Selasa, 7 Januari 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Belum ada sebarang keputusan

Posted:

Belum ada sebarang keputusan

Belum ada sebarang keputusan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

TAUFEK


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menangguhkan kes perbicaraan terhadap tujuh pemain Kuala Lumpur yang didakwa terlibat dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak memberitahu, tindakan itu dibuat selepas pihaknya dimaklumkan masih ada pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang terlibat dengan gejala tersebut.

"Hasil daripada siasatan hari ini (semalam) yang telah melibatkan 15 individu membabitkan pegawai dan pemain, pihak jawatankuasa telah membuat rumusan yang mendalam.

"Setelah kajian dibuat selama tempoh perbicaraan itu, pihak jawatankuasa memutuskan untuk menangguhkan keputusan terhadap tujuh pemain terbabit sehinggalah seluruh pasukan termasuk pegawai dihadapkan ke jawatankuasa ini.

"Saya difahamkan masih ada baki lebih kurang enam pemain (yang dilaporkan terlibat dengan rasuah) dan kami memutuskan untuk memanggil semua (pemain) sebelum membuat keputusan," kata Taufek pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tujuh pemain yang kini dalam 'perbicaraan' FAM ialah Azizon Abdul Kadir, Benedict Martin, Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J. Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin, S. Sivaraj dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, FAM telah menghukum jurulatih, Stanislav Lieskovsky serta dua pegawai pasukan, Rosli Omar dan pegawai, Shaari Jani digantung seumur hidup daripada sebarang kegiatan bola sepak dan denda RM20,000 atas kesalahan yang sama.

Turut menerima nasib sama seperti tiga individu tersebut ialah lima pemain Kuala Lumpur - Jeremy Danker, Khairul Anuar Shafie, Hafizi Roslee, Fadhlullah Yunsifar dan Phoo Kai Lun.

"Mungkin kita juga akan panggil Datuk George (Fredrick), beliau adalah pengurus pasukan. Kenapa selepas tiga perlawanan, dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan? Jadi, sebenarnya perkara ini sangat serius," katanya.

Ketika ditanya mengapa lapan individu tersebut dihukum tanpa diberikan peluang untuk membela diri, Taufek menjawab: "Yang sebelum ini (lapan individu yang dikenakan hukuman gantung seumur hidup dan didenda RM20,000), mereka tidak menjawab surat pertuduhan.

"Kami hanya ikut prosedur dan Jabatan Undang-Undang FAM yang mengeluarkan surat pertuduhan kepada mereka."

Pada masa sama, Taufek mengesahkan bahawa pihaknya sudah mengenal pasti bookie yang terlibat dalam gejala tersebut.

Apek tetap setia bersama Kelantan

Posted:

Apek tetap setia bersama Kelantan

Apek tetap setia bersama Kelantan

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my


DARI kiri, Azman, Nik Shahrul Azim, Khairul Fahmi, Kevin dan Darby bergambar bersama pada sidang akhbar di Kota Bharu semalam.


PENJAGA gol Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat dan pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Ab. Halim mengikat kontrak baharu selama tempoh lima tahun bersama Kelantan.

Keputusan itu menyaksikan Khairul Fahmi dan Nik Shahrul Azim akan kekal menyarung jersi skuad The Red Warriors (TRW) sehingga 2019.

"Saya cukup menyanjung tinggi komitmen yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemain tonggak berkenaan.

"Ini merupakan kontrak yang paling lama pernah ditandatangani oleh mana-mana yang pemain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M)," kata Ketua Pegawai Eksekutif TRW Sdn. Bhd., Kevin Ramalingam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pengumuman kontrak dua bintang The Red Warriors di Kota Bharu semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim dan ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby.

Sementara itu, Khairul Fahmi atau Apek menyifatkan keputusannya sebagai tepat dan ia dianggap sebagai pengorbanan kepada skuad The Red Warriors yang telah sebati dengan dirinya.

"Saya terima tawaran ini sebab saya asal sini (Kelantan). Karier saya bermula dengan The Red Warriors dan The Red Warriors juga banyak berkorban untuk saya selama ini.

"Jadi sudah sampai masanya saya korbankan untuk pasukan pula.

"Saya rasa telah membuat keputusan yang tepat demi masa depan saya," katanya yang berasal dari Kota Bharu.

Nik Shahrul Azim pula menyifatkan hatinya memang bersama Kelantan.

"Saya yakin dengan keputusan itu... saya asal sini, keluarga pun di sini, memang hati saya di Kelantan," kata pemain kelahiran Rantau Panjang itu.

Dalam perkembangan lain, Kelvin memberitahu, selain Apek dan Nik Shahrul, dua lagi pemain berpengalaman turut berbuat tindakan hampir serupa iaitu Zairul Fitree Ishak dan ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi.

Selain Apek dan Nik Shahrul Azim, kapten Kelantan, Mohd. Badhri pula mengikat kontrak selama dua tahun manakala Zairul Fitri tiga tahun.

Dharma Raj dinaikkan pangkat

Posted:

Dharma Raj dinaikkan pangkat

Dharma Raj dinaikkan pangkat

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my


TENGKU ABDULLAH (tengah) berkata sesuatu kepada Dharma Raj sambil diperhatikan Revington selepas mempengerusikan mesyuarat MHC di Kuantan semalam.


PENGENDALI skuad hoki remaja negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah telah dinaikkan pangkat sebagai penolong jurulatih skuad senior.

Pelantikan itu sudah pasti dianggap bonus buat Dharma Raj selepas beliau berjaya membimbing skuad Projek 2013 meraih kejayaan positif tahun lalu.

Selain Dharma Raj, dua bekas pemain negara, Nor Azlan Bakar dan K. Gobinathan turut dilantik sebagai penolong jurulatih kepada Paul Revington.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pelantikan itu dibuat bagi memantapkan lagi skuad senior bagi menghadapi enam kejohanan utama tahun ini.

Menurut Tengku Abdullah, ia merupakan sebahagian perancangan yang diputuskan bagi menentukan hala tuju skuad negara bagi mengharungi jadual kejohanan yang cukup ketat bermula Mac hingga Oktober depan.

"Dengan pelantikan ini, skuad senior yang dibarisi seramai 35 pemain akan dikendalikan oleh Revington bersama-sama dengan tiga penolong jurulatih baharu yang dilantik.

"Tumpuan akan diberikan kepada Sukan Asia di Korea Selatan, kita sasarkan jadi juara di sana. Ia (Sukan Asia 2014) juga merupakan kelayakan bagi Sukan Olimpik Rio 2016.

"Kita mahu momentum pencapaian terbaik yang telah diperoleh sebelum ini berterusan dan persiapan itu dimulakan dengan melantik tenaga jurulatih yang berkaliber," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MHC di Kuantan semalam.

Mengikut jadual, skuad senior negara akan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah pada 13 hingga 22 Mac di Ipoh, Perak dan Cabaran Juara-Juara 1 (25 April hingga 4 Mei) di Kuantan, Pahang.

Selepas Piala Dunia, anak-anak buah Revington akan berlepas ke Scotland untuk menyertai Sukan Komanwel (23 Julai hingga 3 Ogos) dan Sukan Asia di Korea Selatan September depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Abdullah berkata, MHC akan mencari pengganti Dharma dan memberi keutamaan kepada calon tempatan.

Katanya, dua jurulatih - Lim Chiow Chuan dan Tai Beng Hai akan bertindak sebagai penyelaras untuk memilih calon yang sesuai bagi menggalas tugas tersebut.

"Kita akan teliti calon yang sesuai termasuk jurulatih dari luar, namun keutamaan diberi kepada calon tempatan," jelasnya.

Tengku Abdullah turut mengumumkan bahawa Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim dan Lailin Abu Hassan kekal selaku jurulatih skuad senior dan junior wanita negara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved