Isnin, 11 November 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Funky bersama 27 Legacy

Posted:

Funky bersama 27 Legacy

Funky bersama 27 Legacy

Oleh ALIF ABU BAKAR

PERNAH dipandang sepi, pelik atau mungkin kekampungan, teori individu terhadap pakaian berkonsep ikat celup (tie dye) jarang sekali seia, terutamanya di Malaysia. Teknik tersebut kurang memikat masyarakat di negara ini, barangkali kerana campuran warna terang dan pola corak tidak senada membuatkan kita kurang berani menyarungkan pakaian ikat celup.

Secara realistik, fesyen ikat celup merentasi jalur masa yang mengagumkan. Dipercayai mula tercipta seawal abad ke-6 di India, Jepun dan Afrika, fabrik ikat celup kemudiannya berkembang ke serata dunia termasuk di Amerika Syarikat (AS).

Metodologi tradisional teknik tersebut masih dapat dilihat di India menerusi corak bandhani, antara teknik ikat celup tertua di dunia.

Bandhani memaparkan seni ikat celup menggunakan benang halus dan celupan warna bagi membentuk corak berbintik kecil.

Jepun pula mempunyai shibori yang kini menyerupai teknik ikat celup moden. Berteraskan indigo iaitu pewarna biru yang diperoleh daripada tumbuhan indigofera yang kebiasaannya diguna untuk membuat nila bagi mewarnakan pakaian mereka, masyarakat Jepun mengadaptasi teknik itu pada fabrik yang diperbuat daripada sutera atau gentian hem.

Menjengah tahun 1960-an, ikat celup dibawa ke AS melalui gerakan hipi iaitu golongan yang hidup berlandaskan kebebasan berfikir dan mempunyai identiti pakaian tersendiri. Hipi mahukan eskapisme daripada norma sosial yang terlalu terkawal pada zaman itu. Pakaian ikat celup dipilih sebagai salah satu madah ekspresi terhadap prinsip kebebasan hidup mereka.

Pengenalan

Dunia menerima ikat celup sebagai cabang kesenian klasik yang sederhana. Harus diakui, pengaruhnya di negara ini kurang menyegat, jika adapun ia banyak dijadikan penghias utama selendang atau kain pario untuk kegunaan wanita.

Sabar menanti untuk mencapai kemuncak penerimaan orang tempatan, fesyen ikat celup kini mula mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat di sini. Gerakan label tempatan di bawah nama 27 Legacy Tie & Dye (27 Legacy) membuka ruang bagi gaya retrospektif itu untuk melebarkan pengaruhnya kepada kelompok remaja.

PENGLIBATAN 27 Legacy pada festival pakaian lokal seperti Tempatan Fest baru-baru ini memberikan mereka pendedahan yang baik.


Buah fikiran Faiz Hakim Hassan, 24, salah seorang penggerak 27 Legacy akhirnya memacu jenama itu ke tahapnya sekarang. Hasil bimbingan bapanya, Hassan Ismail, lima ahli 27 Legacy secara suka-suka mencipta pakaian ikat celup untuk kegunaan sendiri. Kepintaran mereka meneroka reka bentuk ikat celup yang segar melahirkan minat awam.

"Tiba-tiba ada orang tempah 30 helai baju yang pada asalnya dibuat untuk dipakai sendiri. Bermula saat itu, permintaan semakin banyak dan kami sepakat membuka gerai di Bazar Larut Malam Cheras, Kuala Lumpur," kata Rashdan Nasaruddin, 24, membuka cerita ketika ditemui Stailo.

Langkah awal graduan-graduan jurusan Teknologi Maklumat Perniagaan dan Sains Komputer Kolej Poly-Tech Mara, Kuala Lumpur itu bermula secara rasmi pada bulan Januari lalu.

Secara serentak, 27 Legacy memperkenalkan bisnes pakaian ikat celup dalam talian. Sambutan menggalakkan jualan dalam talian mendorong mereka fokus kepada medium pemasaran itu dan menutup gerai di Cheras.

Rekaan sulung berupa baju-T di bawah nama flower power dengan cantuman lebih 10 warna menjadi dasar pengenalan 27 Legacy.

Kreativiti mereka mengeluarkan helaian berciri ikat celup pada singlet dan baju kurung memberi isyarat bahawa fesyen tersebut mampu menembusi pasaran yang lebih luas.

Jalur Gemilang

Apabila rekaan baju-T ikat celup yang dicorak menyerupai Jalur Gemilang dikeluarkan, 27 Legacy berjaya menjangkau lingkungan peminat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan usia. Penerapan nilai patriotik itu membangkitkan sentimen cintakan negara dalam diri belia menerusi madah yang moden.

"Kami hasilkan rekaan itu khusus untuk menyemai patriotisme dalam kalangan orang muda. Kalau kita tengok baju-baju atau fesyen sedia ada yang cuba mempromosikan semangat kenegaraan tidak lagi relevan dengan peredaran zaman.

"Remaja mahukan sesuatu yang segar, menarik dan sesuai dengan usia mereka. Jadi kami gunakan teknik ikat celup berpandukan warna teras Jalur Gemilang. Bulan dan bintang berbucu 14 ditambah pada rekaan tersebut sekali gus memberi imej Malaysia yang bertenaga," jelas seorang lagi ahli 27 Legacy, Mohammed Hafiiz Mohammed Yusoff.

Dikeluarkan sempena sambutan bulan kemerdekaan negara pada Ogos dan Hari Malaysia pada September lalu, Koleksi Jalur Gemilang 27 Legacy menerima permintaan di luar jangkaan. Sempurna dipakai ketika menonton perlawanan bola sepak yang melibatkan pasukan negara, rekaan itu masih dibuka untuk tempahan hingga 31 Disember depan.


SELAIN rekaan yang menarik, kualiti terbaik material yang digunakan pada baju 27 Legacy menambah keyakinan pelanggan terhadap jenama tersebut.


Penghasilan

Material yang digunakan 27 Legacy juga dipilih bersesuaian dengan reka corak dan cuaca di tanah air. Fabrik kapas menjadi pilihan mereka disebabkan ketahanannya terhadap kelunturan warna.

Sekiranya anda penggemar gaya polos, baju-T satu rona dengan percikan warna ikat celup pada bahagian poket akan menepati cita rasa anda. Rekaan poket origami itu boleh dipadankan mengikut kecenderungan warna peribadi sama ada putih, hitam, merah atau kelabu.

Bercerita mengenai pembuatan pakaian mereka, kata Hafiiz, 24, setiap 100 helai baju yang diproses memakan masa tiga atau empat hari untuk siap sepenuhnya. Setiap rekaan dilakar terlebih dulu sebelum dijelmakan secara realiti.

Rekaan baharu akan dihasilkan sebanyak satu unit sahaja bagi memastikan ia benar-benar tercipta mengikut jangkaan asal dan berpotensi untuk dipasarkan.

Cuaca menjadi peranan utama kepada keseluruhan proses. Selepas kesemua baju dicelup warna mengikut paten tersendiri, ia perlu dijemur di bawah matahari. Bantuan sinar suria amat penting bagi menghasilkan efek terbakar dan pengembangan warna secara semula jadi.

Sekiranya hujan, proses penghasilan tetap dijalankan tetapi hasilnya kurang memuaskan berbanding pakaian yang dijemur di bawah terik mentari.

Langkah 27 Legacy dalam menyemarakkan fesyen jalanan tempatan dilihat kian cemerlang. Perancangan membuka sebuah studio, konsep butik dalam rumah diatur rapi dan dijangka bakal direalisasikan menjelang hujung tahun ini.

Setakat ini, selain pembelian dalam talian, item keluaran 27 Legacy juga boleh didapati di butik jenama tempatan seperti The Stone Street Store, Kuantan, Pahang; Rare Distro, Bangi; Bragamen, Uptown Puchong; Uptown Damansara, Selangor dan Brandesign Bazaar, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.

Nuansa pengantin Alia Bastamam

Posted:

Nuansa pengantin Alia Bastamam

Nuansa pengantin Alia Bastamam

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
(Yang menyertai delegasi Malaysia ke Forum Filem Antarabangsa Tashkent dan Minggu Kesenian Style.Uz di Tashkent, Uzbekistan)


ALIA mengekalkan rekaan klasik tetapi pada masa yang sama ringkas serta selesa dipakai.


JAUH diterbangkan ke pusat perkembangan Laluan Sutera, Tashkent, Uzbekistan oleh The Rafflesia Pearl Centre sempena Minggu Kesenian Style.Uz dan Forum Filem Antarabangsa Tashkent Golden Guepard pada 23 Oktober lalu, Koleksi Pengantin 2013 oleh pereka fesyen, Alia Bastamam berjaya mencuri perhatian.

Tanpa perlu bermain dengan perincian manik yang sarat cuma cukup sekadar tumpuan di beberapa bahagian tertentu, gaun pengantin Alia kali ini lebih memfokuskan potongan dan rekaan yang klasik.

Koleksi pengantin pertama rekaannya mengimbau kembali kegemilangan tarikan klasik daripada beberapa tempoh waktu yang dipersembahkan dengan suntikan moden.

Tidak hanya menumpukan potongan klasik semata-mata, Alia tidak meninggalkan signatur pelengkap gaya mewah dan anggun seperti racerback, wrapping, toga dan high slit.

Pesona Hollywood

Menerusi koleksi itu, Alia menterjemahkan populariti gaya busana pengantin lagenda Hollywood, Liz Taylor dalam versi moden dan lebih ringkas.

"Ciri-ciri paling penting rekaan ialah memastikan pengantin rasa selesa," ujar Alia.

Selain itu, dia turut membuat rujukan gaya sosialit New York, Minnie Cushing ketika majlis perkahwinannya bersama jurufoto terkemuka, Peter Beard sekitar tahun 1967.

Cushing ketika itu menyarung busana sutera potongan ringkas pereka tersohor, Oscar De La Renta yang bertatahkan perincian manik sebagai penambah seri pengantin.

Dalam pada itu, Alia memberikan fokus ringkas dan estetik bersih daripada imej seksi yang mempesonakan Taylor sekitar tahun 1960-an.

AURA baju pengantin rekaan Alia Bastaman memberikan nilai tambah kepada penampilan si pemakai.


Koleksi pengantin itu juga dipengaruhi pergerakan seni art deco yang popular sebelum Perang Dunia Kedua.

Contohnya, busana satin dengan perincian tampalan renda sekeliling leher dan bahu selain potongan lengan manset mengekalkan keaslian saduran idea itu.

Rekaan itu juga mencerminkan gaya bintang Hollywood terkenal sekitar tahun 1930-an antaranya Greta Garbo, Ingrid Bergman dan Katherine Hepburn.

Variasi

Menurut Alia, ciri-ciri kewanitaan merupakan tumpuannya.

"Untuk rekaan koleksi pengantin kali ini, cetusan inspirasi datang daripada pengantin yang pernah digayakan sebelum ini.

"Selepas mengetahui cita rasa, gaya serta karakter wanita tersebut, saya faham kenapa mereka kembali kepada saya," tambahnya.

Koleksi Pengantin 2013 kali ini menerapkan kepelbagaian dan pilihan.

Terdapat rekaan baju kurung menarik untuk majlis akad nikah yang dilengkapi tudung, kaftan dan busana pengantin yang sesuai untuk majlis di tepi pantai.

Bagi pengantin yang inginkan majlis konservatif lewat petang dalam variasi warna yang pelbagai, koleksi pengantin Alia pastinya menjanjikan aura luar biasa bakal raja sehari.

Senang bicara, koleksi itu moden, kemas, ringkas, elegan dan menawan.

Losyen memutih segera Vaseline

Posted:

Losyen memutih segera Vaseline

Losyen memutih segera Vaseline

Oleh NIZHA PERIASWAMY


PENGURUS Jenama Kediaman dan Penjagaan Peribadi Unilever, Ho Shu Ting (dua dari kanan) bersama model-model bergambar dengan losyen pemutih Vaselin Instant Fair pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


MEMILIKI kulit yang cerah, tona sekata dan berseri menjadi idaman setiap wanita, khususnya mereka yang berada di Asia. Ini kerana iklim di rantau ini yang panas menyulitkan peluang untuk memperoleh kulit yang diidamkan. Oleh yang demikian, kita terpaksa melayan kulit secara intensif agar ia kelihatan cantik, pada masa yang sama, kekal sihat.

Lembut, berseri dan cerah, semua sifat ini bukan sahaja berpusat pada wajah malah perhatian yang sama juga harus diberikan kepada seluruh kulit termasuk badan, kaki dan tangan. Bukankah agak pelik jika hanya wajah seseorang itu kelihatan putih melepak tetapi kaki dan tangan pula kering dan gelap? Lebih-lebih lagi jika pakaian yang dikenakan mendedahkan bahagian tangan dan kaki itu?

Mengambil kira semua faktor tersebut, jenama penjagaan kulit terkemuka, Vaseline memperkenalkan losyen baharu, Vaselin Instant Fair, yang bukan sahaja melembutkan kulit, malah memberikan pencerahan dan seri dengan segera, walau pada sekali sapuan. Berbunyi menarik dan pada masa yang sama pelik, tetapi ia dibuktikan sendiri model-model yang mendemonstrasi pemakaian losyen itu pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penyelesaian pemutihan kulit baharu Vaseline itu mempunyai dua faedah berganda, iaitu memberikan wanita pencerahan segera pada kulit dan menjadikan kulit empat kali lebih cerah.


LOSYEN terbaharu Vaseline ini dikatakan mampu memutihkan kulit dengan harga bermula daripada RM8.90.


"Kami sentiasa memperbaharui produk kami untuk memberikan penyelesaian penjagaan kulit yang berkesan. Vaseline memahami keperluan wanita Malaysia yang mahukan kulit lebih cerah. Menyedari hakikat itu, losyen Vaselin Instant Fair dihasilkan untuk memberikan wanita dorongan keyakinan yang lebih dengan kulit yang cerah secara segera dan berterusan," kata Pengurus Jenama (Penjagaan Kulit) Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd. (Unilever), Chong Yen Nee.

Tidak seperti penyelesaian pencerahan yang lain, losyen badan Vaseline Instant Fair diperkaya dengan teknologi pencerahan, pemantul mikro, yang berupaya memantulkan cahaya daripada permukaan kulit agar kelihatan cerah berseri.

Lebih daripada itu, elemen pencerah kulit bioaktif pula mencerahkan semula sel kulit gelap agar kulit semakin cerah dengan penggunaan berterusan.

Losyen Vaselin Instant Fair merupakan tambahan terbaharu dalam rangkaian Vaseline Healthy White sedia ada. Ia boleh didapati di pasar raya besar dan farmasi terkemuka pada harga runcit yang disarankan iaitu RM8.90 bagi 100 mililiter (m)l, RM15.90 bagi 200ml dan RM22.00 untuk 400ml.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved