Khamis, 2 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Menara gading diheret huru-hara politik Mesir

Posted:

Menara gading diheret huru-hara politik Mesir

Menara gading diheret huru-hara politik Mesir

DALAM keadaan yang penuh tawakal bersama beberapa buah buku dalam genggaman, Siti Fatimah Mohd. Salleh, 23, meneruskan langkahnya sambil menyerahkan segala takdir kepada Allah supaya selamat tiba ke dewan kuliah.

Masih segar diingatan penuntut jurusan pengajian Islam dan bahasa Arab Universiti Al-Azhar itu ialah melihat pekarangan universiti diselubungi kepulan asap tebal dan tembakan gas pemedih mata yang menjadikan suasana di sekitar tegang.

Siti Fatimah yang terpaksa menghadiri peperiksaan pada hari berkenaan mengambil langkah tepat apabila tidak melalui jalan biasa ke kelas, sebaliknya memilih laluan yang lebih sunyi dan terpencil.

"Pada waktu itu Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya. Takut dan risau menyelubungi diri. Sepanjang perjalanan ke kuliah mulut saya tanpa henti beristighfar memohon kepada Allah supaya diri ini dilindungi.

"Alhamdulillah berkat perlindungan-Nya, saya selamat sampai ke lokasi dan bersyukur kerana membuat keputusan tepat apabila tidak melalui kawasan berdekatan fakulti perdagangan itu," ceritanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkongsi pengalaman ekoran kejadian 28 Disember lalu apabila universiti tertua di dunia itu menjadi lokasi pertempuran antara penyokong kumpulan Ikhwanul Muslimin dan pihak polis di Kaherah, Mesir.

Kejadian duka itu mengheret Universiti Al-Azhar yang terkenal sebagai sebuah menara gading yang berjaya melahirkan cendekiawan-cendekiawan Islam ke dalam kancah ketidakstabilan politik negara itu.


PENGHANTARAN pasukan keselamatan di kampus dilihat sebagai satu usaha kerajaan untuk mengunci mulut pembangkang.


Dilabel pengganas

Rusuhan oleh kumpulan pro-Ikhwanul Muslimin yang selama ini menuntut semula kuasa Presiden Mohamed Morsi yang telah digulingkan kuasa tentera pada 3 Julai tahun lalu semakin memuncak apabila kerajaan Mesir melabelkannya sebagai pengganas baru-baru ini.

Morsi, presiden Mesir kelima yang menjawat jawatan tertinggi itu pada 30 Jun 2012 sebelum pengambil alihan kuasa tersebut, merupakan pemimpin pertama negara berkenaan yang dipilih secara demokrasi. Beliau juga antara pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang terperangkap dalam pertempuran itu, Muhammad Mukhzin Amran, 22, pelajar tahun dua di Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Al-Azhar menceritakan detik hitam yang terpaksa dihadapinya pada Sabtu lalu.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama lima rakan lain sedang dalam perjalanan pulang selepas menyemak jadual peperiksaan mereka di universiti berkenaan.

"Ketika mahu keluar dari pekarangan universiti, kami terkepung dengan pihak polis dan tentera tidak membenarkan kami keluar. Sehubungan itu, kami memutuskan untuk mengambil perlindungan sementara sehingga keadaan kembali reda," jelasnya.

Kematian

Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan Mesir, Khaled al-Khatib memberitahu Reuters, empat orang cedera selepas pelajar membakar salah sebuah bangunan universiti tersebut.

Peristiwa itu diburukkan lagi dengan laporan kematian salah seorang pelajar Universiti Al-Azhar.

Menurut aktivis Pergerakan Pelajar Menentang Rampasan Kuasa yang merupakan penyokong Ikhwanul Muslimin, Shaimaa Mounir, penuntut tersebut, Khaled El-Haddad, terkorban akibat kecederaan namun tidak dapat dipastikan sama ada ia disebabkan dipukul atau terkena tembakan rambang.


WALAUPUN dalam keadaan bergolak, kuliah dan peperiksaan di Universiti Al-Azhar masih berjalan seperti biasa.


Sementara itu, akhbar Al-Ahram melaporkan, pertempuran tersebut berlaku selepas pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan pelajar pro-Ikhwanul Muslimin yang cuba menghalang rakan-rakan mereka memasuki bangunan universiti untuk mengambil peperiksaan.

Penunjuk perasaan turut bertindak membaling batu ke arah polis dan membakar tayar kereta sebagai tanda protes.

Keadaan bertambah buruk apabila satu liputan saluran televisyen tempatan menunjukkan kepulan asap keluar dari bangunan fakulti perdagangan dan fakulti pertanian universiti berkenaan.

Sejak kebelakangan ini, Universiti Al-Azhar sering menjadi tumpuan demonstrasi bantahan terhadap apa yang disifatkan kumpulan Ikhwanul Muslimin sebagai rampasan kuasa tentera selepas penggulingan Morsi tahun lalu.

Kumpulan persaudaraan itu menghentam tindakan pihak berkuasa itu dengan menggelarnya sebagai "tindakan keras terhadap protes pelajar" dengan mengatakan dalam satu kenyataan, penghantaran pasukan keselamatan di kampus berkenaan sebagai satu usaha kerajaan untuk mengunci mulut pembangkang.

Sumber keselamatan bagaimanapun mengesahkan kenyataan kumpulan itu bahawa sembilan penuntut Universiti Al-Azhar telah terbunuh dalam pertempuran dengan pihak polis sejak bermulanya tahun akademi pada September 2013.

Tahanan

Pada Jumaat minggu lalu, sekurang-kurangnya lima orang telah terkorban dalam pertempuran di seluruh Mesir.

Dalam insiden berbeza, pihak pendakwaan telah mengarahkan lanjutan tahanan tujuh orang pelajar Universiti Al-Azhar yang telah ditangkap dalam pertelagahan Khamis lalu.

Para pelajar terlibat merupakan kumpulan pertama yang dituduh tergolong dalam kumpulan pengganas sejak penyenaraian formal Ikhwanul Muslimin pada 25 Disember lalu.

Selain itu, ribuan penyokong persaudaraan itu telah ditahan dengan lebih 250 orang daripada mereka di bawah klasifikasi berkenaan pada Jumaat lalu.

Langkah tersebut telah menambahkan lagi hukuman terhadap mereka yang membantah pemerintahan kerajaan selepas pengusiran Morsi.


RUSUHAN kumpulan penyokong Ikhwanul Muslimin kian memuncak apabila dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Mesir.


Kerajaan yang disokong tentera itu kelihatan bertekad dalam mengawal kumpulan penentang sebelum pelaksanaan referendum perlembagaan baharu yang dijadualkan bulan hadapan. Langkah tersebut dipercayai akan membuka jalan kepada pilihan raya parlimen dan presiden baharu di Mesir.

Di bawah undang-undang anti-pengganas yang diperkenalkan sejak pemimpin sebelum, Hosni Mubarak, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan seumur hidup. Pihak berkuasa juga telah memaklumkan bahawa pemimpin-pemimpin gerakan tersebut juga boleh berhadapan dengan hukuman mati.

Organisasi bebas, Human Rights Watch berkata Sabtu lalu, klasifikasi kerajaan terhadap Ikhwanul Muslimin dilihat sebagai langkah politik dan bertujuan mengakhiri kesemua aktiviti pergerakan tersebut.

Penasihat kepada pemimpin kerajaan sementara Adli Mansour, Mustafa Hijazi menerusi dalam satu komen akhbar Asharq al-Awsat yang diterbitkan Sabtu lalu berkata, keputusan itu bukan bersifat politik, sebaliknya menggunakan undang-undang sedia ada.

Beliau turut menyatakan kepercayaannya bahawa Mesir tidak akan kembali kepada keadaan darurat sungguhpun keganasan berterusan.

Pihak berkuasa telah menarik pengisytiharan darurat pada bulan November lalu, tiga bulan selepas pihak tentera menguat kuasa langkah tersebut ekoran pergolakan berdarah selepas penggulingan Morsi.

Dianggarkan kadar kematian sejak kejatuhan pemimpin negara itu melebihi 1,500 orang.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved