Rabu, 12 Februari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Artis vs Media vs Peminat

Posted:

Artis vs Media vs Peminat

Artis vs Media vs Peminat

PADA masa kini, kewujudan laman-laman sosial yang semakin menjadi penting buat semua menyaksikan banyak orang menjadi 'pejuang papan kekunci'. Tanpa perlu mengenal wajah atau menggunakan identiti palsu dan tidak saling mengenal satu sama lain, banyak orang berasa tanpa bersalah melontar buah fikiran yang melanggar adab.

Semua orang bebas menulis atau semua orang boleh menjadi wartawan bebas tanpa perlu menjadi pekerja dalam mana-mana organisasi media. Harus diingat bukan peminat sahaja yang menjadi pengikut seseorang artis, ada juga sekadar ingin mengikuti perkembangan dan tidak minat langsung.

Jika kena gayanya apa yang ditulis mendapat komen yang positif. Namun, ada ketikanya komen atau kritikan yang diberikan agak kasar dan melampaui batas sehingga menimbulkan perbalahan antara artis dan peminat.

Ada juga artis yang cukup lantang menyuarakan rasa tidak puas hati tentang pelbagai perkara termasuk terhadap pihak media secara terbuka di laman sosial sehinggakan perkara yang kecil bertukar menjadi kontroversi apabila ia diperdebatkan oleh mereka yang memberi komen.

Kosmo! mengupas sejauh mana pengaruh kebebasan alam maya ini dalam kehidupan beberapa artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Datuk Rosyam Nor, Rita Rudaini dan Neelofa.

Kesemua mereka memiliki akaun laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Tujuan mewujudkan akaun di laman sosial demi mendekatkan diri dengan peminat adakalanya memakan diri apabila terdapat peminat yang terlebih berani dalam memberi komen.

Berfikir tentang impak - Datuk Siti Nurhaliza

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sememangnya cukup aktif di Instagram. Saban hari, ada sahaja gambar yang dimuat naik untuk tatapan peminatnya.

Bercakap tentang senario hari ini tentang keberanian artis dan peminat dalam meluahkan pendapat atau rasa tidak puas hati, Siti yang mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam industri hiburan dia mempunyai cara yang cukup mudah untuk menguruskan sesuatu isu di laman sosial.

"Jika saya lihat komen itu agak sensitif dan boleh menimbulkan fitnah atau kontroversi yang lebih besar saya akan block orang itu atau padamkan komen tersebut.

"Selalunya sebelum memuat naik sebarang gambar atau komen, saya akan berfikir panjang, apa impak yang akan berlaku selepas itu. Salah diri sendiri jika meletakkan sebarang gambar kemudian dikutuk oleh orang ramai. Jika tidak mahu dicemuh baik fikir dulu sebelum letak apa-apa di laman sosial," kata Siti.

NEELOFA memberitahu, laman sosial sedikit sebanyak membuka matanya untuk memperbaiki diri dan lebih berhati-hati dalam setiap tingkah lakunya.


Ditanya tentang kelantangan artis di laman sosial mengalahkan pihak media dan ada kalanya melancar perang dengan media gara-gara tidak puas hati terhadap artikel yang ditulis, Siti mengakui perkara itu banyak berlaku.

Bagaimanapun tegasnya, banyak lagi medium yang ada untuk menjernihkan keadaan antara kedua-dua pihak kerana masing-masing saling memerlukan.

"Pernah juga berlaku saya tidak puas hati dengan media seperti tersalah fakta atau fitnah. Selalunya pihak saya akan mengambil pendekatan yang terbaik untuk tidak mengeruhkan keadaan. Biasanya saya akan telefon atau jumpa terus dengan pihak media tersebut.

"Kalau mahu marah atau bergaduh pun habis di situ sahaja kerana pasti masing-masing mahu tegakkan hak mereka. Tidak perlu dipanjangkan rasa marah sampai harus letak di laman sosial kerana akan menghangatkan lagi sesuatu isu," ujar bintang yang terkenal dengan sikap penyabarnya ini.

Sambung Siti, tidak salah untuk memiliki akaun di laman sosial kerana itu sudah menjadi trend dan medium terbaik untuk promosi produk seni dan mempertontonkan aktiviti seharian.

Namun, segala yang dimuat naik harus dipantau supaya tidak disalah tafsir atau menimbulkan masalah pada kemudian hari.

Bahasa menggambarkan diri sendiri - Ziana Zain

Penyanyi Ziana Zain yang terkenal dari awal 90-an sehingga hari ini mengakui senario sekarang sudah berubah apabila terdapat banyak medium selain pihak media untuk peminat dan artis berkongsi rasa.

Apabila teknologi semakin canggih, lebih ramai orang lantang bersuara. Tegasnya sebagai artis, dia harus menjaga segala tingkah laku termasuk penggunaan laman sosial.

"Bagus sebenarnya ada laman sosial sebab saya hanya guna untuk memberitahu peminat tentang perjalanan kerjaya. Adakalanya mood tidak baik, bahasa yang ditulis pun agak kasar.

"Saya selalu ingat bahasa yang digunakan melambangkan perangai seseorang. Jika tidak mahu peminat menggunakan bahasa yang kasar, kita sebagai artis harus guna bahasa yang sopan tetapi tegas dalam menegur walaupun hati sakit bila membaca komen yang di luar batasan," ujar Ziana.

Jelas kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu lagi, lumrah menjadi artis untuk dikritik kerana bukan sepanjang masa peminat mahupun media akan memuja seseorang artis.

"Bukan semua yang kita buat orang akan suka begitu juga sebaliknya. Saya faham ada peminat dan media mengkritik secara terang-terangan sebagai artis, kita juga ada hak untuk mempertahankan diri dengan menulis di laman sosial.

"Bagaimanapun, sila jaga bahasa. Kalau tidak mahu orang lain bersikap kurang sopan atau biadab dengan kita, kita harus lakukan perkara yang sama. Saya kira, cukup sekadar bersikap tegas, tidak perlu memaki hamun," ujarnya.

DATUK SITI NURHALIZA berkata, berbanding menyelar media di laman sosial, lebih baik menelefon atau bersemuka untuk menyelesaikan salah faham yang tercetus. Ia lebih molek kerana antara media dan artis saling mengenali .


Artis ada hak bersuara - Datuk Rosyam Nor

Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor juga tidak ketinggalan memiliki deretan akaun laman sosial. Hanya menggunakan laman sosial sebagai medium bersama peminat dan mempromosikan produk seni terbaharunya, Rosyam tidak menggunakannya untuk tujuan peribadi.

Rosyam yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Perjalanan untuk siaran TV3 itu berkata, dia jarang memuat naik sebarang gambar atau status kerana kesibukan kerjanya.

"Saya jarang guna laman sosial, jika ada masa terluang dan ada produk untuk dipromosikan barulah saya guna. Sejujurnya saya tidak pernah dikritik teruk oleh peminat.

"Kritikan membina itu ada dan saya ambil iktibar tetapi kritikan sampai saya perlu bergaduh dengan orang yang beri komen belum pernah berlaku," katanya.

Tambahnya, dengan kewujudan laman sosial, artis mempunyai media baharu untuk mempromosi sebarang produk secara percuma dan sebagai medan untuk mereka menulis apa sahaja termasuk mempertahankan diri jika dihentam peminat dan media.

"Artis juga ada hak. Zaman sudah berubah, jika dahulu hanya media menulis dan orang lain hanya boleh membaca sekarang semua orang boleh menulis. Pihak media harus terima perubahan ini.

"Selalunya artis sahaja rasa dihentam dan dikritik, sekarang semua orang boleh merasa perkara yang artis lalui. Semua orang tidak suka dikritik dan dimalukan, tetapi kita harus berfikiran terbuka. Pada saya, jangan kerana dikritik sikit, terus mahu melatah," katanya.

Suka terus-terang - Rita Rudaini

Aktres cantik, Rita Rudaini juga pernah dikecam teruk oleh peminat disebabkan kontroversi rumah tangganya bersama bekas suaminya Aidil Zafuan. Ibu kepada dua orang anak itu pernah bergaduh dengan peminat di Twitter gara-gara sikapnya yang suka berterus-terang.

"Saya terus-terang salah, jika berdiam pun salah. Kadangkala saya lihat orang yang beri komen itu seperti mereka sungguh suci dan artis sahajalah yang jahat. Jika komen mereka melampau, saya tegur mereka akan kata saya marah. Saya pun manusia biasa, ada hati dan perasaan cuma pekerjaan saya glamor dan keluar di televisyen," katanya.

Terangnya, dia lebih selesa bersikap jujur dan sebagai artis dia juga mempunyai tahap kesabaran. Jika komen atau kritikan melampau, Rita tidak teragak-agak untuk block seseorang itu.

"Jika sesuatu perkara menyentuh maruah saya, itu saya tidak boleh sabar. Tidak kira peminat atau media, saya akan tulis apa yang terbuku di hati di laman sosial. Jika tidak puas hati janganlah buka akaun laman sosial saya, bacalah artis yang dipuja sahaja," ungkapnya.

DATUK ROSYAM NOR berkata, artis juga berhak untuk meluahkan pandangan peribadi mereka di laman sosial masing-masing.


Sungguhpun begitu, laman sosial banyak mendekatkan dirinya dengan peminat, malah ada yang telah menjadi rakan baiknya sehingga hari ini.

Jelasnya: "Seronoknya laman sosial selain kritikan dan kutukan berbakul yang saya terima, saya juga mendapat rakan-rakan yang baharu. Bermula daripada peminat, sekarang kami sudah menjadi rakan baik.

"Sekarang saya hanya aktif di Instagram sahaja kerana di akaun Twitter terlalu banyak kata yang negatif. Dahulu ketika kes (isu cerai) saya sedang hangat, pernah saya tidak buka internet berhari-hari sebab mahu elakkan tekanan apabila membaca komen orang ramai," katanya.

Abaikan - Neelofa

Mempunyai akaun peribadi untuk laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram, Neelofa, 25, mengaku dia kini hanya aktif melalui laman Instagram sahaja.

Katanya, Instagram lebih mudah memberi gambaran jelas buat pengikutnya tentang promosi, perkembangan terkini atau luahan hati kerana ia beserta gambar.

Mempunyai 324,000 pengikut di Instagram, gadis ini memberitahu, dia mengabaikan kritikan yang mengaibkan dirinya, tetapi tidak menolak menerima teguran yang membina.

"Saya faham apabila seseorang selebriti mempunyai laman sosial, kita sedang memberi ruang untuk semua orang 'mendekati' kita.

"Sebenarnya, saya kira ia terpulang kepada diri sendiri. Bagaimana kita mengambil tentang sesuatu perkara itu sama ada mahu berfikiran positif atau negatif.

"Bagi saya, saya abaikan dan tidak baca semua kritikan berunsur mengaibkan saya, tetapi kritikan yang membina saya ambil untuk perbetulkan diri. Saya kira, jika semua orang menggunakan laman sosial dengan positif, semuanya akan jadi positif," ujarnya yang mengaku mula mempunyai akaun laman sosial hanya untuk suka-suka.

Ditanya tentang kelantangan dan keterbukaan segelintir artis bersuara dan menyelar media atau peminat, Neelofa menyatakan perkara tersebut perlu disambut positif oleh semua pihak.

Jelasnya: "Menggunakan laman sosial sebagai medium untuk memperbetulkan sesuatu perkara yang mungkin disalah lapor misalnya atau diaibkan peminat, saya kira tidak salah. Bersuara untuk membetulkan keadaan, seperti saya lakukan kerana kes fitnah khalwat baru-baru ini. Namun, jangan menyemarakkan api atau mempunyai tujuan lain."

Ragam perang siber selebriti antarabangsa

Posted:

Ragam perang siber selebriti antarabangsa

Ragam perang siber selebriti antarabangsa

Oleh HARYATI KARIM


KIM KARDASHIAN


SELEBRITI di luar negara juga tidak kecuali dikritik. Memiliki jutaan pengikut di laman sosial masing-masing, peluang untuk peminat mengkritik lebih terbuka.

Tidak tunduk kepada segala kritikan, setiap selebriti membalas kritikan dengan cara yang tersendiri. Ada yang membalas komen peminat dan ada yang menyindir menggunakan program mereka sendiri.

Bukan sahaja susuk tubuh yang menjadi kritikan bahkan sehingga beg tangan juga menjadi bahan kritikan peminat.

Tyra Banks dikutuk gemuk

Bekas supermodel dan pengacara popular Tyra Banks dikutuk peminat gara-gara sekeping gambarnya berpakaian bikini dan menampakkan susuk tubuhnya yang berisi sekitar tahun 2007 lalu.

Tidak mengendahkan kritikan peminat kepadanya, Tyra secara terbuka membalas kembalikan kritikan tersebut dalam program bual bicaranya Tyra.

Dalam program tersebut, Tyra dengan berani memakai semula bikini yang sama sambil memegang gambar yang disebarkan secara meluas itu tanpa rasa malu.

Kemudian, dengan sinis, Tyra melemparkan pesanan buat pengkritiknya: "Ciumlah punggung aku yang gemuk!"

Cara penjagaan anak Pink dikritik

Penyanyi Pink dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara tidak kira kepada media mahupun peminat.

Pink diselar peminat tentang cara penjagaan dan didikan anak tidak lama dahulu. Semuanya berlaku selepas dua keping gambar suaminya, Carey Hart seorang bekas pelumba sukan motocross membawa anak mereka, Willow Sage Hart yang berusia dua tahun menaiki motosikal dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya.

Satu gambar anaknya duduk di depannya dan satu lagi gambar anaknya memeluk erat leher Carey. Peminat yang risau akan keselamatan kanak-kanak itu mengkritik cara penjagaan anak oleh Pink dan suaminya.

Balas Pink kepada peminat: "Jika sesiapa daripada anda lebih berpengalaman menunggang motosikal daripada suami saya, maka saya akan dengar pendapat anda bagaimana caranya untuk dia membawa anak saya menaiki motosikal."

Beg tangan Rihanna dicemuh

Penyanyi terkenal Rihanna pernah memuat naik sekeping gambar beg tangan di laman sosial Instagram.

Beg tangan itu merupakan hadiah yang diterimanya sempena perayaan Krismas daripada pereka fesyen terkenal, Donatella Versace.

Salah seorang peminatnya dengan nama Farielaaa segera memberi komen seperti penyanyi itu menunjuk-nunjuk barangan mewah yang dimiliki.

RIHANNA


"Terdapat ramai orang di luar sana hidup susah dan kamu mengambil gambar barangan mewah. Bantulah mereka yang tidak pernah memiliki beg jenama Prada.

"Jika kamu sayangkan peminat kamu, bantulah mereka. Semuanya sebab kami (peminat), kamu dapat buat banyak duit. Apa yang kami dapat? Tidak ada apa-apa," tulis peminatnya.

Rihanna segera membalas komen peminatnya itu dengan menulis: "Kasut Prada yang saya beli tidak boleh hentikan sesiapa daripada kematian. Bagaimanapun saya baru sahaja hantar AS$100,000 (RM333,634) kepada tabung bantuan Filipina."

Kim Kardashian balas kenyataan

peminat

Bintang program realiti Kim Kardashian mungkin sudah terbiasa dengan kritikan memandangkan dia sentiasa menjadi perhatian dan diekori paparazi.

Bagaimanapun, tunang kepada penyanyi Kanye West itu naik angin apabila peminat mempersoalkan cara dia menjaga anaknya, North West.

Kim telah menulis status anaknya gembira apabila dia membawanya belajar berenang untuk kali pertama.

Namun, seorang peminat menulis: "Mungkin anaknya dapat lihat ibu bapanya salin pakaian."

Balas Kim: "Kamu sangat berlagak. Jika saya tidak menulis di Twitter atau Instagram tidak bermakna saya tidak bersamanya 24 jam sehari. Apabila anak tidur, ibu bapa dibenarkan untuk bekerja, sokong antara satu sama lain dan mungkin berseronok juga."

Selena Gomez kritik pembuli

Bintang remaja terkenal, Selena Gomez mengkritik peminat yang membuli peminat yang lain di Instagram.

Penyanyi dan pelakon itu kemudian telah mencelah di antara komen dua peminat. Peminat pertama memuat naik gambar dengan parut di tangan kanannya.

Peminat kedua yang menggunakan nama selinagomesfan menulis: "Potong, potong, potong, potong."

Peminat pertama kemudian menulis: "Saya ingin mati supaya semuanya berakhir kerana saya rasa sangat tidak berguna. Susah untuk saya untuk tidak pedulikan komen orang lain."

Selene kemudian mencelah dan meminta peminat kedua untuk menghentikan komen-komen negatifnya kepada peminat pertama.

"Ini tidak betul. Peminat saya tidak akan membuli orang lain. Saya hanya menggalakkan kasih sayang, keyakinan dan kebaikan."

'Puak Tikus' penuhi Beijing

Posted:

'Puak Tikus' penuhi Beijing

'Puak Tikus' penuhi Beijing


GUAN Sheng sedang sibuk mencari pekerjaan dengan melayari internet di biliknya yang berkeluasan empat meter persegi.


PEKERJA asing, Ye Yiwen bersama suami dan dua orang anaknya hidup sesak dalam sebuah bilik bawah tanah yang terletak berhampiran Stadium Olimpik Beijing, melindungi diri mereka daripada keadaan cuaca sejuk yang melanda dan kos hartanah yang melambung tinggi di ibu negara China itu.

Keluarganya telah meninggalkan sebuah rumah berkeluasan 200 meter persegi di kawasan luar bandar yang terletak kira-kira 1,000 kilometer dari Beijing. Kini, mereka tinggal di ruang bawah tanah suram seluas 10 meter persegi yang hanya dapat menempatkan dua buah katil dan sebuah meja.

"Kediaman lama kami di kampung lebih selesa. Tetapi, di sini merupakan tempat kami mencari rezeki," ujar Ye yang enggan mendedahkan nama sebenarnya.

Perpindahan jutaan penduduk dari kawasan desa ke bandar-bandar utama di China merupakan penghijrahan terbesar dalam sejarah. Namun demikian, mereka yang terlibat tidak semestinya memperoleh kesejahteraan hidup di destinasi baharu itu.

Menurut pihak berkuasa Beijing, kira-kira 281,000 orang penduduk yang mendiami ruang bawah tanah dan bekas tempat perlindungan serangan udara sekitar bandar raya tersebut. Namun demikian, laporan-laporan lain menganggarkan angka tersebut melebihi satu juta orang.

Menerima nama jolokan 'Puak Tikus' dalam kalangan penduduk tempatan, kumpulan ini sebahagian besarnya terdiri daripada pekerja migran miskin yang mencari peluang baharu di bandar-bandar maju negara berkenaan.

Ye meninggalkan kampung halamannya di Wilayah Timur Anhui sejak 15 tahun lalu untuk hidup di Beijing.

Bekerja sebagai pembersih domestik di kawasan perkampungan Olimpik untuk menyara keluarganya di Guanjuncheng atau lebih dikenali sebagai Bandar Juara, wanita tersebut turut membawa dua anak lelakinya yang kini berusia 20 dan 21 tahun ke Beijing selepas mereka menamatkan persekolahan.

"Tiada ruang bagi kami di dalam bilik ini. Saya juga tahu tidak sesuai untuk dijadikan kediaman bagi keluarga kami," ujarnya.

Penghijrah seperti Ye menghadapi halangan besar untuk menetap di bandar-bandar besar negara China ekoran pelaksanaan sistem pendaftaran isi rumah yang dikenali sebagai hukou.

November lalu, parti komunis yang mentadbir mengumumkan rancangan untuk membenarkan lebih banyak golongan petani berhijrah ke bandar. Namun, dengan kos hartanah yang melambung tinggi menyebabkan keluarga Ye, yang meraih pendapatan isi rumah 9,000 yuan sebulan (RM4,960), sukar memperoleh kediaman sendiri.


KELUARGA yang tinggal di bawah tanah sedang menikmati pelbagai hidangan sempena menyambut Tahun Baru Cina baru-baru ini.


Menurut satu kaji selidik bebas oleh Akademi Indeks China, purata harga hartanah di Beijing yang juga merupakan bandar raya termahal di China, pada bulan Disember tahun lalu ialah sebanyak RM17 bagi setiap meter persegi. Ia merupakan lonjakan 28.3 peratus setiap tahun.

"Di 100 buah bandar utama, harga kediaman baharu meningkat 11.51 peratus setiap tahun kepada RM6 untuk setiap meter persegi," katanya.

Menurut laporan media tempatan, pada Disember tahun lalu, harga purata rumah di Beijing ialah 13.3 kali pendapatan purata. Sementara itu, Bank Dunia menganggap sebagai lima nisbah satu mengikut had kemampuan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah meletakkan pada kadar tiga nisbah satu.

Kenaikan harga hartanah yang dianggap sebagai simptom jurang yang kian membesar antara golongan kaya dan miskin itu sentiasa menjadi punca rasa ketidakpuasan hati terhadap Parti Komunis yang memerintah.

Seorang warga Beijing, Guan Sheng, 25, duduk di atas katil di dalam bilik bawah tanah seluas empat meter persegi sambil sibuk mencari pekerjaan melalui internet. Setiap hari dia terpaksa menghidu bau busuk dari tandas yang digunakan penduduk di situ.

Di atas kepalanya, kelihatan deretan baju digantung di atas paip keluli yang berkarat dengan cat yang menggelupas untuk dikeringkan. Paip yang membekalkan air panas kepada penduduk yang tinggal di tingkat atas bangunan yang sama itu juga berperanan sebagai sumber haba lelaki berkenaan.

Guan, bukan nama sebenar, membayar 600 yuan (RM329) sebulan untuk tinggal di kediaman bawah tanah itu.

"Penjimatan wang merupakan keutamaan saya berbanding keadaan tempat tinggal saya. Pada kebiasaannya saya membayar 30 yuan (RM16) sebulan untuk penggunaan elektrik dan 15 yuan (RM8) bagi air," ujarnya sambil berjalan di koridor suram kediamannya.

Sungguhpun berbangga kerana dapat hidup di sebuah kediaman dengan bayaran yang murah, nadanya berubah apabila memberitahu bahawa beliau merasa tidak yakin dapat memiliki sebuah rumah sendiri di masa hadapan.

Terdapat segolongan penduduk di Beijing yang menetap jauh di bawah tanah, dalam keadaan yang lebih kotor.

Pada Disember tahun lalu, media tempatan telah melaporkan sekumpulan penduduk yang hidup di dalam sebuah kawasan pembentungan. Migran-migran yang tinggal di situ telah dihantar pulang dan lurang tersebut ditutup segera pihak berkuasa untuk mengelakkan reputasi Beijing sebagai sebuah metropolis maju tercalar.

Selain itu, ramai penduduk miskin di Beijing masih mendiami bekas-bekas tempat perlindungan udara yang dibina di serata Beijing oleh Parti Komunis selepas mengambil alih kuasa pentadbiran pada tahun 1949 sungguhpun tindakan itu telah diharamkan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved