Isnin, 7 Oktober 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ikut langkah bintang Hollywood

Posted:

Ikut langkah bintang Hollywood

Ikut langkah bintang Hollywood

KATY PERRY, Mariah Carey, Britney Spears, Beyonce dan Victoria Beckham. Menyusur lembaran hidup bintang-bintang terkenal antarabangsa itu, mereka berkongsi arah tuju yang sama - mula menyanyi, mencipta nama kemudian memiliki jenama fesyen atau produk penjagaan diri sendiri.

Hal yang sama diledani penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura Sheikh Hamzah, 38, yang terbaharu tampil dengan jenama pewangi dikenali sebagai Ning.

Menyelak semula halaman hidup Ning terdahulu, isteri kepada Omar Sharif Christopher Layton Dalton itu pernah menghasilkan koleksi kapsul Ning's Fling hasil kolaborasi dengan jenama antarabangsa Flow tahun lalu.

Malah, ibu kepada Ryan Sky Dalton itu juga terdahulu terjun dalam dunia fesyen menerusi StunNing Creations yang mengeluarkan rangkaian pakaian lelaki dan wanita beberapa tahun lalu.

Ditanya adakah Ning meletakkan dirinya bak bintang antarabangsa terutama Hollywood dengan melebarkan sayap dalam dunia fesyen, jawabnya ringkas, ini hadiahnya kepada peminat.

"Saya tidak meletakkan diri setinggi artis Hollywood tapi selama 20 tahun dalam industri nyanyian saya mahu memberikan buah tangan kepada peminat dan penyokong tetap saya menerusi produk-produk ini di samping album.

"Tidak dinafikan langkah ini juga menjadi ikutan artis Hollywood setelah mereka melakar nama, mereka mahu mempunyai signatur sendiri," ujarnya yang ditemui ketika majlis pelancaran wangian terbaharu Ning di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Faktanya, Ning merupakan artis ketiga di Malaysia yang mempunyai haruman jenama sendiri selepas Datuk Siti Nurhaliza menerusi Simplysiti dan Yuna (Yuna Decorate).

FIGURA ini juga bakal muncul dengan produk muzik hasil kolaborasi dengan komposer Indonesia, Ade Govinda.


Ning

Dua tahun, kata Ning, adalah tempoh masa yang diperuntukkan dalam proses pemilihan, penilaian dan penghasilan wangian terbaharu itu.

"Kecintaan saya adalah menyanyi dan menghiburkan peminat saya, maka penghasilan wangian Ning ini merupakan sisi peribadi saya sebagai wanita, ibu dan artis.

"Mempunyai jenama wangian sendiri adalah salah satu daripada impian terbesar saya dan langkah ini memerlukan banyak usaha, proses yang panjang serta tekanan dari segenap sudut.

"Pada mulanya saya tidak tahu bagaimana untuk bermula, saya mahukan wangian saya eksklusif maka saya memilih wajah, bau dan rupa yang tidak boleh sama dengan wangian lain di pasaran," katanya yang merancang untuk menghasilkan haruman untuk lelaki dan bayi kelak.

Tambah Ning, haruman itu mengambil inspirasi bau bunga-bungaan yang terdiri daripada bunga Afrika, oren mandarin, buah plum, bunga melur dan madu.

Ning sendiri sebenarnya terbabit dengan proses pemilihan bau wangiannya dan ujar Ning proses uji bau dijalankan selang seminggu selepas dia menghidu lebih 10 jenis bau setiap pagi.

Selain dijual di beberapa gedung beli-belah terkemuka seluruh negara, Ning turut memasarkan wangiannya menerusi Malaysia Airports Holdings Berhad untuk pasaran antarabangsa.

Konsert

Umum sudah sedia maklum akan spekulasi penangguhan Konsert Pelangi Untukmu Ning Baizura dari tarikh 21 September ke 16 November memandangkan kegagalan penyanyi tersebut menyiapkan dua buah lagu terbaharunya.

Kembali mempersiapkan diri dan mengetepikan segala andaian negatif mengenai penangguhan konsert itu, kata Ning dia kini sudah bersedia untuk beraksi.

"Ada enam minggu lagi menjelang konsert, saya kini dalam proses menguruskan badan dan setiap hari akan ke gimnasium selama dua jam untuk mendapatkan bentuk badan yang saya inginkan.

"Selain itu, saya perlu lebih peka dan menjaga pemakanan dan sudah pasti diet ibu saya yang mengamalkan pengambilan sayuran menjadi panduan.

"Malah, dua minggu sebelum konsert saya akan mengikuti kelas vokal bersama Cikgu Syafi Sharif untuk melatih dan mencari kembali kekuatan vokal saya selepas dua tahun beraksi di pentas konsert besar," katanya.

Ning menegaskan, pihaknya langsung tidak mengambil untung atas penjualan tiket berharga RM50 dan RM75 untuk konsert yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen TM itu, sebalik- nya hasil kutipan tiket akan digunakan untuk membayar kos teknikal sahaja.


MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hadir merasmikan majlis pelancaran pewangi Ning Baizura yang dikenali dengan jenama Ning di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Konsep konsert kali ini lebih personal dan mesra bersama peminat. Tidak akan ada tarian atau gimik yang tidak perlu, malah pentas juga bersifat arena 360 darjah untuk memudahkan saya berinteraksi dengan peminat.

"Kerana itu harga tiket yang dijual juga berpatutan. Saya bukan mahu mengambil untung, sebaliknya ini lebih kepada dedikasi saya kepada peminat," tambah Ning.

Album

Sementara itu, Konsert Pelangi Untukmu, kata Ning, akan dipecahkan kepada tiga segmen utama yang kebanyakan menceritakan tentang kehidupannya kini.

"Pertama, saya menggambarkan perasaan saya sebelum menjadi seorang ibu, kemudian segmen kedua lebih kepada kisah saya dan Ryan. Segmen terakhir berkisar kenangan lagu-lagu lama," ungkap Ning.

Ning bakal menyanyikan kembali beberapa buah koleksi lagu lamanya yang akan diberikan nafas baharu yang sengaja dibikin khas bersama tiga buah lagu baharu untuk dimuatkan dalam album terbaharu berjudul Kekal.

"Sudah pasti pendengar akan membandingkan versi lagu asal tapi saya mahu mereka mendengar perubahan vokal, susunan muzik dan perasaan saya dalam sentuhan baharu.

"Sempena Konsert Pelangi Untukmu juga, saya telah menyiapkan sebuah album terbaharu, judulnya Kekal yang memuatkan 10 buah lagu-lagu lama saya serta tiga buah lagu baharu," jelasnya.

Tiga buah lagu baharu yang dimaksudkan itu iaitu Bukan Wanita Sempurna, Pelangi Untukmu dan Embunan Bersinar digubah oleh Alvin Santiago serta komposer Indonesia, Ade Govinda.

Usai Konsert Ning@KL Live dua tahun lalu, konsert Pelangi Untukmu bakal melakar portfolio baharu dalam karier seni Ning.

Di samping berjaya tampil dengan jaluran produk penjagaan diri terbaharu dan pembabitan langsung pentas fesyen, kecemerlangan Ning menghasilkan album ke-12 tahun ini sebenarnya bukti Ning Baizura masih relevan dalam dunia hiburan.

Diana Rafar selalu sendiri, tapi masih bahagia

Posted:

Diana Rafar selalu sendiri, tapi masih bahagia

Diana Rafar selalu sendiri, tapi masih bahagia

Oleh HARYATI KARIM

DIANA mengaku kesibukan suaminya, Zamarul membuatkan mereka jarang keluar bersama, namun Zamarul tetap pulang ke rumah.


HUJUNG minggu lalu dalam sebuah akhbar mingguan terdapat khabar angin yang mengatakan rumah tangga pelakon Zamarul Hisham dan Diana Rafar yang dibina pada tahun 2009 itu sedang bergolak.

Semuanya gara-gara Diana yang dilihat sering bersendirian apabila menghadiri acara hiburan termasuklah persandingan pelakon Fouziah Gous baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, menurut khabar angin yang bertebaran, Zamarul dikatakan terlalu sibuk dan sudah lama tidak pulang ke rumah menjenguk isteri dan anaknya, Kashfi Haiqal, 3 tahun. Diana pula sering lihat berada di rumah ibunya di Shah Alam, Selangor.

Bagi mendapatkan pengesahan mengenai khabar angin ini, Kosmo! menghubungi Diana semalam dan ternyata dia cukup terkejut dengan khabar angin terbaharu itu. Bagaimanapun, Diana tidak menafikan dia sering bersendirian sejak kebelakangan ini.

Kosmo!: Benarkah rumah tangga Diana dan Zamarul sedang bergolak?

DIANA: Perkara itu tidak betul dan saya nafikan khabar angin tersebut. Kami masih bahagia dan rumah tangga saya berada dalam keadaan baik. Sebenarnya saya sendiri terkejut apabila tiba-tiba sahaja keluar berita seperti ini.

Sejauh manakah kebenaran yang mendakwa anda sering dilihat bersendirian tanpa suami menghadiri majlis-majlis hiburan?

Saya tidak nafikan memang saya selalu bersendirian ke mana-mana majlis hiburan dan majlis rasmi. Saya tidak boleh elak untuk keluar rumah sendirian kerana saya juga ada kerja yang harus diselesaikan, takkan kerana suami saya sibuk saya tidak boleh keluar rumah.

Khabar angin mendakwa, Zamarul sudah lama tidak pulang ke rumah manakala anda pula sering berada di rumah ibu di Shah Alam, Selangor. Benarkah?

Walaupun sibuk sehingga 3 pagi, suami saya tetap pulang ke rumah setiap hari. Kalau orang selalu lihat saya di rumah ibu, sebenarnya rumah saya, ibu serta kakak-kakak saya semuanya berdekatan. Kebetulan anak saya bersekolah dekat dengan rumah ibu, apa salahnya saya melawat ibu setiap hari.

DIANA RAFAR dan Zamarul Hisham masih bahagia sebagai suami isteri.


Jika kalian bahagia, bagaimanakah isu pergolakan rumah tangga ini boleh timbul?

Mungkin sebab memang orang selalu lihat saya sendirian dan kemuncaknya apabila saya hadir ke majlis persandingan Fouziah Gous seorang diri. Ramai rakan artis dan media bertanya di mana suami saya? Memanglah waktu itu, kami bercadang untuk hadir bersama tetapi terpaksa dibatalkan kerana dia terikat dengan penggambaran. Mahu tidak mahu saya hadir seorang diri, memenuhi jemputan rakan saya.

Adakah kalian sudah berbincang mengenai khabar angin ini?

Setakat ini kami belum sempat berbincang lagi kerana cerita ini keluar secara tiba-tiba. Suami saya juga sibuk dengan kerja, cuma keluarga ada bertanya hal ini kepada saya, mereka juga terkejut tetapi selepas diterangkan keadaan sebenarnya mereka faham.

Isu rumah tangga bukan perkara yang remeh. Adakah anda tertekan dengan khabar angin ini?

Saya akui memang agak tertekan sebab saya tahu cerita ini pun daripada orang. Bila saya keluar tiba-tiba banyak mata yang memandang serong dan bertanyakan hal rumah tangga kepada saya. Sekarang saya masih kuat, saya takut jika khabar angin ini berlarutan, saya jadi tidak kuat.

Apakah perkembangan terbaharu kerjaya seni anda?

Sekarang memang saya perlahankan kerjaya seni untuk beri tumpuan kepada keluarga tetapi saya masih berlakon dalam banyak telefilem. Jika tidak ada aral melintang, selepas ini saya akan terlibat dalam penggambaran drama bersiri untuk slot Samarinda. Selebihnya saya sibuk dengan urusan perniagaan dan tugas sebagai duta produk kecantikan Sumber Ayu dan Maixara.

Que Haidar cari bakat anak Felda

Posted:

Que Haidar cari bakat anak Felda

Que Haidar cari bakat anak Felda

Oleh HARYATI KARIM

QUE HAIDAR masih dengan prinsip yang sama iaitu selektif terhadap naskhah yang akan dibintanginya.


AKTOR Que Haidar anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor, cukup berjaya sebagai aktor yang disegani manakala rakan sekampungnya, Mawi pula berjaya sebagai penyanyi.

Rentetan daripada kejayaan mereka berdua, Ikatan Seni Kebudayaan Anak Felda kini sedang menjelajah Felda di seluruh Malaysia untuk mencari bakat baharu dalam bidang lakonan.

Que yang ditemui pada majlis memperkenalkan pakaian Girza 87 di butik Lord's Tailor, Bangsar, Kuala Lumpur bertindak sebagai panel uji bakat dalam siri jelajah itu.

"Saya anak Felda, jadi saya tahu apa yang dilalui anak-anak Felda. Bagi saya, program pencarian bakat ini satu perkara yang cukup bagus kerana berdasarkan pengalaman saya bukan mudah untuk bergelar seorang pelakon.

"Dulu, saya datang ke Kuala Lumpur seorang diri demi mengejar cita-cita sebagai pelakon. Banyak kesusahan dan cabaran yang terpaksa dilalui. Sekarang peluang itu ada di depan mata, cukup mudah untuk mereka sebagai anak Felda menunjukkan bakat yang ada," jelasnya.

Tambahnya lagi, peluang keemasan itu tidak patut dilepaskan kerana jika terpilih, mereka akan terus berlakon dalam filem yang berkisar tentang kehidupan di Felda dan ditaja oleh pihak Felda.

"Memang nampak mudah kerana pihak kami yang cari bakat mereka di Felda tetapi saya tahu kebanyakan remaja Felda mereka takut untuk mencuba kerana bimbang dikutuk rakan walaupun dalam diri minat terhadap seni lakonan cukup tinggi.

QUE HAIDAR menasihatkan anak Felda jangan malu diejek teman sekampung hanya kerana bercita-cita menjadi pelakon.


"Cara saya cukup mudah, jika saya nampak mereka berminat, saya terus tarik mereka hadiri uji bakat. Bagi saya peluang datang sekali. Sayang jika hanya kerana malu dan bimbang dikutuk rakan, mereka melepaskan peluang yang ada. Siapa tahu masa depan mereka cukup cerah selepas itu?" balasnya.

Setakat hari ini, Que telah menjalankan uji bakat di Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang manakala tidak lama lagi di Johor.

"Syarat utamanya, peserta mesti anak Felda. Jika tidak, mereka tidak layak. Sebenarnya saya sendiri terkejut, ramai anak Felda yang mempunyai bakat terpendam.

"Jika tidak ada aral melintang, selepas filem, mungkin pihak Felda ingin menubuhkan Institusi Kesenian Felda," katanya.

Bercakap tentang perkembangan terbaharunya, Que memberitahu, selain filem Rock 3, dia juga ditawarkan berlakon dalam dua filem lain.

Bagaimanapun, dia masih mempertimbangkan untuk menerima tawaran tersebut ataupun tidak kerana pada usia 34 tahun, Que lebih bersikap selektif.

"Sekarang saya lebih matang, bukan semua filem sesuai dengan saya. Kalau boleh saya tidak mahu filem yang membuatkan saya kelihatan bodoh.

"Drama pula, bukan saya tidak mahu tetapi tempoh penggambaran terlalu panjang terutama drama bersiri. Komitmen saya terhadap keluarga dan kerja lain akan terganggu. Jika bertemu dengan skrip yang sesuai dan kena dengan masanya, saya tidak keberatan untuk terima tawaran tersebut," jawabnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved