Sabtu, 4 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Pemburuan Jourdan, Marvin, Cory, Chris, Renee

Posted:

Pemburuan Jourdan, Marvin, Cory, Chris, Renee

Pemburuan Jourdan, Marvin, Cory, Chris, Renee

PERCATURAN karier yang diatur oleh kelima-lima model ini ternyata tidak pernah silap. Peluang yang datang bersama minat digunakan begitu telus dalam menyemai cita-cita untuk bergelar peragawati dan peragawan terkenal di dalam dunia fesyen antarabangsa.

Menyingkap kisah silam dan mengangkat pengalaman ketika bertanding sebagai peniup semangat untuk terus berjaya, finalis pertandingan pencarian model terkenal milik supermodel Tyra Banks, America's Next Top Model Cycle 20 (ANTM 20) Jourdan Miller, Marvin Cortes, Cory Hindorff, Chris Hernandez dan Renee Bhagwandeen berkongsi cerita tentang impian dan kisah perjalanan kerjaya masing-masing.

Mereka hadir ke Malaysia kerana menjayakan program Random Act of Kidness anjuran Red FM. Program tersebut dianjurkan sebagai satu aktiviti bagi mendekatkan diri mereka dengan budaya masyarakat sesebuah negara yang dilawati.

Peluang di Asia

Juara ANTM 20, Jourdan Miller sememangnya mempunyai pakej yang lengkap untuk bergelar sebagai seorang model. Baru mencecah usia 20 tahun, gadis yang berasal dari Bend, Oregan, Amerika Syarikat (AS) ini begitu kental dalam mengharungi cabaran ketika sedang bertanding menerusi rancangan realiti pujaan ramai itu.

Ketika ditanya mengenai cabaran paling berat yang terpaksa diharunginya ketika menyertai program realiti tersebut, Jourdan memberitahu, sewaktu berlangsungnya cabaran pentas peragaan di Style Fashion Week, dia langsung tidak menerima sebarang tempahan pada sesi cabaran minggu kesembilan itu.

"Itu merupakan pengalaman yang paling sukar untuk dilupakan. Kami dikehendaki untuk mendapatkan sekurang-kurangnya dua tempahan bagi salah satu pertunjukan fesyen yang diadakan.

LIMA finalis ini mahu mencuba nasib untuk menembusi pasaran peragaan Asia.


"Malangnya, saya dan Marvin gagal mendapat sebarang tempahan. Tetapi, itu tidak bermakna saya harus berputus asa dengan dunia peragaan. Secara positif, jika hanya seorang enggan menempah saya, tidak bermakna yang lain pun tidak berminat. Apa yang penting, usaha yang berterusan," ujarnya ketika ditemui pada program amal Random Act of Kindness baru-baru ini.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia, gadis dengan ketinggian 183 sentimeter ini begitu kagum dengan keramahan penduduk di Kuala Lumpur serta tertarik dengan keenakan buah-buahan tempatan.

"Saya suka buah rambutan," ujar Jourdan sambil tersenyum. Menurutnya, dia sangat sukakan keadaan bumi dan memasang angan-angan untuk tinggal lebih lama di sini.

"Saya suka Malaysia dan orang-orangnya begitu peramah dan sungguh baik. Saya mungkin akan datang semula dan tinggal di Malaysia selama satu atau dua tahun untuk melebarkan kerjaya sebagai seorang model.

"Peluang saya di sini mungkin lebih besar kerana model berambut perang yang tinggi dan kurus begitu diperlukan dalam pasaran Asia. Di samping itu, saya ingin mencuba nasib di negara-negara yang terkenal dengan elemen fesyen seperti di Paris dan Milan," ujarnya.

Kerjaya bantu keluarga

Bagi Marvin Cortes, 21, dipilih sebagai pemenang tempat kedua dalam musim yang pertama melibatkan peserta daripada dua kumpulan jantina ini sebagai satu peluang yang besar untuknya melihat dunia luar.

Katanya: "ANTM 20 banyak mengubah hidup saya sebagai seorang individu. Dahulu, saya tidak berpeluang untuk menjelajah dunia. Selepas menyertai ANTM 20, saya diberi kesempatan untuk ke Bali, Indonesia dan sekarang bertemu peminat di Kuala Lumpur.

"Sebagai anak seorang pencuci bangunan, saya cukup gembira kerana mampu membuat ayah saya bangga dengan pencapaian saya. Tambahan pula, saya kini mampu untuk memberikan sedikit kesenangan kepada adik-beradik yang lain," ujar Marvin yang kini sedang menjalinkan hubungan dengan salah seorang finalis ANTM 20, Renee Bhagwandeen.


TURUN tanda tangan. Finalis ANTM 20 menurunkan tanda tangan sebagai tanda sokongan terhadap kempen amal Random Act of Kindness yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.


Cory elak drama

Finalis tempat ketiga, Cory Hindorff, 23, turut berkongsi, penyertaannya dalam ANTM 20 merupakan satu pengalaman bermakna dalam hidupnya yang tidak mungkin dapat ditukar ganti.

"Saya belajar banyak tentang diri saya melalui rancangan ini. Sepanjang pertandingan itu berlangsung, saya turut berkongsi pengalaman dengan pelbagai jenis individu serta berkenalan dengan rakan-rakan baharu. Ia merupakan satu pengalaman yang begitu mengujakan," ujarnya.

Model yang membawa peranan androgini (mampu melakukan pose lelaki dan wanita) turut berkongsi, walaupun disuakan dengan pelbagai drama dan kekecohan sepanjang berlangsungnya pertandingan, dia sedikit pun tidak terkisah dengan perkelahian yang berlaku antara para peserta.

"Saya menyertai program ini bukan untuk bergaduh. Matlamat utama saya hanya untuk menjadi juara. Bagi saya, pergaduhan yang berlaku antara peserta langsung tidak membawa apa-apa kebaikan," ujar jejaka kelahiran Philadelphia, Pennsylvania, AS ini.

Chris bersyukur

Walaupun dilabel sebagai peserta paling menjengkelkan dalam pertandingan tersebut, Chris Hernandez, 26, tetap bersyukur dengan apa yang dikecapinya walaupun kecundang pada minggu ke-14.

"Selepas tamat ANTM 20, saya berasa bersyukur kerana orang telah mula mengenali siapa itu Chris Hernandez. Setiap kali bangun tidur, saya masih tidak percaya dengan apa yang telah berlaku setakat ini.

"Saya begitu gembira kerana orang ramai telah mula nampak potensi yang ada pada diri saya. Secara jujurnya, saya sangat terhutang budi kepada Tyra serta para peminat yang begitu setia memberikan sokongan," katanya yang dipilih sendiri oleh Tyra ketika bertemu dengannya di California, AS.

Chris turut menambah, ANTM 20 merupakan sebuah platform yang baik untuk dirinya menjadi diri sendiri dan berfikir dengan lebih matang.

MAWRVIN, Renee dan Chris mempunyai cerita tersendiri sepanjang terbabit dalam program realiti ANTM 20.


Perkahwinan Taj Mahal Renee

Renee Bhagwandeen, 25, yang pernah menyertai pertandingan ratu cantik Miss Trinidad and Tabago Universe dan International begitu teruja ketika sampai ke Malaysia. Katanya, dia begitu terharu dan berasa sangat teruja dengan kepelbagaian kaum yang terdapat di sini.

"Ketika menyertai pertandingan Miss International, saya berkenalan dengan peserta daripada Malaysia. Rupa parasnya begitu cantik dan jelita. Jadi, sesampainya saya di sini, baru saya sedar tentang keunikan tiga bangsa yang ada di Malaysia," ujar Renee yang menyifatkan keadaan di Malaysia sama seperti kampung halamannya di Trinidad.

Ketika ditanya tentang perancangan masa hadapan, Renee berkata, dia mahu melawat negara-negara lain di rantau Asia terutamanya, India.

"Nama keluarga saya Bhagwandeen dan saya mewarisi darah India daripada moyang ibu. Ia membuatkan saya begitu teringin untuk melihat negara tempat asal keluarga saya dan menyaksikan keindahan Taj Mahal," katanya yang memasang impian untuk berkahwin di sana.

Fizo puas dua perkara

Posted:

Fizo puas dua perkara

Fizo puas dua perkara

Oleh TOREK SULONG

PASANGAN pengantin Fizo dan Mawar terus meraikan cinta mereka dengan mengadakan majlis resepsi dalam usaha mendekatkan hubungan sesama keluarga, selain bertemu dan beramah mesra dengan peminat mereka.


TERPANCAR kegembiraan pada raut wajah Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo, 28, sepanjang berlangsungnya majlis resepsi perkahwinannya dengan Mawar Abdul Karim, 24, yang diadakan di kediaman keluarga Fizo di Taman Sri Jawa, Selising, Pasir Puteh, Kelantan, minggu lalu.

Majlis itu meriah apabila dihadiri lebih 15,000 jemputan yang sebahagian besarnya adalah peminat setia pelakon drama bersiri Cinderella itu.

Dalam persalinan merah jambu rona lembut, kedua-dua mempelai yang sama cantik sama padan itu mesra melayani para peminat.

Setelah melalui resepsi di Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta menikmati bulan madu di Eropah sejak diijabkabulkan 10 November lalu, majlis kesyukuran di Kelantan ini bagai dedikasi buat para peminat Fizo, apatah lagi peminat yang datang dari kampung halamannya sendiri di bumi Cik Siti Wan Kembang.

Fizo dan Mawar dirai dengan adat seni budaya Kelantan iaitu acara membangkitkan semangat kepahlawanan menerusi persembahan seni silat selain mereka kemudiannya disajikan dengan muzik gamelan Orkestra Seni Warisan Pauh Lima, Bachok dan dendangan lagu dikir kontemporari yang dipersembahkan oleh pendikir terkenal, Halim Yazid.

"Dua kepuasan yang terpahat di hati saya. Pertama, Mawar dan anggota keluarga berkesempatan berkongsi gembira dan berinteraksi bersama peminat selama dalam tempoh lima jam berlangsungnya kenduri di kampung kelahiran saya sendiri.

"Kedua, hasil titik peluh saya dalam industri lakonan juga berjaya dikongsikan bersama peminat Kelantan khususnya penduduk di Pasir Puteh dengan juadah kuih-muih termasuk memberi peluang jemputan menikmati keenakan Hot Burger yang diusahakan saya selama ini.


ERAT SILATURAHIM. Fizo berpuas hati kerana dapat memperkenalkan keluarga Mawar yang berasal dari Pulau Pinang dan Melaka dengan budaya masyarakat Kelantan sewaktu resepsi di kediaman keluarganya di Taman Sri Jawa, Selising, Pasir Puteh, Kelantan.


"Selain itu, tetamu juga dapat menikmati jamuan nasi yang membabitkan 30 kawah gulai resipi Sri Jawa, Kelantan," katanya ketika ditemui selepas kenduri kesyukurannya yang diadakan bermula pukul 12 hingga pukul 5 petang.

Fizo berkata, dia berasa lebih gembira apabila berlakunya jalinan muhibah antara anggota keluarga isterinya dari Bukit Mertajam Pulau Pinang dan Melaka yang saling bertanya khabar dengan keluarganya di Kelantan sepanjang majlis yang berkonsepkan seni taman itu.

Dalam tempoh kira-kira satu jam di pelamin juga Fizo dan Mawar bukan sahaja meluangkan masa bergambar di hadapan lensa kamera media, sebaliknya turut memberi peluang kepada sanak saudara dan peminat untuk merakamkan gambar kenangan.

"Kenduri kesyukuran ini adalah sebahagian simbolik rasa kasih dan penghormatan saya kepada peminat yang banyak memberi sokongan khususnya penduduk setempat di seluruh pelosok kampung di Pasir Puteh.

"Ia membangkitkan kembali kenangan lampau apabila rakan sepermainan dalam pasukan bola sepak di Pekan Selising, rakan sekelas zaman persekolahan, guru dan pemimpin setempat turut diundang memeriahkan majlis ini.

"Sepanjang berlangsungnya majlis ini semua sudut dirakamkan menerusi rakaman kandid dan video sebagai koleksi kenangan yang paling bernilai dalam hidup saya. Kesemuanya adalah rakaman peristiwa yang perlu disimpan," katanya.

Fizo turut menjelaskan, persiapan awal mengindahkan persekitaran tanah lapang dan persekitaran kediaman ibunya, Hasnah Jidin dengan persiapan landskap menarik serta penyediaan 10 ekor lembu untuk dikorbankan bagi menjayakan majlis itu dapat disempurnakan hanya dalam tempoh dua minggu sebelum menjelangnya tanggal indah yang menjadi nostalgia sepanjang perkongsian hidupnya dengan Mawar.

Ditanya mengenai tawaran terbaharu untuk berlakon dalam The Red Warrior The Movie, ujar Fizo, pada dasarnya dia memang berminat untuk menjayakan filem berkenaan kerana bola sepak adalah sebahagian acara sukan yang pernah diceburinya pada suatu ketika dahulu.


FIZO dan Mawar saling memahami karier dan kesibukan masing-masing selepas bergelar suami isteri.


"Apa pun, segala keputusan akan dibuat selepas selesainya pengurusan kenduri kesyukuran ini. Setakat ini saya berpuas hati dengan pencapaian lakonan yang saya anggap terbaik menerusi lakonan menerusi naskhah Cinderella sepanjang terbabit dalam industri lakonan," katanya.

Mengenai bidang perniagaan yang membabitkan mereka, Fizo berkata, ia tidak menimbulkan sebarang masalah kerana masing-masing saling memahami termasuk Mawar yang memang memahami kariernya sebagai pelakon.

Pada masa yang sama, dia juga aktif mengusahakan perniagaan Hot Burger yang kini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan remaja untuk menjalankan perniagaan secara francais.

"Sekali lagi saya rakamkan jutaan terima kasih kepada peminat yang bukan sahaja meminati drama lakonan saya, tetapi turut menjadi penyokong setia terhadap Hot Burger dan fesyen tudung Fareeda yang membabitkan isteri saya," katanya.

Fizo bahkan berkata, seandainya dilimpahkan rezeki dengan ruang dan peluang untuk bersama peminat, majlis kegembiraan dan kesyukuran seumpamanya wajar diadakan lagi dengan resepsi yang berlainan demi niat ikhlas untuk meluangkan masa bersama peminat setia.

Konsert Ambang 2014 meriah

Posted:

Konsert Ambang 2014 meriah

Konsert Ambang 2014 meriah


PENUTUP Konsert Ambang 2014 di Putrajaya ditutup dengan persembahan oleh grup legenda Sweet Charity bersama dengan tetamu kehormat dan barisan artis yang menjayakan konsert tahunan tersebut.


TANPA sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang konsert berdurasi dua jam 30 minit di Dataran Putrajaya pada malam 31 Disember lalu, secara keseluruhannya konsert anjuran AmBank itu berlangsung meriah.

Jika ingin dibandingkan dengan empat konsert lain yang berlaku serentak pada malam sambutan tahun baru 2014, konsert yang berlangsung di Dataran Putrajaya paling meriah kerana kebanyakan nama besar menakluki lokasi ini pada malam itu.

Amy Search, Sweet Charity, Datuk M.Nasir, Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah dan Ella antara barisan artis yang sudah cukup kuat untuk memberikan momentum luar biasa sempena kedatangan tahun baharu.

Membuka pentas bermula pukul 10.30 malam, Datuk Jamal Abdillah memulakan langkah. Unik menyarung set pakaian seperti pahlawan Parsi berwarna putih, Jamal mempersembahkan lagu pembukaan Azura dan Penghujung Rindu.

Lebih 10,000 penonton yang membanjiri Dataran Putrajaya seawal pukul 7.30 petang lagi untuk mendapatkan lokasi terbaik menyaksikan artis pujaan mereka.

Mengimbau kenangan silam menerusi lagu yang dipopularkan sekitar tahun 1997, M.Nasir tampil ke pentas berpadu tenaga bersama Jamal menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah.

Tidak terlepas untuk menghiburkan peminat yang sanggup berasak-asak pada malam tahun baharu, M.Nasir turut mempersembahkan dua buah lagu hitnya berjudul Tinggalkan Satu Peluru dan Sesat di Kuala Lumpur.

Ibarat tidak lengkap konsert tanpa liuk lentok Ratu Rock Ella yang tampil penuh ranggi mendendangkan lagu-lagu popularnya seperti Kesal dan Permata Biru sebelum menyeru seisi Dataran Putrajaya melaungkan kiraan penutup tahun 2013.

SOO WINCCI mendendangkan tiga buah lagu pada konsert tersebut.


Sambil diiringi percikan bunga api selama 10 minit tanpa henti, Ella menyanyikan lagu pembakar semangat, Standing In The Eyes Of The World dan meneruskan konsert itu dengan rangkaian lagu medley Tinggal Tanda Tanya, Simbiosis dan Retak.

Tidak dilupakan persembahan penyanyi baharu yang turut mencuri hati pengunjung konsert itu, Hujan, Soo Wincci, Mark Adam dan Rabbit Mac & Mista G tampil unik dan tersendiri.

Tidak lengkap konsert ke-12 tahun anjuran AmBank tanpa Hujan. Pada malam itu, Hujan mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Mencari Konklusi, Empayarmu dan Dugaan.

Soo Wincci mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Musim Asmara, I'll Be Alright dan cover version Bukan Cinta Biasa (Datuk Siti Nurhaliza), sementara Mark Adam menghiburkan pengunjung dengan lagu popularnya Pencuri.

Membuka pentas konsert tahun baru 2014 di Dataran Merdeka terdahulu sebelum berkejar ke Dataran Putrajaya pada malam yang sama, tidak mematahkan semangat Amy Search untuk memberikan persembahan terbaik dan bertenaga.

Amy menyanyikan rangkaian lagu medley Aku Dah Bosan dan Kerja Gila sambil berinteraksi dengan ribuan peminat yang menanti di luar pentas.

Paling dinanti-nantikan, medley Gadisku, Fantasia Bulan Madu dan Isabella yang diiringi nyanyian bersama pengunjung konsert.

Menutup tirai Konsert Ambang 2014 kali ini, penghormatan diberikan kepada band legenda tanah air, Sweet Charity yang dikepalai oleh Datuk Ramli Sarip. Mereka mempersembahkan lima buah lagu iaitu Sejuta Wajah, Musibah, Zakiah, Teratai dan Kamelia.

Hadir sama pada malam itu, Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim serta mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved