Jumaat, 14 Mac 2014

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Crossover unik dua benua

Posted:

Crossover unik dua benua

Crossover unik dua benua

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR

IMEJ Koleos yang tersendiri membuatkan sesuai untuk berada di tengah bandar dan hutan.


MODEL crossover sedikit demi sedikit mula mendapat tempat dalam hati peminat kenderaan tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jenama-jenama seperti Subaru XV, Suzuki SX4, Mitsubishi ASX, Renault Koleos dan Peugeot 2008 merupakan antara crossover yang bersaing dalam pasaran tempatan.

Beberapa tahun lalu, kenderaan seperti Jeep atau Pajero hanya digunakan oleh individu yang terbabit dalam industri pembinaan. Tetapi kini, kenderaan itu sudah mula digunakan untuk ke pejabat.

Pun begitu, crossover dengan rekaan menarik dan kedudukan tempat duduk yang agak tinggi berbanding kereta sedan mendorong minat pembeli untuk kelihatan lebih mantap.

Baru-baru ini jenama premium dari Perancis, Renault memperkenalkan model Koleos versi pacuan roda hadapan. Sebelum ini, model pacuan empat roda itu diperkenalkan pada tahun 2010.

Debut pertama versi pacuan roda hadapan ini dipertontonkan semasa International Buenos Aires Motor Show kali keenam pada tahun lalu.

Model ini sebenarnya merupakan hasil kerjasama Nissan dan Renault yang berasaskan platform Nissan X-Trail.


STERENG Koleos yang dibalut dengan kulit memberikan ciri-ciri mewah di ruang kabinnya.


Pemilihan Nissan X-Trail itu berikutan enjin dan transmisi model berkenaan yang sudah terbukti kualitinya. Rekaan luaran dan dalaman dihasilkan Renault.

Kombinasi dua jenama gergasi ini sudah pasti memberikan hasil yang terbaik untuk sebuah crossover premium bernama Koleos itu.

Baru-baru ini Renault melalui pengedar rasminya TC Euro Cars Sdn. Bhd. (TCEC) melancarkan Koleos versi pacuan dua roda dengan harga RM185,888 atas jalan dengan insurans.

Koleos baharu ini masih menggunakan enjin 2.5 liter dan transmisi CVT enam kelajuan yang menghasilkan kuasa maksimum 170hp dan tork maksimum 226Nm.

Apa yang menariknya pada Koleos 4X2 ini ialah sistem multimedia R-Link yang merupakan sistem audio dengan fungsi navigasi serta sambungan telefon bimbit.

Sistem multimedia ini dilengkapi dengan skrin sentuh 7 inci serta sistem audio dari jenama Bose. Fungsi itu juga turut disertakan dengan kamera undur.

R-Link boleh dikawal menggunakan butang kawalan yang terletak di belakang tombol gear.

Selain itu, Koleos ini juga dilengkapi dengan Blind Spot Warning (BSW) atau amaran titik buta dengan paparan secara visual di skrin R-Link.

Ruang kabin Koleos ini kelihatan mewah dengan material yang berkualiti dan selesa ketika disentuh. Tambahan pula Koleos ini dilengkapi dengan bumbung suria bermotor.

Menyentuh aspek rekaan luaran, Koleos tampil agak unik dengan gaya dan ciri-ciri yang tersendiri. Sebagai contoh, bonet belakangnya boleh dibuka secara dua peringkat.

Antara perbezaan Koleos versi pacuan empat roda ialah, bampar hadapan baharu, gril dan logo Renault lebih besar.

Koleos yang diimport sepenuhnya ini kelihatan lebih menawan kerana menggunakan rim bersaiz 17 inci dengan dua tona warna.

KUAN KIM LUEN (kiri) dan Pengurus Besar TCEC, Reza Mutalib (kanan) bergambar selepas majlis pelancaran Koleos.


Sebagai rekod, TCEC telah membawa masuk 10 unit model ini untuk dijual.

Antara ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada Koleos ialah ABS, EBD, EBA, ESC, understeer control dan enam beg udara keselamatan.

Renault Koleos ditawarkan dalam tiga warna seperti hitam, putih dan kelabu. TCEC menawarkan jaminan tiga tahun atau perbatuan 100,000 kilometer atau yang mana tiba dahulu.

Sementara itu, TCEC telah membuka cawangan bilik pameran keempatnya di Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Pengarah TCEC, Kuan Kim Luen, pembukaan cawangan itu adalah untuk dijadikan bilik pameran untuk model yang laris seperti, Renault Megane RS265 Red Bull Racing RB8, Koleos dan akan datang Fluence serta Clio RS.

"TCEC berharap pembukaan kemudahan bilik pameran baru di Glenmarie akan terus mengembangkan perniagaan kami di kawasan ini.

"Kami percaya pelanggan kami perlu menerima komitmen yang serius daripada kami apabila mereka membeli kenderaan Renault," katanya.

Talaan M7Mitsubishi Lancer Evolution VII

Posted:

Talaan M7<br />Mitsubishi Lancer Evolution VII

Talaan M7
Mitsubishi Lancer Evolution VII

Oleh FARID AWALUDIN



BULAN lalu, Garaj ada mengetengahkan sebuah jentera modifikasi Subaru Impreza WRX STi. Edisi kali ini memaparkan musuh rapat Subaru, apa lagi jika bukannya Mitsubishi Lancer Evolution VII.

Lebih sinonim dengan panggilan Evo, jentera jenama Jepun itu boleh dikatakan sebagai sebuah model kereta yang cukup sifatnya hasil padanan enjin legenda 4G63T yang mampu meledakkan kuasa maksimum 280bhp dan tork sekuat 385Nm.

Keistimewaannya juga bersangkut paut pada sistem pacuan empat roda (4WD) dengan bantuan LSD elektronik yang dikenali sebagai Super AYC (bahagian belakang) dan sistem ACD pada bahagian tengah. Ia membolehkan kereta ini melekat pada permukaan jalan tar, batu kerikil mahupun salji.

Seorang pemilik Evo, Mohd. Arshad Ahmad berkata, Evo VII ibarat sebuah kereta separa siap dan pemilik perlu melakukan kerja-kerja tambahan bagi melengkapkan jentera itu.


ENJIN asal ditala semula untuk meningkatkan ledakan kuasa.


Berikutan itu Arshad memutuskan untuk menghantar model Evo VII miliknya ke premis aksesori dan talaan M7 Johor Bahru untuk melakukan proses naik taraf. Perkara pertama yang dilakukan ialah pembinaan semula enjin 4G63T.

Omboh asal digantikan dengan omboh Tomei bersama stroker kit yang meningkatkan kapasiti asal enjin dari 2.0L kepada 2.2L. Galas bebola atau ball-bearing yang dipadankan pada rod penghubung adalah jenis tahan lasak keluaran King Bearing.


SET meter Defi yang membekalkan maklumat berhubung suhu komponen ditempatkan atas papan pemuka.


Naik taraf ekstensif

Sistem turbo asal juga dirombak secara ekstensif dengan menggantikan turbin asal kepada jenama Garret GT30 AR50 Ball Bearing. Turbin itu digandingkan dengan wastegate Tial dan ekstraktor 'banana' HKS. Untuk memudahkan aliran penyejukan enjin, tugas itu disandarkan kepada intercooler bersaiz besar jenama HKS.


KOTAK gear ditala semula untuk menyokong prestasi enjin jentera.


Tambahan kuasa pada enjin boleh mengakibatkan berlakunya kegelinciran pada klac asal. Untuk mengelakkan perkara itu, pemilik menggunakan klac karbon tunggal Ogura untuk memastikan setiap perahan kuasa enjin dapat disalurkan ke bahagian transmisi secara efektif dan lebih pantas.

Bagi mengukuhkan kawalan kereta, Arshad melakukan dua perkara. Pertama, suspensi asal digantikan dengan jenis boleh laras sepenuh jenama Tein. Kedua, kereta ini dipasang dengan set lengkap bar ARC (merangkumi strut bar hadapan, strut bar belakang dan bar pillar B).

Keupayaan membrek Evo VII dikawal dengan padanan cakera berkembar AP Racing bersama angkup Brembo asal pada roda hadapan. Tiada sebarang modifikasi dilakukan pada set brek Brembo bahagian roda belakang.

Hanya sedikit sentuhan diberikan pada bahagian dalaman kabin. Satu set meter Defi dipasang pada bahagian tengah papan pemuka untuk paparan bacaan suhu ekzos, suhu air, suhu minyak pelincir, tekanan minyak pelincir dan boost turbo.


PENAPIS udara HKS yang dipasang pada bahagian enjin menjadi pilihan Mohd. Arshad.


Mengurangkan berat

Pada bahagian kanan papan pemuka, pemilik menempatkan meter RSM Apex'I untuk paparan revolusi pusingan enjin dan kelajuan kereta dalam bentuk digital. Meter itu juga mendokong beberapa fungsi lain seperti merekod data pecutan 0-100 kilometer sejam dan kelajuan maksimum.

Stereng kereta dipasang suis High Boost yang bersambungan bersama pengawal boost elektronik Greedy untuk memudahkan pengaktifan sewaktu pemanduan.

Kosmetik luaran sememangnya mencerminkan rupa paras sebuah jentera perlumbaan dengan konsep imej lightweight. Spoiler belakang ditanggalkan. Bonet hadapan dan belakang ditukar kepada jenis gentian karbon keluaran Varis. Begitu juga dengan cermin pandang sisi. Objektifnya adalah untuk mengurangkan berat kenderaan dan meningkatkan faktor aerodinamiknya.

Jika tidak menukar rim, kereta ibarat masih belum lengkap sepenuh. Arshad memilih rim Volk Racing TE37 bersaiz 18X9.5jj dengan padanan tayar Falken berukuran 245/40R18.

Gaya hidup Kawasaki

Posted:

Gaya hidup Kawasaki

Gaya hidup Kawasaki

Oleh SHAWKATH AZDE


MODEL Z1000 terbaharu Kawasaki mampu mengubah persepsi produk keluaran negara Jepun di kaca mata negara Barat.


APABILA menatap dari jauh, keunikan paras Kawasaki Z1000 mengundang satu persoalan dalam fikiran penulis. Mengapa pengeluar motosikal Jepun itu tampil dengan produk sebegini? Ia sudah menyimpang jauh daripada binaan konvensional Kawasaki sebelum ini.

Model naked itu nampak seperti sebuah jentera ciptaan pengeluar-pengeluar motosikal terkemuka di negara Barat. Penulis berasakan Kawasaki mahu menjual motosikal untuk gaya hidup baharu.

Rembesan hormon

Tafsiran itu selari dengan falsafah sugomi yang dilaungkan oleh Kawasaki Heavy Industries Ltd. (KHI) sewaktu debut model itu di Pameran Motor Milan (EICMA) di Itali, November lalu.

Pendek kata, sugomi mendokong objektif mengaitkan keseluruhan aspek gayaan dan pendekatan terperinci kejuruteraan motosikal untuk dinikmati sepenuhnya oleh para penunggang.

Baru-baru ini, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kawasaki Malaysia) membuka ruang untuk Garaj mengadakan satu sesi tunggang uji Z1000 baharu. Sesi itu merangkumi laluan jalan lama Gombak-Genting Highlands -Batang Kali-Kuala Kubu Bahru-Tanjung Malim sebelum berakhir di Slim River, Perak.

Kawasaki Z1000 berjaya merangsang rembesan hormon dalam tubuh penulis sehingga lahirnya rasa khuatir, yakin, takut dan seronok. Satu kepuasan di akhir sesi tunggangan yang berjaya membuatkan penulis tersenyum. Mungkin ini yang dimaksudkan sebagai nikmat oleh KHI.

Motosikal satu liter itu sememangnya sedikit berat bagi penulis namun tidak mendatangkan masalah untuk mengemudinya. Perkara itu disebabkan paras ketinggian pelana yang membolehkan tapak kaki memijak bumi tanpa sebarang masalah.

Badan terpaksa dilentur sedikit ke hadapan untuk mencapai hendal yang rendah. Kedudukan perehat kaki menyokong postur tunggangan dan mengurangkan rasa tidak selesa. Pelana nampak nipis tetapi banyak memberi kelegaan pada punggung penulis.

Instrumen meter sememangnya cantik namun ia tidak banyak membantu penulis sewaktu tunggangan. Paparan maklumat sukar dibaca kerana posisi kedudukan meter rendah ditambah pula saiznya yang kecil.

Hanya satu jari

Z1000 akan bertindak balas mengikut kemahuan penunggang. Semuanya bergantung pada cara memulas pendikit minyak. Setiap kali pendikit dipulas, respons enjin sememangnya jelas terasa. Kuasa tarikan ditala untuk julat pusingan enjin rendah sehingga sederhana.

Tafsiran penulis, motosikal ini tidak sesuai bagi penunggang amatur. Ia tidak didatangkan dengan sebarang pilihan mod tunggangan mahupun ciri kawalan cengkaman. Malah penunggang juga tidak boleh memadamkan sistem brek antikuncinya.

Biarpun begitu, kadar kelembutan tuil brek menjadi nilai tambah bagi para penunggang. Anda boleh menarik tuil brek dengan menggunakan satu jari sahaja dan pad brek cakera akan memperlahankan kelajuan jentera tanpa sebarang masalah.

Prestasi fork hadapan dan penyerap hentak tunggal bahagian belakang disifatkan sebagai cemerlang sewaktu tunggangan kelajuan tinggi. Cuma apabila menunggang dalam keadaan perlahan pada permukaan jalan tidak rata, ia kurang memuaskan. Apapun, kadar rendaman dan prabeban boleh dilaras mengikut cita rasa sendiri.

Pada awalnya, penulis agak skeptikal terhadap set lampu hadapan yang dipasang pada perumah yang kelihatan seperti kepala ikan keli. Rasa ragu-ragu itu hilang sejurus sahaja selesai menunggang selama beberapa jam sebelum matahari terbit.

Kadar pencahayaan putih cukup terang biarpun hanya menggunakan dua unit lampu LED. Apabila butang lampu tinggi diaktifkan, rata-rata pemandu kereta di hadapan penulis mula gelisah dan membuka laluan untuk Z1000 meluncur ke hadapan. Mungkin kerana pantulan itu terlalu terang sehinggakan pemanduan mereka terganggu.

Bagi penulis, Kawasaki Z1000 berjaya menyatupadukan teknologi motosikal Jepun dengan gaya Eropah. Jika KHI meneruskan momentum binaan sebegini, sudah pasti ada pengeluar motosikal Eropah tidak senang duduk.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved