Isnin, 10 Mac 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Inspirasi detik terindah dibukukan

Posted:

Inspirasi detik terindah dibukukan

Inspirasi detik terindah dibukukan

PARA pemenang kempen Detik Terindah bersama Fair & Lovely bergambar dengan Herry Budiazhari (dua dari kiri) dan Chong Yen Nee (tiga dari kanan) dari Unilever Malaysia serta penulis novel, Damya Hanna (tiga dari kiri).


BUKAN sekadar satu jenama produk pencerahan kulit yang dikenali ramai, Fair & Lovely keluaran Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd. (Unilever Malaysia), turut memberi sumbangan dari aspek sastera sosial menerusi pertandingan Detik Terindah bersama Fair & Lovely.

Kempen tersebut berjaya menghimpunkan 100 kisah jalinan kasih sayang penuh inspirasi dari seluruh negara.

Dilihat sebagai satu antologi pertama seumpamanya, ia turut memuatkan sebuah kisah cinta garapan penulis novel Melayu yang menggunakan nama tema Damya Hanna. Ia memaparkan kisah cinta seorang gadis dan seorang jejaka bernama Alya dan Adam.

Detik-detik percintaan pasangan yang cukup menyentuh hati itu sehingga kini telah memperoleh lebih 1.4 juta tontonan di YouTube. Lagu Aku Cinta Padamu yang menjadi tema kempen oleh penyanyi, Lokman Aslam ternyata berjaya menjiwai kisah cinta nukilan Damya Hanna.

Lagu berkenaan bukan sahaja dipaparkan di YouTube tetapi juga di kaca televisyen dan saluran radio tempatan.

"Setiap penulis memerlukan inspirasi bagi menghasilkan karya mereka. Kali ini, inspirasi saya datang daripada Fair & Lovely.

"Kisah ini menceritakan seorang gadis biasa yang memperoleh keyakinan diri daripada transformasi kecantikan selepas menggunakan produk Fair & Lovely. Menerusi perubahan peribadi dan perjalanan yang ditempuhinya, dia juga ditemukan cinta dengan seorang lelaki yang kagum dengan dirinya yang cantik, menawan dan elegan. Ia akhirnya menjadi detik terindah buat dirinya," demikian kata Damya Hanna mengenai inspirasinya di sebalik kisah cinta Detik Terindah bersama Fair & Lovely itu.

Tidak hanya merangkumi kisah cinta, pertandingan yang dianjurkan itu turut memaparkan kisah-kisah kasih sayang terhadap ibu bapa, rasa hormat terhadap individu tertentu, persahabatan, pencarian keyakinan diri dan penyemaian nilai-nilai murni seorang ibu terhadap anak-anaknya.

"Menerusi pelancaran kempen Detik Terindah ini, kami ingin memberitahu para gadis di luar sana bahawa Fair & Lovely akan sentiasa menjadi teman mereka dalam merakamkan detik-detik terindah, di samping memberi inspirasi dalam kehidupan mereka," kata Pengarah Pemasaran Unilever Malaysia, Herry Budiazhari pada majlis pelancaran buku Detik Terindah bersama Fair & Lovely di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Jenama Kategori Kulit, Unilever Malaysia Chong Yen Nee.

Tiga pemenang hadiah utama pertandingan itu turut diumumkan pada acara tersebut. Mereka ialah Siti Aisah Hussein, Yasmin Md. Yassin dan Jaslinawati Ahmad yang membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000 dan hamper Fair & Lovely bernilai RM100 setiap seorang.

Buku Detik Terindah bersama Fair & Lovely kini berada di semua rangkaian kedai buku utama seperti MPH dan Popular pada harga RM21 senaskhah.

Restoran mewah dalam universiti

Posted:

Restoran mewah dalam universiti

Restoran mewah dalam universiti

Oleh NIZHA PERIASWAMY

MAKANAN ini disediakan oleh pelajar setiap Khamis, dua minggu sekali.


SEBANYAK enam jenis hidangan Thai diatur dalam menu restoran L'apprenti yang terletak di Kompleks Perkhidmatan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Restoran yang berkonsep fine dining atau mewah itu kelihatan sibuk dengan kakitangan restoran yang terdiri daripada pelajar, tidak menang tangan melayan pelanggan.

Mereka kelihatan mesra melayang permintaan para pelanggan.

Keadaan di dapur tidak kurang sibuknya dengan para pelajar Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM itu sibuk menyiapkan hidangan enak yang bakal disajikan kepada pengunjung.

Restoran L'apprenti yang dibuka pada September 2010 mampu memuatkan 100 pelanggan pada satu-satu masa itu mempunyai sentuhan tersendiri dengan hampir setiap peringkat penyediaan perkhidmatan dilaksanakan oleh pelajar tahun pertama fakulti berkenaan mengikut konsep yang sudah diatur.

Menurut cef yang memimpin pada hari berkenaan iaitu, Mohammad Yazid Anuar, menu-menu hidangan yang disediakan di L'apprenti adalah mengikut tema yang ditetapkan setiap dua minggu sekali.

"Setiap pelajar akan mengambil giliran menyediakan perkhidmatan sama ada di dapur atau di barisan hadapan agar pendedahan yang diberikan adalah adil untuk semua," katanya sambil memaklumkan pada hari itu, 17 orang pelajar telah ditugaskan di dapur dan 20 di bahagian perkhidmatan.

Pada minggu lalu, kumpulan pelajar tersebut menyediakan sajian Thai di bawah pengendalian Ketua Jabatan mereka, Professor Madya Dr. Shahrim Karim.

Silibus

Menurut Shahrim, pembukaan restoran tersebut merupakan sebahagian daripada silibus pembelajaran di pusat pengajian tersebut.

"Para pelajar didedahkan mengenai bidang kulinari dan pengurusan restoran sebagai satu langkah persediaan sebelum mereka melangkah ke dunia sebenar setelah tamat pengajian kelak," katanya ketika ditemui Kosmo! di restoran berkenaan baru-baru ini.

HIDANGAN utama, nasi kukus bersama kari ayam hijau dan sayur campur.


Memulakan hidangan ialah sajian pembuka selera popular, miang kham yang menampilkan balutan daun kaduk bersama sos masam manis, potongan bawang, halia, cili, limau dan kacang. Ini diikuti dengan hidangan salad betik muda, som tam yang menggabungkan lima rasa hidangan Thai utama iaitu masam, pedas, masin, savuri dan manis.

Menu hidangan Thai pastinya tidak lengkap tanpa sajian tomyam. Pada hari itu, para pelajar terlibat telah menyediakan tomyam gai atau kai iaitu hidangan bersantan dengan makanan laut. Sedikit cair namun tidak memualkan, hidangan yang kaya dengan udang harimau dan sotong, cendawan serta limau purut itu tentunya antara pilihan yang mesti cuba jika anda ke L'apprenti.

Sementara menunggu hidangan utama pada hari itu, para pelanggan dilayan dengan hidangan sejuk sorbet limau. Selepas menikmati makanan-makanan yang panas dan berempah, hidangan itu seolah-olah menyegarkan semula kerongkong untuk fasa kedua sajian makan tengah hari yang disediakan iaitu nasi kukus wangi bersama kari ayam hijau, terung dan sayur campur. Malah, keenakan rasa asli yang diterapkan dalam hidangan kari ayam itu menjadikan ia satu satu lagi pilihan menu mesti cuba.

Sebagai pelengkap selera, hidangan pencuci mulut yang seharusnya tidak dilupakan pelanggan tentunya pulut mangga yang menampilkan hirisan buah mangga segar bersama pulut, santan dan gula Melaka sambil dihias buah ceri.

Bagi Shahrim, restoran yang berkonsep mewah itu sememangnya satu kebanggaan pelajar dan fakulti dengan penyediaan perkhidmatan yang terbaik dalam menjamin kepuasan pelanggan.

"Lebih penting, harga yang dikenakan kepada pelanggan jauh lebih rendah berbanding restoran-restoran mewah lain iaitu RM30 untuk seorang.

"Ini untuk membantu pelajar, pada masa yang sama menggalakkan kehadiran lebih ramai pengunjung ke sini" katanya.

Beliau menambah, sokongan berterusan yang diberikan diharap dapat memberi semangat kepada para pelajar terlibat dan seterusnya diterjemah dalam menyediakan pengalaman gastronomi terbaik kepada pengunjung.

Pada masa terdekat, restoran L'apprenti berhasrat untuk menyediakan hidangan Mexico sekali gus memberikan banyak pilihan kepada para pelanggan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved