Rabu, 22 Januari 2014

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Tujuh hari jelajah Palestin

Posted:

Tujuh hari jelajah Palestin

Tujuh hari jelajah Palestin

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

ROMBONGAN 110 orang peserta Kembara Bumi Suci Al-Quds mula melangkah keluar dari dua buah penginapan berbeza iaitu Jerusalem Metropole dan Hotel 7 Arches pada pukul 3.50 pagi untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Aqsa, Palestin.

Dalam kedinginan pagi di Baitulmuqaddis, peserta rombongan ternyata teruja untuk bersolat di masjid yang kedua dibina dalam sejarah umat Islam itu selepas Masjidil Haram di Mekah. Ia merupakan pengalaman kedua rombongan menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

Namun, peserta rombongan tersentak apabila tentera Israel tidak membenarkan mereka memasuki kawasan masjid sebelum pukul 4.30 pagi.

Kompleks Al-Aqsa yang menempatkan lima buah masjid iaitu Masjid Utama, Masjid Qubbatus Sakhra (Kubah Batu), Masjid Utama Lama, Masjid Marwani dan Masjid Buraq dikawal rapi oleh tentera Israel. Rombongan terpaksa menunggu selama 30 minit sebelum dibenarkan masuk ke kawasan masjid.

Imam Satu Masjid Al-Aqsa, Sheikh Yusuf Abu Sunainah turut menunggu untuk masuk ke masjid bersama rombongan.

"Ia merupakan cabaran yang getir buat kami. Kawasan masjid dikawal rapi oleh tentera Israel. Mereka menguasai rumah ibadat umat Islam.

"Tentera hanya membenarkan kami masuk ke kawasan masjid sejam sebelum subuh. Pintu masjid akan ditutup sejam selepas solat Isyak," tutur peserta rombongan, Mohd. Faiz Othman, 26.

Beliau yang juga merupakan juruhebah di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.fm) berkata, ia merupakan pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke bumi anbia itu.

Baginya, walaupun berdepan pelbagai kerenah birokrasi terutamanya ketika berurusan dengan tentera Israel untuk memasuki masjid dan pos kawalan, berada di bumi bersejarah yang disebut dalam al-Quran itu merupakan satu pengalaman berharga buatnya.


KESEMUA peserta Kembara Bumi Suci Al-Quds bergambar di hadapan Masjid Qubbatus Sakhra.


Pengembaraan bersejarah

IKIM.fm merupakan rakan kerjasama ALCC Al-Amin Travel Sdn. Bhd. (ALCC Al-Amin Travel) kendalian Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin bagi program Kembara Bumi Suci Al-Quds yang diadakan pada Oktober lalu.

Misi program tersebut adalah untuk melaksanakan ibadah korban di Amman, Jordan dan Ramallah, Tebing Barat, Palestin.

Menerusi misi itu, sebanyak dua ekor lembu berjaya disembelih di Amman dan 15 ekor di Ramallah. Hasil daging korban itu telah diagihkan ke kem perlindungan pelarian Palestin.

Selain Mohd. Faiz, Pengarah Pusat Media IKIM, Dr. Nik Roskiman Abdul Samad dan seorang lagi penyampai radio IKIM.fm, Fairuz Noordin turut menyertai rombongan tersebut.

Menurut Mohd. Faiz, program Kembara Bumi Suci Al-Quds merupakan cara terbaik untuk merapatkan ukhwah antara pendengar setia saluran radio berkenaan bersama masyarakat Islam di Palestin.

Ceritanya, sepanjang tujuh hari berada di Palestin, dia merasakan seperti berada dalam sebuah pengembaraan dalam buku sejarah Islam.

"Peluang menunaikan solat Masjid Al-Aqsa dan mengunjungi kawasan sekitarnya merupakan satu pengalaman yang paling diingati. Peserta kembara juga dibawa melawat ke penjara jin dan singgahsana Nabi Sulaiman yang juga berada di dalam kawasan Al-Aqsa.

"Tiada sebarang pertempuran yang berlaku sepanjang berada di sana. Umat Islam, Kristian dan Yahudi hidup dalam keadaan aman," jelasnya.

Tambah Mohd. Faiz, beliau melihat kegiatan ekonomi di Palestin didominasi orang Yahudi.

"Oleh itu, kunjungan kami ke sana juga dilihat untuk membantu ekonomi masyarakat Islam di sana. Kami hanya berbelanja di premis-premis yang dikendalikan oleh orang Islam," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SALAH satu laluan utama untuk masuk ke Masjid Al-Aqsa yang dikawal rapi tentera Israel yang lengkap bersenjata.


Penghubung masyarakat Islam

Menurutnya, rombongan dari Malaysia menerusi kembara itu juga berpeluang menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa walaupun terpaksa menunggu selama dua jam untuk melepasi pos kawalan keselamatan tentera Israel.

Peserta juga dibawa ke Masjid Utama Lama yang terletak di bawah Masjid Al-Aqsa.

Di situ, terdapat tiang asal masjid yang dibina oleh Nabi Sulaiman. Pengunjung juga berkesempatan melihat sebuah perpustakaan yang menghimpunkan khazanah ilmuwan agama di sana.

Peluang berbicara dan bertukar pandangan dengan masyarakat Islam di Palestin digunakan sebaik-baiknya oleh peserta rombongan itu.

"Penduduk Islam di Palestin yang berketurunan Arab amat mengalu-alukan ketibaan pelancong. Muhammad Abdullah mengingatkan setiap peserta bahawa kami merupakan penghubung mengeratkan hubungan antara masyarakat Islam Malaysia dan Palestin," jelas Mohd. Faiz.

Negara Palestin terbahagi kepada tiga bahagian selepas peperangan Arab-Israel pada tahun 1948.

Zon A merupakan kawasan penempatan rakyat Palestin sahaja manakala Zon B hanya didiami oleh orang Israel. Sementara itu, Zon C diduduki rakyat Palestin dan Israel.

Tembok setinggi lapan meter sepanjang 600 kilometer merupakan pemisah antara wilayah Palestin dan Israel.

Penggunaan kubah

Seorang pendengar setia IKIM.fm yang mengikut program kembara itu, Ahmad Zakwan Ahmad Zaini, 37, berkongsi pengalaman, tujuan utama dia dan isteri menyertai rombongan berkenaan ialah untuk menyiapkan laporan mengenai sistem audio di Masjid Al-Aqsa.

Menurut Pengarah Antaramax Holdings Sdn. Bhd. yang terlibat dalam perniagaan sistem audio itu, dia dapat mempelajari pelbagai perkara ketika proses mengumpul maklumat di masjid-masjid di Jordan dan Palestin.


BATU tempat Juda dibaringkan iaitu seorang pengikut Nabi Isa yang berpaling tadah dan ditukar rupa kepada wajah Baginda sebelum disalib di Gereja Holy Sepulcher menjadi tumpuan pelancong beragama Kristian di Jerusalem.


"Ketika berkunjung ke sebuah masjid di Yofa, Tel Aviv, saya berpeluang mendengar sistem bunyi yang terbaik iaitu tanpa gema yang kuat. Ternyata masyarakat Arab Yahudi di kawasan itu mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang sistem audio.

"Waktu solat merupakan peluang terbaik untuk saya melihat peralatan audio seperti mikrofon dan pembesar suara yang digunakan. Masjid di Palestin menggunakan banyak kubah dan ia merupakan kaedah terbaik untuk mengurangkan gema," ujarnya.

Tambah Ahmad Zakwan, ketika perjalanan rombongan dari Tel Aviv ke Hebron, dia melihat banyak tanaman pokok gharqad atau Boxthorn iaitu pokok yang dipercayai akan menyelamatkan bangsa Yahudi daripada dibunuh oleh orang Islam pada hari kiamat kelak.

Program Kembara Bumi Suci Al-Quds merupakan kunjungan kali ke-19 ALCC Al-Amin Travel ke Palestin. Muhammad merupakan individu penting sepanjang kembara itu dengan memberikan penjelasan terperinci kepada peserta mengenai setiap lokasi yang dilawati mereka.

"Beliau akan memberi tazkirah di setiap destinasi yang dilawati seperti Masjid Al-Aqsa, Bethlehem dan makam-makam nabi di negara itu. Ini amat bermanfaat bagi kami," ujarnya.

Dulu perkampungan nelayan, kini bandar raya

Posted:

Dulu perkampungan nelayan, kini bandar raya

Dulu perkampungan nelayan, kini bandar raya


TIDAK sah percutian ke Hong Kong sekiranya tidak mejejakkan kaki ke taman tema Disneyland.


BULAN Disember lalu membuka sejarah baharu dalam hidup penulis apabila berpeluang menjejakkan kaki ke kota tumpuan ekonomi dunia, Hong Kong dan Shenzhen, China.

Seawal pukul 9 pagi, penulis dan ahli rombongan seramai 12 orang dewasa dan empat kanak-kanak berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bagi menaiki penerbangan secara transit ke Jakarta, Indonesia sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke Hong Kong.

Kepenatan menempuh perjalanan selama empat jam dari Jakarta ke Hong Kong seakan-akan hilang sebaik menjejakkan kaki ke pulau tersebut. Malah, kedinginan cuaca tempatan serendah 10 darjah Celsius juga tidak menghalang penulis untuk meneruskan perjalanan ke Shenzhen.

Bagi yang ingin melawat ke Shenzhen dari Hong Kong, visa pelawat diperlukan, begitu juga untuk ke Hong Kong. Sejurus melepasi prosedur pemeriksaan kastam Hong Kong, kami disambut oleh pemandu pelancong yang diuruskan oleh ejen pelancongan Crystal Travel Planners Sdn. Bhd. dan dibawa terus ke hotel.

Shenzhen, yang bersebelahan Hong Kong, terletak di wilayah Guangdong, selatan China merupakan destinasi popular untuk pelancongan dan perniagaan.

Melihat kepesatan bandar raya berkenaan yang dipenuhi bangunan pencakar langit seperti Menara Shun Hing (bangunan kesembilan tertinggi dunia), mungkin ramai tidak percaya bahawa kira-kira tiga dekad lalu, Shenzhen hanyalah sebuah perkampungan nelayan.


RESTORAN Jumbo merupakan salah satu restoran terapung terbesar di dunia yang boleh memuatkan 2,300 orang pada satu-satu masa.


Rekaan futuristik

Rekaan futuristik bangunan pencakar langit menarik perhatian penulis dan ahli rombongan sepanjang perjalanan menuju ke tempat penginapan, Shanshui Trends Hotel. Hotel itu terletak di Jalan Yanhe berhampiran Stesen Keretapi Shenzhen dan hab komersial Daerah Luohu.

Tidak sah berkunjung ke Shenzhen jika tidak mengunjungi beberapa lokasi pelancongan menarik di bandar raya itu seperti Splendid China Folk Culture Village dan Window of the World.

Splendid China Folk Culture Village ini terdiri daripada dua bahagian iaitu sebuah taman kecil yang menempatkan lokasi-lokasi menarik di sekitar China seperti Forbidden City, Terracotta Soldiers, Tibet Potala Palace, Huangshan Mountains, Yunnan's Stone Forest dan Tembok Besar China.

Bahagian kedua pula terdiri daripada 56 buah replika rumah etnik di China seperti Miao, Yi, Bai, Mongol dan Uygur. Pengunjung berpeluang melihat sendiri budaya, fesyen dan bahasa setiap etnik tersebut melalui pertunjukan kebudayaan yang diadakan pada setiap hari.

Taman ini berkeluasan 300,000 meter persegi dan dalam masa tidak sampai satu hari, penulis berjaya meneroka keindahan alam semula jadi serta kebudayaan masyarakat China di taman ini.

Pada hari keempat, penulis dan ahli rombongan dibawa ke Window of the World yang mempunyai landskap semula jadi yang indah seluas 480,000 meter persegi dan disinari cahaya lampu pada waktu malam.

Di taman ini, penulis turut tidak melepaskan peluang merakam pelbagai gambar yang berlatarbelakangkan beberapa lokasi terpenting di dunia seperti Menara Eiffel, piramid, Menara Pisa, Air terjun Niagara dan Taj Mahal.


BANGUNAN pencakar langit menghiasi di keseluruhan kawasan Hong Kong tetapi ia lebih tertumpu di Semenanjung Kowloon dan di pantai utara Hong Kong.


Pengunjung boleh memilih sama ada untuk menerokai keindahan taman tersebut dengan berjalan kaki atau menaiki trem. Penulis memilih bersiar-siar di taman tersebut dengan menaiki trem bagi menjimatkan masa.

Tawar-menawar

Sepanjang berada di sana, penulis sempat bertentang mata bersama pelakon, Rebecca Nur Al-Islam yang turut berkunjung ke lokasi itu bersama keluarganya.

Bagi yang menggemari aktiviti membeli-belah, Luohu Commercial City dan Dong Men Pedestrian Street menjadi pilihan yang menawarkan pelbagai produk fabrik, elektronik, cenderamata dan sebagainya.

Sedari awal lagi, pemandu pelancong mengingatkan kami supaya tawar-menawar sebanyak 50 peratus kerana kebanyakan peniaga di situ tidak meletakkan tanda harga pada barangan mereka.

Biarpun adakalanya, ia nampak seperti sebuah pertengkaran kecil, namun jangan bimbang kerana tawar-menawar sudah menjadi kelaziman peniaga di kawasan itu.

Peluang bermalam dan menikmati keindahan bandar raya Shenzen selama tiga hari sememangnya mencatatkan pengalaman manis dalam diri penulis.

Selepas itu, Hong Kong menjadi destinasi terakhir percutian kali ini. Sejurus menjejakkan kaki ke bandar raya itu, kami dibawa melawat kilang barangan kemas selain diberi penerangan mengenai keistimewaan emas yang terdapat di sana.

Seterusnya, kami melawat Victoria Peak untuk menyaksikan keindahan seluruh bandar Hong Kong dari puncak bukit tersebut. Memang indah dan nyaman suasana di puncak bukit tersebut ditambah lagi dengan kedinginan cuacanya ketika itu.

Kunjungan ke menara tersebut juga meninggalkan kenangan yang manis kepada kami semua kerana turut berpeluang melawat muzium patung lilin terkenal, Madame Tussauds Hong Kong.


PENULIS berkesempatan bertemu dengan pelakon kacak, Aaron Aziz ketika mengunjungi muzium patung lilin, Madame Tussauds.


Selebriti

Ia merupakan muzium Madame Tussauds pertama yang dibuka di Asia dan menempatkan lebih daripada 100 buah replika figura awam dan selebriti terkenal antarabangsa.

Beberapa orang selebriti telah diabadikan di sana antaranya, penyanyi legenda Elvis Presley, Anita Mui, Lady Gaga, pelakon veteran Bollywood, Amitabh Bachan dan bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush.

Sesuatu yang menyeronokkan di muzium patung lilin ini ialah penulis berkesempatan bertemu pelakon kacak, Aaron Aziz yang turut berada di sana sempena percutian bersama peminat.

Kemudian kami ke taman tema Disneyland yang terbahagi kepada tiga tema iaitu Fantasyland, Adventureland dan Futureland. Kami sempat meronda dan bermain di ketiga-tiga kawasan tersebut.

Pertunjukan bunga api, cahaya dan bunyi yang mereka persembahkan hampir setengah jam sangat menakjubkan dan ia diadakan pada setiap malam.

Seharian di Disneyland kami masih sempat menyaksikan seluruh persembahan yang diadakan seperti It's a Small World, Mickey's Philharmagic 3D, The Golden Mickey, Adventure of Winnie the Pooh dan banyak lagi.

Seakan-akan mimpi menjadi kenyataan kerana sebelum ini, penulis tidak pernah terfikir dapat menjejakkan kaki ke taman tema Disneyland ini meskipun ia merupakan antara yang terkecil di dunia berbanding Disneyland lain.

Bermain bersama Raja Sungai Relau

Posted:

Bermain bersama Raja Sungai Relau

Bermain bersama Raja Sungai Relau


PALET diberikan sebagai umpan kepada ikan kelah merah.


LANGKAH diatur penuh berhati-hati. Lebih mencabar, setiap hayunan kaki yang mencecah kejernihan permukaan air Kuala Juram, Sungai Relau, Taman Negara Merapoh di Pahang perlu dikawal.

Lenguh rasanya berjalan terenjut-enjut mengurangkan gelombang di permukaan air. Keadaan yang sebelum ini riuh-rendah dengan suara pelancong, sunyi seketika kecuali kedengaran sesekali suara unggas dan burung bersahut-sahutan.

Jurupandu memulakan langkah memasukkan tangan ke dalam air sambil menggenggam palet iaitu sejenis makanan khas untuk ikan.

Selepas puas menanti, kocakan air mula kelihatan dan dari jauh para pengunjung mula teruja menyaksikan kelibat beberapa ekor ikan melompat di permukaan air.

"Bukan mudah mahu mengumpan ikan kelah tersebut untuk bermesra dengan manusia," kata Mustafa Abdul Karim, 50, orang terawal menjinakkan ikan kelah merah yang sinonim dengan gelaran Raja Sungai.

Ikan kelah merah merupakan tarikan utama di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh sehingga ramai kaki pancing dan peminatnya hadir untuk menyaksikan sendiri kecantikan ikan itu secara dekat.

Ikan tersebut memerlukan kawasan dengan kadar oksigen tinggi, air jernih, cetek, berarus deras dan menetap di kawasan hulu sungai, Ia mampu membesar lebih lima kilogram bagi betina dan kira-kira tiga kilogram bagi jantan.

Mustafa sendiri memerlukan masa selama lima tahun untuk menjinakkan ikan tersebut. Ekoran kemampuan menjinakkan ikan kelah itu, dia digelar Raja Ikan.

Pengusaha ikan air tawar itu memberitahu, kali pertama dia menyentuh ikan berkenaan adalah pada tahun 2005 iaitu selepas beberapa percubaan dilakukan sejak tahun 2000.


SANTUARI Kelah ini dibuka pada tahun 2002 memberi kehidupan baharu kepada spesies ikan kelah merah.


"Ikan kelah merah sangat sensitif terhadap persekitaran. Kalau ikan tersebut rasa sedikit getaran pada air, ia pasti lari atau mencari tempat tinggal yang lain.

"Saya sendiri terpaksa menghabiskan masa lebih dua jam semata-mata untuk membuatkan ikan-ikan itu biasa dengan saya," jelasnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Warna baju

Mustafa mendedahkan, warna baju juga memainkan peranan sewaktu menjinakkan ikan kelah itu supaya ia berani dekat dengan manusia sehingga hari ini.

"Pada peringkat awal, saya meniarap di dalam air bersama ikan-ikan ini sambil menyuap palet melalui botol susu yang ditebuk puntingnya. Sesekali saya berjaya membelai tubuh ikan tersebut. Bila ikan semakin dekat dan berani, kita cuba bagi makan pakai tangan sehinggalah boleh dipegang.

"Warna baju memang kena hitam atau putih. Kami pernah cuba baju warna merah dan biru tetapi ikan-ikan ini lari," jelasnya.

Bagi pengunjung pula, peluang sekali dalam seumur hidup memegang ikan kelah merah itu pasti sukar untuk dilepaskan.

Nur Aliah Mohd. Nor, 21, berkata, kerakusan manusia meneroka alam demi mengejar pembangunan moden harus dikawal atau dihentikan.

"Melihat ikan kelah ini, hati saya terdetik bagaimana ia mampu meneruskan kehidupan di sungai jikamanusia terus-menerus mencemari penempatan mereka.

"Sekiranya kita tidak memulakan usaha menjaga alam sekitar, generasi akan datang mungkin tidak berpeluang menyaksikan ikan ini di hidupan liar, sebaliknya hanya di akuarium," tegasnya.

Santuari ikan kelah bermula sejak 2002. Selain kelah, terdapat beberapa spesies ikan lain termasuk kejor, sebarau, ikan daun dan jemerung yang menjadikan Sungai Relau sebagai habitat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved