Rabu, 22 Januari 2014

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


FAM sedia dedah dalang sebenar

Posted:

FAM sedia dedah dalang sebenar

FAM sedia dedah dalang sebenar

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SOAL SIASAT... J. Mughilan Kartik antara pemain Kuala Lumpur yang dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi membantu siasatan berhubung skandal rasuah melibatkan skuad warga kota.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengenal pasti dalang yang terlibat mengatur perlawanan bola sepak membabitkan skuad Kuala Lumpur pada aksi Liga Premier musim lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak yang memberitahu, pihaknya telah bersedia untuk mendedahkan 'wajah' dalang tersebut.

Jelas Taufek, FAM semakin hampir untuk menangkap 'jerung' terbabit selepas melakukan siasatan terperinci yang melibatkan 28 individu melibatkan pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur sejak bulan lalu.

Semalam, pihak Jawatankuasa Tatatertib FAM telah menjalankan perbicaraan terhadap tiga lagi pemain Kuala Lumpur – Hishamuddin Othman, Ahmad Dashila Tajudin dan Badrul Hisyam Azmi di Wisma FAM, Kelana Jaya.

FAM dijangka memanggil lagi baki tujuh pemain – Ahmad Jihad Ismail, Mohd. Munir Amran, Syafiq Johari, Mohd. Ar'ra'uf Roslee , Muhd. Rafef Raya, Muhd. Hanis Mohtar dan Muhd. Taufiq Mohd. Shukor untuk sesi perbicaraan seterusnya esok dan Selasa depan.

Mengulas lanjut, Taufek yakin bahawa dalang sebenar di sebalik gejala tidak bermoral itu akan dibawa ke muka pengadilan dalam tempoh terdekat.

"Tidak... tak mungkin 'jerung' akan terlepas. Apa yang pasti, kami akan dedahkan siapakah 'jerung' sebenar pada 28 Januari ini.

"Kami dah cukup bukti. Kami juga ada bayangan yang mana siapakah 'bilis' dan 'jerung' sebenar.

"Hari ini (semalam) kami telah membicarakan tiga pemain Kuala Lumpur iaitu Hishamuddin, Ahmad Dashila dan Badrul Hisyam.

"Mereka telah memberikan keterangan yang amat baik dan tidak mengaku salah atas pertuduhan terlibat dengan rasuah," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sebelum ini, FAM telah menangguhkan mesyuarat Tatatertib FAM bagi mendengar pembelaan daripada tujuh pemain Kuala Lumpur – Azizon Abdul Kadir, Benedict Martin, Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J. Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin, S. Sivaraj dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor.

Penangguhan tersebut bagi membolehkan FAM menyiasat seluruh skuad warga kota itu sebelum menjatuhkan hukuman kepada mereka yang didapati bersalah terlibat dengan skandal mengatur perlawanan.

Pada 21 Disember tahun lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM telah mengenakan hukuman gantung seumur hidup dan denda RM20,000 kepada tiga pegawai KLFA dan lima pemain Kuala Lumpur.

Tiga pegawai tersebut ialah ketua jurulatih, Stanislav Lieskovsky serta dua pegawai pasukan, Rosli Omar dan Shaari Jani.

Lima pemain yang terlibat ialah Jeremy Danker, Khairul Anuar Shafie, Hafizi Roslee, Fadhlullah Yunsifar dan Phoo Kai Lun.

Tok Gajah diselubungi tekanan

Posted:

Tok Gajah diselubungi tekanan

Tok Gajah diselubungi tekanan

Oleh M. RIZAL NOR
sukan@kosmo.com.my


PERTAHANAN Pahang, Mohd. Shahrizan (kanan) mengasak pemain muda Perak, Ahmad Syukri pada aksi Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.


PERTEMUAN menentang Perak pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin ternyata memberi tekanan kepada Pahang.

Biarpun tampil dengan reputasi tinggi selaku juara Piala Malaysia, skuad Tok Gajah itu nyaris tersingkir awal sebelum melakar kemenangan dramatik 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Sebelum itu, Pahang yang masih lagi segar dengan kejayaan menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah (Jumaat lalu), dipaksa bekerja keras sepanjang 120 minit perlawanan berlangsung selepas terikat 2-2.

Kapten Pahang, Mohd. Razman Roslan berkata, hampir kesemua pemain Tok Gajah berada dalam keadaan tertekan sepanjang perlawanan itu sehingga menyebabkan mereka hampir tersingkir.

"Walaupun kami terlebih dulu menjaringkan gol tetapi Perak berjaya membalas dengan dua gol, seterusnya memberi tekanan kepada kami.

"Kami rasa sangat tertekan kerana bimbang dimalukan oleh Perak dan menyebabkan kami tersingkir awal dalam saingan Piala FA kali ini.

"Mujur jaringan (Damion) Stewart pada babak kedua membolehkan kami mengikat Perak 2-2 sehingga perlawanan berlanjutan pada masa tambah," kata Razman kepada Kosmo! semalam.

Menurut Razman, para pemain tidak beraksi seperti biasa selain turut gagal mengawal emosi sehingga menyebabkan dua tonggak, Mohd. Azammuddin Akil dan Matias Conti dilayangkan kad kuning.

"Walaupun ramai pemain muda tetapi Perak ternyata bersemangat bermain di tempat mereka sendiri.

"Kami sekali lagi tertekan apabila sepakan penalti yang diambil Faizol (Hussin) dan Azammuddin tidak masuk kerana terkena palang.

"Sekali lagi kami bernasib baik apabila Saiful Nizam (Miswan) menjadi penyelamat apabila sepakan penalti yang diambilnya menghasilkan gol," jelasnya.

Razman memberitahu, skuad Tok Gajah harus menilai semula prestasi masing-masing agar ia segera diperbaiki menjelang perlawanan kedua Liga Super berdepan Sime Darby FC, Sabtu ini.

"Kami tidak boleh leka dan melakukan kesilapan dalam perlawanan tersebut kerana Sime Darby FC memburu kemenangan pertama setelah tewas kepada Kelantan 1-2 sebelum ini," jelasnya.

Giant Shimano tak jadi datang

Posted:

Giant Shimano tak jadi datang

Giant Shimano tak jadi datang

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

HAJAT peminat lumba basikal tempatan menyaksikan penampilan pasukan Giant Shimano dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 tidak kesampaian.

Pasukan profesional dari Belanda itu tidak dapat menyertai LTdL edisi ke-19 tahun ini disebabkan beberapa masalah termasuk pertindihan jadual serta kekurangan pelumba berkaliber.

Bagaimanapun, ketiadaan Giant Shimano yang sebelum ini dikenali sebagai Argos Shimano dijangka diisi oleh pasukan Skydive Dubai yang sedia memberi cabaran pada saingan kali ini.

"Lebih menarik, Skydive Dubai menyatakan kesanggupan menanggung dan membayar sendiri kos sepanjang penyertaan mereka dalam LTdL.

"Kesanggupan mereka itu membuktikan kejohanan ini semakin mendapat perhatian ramai serta berada dalam kelas yang tersendiri," kata Ketua Pegawai Operasi LTdL 2014, Emir Abdul Jalal pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Emir berkata, pasukan yang berpangkalan di Arab Saudi itu sanggup melakukan apa saja bagi membolehkan menyertai LTdL 2014 yang bermula dari 27 Februari hingga 8 Mac depan.

"Bukan saja mereka akan membayar sendiri semua kos, kesanggupan mereka membawa pelumba berpengalaman termasuk bekas juara dunia dan Olimpik secara tidak langsung akan memeriahkan lagi saingan pada kali ini," kata Emir.

Sekiranya permohonan pasukan itu diterima, Skydive Dubai akan diperkuatkan dengan kehadiran Francisco Mancebo yang kini menyarung jersi pasukan 5-hour Energy.

Sebagai rekod, pelumba berusia 37 tahun itu berjaya menamatkan saingan Jelajah Perancis di tempat keenam pada edisi 2004 dan keempat (2005).

Dalam perkembangan lain, pengeluar pakaian berbasikal terkemuka, Ciclista Sdn. Bhd. (Ciclista) dipilih menjadi penaja rasmi LTdL 2014 untuk tahun kedua berturut-turut.

Menurut Pengarah Urusan Ciclista, Shahirudeen Seeni Mohammad, pihaknya berbesar hati apabila sekali lagi menjadi antara penaja kejohanan lumba basikal paling berprestij di Asia itu.

"Ia suatu penghormatan kepada Ciclista untuk terus menjadi penaja rasmi LTdL buat tahun kedua berturut- turut.

"Penganjuran LTdL bukan saja meluaskan pasaran produk kami di Malaysia, malah kini terkenal di seluruh Asia," kata Shahirudeen.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved