Ahad, 15 Disember 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kembara indah Liyana Jasmay

Posted:

Kembara indah Liyana Jasmay

Kembara indah Liyana Jasmay

PERWATAKANNYA masih seperti Liyana Jasmay yang dikenali bertahun-tahun dahulu. Senyum dan tawanya masih sama. Sosok genitnya juga masih belum menampakkan banyak perubahan walaupun di dalam rahimnya, sedang mengandung cahaya mata pertama.

Ya, wanita yang dahulunya gadis lincah itu sudah berumahtangga dan kini kehamilannya sudahpun mencecah empat bulan. Sekitar lima bulan lagi, dia dan Fathuddin Mazlan yang bernikah pada Februari lalu bakal bergelar ibu bapa. Biasa kedengaran tapi itu bukan sekadar panggilan, tetapi sebuah fasa baharu yang selama ini mengulit hidupnya selama 27 tahun.

"Bila sudah mengandung, banyak pula rasa dan perasaan tidak selesa. Bila saya meluahkan kepada mama, mama cuma cakap sebab itulah syurga itu di bawah kaki ibu, anak tak boleh derhaka kepada ibu, nanti masuk neraka," lentur Liyana seraya tertawa sambil diperhatikan sang ibu, Habsah Simpon yang setia menemani pergerakan si anak bongsunya itu.

Cuma ada sedikit perbezaan, Liyana yang sebelum ini ada keletahnya itu agak bersahaja. Bukan tidak bermaya tapi darjah kelincahan menurun mungkin disebabkan alahan kehamilan yang dialami.

Ralit bercerita tentang situasi hidup yang sedang berubah, kata Liyana, kesibukan promosi yang selalu pulang ke Kuala Lumpur menimbulkan rindu dan ingatan buat suami yang kerap ditinggalkan di Kota Kinabalu, Sabah.

"Di sini (Kuala Lumpur) saya ada ramai ahli keluarga, tapi dia (suami) seorang diri di sana. Kasihan juga, tapi sekejap sahaja. Januari nanti saya akan balik semula ke Sabah, di sana kami baru pindah ke rumah baharu. Siap ada bilik khas untuk mama dan papa. Senanglah mereka nak bertamu nanti," katanya ketawa merangka-rangka aturan hidup menjelang kehadiran orang baharu, Mei tahun depan.

Terheret berbicara tentang keluarga dan kehidupan, bekas penyandang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 itu teruja berkongsi soal kerja berbanding kehidupan bahagia yang sedang ditatang. Biarpun sudah mengambil keputusan untuk berehat tanpa sebarang penggambaran sehingga tempoh bersalin, Liyana kini sibuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Papadom 2.

"Rasanya Papadom 2 sebuah filem yang meninggalkan kesan istimewa untuk saya. Terlalu banyak perasaan dan nilai kehidupan serta kekeluargaan dalam filem itu.

"Rasanya, berbaloi menunggu selama tiga tahun untuk menyaksikan tayangan filem ini. Lagu tema nyanyian Shahmeen Shah sendiri sudah cukup ekspresif inikan pula ceritanya," katanya yang menang anugerah terbesar dalam karier lakonannya menerusi watak Maisara dalam Papadom edisi pertama.

WATAK Miasara lakonannya dalam Papadom 1 mengangkat nama Liyana sebagai Pelakon Wanita Terbaik. Sekarang, Maisara muncul lagi dalam Papadom 2 dengan karakter yang lebih dewasa dan matang.


Kahwin lelaki tua

Kembali menghidupkan karakter Miasara, jika dalam Papadom yang pertama Liyana membawakan watak Miasara yang masih di alam kampus, dalam Papadom 2, karakter itu berkembang membawa Miasara masuk ke alam pekerjaan. Sisi keremajaan Miasara juga berubah.

"Untuk filem ini, Miasara masih juga seperti dahulu, masih berada bawah kawalan bapanya selama 24 jam. Sekarang Miasara sudah masuk alam pekerjaan dan mula hendak berkahwin. Konfliknya apabila ayah Miasara tak sanggup melepaskan anak kesayangannya kepada lelaki lain. Konflik pilih menanti dan paling penting Miasara mahu berkahwin dengan lelaki jauh berusia daripadanya," jelas Liyana.

Dari satu sisi yang lain, Liyana menyifatkan Papadom 2 sebagai pengisian emosi dan kasih sayang yang cukup hebat antara anak dan bapa. Paling utama, kisah Miasara dan Saadom itu menjadi kisah semua orang yang menonton. Itu magis yang jarang-jarang dapat dirasai dalam kerja lakonan dana naskhah-naskhah komersial.

"Naskhah seperti Papadom jarang ada, isu kekeluargaan yang begitu. Biasanya kisah cinta, aksi atau komedi. Seronoknya menjadi Miasara apabila ia mengingatkan penonton terhadap bapa masing-masing. Begitu juga Saadom. Ia seperti cerminan dan impaknya refleks kepada penonton. Saya percaya ada ramai Miasara dan Saadom di luar sana," ujar Liyana mengakui semakin menghargai kasih sayang ibu bapanya usai penglibatan dalam jenama Papadom.

Tambah Liyana lagi: "Saya percaya ramai kaum bapa sukar untuk melepaskan anak perempuan mereka yang mahu berkahwin. Perasaan yang sama juga barangkali dirasai oleh bapa saya sebelum ini. Mereka mahukan yang terbaik untuk anak. Saya sendiri sangat manja dengan bapa. Berlakon Papadom menjadi satu penghormatan buat saya."

LIYANA JASMAY percaya kehidupan seorang wanita itu sangat indah. Bermula sebagai anak kecil, remaja, dewasa menjadi isteri dan ibu ialah satu anugerah yang cukup mahal.


Refleksi diri

Tidak hanya Papadom dan Maisara yang diharapkan boleh menjadi cerminan kepada khalayak, Liyana sendiri melihat dirinya di sebalik nama Miasara.

"Kembara hidup seorang gadis, membesar, belajar, bercinta, berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri merupakan satu kembara yang sungguh indah. Saya bersyukur kerana dilahirkan dalam semua keluarga yang sering menyokong hidup saya.

"Saya sendiri sedang dalam fasa dan kembara itu. Apabila mengetahui bahawa dalam perut saya ini orang baharu yang bakal lahir, perkara paling mengujakan ialah persoalan bagaimana hendak menjaga dan melalui hari-hari dengannya. Semoga Tuhan akan melancarkan segala-galanya. Sebab itu Papadom sangat tinggi nilai sentimentalnya terhadap saya," luah Liyana sambil mengusap perutnya yang sudah berisi itu.

Beraksi bawah arahan pengarah berjiwa besar seperti Afdflin Shauki dan bekerjasama dengan ramai pelakon hebat seperti Khir Rahman, Rizman Ruzaini, Adlin Aman Ramlie, Dira Abu Zahar serta ramai lagi juga memberikan banyak kepuasan kepada wanita kelahiran Kuantan itu.

Tidak hanya mematangkan jiwa seninya, cabaran menggalas watak Miasara juga menghadirkan persepsi berbeza.

"Berlakon filem yang memerlukan banyak pergerakan fizikal macam filem aksi atau seram lain situasinya berbanding watak dalam filem yang bersifat drama macam Papadom. Ia soal yang kena diluahkan menerusi ekspresi dan paling penting, lakonan itu tidak kelihatan sebagai lakonan tapi orang percaya.

"Itu yang susah. Rantaian emosi kena solid dan kena sampai ke jiwa, barulah lakonan itu jadi indah di mata penonton. Sebab itu juga saya mahu suami saya menonton filem berkenaan. Lagi pun dia kenal dan lihat saya berlakon pun menerusi watak Miasara daripada filem Papadom yang pertama," cerita Liyana sambil memberitahu bapanya Jasmay juga tidak ketinggalan menyokong Papadom.

Tambahnya: "Bapa tidak datang semasa pratonton filem, dia pemalu. Tapi, dia janji mahu memenuhkan satu panggung menonton Papadom 2 bersama kawan dan kenalan dia. Mungkin itu cara dia menunjukkan sokongan terhadap saya."

Berkongsi perjalanan ke arah menjadi wanita yang sempurna, punyai anak dan keluarga bahagia, Liyana tidak pernah membuang cinta untuk menghasilkan penerbitan karya drama dan filem. Ilmu yang ditimba ketika mengikuti pengajian filem di New York mahu dibuktikan menerusi hasil kerja. Jiwa seninya tetap mekar bersama senyuman dan kehidupan baharu yang terbentang. Selepas Papadom 2, tahun 2014, dia juga bakal muncul dengan sebuah lagi filem bergenre aksi berjudul Tokan.

Farawahida langkah bendul

Posted:

Farawahida langkah bendul

Farawahida langkah bendul



PERSIAPAN sudah lengkap, pelamin juga sudah tersergam. Inai raja sehari juga sudah tersedia menunggu masa hendak dicalitkan di hujung jari.

Esok bakal menjadi hari yang paling membahagiakan buat wanita bermata bundar, Farawahida Razali, 28. Zaman bergelar wanita solo sudah boleh dilupakan kerana esok, penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu itu bakal bergelar isteri orang.

Memilih lelaki yang dikenalinya sejak lapan tahun lalu, Abdul Shukur Mohd. Zain sebagai bakal suami, mereka akan dinikahkan sekitar pukul 10 pagi esok bertempat di Sentosa Villa Resort, Taiping, Perak.

"Bohonglah kalau saya kata langsung tidak merasa debaran. Semasa sibuk memastikan semua persiapan, perasaan itu tidak terasa sangat, tetapi semasa hendak masuk tidur, mulalah bermacam persoalan masuk kepala.

"Tapi mujurlah, urusan persiapan pelamin, fotografi, videografi, dekorasi hantaran serta pengurusan majlis nikah dan sanding saya ini dikendalikan perancang perkahwinan, jadi lega rasanya," ujar Farawahida.

Tidak mahu majlis pernikahan dan perkahwinan mengambil masa yang panjang, Farawahida juga akan melangsungkan majlis persandingan pada hari yang sama. Majlis resepsi perkahwinannya akan berlangsung pukul 8 malam bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Perak.

BARU-BARU ini kisah perkahwinan Farawahida menjadi berita sensasi kerana mendapat tajaan bernilai RM500,000.


"Seronoknya buat kenduri di kampung halaman apabila ibu bapa sendiri menguruskan hal jemputan. Jumlah tetamu jemputan rasanya sekitar 3,000 orang tetapi kehadiran terpulang kepada kelapangan orang. Buat kenduri di kampung juga tidak boleh had jemputan, harap dapat jumpa semua saudara dan kenalan esok," ujar Farawahida yang merupakan anak keempat daripada enam beradik itu.

Sebelum ini, majlis perkahwinan Farawahida pernah menjadi isu panas apabila menerima tajaan sebanyak RM500,000.

"Kenyataan itu datang daripada perunding perkahwinan. Ikutkan bajet memang saya mampu nak keluarkan duit RM500,000, lagi pun bapa saya sudah cakap tak mahu membazir dengan persiapan yang beria-ria. Tapi jumlah itu merangkumi penajaan oleh pengurus perkahwinan dan saya menerima dengan besar hati," ujar Farawahida yang mengeluarkan duit sendiri untuk kos jamuan jemputan.

Sederhana namun masih terasa kemeriahannya, Farawahida sebenarnya mempunyai dua orang adik yang belum berkahwin, malah kakaknya, Suhana Miza, 30, juga masih bujang.


PASANGAN ini berkenalan sejak lapan tahun lalu.


"Kiranya, saya ini akan langkah bendul. Ada juga saudara-mara yang mahu amalan memberi hadiah kepada kakak apabila si adik terlebih dahulu berkahwin. Setakat ini tiada apa yang diputuskan. Kakak saya tiada masalah dalam soal ini, soal jodoh tidak boleh dipaksa-paksa. Saya tak mahu berjanji apa-apa, daripada pihak saya sendiri, mungkin ada sesuatu untuk kakak nanti," katanya yang mendoakan agar kakaknya pula akan dipercepatkan jodoh.

Bercerita tentang perkahwinan dan permulaan fasa baharu kehidupannya, Farawahida berkata, dia tetap akan meneruskan karier nyanyian walaupun sudah bergelar isteri.

"Bakal suami juga bekerja di Kuala Lumpur, jadi insya-Allah tiada masalah akan timbul," katanya yang turut berkongsi gambar-gambar praperkahwinan yang dirakamkan bersama Shukur.

"Bakal suami seorang yang pemalu bab-bab bergambar, untuk gambar-gambar itu pun, puas saya memujuknya supaya beri kerjasama dan kongsi bersama media. Tapi dia juga sangat memahami kerjaya saya sebagai penyanyi. Saya pilih dia sebab kualiti yang ada pada dirinya. Dia kuat berusaha untuk membaiki taraf hidup," tambah Farawahida.

Nooraida akui Adi Putra romantik

Posted:

Nooraida akui Adi Putra romantik

Nooraida akui Adi Putra romantik


AMIRUDDIN OSMAN mendakwa siasatan polis berhubung skandal Adi Putra bersama isterinya, Nooraida Abdul Mutalib (kiri) sebagai tidak telus.


EPISOD yang mengaitkan pelakon sensasi, Adi Putra dengan dakwaan skandal dan penyebaran gambar lucah dengan seorang wanita berstatus isteri orang masih belum berakhir.

Sehari selepas Adi menegaskan pada sidang satu sidang akhbar bahawa dia bebas daripada sebarang tuduhan, pihak pengadu tampil dengan dakwaan siasatan kes itu tidak telus.

Ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan siasatan, pengadu, Amiruddin Osman, 56, bersama isterinya, Nooraida Abdul Mutalib, 30, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur kelmarin.

Laporan dibuat kepada Bahagian Tatatertib Bukit Aman itu bagi menuntut siasatan dijalankan ke atas seorang pegawai penyiasat (IO) yang bertugas di Balai Polis Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru.

"Saya berpendapat bahawa penyiasatan yang dilakukan tidak telus dan tidak profesional atau dianggap berat sebelah. Saya menuntut kes ini dibuka semula," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Hotel Concorde, Kuala Lumpur itu.

Amiruddin yang merupakan seorang ahli perniagaan mendakwa siasatan tidak telus kerana pegawai penyiasat itu didakwa menuntutnya menarik balik laporan polis yang dibuat pada 29 Ogos lalu di Skudai ketika isterinya dipanggil untuk memberi keterangan.

Dia juga menerima sekeping gambar daripada sahabatnya yang menunjukkan pegawai berkenaan bergambar dengan Adi dalam keadaan mesra ketika pelakon tersebut hadir memberi keterangan semasa soal siasat dijalankan.

INILAH wajah Nooraida Abdul Mutalid, wanita yang didakwa oleh suaminya sebagai menerima dan membalas mesej berbaur lucah bersama Adi Putra.


Menurut Amiruddin, gambar tersebut dipercayai dirakam di dalam kawasan Balai Polis Taman Universiti, Skudai.

Pada 25 September lepas, Amiruddin turut mempersoalkan pegawai itu kerana gambar-gambar dan butiran peribadi isterinya dipercayai dibocorkan oleh 'orang dalam'.

Amiruddin juga menyifatkan siasatan itu berat sebelah kerana pegawai berkenaan memberi layanan baik terhadap Adi apabila dia sanggup ke lokasi program pelakon itu semasa di Johor walaupun jarak tempat itu dari balai polis di Skudai kira-kira 15 kilometer.

"Alasan yang diberikan oleh IO adalah Adi tiada kenderaan untuk ke balai polis. Saya nampak pegawai polis ini berat sebelah," ujar Amiruddin yang telah berumah tangga dengan Nooraida selama 10 tahun.

Pada 2 Disember lalu, polis mengumumkan bahawa kes terbabit diklasifikasikan sebagai tiada tindakan selanjutnya (NFA).

Menurut Amiruddin, pihak polis memberitahunya bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai NFA atas faktor suka sama suka, dia masih belum menerima dokumen siasatan lengkap.

Ketika disoal sebab dia masih mahu meneruskan siasatan kes itu, Amiruddin menjawab bahawa dia berpegang kepada kebenaran.

"Saya percaya perkara ini benar. Saya sebagai seorang suami berani membuat laporan polis supaya keadilan dapat dibela," katanya.

Dalam pada itu, di celah kehangatan sidang akhbar tersebut, Nooraida yang sebelum ini tidak bersuara akhirnya mengaku bahawa dia meminati Adi kerana menyifatkan aktor itu seorang yang romantik selepas diasak soalan pemberita.

"Pada mulanya saya cuma hantar ucapan ketika Adi pergi umrah itu sahaja. Saya memang minat dia (Adi). Saya terus layan mesej sebab dia romantik jadi saya memang teruja," akui Nooraida.

ADI PUTRA


Dalam perkembangan berkaitan, Amiruddin mendakwa pernah berbual dengan individu yang dipercayai Adi Putra menerusi telefon dan meminta bertemu dengan bintang filem Haq itu di Johor Bahru bagi menyelesaikan skandal berkenaan.

Namun, Amiruddin mendakwa Adi, 32, enggan bertemunya hingga menyebabkan dia membuat laporan polis pada awal September lalu.

Ketika ditanya sama ada pihaknya gentar jika Adi memfailkan saman, Amiruddin menjelaskan, dia dan pasukan peguamnya mengalu-alukan tindakan tersebut.

Peguam Amiruddin, Muhammad Hasif Hasan berkata, pihaknya akan merayu keputusan NFA itu dan berpendapat Seksyen 498 Kanun Keseksaan lebih sesuai berbanding Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan kesalahan yang dilakukan.

Menurut Muhammad Hasif, pihaknya percaya cara siasatan yang dikendalikan memiliki ciri-ciri tidak telus dan tidak ada integriti selain menyoal Nooraida dengan sejumlah soalan tidak relevan.

"Kami akan menulis surat kepada Timbalan Pendakwa Raya di Putrajaya dengan laporan bahawa kami telah membuat satu lagi laporan terhadap IO kes ini.

"Pihak kami akan menghantar satu surat memohon kepada Timbalan Pendakwa Raya agar melihat kembali kes ini dan melihat kembali peruntukan seksyen yang agak relevan dalam kes ini," tegasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved