Rabu, 23 Oktober 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Berubat sambil melancong

Posted:

Berubat sambil melancong

Berubat sambil melancong

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

DALAM kesibukan kerjaya, Janet Olisa yang menjawat jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Nigeria di Malaysia, beliau tetap mengambil berat terhadap kesihatan ibunya yang menetap di negara asalnya.

Setelah dua tahun menetap di negara ini, beliau tersentak apabila mendapat berita ibu kesayangannya diserang penyakit jantung baru-baru ini.

Atas nasihat rakan-rakan di pejabatnya, beliau telah membawa ibunya yang berumur 80 tahun itu untuk menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

"Arteri kiri jantung ibu saya tersumbat sehingga menyebabkan dia sukar untuk bernafas. Walaupun ramai doktor perubatan di Nigeria, tetapi tiada pakar jantung. Selain itu, pesakit-pesakit di hospital juga terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

"Saya mengambil langkah berani dengan membawa ibu ke Malaysia untuk menerima rawatan di IJN walaupun tahu akan berdepan dengan pelbagai risiko. Anak perempuan saya menemani ibu dari Nigeria ke Malaysia," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Selepas menjalani pembedahan yang menelan belanja sebanyak RM45,000, ibunya semakin pulih dan kini telah kembali ke Nigeria. Selama seminggu ibunya mendapat rawatan tersebut, Olisa amat berpuas hati dengan servis yang disediakan oleh pihak hospital.

Pada masa sama, ibu Janet berpeluang berlibur di sekitar Kuala Lumpur selepas pembedahan tersebut berjaya. Ia juga merupakan satu pengalaman baharu kepada ibunya sewaktu berkunjung ke Malaysia.

IJN merupakan salah satu destinasi tumpuan para pesakit dari rantau Asia untuk membuat rawatan atau pembedahan jantung dan hati. Kunjungan pesakit-pesakit dari luar negara ke Malaysia dikategorikan sebagai pelancongan perubatan dan ia merupakan salah satu penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Selain mendapatkan rawatan dan pembedahan, pesakit berpeluang berkunjung ke kawasan tumpuan pelancongan di Malaysia.

PRINCE COURT menyediakan pelbagai kemudahan untuk pesakit sepanjang menerima rawatan di pusat perubatan itu.


Promosi

Majlis Pelancongan dan Kesihatan Malaysia (MHTC) merupakan agensi utama kerajaan untuk membangunkan dan mempromosi industri pelancongan berteraskan kesihatan dan perubatan di negara ini.

Pengurus Komunikasi Korporat dan Servis Pesakit IJN, Aina Jamil memberitahu, pelancongan perubatan di pusat perubatan tersebut bermula pada tahun 2010.

"IJN menyediakan sebanyak 464 buah katil untuk pesakit dalam satu-satu masa.

"Sejak mula dibuka 21 tahun lalu, IJN telah merawat kira-kira dua juta pesakit dalam dan luar negara sekali gus dikategorikan sebagai pusat perubatan terbesar di rantau Asia," ujarnya.

Menurutnya, pesakit jantung dari Indonesia merupakan antara yang paling ramai berkunjung ke IJN sejak tahun 2010. Negara lain termasuk Myanmar, India, Iraq, Britian dan Yemen.

Pembedahan dan rawatan yang disediakan oleh pihak IJN kepada pesakit terbahagi kepada empat iaitu rawatan pesakit luar, rawatan pesakit, perkhidmatan kesihatan bersekutu dan program saringan eksekutif.

Dua bulan lalu, pihak IJN memperkenalkan satu kaedah rawatan baharu iaitu Payung Nyawa yang bertujuan untuk membantu mengepam jantung pesakit.

Penglibatan IJN dalam MHTC merupakan cara terbaik untuk untuk mempromosikan pelancongan perubatan di Malaysia. Sehingga kini, IJN juga berada dalam radar pesakit-pesakit jantung dari negara Nauru dan Kazakhtan untuk mendapatkan rawatan.

"Pihak IJN dalam proses untuk mempertingkatkan aplikasi dalam laman web rasmi pusat perubatan. Antaranya, ruangan perbualan secara langsung yang boleh diakses pengguna internet seluruh dunia.

"Menerusi ruangan perbualan secara langsung, pesakit boleh bertanyakan sebarang persoalan mengenai penyakit jantung secara terus kepada pihak IJN. Koordinator yang mengendalikan laman web akan mendapatkan penjelasan secara terus daripada doktor bagi menjawab soalan," jelasnya.

Kewujudan hospital-hospital pakar di seluruh negara memberi kemudahan kepada pelancong yang membuat rawatan di Malaysia. Rawatan-rawatan yang ditawarkan di hospital swasta pula merangkumi pelbagai aspek antaranya, pemeriksaan kesihatan, pembedahan dan rawatan ortopedik.

Kolaborasi pelbagai sektor seperti kesihatan, syarikat penerbangan, agensi pelancongan, insurans dan perhotelan membantu pembangunan industri pelancongan yang berteraskan perubatan di Malaysia.


LAYANAN baik pihak hospital menjadi faktor lain yang menarik pesakit dari luar negara untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.


Faktor kos

Pegawai Eksekutif Jualan dan Pemasaran Pusat Perubatan Prince Court (Prince Court), Noraini Abdullah memberitahu, faktor kos pembedahan dan rawatan yang murah di kebanyakan hospital Malaysia ternyata menarik perhatian pesakit dari luar negara.

"Jika dibandingkan dengan Singapura, kos pembedahan dan rawatan di sini jauh lebih murah. Dalam Akta Perubatan 1971 telah termaktub bahawa rundingan pertama pesakit dengan doktor hospital swasta akan dicaj dengan kadar bayaran tetap iaitu RM180. Begitupun hospital di Singapura, mereka tidak menetapkan caj yang minimum untuk pesakit yang pertama kali berunding dengan doktor," ujarnya.

Kelengkapan, pembedahan dan rawatan hospital di Singapura sama seperti di Malaysia. Namun, perbezaan kadar bayaran yang jauh lebih tinggi menyebabkan pesakit dari luar negara memilih Malaysia untuk menjalankan pembedahan dan rawatan.

Prince Court merupakan salah sebuah hospital yang terlibat dalam mempromosikan pelancongan perubatan di Malaysia.

Selain daripada pembedahan dan rawatan, pusat perubatan yang dimiliki oleh syarikat petroleum, Petronas itu menyediakan pelbagai kelengkapan dan kemudahan yang selesa untuk pesakit yang mendapatkan rawatan di situ.

Pusat perubatan yang mula dibuka sejak tahun 2008 itu juga menyediakan pelbagai pusat rawatan untuk pesakit antaranya ialah pusat jantung, pusat kanser, ortopedik, pusat persenyawaan in-vitro (IVF) dan kosmetik.

MESIN Pengimejan Resonan Magnetik digunakan untuk proses diagnosis pesakit jantung di Prince Court.


Kemudahan

Menurut Noraini, selain penginapan di pusat perubatan, pesakit juga boleh memilih untuk menginap di hotel sekitar ibu kota.

"Lokasi Prince Court yang terletak di Jalan Kia Peng memberi kemudahan kepada pesakit untuk memilih penginapan mereka. Kebanyakan pesakit dari luar negara yang membuat rundingan bersama doktor di sini akan tinggal di hotel berdekatan seperti Hotel Prince, Mandarin Oriental dan Hotel The Royale Chulan.

"Pesakit dari luar negara memilih Prince Court untuk mengadakan temu janji kerana masa rundingan lebih lama sekali gus dapat mengetahui lebih lanjut tentang penyakit dalam masa yang singkat. Sementara pesakit menunggu laporan kesihatan, mereka juga berpeluang bersiar-siar di sekitar ibu kota," ujarnya.

Prince Court menawarkan empat kategori bilik untuk pesakit yang menjalankan pembedahan dan rawatan iaitu VVIP Suite, Suite, Junior Suite dan bilik standard.

Pihak pusat perubatan juga menyediakan perkhidmatan jurubahasa Jepun dan Arab bagi pesakit dari dua negara itu bagi memudahkan urusan rundingan dan rawatan di situ.

Penglibatan Prince Court dalam pelancongan perubatan telah mendapat pengiktirafan di rantau ini apabila menerima Anugerah Bilangan Pesakit Pelancongan Perubatan 2013.

Menjejak budaya Makassar dan Tana Toraja

Posted:

Menjejak budaya Makassar dan Tana Toraja

Menjejak budaya Makassar dan Tana Toraja


SUSUNAN rumah adat yang di belakangnya terdapat tempat simpanan padi dan pernah menjadi tempat upacara Rambu Solo.


MAKASSAR dan Tana Toraja, dua tempat berlainan yang berbeza budaya. Makassar yang merupakan tanah asal usul orang Bugis kelihatan tidak begitu menarik, kurang bersih dan berdebu. Pada pandangan penulis, faktor itu mungkin disebabkan fungsinya sebagai sebuah bandar pelabuhan.

Menurut pemandu pelancong, keseluruhan masyarakat Bugis di Makassar beragama Islam, namun adat dan budaya warisan nenek moyang masih tetap dikekalkan.

Rumah-rumah di situ tidak banyak berbeza dengan kawasan perkampungan di Malaysia. Mereka masih menggunakan rumah panggung kerana percaya bahawa rumah-rumah begitu memiliki pengudaraan yang baik dan sejuk untuk didiami.

Masyarakat Bugis Makassar amat menitikberatkan hal-hal keturunan dan dengan melihat pada penutup bahagian atas bumbung rumah, semua orang sudah tahu sama ada tuan rumah terdiri daripada golongan bangsawan, pertengahan atau orang kebanyakan.

Jemputan dan kedudukan tempat duduk dalam majlis-majlis juga ada pengasingan antara golongan bangsawan dan orang biasa. Masyarakat Bugis Makassar juga amat menyanjungi Bissu. Bissu merupakan istilah yang digunakan untuk lelaki yang menyerupai wanita atau pondan.

Bissu merupakan orang tengah untuk upacara meminang dan menentukan sama ada pasangan tersebut secocok atau tidak serta menetapkan tarikh majlis yang perlu diadakan. Tanpa mereka, suatu urusan perkahwinan tidak dapat dijalankan.

Pesta kematian

Tidak banyak tempat yang boleh dilawati di Makassar selain Muzium La Galigo yang menempatkan pelbagai khazanah tinggalan nenek moyang seperti peralatan menuai dan senjata.

Di samping itu, terdapat Pelabuhan Soekarno Hatta dan Pantai Losari, selain Masjid Amirul Mukminin yang dibina di atas laut dan terkenal dengan jolokan Masjid Terapung Makassar.

Kami meneruskan perjalanan ke Tana Toraja yang biasanya mengambil masa selama lapan jam tanpa henti dari Makassar. Namun demikian, kami mengambil masa selama 13 jam untuk sampai ke bandar Rantepao yang juga merupakan bandar terbesar di Tana Taroja kerana melakukan beberapa hentian sebelum itu.


UPACARA penyembelihan kerbau dijalankan pada upacara Rambu Solo.


Hentian pertama kami ialah di Pare-Pare, sebuah bandar kecil yang kaya dengan khazanah laut untuk menjamu selera selepas melepasi perjalanan selama hampir tiga jam. Kemudian, kami berhenti di Puncak Lakawan yang terkenal dengan gelaran Gunung Erotik bagi menikmati secawan kopi dan sayur-sayuran seperti pisang nangka dan buah salak.

Sungguhpun hampir 90 peratus penduduk Toraja menganut agama Kristian tetapi adat istiadat tinggalan nenek moyang masih menjadi pegangan.

Bagi masyarakat sana, pesta kematian yang dikenali sebagai Rambu Solo adalah pesta besar-besaran yang membawa kepada penyembelihan paling minimum 24 ekor kerbau yang akan menjadi tunggangan si mati kelak. Selain itu puluhan ekor babi disembelih sebagai makanan sementara roh melakukan perjalanan menuju Puya.

Mayat ahli keluarga akan diawet dan disimpankan dalam rumah adat bersama-sama dengan penghuni rumah selama beberapa tahun sehingga ahli keluarga dapat berkumpul dan berkemampuan untuk mengadakan Rambu Solo.

Selepas selesai Rambu Solo, mayat ini tidak dikebumikan di dalam tanah, sebaliknya dikebumikan di dalam batu, di dalam gua atau di lereng-lerang gunung. Kubur tergantung atau dikenali kete kesu merupakan kubur lama yang sudah tidak lagi digunakan.

Terdapat sederet rumah adat di sini lengkap dengan tempat simpanan padi di setiap buah rumah. Rumah-rumah adat ini dikenali dengan nama Tongkanan yang juga rumah tradisi bagi masyarakat Tana Toraja.

Kuburan unik

Di bahagian belakang deretan Tongkanan terdapat kubur batu yang berusia ratusan tahun. Banyak keranda berbentuk perahu yang diletakkan di celah-celah batu atau digantung di lereng-lereng bukit.

Oleh sebab peredaran masa, banyak keranda tergantung itu telah jatuh ke tepi bukit. Ada juga keranda-keranda berkenaan yang disokong dengan kayu selain lereng-lereng bukit dipahat untuk diletakkan keranda tersebut.

Terdapat juga tau-tau (patung kayu) yang diukir menyerupai lelaki dan perempuan untuk menjadi penjaga kepada kubur-kubur ini.

Keranda atau dikenali dengan nama Erong diletakkan di tepi-tepi tebing curam dan disangga dengan kayu. Setiap Erong menempatkan sebuah keluarga.

Semakin tinggi kedudukan Erong itu diletakkan, bermakna lebih tinggi darjat si mati dalam masyarakat. Hanya golongan bangsawan yang mampu untuk meletakkan tau-tau yang diukir mirip wajah si mati dan diletakkan di bahagian atas Erong.

Selain kuburan di tebing curam, Londa pula menempatkan perkuburan di dalam gua. Bagi memasuki gua, kami perlu menyewa lampu gasolin dan pembawa lampu menjadi penunjuk arah kepada kami semasa di dalam gua.


SUASANA di pasar tradisi Makassar yang menjual pelbagai jenis barangan menarik.


Suasana di dalam gua agak lembap tetapi tidak berbau. Kelihatan peti mayat yang diletakkan di antara batuan. Peti yang telah reput atau tulang yang telah berserakan tidak boleh diganti atau disentuh kerana sebarang sentuhan dan alihan akan membawa kepada upacara Rambu Solo.

Lemo merupakan kuburan batu yang terletak di antara sawah padi dan lereng gunung. Bongkah batu besar akan dipahat secara tradisi dan mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk disiapkan.

Setiap satu kuburan batu adalah untuk sebuah keluarga. Peti mayat akan dimasukkan di dalam lubang yang telah siap dipahat dan ditutup dengan kayu. Kuburan batu merupakan kuburan yang agak berbeza berbanding kuburan lain.

Bagi bayi yang meninggal sebelum tumbuh gigi, terdapat kuburan istimewa untuk mereka. Ia merupakan kuburan pokok atau Suaya. Batang pokok yang cukup besar ditebuk dan mayat bayi itu akan dimasukkan di dalam batang pohon tersebut.

Walaupun perjalanan ini amat memenatkan tetapi saya merasai kepuasannya. Akhirnya keunikan Tana Toraja sudah saya saksikan sendiri.

Agak sukar untuk mendapatkan makanan halal di sini kecuali sebuah restoran yang disahkan sendiri oleh seorang gadis tempatan beragama Islam.

Jarang orang luar terutamanya dari Malaysia yang mengunjungi Tana Toraja berbanding pelancong Barat kerana faktor istiadat yang ingin disaksikan dan juga makanan khas kawasan itu yang dikatakan boleh menambahkan tenaga dan sangat lazat.

Ekspedisi ATV bersama Raja Muda Selangor

Posted:

Ekspedisi ATV bersama Raja Muda Selangor

Ekspedisi ATV bersama Raja Muda Selangor

Oleh MD. AZRIN ROSLY


TENGKU Amir Shah (tengah) mengambil gambar bersama peserta-peserta Ekspedisi Raja Muda Selangor 2013 - Rakyat Dicintai, Rimba Disayangi.


SEMANGAT kerjasama, saling bantu-membantu menjadi pegangan setiap peserta sepanjang tiga hari Ekspedisi Raja Muda Selangor 2013 - Rakyat Dicintai, Rimba Disayangi baru-baru ini.

Keberanian dan keyakinan diri kesemua 35 peserta diuji sepanjang perjalanan yang sejauh 120 kilometer dengan menggunakan kenderaan pelbagai permukaan (ATV).

Para peserta perlu mengharungi kawasan bersungai, mendaki bukit berlumpur dan melalui ladang kelapa sawit serta getah di sekitar Hulu Selangor.

Ekspedisi itu merupakan peluang terbaik bagi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk bertemu masyarakat di sekitar Felda Sungai Tengi dan Kampung Sungai Jang dengan lebih dekat.

Baginda ketika ditemui bertitah, program itu telah dirancang sejak setahun lalu dengan tujuan untuk menjelajah dan melihat kawasan hutan dan alam sekitar di Selangor.

"Pengalaman yang penuh mencabar ini membuka mata saya tentang keindahan alam semula jadi dan tanaman yang terdapat di sini. Masyarakat di negara ini perlu terus menjaga dan memastikan agar ia dapat dinikmati dan dihargai generasi akan datang.

"Sepanjang ekspedisi, setiap peserta sentiasa bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain. Faktor-faktor itu juga telah melancarkan perjalanan kami," titahnya.

HALANGAN di kawasan berbukit tidak menjadi penghalang kepada peserta untuk meneruskan ekspedisi sehingga ke garisan penamat.


Baginda turut bertitah, menaikkan ATV di atas rakit untuk mengharungi sungai deras merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang ekspedisi itu.

Program kendalian ATV Adventure Park Kuala Lumpur itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor dan Polis Diraja Malaysia.

Hanya 25 orang peserta yang memandu ATV, manakala 10 peserta lain berperanan sebagai ahli jawatankuasa yang menyediakan kelengkapan logistik seperti bekalan makanan, minyak dan air sepanjang ekspedisi itu.

Salah seorang peserta, Shah Khan, 57, memberitahu, trek sepanjang ekspedisi yang melalui kawasan hutan simpan dan bukit curam kadangkala membuatkan peserta hilang keyakinan.

"Sokongan rakan-rakan yang sentiasa bersikap positif membuatkan kami berjaya mengharungi segala cabaran.

"Tip yang diberikan oleh Mas Fadzil Khan selaku Pengarah Urusan ATV Adventure Park Kuala Lumpur agar meluruskan pemegang ATV semasa menaiki bukit juga amat berguna. Teknik itu memastikan ATV yang dinaiki tidak senget dan mudah melepasi halangan," jelasnya.


RAJA Muda Selangor mengetuai ekspedisi peserta di lokasi pelepasan ketiga iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak.


Melepasi cabaran

Bagi Mazlan Ab. Rahman, 49, laluan yang dilalui sepanjang ekspedisi tersebut ternyata sukar bagi mereka yang baru mula berjinak-jinak dalam sukan lasak ATV.

"Keyakinan dan keberanian merupakan perkara paling penting yang perlu disemat dalam jiwa setiap peserta. Selain itu, teknik pengendalian ATV yang betul di laluan-lauan sukar juga memberi satu pengajaran yang berguna," ujarnya.

Sementara itu, Mas Fadzil berkongsi pendapat, dia kagum dengan kemampuan setiap peserta yang mengendalikan kenderaan ATV mereka dalam ekspedisi berkenaan.

"Saya tidak sangka, peserta yang baru belajar memandu ATV berjaya melepasi cabaran walaupun ada kalanya ia berlarutan sehingga ke waktu malam.

"Sekiranya terkandas, saya pasti mereka akan mengambil masa lebih sejam untuk melepasi halangan itu dan tidak mustahil ekspedisi itu mengambil masa yang lebih lama untuk tamat," ujarnya.

Menerusi ekspedisi tersebut, peserta berpengalaman berkhemah bersama Tengku Amir Shah.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti ATV yang disediakan oleh ATV Adventure Park Kuala Lumpur boleh diperoleh dilayari laman web www.atvadventurepark.com atau hubungi talian 019-244 8544.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved