Isnin, 10 Mac 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘Kes tetap dibicarakan’

Posted:

'Kes tetap dibicarakan'

'Kes tetap dibicarakan'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

TAUFEK menegaskan kes insiden 'Terowong Larkin' tetap akan dibicarakan walaupun PBNJ tidak menjawab surat pertuduhan kes.


INSIDEN 'Terowong Larkin' akan tetap dibicarakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meskipun Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tidak menjawab surat pertuduhan kes berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak berkata, pihaknya tetap meneruskan perbicaraan biarpun tidak menerima sebarang jawapan daripada PBNJ selewat-lewatnya tengah hari esok.

"Buat masa ini, pihak kami masih belum menerima jawapan daripada PBNJ berhubung surat pertuduhan berkenaan.

"Namun, PBNJ masih memiliki masa untuk menjawab surat pertuduhan itu selewat-lewatnya pukul 12 tengah hari pada 12 Mac (esok).

"Jika surat pertuduhan itu gagal dijawab PBNJ mengikut tempoh yang ditetapkan, perbicaraan tetap diteruskan dan satu tarikh akan dikenal pasti bagi memulakan perbicaraan kes berkenaan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Minggu lalu, satu surat pertuduhan telah dikeluarkan FAM terhadap PBNJ gara-gara gagal menjamin keselamatan pegawai dan pemain di stadium itu ketika aksi pusingan kedua Piala FA antara Johor DT dan T-Team bulan lalu.

Justeru, PBNJ diberikan tempoh selama seminggu sehingga pukul 12 tengah hari esok bagi menjawab surat pertuduhan itu mengikut Kod Tatatertib 28.1 kerana gagal menjamin keselamatan hasil siasatan pihak Sekretariat FAM baru-baru ini.

Jika sabit kesalahan, Johor DT selaku tuan rumah boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atas kesalahan kelonggaran keselamatan ketika perlawanan itu.

Mengulas lanjut, Taufek memberitahu pihaknya juga akan mengenal pasti tarikh perbicaraan sebenar mengikut kelapangan ahli Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu sebelum bersidang dan membuat sebarang kata putus.

"Pihak Jawatankuasa Tatatertib FAM boleh menentukan tarikh perbicaraan sekurang-kurangnya dua jam selepas menerima jawapan (daripada PBNJ).

"Namun, tarikh perbicaraan bergantung kepada kelapangan kesemua ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk bersidang, mungkin ia memakan masa dan akan ditetapkan dalam tempoh selewat-lewatnya sebulan," jelas beliau.

Ketika ditanya apakah tindakan yang bakal diterima PBNJ sekiranya gagal menjawab surat pertuduhan itu sebelum tengah hari esok, jelas Taufek: "Itu semua bergantung kepada keputusan ahli Jawatankuasa Tatatertib.

"Buat masa ini, pihak kami menunggu jawapan bertulis secara rasmi daripada PBNJ terlebih dahulu."

Pada 1 Februari lalu, insiden kekecohan itu berlaku di dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin selepas tamat aksi babak pertama.

Ekoran insiden tersebut, T-Team bertindak menarik diri dan enggan meneruskan aksi babak kedua selepas pemain import dan jurulatih kecergasan, Elvado Rodrigues dan Stefano Impagliazzo mendakwa mereka dikasari ketika menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan.

Biarpun T-Team mengemukakan laporan rasmi berhubung insiden tersebut, FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT selepas FAM mendapati alasan keselamatan yang diberikan oleh The Titans tidak kukuh.

Kedua-dua pasukan juga membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Chong Wei beri bayangan awal

Posted:

Chong Wei beri bayangan awal

Chong Wei beri bayangan awal

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

CHONG WEI memegang trofi selepas menjuarai Seluruh England 2014 di Birmingham awal pagi semalam.


AKSI terbaik Datuk Lee Chong Wei pada final Kejohanan Badminton Seluruh England. Itu rumusan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong ketika ditanya mengenai kejayaan Chong Wei muncul juara Seluruh England 2014.

Pada aksi final di National Indoor Arena, Birmingham, England awal pagi semalam, Chong Wei tampil dengan rentak memukau apabila menjinakkan bintang muda China, Chen Long 21-13, 21-18 dalam tempoh 59 minit.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Chong Wei yang juga pemain No. 1 dunia merampas kembali gelaran juara Seluruh England selepas dia muncul juara pada edisi 2010 dan 2011.

Sebagai rekod, Chong Wei tewas kepada jaguh China, Lin Dan pada final edisi 2012 sebelum tumbang ketika menentang Chen Long dalam aksi final tahun lalu.

Mengulas pertemuan menentang Chen Long semalam, Zolkples mengakui, beliau berasa risau jika pemain No. 2 dunia itu memenangi set kedua.

"Saya menonton perlawanan itu dan ia merupakan aksi terbaik pernah saya lihat daripada Chong Wei. Saya percaya dia tidak ada masalah untuk menewaskan sesiapapun jika dia mampu mengulangi aksi sebegitu.

"Chen Long juga memberikan aksi sengit dan pada suatu ketika, kita dapat lihat dia mengejar kedudukan daripada 13-18 hingga 17-18 pada set kedua.

"Kalau dia menang set kedua itu, mungkin keputusan akan berbeza kerana Chen Long juga bukan calang-calang pemain," jelas Zolkples semalam.

Kejayaan itu juga sudah pasti memberi kelegaan kepada Chong Wei kerana sebelum beraksi di Birmingham, dia dikatakan mahu menarik diri ekoran kecederaan buku lali.

Sejurus tamat aksi final semalam, Chong Wei memberikan bayangan bahawa dia mungkin tidak akan kembali beraksi pada kejohanan berprestij itu.

"Saya rasa penampilan kali ini mungkin aksi terakhir saya pada Seluruh England. Saya sangat gembira dan saya telah cuba yang terbaik kerana Chen Long memberikan cabaran yang paling sukar untuk saya.

"Saya pernah tewas dengan dia banyak kali, sebab itu saya mahu cuba yang terbaik dan berazam untuk sekali lagi menjuarai Seluruh England.

"Saya mungkin akan mengakhiri (karier) tahun ini dan saya tidak tahu akan kembali lagi atau tidak tahun depan," ujar Chong Wei.

Senarai 18 pemain masih rahsia

Posted:

Senarai 18 pemain masih rahsia

Senarai 18 pemain masih rahsia

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my


DHAARMA RAJ (kiri) memerhati bekas ketua jurulatih, Paul Revington mengendalikan sesi latihan skuad senior negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bulan lalu.


KETUA jurulatih skuad hoki senior negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah telah mempunyai gambaran skuad utama yang akan beraksi pada kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2014 di Ipoh, Perak bermula Khamis ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, senarai penuh 18 pemain itu masih dirahsiakan dan hanya akan diumumkan selepas tamat dua perlawanan persahabatan terakhir menentang China dan Australia hari ini.

Menurut Dhaarma Raj, beliau masih lagi mahu melihat prestasi anak-anak buahnya meskipun mereka berjaya memperagakan rentak yang baik ketika menentang Kanada dalam tiga aksi persahabatan di Melaka minggu lalu.

"Saya telah kenal pasti 18 pemain yang akan menyarung jersi negara pada PSAS kali ini tetapi saya dimaklumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) supaya menghabiskan dahulu dua perlawanan persahabatan (menentang China dan Australia).

"Kami menang dua perlawanan dan tewas sekali (menentang Kanada) di Melaka tetapi kerana saya ada kumpulan pemain yang besar, jadi saya mahu tunggu tamat dua perlawanan itu dahulu.

"Macam apa yang saya katakan sebelum ini, kemungkinan besar ramai pemain-pemain remaja yang akan beraksi (pada PSAS). Apa pun, saya akan umumkan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dhaarma Raj berkata, barisan pemain remaja yang dinaikkan 'pangkat' telah menunjukkan potensi dan keyakinan tinggi untuk terus memberi saingan kepada pemain senior.

"Mereka tidak sabar untuk bermain dalam PSAS dan saya boleh lihat, mereka mempamerkan keyakinan tinggi sewaktu menentang Kanada baru-baru ini.

"Secara peribadi, saya lihat mereka ini sudah boleh memberi saingan untuk merebut tempat dengan pemain senior. Jika mereka menampilkan rentak sama (menentang Kanada), saya akan turunkan mereka di Ipoh nanti.

"Jika mereka boleh menggalas tugas dengan baik, saya pasti akan berlaku persaingan sihat merebut tempat dalam skuad negara bagi menghadapi Cabaran Juara-Juara 1 (April depan)," jelasnya.

Skuad negara akan memulakan kempen PSAS menentang Afrika Selatan, Khamis ini sebelum bertemu Korea Selatan (16 Mac), Kanada (17 Mac), China (19 Mac) dan Australia (22 Mac).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved