Khamis, 6 Februari 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Bahana kecelaruan mental tidak dirawat

Posted:

Bahana kecelaruan mental tidak dirawat

Bahana kecelaruan mental tidak dirawat

KES melibatkan pembunuhan darah daging sendiri mungkin berpunca daripada masalah kecelaruan yang tidak dirawat. - Gambar hiasan


BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu yang dapat digambarkan dengan kes seorang bapa yang telah mengelar tiga orang anaknya di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini. Akibatnya, seorang daripada mereka meninggal dunia manakala dua lagi cedera parah.

Secara logiknya, kita mungkin telah menafsirkan bapa tadi sebagai seorang manusia kejam. Bagaimanapun, logik akal kita juga bertanya mengapa pula seorang bapa sanggup membunuh zuriatnya sendiri?

Sebagai ibu bapa, jangankan mencederakan anak-anak, bahkan kita juga tidak sanggup melihat seekor nyamuk kecil menggigit anak-anak kita. Begitulah kasih sayang ibu atau bapa terhadap anak-anaknya.

Namun, ada kes terpencil membabitkan ibu atau bapa yang mencederakan atau membunuh anak-anak mereka. Kisah menyayat hati seumpama ini dilaporkan di seluruh dunia.

Menjadi 'orang lain'

Pada tahun 2010 di Kota Bharu, Kelantan seorang budak lelaki berusia tiga tahun telah disembelih oleh bapanya. Ia kisah yang sangat menyedihkan, tetapi kita juga perlu bersikap adil. Sekiranya seseorang itu normal, mereka tidak akan sanggup melakukannya.

Ada juga kes lain yang lebih kejam, contohnya di Bangkok, Thailand pada tahun 2012, seorang wanita menyembelih dua anak lelakinya berusia satu dan lima tahun. Lebih teruk lagi, kedua-dua anak itu kemudiannya dimasak dan dimakan ibunya yang mendakwa dia melihat kedua-dua anaknya itu seperti khinzir.


INDIVIDU yang menghadapi masalah psikologi ini sering berhalusinasi.- Gambar hiasan


Kesemua itu menunjukkan seolah-olah perbuatan kejam dilakukan dalam keadaan seseorang itu bukan lagi dirinya yang sebenar. Mereka telah berubah menjadi 'orang lain'.

'Orang lain' dalam konteks ini ialah orang tadi mungkin telah mengalami gangguan psikologi yang teruk. Mereka mungkin telah menghidap penyakit mental tetapi tidak menyedarinya kerana menjangkakan kecelaruan yang dialami adalah isu biasa yang boleh ditangani.

Orang kita pasti sanggup membelanjakan ribuan ringgit sekiranya mereka berasa sedang menghidap penyakit fizikal. Namun, sekiranya ada tanda-tanda kecelaruan psikologi, biasanya kita jarang mendapatkan khidmat profesional yang disediakan oleh pihak hospital atau agensi tertentu.

Sebaliknya, orang kita lebih sanggup untuk mendapatkan rawatan bomoh yang belum tentu mampu menyelesaikan semua masalah.

Masyarakat kita sendiri telah memberikan label yang kurang menarik terhadap pesakit mental, walaupun ia boleh dirawat. Label seperti 'orang gila' atau 'kurang siuman' telah menyebabkan seseorang yang mengalami masalah psikologi tertentu, lebih sanggup mendiamkan diri daripada mendapatkan rawatan.

Sebenarnya, banyak daripada penyakit mental ini tidak datang secara tiba-tiba. Ia dimulai dengan simptom tertentu seperti murung, tidak boleh tidur malam, keluh kesah atau didatangi mimpi buruk.

Ada sesetengah tanda ini dapat dikesan oleh pesakit sendiri. Sekiranya tidak dirawat segera, masalah ini akan menular menjadi lebih teruk.

Sampai ke peringkat yang teruk, pesakit akan mula mendengar bisikan-bisikan halus yang menyuruh mereka melakukan sesuatu. Dalam kebanyakan kes, bisikan-bisikan ini biasanya akan menyuruh seseorang melakukan sesuatu yang bersifat merosakkan, sama ada membunuh diri atau mencederakan orang lain.

Arahan-arahan yang dinamakan sebagai false beliefs of persecution atau dalam bahasa mudahnya arahan-arahan yang tidak masuk akal ini hanyalah ilusi semata-mata. Bagaimanapun, ia dianggap nyata oleh pesakit.

Pada waktu-waktu tertentu, pesakit ini menjadi normal seperti orang lain. Sebab itulah, tidak ramai orang dapat mengesan sama ada seseorang itu sedang mengalami kecelaruan atau tidak. Mereka kelihatan seperti orang normal, namun boleh berubah menjadi orang lain pada masa lain.

MASALAH kecelaruan yang dihidapi seseorang individu boleh menyebabkan mereka bertindak melampaui batas fikiran termasuk membunuh diri. - Gambar hiasan


Kesan kecelaruan

Ahli keluarga dan orang terdekat yang biasa bergaul dengan individu terbabit, biasanya dapat mengesan mereka yang mengalami kecelaruan sekiranya mereka mula berbual atau mengemukakan pandangan yang jauh bertentangan daripada sifat asal mereka. Dalam erti kata lain, mereka kelihatan bukan mereka yang dulu.

Di Malaysia, sebenarnya kita mempunyai pelbagai agensi yang boleh membantu ahli masyarakat yang mengalami masalah seperti ini. Kita mempunyai kaunselor terlatih yang disediakan oleh pihak kerajaan, sama ada di hospital atau universiti yang boleh membantu mereka yang mengalami masalah tersebut.

Sekiranya masalah terbabit dianggap kronik, hospital mempunyai ahli psikiatri yang boleh membantu memberikan rawatan tertentu.

Apapun, semua ini perlu bermula dengan kepercayaan pesakit itu sendiri bahawa mereka sebenarnya manusia sakit yang perlu dirawat. Mereka bukanlah orang gila atau kurang siuman seperti yang dilabel masyarakat. Mereka adalah seperti pesakit penyakit fizikal lain yang boleh dibantu.

Ahli masyarakat juga perlu rasional dan terbuka apabila memperkatakan golongan pesakit mental ini. Seperti penyakit lain, jika hari ini ia menjangkiti orang lain, belum tentu ia tidak menimpa kita pada masa hadapan.

Projek Baginda tanda cintakan Nabi SAW

Posted:

Projek Baginda tanda cintakan Nabi SAW

Projek Baginda tanda cintakan Nabi SAW

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


PROJEK BAGINDA yang diadakan di Kuala Lumpur pada bulan lalu melibatkan 20 orang sukarelawan pertubuhan amal Kindness Dot My.


SUASANA panas terik pada petang 14 Januari lalu tidak dihiraukan sekumpulan anak muda yang berkumpul di hadapan pusat beli-belah Lot 10, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Mereka asyik menyediakan beberapa kotak barang mengandungi ratusan kuntum bunga mawar segar yang siap dihias dengan reben. Terdapat juga sekeping kad kecil diselitkan pada bungkusan bunga tersebut.

Di dalamnya tertera hadis-hadis Nabi SAW berkaitan kebaikan dan kemurahan hati yang dicetak dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, puluhan paket kudapan seperti gula-gula dan wepang iaitu sejenis biskut diperbuat daripada badam, kuaci dan bijan turut disediakan anak-anak muda berkenaan.

Selepas mendengar taklimat daripada ketua mereka, masing-masing mula mengambil tempat bersama bungkusan makanan dan bunga mawar yang dibawa.

Tepat pukul 3.30 petang, sukarelawan daripada pertubuhan amal Kindness Dot My (Kindness) yang seramai 20 orang mula mengagih-agihkan bunga mawar dan bungkusan makanan tersebut kepada orang ramai yang lalu-lalang tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.


PENGAGIHAN bunga mawar dan kudapan dibuat secara rambang kepada khalayak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.


Dakwah kecil

Program yang dinamakan sebagai Projek Baginda itu sebenarnya bertujuan untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul 1435 Hijrah dalam konteks yang sedikit berbeza berbanding kebiasaannya.

Pengarah Eksekutif Kindness, Muhammad Kamarulazizi, 31, berkata, program itu julung-julung kali diadakan dalam usaha untuk menyebarkan tentang kasih sayang dan kebaikan Rasulullah SAW kepada masyarakat.

"Diharap mereka yang menerima bunga mawar yang terselit hadis-hadis Nabi SAW mengenai kebaikan dan berkasih-sayang sesama manusia akan tersentuh apabila membacanya.

"Oleh itu, usaha ini kami anggap sebagai dakwah kecil yang dapat dilakukan sempena meraikan hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang merupakan contoh ikutan terbaik sepanjang zaman," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Muhammad, Projek Baginda itu turut diadakan di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor dengan penglibatan seramai 20 ke 30 sukarelawan bagi setiap lokasi.

Secara keseluruhan, sebanyak 300 kuntum bunga ros disediakan yang disumbang oleh orang perseorangan dan kenalan yang mengenali Kindness.

Rezeki Allah

Bagi pemilik restoran Manja's Kitchen, Mahathir Rahmat, 32, pihaknya mengambil peluang tersebut untuk menyumbang biskut wepang bagi menjayakan Projek Baginda.

"Seronok apabila dapat bekerjasama dalam program amal sebegini. Sebagai orang Islam, saya berpegang pada konsep apa yang kita beri, itu yang akan kita dapat.

"Malah, semakin banyak yang kita beri, yakinlah bahawa lebih banyak pula yang kita akan dapat kerana rezeki Allah itu sangat luas," katanya yang mengenali Muhammad ketika sama-sama menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dahulu.

KAD kecil yang tertera hadis-hadis Rasulullah dalam bahasa Inggeris diselitkan pada bunga mawar dan kudapan yang diberikan kepada orang ramai.


Sementara itu, Mohd. Azry Ahmad, 30, dari Bom's Kitchen pula mengakui sangat teruja apabila dapat turun padang dalam usaha dakwah tersebut.

"Dakwah bukan semata-mata memberi ceramah pada masyarakat tetapi ia boleh dilakukan dalam pelbagai medium.

"Semoga usaha kecil kami ini mendapat pandangan Allah walaupun ia dilihat tidak seberapa dari kaca mata manusia," ungkapnya.

Menurut Pengarah Projek Baginda, Wan Nazri Wan Suhaimi, 30, idea untuk melaksanakan program tersebut diperoleh kerana terkesan dengan komuniti Muslim di Eropah yang memberi bunga mawar kepada orang ramai bagi meraikan Maulidur Rasul.

"Apa yang kita tahu, bunga mawar digemari oleh semua orang. Ia juga merupakan lambang kasih sayang.

"Justeru, kami memilih bunga ini sebagai simbolik untuk menyebarkan wangian Rasulullah SAW yang diutuskan sebagai rahmat ke seluruh alam.

"Walaupun ada yang menerima bunga ini bukan beragama Islam, diharap apabila mereka membaca tentang hadis Nabi SAW tentang kebaikan, mereka akan tertarik untuk mengenali Islam dan Baginda," tutur Wan Nazri.

Kempen perancangan kewangan persaraan

Posted:

Kempen perancangan kewangan persaraan

Kempen perancangan kewangan persaraan


REISCH (kiri) bersama Eng Chow (tengah) dan Tze How pada majlis perasmian kempen Let Allianz Protect Your Retirement di Kuala Lumpur baru-baru ini.


MENDEKATI usia persaraan, pasti ramai yang bimbang tentang faktor kewangan pada masa hadapan, terutamanya pekerja swasta.

Menyediakan pelan persaraan kepada orang ramai, Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) melancarkan kempen Let Allianz Protect Your Retirement.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Jens Reisch, kempen tersebut dapat membantu orang ramai untuk membuat perancangan kewangan lebih awal sebelum tempoh persaraan.

"Golongan yang berumur 65 tahun ke atas dijangka meningkat dari 5.8 peratus ke 17.8 peratus menjelang 2050. Situasi ini amat membimbangkan untuk perancangan persaraan.

"Justeru, kami mengadakan kempen ini sebagai sokongan kepada mereka, terutama pekerja swasta supaya tidak terlalu bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka," katanya pada majlis perasmian kempen berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Jualan Allianz Life, Mr. Ong Eng Chow dan Ketua Pegawai Pemasaran Allianz Life, Chin Tze How.

Tambahnya, statistik menunjukkan bahawa 50 peratus daripada penyumbang KWSP kehabisan wang simpanan mereka dalam masa lima tahun.

Dalam pada itu, kadar inflasi yang meningkat menekankan mengenai kepentingan wang simpanan untuk menikmati kehidupan yang selesa selepas bersara.

Sebagai permulaan, produk baharu yang dinamakan Allianz RetirePlus telah diperkenalkan bagi membantu para pelanggan berjimat-cermat dengan wang simpanan persaraan, dan menyediakan pendapatan tetap bagi mereka yang telah bersara pada umur 55 atau 60 tahun sehingga mencecah umur 81 tahun.

Pelanggan yang melanggani produk ini akan diberi pendapatan secara ansuran mengikut kepada pilihan sama ada enam, 10, 15 atau 20 kali bayaran.

Dalam pada itu, Reisch memberitahu, MediAide turut disertakan dalam kempen tersebut. MediAide merupakan pelan rawatan yang dapat membantu pelanggan dengan perbelanjaan hospital setelah bersara.

"Kami menyediakan pelan insurans persaraan secara keseluruhan dengan mengambil kira simpanan wang dan keselamatan sosial para pesara," katanya.

Terdahulu, Allianz turut mengeluarkan beberapa aplikasi seperti MyLifePlanning dan Life at 70 untuk kegunaan pelanggan. MyLifePlanning adalah aplikasi untuk merancang perbelanjaan harian dan mempunyai kalkulator persaraan yang dapat menganggarkan jumlah wang perlukan setelah bersara.

Sementara itu, aplikasi Life at 70 pula merupakan aplikasi di laman Facebook yang membantu memberikan idea tentang aktiviti yang dapat dilakukan setelah bersara. – DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved