Selasa, 18 Februari 2014

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Kurangkan beban bawa buku

Posted:

Kurangkan beban bawa buku

Kurangkan beban bawa buku

Oleh HAFIZ AHMAD

APABILA bercakap tentang buku teks ketika di alam persekolahan, pasti setiap individu mempunyai pengalaman tersendiri. Sama ada sengaja meninggalkannya di rumah atau terpaksa berhempas-pulas mengangkat beg yang berat.

Bayangkan, hampir kesemua mata pelajaran mempunyai buku teks dengan purata dua jenis setiap satu subjek. Disebabkan itu, ramai yang mengambil pendekatan berbeza bagi mengurangkan mengendong 'beban' itu.

"Pada kebiasaannya, saya akan berkongsi bersama rakan yang duduk bersebelahan. Contohnya, jika saya membawa buku teks Sejarah, dia akan membawa buku Matematik," ujar Nur Dania Arifah Mohd. Rashidi, 17.

Dia menambah, langkah 'bijak' itu terpaksa diambil memandangkan dalam sehari, sebanyak enam ke tujuh buah buku yang akan dibawa mengikut jadual sekolah harian.

"Ia belum lagi ditambah buku-buku latihan yang akan digunakan untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun in," tambah gadis yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Cheras, Kuala Lumpur itu.

Namun, situasi itu bakal berubah melalui pengenalan buku teks digital yang dilancarkan di bawah Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Inovasi baharu

Inovasi baharu dunia pendidikan itu memberi satu anjakan positif kepada guru dan pelajar yang dilihat membantu sistem pengajaran dengan lebih efektif.

Buku teks digital tersebut merupakan versi elektronik buku bercetak yang boleh diakses secara dalam talian. Ia mengandungi teks dan grafik serta mempunyai ciri flip seperti buku teks bercetak.

Menurut Pengarah Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan, Abdul Ghani Mohamad Niza, ia adalah lanjutan daripada penggunaan Platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) 1BestariNet yang diperkenalkan pada tahun 2012.


PARA pelajar membawa beg sekolah berat bakal menjadi sejarah apabila pengenalan buku teks digital diperkenalkan di sekolah-sekolah.


"Sehubungan itu, kementerian berusaha supaya buku-buku teks dapat dimuat naik ke VLE. Melalui usaha itu, pelajar boleh mengakses buku teks secara maya selain terus menggunakan buku teks bercetak," ujarnya ketika ditemui Infiniti di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Dia menambah, pada peringkat awal, bahan buku teks bercetak didigitalkan dalam format Electronik Publishing 2 (ePub2) dan seterusnya dimuat naik ke platform VLE.

"Dengan adanya buku teks digital ini, pelajar dan guru yang telah dibekalkan dengan kata laluan akan dapat mengakses buku teks melalui internet pada bila-bila masa," jelas Abdul Ghani.

Sebanyak 300 judul buku teks bercetak telah didigitalkan mengikut tindakan gelombang pertama di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Mudah

Menyambut baik pembaharuan itu, guru subjek Teknologi Maklumat (IT) dan Matematik, Norhaniza Abd. Jamil, 35, berpendapat, pengenalan buku teks digital memudahkan proses pengajaran guru kerana ia lebih interaktif dan menarik.

"Buku teks biasa yang statik kadangkala membuatkan pelajar mudah hilang tumpuan. Pendigitalan tersebut sedikit sebanyak memudahkan pemahaman pelajar malah lebih cepat dan pantas," ujarnya yang mengajar di SMK Cheras.

Dia menambah, menggunakan buku teks digital menerusi laman VLE memudahkan pelajar ketika membuat latihan ulang kaji kerana jawapan boleh diperoleh dengan cepat.

"Selain itu, animasi-animasi yang terdapat dalam pendigitalan itu juga membolehkan pelajar memahami subjek-subjek tertentu dengan lebih baik," jelas Norhaniza yang berasal dari Kulim, Kedah.


PENGENALAN buku teks digital memudahkan proses pengajaran kerana ia lebih interaktif dan menarik.


Lebih menarik

Berkongsi pendapat yang sama, Norliza Borhan, 42, berkata pendigitalan buku teks adalah satu pembaharuan berinovatif.

"Rugi jika kita tidak bergerak selari dengan kepesatan teknologi maklumat yang semakin meluas pada hari ini. Mereka sendiri sudah biasa menggunakan komputer, maka proses pembelajaran dan pengajaran akan lebih menarik," ujarnya yang turut mengajar subjek IT dan Matematik.

Berdasarkan Laporan Ciri-Ciri Pendidikan dan Sosial Penduduk 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar celik komputer bagi penduduk warganegara Malaysia berumur lima hingga 69 tahun di semua negeri telah mencapai lebih daripada 45 peratus.

Kepekaan dalam bidang ICT itu memyebabkan generasi muda lebih peka dengan kemunculan teknologi-teknologi baharu. Pendedahan pada usia yang muda membolehkan pelajar menggunakan komputer tanpa sebarang masalah.

"Saya sendiri tahu menggunakan komputer pada usia tujuh tahun. Melalui pengenalan buku teks digital itu, cara pembelajaran saya turut berubah ke arah yang lebih baik," ujar pelajar tingkatan lima, Tsen Wen Liang, 18.

Tambah pelajar dari Cheras, Kuala Lumpur itu, walaupun baru diperkenalkan, cara penggunaannya tidak terlalu rumit kerana ia disediakan dalam Platform VLE yang telah digunakan sejak dua tahun lepas.

Beberapa negara telah beralih kepada penggunaan buku teks digital untuk digunakan dalam sektor pendidikan umum. Antaranya, Korea Selatan, Poland dan Singapura.

Korea Selatan telah merencana transformasi sistem pendidikan ke arah pendigitalan sejak lima tahun lepas. Penggunaan buku teks digital baharu itu akan dirintis oleh 150 sekolah rendah dan 300 sekolah menengah.


PELAJAR boleh mengakses pembelajaran mereka menggunakan peranti mudah alih.


Masalah

Namun, pakar bidang pendidikan di negara yang mempunyai sambungan internet antara terlaju di dunia itu, menyatakan pendigitalan buku sekolah membawa kepada beberapa masalah.

Mereka berpendapat, ia akan menyebabkan kebergantungan melampau generasi muda terhadap gajet dan teknologi baharu.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh kerajaan Korea Selatan mendapati, satu daripada 12 pelajar berumur lima hingga sembilan tahun terdedah kepada ketagihan internet.

Mengulas situasi itu, pengetua SMK Cheras, Juahir Mondakir berkata, pihak kementerian sudah semestinya telah mengambil kira perkara tersebut sebelum pelaksanaan ke seluruh sekolah awam.

"Contohnya, sambungan internet yang terhad untuk ke laman-laman web bersesuaian. Disebabkan itu, pelajar tidak boleh melayari internet untuk memasuki laman sosial dan berkaitan," ujarnya.

Cuaca sejuk bertukar panas 'sekelip mata'

Posted:

Cuaca sejuk bertukar panas 'sekelip mata'

Cuaca sejuk bertukar panas 'sekelip mata'

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI


MUSIM kemarau dijangkakan berlaku di beberapa kawasan di negara ini.


PELUH mula membasahi baju pekerja wanita itu yang tekun menyusun peralatan dan bahan-bahan untuk menghasilkan cendol. Cuaca panas dengan suhu yang mencecah 36 darjah Celsius tidak menghalangnya untuk meneruskan rutin harian melayan pelanggan yang ingin menikmati cendol di kaki lima Jalan Pandan Mewah, Kuala Lumpur.

Dalam kalangan pelanggan gerai tersebut ada yang mencari lokasi redup di bawah pokok sambil merasai keenakan cendol tatkala terik mentari memancar.

Suasana itu mungkin biasa dilihat di tempat-tempat lain memandangkan cuaca panas luar biasa sedang melanda beberapa negeri di Malaysia.

Rasanya, baru sahaja negara digemparkan dengan fenomena cuaca sejuk melampau yang berlaku di utara tanah air. Namun, beberapa hari lalu sekali lagi negara kita dikejutkan dengan berita peralihan cuaca kepada cuaca panas.

Ia mendatangkan suasana tidak selesa dalam kalangan masyarakat di negara ini. Lebih buruk lagi apabila beberapa kawasan sudah dikenal pasti akan dilanda kemarau sekiranya paras air di beberapa empangan tidak kembali ke paras normal.

Sabtu lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan arahan agar pegawainya memantau perkembangan aktiviti pertanian di setiap negeri bagi mengesan sebarang masalah yang timbul ekoran keadaan cuaca panas dan kemarau.

Terdapat laporan yang menyatakan petani di Kelantan terutamanya pesawah menghadapi masalah kekurangan air di petak sawah.

Di Melaka, bekalan air di beberapa kawasan termasuk Ayer Molek, Bandar Hilir, Ujong Pasir, Telok Mas, Duyung dan Lorong Pandan terganggu berikutan penggunaan melebihi had bekalan loji Syarikat Air Melaka Berhad pada masa ini. Kejadian tersebut dipercayai berlaku ekoran musim kemarau dan taburan hujan yang rendah menjadi punca simpanan air berkurangan.


ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran hutan dan belukar sepanjang musim panas ini.


Rezeki tambahan

Berlainan pula ceritanya di Pendang, Kedah apabila musim panas membawa rezeki tambahan kepada pembekal ais ekoran permintaan terhadapnya meningkat dua kali ganda. Kira-kira 1,000 beg ais sehari terjual di salah sebuah syarikat pembekal ais batu dan ais kiub di daerah berkenaan berbanding sekitar 500 hingga 600 beg sebelum ini.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang telah bersiap sedia untuk menjalankan operasi memadam kebakaran terutama melibatkan kebakaran lalang dan belukar.

Keadaan cuaca kering membolehkan kebakaran berlaku dengan mudah dan merebak pada kadar segera.

Januari lalu, jabatan tersebut menerima antara 30 hingga 40 panggilan kecemasan melibatkan kebakaran setiap hari dan kira-kira 80 peratus adalah kebakaran lalang dan belukar selain hutan-hutan kecil.

Cuti dibekukan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis menyatakan lebih 40 hektar kawasan hutan dan belukar di Negeri Sembilan terbakar Sabtu lalu.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan cuti semua anggota di negeri tersebut dibekukan dan mereka diarahkan untuk bertugas membantu pemadaman api hutan di kawasan terlibat.

Menurut laman web Jabatan Meteorologi, ketika ini, negara sedang berada pada fasa pertengahan Monsun Timur Laut dan kebanyakan tempat mengalami keadaan cuaca kering. Keadaan cuaca kering ini adalah disebabkan atmosfera yang stabil sekali gus menyebabkan pembentukan awan yang sedikit.

Secara amnya, cuaca kering di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka menjadi sedikit lembap menjelang April 2014.

Virus sebagai agen antitumor

Posted:

Virus sebagai agen antitumor

Virus sebagai agen antitumor

Oleh MUHAMAD NAJKHAN MAZLAN


SWEE KONG melakukan penyelidikan ke atas penggunaan virus sebagai agen antitumor.


KEJAYAAN Universiti Putra Malaysia (UPM) diangkat sebagai universiti penyelidikan bertitik-tolak daripada transformasi penyelidikan yang berterusan dalam membentuk kecemerlangan akademik.

UPM menyasarkan fokus penyelidikan terhadap bidang sains, pertanian, perubatan, kejuruteraan, pendidikan dan kemanusiaan.

Baru-baru ini, UPM melakar sejarah dalam bidang perubatan melalui penggunaan virus sebagai agen antitumor atau agen pencegah sel kanser.

Penyelidik UPM, Dr. Yeap Swee Kong, 31, yang melakukan penyelidikan itu telah dianugerahkan geran penyelidikan bernilai RM30,000 oleh Majlis Kanser Nasional (Makna).

Swee Kong berkata, penyelidikannya adalah mengenai virus penyakit Newcastle (NDV) iaitu virus yang selalu menyerang haiwan ternakan. NDV dikenal pasti sebagai agen antikanser kerana sifatnya yang selektif terhadap sel kanser dan bukan pada sel hidup sihat yang normal.

"Mekanisme NDV sebagai agen antikanser masih lagi berada pada peringkat kajian dan kami di UPM sedang melihat sejauh mana keberkesanan NDV ini untuk mengekang sel kanser terutama kanser payudara," katanya pada majlis Anugerah Penyelidikan Kanser

VIRUS penyakit Newcastle sering menyerang haiwan ternakan.


Makna 2013 yang disampaikan oleh Presiden Makna, Datuk Mohd. Farid Ariffin di Akademi Sains Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Swee Kong bertugas sebagai Felo Penyelidik di Laboratori Vaksin dan Imunoterapeutik, Institut Biosains menjelaskan, kajian makmal terhadap penggunaan NDV itu dilakukan secara in-vitro. Ia merupakan teknik penjujukan canggih yang digunakan dalam penyelidikan berkaitan sel hidup.

Buat masa ini, kajian beliau lebih tertumpu pada kanser payudara kerana ia merupakan penyakit barah yang paling banyak menyerang manusia selain kanser paru-paru.

"Saya berharap kajian ini dapat memberikan harapan kepada semua penghidap kanser bahawa masih ada sinar untuk pulih daripada penyakit kronik yang dideritai mereka," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved