Selasa, 18 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sulaman tradisional wanita Melayu Sarawak

Posted:

Sulaman tradisional wanita Melayu Sarawak

Sulaman tradisional wanita Melayu Sarawak

SELENDANG atau selayah. lazimnya digunakan pada majlis keramaian, pertunangan, perkahwinan bahkan dalam adat pengkebumian.


SEBAIK selesai menunaikan solat Subuh, seorang wanita separuh umur keluar ke ruang tamu lalu duduk bersimpuh di hadapan sebuah pemidang kayu berukuran dua meter panjang.

Tegang terbentang di atas pemidang itu, sehelai kain berwarna merah dan diperiksanya dengan teliti dari sudut ke sudut, akhirnya dia menguntum senyuman.

Sejurus itu, dia mengambil satu bekas kecil di bawah pemidang tadi. Di dalamnya terdapat pelbagai alat seperti jarum, benang, gunting dan banyak lagi peralatan lain bagi memulakan rutin hariannya pada awal pagi iaitu menyulam keringkam.

Begitulah aktiviti lazim yang dilakukan oleh Salbiah Muhi, 61, dari Jalan Datuk Ajibah Abol, Kampung No. 5 di Kuching dalam meneruskan kesinambungan warisan sulaman keringkam yang diwarisi daripada ibunya sejak remaja.

Tanpa berlengah, Salbiah memakai cermin mata agar penglihatannya lebih tajam, lalu dia memulakan kerja-kerja sulaman, menyambung pekerjaannya.

Dengan ketelitian dan penuh tumpuan, Salbiah memegang jarum sambil mengira lembar-lembar benang sebelum disulam pada kain kasa rubia itu.

"Sulaman ini perlu dilakukan secara berhati-hati supaya benang daripada plat logam bersadur emas ini tidak patah, pada masa sama dapat memastikan coraknya tersusun kemas.

"Meskipun pekerjaan menyulam ini agak perlahan dan memakan masa, namun apa yang dititikberatkan dalam keringkam ialah kualiti sulamannya. Disebabkan pekerjaannya agak rumit, maka tidak ramai wanita di Sarawak masih melakukannya," katanya kepada Kosmo.

Keringkam merupakan sulaman tradisional wanita Melayu di Sarawak yang dijadikan selendang atau selayah. Lazimnya, ia digunakan pada majlis-majlis keramaian, pertunangan, perkahwinan bahkan dalam adat pengkebumian.

Menceritakan lanjut, Salbiah memberitahu, dia mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyulam pada awal subuh kerana pekerjaan itu akan menyebabkan mata cepat letih.


SALBIAH meneruskan kesinambungan warisan sulaman keringkam yang diwarisi daripada ibunya sejak remaja.


Jika letih, dia akan berehat sebentar. Andai diteruskan juga, hasil sulaman akan rosak tanpa disedari kerana kesilapan pengiraan walau hanya satu lembar benang akan menyebabkan keseluruhan sulaman menjadi tidak berkualiti.

"Kerja-kerja menyulam sememangnya agak rumit kerana ia bermula di keliling tepi selendang sepanjang dua meter itu dan pastinya ia akan menyebabkan mata kita layu dan mengantuk ekoran hanya tertumpu pada kain berkenaan," katanya yang menyambung semula pekerjaan menyulam selepas makan tengah hari atau pada sebelah malam.

Menyentuh tentang motif keringkam, Salbiah memberitahu, kadangkala dia mengunakan kreativiti sendiri untuk mengolah corak bunganya selain mengaplikasikan corak-corak warisan daripada ibunya.

Bagi corak yang mudah dan tidak banyak bunga, sehelai selendang atau selayah boleh disiapkan dalam tempoh yang pendek antara dua hingga tiga bulan, namun untuk corak penuh ia mengambil masa lebih panjang sehingga enam bulan.

Motif

"Lazimnya saya menggunakan pucuk rebung untuk corak sulaman di sekeliling tepi selendang manakala bahagian lain pula boleh menggunakan motif bunga ros, bunga ros mekar, bunga ros kuncup, bunga raya, orkid, paka Jepun mahupun bunga pedada," katanya.

Menceritakan pengalamannya, Salbiah memberitahu, dia cuba membuat sulaman keringkam itu sekadar mencabar bakat diri ketika berusia 17 tahun, namun lama-kelamaan minatnya semakin tinggi terhadap sulaman tersebut.

Mengakui sulaman keringkam agak rumit, namun ia menjadi sesuatu yang menyeronokkan apatah lagi melihat hasil tangan sendiri mampu menyerlahkan penampilan seseorang lebih anggun.

Menurutnya, sulaman keringkam merupakan warisan secara turun temurun daripada nenek kepada ibu sebelum diteruskan oleh anak gadisnya.

"Pada asalnya, saya hanya minat melihat keringkam yang dihasilkan ibu, namun lama- kelamaan timbul minat untuk mencuba membuat sulaman itu sendiri sehingga ke hari ini dan kemudian adik saya Zainap turut berminat untuk mempelajarinya," jelas Salbiah.

Salbiah menambah, dia berasa bertuah dan bersyukur apabila anak perempuannya, Norhajiah Osman, 20-an menunjukkan minat dan mahu mempelajari sulaman ini.


SELENDANG atau selayah. lazimnya digunakan pada majlis keramaian, pertunangan, perkahwinan bahkan dalam adat pengkebumian.


Sementara itu, Zainap memberitahu, meskipun sibuk dengan kerja-kerja sulaman, dia tidak pernah menolak jemputan daripada mana-mana agensi kraftangan untuk menyertai pameran atau demonstrasi sulaman keringkam termasuk di Kuala Lumpur.

Sekurang-kurangnya dengan menyertai pameran atau demonstrasi seumpama itu, dia dapat mempromosikan sulaman warisan Bumi Kenyalang ke seluruh negara bahkan ke peringkat antarabangsa.

Apa yang menarik jelasnya, sulaman ini bukan sahaja mendapat sambutan warga tempatan malah turut mendapat perhatian dan dibeli oleh para pelancong asing dari Australia serta Jepun.

"Pada satu pameran yang saya sertai, ada seorang pelancong Jepun yang begitu teruja dengan sulaman ini hinggakan dia sanggup membeli jarum dan benang emas daripada saya.

"Selain itu, sulaman keringkam ini juga mendapat sambutan dan tempahan daripada pihak istana, para menteri, wakil rakyat, orang-orang kenamaan (VIP), badan kebudayaan dan orang persendirian," katanya.

Benang emas

Menurut Zainap, sesuai dengan kerumitan dan kualiti penghasilannya, harga sulaman keringkam agak tinggi. Namun bagi mereka yang faham dan tahu menilainya, harga tersebut memang setara dengan sulaman tersebut.

Misalnya kata Zainap, harga paling rendah bagi tudung yang mempunyai sulaman keringkam ialah RM500 dan ke atas manakala selendang pula mampu mencecah hingga puluhan ribu ringgit.

"Sulaman ini agak mahal disebabkan harga benangnya mencecah hingga RM90 segulung. Bagi menghasilkan sehelai selendang keringkam, sulaman itu memerlukan sekurang-kurangnya 30 gulung benang emas.


ZAINAP sentiasa memeriksa ketegangan kain di atas pemidang sebelum memulakan sulaman keringkam.


"Bayangkan harga benang emas RM90 didarab dengan 30 gulung, disebabkan itu kos bahannya memang agak tinggi," jelasnya harga tersebut bukan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya untuk menampung kos benang emas.

Dalam pada itu, Zainap memberitahu, dia mengambil upah menyulam berdasarkan bilangan benang emas yang digunakan, maka harga benang dan upah akan menentukan harga sebenar keringkam itu.

"Kami pernah pernah menghasilkan selendang keringkam yang dijual paling mahal berharga RM7,000 sedangkan kos sebenarnya mencecah RM10,000," katanya.

Bagi seorang belia, Mohd. Nuradli Ismail @ Idris, 24, berkata, dia begitu minat terhadap sulaman keringkam kerana sulaman itu kelihatan unik berbanding sulaman lain.

Menurutnya, mungkin disebabkan ia agak rumit untuk dihasilkan menggunakan benang emas atau perak. "Selendang mahupun selayah keringkam sememangnya cantik dan anggun bila dipakai si gadis jelita," katanya.

Bagaimanapun kata Mohd. Nuradli, tidak dinafikan bahawa bilangan generasi muda yang mengetahui tentang sulaman keringkam ini boleh dibilang dengan jari.

"Saya amat menyokong sebarang usaha untuk mempertahan dan mengembangkan seni sulaman keringkam, jika boleh ia melangkaui ke peringkat antarabangsa.

"Salah satu caranya, mungkin pihak yang bertanggung jawab terhadap seni warisan seumpama ini mempergiatkan lagi usaha mempromosikan sulaman keringkam selain meng galakkan penggunaan produk tersebut dalam skala yang lebih luas," katanya ketika ditemui.

Cabaran WeChat ke pasaran global

Posted:

Cabaran WeChat ke pasaran global

Cabaran WeChat ke pasaran global


PERBELANJAAN besar dilaburkan oleh Tencent bagi memasuki pasaran antarabangsa.


APABILA pengeluar kondom, Durex mahu menghantar mesej intim kepada pelanggan di China, syarikat itu menggunakan platform mesej segera tempatan dipanggil WeChat yang telah menjadi pilihan utama pengguna telefon pintar sejak tiga tahun lalu.

WeChat atau dikenali sebagai Weixin mempunyai persamaan dengan aplikasi mesej segera seperti WhatsApp yang dibeli oleh Facebook pada harga RM62.31 bilion bulan lalu.

Peningkatan pengguna saban tahun memberikan ruang kepada aplikasi itu menembusi pasaran. Namun, wujud kebimbangan mengenai keselamatan siber di China yang boleh menjejaskan cita-cita tersebut.

Aplikasi tersebut mempunyai beberapa fungsi yang lebih menarik berbanding WhatApps. Ia membolehkan 300 juta penggunanya menghantar kiriman teks, gambar, video dan mesej bersuara. Selain itu, terdapat satu pilihan dengan hanya satu goncangan, pengguna dapat berhubung dengan pengguna lain secara rawak.

Pengguna Wechat di China tidak terhad kepada individu sahaja malah pekerja kerajaan turut menggunakan aplikasi yang dibina oleh Tencent, sebuah syarikat telekomunikasi gergasi di China.

Sejak perjanjian WhatsApp itu diumumkan baru-baru, saham Tencent telah meningkat 9.4 peratus, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM491.93 bilion menghampiri jumlah monumental Facebook sebanyak RM590.31 bilion.

"WeChat adalah platform mesra rakyat yang digunakan setiap hari," kata pengurus kanan jenama untuk Durex Fay Zhao. Kempen baharu syarikat itu telah meminta penggunanya untuk menyampaikan cerita cinta mereka menerusi WeChat.

Penganalisis teknologi di China berpendapat WeChat telah menghakis populariti satu lagi media sosial di negara itu iaitu Weibo. Ia mempunyai persamaan dengan Twitter.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Analysys International, WeChat kini berada di kedudukan kedua paling popular di China sebagai alat pesanan ringkas di peranti mudah alih.

"Ia telah mengalami peningkatan yang pesat sejak ia dikomersialkan pada tahun 2013," menurut kenyataan syarikat perundingan teknologi itu yang dikeluarkan pada bulan Februari.


KAWALAN ketat internet di China menjadi penghalang kepada perkembangan WeChat ke luar negara.


Bayaran

Aplikasi itu tidak mengenakan sebarang bayaran untuk dimuat turun tetapi terdapat beberapa caj akan dikenakan seperti pembelian secara talian emotikon dan permainan video.

Bagi mengekalkan momentum pengguna, WeChat telah memperkenalkan perkhidmatan baharu seperti permainan video dan pembayaran dalam talian untuk perkhidmatan tempahan teksi.

Tencent memperoleh pegangan 20 peratus dalam Dianping.com iaitu sebuah laman web carian restoran sekitar China pada Februari lalu dan mula menawarkan kupon makanan melalui WeChat.

Perjanjian terbaharunya, Tencent mengambil pegangan 15 peratus dalam syarikat jualan langsung dalam talian, JD.com, usaha itu untuk lebih bersaing dengan e-dagang gergasi, Alibaba.

Ditubuhkan pada tahun 1998 di bandar Shenzhen, Tencent adalah salah satu syarikat internet terbesar di China yang memberikan saingan hebat kepada Alibaba dan enjin carian domestik, Baidu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tencent, Ma Pony meletakkan harapan tinggi untuk meluaskan WeChat ke pasaran antarabangsa dengan membelanjakan sebanyak RM655.90 juta tahun lepas. Salah satu strateginya adalah melantik pemain bola sepak terkenal Lionel Messi untuk membintangi kempen pengiklanan aplikasi itu.

Dalam satu kenyataan kepada media tempatan, Pony mengklasifikasikan Wechat sebagai produk yang mempunyai peluang besar untuk menembusi pasaran luar tetapi kebimbangannya kepada keselamatan siber di negara itu boleh menghancurkan harapan tersebut.

Kebimbangan

Pihak Amerika Syarikat (AS) menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan peralatan telekomunikasi yang dijual oleh firma-firma China seperti Huawei dan ZTE.

Pemerintah negara Tembok Besar itu mengekalkan pengawasan ketat terhadap rangkaian internet. Beberapa informasi dan maklumat di laman carian Weibo yang dianggap terlalu sensitif telah dipadamkan. Sebelum ini, firma-firma internet China dan syarikat asing yang beroperasi di negara itu perlu memberikan maklumat pengguna kepada pihak berkuasa sebagai satu langkah keselamatan negara.

Berikutan itu, penganalisis berpendapat akan wujud kebimbangan dalam kalangan pengguna Barat mengenai keselamatan internet dan perlindungan data peribadi dalam WeChat.

"Negara-negara Amerika dan Eropah amat mementingkan perkara-perkara tersebut sehingga berasa was-was untuk menggunakan produk dari China. Ia menjadi halangan besar kepada pengusaha tempatan untuk berkembang," kata penganalisis, Lu Jingyu.

Selain WeChat, beberapa aplikasi pesanan ringkas yang menguasai pasaran Asia ialah Line dari Jepun dengan jumlah pengguna 300 juta orang manakala Kakao Talk dari Korea Selatan dengan jumlah pengikut seramai 100 juta orang.

"Sudah terlalu banyak aplikasi pesanan ringkas yang telah menguasai pasaran global, ia dilihat sebagai satu cabaran besar kepada WeChat untuk diterima," ujar salah seorang penganalisis dari Analysys International, Dong Xus. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved