Selasa, 18 Mac 2014

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Aplikasi bantu rancang perjalanan

Posted:

Aplikasi bantu rancang perjalanan

Aplikasi bantu rancang perjalanan

Oleh HAFIZ AHMAD

APLIKASI Plus Mobile boleh dimuat turun di telefon pintar atau tablet.


KERJAYA sebagai seorang ahli perniagaan menuntutnya untuk berulang-alik dari ibu kota ke selatan tanah air sekerap mungkin. Perjalanan jauh itu kadangkala membuatkan Mohd. Azhan Hamza, 30, berasa resah mengingatkan keadaan trafik yang tidak menentu.

"Keadaan lebuh raya tidak boleh dijangka kerana ada masanya lenggang tanpa sebarang masalah tetapi jika tersilap hari, tempoh perjalanan sedikit terlewat akibat kesesakan jalan raya," ujarnya ketika ditemui Infiniti di Persada Plus, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sehubungan itu, dia akan merancang perjalanan dengan mengikuti perkembangan trafik lebuh raya melalui laman sosial Twitter atau menerusi aplikasi navigasi seperti Waze dan Google Maps.

"Bagaimanapun, sejak dua minggu lalu, saya lebih gemar menggunakan aplikasi baharu yang dikeluarkan oleh Plus Malaysia Berhad (Plus) iaitu Plus Mobile kerana ia memberikan informasi yang lengkap untuk perjalanan saya.

"Tidak hanya memberikan maklumat mengenai keadaan trafik terkini di lebuh raya Plus, ia juga memaklumkan mengenai sebarang aktiviti kerosakan atau kemalangan yang terdapat di sepanjang lebuh raya Plus," jelas Mohd. Azhan berasal dari Kuala Lumpur itu.


INFORMASI yang diterima menerusi pusat kawalan trafik akan disalurkan terus ke Pl ustrafik.


Lebih interaktif

Dia menambah, berdasarkan informasi yang diperoleh dari aplikasi tersebut dia mampu merancang perjalanan lebih awal sebelum bergerak ke Johor Bahru.

"Boleh dikatakan, ia mampu menandingi Waze atau Google Maps kerana Plus Mobile ini lebih interaktif kerana pengguna akan mendapat informasi terkini dan pantas.

"Berbanding aplikasi navigasi sedia ada, informasi yang diterima melalui aplikasi Plus Mobile adalah sahih memandangkan ia diseliakan oleh pihak Plus sendiri," ujarnya.

Aplikasi tersebut merupakan salah satu inisiatif yang dijalankan oleh Plus untuk memastikan pengguna lebuh raya mendapat maklumat perkembangan trafik dengan lebih pantas, mudah dan jelas.

Dilancarkan pada awal tahun ini, Plus Mobile boleh dimuat turun secara percuma ke telefon pintar atau tablet menerusi sistem operasi App Store bagi pengguna Apple dan Google Play untuk pengguna peranti Android.


SETIAP info yang terdapat di Plus Mobile akan dikawal selia oleh pihak Plus.


Menurut Ketua Pegawai Operasi Plus, Mohammad Fuad Khusairi, pelancaran aplikasi tersebut adalah selari dengan perkembangan masa kini yang menginginkan informasi yang cepat dan tepat.

"Memandangkan pengguna telefon pintar yang semakin meningkat saban tahun, aplikasi seperti Plus Mobile ini dapat membantu dalam perjalanan seharian mereka.

"Perancangan awal perjalanan adalah objektif utama Plus Mobile kerana ia bukan sahaja menjimatkan masa, malah ia dapat mengurangkan kesesakan yang sering dihadapi oleh pengguna lebuh raya," ujarnya.

Fungsi Plus Mobile tidak terhad kepada info trafik semata-mata kerana menerusi aplikasi itu juga, pengguna turut mendapat maklumat-maklumat lain seperti kalkulator tol, kemudahan-kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan peta lebuh raya interaktif.

"Selain itu, Plus Mobile juga menyediakan paparan imej terkini di laluan-laluan tertentu di lebuh raya dan R&R. Ia akan dikemas kini setiap lima minit bagi memberikan gambaran jelas kepada pengguna.

"Sebagai contoh, jika ingin memulakan perjalanan ke utara dengan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (NSE), mereka hanya perlu klik pada pilihan Live Feed dan simbol kamera akan muncul dalam peta perjalanan," ujar Mohammad Fuad.


JIKA berlaku sebarang kerosakan kenderaan atau kemalangan di lebuh raya, maklumat tersebut akan disalurkan melalui Plus Mobile.


Imej terkini

Menerusi Live Feed, pengguna akan dapat paparan imej terkini menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sepanjang lebuh raya tersebut.

"Begitu juga dengan keadaan terkini di kawasan R&R kerana melalui imej tersebut, pengguna boleh melihat perhentian mana yang tidak terlalu sesak dengan ruang letak kereta yang mencukupi," kata Mohammad Fuad.

Bagi mengira jumlah tol perjalanan, Plus Mobile menyediakan kalkulator ringkas melalui pilihan My Journey. Pengguna hanya perlu memasukkan data perjalanan mereka dengan kelas kenderaan yang digunakan.

Jumlah tol tersebut juga disertakan dengan lebuh raya yang akan digunakan berserta jarak kilometer bagi setiap lokasi.

"Selain itu, jika pengguna boleh mendapatkan arah ke lokasi lebuh raya tertentu dengan menggunakan sambungan ke sistem navigasi sedia ada. Mereka boleh memilih sama ada ingin menggunakan Waze atau Google bagi mendapatkan arah ke lokasi pilihan," jelas Mohammad Fuad.

Informasi trafik melalui pilihan Live Traffic juga merangkumi keadaan terkini aktiviti di lebuh raya seperti maklumat penutupan jalan, kemalangan jalan raya dan kerja-kerja penyelenggaraan.

"Ia akan dipamerkan melalui simbol-simbol tertentu sebagai contoh, jika Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) berlaku kemalangan, pengguna akan melihat satu simbol yang disertakan dengan penerangan ringkas.

"Ringkasan tersebut akan dipadamkan selepas kerja-kerja menyelamat dan penyelenggaraan telah dilakukan," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Azhan mengharapkan aplikasi tersebut menyediakan fungsi panggilan kecemasan sekali gus membantu pengguna ketika berada dalam situasi genting. Panggilan tersebut sebaiknya disambungkan terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

"Ia penting jika berlaku kecemasan seperti kemalangan yang memerlukan bantuan segera. Tindakan pantas tersebut mampu menyelamatkan nyawa selain membantu melancarkan trafik dengan cepat," cadang Mohd. Azhan.

Bakau sebagai benteng pesisir pantai

Posted:

Bakau sebagai benteng pesisir pantai

Bakau sebagai benteng pesisir pantai

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my


BARISAN pengamal media, sukarelawan Intel Malaysia dan anggota Persatuan Kebajikan Nelayan-nelayan Pulai Pinang di tapak penanaman semula pokok bakau di Sungai Sembilang.


HAMPIR sedekad lalu, dunia digemparkan dengan bencana tsunami yang melanda Acheh, Indonesia. Peristiwa yang mengorbankan berpuluh-puluh ribu nyawa itu turut mendapat perhatian Malaysia sebagai negara jiran yang paling hampir dengan negara tersebut.

Igauan ngeri itu juga masih terpahat kemas dalam lipatan memori penduduk setempat di Sungai Sembilang, Juru di Pulau Pinang.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Nelayan-nelayan Pulau Pinang, Ilias Shafie, 63, berkata, peristiwa tersebut menimbulkan kesedaran penduduk terutamanya komuniti nelayan untuk melakukan sesuatu bagi membenteng kawasan perairan Pulau Pinang.

"Penduduk sedar akan kepentingan pokok kayu bakau yang berfungsi sebagai pembenteng ombak semula jadi. Nelayan di sini sudah mula memulihkan beberapa kawasan tumpuan paya bakau sejak tahun 1997 tanpa sumbangan daripada mana-mana pihak.

"Namun, selepas kejadian tsunami di Acheh pada tahun 2004, banyak syarikat korporat tampil untuk bersama-sama memulihkan kawasan paya bakau di sekitar Pulau Pinang.

"Salah satu daripadanya ialah Intel Malaysia. Kami menyambut baik sumbangan yang diberikan dan kerjasama ini bermula pada tahun 2005 hingga sekarang," ujarnya ketika ditemui di kawasan tanaman paya bakau Sungai Sembilang baru-baru ini.


SUKARELAWAN Intel Malaysia menunjukkan pokok Bakau Minyak sebelum ditanam di kawasan paya bakau Sungai Sembilang, Juru, Pulau Pinang.


Antara lokasi lain yang diberikan tumpuan bagi tujuan yang sama ialah di Sungai Acheh, Pusat Pendidikan Paya Laut Sungai Acheh dan Kuala Haji Ibrahim di Nibong Tebal serta Bagan Belat.

Selain itu, hutan paya bakau turut berfungsi sebagai kawasan pembiakan dan penghasilan stok ikan dalam mengekalkan sumber perikanan serta menjaga alam sekitar.

Setakat ini, Intel Malaysia sudah berjaya menanam sebanyak 19,000 anak pokok Bakau Minyak di beberapa kawasan. Usaha tersebut membuahkan hasil apabila pelbagai spesies pokok bakau tumbuh di kawasan tersebut menjadikan jumlah terkini mencecah 25,000 pokok bakau.

Sementara itu, sukarelawan Intel Malaysia, Zalina Abdul Rahman, 36, terlibat secara aktif dalam program penanaman pokok paya bakau yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.


BOT usang ini tersadai di kawasan berhampiran hutan bakau Sungai Sembilang.


"Sebagai pekerja, kami digalakkan untuk menjadi contoh rujukan kepada masyarakat melalui aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

"Saya seronok menyertai aktiviti ini kerana secara tidak langsung dapat mengenali penduduk setempat dengan lebih dekat dan lebih menghargai alam sekitar. Sedikit sebanyak saya sudah boleh mengenali jenis-jenis pokok bakau yang ada di sini.

"Tambah mengujakan, pekerja dapat menyalurkan bakti kepada masyarakat menerusi program berasaskan kemahiran masing-masing," katanya yang mesra disapa Along. Dia juga terlibat dalam aktiviti kempen kesedaran bersama pihak sekolah di sekitar Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

Dianggarkan keluasan kawasan tanaman semula pokok paya bakau di bawah kerjasama Intel Malaysia adalah seluas 3,345 meter persegi.

Usaha murni Intel Malaysia itu turut mendapat pujian aktivis alam sekitar dari Jepun iaitu Inoue Reiko yang merupakan Pengarah Perwakilan di Pusat Sumber Pasifik Asia-Perbadanan Antara Manusia (Parcic).

"Kami menghormati usaha Intel Malaysia dan nelayan di sini kerana mereka berusaha untuk menyelesaikan masalah dengan sendiri.

"Kami mahu menyokong apa yang dilakukan mereka dengan mencari dana untuk disalurkan bagi program ini," katanya yang kerap berkunjung ke Malaysia untuk melakukan penyelidikan sejak tahun 2008.

Plus Mobile papar maklumat terkini trafik

Posted:

Plus Mobile papar maklumat terkini trafik

Plus Mobile papar maklumat terkini trafik


LEBIH 150,000 pengguna telah memuat turun aplikasi Plus Mobile sejak dilancarkan pada Januari 2014.


SEJAK dilancarkan tiga bulan, Mobile Apps yang dikeluarkan oleh Plus Malaysia Berhad (Plus) telah dimuat turun lebih 150,000 pengguna. Pecahan tersebut meliputi 80,000 pengguna Apple dan 70,000 untuk Android.

Ia mempunyai perbezaan ketara dengan aplikasi navigasi seperti Waze dan Google Maps kerana ia tidak bertindak sebagai penentu arah secara total tetapi lebih kepada rangkuman maklumat terkini aliran trafik di lebuh-lebuh raya Plus.

Ketua Pegawai Operasi Plus, Mohammad Fuad Khusairi berkata, pengguna perlu memahami kedua-dua konsep tersebut memandangkan wujud salah faham antara aplikasi tersebut.

"Plus Mobile menjurus kepada aplikasi yang membolehkan pengguna merancang perjalanan mereka. Maklumat yang diterima dari aplikasi tersebut perlu diambil perhatian sebelum bergerak ke destinasi perjalanan mereka," ujarnya.

Dia menambah, perancangan itu penting terutamanya ketika musim perayaan yang sering berlakunya kesesakan jalan raya. Jika pengguna mengambil langkah merancang perjalanan, mereka dapat mengelak daripada tersekat di lebuh raya.

Mengulas mengenai cadangan penambahbaikan yang diberikan oleh pengguna Plus Mobile, dia berkata, Plus mengambil berat perkara tersebut dengan menimbangkan beberapa usul yang bersesuaian.

"Kami akan melakukan penambahbaikan bagi memastikan aplikasi ini terus relevan kepada pengguna lebuh raya. Malah, kemas kini aplikasi turut dilakukan secara kerap agar ia mudah digunakan tanpa sebarang gangguan," jelas Mohammad Fuad.

Dalam pada itu, sistem kemas kini maklumat diselenggarakan oleh pusat kawalan trafik dengan kerjasama 17 pejabat seksyen di sepanjang lebuh raya Plus. Ia akan dimuat turun secara serentak ke Plus Mobile dan Twitter rasmi Plus (@plustrafik) bergantung kepada keadaan trafik semasa.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved