Isnin, 3 Februari 2014

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Kilauan sinar Sunshine

Posted:

Kilauan sinar Sunshine

Kilauan sinar Sunshine

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

MENYARUNGKAN sepasang baju kebaya berlengan pendek yang dihiasi renda hijau menawan bersama korset dan kain batik yang mengikut potongan badan, Sunshine Aileen Devi Eric berdiri megah selepas dimahkotakan sebagai Ratu Kebaya Malaysia 2013.

Ternyata pakaian tradisional itu menyerlahkan lagi nilai keayuan dan imej diri wanita berdarah kacukan Punjabi, India di sebelah bapa serta Inggeris dan Cina Mongolia di sebelah ibu itu.

Kepetahan dan keyakinannya menjawab soalan yang diutarakan pada pertandingan itu bukan sahaja menawan hati barisan juri tetapi juga para hadirin yang bersorak kuat setiap kali namanya disebut oleh pengacara pertandingan.

Wanita berusia 25 tahun ini juga sangat lantang memberikan pendapat peribadi dan menampilkan satu imej yang matang serta meyakinkan.

Namun, pentas peragaan ratu cantik bukanlah sesuatu yang diimpikan, malah kehadirannya pada pertandingan itu hanya sekadar mencuba.

"Penyertaan pada pertandingan ini adalah untuk mencuba nasib susulan e-mel mengenai uji bakat yang telah dihantar oleh pihak penganjur kepada saya," katanya ketika ditemui Kosmo! pada pertandingan Ratu Kebaya Malaysia 2013 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dilahirkan di Ipoh, Perak dan dibesarkan di Kuala Lumpur, wanita yang mesra dengan panggilan Sunshine ini mengakui, darah kacukannya memberi nilai tambah tetapi bukan tiket untuk menembusi dunia peragaan.


PEMAKAIAN baju kebaya menyerlahkan nilai keayuan dan imej diri si pemakai seperti Sunshine.


Dunia pengiklanan

"Kini saya seorang model sepenuh masa, dengan tumpuan utama dalam bidang pengiklanan. Walaupun demikian, permulaan kerjaya ini tidak mudah dan penuh dengan cabaran," kata anak sulung daripada tiga adik-beradik ini.

Menurut Sunshine, dunia peragaan merupakan suatu impian yang dimiliki sejak kecil.

"Sebaik tamat sekolah pada tahun 2006, saya bekerja sebagai pelakon tambahan dalam iklan. Namun, di peringkat awal penglibatan, kebanyakan pengiklan ini tidak memberikan bayaran.

"Saya tidak berputus asa kerana berpendapat penglibatan dalam dunia itu akan memberikan pendedahan berguna dan membuka ruang kepada saya mempelajari dunia peragaan," katanya.

Walaupun ada sesetengah pihak berasa sangsi terhadap kemampuan dan bakat yang dimiliki, namun Sunshine mula mendapat perhatian terutamanya dalam iklan-iklan televisyen tempatan dan antarabangsa.

"Saya juga berpeluang berlakon dalam drama, telefilem dan filem-filem keluaran tempatan," katanya sambil memaklumkan, sokongan tanpa henti yang diberikan ibu dan adik-adiknya terus menyuntik semangat untuk dia meneruskan penglibatan dalam dunia tersebut sungguhpun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Minum air lidah buaya

Ibu Sunshine, Marjorie Pickering John Civil dimaklumkan suka mengumpul semua gambar, berita, rakaman televisyen dan sebarang hasil kerja berkaitan anaknya itu.

Selain itu, adik-adik lelakinya pula membantu dalam latihan kecergasan dengan menjadi pelatih gim peribadinya.

"Hanya selepas latihan intensif daripada adik lelaki saya, Shaun Avery dan Sherwynn Victor, saya sendiri dapat melihat perubahan fizikal yang turut menyumbang kepada kesihatan dan tentunya bentuk badan yang lebih ramping," katanya tersenyum.

SUNSHINE diapit pemenang tempat kedua pertandingan Ratu Kebaya Malaysia 2013, Lee (kiri) dan pemenang tempat ketiga, Massuhaella.


Berkongsi rejim penjagaan diri dan kecantikannya, Sunshine berkata, dia sangat peka terhadap keadaan kulitnya.

Oleh itu, dia akan menjalani rawatan muka di pusat-pusat kecantikan sebanyak dua kali sebulan untuk memperoleh kulit yang licin.

Dia juga mengamalkan tabiat meminum air lidah buaya sebanyak 500 mililiter setiap pagi selepas bangun tidur untuk menyahtoksikkan sistem dalaman badan.

Wanita yang telus berkongsi rahsia kecantikan ini juga mengakui, darah kacukan yang dimiliki turut menambah penampilan dirinya, khususnya pada kecantikan rambut.

Memiliki rambut perang dengan tekstur rambut yang lembut dan halus, dia hanya perlu menggunakan tonik untuk mengekalkan kesegaran kulit kepala dan merangsang pertumbuhan rambut yang sihat.

Mengikut kata-kata pelakon legenda Hollywood, Audrey Hepburn, Sunshine percaya kecantikan seorang wanita bukan hanya pada wajah tetapi pada jiwanya.

"Tentu sekali, semua rutin ini diikuti pemakanan seimbang dan latihan senaman. Kesemua perkara ini membantu saya kekal sihat dan berasa hebat," ujar beliau.

Apa-apa pun, seperti kata pepatah, 'kecantikan tertakluk pada mata mereka yang memandang'.

Sunshine juga percaya kecantikan sebenar bagi dirinya ialah sikap positif seperti bersopan-santun dan suka menolong tanpa mengira latar belakang individu itu.

Ditanya tentang kelebihan dan kelemahan dirinya, Sunshine mengakui ia merupakan dua elemen bertentangan tetapi penting untuk mematangkan dan membetulkan diri.

"Saya seorang yang berterus terang dalam menyatakan pendapat. Saya tidak dapat menjustifikasi sama ada ia kelebihan saya atau sebaliknya.

Saya bercakap apa yang saya fikir, jadi orang yang menerimanya akan menentukan sama ada ia baik atau tidak," katanya mengakhiri temu ramah.

Pentas kreativiti pelajar fesyen

Posted:

Pentas kreativiti pelajar fesyen

Pentas kreativiti pelajar fesyen

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my


PENERIMA gelaran BDA Favorite, Wan Muhammad Aizat turut terpilih sebagai pemenang hadiah sagu hati dan menjadi antara lima pelajar yang akan muncul dalam majalah InTrend.


SIMBOL keagamaan yang dipinjam daripada kepercayaan Hindu dan Buddha yang mewakili alam semesta, Mandala, telah diangkat sebagai tema penghasilan empat rekaan mengagumkan Akmal Afiq Farhan Samsudin, 23.

Tambah manis apabila hasil kerjanya diumumkan sebagai yang terbaik pada pertunjukan fesyen pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen), Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada pertengahan Januari lalu.

Konsep psikologi Akmal Afiq yang mengimbangi nilai seni dan fungsional berjaya mengetepikan 104 helaian daripada 26 pelajar yang lain.

Kekuatan rekaan pelajar dari Rawang, Selangor itu terletak pada kekemasan teknik dan cantuman cetakan yang melambangkan kesenian budaya Hindu. Penggunaan rona hitam dan putih pula menyerlahkan keringkasan ciptaan Akmal Afiq.

PILIHAN rona asas hitam dan putih menyerlahkan cetakan pada pakaian.


"Saya mengikut trend musim bunga dan panas rumah-rumah fesyen antarabangsa. Lazimnya, dua warna asas ini tidak pernah tercicir untuk diketengahkan. Ia juga membuatkan cetakan pada pakaian lebih mendapat tumpuan.

"Penggunaan pelbagai material kapas termasuk daripada jenis berat dan ringan menjadikan ia lebih fungsional. Fabrik likra dan sedikit bulu biri-biri juga ditambah bagi memberi volume kepada pakaian," jelas anak muda ini ketika ditemui Stailo usai pertunjukan fesyen tersebut.

Anna Piaggi

Penerima Anugerah Perak yang juga penyandang tempat kedua pada pertunjukan fesyen tersebut, Nur Safira Syukri, 25, meraih tepukan paling gemuruh daripada seisi dewan menerusi empat rekaan eksentrik.

Meminjam inspirasi daripada ikon dan penulis fesyen majalah Vogue Italia, Anna Piaggi, Nur Safira bijak menterjemahkan identiti Piaggi ke dalam helaian aneh, namun praktikal daripada logik pemakaian.

INSPIRASI Mandala pilihan Akmal Afiq berjaya menobatkannya sebagai penerima Anugerah Emas.


Tempoh tiga bulan bagi melengkapkan kesemua proses penghasilan empat rekaan itu ternyata mendatangkan hasil istimewa kepada Nur Safira.

Pada pandangan peribadinya, penetapan tata gaya dan perincian menjadi kunci kejayaan hasil kerjanya.

Sementara itu, Siti Fatimah Hashim, 45, mencipta kejutan dengan meraih tempat ketiga. Ibu kepada empat anak itu membawa tema androgini dalam koleksi yang dinamakan Chaotic Reborn.

Menampilkan rekaan dengan sentuhan lembut berteraskan feminin dalam jiwa maskulin, Siti Fatimah yang pernah bekerja dalam bidang perakaunan menyifatkan persaingan antara pelajar muda berbakat memang sangat mencabar.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang mempersembahkan kebolehan dalam bidang seni reka fesyen dan berhasrat untuk membentuk jenama sendiri kelak," begitu perancangan jangka panjang wanita ini.

Seramai empat pelajar lagi iaitu Mohamad Shazni Fitri Harun, Nor Afizah Jalil, Nurul Husna Saharim dan Wan Muhammad Aizat Wan Ab. Ghani telah dipilih sebagai penerima hadiah sagu hati.

Wan Muhammad Aizat juga berjaya menerima gelaran BDA Favorite daripada Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) dan menjadi antara lima pelajar yang bakal muncul dalam majalah InTrend.

Kaca mata tanpa skru

Posted:

Kaca mata tanpa skru

Kaca mata tanpa skru


PENYAMBUNG tepi bingkai tanpa skru IC Berlin membolehkan ia ditanggalkan dengan selamat.


PERSEPSI masyarakat terhadap keagungan kaca mata berjenama dapat dilihat dengan ketara. Ramai yang menanam hasrat memiliki sekurang-kurangnya sepasang kaca mata dengan logo popular terpamer jelas pada tepi bingkai aksesori tersebut.

Ironinya, kaca mata daripada label glamor lebih menjual nama berbanding fungsi sebenar. Pada dasarnya, pengguna mungkin beranggapan bahawa kaca mata mewah yang terkenal di seluruh dunia pasti memiliki jaminan kualiti tidak tertara daripada keseluruhan aspek.

Tanpa disedari, kita terima prinsip tersebut dan menolak tujuan utama pembelian aksesori mata itu. Apabila ia patah, calar atau hilang bentuk dalam tempoh singkat, baru timbul penyesalan. Niat asal memiliki kaca mata mewah adalah untuk bergaya dan menunjuk- nunjuk, lari daripada fungsi sebenar.

Mari kita berkenalan dengan satu jenama kaca mata dari Berlin, Jerman. Namanya mungkin kurang dikenali masyarakat, malah ciri fizikalnya tanpa sebarang logo juga barangkali diperlekeh ramai orang.

Begitupun, IC Berlin hampir sempurna pada setiap ciri yang diperlukan pada sepasang kaca mata. Tidak keterlaluan jika ia dikatakan lebih fungsional berbanding kaca mata berjenama yang hanya popular pada nama.

Kekuatan setiap kaca mata IC Berlin terletak pada bahagian penyambung tepi bingkai yang tidak mempunyai skru. Ia menggunakan sistem klip boleh tanggal bagi memudahkan penyimpanan dan menjamin keselamatan, ter- utamanya apabila dibawa untuk perjalanan jauh.

"Kami tidak menjual nama, malah lebih menumpukan kepada fungsi dan kualiti. Setakat ini, pelanggan kami sangat berpuas hati dengan setiap pembelian kaca mata dan bingkai IC Berlin," ujar Pengarah Eksekutif Eyewear Creations (M) Sdn. Bhd. (Eyewear Creations), Derrick S.N. Hoo ketika ditemui Stailo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

IC Berlin mengutamakan kualiti dan nilai fungsional berbanding nama.


Silmo

Sejak mula diperkenalkan di Malaysia lapan tahun lalu, IC Berlin telah menawarkan pelbagai bingkai kaca mata eksklusif khusus untuk pencinta aksesori penyempurna gaya itu.

Pada penghujung tahun lalu, ia tampil memperkenalkan koleksi baharu bernama Silmo. Metal sun, Acetate sun women dan Metal rx merupakan tiga varian di bawah Silmo.

Setiap kaca mata Silmo ditetapkan mengikut tema pelangi yang berwarna-warni, bertenaga dan berkilau. Istimewanya kali ini, bingkai kaca mata tidak divarnis tetapi disalut dalam warna-warna baharu yang cantik apabila dibias cahaya.

Buat julung-julung kalinya, IC Berlin menggunakan teknik salutan Deposisi Wap Fizikal (PVD) pada bingkai besi tahan karatnya.

Melalui prosedur tersebut, warna tidak diaplikasi secara langsung kepada besi tetapi terlebih dulu dilapisi kristal ekstra nipis bagi membolehkan biasan cahaya berlaku.

Lapisan yang 10 kali lebih nipis daripada rambut manusia itu tidak akan kusam atau tercalar. Lapan model baharu Silmo itu didatangkan dalam empat warna elektrik menarik iaitu violet, biru lembut, biru firus dan magenta.

Bagi koleksi kaca mata pelindung matahari Metal sun, orang ramai boleh memilih antara claude yang berkanta bulat atau guenther n. dengan ciri aviator.

Wanita pula mempunyai seleksi ekstra menerusi Acetate sun women yang terdiri daripada helene, livi, luja, margo, mimi dan roja.

Bagi mereka yang mahu mencari bingkai sahaja, pilihan di bawah Metal rx seperti clarence, hugo, julius, marie, nufenen medium dan rast pasti menepati keinginan anda.

Tambahan pula, setiap bingkai IC Berlin fleksibel dari segi regangan, secara tidak langsung mengelakkan ia patah atau hilang bentuk.

Kaca mata dan bingkai IC Berlin kini boleh didapati di 70 rangkaian pengedar sah di seluruh Malaysia. - ALIF ABU BAKAR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved