Ahad, 9 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Teknologi cucian mesra alam

Posted:

Teknologi cucian mesra alam

Teknologi cucian mesra alam

MENITIKBERATKAN kebersihan kenderaan yang dinaiki menyebabkan Nor Azmi Sirat, 54, akan memastikan kereta Honda City kesayangannya dicuci setiap minggu.

Jika sibuk sekalipun, beliau tetap meluangkan masa bagi melaksanakan tujuan tersebut. Ini kerana kakitangan kerajaan yang bertugas di Putrajaya itu tidak gembira jika melihat keretanya berada dalam keadaan yang kotor sama ada di bahagian luar mahupun di dalamnya.

Namun, sejak Julai 2012, rutin tersebut mula berubah apabila beliau hanya mencuci kereta dua kali sebulan selepas mengetahui tentang perkhidmatan cucian kereta dengan teknologi waterless atau tanpa air.

Jelas Nor Azmi, 'perkenalannya' dengan kaedah cucian tersebut berlaku secara tidak sengaja apabila melihat sebuah kedai di Jalan Reko, Bandar Baru Bangi, Selangor mempromosikan mengenainya.

"Saya masih ingat lagi ketika kali pertama datang ke kedai itu pada bulan puasa. Kebetulan saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Bangi dari Putrajaya.

"Sebaik melihat bunting yang diletakkan di bahagian luar kedai, hati saya tertarik untuk mencubanya. Sambil itu terfikir juga betul ke boleh cuci kereta tanpa menggunakan air?.

"Akhirnya, pertanyaan saya terjawab apabila melihat pekerja di kedai itu mula membersihkan kereta saya. Dia hanya memegang satu botol cecair pencuci khas yang disembur pada permukaan kereta dan kemudian dilap menggunakan kain khas. Dalam tempoh 15 minit, kereta saya kembali berkilat," cerita Nor Azmi ketika ditemui Kosmo! di Waterless Car Spa yang terletak di Taman Tenaga, Kajang baru-baru ini.

Meskipun harga perkhidmatan cucian tersebut agak mahal iaitu RM18 berbanding cucian biasa sekitar RM8 atau RM10 bagi sebuah kereta, tetapi Nor Azmi tetap memilihnya.

"Memanglah harganya lebih mahal sedikit tetapi yang penting saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

"Sekurang-kurangnya ini boleh dianggap sebagai sumbangan kecil saya dalam usaha memulihara alam sekitar dengan menggunakan teknik cucian yang dapat menjimatkan air ini," ungkap Nor Azmi yang turut mempromosikan perkhidmatan tersebut kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang lain.

Teknologi cucian kereta tanpa air ini sememangnya popular di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Namun, di Malaysia ia masih terhad kerana lebih banyak menggunakan teknologi cucian buih.


SEMUA perkhidmatan yang ditawarkan oleh Waterless Car Spa menggunakan produk yang diimport dari Amerika Syarikat dan bersifat mesra alam.


Mesra alam

Perkara ini diakui oleh Hirman Razali, 34, individu yang bertanggungjawab membawa kaedah cucian itu ke Malaysia kira-kira dua tahun lalu melalui penubuhan pusat cucian Waterless Car Spa.

Menurut bekas jurutera teknologi maklumat itu, persepsi masyarakat terhadap perkhidmatan tersebut masih rendah dan mereka sukar untuk menerimanya kerana kurang memahami keistimewaan yang ditawarkan.

"Di luar negara, kaedah waterless dan stim diiktiraf sebagai cucian paling mesra alam. Ini kerana bagi cucian stim, maksimum penggunaan air sebanyak lima liter manakala waterless pula sekitar 100 mililiter (ml) bagi sebuah kereta.

"Kaedah waterless ini menggunakan larutan iaitu sejenis pencuci yang bersifat mesra alam. Ia mengandungi sufactant dan polimer yang merupakan bahan aktif bagi menghilangkan kotoran seperti minyak dan sebagainya.

"Paling penting, produk ini selamat dan tidak menghakis kerana berfungsi dengan formula tiga dalam satu iaitu mencuci, mengilat dan melindungi permukaan kereta," terang Hirman yang mengetahui tentang teknologi tersebut melalui usahawan dari AS yang dikenali ketika bekerja sebagai jurutera reka bentuk rangkaian komputer di sebuah syarikat teknologi terbesar dunia di Cyberjaya pada 2011.

Bagi setiap cucian menggunakan kaedah waterless, ia mengambil masa selama 15 minit untuk kereta bersaiz sederhana manakala 10 minit bagi kereta bersaiz kecil.


BAHAGIAN dalam kereta turut dicuci menggunakan cecair khas yang hanya perlu disembur sebelum dibersihkan.


Melekap

Jelas Hirman, penggunaan polimer yang bersifat melekap pada permukaan kereta akan menghasilkan lapisan filamen yang bertindak melindungi calar dan kotor.

"Apabila kotoran terapung melalui semburan bahan tersebut, kain mikro fiber yang bersifat seperti magnet akan dilap pada permukaan kereta berbanding digosok menggunakan kain atau span di pusat cucian kereta biasa.

"Dari segi bayarannya, ia bermula pada harga RM15 bergantung kepada pakej cucian yang dikehendaki pelanggan," tutur bapa kepada seorang cahaya mata ini lagi.

Sehingga kini, Waterless Car Spa sudah beroperasi di 15 lokasi seluruh negara seperti Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Baru Bangi, Wangsa Maju, Ampang, Sungai Buloh, Kangar, Johor Bahru, Nusajaya dan Kota Bharu.

Selain itu, bagi mereka yang mungkin tiada masa untuk ke kedai operator Waterless Car Spa, perkhidmatan mobile (bergerak) turut disediakan. Melalui perkhidmatan ini, operator terpilih akan datang sendiri ke lokasi yang ditentukan pelanggan.

Tambah Hirman, pakej operator Waterless Car Spa ini mula beroperasi pada 22 November 2012 di Ampang melalui syarikatnya, Ecoltec Sdn. Bhd. Sebelum itu, beliau hanya menjual produk waterless yang dipasarkan di bawah syarikat MyEco Nature Enterprise pada Mac 2012.

"Bagaimanapun, apabila melihat jualan semula amat rendah lantaran pelanggan yang memakai produk tersebut dalam tempoh yang lama sehingga enam bulan, saya membuat keputusan daripada menjual produk kepada menawarkan perkhidmatan melalui produk waterless itu.

"Tambahan pula, saya memperoleh sedikit modal apabila berjaya memenangi satu rancangan realiti bertajuk Make The Pitch musim ketiga yang disiarkan di saluran ntv7 hasil daripada idea memperkenalkan teknologi waterless ini.

"Hasil kemenangan tersebut, saya menerima geran bernilai RM500,000 daripada penyedia perkhidmatan e-kerajaan, MY E.G Servis Bhd. (MYEG) untuk mengembangkan perniagaan Waterless Car Spa di Malaysia," kata Hirman lagi.


HIRMAN mahu melahirkan lebih ramai usahawan yang berkecimpung sebagai operator Waterless Car Spa.


Melabur

Apa yang menarik, ia merupakan kali pertama MYEG melabur untuk membangunkan produk yang bukan berkaitan teknologi maklumat (IT).

Melalui syarikat Ecoltex Sdn. Bhd., Hirman berhasrat untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berkecimpung dalam perniagaan tersebut sekali gus menjadikan Waterless Car Spa satu jenama yang kukuh di negara ini.

Salah seorang operator, Kamal Bunyamin, 38, berkongsi bahawa kelebihan yang ada pada perkhidmatan Waterless Car Spa membolehkan pihaknya mendapat lampu hijau daripada pihak Perbadanan Putrajaya untuk membuka premis di sana.

"Harus diingat, tiada sebarang servis cucian kereta di wilayah yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan itu. Ini disebabkan pihak perbadanan tidak mahu ia mencemarkan keindahan kawasan berkenaan.

"Tetapi, dengan teknologi waterless ini, kami berjaya melepasi standard yang ditetapkan dengan syarat mendapat kelulusan daripada pemilik kawasan seperti Jabatan Imigresen dan sebagainya," kata Kamal yang membuka premis Waterless Car Spa di Presint 9, Putrajaya.

Tahu ilmu asas penjagaan kereta

Posted:

Tahu ilmu asas penjagaan kereta

Tahu ilmu asas penjagaan kereta


PEMERIKSAAN bahagian enjin perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini ketika memandu.


BERPENGALAMAN selama 20 tahun dalam bidang automotif, Zuzaidi Amin, 45, tidak lokek berkongsi ilmu mengenai panduan dalam penjagaan kereta yang perlu dipraktikkan oleh setiap pemilik kenderaan.

Menurut beliau yang merupakan pakar dalam penjagaan kereta jenama Mazda, Ford dan buatan Jepun itu, dalam aspek luaran, kekerapan mencuci kereta bergantung kepada keadaan persekitaran.

Jika kereta sering diletakkan pada kawasan yang berhabuk seperti tempat letak kereta terbuka, ia perlu dicuci dengan kerap untuk mengelakkan fizikalnya kelihatan kotor.

Bagaimanapun, berbeza dengan bahagian enjin yang tidak perlu dicuci selalu, sebaliknya mengikut kadar servis seperti untuk 5,000 kilometer (km) pertama diikuti 10,000km hingga seterusnya.

"Untuk penjagaan enjin, kita tidak digalakkan mencucinya sendiri kerana takut air akan terkena bahagian sensor. Justeru, kaedah cucian seperti tanpa penggunaan air paling selamat digunakan.

"Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa cucian enjin mampu untuk mengesan berlakunya apa-apa kebocoran getah atau hos yang terdapat di dalamnya dengan lebih awal," terang Zuzaidi ketika ditemui Kosmo! di bengkel MXZ Auto Garage miliknya di Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Tambah beliau, kebanyakan kereta model tahun 2000 ke atas telah banyak menggunakan teknologi sensor menyebabkan ia menjadi lebih sensitif.

Oleh yang demikian, risiko untuk berlakunya litar pintas sangat rendah jika pemilik kenderaan memilih kaedah cucian tanpa air tersebut.

Ilmu asas

Mengulas lanjut, Zuzaidi yang pernah bertugas sebagai mekanik di pusat servis kenderaan selama 18 tahun berkata, setiap individu perlu mempunyai ilmu asas mengenai kereta atau motosikal yang digunakan.


KEBANYAKAN kereta model baharu banyak menggunakan sensor dan ia perlu dikendalikan dengan berhati-hati jika melakukan cucian di bahagian enjin.


"Paling asas, mereka perlu kenal atau tahu makna simbol-simbol yang terdapat di bahagian papan pemuka kenderaan seperti suhu, minyak dan sebagainya.

"Ia penting kerana melalui simbol-simbol tersebut, kita akan dapat mengesan sebarang masalah teknikal berkaitan enjin kenderaan," tutur beliau lagi.

Tidak ketinggalan, beliau turut mengingatkan para pemilik kenderaan tidak kira lelaki atau perempuan agar belajar cara-cara untuk membuka tayar gantian untuk ditukar jika berlaku insiden kebocoran tayar.

"Ilmu asas sebegini sebenarnya sangat penting terutama apabila kita seorang diri berdepan masalah tersebut sekali gus tidak panik," tegasnya.

Servis

Begitu juga dalam aspek servis, Zuzaidi sangat menggalakkan agar setiap pengguna melakukannya mengikut masa yang ditetapkan.

Ini bermakna, apabila sudah sampai masa untuk diservis, bawa terus kenderaan anda ke pusat-pusat servis yang diiktiraf.

"Jangan sesekali gunakan barangan gantian tidak asli kerana ia mampu menjejaskan prestasi kenderaan tersebut.

"Jika diservis mengikut jadual dan dikendalikan oleh mekanik pakar, sesebuah kenderaan itu boleh bertahan lama dari segi kestabilan dan keselamatannya," terang Zuzaidi lebih lanjut.

Sementara itu, bagi Marziah Mohd. Hamidi, 25, yang merupakan kakitangan operator Waterless Car Spa, cucian enjin biasanya akan dilakukan oleh pelanggan setiap tiga hingga enam bulan sekali.

"Setiap cucian, bergantung kepada tahap kotoran di bahagian tersebut. Jika sangat kotor, kami akan menasihatkan pelanggan agar memilih perkhidmatan membersih dan mengilat.

"Apa yang penting, proses cucian akan dilakukan dengan lebih berhati-hati kerana ia melibatkan bahagian teknikal kenderaan," kata Marziah yang sudah bekerja sejak dua tahun lalu. - KHADIJAH MOHAMAD NOR

Kesusasteraan percuma di Norway

Posted:

Kesusasteraan percuma di Norway

Kesusasteraan percuma di Norway


MOE SKARSTEIN bergambar di hadapan pusat pendigitalan buku di Norway.


KEBANYAKAN buku yang diterbitkan di Norway sebelum tahun 2001 boleh didapati secara percuma dalam talian ekoran pengenalan satu inisiatif yang mempertemukan para penulis dengan dunia web.

Ketika dunia penerbitan berbelah bahagi terhadap hubungannya dengan internet yang secara besar-besaran memberi akses terhadap karya yang dihasilkan dan mengancam pendapatan royalti mereka, Perpustakaan Negara Norway telah mengambil pendekatan baharu dengan mendigitalkan puluhan ribu buku yang berada dalam koleksinya.

Usaha itu melibatkan pelbagai genre buku, daripada karya agung pemenang anugerah Nobel dalam kesusasteraan, Knut Hansun sehingga novel penyiasatan pertama raja penulisan, Jo Nesboe.

Buku-buku yang dilindungi hak ciptanya itu disediakan secara percuma dalam talian dengan persetujuan pemegang hak cipta di laman web bokhylla.no atau bermakna rak buku dalam bahasa Norway. Pada masa ini, laman web tersebut memaparkan 135,000 karya dan dijangka mencecah 250,000 buah buku, termasuk terjemahan buku asing dalam bahasa Norway, pada masa depan.

Ketua Perpustakaan Negara, Vigdis Moe Skarstein berkata, projek yang seumpamanya itu menawarkan akses dalam talian secara percuma terhadap buku-buku yang masih di bawah hak cipta, yang akan luput selepas 70 tahun selepas kematian penulis terlibat.

"Banyak perpustakaan negara telah mendigitalkan koleksi mereka atas usaha pemeliharaan atau memberikan akses kepadanya. Namun demikian, buku-buku yang kebanyakannya buku lama itu sememangnya telah berada dalam edaran umum.

"Kami berfikiran, memandangkan kami perlu mendigitalkan kesemua koleksi kami untuk memeliharanya untuk 1,000 tahun akan datang, maka adalah penting agar kami memperluaskan akses buku tersebut sebaik mungkin," katanya.

Royalti

Dalam merealisasikan usaha tersebut, Perpustakaan Negara telah memeterai persetujuan dengan Kopinor, sebuah payung yang mewakili sebahagian besar penulis dan penerbit melalui 22 organisasi ahli.

Bagi setiap helaian yang dipaparkan dalam talian, perpustakaan itu akan membayar sejumlah wang kepada Kopinor yang bertanggungjawab dalam pengagihan royalti dalam kalangan ahli-ahlinya di bawah satu sistem yang dalam perbincangan.

Bayaran untuk setiap muka surat akan berkurangan dengan pertambahan koleksi iaitu daripada 0.36 kroner (22 sen) pada tahun lalu kepada 0.33 kroner (20 sen) pada tahun hadapan.


SETIAP helaian yang dipaparkan dalam talian, Perpustakaan Norway akan dibayar sejumlah wang dalam bentuk royalti kepada Kopinor.


"Sebuah buku terlaris dianggap berada pada satu kedudukan yang sama dengan almanak serantau dari tahun 1930-an," kata Ketua Kopinor, Yngve Slettholm.

Beberapa langkah telah dilaksanakan untuk melindungi para penulis terlibat, antaranya ialah laman Bokhylla tidak memaparkan karya-karya yang diterbitkan selepas tahun 2000, akses dihadkan bagi pengguna internet di Norway dan penyelidik asing serta buku-buku terlibat tidak boleh dimuat turun.

Seorang penulis atau syarikat penerbit yang membantah usaha tersebut boleh meminta pengeluaran buku mereka daripada laman web berkenaan, namun jumlahnya agak kecil.

Hanya 3,500 buah buku telah dikeluarkan daripada senarai dan kebanyakannya bukan novel-novel popular, sebaliknya buku sekolah dan kanak-kanak, dua genre buku yang memberikan keuntungan lumayan kepada penerbit.

Tidak terjejas

Menurut Moe Skarstein, setakat ini jualan buku di pasaran tidak terjejas akibat projek tersebut.

"Sebaliknya, Bokhylla sering kali menjadi kehidupan kedua kepada hasil karya yang masih dalam hak cipta tetapi habis dijual di kedai-kedai buku.

"Buku semakin menjadi barangan yang tidak tahan lama. Apabila suatu keseronokan buku itu menjadi hambar, ia terus tenggelam dan dilupakan," ujarnya.

Sebanyak 85 peratus daripada buku-buku yang terdapat di laman web berkenaan telah dibaca pengguna, membuktikan usaha tersebut memberi manfaat kepada karya-karya utama.

Ketika percubaan banyak negara dalam mewujudkan perpustakaan digital menemui jalan buntu khususnya apabila melibatkan isu hak cipta yang kompleks, Norway berjaya mengatasi halangan itu. Sebahagian besar daripada kejayaan tersebut disumbangkan oleh jumlah terhad kumpulan berkepentingan iaitu hanya perpustakaan tersebut dan Kopinor serta liputan hampir universal persetujuan yang telah dimeterai dengan melibatkan penulis yang juga bukan ahli Kopinor.

"Di negara-negara lain, anda perlukan persetujuan kesemua pemilik hak cipta. Namun adalah sukar untuk mencari mereka semua.

"Ia termasuk penulis lama yang tidak dikenali, syarikat-syarikat penerbitan yang ditutup pada tahun 1960-an, setiap ilustrator dan jurugambar yang terlibat dalam penerbitan suatu buku itu," jelas Slettholm.

Sehubungan itu, Moe Skarstein pula berkata, daripada menghabiskan wang mencari pemilik hak cipta itu, pihaknya lebih gemar memberikan wang kepada mereka yang berkenaan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved