Isnin, 4 November 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Hubungan mertua, menantu bak rakan

Posted:

Hubungan mertua, menantu bak rakan

Hubungan mertua, menantu bak rakan

Oleh ALIF ABU BAKAR

MULUTNYA riuh, ada saja topik yang ingin dibualkan. Kepada yang pertama kali bersua muka dengan Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar pasti terkejut dengan kekecohan personaliti pelakon, pengacara dan kini bergelar penyampai radio itu. Apa yang kita saksikan di kaca TV, itulah diri sebenar wanita berumur 39 tahun itu.

Keramahan pekerti Sharifah Shahirah yang mesra disapa Shahirah itu membuatkan dia disenangi ramai. Dia tidak lokek senyuman dan suka berhumor sehingga berderai tawa individu sekeliling. Barangkali karakter bersahaja dan ceria itu membuatkan ibu kepada empat cahaya mata itu kekal jelita.

"Saya bukan kelompok wanita yang ada rejim kecantikan tertentu apatah lagi nak bersolek. Kalau tiada acara istimewa, penggambaran atau majlis yang melibatkan kerja, memang saya tidak akan mengoles solekan," ujar Shahirah sambil ketawa kecil.

Penjagaan wajah Shahirah juga mudah. Keutamaan diberikan kepada kesesuaian produk memandangkan kulitnya jenis yang berjerawat. Begitupun, dia tidak meletakkan spesifikasi tertentu terhadap produk kecantikan yang digunakan.

Selagi produk itu boleh mengekalkan kesihatan kulit wajahnya, ia sudah memadai. Malah tidak pernah terdetik di dalam hatinya untuk mencuba alternatif kecantikan seperti vitamin C atau kolagen.

"Petua kecantikan peribadi memang tidak ada. Tambahan pula sekarang saya mengalami masalah tidur dan hanya lena selama lima jam. Bila bangun pagi, saya minum air kosong dan Nescafe.

"Rutin pagi saya selalunya di rumah sahaja sebab tugas saya di konti radio bermula pukul 3 petang. Lepas habis kerja saya terus ke pusat kickboxing di kawasan perumahan.

"Sudah tiga bulan saya lakukan aktiviti kecergasan ini tetapi saya buat gerakan mudah asalkan dapat berpeluh," jelas Shahirah yang bertugas sebagai penyampai radio di stesen UFM pada frekuensi 101.3fm sejak tujuh bulan lalu.

Fokus kerjaya Shahirah dalam dunia radio memberikannya sedikit ruang untuk berehat dan bersantai bersama keluarga terutamanya pada hujung minggu. Buat sementara waktu, dia mahu berehat dalam bidang lakonan.


MARIA (tengah) mengakui lebih banyak berkomunikasi dengan Shahirah (kiri) berbanding anaknya sendiri, Ijoy.


Gaya kasual

Menyentuh cita rasa fesyen isteri kepada Zulkifly Azari atau dikenali dengan panggilan Ijoy itu, Shahirah memberitahu dia cenderung kepada fesyen kasual dan gaya ringkas. Baju T dan seluar jean merupakan definisi melaram memadai bagi dirinya.

Imej muda itu masih menjadi pilihan Shahirah. Tanpa penambahan aksesori berlebihan, dia gemar bersederhana tanpa mempedulikan trend-trend baharu yang sering diikuti orang.

Bagi Shahirah dia kurang gemar aksesori. Jika teringin bergaya lebih, lazimnya dia hanya memakai subang atau anting-anting. Jika kebanyakan wanita suka membeli barang mengikut trend terkini, Shahirah pula gemar bertentangan trend.

Kasut tapak rata

Shahirah tidak menafikan ramai wanita terkenal dengan minat gilakan kasut tetapi tidak bagi dirinya. Sebaliknya, dia lebih selesa dengan kasut bertapak rata dan hanya menyarungkan kasut tumit tinggi untuk majlis-majlis tertentu.

"Dari segi barang berjenama mewah, ia subjektif kepada individu. Secara peribadi, saya juga ada keinginan untuk memiliki barang berlabel eksklusif tetapi saya hanya beli kalau ada duit lebih.

"Kalau duit cukup-cukup untuk keperluan harian, buat apa kita menyusahkan diri beli barangan tersebut? Jika tidak mampu tak payah beli dan pakailah mengikut kemampuan," saran Shahirah yang tidak berasa istimewa jika memakai jenama mewah.

Ibu mertua Shahirah, Datin Maria Arshad pula mempunyai falsafah kecantikan yang berbeza. Begitupun, bekas aktres yang pernah mencipta nama sekitar tahun 1980-an itu tetap berkongsi kebiasaan yang sama seperti Shahirah apabila membabitkan solekan.

CIRI estrogen dalam produk Nuvafemme mengembalikan kesihatan kulit, payudara dan tulang.


Wanita berusia 55 tahun itu mengakui jarang bersolek walaupun dengan bedak asas ketika keluar rumah. Namun, katanya, dia melihat keperluan solekan itu berdasarkan tempat yang ingin ditujui. Jika ke tempat biasa seperti pasar raya, memang solekan itu langsung tidak penting tetapi ia harus dipakai sekiranya menghadiri majlis istimewa.

Perihal wajah pula amat dititikberatkan Maria. Setiap hari, dia pastikan wajahnya mendapat penjagaan lengkap pada waktu pagi dan malam. Pencuci, pelembap dan penyegar menjadi tiga item wajib dalam rejim kecantikan wajah Maria.

"Penat macam mana sekalipun, jangan malas membersihkan muka," pesannya ringkas.

Selain itu, Maria turut mendedahkan rahsia kelangsingan tubuhnya. Tanpa memerlukan penjagaan makan secara serius, Maria masih berupaya mengimbangi berat badannya walaupun telah memasuki usia 50-an.

"Tidak ada istilah diet. Saya masih lagi makan nasi seperti biasa. Kadang-kadang badan naik juga tetapi saya bakar semula kalori menerusi senaman aerobik.

"Setiap pagi saya menyertai kumpulan aerobik di Ukay Perdana, Ampang, Selangor selama satu jam. Kelas bermula pukul 10 pagi dan hanya ditutup pada hari Ahad," teruja Maria bercerita ketika ditemui Stailo di kediaman anak lelaki dan menantunya, Shahirah baru-baru ini.

Tukar beg tangan

Naluri membeli-belah masih kuat dalam diri Maria. Cuma dia lebih suka berbelanja bersama rakan-rakan berbanding pergi sendirian.

Berbeza dengan Shahirah, Maria menyifatkan dirinya sebagai seorang yang gemarkan kasut khususnya sepatu baji dan tumit tinggi. Katanya: "Kasut memang saya selalu tukar tetapi tidak beg tangan. Kadang-kadang Shahirah tegur suruh saya tukar beg tangan sebab pakai lama sangat."

HUJUNG minggu merupakan waktu yang dikhususkan Shahirah untuk keluarga.


Jika kebanyakan ibu mertua dan menantu perempuan sering berselisih pendapat, namun hal itu tidak dirasai oleh Maria dan Shahirah. Maria yang mempunyai tujuh orang anak dan lima cucu menyifatkan Shahirah sebagai individu yang boleh dibuat rakan.

"Sebenarnya saya lebih banyak telefon Shahirah daripada Ijoy. Bila ada kecemasan atau perkara yang saya nak tahu, saya hubungi Shahirah dan dia sangat membantu.

"Menjaga hubungan mertua dan menantu ini mudah. Saya jarang menyibuk dalam hal rumah tangga anak-anak saya dan seboleh-bolehnya tidak mahu mencelah. Saya bagi kebebasan kepada mereka. Tambahan pula hubungan saya dengan ibu bapa Shahirah cukup rapat," dedah Maria.

Apabila diajukan pertanyaan tentang kerinduannya terhadap bidang seni, Maria hanya tersenyum. Kehidupan sekarang menguruskan anak-anaknya yang masih bersekolah membuatkan Maria memilih untuk sepi daripada kerjaya lamanya.

"Ada juga orang panggil tapi saya tolak sebab saya sibuk menghantar dan mengambil anak sekolah dan menguruskan keluarga," luah Maria yang menghargai orang ramai yang masih mengenalinya di tempat awam.

Transformasi jejaka metropolitan

Posted:

Transformasi jejaka metropolitan

Transformasi jejaka metropolitan

AKSESORI serba hitam seperti sneaker, jam tangan, jaket dan kaca mata secara automatik memaparkan karakter maskulin.


KONSEP pengembaraan menjadi asas. Tiga negara di benua Eropah iaitu Belanda, Belgium dan United Kingdom pula dipilih sebagai teras penggerak. Paduan dua elemen itu lantas menghidupkan gaya ranggi buat sang jejaka moden. Koleksi baharu keluaran Alfio Raldo yang merangkumi jam tangan, tali pinggang, kasut dan kaca mata sedia untuk membentuk penampilan segak lelaki metropolitan.

Selari dengan peredaran fesyen, Alfio Raldo tidak ketinggalan memenuhi keinginan kaum Adam yang mengutamakan gabungan penampilan dan karakter sebagai perlambangan diri.

Teknik rekaan, perincian dan pemilihan aksesori yang memaparkan ciri-ciri moden serta padanan rona maskulin seperti hitam dan coklat bata sekali gus mewakili karakter kelelakian individu secara semula jadi.

Penataan blok warna pada koleksi kali ini juga unik untuk dicuba golongan jejaka. Cipta gaya retro bersama kemeja merah dan biru berkotak yang berlatarkan warna putih. Tambah sentimen old school pada gaya itu dengan memadankan seluar jean biru tua.

Sempurnakan keagungan gaya klasik menerusi kaca mata hitam agro dinamik Alfio Raldo dan jam tangan bertali kulit hitam yang menawan.

Bagi gaya lebih santai, sarungkan kemeja hijau polos dan satukan bersama celana hitam atau jean lusuh. Jam tangan kulit rona coklat berbentuk bujur pula menjadi pelengkap gaya yang ideal. Tidak lupa sneaker hitam sebagai pengimbang konsep kesederhanaan.

Mahukan fesyen formal maskulin? Apa kata anda memilih sut hitam bersama sepatu hitam arang ketika melangkah ke pejabat. Anda juga boleh memadankan aksesori bersesuaian seperti jam tangan rona coklat dan kaca mata hitam apabila menghadiri majlis koktel atau acara makan malam eksklusif.

Sesekali tampil berani mengenakan baju berona lembut seperti merah jambu. Tonjolkan kebijaksanaan anda dalam berfesyen dengan memadankannya bersama jean biru tua, tali pinggang coklat hazel dan jam tangan warna hitam. Sempurnakan gaya romantis anda menerusi beret berona biru.

Kolagen dalam bar coklat

Posted:

Kolagen dalam bar coklat

Kolagen dalam bar coklat


COKLAT dan minuman kolagen CocoBelle sesuai untuk individu berumur 25 tahun ke atas.


TREND pengambilan kolagen sebagai pemulih keanjalan dan keremajaan kulit telah lama mendominasi keinginan kaum Hawa yang dahagakan kejelitaan berpanjangan. Harapan untuk mendapatkan kulit bebas kedutan dipendam tinggi golongan wanita yang memilih kolagen sebagai alternatif prosedur kecantikan.

Daripada suntikan kepada minuman yang diisipadukan bersama kolagen, pasaran terhadap produk sebegini kian rancak, biarpun ramai yang kurang memahami keperluan dan kepentingan kolagen kepada manusia.

Secara saintifik, kolagen merupakan protein dalam badan dan mewakili 25 peratus daripada keseluruhan protein. Peningkatan usia mendorong kepada penurunan kadar kolagen. Proses berterusan itu memberi kesan kepada kadar kedutan kulit.

Kebimbangan wanita melewati fasa wajah berkedut kemudiannya melahirkan pelbagai teknologi kecantikan berasaskan kolagen. Menerusi rangkaian alternatif tersebut, amaun kolagen yang hilang seiring pertambahan umur digantikan dengan kolagen baharu. Ia sekali gus memperlahankan proses penuaan seseorang.

Pengambilan protein

Hari ini, kandungan kolagen dapat diperoleh menerusi satu bar coklat. Pengenalan produk coklat kolagen CocoBelle keluaran Dzar Holdings Sdn. Bhd. itu telah membuka lembaran baharu dalam rawatan kecantikan yang sebelum ini hanya dapat dicapai melalui penggunaan kosmetik atau serbuk minuman.

Menggunakan coklat gelap asli yang berkualiti, kandungan lima gram (g) kolagen dalam coklat kolagen CocoBelle cukup untuk memulakan hari anda dengan penuh bertenaga.

Pengerusi Eksekutif dan pengasas Dzar Holdings, Datuk Zawati Abd. Rahman menjelaskan, penghasilan bar coklat kolagen bertujuan memudahkan pengambilan protein itu dalam kalangan individu yang sibuk bekerja.

"Kalau perlu pergi ke tempat yang jauh contohnya, bar coklat ini sangat praktikal untuk dibawa dan boleh dimakan pada bila-bila masa," ujar Zawati ketika ditemui pada majlis pelancaran syarikat dan produk-produknya di Bora Ombak, Ampang, Selangor.


SITI NURHALIZA hadir merasmikan majlis pelancaran produk coklat kolagen CocoBelle di Ampang, Selangor baru-baru ini.


Sebagai pelengkap kepada bar coklat tersebut, minuman kolagen berperisa oren CocoBelle turut ditawarkan kepada orang ramai. Penggunaan tiga bahan terbaik termasuk kolagen marin dari Jepun menjadikan dua produk berasaskan kolagen CocoBelle itu lebih berkualiti berbanding produk sedia ada dalam pasaran.

Pensijilan halal yang diperoleh secara sah produk-produk CocoBelle juga menambah keyakinan pelanggan untuk mencuba barangan keluaran Dzar Holdings tersebut.

"Kami mengutamakan kualiti dan kuantiti yang kami tawarkan juga lebih banyak berbanding produk lain. Setiap uncang minuman kolagen CocoBelle ialah seberat 26g yang cukup untuk penyediaan segelas air," jelas Zawati.

Selain dihasilkan sebagai alternatif kecantikan, coklat dan minuman kolagen CocoBelle untuk individu berumur 25 tahun ke atas itu juga mempunyai faedah kesihatan kepada tubuh.

Menurut Zawati, pengambilan coklat pada waktu pagi dan minuman kolagen CocoBelle menjelang malam dapat membantu menguatkan tulang dan sendi. Katanya: "Saya kurang bersetuju kalau orang cakap kolagen hanya untuk tujuan kecantikan sedangkan ia banyak manfaat kesihatan.

"Siapa yang ingin sakit bila tua, jadi dengan adanya produk sebegini, ia dapat membantu kita melewati proses penuaan dengan lancar."

Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang hadir merasmikan acara tersebut berpendapat, produk kecantikan berasaskan makanan kesihatan memang memberi kebaikan kepada individu.

Bagaimanapun, ulas Siti, setiap orang perlu memastikan produk yang diambil mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan mengenal pasti isi padu bahan utama yang digunakan.

– ALIF ABU BAKAR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved