Selasa, 11 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Geluguh alatan tradisi Orang Asli

Posted:

Geluguh alatan tradisi Orang Asli

Geluguh alatan tradisi Orang Asli

TRADISI menangkap udang galah cukup sinonim menggunakan jala, pukat atau pancing.

Namun, apabila diungkap mengenai geluguh, pasti ramai yang menggaru kepala kerana kaedah tersebut begitu asing lebih-lebih lagi kepada bukan penggemar aktiviti sungai.

Carian menerusi internet juga mendapati maklumat mengenai geluguh kurang diuar-uarkan.

Justeru, pertemuan penulis dan jurugambar, Ahmad Zakki Jilan bersama peniaga kedai makan, Mohd. Saufi Jusoh, 48, di Kampung Leban Chondong, Rompin, Pahang telah membuka jalan untuk 'menggali' kisah geluguh.

Mohd. Saufi yang merupakan pembekal udang galah di daerah itu, memperoleh bekalan udang galah segar daripada Orang Asli yang mendiami tebing Sungai Rompin.

Menariknya, udang galah yang dibekalkan mereka mempunyai jangka hayat lebih panjang sekali gus membolehkan pengemarnya menikmati kemanisan udang galah tersebut.

Rupa-rupanya, Orang Asli tersebut menggunakan teknik tangkapan yang dikenali sebagai geluguh.

"Saya mahu pelanggan saya menikmati udang galah yang segar. Jadi, mendapatkan bekalan daripada Orang Asli di sini merupakan langkah terbaik kerana mereka rajin ke sungai setiap hari.

"Malah, teknik tangkapan yang digunakan iaitu geluguh membuatkan udang galah yang ditangkap lebih bersih dan mempunyai tempoh hayat lebih lama," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


LUDIN menunjukkan udang yang masuk ke geluguh miliknya yang diletakkan di Sungai Rompin, Pahang.


Pengalaman

Bagi seorang penduduk Orang Asli di Kampung Limau, Rompin, Ludin, 42, pengalaman menangkap udang galah lebih 20 tahun membuatkan kredibilitinya sukar diragui.

Walaupun sepanjang kerjaya itu, Ludin berdepan pelbagai liku, kini dia boleh tersenyum kelegaan kerana memiliki 125 buah geluguh yang dibuatnya sejak setahun lalu.

Ini kerana, untuk menyiapkan sebuah geluguh bukanlah tugas yang mudah. Melihat kepada reka bentuk perangkap udang galah tersebut, ia kelihatan sukar untuk disiapkan.

Rangka luar perangkap udang yang mampu bertahan sehingga tiga tahun itu dibuat menggunakan kulit kayu jenis Merawan yang diperoleh sekitar hutan di kampung tersebut.

Selepas seharian meredah hutan mencari kulit kayu tersebut, Ludin akan merendamnya seharian di dalam sungai untuk memudahkan kulit itu melentur ketika proses geluguh dibuat.

"Bahan lain yang diperlukan ialah rotan, tali tangsi dan dawai. Bahagian berbentuk seperti kon merupakan ruang perangkap udang galah dan ia diperbuat ketika masuk dan menjadi perangkap dibuat daripada rotan.

"Setelah semua bahan diperoleh, saya mampu menyiapkan antara lapan hingga 10 geluguh dalam sehari.

"Saya perlu siapkan lebih banyak geluguh untuk diletak dalam sungai untuk mendapat hasil tangkapan yang lebih lumayan. Jadi sampai masa, saya hanya perlu kutip hasil tangkapan untuk dijual," katanya.

Ada juga geluguh milik Ludin yang dibuat menggunakan paip polivinil klorida (PVC) namun, ia menelan kos yang lebih tinggi berbanding menggunakan bekalan semula jadi.

Umpan

Berkongsi pengalaman menangkap udang menggunakan geluguh, rakan sekampungnya, Mahidin, 53, memberitahu, perangkap itu akan diletak bersama umpan ubi kayu di dalam sungai secara kekal di habitat haiwan itu membiak.

PEMBUATAN geluguh yang rumit membuatkan golongan muda Orang Asli kurang berminat mempelajarinya.


Selang dua hari, Mahidin akan menyelusuri sungai seawal pukul 7 pagi bersama bot yang menggunakan enjin ke lokasi geluguh diletakkan untuk melihat hasil tangkapan yang menjadi sumber pendapatannya.

"Udang galah ada musim tertentu antara Februari hingga Mei. Pada bulan-bulan ini, hasil kutipan udang galah amat baik. Setiap geluguh boleh mendapat hasil sehingga 20 ekor udang galah.

"Jika bernasib baik, saya mampu memperoleh bekalan hingga lapan kilogram dan kemudian dijual kepada pembekal pada harga antara RM40 hingga RM60 sekilogram," katanya.

Jika dihitung, mereka mampu menjana pendapatan sehingga mencecah hingga RM3,000 sebulan.

Mencari rezeki untuk keluarga tercinta dengan menghabiskan masa di sungai pasti ada cabaran tersendiri. Begitu juga, Mahidin yang sudah lali dengan cabaran tersebut.

Antaranya, terserempak haiwan berbisa seperti ular dan reptilia ganas, buaya.

Penulis dan jurugambar yang mengikuti Ludin menjenguk udang galah juga bersua dengan ular kapak di dahan pokok berhampiran tebing sungai.

Dicuri

Namun, lebih mengecewakan apabila melihat geluguh kosong dipercayai hasilnya dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

"Bukan mahu menuduh sesiapa tetapi ia dah menjadi perkara biasa di sini. Kita perlu faham, Sungai Rompin ramai orang luar yang datang untuk menangkap ikan dan udang galah, kami sudah lali dengan kejadian ini," kata Mahidin.


RUMAH rakit ini boleh disewa kaki pancing di Sungai Rompin, Pahang.


Bagi Mat, 40, dia bimbang kemahiran tradisi masyrakat Orang Asli menangkap udang galah menggunakan geluguh akan pupus suatu hari nanti.

Kebimbangannya ternyata berasas apabila generasi muda Orang Asli sekarang tidak berminat untuk mengambil tahu mengenai pembuatan geluguh. Mereka menganggap membuat geluguh terlalu rumit, perlu seharian masuk ke hutan mencari bahan-bahan dan memakan masa yang lama.

"Golongan muda lebih selesa menggunakan peralatan yang lebih moden seperti jala, pukat dan pancing untuk mendapatkan udang galah.

"Benar, setiap kaedah ada kelebihan dan daya tarikan tetapi kami sebagai Orang Asli mahu warisan geluguh ini terus kekal sampai bila-bila. Walaupun bukan sekadar untuk mencari rezeki, golongan muda boleh menjadikannya aktiviti pada masa lapang. Itupun sudah bagus bagi mengekalkan penggunaan geguguh," katanya.

Konflik ibu tunggal di Thailand

Posted:

Konflik ibu tunggal di Thailand

Konflik ibu tunggal di Thailand


TERDAPAT ibu tunggal yang bekerja di bengkel membuat tembikar tanah liat bagi menyara kehidupan mereka.


BERGELAR ibu tunggal dan buta sebelah mata ekoran kejadian rusuhan, Tungrudee Jaiin, 39, terpaksa seorang diri membesarkan empat orang anaknya di selatan Thailand sekali gus menanggung beban yang berat.

Segaris parut kelihatan pada dahinya yang menandakan dia kehilangan satu mata akibat terkena peluru ketika pemberontak menembak suaminya dalam satu hukuman bunuh.

Igauan ngeri tersebut telah meletakkan Tungrudee dalam konflik berpanjangan yang dialami oleh kebanyakan ibu tunggal di selatan Thailand yang menyaksikan seramai 5,900 orang terbunuh di wilayah dengan majoriti penduduknya beragama Islam.

Sebahagian besar mangsa merupakan orang awam yang terhimpit antara tentera keselamatan Thailand dengan kekejaman pemberontak. Kira-kira 400 wanita maut. Pihak berkuasa menyatakan, seramai 2,700 orang telah mendaftar sebagai ibu tunggal selepas suami mereka dibunuh di Narathiwat, Yala dan Pattani.

Mangsa dan anak-anak mereka terpaksa keluar mencari sesuap nasi setelah ketua keluarga dipenjarakan. Ada juga para suami yang melarikan diri supaya tidak ditangkap atau menyertai gerakan pemberontak.

Dalam nada suara yang lembut dan bebas daripada rasa dendam, Tungrudee yang telah memeluk agama Islam untuk berkahwin dengan suaminya teringatkan kembali akan peristiwa yang menimpa keluarganya lima tahun lalu apabila pemberontak membunuh suaminya kerana menjadi pemberi maklumat kepada kerajaan.

"Dua minggu kemudian, mereka kembali menembak saya lalu membiarkan saya sengsara. Mereka turut membakar rumah kami," katanya sambil menunjukkan mata, bahagian badan dan kaki yang terkena tembakan.

Anak lelakinya terbakar teruk dalam kebakaran tersebut.

Perlindungan

Kini, Tungrudee dan anak-anaknya yang berusia antara empat hingga 15 tahun mendapat perlindungan tentera di kampung ibu tunggal, Rotan Batu. Tempat perlindungan itu mampu menempatkan seramai 140 orang wanita dan 300 kanak-kanak.

"Kadang-kadang saya rasa lemah dan terfikir bagaimana hidup saya tanpa suami? Tetapi bila saya lihat anak-anak saya, saya terfikir siapa lagi yang akan menjaga mereka jika bukan saya?," luah Tungrudee.

Perwatakan tenangnya adalah lambang kekuatan seorang wanita yang sedang berdepan dengan konflik yang pada asalnya wajar melampiaskan amarah di atas pergolakan politik di negara Gajah Putih itu.


KANAK-KANAK Thailand menuruni tangga trak yang menjadi kenderaan mereka pulang dari sekolah.


Pakar memberitahu, wanita Islam menghadapi kesukaran tertentu di wilayah yang berfikiran konservatif dan mempunyai budaya yang berbeza daripada penduduk Thailand yang majoritinya beragama Buddha.

Ketiadaan suami bermakna wanita Muslim perlu bertanggungjawab menyediakan perbelanjaan keluarga.

Tambahan pula, hak bersuara wanita disekat kerana politik dan pemberontakan dikawal oleh golongan lelaki.

Dalam pada itu, Angkhana Neelapaijit dari Yayasan Keadilan Untuk Keamanan berkata, wanita tiada hak untuk bersuara.

"Tugas mereka adalah untuk menjaga keluarga," tegasnya.

Satu tinjauan yang dilakukan oleh sebuah yayasan baru-baru ini mendapati, kekurangan pendidikan terhadap wanita menjadi punca mereka menerima bayaran upah yang rendah atau tidak mendapat pekerjaan.

Kekurangan lain di Thailand adalah pengendalian proses undang-undang yang kompleks dengan pasukan keselamatan kebiasaannya menangkap mereka yang disyaki sebagai pemberontak secara beramai-ramai.

Politik

Sesetengah wanita merasakan bahawa hampir mustahil untuk menyara keluarga dan pendidikan anak-anak.

Bagaimanapun, kini terdapat ruang untuk wanita menceburi bidang politik yang ditinggalkan oleh lelaki. Golongan wanita diberi peluang untuk menyertai kumpulan kemasyarakatan bagi memperjuangkan keadilan.

"Peranan wanita semakin besar berbanding lelaki yang dicurigai oleh pihak berkuasa, dipenjarakan atau meninggal dunia," kata pembikin filem, Noi Thammasathien, yang telah bekerja keras menangani isu-isu wanita di Thailand.

Lebih 50 orang terbunuh sejak awal tahun ini termasuk dua wanita Buddha yang ditembak mati dan dibakar dalam dua kejadian berasingan kurang seminggu berlakunya kejadian pertama.

"Wanita sangat menderita di sini, tetapi kami mesti besarkan anak kami sendiri. Kami mesti terus hidup," kata penduduk, Mariyah Nibosu, sambil membentuk periuk tanah liat untuk dijual di bengkel kampungnya.- AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved