Khamis, 2 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Lengkap sudah hidup saya - Nurul

Posted:

Lengkap sudah hidup saya - Nurul

Lengkap sudah hidup saya - Nurul

"NAMA dia Zachary Depp," luncur sepotong ayat daripada pemilik nama Nurul Depp atau nama sebenarnya Nurul Huda Abdul Wahab ketika pertemuan bersama Kosmo! hari Jumaat lalu.

Sambil mendukung bayi lelaki yang selama ini diperkenalkan kepada umum dengan sapaan Baby Z, wajah ceria Nurul menampakkan dia kini jelas diulit bahagia.

Penulis bertanya, kenapa perlu dirahsiakan nama bayi sulung hasil perkahwinan keduanya bersama jejaka kelahiran Perancis, Eric Depp, jawab Nurul, dia terasa hati.

"Saya terasa hati dengan sesetengah pihak yang selalu nak tahu semua perkara termasuk soal peribadi yang adakalanya terlalu personal bagi saya.

"Tapi apabila sudah berkongsi, lain pula jadinya, tetap ada perkara yang orang tak puas hati. Jadi, lebih baik saya rahsiakan dulu sampai waktu yang betul-betul sesuai seperti sekarang.

"Pernah saya terfikir untuk tutup semua kisah peribadi saya dan berkongsi pasal kerjaya sahaja tapi tidak adil untuk sesetengah peminat yang optimis dan mengikuti perkembangan saya selama ini.

"Saya tahu saya hak masyarakat dan sebab itu saya dahulukan dengan pengenalan serba sedikit sebelum berkongsi sepenuhnya mengenai anak saya. Sekarang saya sudah bersedia," jelasnya yang hadir bertemankan suaminya, Eric dan anak sulungnya, Ayu Nazirah.

KELUARGA BAHAGIA... Nurul mahukan seorang lagi anak bagi melengkapkan lagi bilangan anggota keluarganya.


Zachary

Nurul, 36, telah mendirikan rumah tangga bersama Eric, 48, pada 6 Jun 2012 selepas kemusnahan rumah tangganya bersama komposer terkenal, Ajai selepas dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ayu Nazirah, 15, hasil perkahwinan pertama.

Sambil menggetus dedaun kata dan memangku Baby Z yang sudah memasuki usia tiga bulan, Nurul mengakui bayi lelakinya tidak banyak meragam sepanjang tempoh berpantang hingga sekarang.

"Kebetulan saya dibesarkan dalam keluarga yang ramai adik-beradik, semua perkara jadi mudah dan Alhamdulillah kelahiran kedua tidak sesukar yang pertama 15 tahun lalu.

"Perasaan gembira itu tidak dapat tergambar oleh kata-kata dan tak sangka saya boleh mempunyai anak lagi, rasa masa sangat cepat berlalu dan syukur saya dapat apa yang dihajati.

"Zachary tidak banyak ragam, memang awal-awal dulu setiap malam akan terjaga tiga kali untuk menyusu tapi sekarang sudah tidak sekerap sebelum ini. Bangun pagi-pagi pun dia akan tersenyum, hati ibu mana tak berseri-seri?" kongsinya.

Memilih nama Zachary, ujar Nurul, selepas menolak 19 buah nama lain yang disenaraikan olehnya dan Eric sepanjang tempoh kehamilan.

"Malah, ada cerita menarik di sebalik nama Zachary sebenarnya. Dulu saya ada menyukai seorang jejaka ketika zaman persekolahan bernama Zakri dan saya akui setiap kali berjumpa dengan lelaki bernama Zakri mesti individu itu rupawan.

"Lagipun, Zachary adalah singkatan daripada nama Zakaria yang bermaksud amanah dan taat. Kalau ada orang mahu mempertikaikan ejaan nama anak saya, tiada masalah dan saya tidak kisah," tegas Nurul.

Tambahnya, Zachary dilahirkan secara normal pada pukul 10.28 pagi 3 Oktober 2013 seberat tiga kilogram, dua minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu 15 Oktober.

Ditanya tentang azam tahun 2014, kata Nurul, dia mahu mempunyai seorang lagi cahaya mata melengkapkan angka tiga selain merancang untuk mengadakan konsert mininya sendiri.

ERIC teruja menempuh perjalanan hidup bersama Nurul.


Syukur

Hanya air mata kegembiraan mengiringi kelahiran cahaya mata sulung Eric yang setia menemani Nurul sepanjang proses kelahiran.

"Takut pada mulanya kerana ini pengalaman pertama saya tetapi pada masa sama, saya rasa teruja. Apa yang mampu saya buat ketika itu hanya berdoa dan memberikan dorongan mental kepada Nurul.

"Paling penting anak saya sihat, sempurna dan Nurul juga selamat bersalin tanpa sebarang komplikasi," kata Eric bersungguh-sungguh.

Eric tidak meletakkan sebarang sasaran atau menentukan hala tuju kehidupan anaknya kelak, baik artis atau perunding pemasaran sepertinya, itu tidak menjadi hal.

"Dia boleh menjadi sesiapa saja yang dia mahu dan saya tiada hak untuk menentukan masa depannya tapi saya mahu dia dibesarkan dengan pembelajaran yang mencukupi, mungkin dia juga ada minat tersendiri," ujarnya yang kini membesarkan sendiri Zachary di rumah tanpa bantuan pengasuh.

Cinta antara benua Azura, Cristiano

Posted:

Cinta antara benua Azura, Cristiano

Cinta antara benua Azura, Cristiano

Oleh IZWAN MOHD. ISA

PASANGAN ini enggan terburu-buru menimang cahaya mata.


PERKENALAN singkatnya dengan jurulatih seni mempertahankan diri Brazil yang dikenali sebagai Capoeira sewaktu mengacarakan sebuah program kesihatan televisyen kira-kira lima tahun yang lalu pantas mengukir bibit-bibit cinta.

Tempoh hubungan mereka berlangsung agak lama, namun, cinta Azura Zainal, 32, dan Cristiano Genuino Da Silva, 38, akhirnya bersatu dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung pada 28 Disember lalu di Restoran Subak, Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, Azura yang juga merupakan penyampai di stesen radio Red FM diijabkabulkan oleh bapanya sendiri, Zainal Mohd. Kharib sambil disaksikan oleh kaum keluarga dan sahabat handai pengantin perempuan.

Dengan dua kali lafaz, Cristiano atau nama Islamnya, Ibrahim dan Azura selamat bergelar pasangan suami dan isteri.

Lebih istimewa, Cristiano melafazkan akad pada malam itu dalam bahasa Melayu.

Walaupun kedengaran sedikit pelat, anak jati negara Brazil ini tidak sedikit pun gugup, malah keyakinan dan kesediaan untuk bergelar suami jelas terpancar pada raut wajahnya.

Azura yang kelihatan cukup manis pada majlis pernikahannya itu tersenyum simpul usai upacara pernikahan tersebut.

Dia menerima wang hantaran sebanyak RM3,000 serta dihadiahkan pengantin lelaki tujuh dulang hantaran termasuklah sebuah telefon pintar, kasut dan sepasang persalinan.

Cristiano seperti bapa

Azura yang mula dikenali sebagai pengacara melalui rancangan kanak-kanak Studio Disney memberitahu, Cristiano yang dipanggilnya dengan nama ringkas, Cris itu begitu istimewa di matanya.

Ketika dalam proses mengenali hati masing-masing, jejaka itu begitu mengambil berat tentang dirinya dan tidak kekok walaupun berbeza bangsa dan agama.

"Saya dan Cris mula mengenali antara satu sama lain ketika sedang menjalani pengambaran program Get In Shape. Selepas berjumpa buat kali yang kedua, dia terus mengajak saya keluar makan.


PASANGAN pengantin bergambar kenangan bersama keluarga besar mempelai perempuan.


"Dari situ, bermulalah bibit-bibit cinta antara kami berdua. Dia merupakan seorang yang baik hati dan menerima diri saya seadanya. Walaupun dia sibuk menguruskan studio Capoeira miliknya, dia tidak pernah mengabaikan saya," ujarnya.

Tambah Azura, ketika dia sedang sakit dan terlantar di hospital, Cristiano banyak meluangkan masa untuk menjaganya. Sikap suaminya itu saling tidak tumpah seperti bapanya.

"Saya sangat kagum dengan sifatnya yang begitu mengambil berat tentang diri saya. Sewaktu dimasukkan ke hospital kerana jangkitan demam denggi, Cris selalu datang menjenguk saya. Caranya itu sama seperti cara abah saya menjaga saya ketika sedang sakit.

"Disebabkan itu saya percaya dia merupakan lelaki terbaik yang telah ditakdirkan untuk saya," ulasnya yang tidak mahu terburu-buru menimang cahaya mata dalam masa terdekat ini.

Tiada bulan madu

Wanita bertubuh genit ini ternyata sibuk dengan tugas hariannya sebagai pengacara dan juga penyampai radio. Justeru, dia dan suami belum merancang untuk pergi berbulan madu.

Sambil ketawa, dia berkata: "Cuti tahunan saya telah habis kerana menjalani penggambaran Fear Factor Malaysia baru-baru ini. Bayangkan, sehari sebelum majlis pernikahan, saya masih lagi ke udara dan berada di pejabat sehingga lewat malam.

"Saya bernasib baik kerana abah dan adik-beradik yang lain begitu banyak membantu dalam merancang majlis ini. Mereka sangat faham tuntutan kerjaya saya yang tidak tentu masa ini," ujarnya yang kembali bertugas sehari selepas majlis pernikahannya itu.

Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya, Azura berkata, dia akan mengadakan majlis resepsi pada pertengahan tahun ini kerana tidak ramai yang dapat menghadiri majlis pernikahannya.

"Saya mempunyai keluarga yang agak besar. Ramai antara mereka yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan saya.

"Salah seorang abang saya yang berada di Amerika Syarikat turut tidak berkesempatan untuk pulang atas sebab-sebab tertentu. Jadi, majlis yang akan diadakan itu nanti dapat memberi peluang kepada mereka untuk bertemu dengan saya dan suami," ujarnya.

Soo Wincci dihujani pelbagai krisis

Posted:

Soo Wincci dihujani pelbagai krisis

Soo Wincci dihujani pelbagai krisis

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

KARIER seni Soo Wincci kini dikendalikan oleh pengurusan baharu.


ADA hikmah di sebalik pengiktirafan 100 wanita tercantik dunia (The 100 Most Beautiful Faces 2013) oleh Independent Critics kepada bekas ratu cantik dan penyanyi keturunan Cina, Soo Wincci minggu lalu.

Sebelum mendapat pengiktirafan oleh organisasi yang berpangkalan di United Kingdom dan Amerika Syarikat itu, Soo Wincci, 28, secara mengejut dimaklumkan bahawa bisnes kasut secara usaha sama dengan jenama XES, terpaksa dihentikan dalam tempoh kurang sebulan.

Pada masa sama, berlaku krisis antara pihak pengurusannya sehingga memaksa pengunduran sebelah pihak.

Rentetan itu, kontrak duta bersama beberapa produk kecantikannya telah ditarik balik.

Hampir mengalah dan berundur daripada karier seni, peserta MasterChef All Stars 2013 itu mengakui tertekan dengan beban yang dipikulnya seorang diri dan dugaan yang datang serentak.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Soo Wincci pada majlis sambutan Tahun Baru Ambang 2014 Putrajaya di Dataran Putrajaya baru-baru ini.

Kosmo!: Menduduki tangga ke- 91 sebagai 100 wanita tercantik dunia 2013 sudah pasti mengujakan anda. Pernahkah menjangka akan pengiktirafan ini?

SOO WINCCI: Sama sekali tidak. Mungkin mereka nampak apa yang saya sedang lalukan sekarang. Selain sibuk dengan menyanyi, saya juga berlakon, menyertai rancangan MasterChef dan sedang menyambung pelajaran dalam Ijazah Kedoktoran (PhD) pada satu masa.

Sebenarnya, ini cabaran lebih besar kepada saya kerana pada masa sama saya membawa nama Malaysia, ia sangat membanggakan.

Apakah yang dapat disimpulkan daripada pengiktirafan itu memandangkan anda juga mengalahkan nama-nama besar Hollywood seperti Rosie Huntington-Whiteley dan Amanda Seyfried?

Ada hikmah sebenarnya dan tidak pernah terlintas dalam fikiran. Sehari sebelum mendapat berita itu saya hampir menyerah kalah dan berputus asa. Pengurusan Melayu saya tarik diri dan musnah sama sekali, saya sendiri perlu bergerak sendiri untuk mempromosikan diri.

Kemudiannya, bisnes kasut saya, Soo Wincci by XES terpaksa dihentikan kerana didakwa menggunakan nama hampir sama dengan salah sebuah syarikat kasut terkenal antarabangsa.

Kontrak duta bersama beberapa produk kecantikan juga telah ditarik balik. Semua berita buruk itu datang serentak dan saya hanya mampu menangis sepanjang masa.

Apabila terjadi perkara yang membabitkan pengurusan Melayu sehingga menjejaskan emosi dan kerjaya anda, adakah selepas ini anda sudah serik?

Saya tidak serik dan akan menggantikan pengurusan Melayu saya dengan pengurusan baharu. Orang akan datang dan pergi dan masa akan membuktikan segalanya.

Syukur, sekarang saya ada pengurusan lain yang mengatur jadual saya di Malaysia dan Taiwan.

Bagaimanakah pula dengan masa depan bisnes kasut Soo Wincci by XES anda? Adakah mungkin akan dijenamakan semula?

Kami perlu menghabiskan semua koleksi stok yang sedia ada sebelum perayaan Tahun Baru Cina dan buat masa sekarang saya menghentikan seketika bisnes kasut sehingga betul-betul bersedia. Memang sedih tapi saya pasrah.

Bagaimana anda bangkit semula daripada kegagalan itu?

Saya tanamkan dalam minda, saya perlu hadapi itu semua sendirian, tidak boleh mengalah dan harus berjuang.

Saya menyimpan impian untuk menembusi pasaran Hollywood dan saya perlu berusaha, setiap ujian pasti akan ada kemanisan akhir nanti.

Ini suatu petanda supaya saya tidak berputus asa. Apa yang orang luar nampak, cantik di depan tidak semestinya di belakang pun sama.

Anda kelihatan seperti cuba mengejar semua perkara dalam hidup, bagaimana aturan hidup yang direncanakan sepanjang tahun 2014?

Saya sedang merakamkan album antarabangsa kedua saya di Taiwan dan sekarang berulang-alik ke Malaysia.

Ada dua buah lagu (Happiness dan Not Brave) berjaya memasuki carta negara Taiwan dan saya perlu sentiasa berada di sana untuk mempromosikan produk saya.

Disebabkan jadual padat, saya cuba membahagikan masa sebaik mungkin untuk menamatkan PhD saya sebelum mencapai usia 30 tahun.

Selain itu saya akan berkolaborasi dengan seorang penyanyi dari China serta menyasarkan untuk bekerjasama dengan Shila Amzah di sana.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved