Sabtu, 5 Oktober 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Rawat pesakit tanpa bantuan ubat

Posted:

Rawat pesakit tanpa bantuan ubat

Rawat pesakit tanpa bantuan ubat


AHMAD KHAIRIL (kiri) akan memberitahu pelanggannya bahawa pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh akan dilakukan terlebih dahulu di klinik gimnasiumnya.


JIKA dilihat dari luar, Klinik Ideal di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur ini seakan-akan sama sahaja seperti klinik-klinik lain.

Namun, sangkaan tersebut mulai meleset apabila kru Jurnal mendapat tahu klinik tersebut turut menyediakan perkhidmatan klinik gimnasium perubatan selain beroperasi seperti klinik sedia ada.

Pemiliknya, Dr. Ahmad Khairil Faizi Rosli memberitahu, klinik yang dibuka pada penghujung bulan Oktober tahun lalu itu menggabungkan konsep klinik dan gimnasium seperti yang sudah dipraktikkan di negara-negara Eropah serta Amerika Syarikat.

"Sebenarnya, konsep itu sudah lama dipraktikkan di negara-negara Barat yang menggabungkan klinik dan gimnasium. Namun, ia bukan sahaja digunakan untuk melakukan fisioterapi tetapi juga sebagai preskripsi tambahan dalam rawatan penyakit-penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, lemah jantung, obesiti dan strok.

"Semua program di gimnasium perubatan yang terdapat di klinik itu adalah berdasarkan garis panduan daripada pertubuhan Kolej Perubatan Sukan Amerika," ujar graduan dari Universiti Edinburgh, Scotland itu.

Pertubuhan itu mengandungi 45,000 anggota dan ditubuhkan pada tahun 1954.

Ahmad Khairil berkata, idea untuk mempraktikkan konsep tersebut diperoleh berdasarkan pengalaman ketika dia bekerja di London selain melalui pembacaan sebelum mengambil keputusan untuk membawa konsep yang sama ke Malaysia.

"Penubuhan klinik dan gimnasium kesihatan ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan pesakit pada ubat-ubatan seterutamanya untuk penyakit-penyakit yang kronik selain memberi alternatif ke atas rawatan kesihatan serta pengambilan ubat-ubatan.

"Jika mereka benar-benar memerlukan bantuan ubat-ubatan sebagai sokongan, kita akan memastikan ia diambil pada dos yang rendah.

"Buku-buku perubatan sendiri amat menekankan gaya hidup yang sihat diamalkan selain dibantu oleh diet sihat dan ubat-ubatan tetapi senario ini berbeza di Malaysia kerana ubat-ubatan dijadikan pilihan pertama," katanya.

Sesi konsultasi

Menurutnya, pada permulaan perniagaan, ada juga individu yang ragu-ragu dengan konsep yang dibawanya kerana ia masih baharu di Malaysia.

"Alhamdulillah, sambutan yang menggalakkan diterima pada tiga bulan pertama klinik gimnasium perubatan ini beroperasi," ujarnya.

Ahmad Khairil berkata, dia akan melakukan penyelidikan mengenai pesakitnya terlebih dulu sebelum sebarang program kesihatan dilakukan.

Katanya, sebelum para pesakit menjalani program di klinik gimnasium perubatan itu, mereka terlebih dulu akan menjalani rawatan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti penyakit, tahap penyakit dan ubat-ubatan yang perlu diambil.

"Saya pernah berdepan dengan situasi apabila seorang pesakit yang mempunyai penyakit kencing manis, kolesterol dan buah pinggang yang menjalani ujian darah bagi mengetahui tahap penyakit yang dialaminya.

"Saya dapati tahap bacaan buah pinggangnya tidak normal dan pada keesokan harinya saya turut melakukan ujian darah.

"Tetapi, keputusan yang diperoleh menjadi semakin teruk berbanding sebelumnya.

"Justeru, saya mengambil langkah dengan menghentikan pemberian ubat-ubatan yang diambilnya dan memulakan program di klinik gimnasium perubatan. Alhamdulillah, selepas dua bulan dia menjalani program, tahap bacaan buah pinggangnya menjadi normal," katanya yang mempunyai seramai 87 orang pesakit yang menerima rawatan di klinik gimnasium perubatan itu.


SETIAP sesi akan disertai oleh doktor dan jurulatih yang berpengalaman di klinik gimnasium milik Ahmad Khairil.


Menurutnya, ada antara pesakitnya yang tidak dibenarkan mengambil insurans hanya kerana mereka mempunyai tekanan darah tinggi yang kronik tetapi selepas menjalani program yang diketengahkannya itu, tekanan darah tinggi mereka menjadi normal.

Dia menjelaskan, cara pengendalian setiap pesakit bagi program klinik gimnasium perubatan itu berbeza berdasarkan kepada penyakit yang dialami, tahap penyakit serta kemampuan pesakit untuk melakukan latihan fizikal yang sudah diatur untuk mereka.

"Setiap pesakit akan menjalani sesi konsultasi selama satu jam yang melibatkan panduan kesihatan, rawatan senaman fizikal dan konsultasi diet yang betul.

"Kita tidak menjalankan sesi konsultasi dalam kaedah berkumpulan sebaliknya memfokuskan kepada seorang pesakit sahaja pada satu-satu masa kerana setiap pesakit mempunyai matlamat yang berbeza.

"Pada sesi konsultasi itu, pesakit akan ditunjukkan dengan graf mengenai keadaan diri mereka selain menjalani sesi senaman dan kaunseling pemakanan," tambahnya.

Dia memberitahu, para pesakit bakal memperoleh keputusan yang bagus sekiranya mereka mengikuti apa yang telah disarankannya.

Konsisten

Ujarnya, kos sebanyak RM60 hingga RM75 dikenakan kepada pesakit bagi setiap sesi.

Klinik itu menawarkan program tersebut berdasarkan pakej iaitu untuk 12 sesi, bayaran yang dikenakan ialah RM900.

Bayaran untuk program yang mengandungi 18 sesi ialah RM1,300 dan para pesakit yang mengikuti 24 sesi dikenakan bayaran sebanyak RM1,680.

"Klinik gimnasium perubatan ini terbuka kepada semua peringkat umur dan terpulang kepada para pesakit untuk mengambil sesi-sesi itu berdasarkan nasihat doktor mengikut tahap penyakit yang dialami mereka.

"Selain itu, kita meletakkan harga yang jauh lebih murah berbanding gimnasium yang sedia ada bagi memberi pilihan kepada para pelanggan.

"Peralatan yang digunakan di gimnasium perubatan ini juga di import dari luar negara seperti Itali," ujarnya.

Sudah menjadi adat perniagaan, pasti terdapat cabaran dan kliniknya juga tidak terkecuali kerana ia terpaksa bersaing dengan gimnasium-gimnasium yang sudah terkenal.

"Selain cabaran dari segi persaingan, kita juga turut mempunyai cabaran untuk melatih para pesakit supaya hidup secara sihat dan berdisiplin.

"Saya sering tekankan tentang perkara itu perlu dilakukan secara konsisten supaya para pesakit mencapai tahap kesihatan yang bagus. Tetapi, ada antara pesakit yang tidak mahu meneruskan sesi selepas mereka memperoleh keputusan yang diinginkan.

"Ada juga yang sudah membayar pakej penuh untuk menyertai program gimnasium perubatan tetapi dia hanya menyertai sekali sesi sahaja.

"Malah, pesakit itu juga lebih selesa bergantung kepada ubat-ubatan berbanding melakukan senaman walaupun mempunyai penyakit tekanan darah tinggi yang kronik ketika berumur 33 tahun," jelasnya.

Firdaus memberitahu, pihaknya turut menawarkan program menaikkan berat badan untuk pesakit yang mempunyai berat badan rendah yang tidak normal.

Tambahnya, pesakit tidak perlu bimbang tentang keselamatan mereka ketika melakukan senaman kerana setiap sesi konsultasi akan disertai oleh doktor dan jurulatih yang berpengalaman selama lima tahun dalam bidang kecergasan iaitu Mohd. Rakin Abdul Rahim, 28.

"Sekiranya berlaku kecemasan, para pesakit tidak perlu khuatir kerana doktor akan ada bersama mereka sepanjang sesi berlangsung.

Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Faidzi Abdul Aziz, 34, dan Marlia Othman, 33, klinik gimnasium perubatan itu menawarkan konsep yang unik yang tidak pernah ditawarkan di klinik lain.

"Saya mula menyertai klinik gimnasium perubatan ini kira-kira tiga bulan yang lalu untuk program kecergasan dan penurunan berat badan.

"Sebelum ini, saya pernah juga mendaftar sebagai ahli di sebuah pusat gimnasium tetapi saya tidak mendisiplinkan diri bagi memperoleh berat badan yang diingini.

"Selain lokasinya yang berdekatan dengan rumah, jadual waktu program yang fleksibel juga menjadi punca saya memilih klinik gimnasium perubatan ini sebelum mencadangkannya kepada suami untuk mengikut program menaikkan berat badan dan merawat masalah kolesterol kronik yang dialaminya selama enam tahun," ujar ibu kepada empat orang anak ini.

Seorang ahli perniagaan, Azlin Othman, 43, berkata, sejak menyertai klinik gimnasium perubatan itu, dia merasakan terdapat perubahan di dalam dirinya yang sebelum ini kerap letih apabila melakukan kerja.

"Saya tiada masa untuk ke gimnasium kerana sibuk menguruskan perniagaan tetapi apabila mendapati badan kerap letih, saya merasakan perlu melakukan sesuatu sebelum terlewat apatah lagi di peringkat umur seperti ini selain jadual programnya sangat fleksibel," jelasnya.

Misteri cahaya berbentuk bulat

Posted:

Misteri cahaya berbentuk bulat

Misteri cahaya berbentuk bulat


CAHAYA ganjil yang berbentuk bulat dapat dilihat oleh sejumlah orang di beberapa tempat di Zimbabwe.


SEJAK lebih satu abad lalu, satu cahaya misteri yang berbentuk bulat kelihatan di banjaran gunung Ozark di tengah Amerika Syarikat (AS).

Kawasan pergunungan itu terletak di selatan negeri Missouri dan timur laut negeri Oklahoma di AS.

Fenomena itu dikenali sebagai lampu hantu telah menyebabkan ramai penduduk tempatan bingung kerana mereka tidak tahu punca yang menyebabkan kemunculan cahaya tersebut pada waktu malam.

Cahaya tersebut kelihatan terapung-apung di kawasan hutan di kawasan pergunungan itu yang dikenali sebagai Devils's Promenade yang terlepas di sempadan barat daya Missouri dengan timur laut Oklahoma.

Kawasan itu terletak tidak jauh dari bandar Hornet, Missouri.

Cahaya lampu ganjil itu dikenali dengan pelbagai nama seperti Ozark Spook Light, Hollis Light, Hornet Spook Light, Hornet Ghost Light, Joplin Ghost Light, Devil's Jack-O'Lantern dan Tri-State Spook Light.

Menurut portal berita Examiner.com kelmarin, pada tahun 1948, Kor Jurutera Tentera AS telah menyiasat tentang cahaya misteri itu.

Bagaimanapun, pihak tentera itu gagal menemui punca yang menyebabkan cahaya tersebut muncul.

Pihak kerajaan AS memutuskan punca kemunculan cahaya itu masih tidak diketahui.

Baru-baru ini, kumpulan Pemburu Hantu Missouri berjaya merakamkan gambar cahaya misteri itu bagi membuktikan tentang kewujudannya.

Berdasarkan rakaman itu yang turut disiarkan di laman YouTube, terdapat dua cahaya ganjil di atas kawasan pergunungan tersebut.

Satu cahaya bulat itu kelihatan berkelip-kelip.

Terdapat satu lagi cahaya kecil yang berbentuk hampir bulat bersinar-sinar di langit.

Namun, bentuk cahaya itu tidak dapat dilihat dengan sepenuhnya kerana ia dihalang dengan ketinggian banjaran gunung tersebut.

Cahaya yang kecil itu kadangkala membesar dengan tiba-tiba.

Klip video yang menunjukkan cahaya itu dimuat naik sejak 29 September lalu.

Antara teori lain yang mengaitkan kewujudan cahaya itu adalah ia disebabkan pembiasan lampu kereta dan papan tanda iklan.

Namun, teori itu tidak boleh digunakan kerana cahaya lampu itu wujud sejak sebelum adanya papan tanda iklan.

Cahaya itu juga telah muncul sebelum kereta dicipta.

Ia telah wujud sejak tahun 1866 yang dapat dilihat dari sebatang jalan raya di kawasan luar bandar di kawasan berdekatan cahaya misteri itu muncul.

Terdapat cerita legenda yang menyatakan dua cahaya itu adalah roh dua Orang Asli Quapaw yang meninggal dunia di kawasan tersebut.

Ada juga cerita legenda yang menyatakan bahawa lampu itu merupakan roh seorang ketua Orang Asli Osage yang kepalanya dipenggal di kawasan tersebut.

Roh tersebut dikatakan mencari kepalanya yang hilang menyebabkan cahaya itu muncul.

Cahaya itu muncul pada pukul 10 malam waktu tempatan walaupun terdapat angin kuat dan hujan.

Cahaya misteri yang berbentuk seperti bulan juga dapat dilihat oleh sejumlah penduduk di Zimbabwe pada 29 September lalu.

Ia kelihatan bergerak di langit di antara pukul 7 dan 7.15 malam waktu tempatan.

Sejumlah penduduk di Karoi, Mashonaland Barat, Gunung Darwin di Mashonaland dan Mutoko dan Mashonaland Timur mendakwa mereka melihat cahaya tersebut.

Cahaya tersebut berjaya dirakamkan oleh penduduk dan disiarkan di YouTube.

Sebahagian penduduk juga menyaksikan cahaya ganjil itu di Botswana, Afrika Selatan dan Malawi di Afrika.

Ada beberapa penduduk mendakwa ia merupakan objek terbang tidak dikenali (UFO).

Cahaya itu muncul selama dua minit.

Menurut portal berita New Zimbabwe.com pada 1 Oktober lalu, seorang pensyarah sains dan pemerhatian bumi di Universiti Zimbabwe, Prof. Amon Murwira berkata, cahaya itu mungkin berasal daripada serpihan satelit yang sedang mereput atau daripada sebuah peralatan untuk melonjakkan ketinggian roket ke angkasa lepas.

Suara misteri sapa kehadiran

Posted:

Suara misteri sapa kehadiran

Suara misteri sapa kehadiran

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

SEORANG lelaki di Kampung Jabda Baik, Bentong, Pahang, Rozi Sarip memiliki pengalaman selama 13 tahun menjadi pemandu arah pendaki-pendaki yang ingin mendaki Gunung Nuang melalui kampung kelahirannya.

Lelaki yang gemar tersenyum ini pernah melakukan pelbagai pekerjaan seperti pekerja kontrak, juruukur jalan dan pemetaan hutan.

Namun, selepas lebih 10 tahun merantau sekitar Semenanjung Malaysia mencari rezeki, lelaki yang mempunyai lima orang zuriat ini kembali ke kampung asalnya.

Hidupnya agak sederhana. Selain mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, pendapatan utamanya ialah sebagai pemandu arah.

"Jika ada tetamu yang datang ke rumah, saya minta mereka bawa sahaja buah-buahan milik saya pulang kerana kuantitinya terlalu banyak setiap kali tiba musim buah," cerita Rozi.

Namun, lelaki ini ada kisahnya yang tersendiri. Jika mendaki gunung, pasti dia akan memakai baju sejuk dan seluar jean.

Selain itu, Rozi hanya menggunakan selipar sebagai alas kakinya.

Orang bunian

Namun, Rozi juga teruja berkongsi kisah misteri yang pernah dialaminya di Gunung Nuang.

Pada tahun lepas, dia membawa sekumpulan pelajar universiti tempatan mendaki Gunung Nuang.

"Pendakian itu berlaku seperti biasa dan para peserta dapat bermesra dengan Orang Asli yang menetap di kaki bukit yang terletak 5,000 meter dari aras laut.

"Sebelum sampai ke puncak, mereka sempat bermandi-manda di kawasan air terjun selain berkhemah pada waktu malam," ujarnya.

Namun, semasa dalam perjalanan pulang, dia terdengar suara wanita memberikan salam selain bertanya tujuan mereka mendaki gunung itu.

"Suara itu memberikan salam sebanyak tiga kali dan dia bertanyakan tujuan kami ke hutan itu. Pada mulanya, saya hanya mendiamkan diri sebelum menjawabnya.

"Saya berkata dalam hati bahawa rombongan saya sekadar ingin menumpang lalu dan tidak mempunyai niat lain," kata Rozi.

Tambahnya, di hutan belantara itu bukan sahaja dipenuhi dengan flora dan fauna tetapi ia turut didiami makhluk halus dan jin.

"Justeru, adalah sebaik-baiknya kita meminta izin selain membaca doa tertentu (ketika berada di dalam hutan). Bukan menyekutukan Allah SWT tetapi berdoa supaya aktiviti yang dilakukan itu menjadi mudah tanpa sebarang gangguan," katanya.

Orang bunian

Rozi juga tidak dapat melupakan pengalamannya semasa dia menjala ikan di sebuah sungai di Janda Baik.

"Semasa itu, saya pergi menjala ikan bersama sepupu tetapi selepas dua jam, saya masih belum mendapat hasilnya.

"Saya dan sepupu berasa pelik kerana sebelum ini kami mendapat banyak tangkapan ikan kerana sungai itu sememangnya kawasan lubuk ikan," katanya.

Namun, secara tiba-tiba, mereka ternampak kelibat seorang wanita berpakaian warna putih yang sedang membasuh baju.

"Wanita itu memakai baju berwarna putih sambil membasuh baju. Tetapi, saya tidak dapat melihat wajahnya kerana cuaca yang gelap.

"Paling mengejutkan, sepanjang wanita itu membasuh baju, tiada terdapat buih serbuk pencuci sedangkan berdasarkan fikiran logik, jika seseorang itu membasuh pakaian pastinya dia akan menggunakan serbuk pencuci," katanya.

Rozi menganggap wanita itu ialah orang bunian.

"Saya kemudian berkata dalam hati meminta kebenaran untuk menjala ikan di kawasannya untuk menyara keluarga. Secara tiba-tiba wanita itu ghaib.

"Saya kemudian menjala ikan di kawasan wanita tadi dan agak mengejutkan saya dan sepupu memperolehi ikan sebanyak tiga guni beras selain bersaiz besar.

"Tetapi, ada juga syaratnya iaitu tidak boleh ditebar melebihi tiga kali kerana mungkin orang bunian itu juga memakan ikan di kawasan terbabit

"Sebenarnya hutan belantara ini memang banyak misteri yang tersembunyi," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved