Selasa, 18 Februari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tidak mahu besar kepala

Posted:

Tidak mahu besar kepala

Tidak mahu besar kepala

KEITH bukan sahaja menjadi tumpuan peminat tetapi juga pihak media.


LAKONAN yang ditampilkan oleh Keith Foo dalam drama bersiri Ariana Rose yang baru sahaja berakhir pada minggu lalu telah memberikan impak tersendiri buat dirinya di kala usaha gigihnya mencipta nama di negara kelahiran sendiri.

Buktinya, ketika berlangsungnya acara siri jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) di pusat membeli belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, kehadiran Keith menjadi tumpuan ramai sehingga pergerakannya terpaksa dikawal ketat.

Melihat kepada perjalanan seni pelakon yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu, bukan mudah buat dirinya menempa nama sebagai anak seni di negara kelahiran sendiri setelah satu tahun merantau ke Hong Kong dan lapan tahun merantau di Indonesia pada usia seawal 20-an.

Mengambil keputusan kembali bermastautin di Malaysia sejak dua tahun lalu, baru kali ini kehadirannya dalam industri hiburan tempatan semakin mendapat tempat lantaran wataknya sebagai Tengku Adam Kamil menerusi drama tersebut diminati penonton.

Dalam suasana cukup sesak dikelilingi orang ramai yang hadir pada acara tersebut, pelakon itu masih mampu memberikan kerjasama apabila diminta untuk ditemu bual oleh wartawan.

"Tidak sangka pula sambutan penonton terhadap drama Ariana Rose sangat menggalakkan. Sudah tentu ia cukup menggembirakan diri saya sepanjang bergelar pelakon di negara sendiri.

"Bukan mudah untuk memegang watak tersebut pada peringkat awal sehingga membuatkan saya cukup tertekan, tetapi apabila mengetahui tentang sambutan yang diterima pastinya ia sangat berbaloi," luah pelakon berdarah kacukan Cina (bapa) dan India (ibu) itu.

Memandangkan namanya yang kini semakin menjadi sebutan sehingga berjaya meletakkan namanya sebaris dengan pelakon lelaki popular lain, Keith menegaskan ia sesekali tidak akan membuatnya cepat lupa diri.

Sedar tentang populariti yang dikecapinya itu merupakan hasil sokongan peminat yang mula menerima kehadirannya sehingga namanya meniti di bibir peminat, ia akan dijadikan pembakar semangat untuk mengembangkan lagi karier lakonannya.

"Tiada perubahan ketara dalam kehidupan saya ketika mula-mula kembali ke Malaysia dahulu dan sekarang ini.

"Bezanya, kini saya sudah mula didekati peminat yang ingin bergambar dan ia satu pencapaian yang sangat menggembirakan dan menjadi bukti kehadiran saya diterima ramai.

"Sokongan peminat merupakan faktor paling utama terhadap kejayaan seseorang artis. Kalau saya bersikap besar kepala dengan peminat, pastinya diri saya tidak akan dikenali ramai seperti sekarang," tegasnya.

Menyambung cerita tentang populariti, Keith turut diminta pandangannya apabila ada dakwaan yang mengatakan keputusannya untuk kembali ke negara kelahirannya disebabkan namanya yang semakin tenggelam di Indonesia.

Tidak terkejut dengan dakwaan tentang popularitinya yang dikatakan semakin merudum di Indonesia, anak bongsu daripada empat beradik itu menjelaskan faktor utama dia pulang ke Malaysia kerana ingin dekat bersama ahli keluarganya.

"Pada usia yang sudah mencecah 31 tahun sekarang ini, sudah tiba masanya saya berdekatan dengan ahli keluarga setelah meninggalkan mereka dalam tempoh yang cukup lama.

"Kalau dikatakan saya sudah tidak laku lagi di Indonesia, sepanjang kepulangan saya masih banyak lagi tawaran lakonan yang diterima daripada penerbit dan pengarah di sana.

"Namun begitu, keutamaan saya kini lebih bertumpu di Malaysia sahaja," ujarnya.

Masalah pertuturan

Biarpun dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia sehingga meningkat usia remaja, pelakon kacak yang semakin digilai peminat wanita itu pernah berhadapan dengan masalah pertuturan ketika mula-mula berlakon dengan produksi tempatan.

Berada di negara seberang dalam tempoh yang cukup lama sehingga sudah terbiasa berbahasa Indonesia dikatakan sebagai punca utama, akui Keith, dia mengambil masa untuk membiasakan diri.

"Ketika berlakon dalam drama bersiri Love You Mr. Arrogant tahun lalu, pertuturan saya dalam bahasa Indonesia masih lagi terlalu pekat. Ia serba sedikit memberi tekanan kerana ia mengganggu tumpuan saya sewaktu berlakon.

"Bagi mengatasi masalah tersebut saya memaksa diri sendiri untuk bercakap bahasa Melayu dengan betul dengan bantuan rakan-rakan pelakon lain.

"Akhirnya, masalah tersebut telah dapat diatasi dan itu merupakan antara cabaran paling sukar," ujarnya yang kini semakin fasih berbahasa Melayu.

Meluahkan rasa gembiranya apabila tawaran berlakon yang diterima semakin mencurah-curah, Keith mendedahkan, dia akan tampil di layar perak pula dan bakal membintangi sebuah filem yang masih belum boleh diumumkan judulnya lagi buat masa ini.

Kontroversi

Di sebalik populariti yang dikecapinya apabila menjadi teraju utama drama bersiri Ariana Rose, timbul pula kontroversi kerana terdapat babak dia bersolat dan membaca al-Quran sehingga menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

Sudah dapat menjangkakan persoalan tersebut akan diajukan kepadanya, ujar Keith, apabila memegang watak sebagai seorang lelaki Muslim dalam sesebuah drama, ia sebenarnya memberi kelebihan buat dirinya untuk mengenali agama Islam secara lebih dekat.

"Mungkin ramai yang tidak tahu salah seorang kakak saya merupakan seorang mualaf dan sudah lama menganut agama Islam.

"Saya selalu bertanya tentang amalan yang dilakukan kepadanya sebagai seorang Muslim.

"Apabila saya diberi peluang menjadi muslim dalam sebuah drama pula, ia membuka peluang buat diri saya mendapat lebih banyak informasi tentang Islam," jelasnya.

Menurut Keith, dia juga tidak berasa terlalu janggal memegang watak lelaki Muslim memandangkan dia sudah pernah diberi peranan sedemikian ketika berlakon dalam beberapa buah sinetron di Indonesia dahulu.

"Biasanya, sebelum memulakan lakonan saya akan bertanya kepada individu yang arif terlebih dahulu supaya tiada sebarang kesilapan yang berlaku sehingga memberi gambaran yang salah kepada penonton," ujarnya.

Blog salah guna gambar sebagai tertuduh yang dirogol

Posted:

Blog salah guna gambar sebagai tertuduh yang dirogol

Blog salah guna gambar sebagai tertuduh yang dirogol

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


SHARIFAH ZARINA berharap agar pengendali blog lebih beretika dalam setiap laporan yang disiarkan.


LAMA sudah tidak bersua, namun khabar terkini mengenai penyanyi Sharifah Zarina di sebuah blog hiburan cukup mengejutkan peminat-peminatnya.

Pelantun lagu popular Langit Ketujuh itu dikatakan dipenjara atas kesalahan membunuh lelaki yang cuba merogolnya.

Bagaimanapun, setelah dihubungi Kosmo!, dia menjelaskan blog berkenaan telah menyalahgunakan gambarnya ke atas artikel yang tiada kaitan langsung dengan dirinya.

Artikel tersebut telah disiarkan sekitar bulan Januari lalu, namun Zarina hanya mula mengambil tindakan pada minggu lalu.

Penyanyi berusia 32 tahun itu terpaksa mengambil tindakan ke atas blog hiburan berkenaan kerana perkara itu telah memalukan dirinya.

Apakah tindakan yang dikenakan Zarina ke atas penulis blog berkenaan? Penyanyi itu turut bercerita mengenai perkembangan terbaharunya yang kini sudah berhijab.

Kosmo!: Bagaimanakah Zarina mengetahui artikel yang menyalahgunakan gambar anda itu?

SHARIFAH ZARINA: Saya diberitahu oleh anak saudara dan kemudiannya ada beberapa rakan juga memaklumkan perkara itu. Kata mereka, cerita berkenaan sudah meluas di dalam laman Facebook.

Apakah perasaan anda apabila mengetahui perkara itu?

Sudah tentu saya berasa sakit hati dan malu. Saya paling risaukan anak saya, Athilia Deena yang kini berusia 11 tahun. Apakah perasaannya apabila dia melihat gambar ibunya dan membaca artikel tersebut. Bagaimana juga kalau rakan-rakannya pula membacanya? Saya juga risau kalau keluarga membacanya. Dia tidak beretika kerana menggunakan gambar untuk cerita yang tiada kena mengena langsung, malah cerita tersebut tentang mangsa rogol.

Jadi apakah tindakan anda mengenai perkara itu?

Saya berbincang dengan peguam. Dia menasihatkan saya membuat laporan polis terlebih dahulu. Saya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Subang. Selepas itu, saya berjumpa pula dengan pakar IT untuk mengenalpasti penulis blog berkenaan. Saya tahu menyeluruh mengenai blog berkenaan. Tetapi, saya terpaksa menggunakan medium media untuk memberi pengajaran kepada blog berkenaan supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut. Saya beri tempoh selama 14 hari kepada blog berkenaan untuk menarik keluar gambar saya dan tampil membuat permohonan maaf.

Bilakah tempoh 14 hari itu berkuat kuasa?

Ia telah berkuat kuasa sejak semalam.

Apakah tindakan lanjut anda jika blog berkenaan tidak melakukan apa yang diminta oleh anda?

Saya akan bawa kes ini ke mahkamah dan segala kos akan ditanggung oleh blog berkenaan.

Terkini anda tampil cantik bertudung. Bilakah terbuka hati untuk mengenakan tudung?

Sekitar bulan Disember pada cuti sekolah, saya berjalan-jalan dengan keluarga. Saya ada beli beberapa helai tudung. Selepas cuba memakai tudung, saya tidak berasa untuk membukanya. Alhamdulillah, sejak tiga bulan lepas saya mula memakai tudung sepenuhnya.

Apakah perasaan anda selepas memakai tudung?

Saya rasa lebih tenang. Sebelum ini, saya mengerjakan solat dan juga puasa, tetapi selepas memakai tudung, saya rasa lebih sempurna ibadah saya. Tetapi, saya masih belajar secara perlahan untuk memperbetulkan pemakaian baju saya. Saya kini mula membeli dan mengumpul baju-baju yang lebih menutup aurat.

Setelah bertudung, bagaimana pula dengan kerjaya nyanyian anda?

Saya masih meneruskan nyanyian kerana ia adalah minat saya. Malah, saya juga sedang sibuk dengan single terbaharu iaitu Mengharap Cinta. Saya juga merancang untuk menghasilkan album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu lama dan juga lagu terbaharu saya.

Selain itu, apakah perkembangan terbaharu yang ingin dikongsikan kepada peminat?

Saya sekarang sedang mengikuti pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Saya tertarik dengan jurusan itu kerana ia berkaitan kanak-kanak dan saya juga mempunyai anak. Idea sentiasa mencurah-curah setiap kali saya melakukan tugasan untuk jurusan tersebut. Bagaimanapun, saya hanya mengikuti kelas pengajian pada hari Sabtu sahaja.

Isu single baharu Siti tiru lagu Rihanna

Posted:

Isu single baharu Siti tiru lagu Rihanna

Isu single baharu Siti tiru lagu Rihanna

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

SINGLE Jaga Dia Untuk Ku begitu bermakna buat Siti.


PERTAMA kali Datuk Siti Nurhaliza menyanyikan single terbaharunya yang berjudul Jaga Dia Untuk Ku yang dicipta oleh Aubrey Suwito ketika konsert amal Live in KLCC Where The Heart Is pada minggu lalu.

Bagaimanapun, timbul kritikan bahawa lagu itu mempunyai rentak yang mirip lagu Russian Roulette milik penyanyi antarabangsa, Rihanna.

Menjawab tuduhan itu, tegas Siti, dia tidak beranggapan lagu itu diciplak bulat-bulat, sebaliknya ia mengambil inspirasi daripada lagu penyanyi popular masa kini termasuk Rihanna dan Pink.

"Siti tidak pernah mendengar lagu tersebut (Russian Roulette) sebelum ini dan adalah lebih baik untuk merujuk pada Aubrey Suwito berkenaan perkara ini kerana dia yang mencipta single Jaga Dia Untuk Ku.

"Mungkin secara kebetulan, rentak, tempo dan bunyinya kedengaran seakan sama tapi melodi berbeza. Bukan mahu tiru 100 peratus tapi dijadikan inspirasi.

"Rasanya tidak timbul isu berkaitan menciplak lagu-lagu penyanyi lain dan Siti tidak akan sesekali berbuat demikian," jelasnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar Secretaries' Week Luncheon Lebih Indah di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gosip Adib

Single Jaga Dia Untuk Ku, kata Siti, menceritakan tentang pahit maung sepanjang tempoh dia menjaga suaminya, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa ketika terbabit dengan kemalangan motosikal di New Zealand pada bulan April dua tahun lalu.

Tambahnya, single itu juga akan dimuatkan dalam album terbaharunya yang dijangka akan dilancarkan pada bulan April nanti.

"Sebanyak lima buah lagu telah dirakam dan tinggal lagi lima lagu sebelum album ini siap sepenuhnya tidak lama lagi. Boleh dikatakan album kali ini lebih moden dan segar tapi masih mengekalkan gaya Siti," katanya mengenai album yang melibatkan komposer seperti Adi Sixth Sense, Awi Rafael dan Ade Govinda.

Dalam pada itu, Siti turut diminta mengulas mengenai hubungan anak tirinya, Adib Khalid yang kelihatan hadir bersama pelakon popular, Ummi Nazeera pada konsert amalnya di Plenary Hall, KLCC baru-baru ini.

"Mereka memang saling kenal-mengenali sejak dulu lagi, Ummi adalah seniornya ketika menuntut di Melbourne, Australia. Biasalah budak-budak nak berkawan dan Siti pun kena terbuka, belum tentu kita jatuh hati kalau berkawan pun.

"Sebelum ini pun, Adib pernah digosipkan dengan pelakon baharu di bawah Metrowealth, Nina Iskandar dan memang dia mengakui terkedu apabila terkena gosip juga.

"Lagipun, baru sekali dia menghadiri malam gala tayangan perdana filem bersama artis baharu itu, terus kena gosip," kata Siti yang banyak menasihatkan Adib mengenai selok-belok dunia hiburan.

Rai setiausaha

Sementara itu, Siti bakal menjayakan Secretaries' Week Luncheon Lebih Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada pukul 12 tengah hari, 15 dan 16 April nanti di Dewan Tamingsari, Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Persembahan dua hari yang bertemakan Fantasy Garden itu akan menggabungkan seni dan budaya bersama landskap alam semulajadi dilengkapi dengan beberapa lukisan dan arca.

Kata Ketua Perhubungan Awam Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, Farah Halim, minggu setiausaha itu pernah dijayakan Siti pada tahun lalu di hotel yang sama dan mendapat sambutan luar biasa.

"Maka, tahun ini kami menjemput Datuk Siti Nurhaliza sekali lagi untuk menjayakan majlis yang akan berlangsung selama dua hari berturut-turut, semata-mata meraikan setiausaha bersama majikan masing-masing," katanya.

Jualan meja berharga RM400, RM500 dan RM600 bagi setiap individu sudah mula dijual. Maklumat lanjut hubungi 03-2688 9688 untuk tempahan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved