Jumaat, 20 Disember 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Kehidupan kami lebih baik

Posted:

Kehidupan kami lebih baik

Kehidupan kami lebih baik

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

PANGGILAN telefon yang diterima daripada anak saudaranya tentang peluang bekerja di syarikat Superbest Power Health Food & Beverages Sdn. Bhd. (Superbest Power) saat dia memerlukan wang disifatkan sebagai durian runtuh.

Meskipun menerima tawaran tersebut ketika dia dalam pantang, Satrah Sulaiman, 39, menggagahkan dirinya untuk menghadiri temu duga terbuka syarikat pengeluar kopi pracampur berjenama Superbest Power itu.

Mengimbas peristiwa setahun lalu, ibu tunggal itu memberitahu, Pengarah Urusan Superbest Power, Kamal Mohd. Nor pada ketika itu tidak teragak-agak untuk menawarkan pekerjaan kepadanya.

"Saya mengisi borang permohonan, sebelum dipanggil untuk ditemu duga dan diterima bekerja pada minggu yang sama.

"Tindakan Kamal bukan sahaja memberikan saya peluang dapat membesarkan anak saya dengan baik, malah turut meletakkan kepercayaan kepada saya untuk melancarkan operasi perniagaan Superbest Power," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Diberi tanggungjawab untuk menjaga mesin pengadun kopi, Satrah perlu mengadunkan 1.5 tan campuran bahan mentah setiap hari dan setiap 300 kilogram campuran yang mengambil masa selama satu jam. Bahan-bahan yang diadun ialah krimer, biji kopi Arabika dari Brazil dan herba terpilih.


KIRA-KIRA 45,000 pek kopi Superbest Power dibungkus setiap hari.


Suami meninggal dunia

Mesin tersebut merupakan salah satu alat penggerak utama dalam menghasilkan produk Superbest Power. Mensyukuri kehidupannya kini, Satrah memberitahu, kehidupannya sebelum ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila suami keduanya, .Omar Salleh Bukko meninggal dunia tahun lalu.

"Saya berkahwin pada usia 18 tahun. Namun, perkahwinan kami hanya bertahan selama 19 tahun dan bercerai pada 2001. Selepas bergelar ibu tunggal, saya telah berhijrah dari Tawau, Sabah ke Semenanjung Malaysia dan tinggal bersama kakak di Damansara Damai, Petaling Jaya.

"Pada tahun 2010, saya berkahwin buat kali kedua dengan seorang pegawai pameran perabot. Bagaimanapun, suami meninggal dunia dalam satu kemalangan di Melaka dan saya menjadi ibu tunggal untuk kali kedua," ujarnya yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga anaknya itu kini di bawah jagaan bekas suaminya. Satrah, yang mempunyai seorang anak dengan arwah suami kedua dan memelihara bayi tersebut. Bayi yang berumur satu tahun lima bulan itu akan dihantar ke rumah pengasuh apabila dia keluar bekerja.

Satrah telah bekerja selama setahun empat bulan dan berjaya memperbaiki taraf kehidupannya sebagai ibu tunggal.

"Saya kini lebih berdikari dan tidak meminta pertolongan daripada orang lain. Setiap bulan saya mampu untuk membayar sewa rumah, bil air dan api, Astro serta upah pengasuh," katanya.

Sementara itu, Kamal memberitahu, dia begitu bersimpati dengan nasib yang menimpa Satrah.

"Satrah berjumpa dengan saya dan menceritakan keperitan hidupnya. Dia juga memberitahu bahawa dia tiba di Kuala Lumpur dengan keadaan sehelai sepinggang.

"Namun, dia tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan itu membuatkan saya yakin untuk mengambilnya bekerja," jelas beliau yang berharap pendapatan yang diperoleh dapat membantu memperbaiki taraf hidup wanita tersebut.


SATRAH dibantu seorang pekerja memasukkan bahan mentah serbuk kopi.


Bantu suami

Seorang ibu muda, Siti Aisah Sulaiman, 28, bekerja di syarikat ini kerana mahu membantu suaminya, Abdullah Wahab, untuk membesarkan sembilan orang anak mereka.

"Saya membantu suami untuk membesarkan tujuh orang anak tiri dan dua anak kandung. Suami pula bekerja sebagai pemandu peribadi dan gaji yang diperoleh hanya cukup untuk menampung perbelanjaan asas.

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk membantu suami. Syukur, Allah telah mempermudahkan urusan saya apabila diterima bekerja di sini," ujarnya.

Menurut Siti Aisah, dia pernah menghidap sakit selepas melahirkan anak kedua. Disebabkan masalah itu, suaminya tidak membenarkan dia keluar bekerja.

Bagaimanapun, selepas berjaya memujuk suaminya, kini Siti Aisah sudah masuk setahun tiga bulan bekerja di syarikat Superbest Power.

Ketika ditemu bual, Siti Aisah begitu sibuk memastikan pek bungkusan kopi Superbest Power dikelim dengan sempurna. Menurutnya, kira-kira 45,000 bungkusan kopi Superbest Power dipek dan dimasukkan ke dalam kotak bungkusan setiap hari.

Lain pula kisahnya dengan seorang ibu tunggal yang bekerja di syarikat berkenaan, Kamsiah Marzuki, 45.

Menurut Kamsiah, dia memohon pekerjaan tersebut kerana tidak mahu menyusahkan empat orang anaknya yang masing-masing berusia 29, 28, 26 dan 22 tahun.

"Anak sulung saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, manakala yang lain sibuk menguruskan kehidupan masing-masing. Saya lebih seklesa berdikari supaya tidak membebankan mereka," jelas wanita yang bertugas di bahagian pembungkusan produk Superbest Power.

Kamsiah ditugaskan di bahagian pembungkusan bersama enam pekerja yang lain. Kira-kira 3,000 kotak produk Superbest Power akan dimasukkan ke dalam plastik secara manual sebelum ia digam menggunakan mesin automatik.

Menurut Kamsiah, dia berkira-kira untuk menunaikan ibadah umrah dengan wang simpanan hasil titik peluhnya sendiri.

"Setiap bulan saya akan menyimpan satu perempat gaji sebagai persiapan untuk ke Tanah Suci," luahnya yang berharap untuk menjejakkan kaki ke sana sementara kudratnya masih kuat.


KAMAL kerap turun padang untuk memastikan kelancaran pengeluaran produk Superbest Power.


Hujung tahun ini, genaplah tujuh bulan Kamsiah bekerja di Superbest Power dan kini dia berasa lega kerana boleh merancang kehidupannya tanpa perlu melibatkan anak-anak.

"Kepala saya tidak lagi runsing memikirkan perbelanjaan rumah atau menjadi bebanan kepada anak-anak. Gaji yang diperoleh sangat mencukupi untuk menampung diri, malah saya turut pergi membeli-belah mencari pakaian baharu," katanya.

Jelas Kamsiah, untuk perbelanjaan harian, dia dan rakan-rakannya bermain kutu secara mingguan dan bulanan.

Melihat semangat kekeluargaan yang ditunjukkan dalam kalangan pekerjasyarikat Superbest Power, Kamal mengakui bahawa aspek tersebut sering ditekankan syarikat tersebut demi memantapkan kerjasama sesama mereka.

"Melalui usaha dan aktiviti yang dijalankan antara mereka, kami dapat melihat keakraban hubungan dan kepercayaan yang terbina.

"Saya sangat bersyukur dengan keharmonian ini. Untuk meningkatkan lagi ikatan silaturrahim ini, kami turut menganjurkan majlis makan-makan atau meraikan hari jadi pekerja," katanya.

Batik canting tarikan Pavilion Malaysia

Posted:

Batik canting tarikan Pavilion Malaysia

Batik canting tarikan Pavilion Malaysia

Oleh NAJIBAH HASSAN


ZAKIAH (tengah), Ying (kanan) dan rakannya yang berjaya mewarnakan batik canting mereka hasil tunjuk ajar beliau.


SERAKAN dan gabungan beberapa warna air yang diserap kain kapas yang siap dicanting dengan corak batik itu benar-benar menarik perhatian Yang Ying, 30, ketika dia melintasi gerai Pavilion Malaysia.

Setelah memerhati dengan teliti kaedah mewarna yang ditunjukkan oleh ilustrator Zakiah Isa, wanita dari wilayah Jiangxi, China itu memberanikan diri bertanya sama ada dia boleh mencubanya.

Selepas diberikan berus, warna air dan batik canting, Ying duduk di meja yang disediakan lalu dia terus mewarna tanpa mempedulikan orang ramai yang mengerumuninya.

Dalam masa kurang 10 minit, ibu kepada seorang anak itu berjaya mewarnakan lukisannya.

"Ia satu pengalaman yang menakjubkan. Saya bebas mewarna mengikut cita rasa saya. Inilah kali pertama saya melihat batik canting. Lazimnya saya melihat lukisan di atas kertas, tetapi ia dicanting di atas kain.

"Seni ini cukup cantik, ringkas dan istimewa," kata pengarang majalah itu yang datang ke Pesta Buku Kanak-Kanak Antarabangsa Shanghai, China (CCBF) baru-baru ini bersama seorang rakan.

CCBF merupakan acara yang julung-julung kali dianjurkan khusus untuk memberi tumpuan kepada perdagangan hak cipta, penerbitan, cetakan dan pengedaran buku kanak-kanak dari usia bayi hingga 16 tahun.

Belum pun sempat Ying habis mewarna, Pavilion Malaysia terus diasak pengunjung tanpa henti untuk mendapatkan batik canting yang serupa sehingga Zakiah tidak menang tangan melayannya kerana lukisan itu diberi secara percuma.


NAEMAH (kiri) dan Zakiah menyusun batik canting yang bakal diwarnakan oleh pengunjung yang berminat.


Percuma

Lebih menggembirakan, mereka yang siap mewarna lukisan masing-masing boleh membawanya pulang ke rumah. Memandangkan begitu ramai yang ingin cuba mewarna, ada yang sanggup menunggu giliran sementara menantikan individu lain siap mewarna.

Suri rumah, Hua Xiong, 35, yang datang ke CCBF bersama seorang anak lelakinya, Fay, 7, memberitahu, anaknya begitu gemar dengan subjek lukisan.

"Batik canting ini sesuatu yang baharu kepadanya dan dia cukup teruja mewarna batik tersebut," jelas wanita yang berasal dari Shanghai yag turut membawa rakan sekelas anaknya.

Zakiah, 55, memberitahu, aktiviti mewarna lukisan batik canting itu berjaya menarik ramai pengunjung ke Pavilion Malaysia untuk mengenali batik canting dan buku-buku yang dipamerkan.

"Melalui cara ini kita dapat berkenalan dan membina rangkaian lebih dekat dengan para penerbit dan pengarang.

"Apa yang lebih mengujakan saya ialah buku-buku Pak Yusof yang dibawa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebanyak 11 judul dan buku-buku terbitan Lingard Literacy Agency berjaya menarik perhatian para penerbit di sana untuk diterjemahkan," katanya yang teruja dengan sambutan orang ramai terhadap lukisan tema gajah suaminya, Yusof Gajah, seorang pelukis tersohor tanah air.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, beliau membuat persediaan selama seminggu untuk menjalankan aktiviti mewarna batik canting dengan menggunakan papan lapis.

Zakiah yang lebih mesra dengan panggilan Mama menjelaskan, meskipun beliau membawa 105 buah lukisan batik canting dengan gambar yang berbeza untuk diwarnakan, jumlah tersebut ternyata tidak mencukupi. Antara lukisan tersebut ialah bunga raya, gajah membaca buku, gajah memegang pensel, ikan di dalam kolam dan sebagainya.

Bahkan, katanya sepanjang tiga hari pesta berlangsung, sambutan yang diterima adalah di luar jangkaan. Bukan kanak-kanak yang datang bersama ibu bapa saja yang berebut mahu mewarna batik canting, bahkan orang dewasa juga ramai yang menunjukkan minat. "Idea Perbadanan Kota Buku mengetengahkan aktiviti mewarna batik canting sesuatu yang berbeza dan mengujakan pengunjung," jelasnya yang pertama kali mengendalikan aktiviti seumpama itu di Shanghai.

Selain Zakiah, seorang lagi penulis dan ilustrator yang menjayakan aktiviti mewarna batik canting ini ialah Naemah Ismail.


PAVILION Malaysia yang mempamerkan bahan-bahan bacaan dari negara ini.


Identiti Malaysia

CCBF yang berlangsung di Pusat Pameran ShanghaiMart, Shanghai, China itu turut disertai Perbadanan Kota Buku dengan membawa 40 delegasi yang terdiri daripada penerbit, penulis, penggiat buku, ilustrator dan penggiat tekno kreatif.

Antara penerbit tempatan yang terlibat ialah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, BackBone Entertainment serta disokong oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Pengurus Perbadanan Kota Buku, Norhayati Razali berkata, walaupun acara ini julung-julung kali dianjurkan, pihaknya yakin Malaysia memiliki bahan-bahan yang sesuai untuk dijual hak ciptanya di Shanghai.

"Saya percaya buku-buku yang membawa identiti Malaysia dapat memancing minat penerbit-penerbit luar kerana kita mempunyai kumpulan profesional yang bergiat cergas dalam industri buku kanak-kanak," katanya.

Selain membawa lebih 100 judul buku kanak-kanak yang dipamerkan di Pavilion Malaysia, penyertaan ini kata beliau dapat membuka lembaran baharu kepada industri perbukuan tempatan.

Perbadanan Kota Buku berperanan sebagai pusat sehenti bagi menghimpunkan kegiatan perbukuan bagi pembaca, penulis dan penerbit bertemu serta menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan.

Jaga hubungan keluarga bersama adik-beradik

Posted:

Jaga hubungan keluarga bersama adik-beradik

Jaga hubungan keluarga bersama adik-beradik


HUBUNGAN bersama rakan-rakan di luar negara ibarat adik-beradik kerana masing-masing jauh daripada keluarga tersayang. - Gambar hiasan


ADIK-BERADIK merupakan harta perasaan yang tidak ternilai. Ia membawa damai di hati. Lalu tidak pelik apabila mendengar kata-kata mereka yang berada di perantauan berkata, 'hubungan kami seperti adik-beradik'.

Itulah nilai persahabatan bersama sahabat handai yang dikatakan melangkaui hubungan saudara sebapa. Bagaimana pula dengan hubungan sebenar bersama adik-beradik?

Saya fikir, kami iaitu saya dan isteri mempunyai hubungan rapat dengan keluarga yang hampir. Saya mempunyai 12 adik-beradik. Isteri pula separuh daripada bilangan tersebut.

Jika disekalikan, maka jumlah adik-beradik yang kami miliki menjadi 18 orang kesemuanya. Alhamdulillah, Allah memberi nikmat bilangan adik-beradik yang ramai kepada kami berdua.

Antara adik-beradik saya dan isteri, mereka boleh bertemu tanpa kehadiran kami sekeluarga. Misalnya, kami ketawa melihat kedatangan salah seorang adik ipar ke Madinah tanpa isteri.

Maksudnya, beliau hadir bersama kakak-kakak ipar dan biras. Kelihatan mereka serasi. Malah beliau menjadi ahli keluarga yang bertanggungjawab terhadap ahli rombongannya.

Sesungguhnya kami sangat menyanjungi adik-beradik yang hampir. Ia hubungan kasih sayang yang luar biasa. Menjalin hubungan seumpama ini memerlukan setiap ahli keluarga saling bertolak ansur.

Tiada perbezaan darjat

Tiada pangkat dan darjat perlu diketengahkan. Profesor atau berkelulusan doktor falsafah tidak mempunyai merit antara adik-beradik. Malah jika bergelar Tan Sri, Datuk atau Puan Seri tidak bermakna buat adik-beradik.

Hubungan bukan berpaksi kepada nilai tersebut. Ia rasa kasih sayang yang mahu berpanjangan sehingga dipertemukan kembali di syurga Firdaus. Allah SWT telah menegaskan melalui surah Muhammad, ayat 22-23 yang bermaksud: "Maka apakah ada kemungkinan jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang yang dilaknat Allah dan ditulikan mereka dan dibutakan penglihatan mereka."

Benar, 12. Itulah jumlah adik-beradik yang saya ada. Tiga lelaki dan sembilan perempuan. Hampir kesemuanya berselang dua tahun kelahiran. Kakak sulung berusia 56 tahun dan adik bongsu pula berusia 31 tahun.

Kami 12 beradik dibesarkan dalam suasana kemesraan dan saling mengasihi. Pertelingkahan, rasa hati atau terkedu di jiwa selalunya tidak bertahan lama. Istilah air dicincang tidak akan putus benar-benar berlaku.


KEMATIAN menjadi pemisah antara hubungan kekeluargaan di dunia tetapi ia tetap kekal hingga ke akhirat.


Ia bercantum bukan kerana soal benar atau salah tetapi lebih kepada perasaan bertolak-ansur antara kakak dengan adik atau adik dengan abang. Ia perasaan hormat yang diajar oleh kedua-dua ibu bapa sejak kecil. Ia perasaan yang bukan dipaksa-paksa.

Hakikatnya, ramai yang kelihatan hampir dengan kita. Namun, kesemuanya berjauhan apabila tiba masanya. Kita akan dipisahkan.

Pertama, antara dunia dengan alam kubur. Siapa yang dulu dijemput pergi tentu sekali tidak mengikut susunan usia. Misalnya, adik perempuan kami Haniza dijemput Allah ketika usianya mencecah 35 tahun.

Saya masih terkenang renungan mata tajamnya memandang saya beberapa hari sebelum dipanggil pulang. Beliau menyatakan: "Abang, rasanya Za sudah sampai masanya," kenyataan yang disampaikan dengan satu senyuman menyebakkan rasa hati.

Namun, itulah pengajaran atau ingatan paling berkesan kepada adik-beradik yang tinggal. Kematian tidak mengikut susunan atau turutan. Malah tiada sesiapa yang mampu melarikan diri daripada kematian. Ia tidak lambat atau cepat walau sesaat.

Masya-Allah, hubungan adik-beradik pastinya bernoktah. Bila, tiada siapa mampu menduga. Malah kehidupan berkeluarga boleh menyebabkan hubungan ini semakin terpisah.

Lalu, ia sangat tidak berbaloi untuk bermasam-muka, menjual ego atau mahu menunjuk-nunjuk kehebatan sesama adik-beradik. Mudah-mudahan kita semua akan diberkati dan dirahmati Allah dengan sifat kasih mengasihi sesama adik-beradik.

Wajah berseri

Kedua, pada hari pembalasan. Saya terbayangkan kami, kaum keluarga akan berseri-seri wajah kegembiraan ketika menerima surah amal seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui surah al-Inshiqaq, ayat 7-9 yang bermaksud: "Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya; maka beliau akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, dan beliau akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita."

Ketiga, ketika menjalani kehidupan yang kekal abadi. Lalu rasa cinta kepada keluarga yang hampir perlu diterjemahkan agar kita semua dapat berkumpul di tempat yang satu, kehidupan di syurga yang kekal abadi.

Saya mahu begitu. Biarlah kami sekeluarga dibangkitkan bersama Baginda SAW walaupun ia hanya segelintir daripada kumpulan akhir zaman.

Saya telah melalui perjalanan kehidupan panjang dengan hati dan perasaan. Rakan datang dan pergi. Teman ketawa beribu. Mereka yang sudi menangis bersama boleh dibilang dengan jari.

Namun adik-beradik sendiri, Insya-Allah tidak begitu. Mereka mengasihi dan menyayangi sesama sendiri dengan hati dan perasaan. Syaratnya mudah. Ia perhubungan semata-mata kerana Allah.

Saya terasa damai di hati. Maka mereka juga sentiasa ada di dalam doa-doa agar kami dapat bersama pada kehidupan yang kekal abadi, Insya-Allah. Moga Allah memberi keampunan-Nya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved