Sabtu, 6 April 2013

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Pengantin maut dirempuh bas

Posted:

Pengantin maut dirempuh bas

Pengantin maut dirempuh bas

BEGINILAH keadaan kereta Proton Waja yang remuk dan mengorbankan tiga penumpang di Ledang, Johor semalam.


LEDANG - Sepasang pengantin yang baru berkahwin dua minggu lalu merupakan antara tiga penumpang sebuah kereta yang maut dalam kemalangan di Kilometer 162.5, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini kelmarin.

Mangsa yang terbunuh ialah Kumar Arunasalam, 34, dan isterinya warga Singapura, Rita Maria Gilrelt, 42, serta rakan pasangan itu, Carrieanne Fransica Dicosta, 22.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, pemandu kereta, Pang Yun, 59, cedera parah manakala teman lelaki Carrieanne, Brian Jeremieh Sta Mariah, 21, cedera ringan.

Kelima-lima mangsa yang menaiki kereta Proton Waja dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Melaka untuk membuat persiapan persandingan Kumar dan Rita pada 23 Mei depan.

Pasangan pengantin itu bekerja di sebuah hotel di Singapura.

Kumar yang berasal dari Kampung Serani, Melaka merupakan ketua pengawal keselamatan manakala Rita bekerja sebagai akauntan.

Tiga mangsa yang terkorban berada di tempat duduk penumpang belakang manakala Brian pula duduk di sebelah pemandu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, kejadian dipercayai berlaku selepas kereta itu hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah lori satu tan lalu berpusing sebelum terbabas ke kiri lebuh raya.

"Pada masa yang sama, sebuah bas persiaran yang tidak membawa penumpang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang kereta itu.

"Kereta tersebut remuk menyebabkan mereka tersepit," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Harun berkata, tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Harun memberitahu, pemandu lori dan bas persiaran tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tujuh rumah ranap dihempap tiga bongkah batu

Posted:

Tujuh rumah ranap dihempap tiga bongkah batu

Tujuh rumah ranap dihempap tiga bongkah batu


ANGGOTA bomba memeriksa rumah yang ranap akibat dihempap bongkah batu besar di Kampung Bukit Kukusan, Tawau semalam.


TAWAU - Tiga wanita dan tiga kanak-kanak cedera selepas tujuh buah rumah di Kampung Bukit Kukusan dekat sini ranap dihempap tiga bongkah batu besar dari kawasan kuari di atas Bukit Kukusan semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Tawau, Albert Jiran Tanjung berkata, kesemua mangsa yang cedera di tangan dan kaki dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan.

Setakat ini identiti mereka belum dikenal pasti.

Terdapat kira-kira 300 buah rumah di kampung berkenaan.

Pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian pada pukul 11.43 pagi dan tiba di tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan rumah.

Siasatan awal mendapati bongkah-bongkah batu berkenaan bergolek ke bawah bukit lalu menghempap rumah penduduk selepas berlaku gegaran akibat letupan bahan peledak yang digunakan untuk memecahkan batu di kuari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah memberitahu, syarikat kuari terlibat sudah diarah menghentikan operasi berkuat kuasa serta-merta dan penduduk dinasihatkan supaya mengosongkan rumah masing-masing. - Bernama

Lapan cedera ditembak lelaki bertopeng

Posted:

Lapan cedera ditembak lelaki bertopeng

Lapan cedera ditembak lelaki bertopeng

JOHOR BAHRU - Niat seorang pemilik restoran menjemput beberapa kenalannya untuk mencuba menu baharu bertukar tragedi apabila premis yang terletak di Jalan Dedap 24, Taman Johor Jaya itu dihujani peluru menyebabkan lapan orang cedera semalam.

Mangsa yang cedera dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu ialah pemilik restoran berkenaan yang dikenali sebagai Teo, enam rakannya dan seorang pekerja restoran warga Nepal.

Teo, 47, memberitahu, dia menjemput rakan-rakan karibnya untuk menikmati menu baharu berasaskan ikan segar di restoran miliknya.

"Untuk memastikan hidangan itu disukai oleh pelanggan, saya mahu rakan-rakan saya mencubanya terlebih dulu namun tidak menyangka kami ditembak ketika menikmati hidangan.

"Sehingga kini saya masih tertanya-tanya motif kejadian itu," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail di sini semalam.

Dalam kejadian itu, Teo terkena dua das tembakan di badan dan lutut kiri manakala pekerjanya pula terkena lima das tembakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainudin memberitahu, siasatan mendapati tiga suspek memakai topeng yang menaiki sebuah kereta melepaskan 13 das tembakan ke arah restoran berkenaan dan terkena kelapan-lapan mangsa tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Korea Utara beri amaran

Posted:

Korea Utara beri amaran

Korea Utara beri amaran

SEBUAH trak melintasi peralatan pertahanan peluru berpandu Patriot milik tentera Amerika Syarikat (AS) di Pangkalan Tentera Udara AS di Osan, selatan Seoul, Korea Selatan semalam.- REUTERS


MOSCOW - Korea Utara menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat memastikan keselamatan semua kedutaan asing di Pyongyang selepas 10 April depan.

Negara itu mendesak Britain, Rusia dan beberapa negara Eropah lain untuk mengosongkan kedutaan masing-masing ekoran peningkatan pergerakan senjata nuklear di Korea Utara ketika ini.

Beberapa negara di Eropah semalam melaporkan telah menerima sepucuk surat yang meminta semua kakitangan kedutaan masing-masing dikeluarkan dari Pyongyang.

"Bermula dari 10 April, pemerintah Korea Utara tidak dapat memberi jaminan keselamatan terhadap beberapa kedutaan dan organisasi antarabangsa di negara berkenaan yang kini sedang dalam konflik.

"Pada pemahaman kami, bahawa Korea Utara meminta kedutaan asing di negara itu keluar berbanding menasihatkan kami untuk meninggalkan negara berkenaan," kata seorang jurucakap Pejabat Luar Britain.

Jurucakap itu berkata, Britain telah mengingatkan Korea Utara berhubung tanggungjawabnya menerusi Konvensyen Vienna untuk melindungi misi-misi diplomatik.

Rusia yang mempunyai hubungan rapat dengan Korea Utara turut menerima mesej daripada negara itu.

Tentera Korea Utara sebelum ini memberi amaran bahawa ia telah diberi kuasa untuk menyerang Amerika Syarikat (AS) dengan menggunakan senjata nuklear yang lebih kecil dan ringan.

Tindakan itu merupakan ancaman terbaharu Korea Utara terhadap AS sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Ketegangan itu turut melibatkan Korea Selatan yang melancarkan latihan ketenteraan dengan AS.

Korea Utara turut mengancam untuk melancarkan semula Perang Korea yang sebelum ini berakhir pada tahun 1953.

Tentera AS turut menghantar beberapa pesawat kalis radar ke Korea Selatan sebagai persediaan untuk menghadapi peperangan dengan Korea Utara.

Peperangan itu berakhir menerusi perjanjian damai yang ditandatangani kedua-dua pihak di Panmunjom yang terletak di sempadan kedua-dua buah negara.

Perjanjian itu dilaksanakan selepas tentera Korea Utara menyerang Korea Selatan pada tahun 1950.

Ketegangan itu mula tercetus sebelum ini selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan sekatan barang mewah ke atas Korea Utara selepas ia melancarkan ujian nuklear ketiga pada Februari lalu.

Korea Utara yang menggunakan ideologi komunis dipimpin Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an selepas bapanya, Kim Jong-il meninggal dunia pada April tahun lalu. - Agensi

Beyonce jadi tumpuan di Havana

Posted:

Beyonce jadi tumpuan di Havana

Beyonce jadi tumpuan di Havana


BEYONCE (memegang kamera) dan Jay-Z yang memakai topi bersiar-siar di Old Havana di Havana kelmarin.- AP


HAVANA - Kehadiran pasangan penyanyi terkenal dari Amerika Syarikat, Beyonce dan Jay-Z di Cuba menjadi tumpuan sejumlah peminatnya di sini kelmarin.

Beyonce dan Jay-Z berada di sini bagi menyambut sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.

Sejumlah peminat sanggup menunggu mereka di luar sebuah hotel bagi melihat kedua-dua selebriti tersebut bersiar-siar.

Pada malam Rabu lalu, mereka turut dikerumuni puluhan peminat di restoran La Guarida.

Beyonce yang berusia 31 tahun itu memakai pakaian berwarna kuning dengan corak hitam dan putih manakala Jay-Z, 43, memakai baju berlengan pendek dan berseluar pendek sambil menghisap sebatang cerut.

Beberapa anggota polis turut mengawal orang ramai yang berasak-asak untuk menyaksikan kedua-dua selebriti tersebut semasa mereka bersiar-siar di sini.

Kedua-dua mereka turut dikawal beberapa pengawal peribadi.

Sebahagian peminat mengambil kesempatan merakamkan gambar kedua-dua selebriti tersebut dengan menggunakan telefon bimbit.

Pasangan tersebut berkahwin pada 4 April 2008 dan mereka dikurniakan seorang anak, Blue Ivy Carter. - Agensi

Bangkai gajah yang dilapah ditemui di dalam hutan

Posted:

Bangkai gajah yang dilapah ditemui di dalam hutan

Bangkai gajah yang dilapah ditemui di dalam hutan


BANGKAI seekor gajah ditemui di dalam hutan di daerah Minh Hoa, wilayah tengah Quang Binh, Vietnam pada Ahad lalu.- AFP


HANOI - Bangkai seekor gajah betina yang telah dilapah ditemui di sebuah hutan di daerah Minh Hoa, wilayah tengah Quang Binh, Vietnam pada Ahad lalu.

Menurut media tempatan, kulit, ekor, dua gading dan dua telinga gajah tersebut bagaimanapun tidak ditemui pada bangkai tersebut.

Beberapa pegawai renjer berkata, haiwan tersebut ketika hidup dianggarkan seberat empat tan, 3.2 meter (m) panjang dan setinggi 1.3m.

Mereka berkata, gajah tersebut mungkin telah mati dibunuh sehari atau dua hari selepas bangkai haiwan itu ditemui. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Beri insentif kepada pelabur dalam sumber teknologi hijau

Posted:

Beri insentif kepada pelabur dalam sumber teknologi hijau

Beri insentif kepada pelabur dalam sumber teknologi hijau

06/04/2013 10:29pm

KUALA LUMPUR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan usaha untuk membersihkan sungai dan pun ca-punca air demi memulihara hutan hujan untuk ke pentingan generasi akan datang.

Bagi tujuan murni itu, BN berjanji dalam manifestonya bertemakan Menepati Janji, Membawa Harapan untuk me nawarkan insentif kewangan kepada premis komersial dan persendirian yang melabur dalam sumber berteknologi hijau yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria dan biomas.

Manifesto BN itu diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam tadi.

BN juga akan lebih komited dan serius dalam menjaga dan memulihara sungai dan alam semulajadi supaya kekal tanpa dicemari. - KOSMO!

BN sokong keamanan global

Posted:

BN sokong keamanan global

BN sokong keamanan global

06/04/2013 10:28pm

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan terus menyokong agenda untuk mewujudkan keamanan global, kemakmuran melalui kesederhanaan bertujuan mengurang kan pengaruh golongan ekstremis yang mahu merosakkan keamanan antarabangsa, persefahaman budaya dan ke harmonian antara agama.

Untuk melaksanakan itu, BN di dalam manifestonya bertemakan Menepati Janji, Membawa Harapan yang di umumkan Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini berjanji untuk berjuang bagi penubuhan sebuah negara Palestin, selain menyokong usaha menjadikan ASE AN sebuah komuniti ekonomi menjelang tahun 2015.

BN juga akan berusaha memenangi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memainkan peranan utama dalam keamanan serantau dan keselamatan antarabangsa melalui dasar kesederha naan.

Di samping itu, pembentukan dasar luar yang menyokong kepentingan-kepentingan strategik politik, ekonomi dan ke selamatan negara turut ditekankan dalam manifesto itu, selain mengetuai usaha menentang jenayah-jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia dan dadah. - KOSMO!

Peluang kenaikan pangkat penjawat awam lebih cerah

Posted:

Peluang kenaikan pangkat penjawat awam lebih cerah

Peluang kenaikan pangkat penjawat awam lebih cerah

06/04/2013 10:27pm

KUALA LUMPUR - Penjawat awam yang merupakan tulang belakang pembangunan ekonomi negara mempunyai prospek lebih cerah untuk kenaikan pangkat dan pem bangunan bakat jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menurut Manifesto BN bertemakan Menepati Janji Mem bawa Harapan yang dilancarkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini, BN akan memperkenalkan Skim Gaji Transformatif untuk penjawat awam.

Ini termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji dilakukan.

Sebelum ini, kerajaan BN telah memperkenalkan dan memperkemaskan gred skim penggajian untuk penjawat awam termasuk kenaikan gaji secara keseluruhan dan beberapa inisiatif baharu yang berjumlah RM2 bilion.

Selain itu, turut menyediakan tambahan tiga kali kenaikan gaji tahunan selepas mata gaji mencecah paras maksimum dalam jadual gaji berkuatkuasa 1 Januari lalu. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cinta tujuh bulan Afgan

Posted:

Cinta tujuh bulan Afgan

Cinta tujuh bulan Afgan

JEJAKA ini mengakui pernah mengalami pengalaman putus cinta.


TIADA privasi dalam kehidupan peribadi. Itu harga yang perlu dibayar apabila bergelar artis popular.

Itu yang berlaku kepada penyanyi popular dari Indonesia, Afgan Shah Reza apabila dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajiannya dalam bidang ijazah pemasaran perniagaan dan muzik di Universiti Monash, Selangor, Malaysia, pada tahun 2011.

Akui pelantun lagu Terima kasih Cinta itu, ketika mula-mula belajar dahulu, ramai yang tidak mengenalinya. Namun sejak akhir-akhir ini, jejaka yang memiliki lesung pipit menawan itu telah meraih perhatian ramai wanita di kampus pengajiannya.

Dedahnya, ramai yang cuba mendekatinya bahkan ada juga peminatnya dalam kalangan pelajar yang merakam gambarnya secara bersembunyi.

"Mula-mula belajar dahulu mereka tidak perasan kehadiran saya. Tetapi sekarang ramai yang ingin bergambar dengan saya. Semasa belajar juga ada yang cuba merakamkan gambar saya secara rahsia.

"Sebenarnya saya tidak suka dia (peminatnya) bertindak begitu. Lebih baik jika dia beritahu saya," ujarnya kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran album ketiganya, Live To Love, Love To Live di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Begitupun, jelas Afgan, peminat-peminat Malaysia lebih sopan kerana tidak bertindak keterlaluan seperti memeluk atau menciumnya.

Cinta jarak jauh

Bakal menamatkan pengajiannya pada bulan Jun ini, Afgan disoal sama ada telah menemui cinta di Malaysia sepanjang pengajiannya di sini.

Mengakui pernah mempunyai kekasih sebelum ini, walau bagaimanapun, ungkap Afgan, hubungannya bersama wanita Indonesia itu hanya sempat bertahan selama tujuh bulan dan akhirnya putus disebabkan faktor cinta jarak jauh.

"Sebelum ini, saya pernah bercinta dengan seorang wanita Indonesia. Tetapi, susah bercinta jarak jauh apabila kita tidak dapat memberi perhatian kepada pasangan. Kasihan pada kekasih.


AFGAN memberikan persembahan yang mengujakan hadirin pada sidang akhbar album ketiganya, Live To Love, Love To Live di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Akhirnya, kami sepakat untuk mengakhiri hubungan ketika saya mula-mula belajar dahulu," jelasnya yang mengambil keputusan untuk bercinta semula selepas habis belajar kelak.

Berkongsi tentang ciri-ciri wanita pilihannya, luah Afgan, dia mahukan seorang kekasih yang cerdik, cantik dan mampu bercerita tentang apa juga perkara termasuk bidang muzik.

Terlanjur bercerita tentang cinta, tutur Afgan, dia lebih selesa menulis lagu tentang cinta berbanding perkara lain. Malah, lagu-lagu yang dihasilkannya juga berdasarkan pengalaman cintanya.

"Saya hanya boleh menulis lagu tentang cinta. Kebanyakan lagu saya berdasarkan pengalaman cinta saya terdahulu," ujarnya yang mula menulis lagu sejak empat tahun lalu.

Menurut Afgan lagi, single pertamanya dalam album terbaharu berjudul Pesan Cinta ditulis Afgan berdasarkan pengalaman cinta pertamanya dengan seorang gadis ketika di bangku sekolah.

Ujarnya: "Ketika sekolah menengah, buat pertama kalinya saya meminati seorang gadis tetapi malu untuk memberitahunya. Saya pasti ramai yang mempunyai pengalaman sebegitu. Jadi, saya mendapat idea untuk menulis lagu Pesan Cinta berdasarkan pengalaman cinta kali pertama".

Selain itu, ungkap Afgan, dia turut menulis lagu berdasarkan pengalaman cinta jarak jauhnya yang tidak kesampaian menerusi lagu duetnya bersama penyanyi Sherina iaitu Demi Kamu dan Aku. Akuinya, ia juga merupakan lagu yang paling disukai menerusi album ketiganya itu.

Sebagai tanda terima kasih dan sayang Afgan kepada peminatnya, penyanyi berketurunan Minangkabau itu juga menujukan sebuah lagu berjudul Untukmu Aku Bertahan buat peminat-peminatnya.

SINGLE berjudul Pesan Cinta ditulis Afgan berdasarkan pengalaman cinta pertamanya dengan seorang gadis ketika di bangku sekolah.


Matang

Seiring dengan usianya yang kini mencecah 23 tahun, Afgan memberitahu, album terbaharunya itu lebih menonjolkan sisi matangnya berbanding album terdahulu.

"Jika dahulu, peminat mengenali saya menerusi lagu-lagu balada seperti Terima Kasih Cinta. Lain pula dengan album ketiga saya ini apabila ia menunjukkan sisi kematangan dari segi vokal, lirik dan juga susunan lagu.

"Malah, saya juga lebih nyaman (selesa) dengan kemampuan menyanyi dan juga vokal saya sekarang. Mungkin dahulu saya menyanyi berdasarkan teknik tetapi sekarang saya menyanyi dengan jiwa," kongsinya.

Tambah Afgan, susunan muzik untuk album terbaharunya juga lebih matang dan dia juga bangga kerana berpeluang bekerjasama dengan ramai pengarah muzik hebat seperti Inu Numatadan Nino Ran.

Penaja tarik diri

Posted:

Penaja tarik diri

Penaja tarik diri

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


SABERA (barisan tengah, lima dari kanan) dan Mohamed Juhari (barisan tengah, lima dari kiri) bersama karyawan pementasan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road!.


PENERBITAN sesebuah teater muzikal memerlukan kos perbelanjaan yang agak tinggi, apatah lagi sekiranya ia dipentaskan di tempat yang berprestij seperti Istana Budaya.

Bagi mencari jalan untuk menampung kos pembikinannya, syarikat produksi yang menerbitkan teater muzikal akan mencari inisiatif terutama mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat korporat.

Baru-baru ini, syarikat produksi teater iaitu Masakini Theatre Company Sdn. Bhd. yang bakal mementaskan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! di Istana Budaya meluahkan rasa kecewa apabila pihak penaja mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menaja teater berkenaan.

Pengarah syarikat produksi tersebut, Datin Sabera Shaik berkata, pihaknya tidak menjangka apabila beberapa penaja telah bertindak untuk menarik diri daripada memberi sokongan kepada pementasan tersebut yang bakal berlangsung pada bulan hadapan.

"Proses pementasan teater ini sudah pun dijalankan separuh dan ini merupakan satu cabaran yang agak getir tanpa mendapat sokongan sebarang penaja memandangkan ia membabitkan kos yang tinggi.

"Bagaimanapun, ia langsung tidak melemahkan semangat kami untuk terus mementaskan teater ini dan para pelakon serta kru produksi tetap memberikan sepenuh komitmen mereka untuk menjayakan teater muzikal ini," ujarnya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 19 Mei ini, Chow Kit Road! Chow Kit Road! memaparkan kisah tentang sebuah keluarga miskin yang tinggal di Chow Kit dan ia sarat dengan kisah 1001 perjalanan kehidupan manusia.

Antara para pelakon yang membintangi teater muzikal tersebut seperti Adibah Noor, Anding dan Nadia Aqilah. Ia turut diserikan lagi dengan persembahan 20 buah lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Menurut Sabera, biarpun berhadapan dengan masalah ketiadaan penaja, namun pihaknya meluahkan rasa lega dan gembiranya kerana pihak Istana Budaya sudi untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka.

"Buat masa ini pihak Istana Budaya telah memberikan ruang untuk kami menjalani latihan selama sebulan tanpa dikenakan sebarang bayaran serta menggunakan beberapa kelengkapan yang ada.

"Bagi kami, dengan langkah sebegini sudah tentu kami dapat menjimatkan lagi kos produksi. Jika sebelum ini kos produksi menelan belanja sebanyak RM1.6 juta, kini ia sudah turun kepada RM1.2 juta sahaja," ujarnya.

Ujarnya, selaku penerbit pihaknya juga mengambil keputusan untuk menurunkan harga tiket. Bagi yang berminat untuk menyaksikan pementasan teater tersebut boleh mendapatkan tiket-tiket berharga RM170 dan RM110 serta RM50 untuk pelajar dan warga emas.


TIGA pelakon utama teater Chow Kit Road! Chow Kit Road! (dari kiri), Tony Eusoff, Nadia Aqilah dan Anding.


Tetap diteruskan

Sementara itu, Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pementasan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! akan tetap diteruskan, meskipun berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada salah satu tarikh tersebut.

Juhari berkata, PRU sememangnya tidak memberi kesan terhadap kehadiran penonton dalam sesebuah pementasan teater dan pihaknya tidak bercadang untuk menukar ke satu tarikh yang lain.

"Jika mengikut pengalaman yang lepas, semasa berlangsungnya PRU pihak Istana Budaya masih lagi meneruskan pementasan dan kami melihat masih ramai yang datang menonton.

"Sebaliknya, kami terpaksa membatalkan sesebuah pementasan sekiranya berlaku perhimpunan haram seperti yang terjadi sebelum ini. Biarpun pementasan dibuat pada waktu malam, tetapi ia turut memberi kesan kepada kehadiran penonton," ujarnya.

Berkenaan dengan kerjasama yang diberikan oleh Istana Budaya terhadap pementasan teater muzikal berkenaan, Juhari menyatakan, perlu diteruskan kerana kelainan jalan cerita yang ditampilkan.

"Kebanyakan teater muzikal yang dipentaskan di Istana Budaya banyak memaparkan kisah cinta. Jadi, kami mahu penonton dihiburkan pula dengan sebuah cerita yang sarat dengan nilai-nilai kemanusiaan," ujarnya.

Eksperimen Sabri berjaya

Posted:

Eksperimen Sabri berjaya

Eksperimen Sabri berjaya

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

SABRI YUNUS


SETELAH anak didik Harun Salim Bachik, Achey mengungguli Kumpulan A dalam gelanggang program Bintang Mencari Bintang menerusi saingan Kumpulan A sebelum ini, kali ini tiba pula giliran kumpulan Titan dinobatkan sebagai pemenang bagi saingan Kumpulan B.

Dalam saingan Kumpulan B yang berlangsung pada Ahad lalu itu, Titan yang merupakan anak didik kepada Sabri Yunus berjaya mengatasi peserta lain iaitu kumpulan Awok iaitu anak didik Raja Azura, Bocik (Afdlin Shauki), XOXO (Harun Salim Bachik), Gegau (Senario) dan Ajo (Faizal Ismail).

Persembahan Titan dilihat agak berbeza apabila mereka menerapkan elemen teater dalam persembahan komedi mereka sehingga mendapat markah undian yang tertinggi.

Sabri Yunus selaku mentor kepada kumpulan berkenaan menyatakan, dia sendiri tidak menyangka persembahan anak didiknya itu dapat diterima ramai, meskipun tampil dengan persembahan komedi yang berbeza.

"Membuat komedi semasa pementasan teater dan menerapkan elemen teater dalam persembahan komedi merupakan dua perkara yang cukup berbeza. Sudah tentu saya agak risau dengan penampilan anak didik saya ini.

"Dengan kejayaan yang diraih pada malam ini saya anggap ia merupakan satu eksperimen yang berjaya. Untuk persembahan yang seterusnya elemen sebegini mungkin akan diteruskan," ujarnya ketika ditemui selepas acara berakhir.

Menurut Sabri, dengan kejayaan yang diraih, Titan masih lagi belum memberikan kepuasan kepada dirinya dan merasakan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki lagi.

Ujarnya, tugas untuk membentuk seorang penghibur bukan satu tugas yang mudah buat dirinya kerana latar belakang kedua-dua ahli Titan iaitu Fazlisham Mat Hussin dan Azizul Ammar Abu Hassan yang bukan pelawak. Sebaliknya, mereka sangat aktif berlakon teater.

"Sewaktu saya memilih dan menggabungkan mereka sebagai Titan, saya sudah mempunyai sasaran iaitu mahu meletakkan mereka dalam kelas yang tersendiri untuk menjadi penghibur yang berjaya.

"Namun begitu, tugas yang saya pikul ini cukup mencabar kerana jiwa teater mereka berdua sangat tebal. Buat permulaan ini saya terpaksa memberikan semua idea dan konsep persembahan," jelasnya.

Titan yang dinobatkan sebagai juara mendapat markah sebanyak 67.7 peratus, diikuti dengan Bocik (65 peratus), Ajo (63.1 peratus), Awok (41.6 peratus), Gegau (39.7 peratus) dan XOXO (28 peratus)


BARISAN peserta yang bersaing dalam saingan Kumpulan B program Bintang Mencari Bintang pada malam Ahad lalu.


Kekal momentum

Bagi Titan pula, mereka turut tidak menjangka kelainan persembahan komedi yang ditampilkan mampu memikat hati juri tetap dan penonton sehingga mendapat markah tertinggi.

Menurut Azizul, dia dan Fazlisham beranggapan saingan daripada peserta lain agak sengit dan melihat nasib lebih menyebelahi mereka untuk persaingan minggu pertama ini.

"Kami langsung tiada pengalaman membuat persembahan komedi, sebaliknya suka membuat lawak dalam kalangan rakan-rakan. Sudah tentu buat permulaan ini kami berasa agak kekok.

"Bagaimanapun, dengan kejayaan yang diraih ini pastinya memberikan kami lebih banyak keyakinan. Tugas kami sekarang sudah tentu mahu mengekalkan momentum persembahan untuk terus memberikan saingan," ujarnya.

Ketika ditanya tentang pengalaman mendapat bimbingan daripada Sabri Yunus selaku mentor, Azizul menyatakan pengarah, pelakon dan pelawak itu seorang individu yang begitu bersifat terbuka serta banyak memberikan kritikan yang positif kepada mereka.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved