Sabtu, 7 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kopi herba tanpa gula

Posted:

Kopi herba tanpa gula

Kopi herba tanpa gula

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR dan NOR IDAYU BOSRO
ahad@kosmo.com.my

AROMA serbuk kopi yang diimport khas dari Brazil menerpa ke dalam rongga hidung kru Jurnal tatkala kami melangkah ke sebuah kilang pemprosesan kopi di Damansara Damai, Selangor.

Cuaca dingin pada petang Khamis lalu seakan-akan tepat pada masanya apabila kru Jurnal dihidangkan dengan secawan kopi kesihatan jenama Superbest Power.

Baunya sahaja sudah cukup membangkitkan rasa. Peluang merasai sendiri keenakan rasa kopi yang baru sahaja diadun di kilang tersebut tidak dilepaskan.

Segala-galanya dirasakan mencukupi baik dari segi rasa, warna dan teksturnya kerana kopi itu tidak perlu lagi ditambah susu atau gula.

Menurut Pengarah Urusan Superbest Power Health Food & Beverages Sdn. Bhd. (Superbest Power), Kamal Mohd. Nor, idea untuk menjadikan kopi sebagai produk utama syarikatnya diperoleh pada tahun 2007 ketika beliau berkhidmat di sebuah syarikat jualan langsung yang menawarkan barangan runcit.

"Sebelum ini, saya berkhidmat sebagai guru selama 11 tahun di sekitar Pahang. Bermula tahun 1998, saya berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan menjadi pembekal makanan sejuk beku di beberapa bandar di Pahang.

"Melihatkan perniagaan yang semakin meningkat, saya berhenti kerja sebagai guru bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan.

"Tetapi disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perniagaan itu tidak menjadi selepas lima tahun beroperasi berikutan kemunculan beberapa pasar raya di sekitar Bandar Pusat Jengka, Pahang yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan," ujarnya yang berasal dari Temerloh, Pahang.

Jelas Kamal, beliau dulunya bukanlah seorang penggemar kopi kerana beliau akan mengalami sakit perut serta pening kepala sekiranya minum minuman kafein tersebut.

"Ketika berkhidmat di syarikat jualan langsung, salah satu produk yang perlu dijual ialah kopi tetapi minuman itu gagal menepati cita rasa masyarakat.

Kopi Brazil

"Saya juga tidak boleh meminum kopi tersebut disebabkan rasanya yang pahit sehinggalah pemilik syarikat tersebut menawarkan peluang kepada saya untuk mendapatkan sebuah syarikat pengeluar kopi lain.

"Dari situ, saya mula melakukan kajian pasaran dan ternyata minuman kopi mempunyai penggemar yang ramai.

"Saya berazam untuk mengeluarkan kopi yang benar-benar menepati cita rasa setiap individu bagi syarikat jualan langsung terbabit dan menempah sebanyak 2,000 kotak kopi melalui sebuah syarikat pengeluar kopi.

"Tetapi pemilik syarikat jualan langsung itu mampu menampung kos bagi 1,000 kotak sahaja menyebabkan saya terpaksa menukar pembungkusan kopi itu menggunakan jenama sendiri," tambahnya yang sudah enam tahun berkecimpung dalam industri pembuatan kopi.


KAMAL kini boleh tersenyum bangga dengan pelbagai produk minuman kesihatan keluaran syarikatnya.


Menurut Kamal, kopi Arabika dari Brazil dipilih sebagai bahan utama di dalam produknya memandangkan kandungan asidnya yang rendah selain ditanam pada ketinggian 1,500 meter dari aras laut.

"Saya pernah terputus bekalan kopi dari Brazil selama sebulan disebabkan pembekal tiada stok tetapi saya tetap tidak mengambil kopi dari negara lain kerana mahu menjaga kualiti produk yang dihasilkan.

"Kualiti sangat diutamakan malah saya juga akan memastikan keenakan dan rasa kopi Superbest Power tidak berubah.

"Malah, setiap bancuhan kopi Superbest Power yang menjalani proses selama satu jam akan dicuba terlebih dulu bagi mengekalkan rasa kopi ini sebelum melalui proses seterusnya," jelasnya yang dibantu seramai 30 orang kakitangan.

Menurut Kamal, tidak seperti kebanyakan jenama kopi pracampuran lain di pasaran, kopi pracampuran Superbest Power menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan kepakaran Taman Teknologi Malaysia (TPM), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Larut air

"Kami menjalankan kajian secara saintifik bagi menghasilkan kopi yang boleh dinikmati sebagai minuman harian dan sesuai untuk semua peringkat umur.

"Produk minuman kopi ini turut diformulasi dengan kombinasi campuran pelbagai herba tradisional termasuk ekstrak tongkat ali, ubi jaga dan cendawan ganoderma yang diimport dari China," katanya.

Kamal memberitahu, kandungan herba tersebut akan diekstrak terlebih dulu secara kimia dan ditulenkan kerana proses berkenaan merupakan cara yang betul untuk memastikan khasiatnya dapat dikekalkan.

"Sebagai contoh, secara tradisional, tongkat ali perlu direbus terlebih dulu dan air rebusannya disimpan manakala hampasnya dibuang.

"Air rebusan tadi akan dibekukan sebelum diproses menjadi serbuk larut air.

"Selain dapat memberi rasa yang lebih berperisa, kaedah ini juga mampu mengekalkan kandungan bioaktif dalam herba tersebut," ujarnya.

Bagaimanapun, Kamal mendakwa, ada sesetengah syarikat pengeluar kopi mengekstrak tongkat ali dengan cara salah iaitu mengisar herba itu sehingga menjadi serbuk untuk dijadikan minuman bertenaga.

"Jika dikisar sehingga halus sekalipun, ia ibarat memasukkan habuk kayu ke dalam minuman. Hal ini boleh membahayakan kesihatan pengguna untuk jangka masa panjang," jelasnya panjang lebar.

Bertutur lanjut, Kamal memberitahu, herba larut air tersebut seterusnya akan diadun bersama serbuk kopi dan krimer bukan tenusu bagi menghasilkan minuman kopi bermutu tinggi.

"Krimer itu berasaskan minyak sawit. Minyak isirung sawit digunakan bagi menggantikan lemak susu agar pengguna yang alah kepada produk tenusu turut dapat menikmati keenakan kopi ini," katanya.

Sebati

Jelas Kamal, kopi keluaran syarikatnya itu diperkayakan dengan kandungan yang tidak memudaratkan kesihatan jika diminum dalam kuantiti yang banyak.

"Kebiasaannya, penggemar kopi agak takut untuk meminum kopi segera disebabkan kandungan gula yang tinggi.

"Namun, mereka tidak perlu bimbang jika meminum produk Superbest Power kerana ia tidak mengandungi gula.

"Seelok-eloknya ia diambil sebanyak tiga kali sehari iaitu waktu pagi, petang dan malam," katanya sambil memberitahu, kopi itu sesuai diambil oleh golongan lelaki dan wanita termasuk ibu mengandung.

Kamal memberitahu, berdasarkan pengalaman beberapa pengguna wanita, menikmati secawan kopi Superbest Power pada waktu pagi akan memberi tenaga berpanjangan dan melancarkan peredaran darah haid.

"Secara tradisi, air rebusantongkat ali dijadikan tonik bagi wanita selepas bersalin. Ia juga baik untuk melegakan sakit senggugut semasa datang bulan.


CAMPURAN kopi yang telah siap dicuba terlebih dulu bagi menjaga kualiti produk.


"Malah, ia amat mudah untuk disediakan sama ada menggunakan air panas atau sejuk," jelasnya sambil menambah peluang masih terbuka kepada mereka yang mahu menjadi pengedar kopi tersebut.

Katanya, pihaknya memperuntukkan jumlah pengeluaran kira-kira 60,000 kotak sebulan bagi memenuhi permintaan pengedaran di seluruh negara.

"Dalam sehari sahaja, kami berjaya memproses kira-kira 15,000 hingga 20,000 peket kopi pracampuran ini dengan menjalani proses adunan selama 10 kali dalam sehari menggunakan sebuah mesin pengadun yang diimport dari China.

"Sebanyak 300 kilogram bahan boleh diadun dalam sehari membabitkan proses selama sejam bagi memastikan campuran kopi dan bahan-bahan lain menjadi sebati," ujarnya yang mendapat bekalan kopi dari Brazil sebulan sekali dengan kualiti kopi yang boleh bertahan selama dua tahun.

Selain kopi Superbest Power, pihaknya turut mengeluarkan lima jenis produk lain iaitu Susu Kambing Goat Power, Queen Fatimah Plus Collagen, kopi pracampuran Cintaku dan yang terbaharu Jus Qisya.

Tambahnya, pihaknya merancang untuk mengeksport produk tersebut ke China dan Asia Barat serta menembusi pasaran Asia sebagai perancangan masa depan.

Rela membujang demi ibu

Posted:

Rela membujang demi ibu

Rela membujang demi ibu

Oleh ZULHILMI JALIL

TATKALA rakan seusia yang lain ghairah berpacaran dan memikirkan soal kahwin, Ahmad pula seperti tidak kisah langsung mengenainya.

Biarpun sudah menginjak usia 26 tahun, jejaka kelahiran Muar, Johor ini enggan menjadikan perkahwinan sebagai matlamat utama, sekurang-kurangnya pada masa ini.

Bukan tidak pernah terlintas di fikiran untuk memiliki kekasih sementelah itulah fitrah kaum Adam yang memerlukan seorang Hawa di sisi, tetapi ada perkara lain yang perlu dipatuhi sebagai seorang anak.

"Ini permintaan ibu saya. Ibu minta saya supaya jangan berkahwin lagi sekarang.

"Dia mahu saya temankan dia menghabiskan sisa-sisa usianya dulu. Kalau nak kahwin pun, ibu suruh tunggu lepas dia meninggal dunia,"ujar anak ke-12 daripada 13 adik-beradik ini.

Ahmad mengakui dia merupakan satu-satunya anak lelaki bujang yang menjadi tempat ibunya berkongsi cerita.

Jika dilihat dari segi bilangan adik-beradik, Ahmad sebenarnya datang daripada sebuah keluarga yang besar, iaitu sembilan lelaki dan empat perempuan. Namun, Ahmad anak lelaki yang paling rapat dengan ibunya.

"Ibu beritahu, dia berasa sunyi apabila seorang demi seorang anaknya berumah tangga.

"Lebih menyedihkan apabila ibu merasakan abang-abang saya yang lain kurang mengambil berat tentang ibu selepas mereka berumah tangga,"ujar pelajar tahun akhir Sarjana Sains Petroleum di sebuah universiti di negeri Perak ini.

Katanya, adik-beradik lelakinya semua sudah berkahwin. Seorang kakak dan adik perempuannya pula bakal berkahwin dalam masa terdekat.

Namun, si ibu yang kini berusia 65 tahun tidak pernah mengharapkan anak-anak perempuan untuk menjaganya.

Tanggungjawab

"Maklumlah, perempuan kalau sudah berkahwin, tanggungjawab mereka lebih kepada suami. Tapi, kalau anak lelaki, ibu bapa menjadi keutamaan selama-lamanya. Bukankah syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu?

"Sebab itu ibu perlukan saya untuk tengok-tengokkan dirinya yang sudah tua dan mula kurang sihat,"katanya yang memberitahu, abang-abangnya tinggal berjauhan dan jarang pulang ke rumah kampung.

Menurut Ahmad, ibunya kesunyian selepas kematian arwah ayahnya tujuh tahun lalu akibat sakit tua.

Namun, selepas pemergian si suami, ibunya tekad untuk meneruskan hidup bersendirian.

"Bukan tidak ada orang yang cuba menjodohkan ibu dengan lelaki lain, tetapi ibu yang mempunyai 16 orang cucu itu seperti mahu memorinya bersama arwah ayah terus hidup. Cintanya hanya untuk ayah,"cerita Ahmad.

Apatah lagi apabila memikirkan faktor usia, katanya, ibunya berasa memadai mengharap perhatian dan belaian kasih sayang daripada anak-anak.

"Dulu sewaktu arwah ayah masih ada, dialah yang menjadi peneman ibu. Kalau pergi ke mana-mana, arwah ayahlah kawannya.

"Jadi, ibu tak terasa keseorangan. Ada orang tempat ibu meluahkan perasaan, cuma sekarang dia semakin jauh dengan anak-anak,"katanya yang mempunyai abang sulung berusia 40 tahun.

Menurut Ahmad, abang-abangnya mempunyai komitmen dengan keluarga masing-masing.

Malah, dia sendiri sedih dan terkilan apabila ibunya pernah meluahkan rasa hati mengenai sikap abang-abangnya itu.

"Ibu beritahu, abang-abang saya sebelum berkahwin selalu tanya khabar dan balik kampung.

Berkahwin

"Tetapi selepas berkahwin, nak telefon dan tanya khabar seminggu sekali pun susah. Masing-masing sibuk dengan keluarga sendiri,"ujarnya.

Atas faktor itulah, si ibu bimbang kalau-kalau Ahmad mengikut perangai semua abangnya apabila dia berkahwin nanti.

"Dia takut kalau saya kahwin, saya akan jadi macam abang-abang saya yang tak ada masa untuk ibu.

"Sebelum kahwin mungkin kita akan ingat ada masa untuk ibu, tapi semua itu akan hilang sedikit demi sedikit,"katanya.

Ahmad tahu saat ibunya berada pada usia emas ini, wanita itu hanya perlukan perhatian daripada anak-anak.

Lantaran itu, biarpun tinggal berjauhan, Ahmad akan menelefon ibunya sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan pulang ke kampung seminggu sekali.

Ujar Ahmad, atas permintaan ibunya itu jugalah, dia enggan menjalin hubungan rapat dengan mana-mana wanita.

"Saya tak nak mereka tertunggu-tunggu atau menaruh harapan kepada saya untuk menjadikan mereka isteri,"ujarnya.

Sungguhpun begitu, Ahmad tidak kisah jika itu yang mampu membuatkan ibunya gembira.

"Jodoh di tangan Tuhan. Saya pun tak tahu bila akan berkahwin. Tapi, kalau tak kahwin pun tak mengapa. Kalau itu yang ibu minta, saya tak kisah.

"Buat masa ini memang ibulah segala-galanya. Sayalah tempat dia berkongsi cerita. Bahkan dia takut kehilangan saya.

"Sebagai anak lelaki kadang-kadang kita terlupa apabila sudah berkahwin, ibu tetap perlu diberi keutamaan berbanding dengan isteri.

"Isteri bila-bila boleh cari, tapi, ibu kita hanya ada satu di dunia,"ujarnya mengakhiri perbualan.

Sijil MyGAP, SOM penanda aras kemajuan

Posted:

Sijil MyGAP, SOM penanda aras kemajuan

Sijil MyGAP, SOM penanda aras kemajuan

Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my


SEBAHAGIAN penerima sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia dan Skim Organik Malaysia bergambar kenangan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


MAJU atau mundurnya sesebuah ladang yang terbentang luas di Malaysia bergantung kepada sama ada ia memperoleh sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (MyGAP) dan Skim Organik Malaysia (SOM) atau tidak.

Ia merupakan satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk memberi pengiktirafan kepada ladang yang melaksanakan amalan pertanian baik dan berkonsepkan mesra alam sekitar.

Pengusaha ladang bukan sahaja mampu menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan, malah ia boleh menembusi pasaran luar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap semua ladang di negara ini mampu memiliki sijil tersebut pada masa depan.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 826 ladang yang melaksanakan pertanian konvensional telah memperoleh MyGAP manakala 119 ladang organik memperoleh sijil SOM.

Menurutnya, meskipun jumlah mereka yang mendapat sijil MyGAP sejak tahun lalu telah meningkat hampir 200 peratus, namun masih ramai pengusaha ladang tidak mempunyai sijil tersebut.

"Kerajaan tidak boleh memaksa peladang memohon sijil berkenaan kerana ia tidak termaktub dalam akta.

"Bagaimanapun, pengeluar tanaman yang memiliki sijil MyGAP akan diberi insentif cukai, bantuan kewangan dan buruh asing," katanya pada majlis penyampaian sijil MyGAP dan SOM kepada 336 pengusaha ladang di Wisma Tani, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ismail Sabri menambah, pemilik kedua-dua sijil itu juga akan lebih mudah untuk memasarkan barangan mereka ke negara luar.

Katanya, di Eropah, piawaian terhadap kualiti produk pertanian adalah sangat tinggi tetapi dengan adanya MyGAP, produk tersebut akan lebih mudah menembusi pasaran di benua tersebut.

"Kedua-dua skim pensijilan itu dapat meyakinkan pengguna bahawa hasil pertanian yang dikeluarkan dari ladang tersebut benar-benar segar, selamat dan berkualiti untuk dimakan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Datuk Mustafa Kamal Baharuddin berkata, salah satu elemen yang ditekankan menerusi skim tersebut adalah traceability iaitu keupayaan mengesan.

Katanya, menerusi skim tersebut, setiap masalah berkaitan hasil pertanian yang dikeluarkan seboleh-bolehnya dikesan di peringkat ladang. Mengenai pensijilan berkenaan, beliau berkata, pemeriksaan dibuat ke ladang pengusaha dengan mengambil kira amalan agronomi, menjaga kebajikan, keselamatan, kesihatan pekerjaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Katanya, semua produk yang sedia dipasarkan juga perlu dianalisis bagi menentukan kandungan residu racun perosak dan logam beratnya.

"Sijil akan dikeluarkan setelah semua syarat tersebut dipatuhi," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved