengenali saya dengan nama Hanis Zalikha, jadi, saya rasa biarlah saya kekal dengan nama panggilan ini.

Selain menerima tohmahan dalam alam maya, adakah anda menerima ugutan luar ataupun secara fizikal daripada peminat berikutan daripada kontroversi tersebut?

Buat masa sekarang, Alhamdulillah saya tidak menerima sebarang ugutan secara fizikal daripada peminat selain dalam laman sosial. Jika hal itu berlaku, saya akan segera membuat tindakan bagi mempertahankan diri saya.

Beralih kepada soalan lain, boleh anda ceritakan mengenai sebab anda memilih untuk menjadi duta kepada produk kecantikan Safi White Trilogy ini?

Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi duta produk pada kali ini. Mungkin disebabkan sejak dahulu lagi saya sudah menggunakan produk ini di samping saya sememangnya suka produk kecantikan dan sering melakukan pengiklanan produk kecantikan sebelum ini. Walaupun penampilan saya agak kasar namun saya masih menjaga penampilan diri.

Adakah Hanis bersedia untuk memegang amanah sebagai duta memandangkan sebelum ini duta bagi produk kecantikan Safi merupakan nama-nama besar seperti, Dynas Mokhtar, Shila Amzah, dan Elly Mazlein?

Saya rasa ia merupakan tanggungjawab yang besar apabila menerima tanggungjawab sebagai salah seorang duta. Saya sedaya upaya melakukan sebaik mungkin dan saya akan meneruskan legasi ini dengan sebaik mungkin.

Adakah anda merancang untuk mempromosikan produk ini dalam laman sosial memandangkan anda merupakan salah seorang selebriti yang aktif dalam alam maya?

Ya, sudah tentu saya mempunyai perancangan sebegitu. saya juga begitu teruja untuk berkongsi dengan peminat mengenai maklum balas peminat terhadap produk ini sekali gus mempromosikan jenama produk kecantikan ini.10:36 PM 3/28/2014

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved