Jumaat, 4 Oktober 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Debaran menanti cahaya mata sulung

Posted:

Debaran menanti cahaya mata sulung

Debaran menanti cahaya mata sulung

TIDAK pernah merancang sama ada memperoleh cahaya mata dalam tempoh yang cepat atau lambat, rezeki telah memihak kepada pasangan romantik, pelakon Beego dan Linda Hashim.

Setelah berumah tangga pada bulan Jun lalu, akhirnya pelakon yang baru sahaja tampil dalam filem Tanda Putera itu disahkan mengandung tujuh minggu.

Yang nyata, jelas terpancar riak wajah gembira kedua-dua pelakon berkenaan sewaktu ditemui dalam sebuah majlis baru-baru ini terutama sekali Beego memandangkan ini merupakan perkahwinan kali kedua buat dirinya.

"Apabila doktor mengesahkan yang Linda hamil, sudah tentu saya merupakan individu yang paling gembira kerana bakal bergelar bapa.

"Ia merupakan perkara yang tidak dijangka sama sekali, meskipun kami tidak pernah merancang dan berserah kepada Allah untuk mendapatkan cahaya mata," ujar pemilik nama sebenar Md. Aszerul Nizam Abdullah itu.

Meneruskan perbualan mengenai detik-detik awal sebelum mengetahui isteri tersayang hamil, Beego memberitahu, dia selalu berasa kurang sihat dan tidak sedap badan.

Beranggapan bahawa keadaan yang dilaluinya itu sebagai perkara biasa akibat keletihan kerana sibuk dengan aktiviti lakonan, dia mengambil keputusan untuk berehat sahaja tanpa memikirkan bahawa ia merupakan tanda awal yang dia bakal bergelar seorang bapa.

"Beberapa hari sebelum isteri membuat pemeriksaan di hospital, saya lihat keadaan isteri pula yang selalu letih. Selain itu, dia juga sudah mula menunjukkan simptom seperti wanita mengandung.

"Setelah pemeriksaan dijalankan, Linda didapati hamil oleh doktor dan akibat terlalu gembira saya terus melompat kerana teruja dengan berita gembira yang disampaikan kepada kami," ujarnya.


SELEPAS lebih tiga bulan bernikah, Linda dan Beego kini mempersiapkan diri untuk bergelar ibu dan bapa kepada anak yang dikandung Linda.


Menceritakan lebih lanjut tentang kehidupannya setelah isterinya hamil, pelakon itu menyatakan, dia agak bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang alahan seperti kebanyakan lelaki lain.

"Pada peringkat awal kehamilan pastinya merupakan cabaran yang paling besar buat pasangan suami isteri.

Bagaimanapun, saya akan lakukan yang terbaik untuk isteri agar kandungannya berada dalam keadaan sihat.

"Meskipun usia kehamilan isteri saya masih lagi di peringkat awal, namun perasaan berdebar itu tetap ada menantikan kehadiran cahaya mata sulung ini. Ia merupakan satu anugerah yang tidak terhingga dan merupakan pelengkap kepada kehidupan kami," luahnya.

Mengalah

Biarpun pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini tetapi ia merupakan pengalaman baharu buat Beego untuk menjalani kehidupan sebagai seorang suami yang bakal bergelar bapa.

Beego mengakui, kehidupan yang dilaluinya sekarang ini pastinya agak berbeza berbanding ketika mula-mula berkahwin dahulu.

"Sebagai suami saya perlu bersedia dari awal, terutamanya mental dan fizikal. Pastinya bukan mudah untuk menjaga isteri yang baru kali pertama mengandung.

"Misalnya, kalau dia tidak dapat menjaga makan dan minum saya dengan baik, sudah tentu saya perlu mengalah kerana memahami keadaan yang harus dilaluinya sekarang. Sikap tolak ansur itu penting supaya isteri dapat menjalani kehidupan dengan baik bersama bayi yang sedang dikandung," jelasnya.

Berkenaan dengan jantina bayi pula, pelakon berkenaan menyatakan, dia dan isteri tidak kisah mengenainya kerana dikurniakan cahaya mata juga merupakan satu kurniaan yang tidak terhingga.

"Buat masa ini tumpuan saya pastinya lebih terarah kepada isteri tetapi ia langsung tidak mengganggu kerjaya lakonan saya. Lagipun saya perlu lebih berusaha keras memandangkan perlu membuat persediaan untuk menyambut kelahiran anak kami nanti," ujarnya.

PASANGAN ini tidak kisah mengenai jantina anak yang bakal diperoleh nanti.


Tiada halangan

Ketika sesi temu bual berlangsung, Linda Hashim yang turut berada di samping suaminya itu menyatakan, dia agak terkejut dan tidak menyangka hamil dalam tempoh yang cepat selepas mendirikan rumah tangga.

Mengakui tidak merasakan sebarang perubahan yang besar sebelum mengetahui dirinya disahkan hamil oleh doktor, Linda masih meneruskan aktiviti lakonan seperti biasa.

"Sudah tentu perasaan terkejut itu ada ketika menjalani pemeriksaan, namun pada masa yang sama tetap gembira dan bersyukur kerana ia sememangnya amat dinantikan kami berdua.

"Lagipun tiada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan saya hamil, kecuali badan cepat letih. Bagaimanapun, saya anggap ia satu perkara yang normal dengan jadual aktiviti yang tidak menentu," jelasnya.

Meskipun kini usia kandungannya sudah menginjak 10 minggu, Linda menyatakan, dia masih lagi terus berlakon buat masa ini dan Beego sendiri tidak kisah untuknya berbuat demikian.

"Ada ahli keluarga yang menasihatkan saya supaya kurangkan aktiviti lakonan setelah didapati hamil. Namun begitu, selagi mampu saya mahu teruskan juga tetapi terpaksa lebih selektif supaya tidak membebankan diri.

"Perkara ini pun sudah dibincangkan dengan suami dan dia merestui serta memberi keizinan kepada saya untuk terus berlakon, asalkan saya pandai menjaga diri," jelasnya.

Ujar Linda, dia bersedia menerima sebarang tawaran lakonan tetapi drama atau telemovie yang tidak memerlukannya tampil dalam banyak babak atau penggambaran yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur sahaja.

Cerita jodoh Yus, Tauke

Posted:

Cerita jodoh Yus, Tauke

Cerita jodoh Yus, Tauke

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

PADA usia 37 tahun, Tauke (kiri) masih mencari kekasih sejati manakala Yus kini merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya yang merupakan seorang setiausaha dan model sambilan.


MENGAKUI telah melangkau usia sebenar untuk berkahwin, kumpulan lawak duo, Jambu memberitahu telah mempunyai pasangan masing-masing dan akan menamatkan zaman bujang kelak.

Begitu, pengakuan Yus dan Tauke ketika bertemu pada majlis sidang akhbar program terbaharu berjudul Antabax Lat-Tali-Lat.

Yus yang kini sudah mencecah usia 37 tahun membuka bicara tentang perancangannya untuk menamatkan zaman bujang.

"Insya-Allah saya akan melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun depan kerana ingin memberi peluang kepada bakal isteri untuk menyambung pelajaran pada peringkat ijazah sarjana.

"Dia merupakan seorang setiausaha di sebuah syarikat dan berasal dari Taiping, Perak. Mungkin sudah tiba masanya saya untuk berkahwin dan telah jumpa orang yang sesuai.

"Dia juga faham kerja saya dan mampu menjaga saya kelak sebagai seorang isteri kepada saya," cerita Yus yang mengenali bakal isterinya melalui laman sosial Facebook.

Tambahnya, wanita yang juga bekerja sebagai peragawati separuh masa itu dilihat calon yang paling sesuai buat dirinya.

Menunjukkan dirinya serius terhadap perhubungan tersebut, mereka telah berkenalan dengan keluarga masing-masing.

"Saya tertarik kepadanya bukan kerana paras rupa, sebaliknya saya tertarik kerana keperibadiannya yang sesuai dengan diri saya sendiri.

"Apa yang penting, pada umur saya yang sudah mencecah 37 tahun ini, kefahaman dalam perhubungan adalah sangat penting bagi saya," jelas pemilik nama sebenar Yussry Edoo ini.

Namun, bagi pasangan lawaknya, Zamatul Amri Zakaria atau lebih mesra disapa sebagai Tauke, dia pernah dilabel oleh masyarakat sebagai seorang 'kaki wanita'.

Ini kerana sejak namanya mula dikenali, Tauke sering saja dilihat bertukar pasangan melalui foto-foto yang dimuat naik dalam laman sosial seperti Instagram dan Facebook.

Namun, lelaki yang berusia 37 tahun ini punya jawapan tersendiri terhadap tohmahan yang acap kali dilemparkan kepadanya.

"Saya mempunyai masalah setiap kali menjalin hubungan dengan seseorang. Setiap kali saya sudah serasi dengan seseorang, pasti ada yang mengganggu hubungan itu. Sejujurnya, kerana perkara-perkara begini, saya hanya mampu bertahan dengan pasangan selama enam bulan sahaja.

"Jadi, biarlah selepas ini, jika saya sudah betul-betul membuat keputusan untuk berkahwin, baru saya akan uar-uarkan berita tersebut. Saya sebenarnya sayangkan pasangan saya dan serius dengannya.

"Oleh kerana itu, saya muat naik gambar kami di laman sosial. Namun, ia telah dirosakkan oleh segelintir orang yang hitam hatinya," luah Tauke yang kecewa dengan sikap segelintir masyarakat.

Selesa sebagai Jambu

Sejak bergabung, duo pelawak Jambu ini sering memberikan persembahan terbaik. Apabila bersama, keserasian mereka jelas terserlah ketika mengadakan persembahan di atas pentas.

Itu juga yang diakui oleh kedua rakan baik ini yang lebih selesa untuk beraksi berdua apabila di atas pentas, kaca televisyen mahupun di layar perak.

"Kadangkala, apabila saya lihat tawaran yang diberi bukan bersama Tauke, saya mungkin akan menolak tawaran tersebut.

"Saya sudah selesa dengan Tauke dan senang bergerak atau membuat kerja bersama," jelas Yus ringkas tentang Jambu.

Bicara Tauke memberi pendapat yang sama: "Apa yang membuatkan kami selesa bersama ialah tentang jadual. Contohnya, jika ada pihak yang inginkan Jambu, namun Yus punya tawaran lain secara individu, jadi itu akan menyukarkan kami untuk menerima tawaran bersama."

Justeru, kini mereka akan lebih mengutamakan tawaran untuk Jambu dahulu. Jika tiada tawaran bagi duo Jambu, maka tawaran secara individu akan dipertimbangkan.

Bercerita mengenai Antabax Lat-Tali-Lat, katanya, program tersebut akan disiarkan pada setiap Ahad, bermula 6 Oktober pukul 6.30 petang.

"Ia menampilkan 24 orang peserta dari sekolah-sekolah rendah yang akan beradu kecekapan dalam permainan tradisional Malaysia yang unik seperti Baling Tin, Konda Kondi, Tarik Upih, Galah Panjang, Tuju Tin dan Keting Ting," ujar Tauke.

Nama Izzue Islam dimanipulasi

Posted:

Nama Izzue Islam dimanipulasi

Nama Izzue Islam dimanipulasi

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

FIGURA kacak ini mengakui dirinya tidak terlepas daripada membuat kesilapan.


NAMA Izzue Islam sememangnya popular dan kebanyakan peminatnya dalam kalangan wanita. Mengambil kesempatan yang ada, baru-baru ini wujud sebuah akaun palsu yang menggunakan nama Izzue Islam.

Apa yang tidak sedap didengar, si penipu tersebut telah membuat urus niaga jual beli telefon bimbit kepada peminat melalui laman akaun Instagram palsu yang diberi nama izzue_4teen. Bagaimanapun, perkara tersebut disedari Izzue sendiri setelah salah seorang pembeli membuat aduan dan memarahinya dalam Instagram sebenar milik Izzue.

Selain kes tersebut, wujud isu Izzue tidak berdisiplin dan kurang komitmen terhadap lakonan. Masalah tersebut timbul selepas Izzue dikatakan terlalu banyak mengambil tawaran selain telah berkahwin, Izzue didakwa tidak bersungguh sewaktu bekerja.

Ikuti temu bual dengan Izzue yang ditemui pada sidang akhbar filem terbaharu lakonannya, Hantu Tok Mudim di KRU Studios, Cyberjaya berkaitan kedua-dua isu yang kini melanda dirinya itu.

Kosmo!: Apakah perkembangan terkini tentang isu penipuan yang menggunakan nama Izzue untuk menjual telefon bimbit yang hangat diperkatakan baru-baru ini?

IZZUE: Saya juga sebenarnya tidak tahu dan terkejut dengan komen yang dibuat oleh seorang peminat di laman Instagram milik saya. Dia berurusan dengan orang lain tapi datang untuk meminta saya memulangkan wangnya sekitar bulan September lalu.

Sudahkah anda membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut?

Saya masih lagi belum membuat laporan polis tentang kejadian tersebut kerana masih sibuk dengan teater Maduku... Kalut di Istana Budaya. Bagaimanapun, saya sudah minta peminat yang ditipu itu untuk melakukan laporan polis. Kami juga sudah berbincang dan berbicara dengan salah seorang wanita yang ditipu itu.

Apakah nama akaun yang digunakan oleh si penipu?

Dia gunakan nama akaun instagram izzue_4teen yang mana menerusi akaun tersebut, dia membuat urus niaga jual beli telefon bimbit dengan harga RM300. Apabila si pembeli telah membuat bayaran, akaun si pembeli akan terus disekat olehnya. Akaun saya juga telah disekat oleh orang itu.

Selain itu, nombor akaun yang diberi pula, nombor akaun rakan isteri saya. Namun ramai yang ditipunya, terdiri daripada wanita dan remaja perempuan. Menambah lagi penipuannya, dia hanya boleh berhubung melalui Whatsapp sahaja. Antara nombor yang digunakan termasuklah 011-3151 6018 dan 011-2624 5773.

IZZUE meminta peminat yang menjadi mangsa penipuan pembelian telefon bimbit dengannya supaya membuat laporan polis.


Apakah saranan kepada peminatanda di luar sana?

RM300 itu bukannya jumlah yang sedikit. Perkara tersebut sebenarnya boleh mengganggu periuk nasi orang lain. Saya harap peminat tidak tertipu dengan perkara begini dan perlu berurusan dengan orang yang betul.

Jangan mudah mempercayai perniagaan sebegini. Mereka semua perlu berhati-hati. Jika fikirkan, takkan pula saya minta untuk masukkan wang ke akaun orang lain jika perniagaan itu saya yang buat. Sesiapa yang terkena, harap buat laporan polis dan ini sebenarnya akaun palsu yang meggunakan nama saya.

Izzue, bagaimana pula anda memberi respons terhadap dakwaan anda kini sudah mula semakin kurang berdisiplin dalam kerjaya seni selepas berkahwin?

Bagi saya sendiri, mungkin ada kesilapan yang saya lakukan secara sedar mahupun tidak. Namun setakat ini, saya tidak pernah lagi mendengar aduan daripada pihak produksi lain. Saya akui, mungkin juga saya pernah terlewat untuk sampai ke set penggambaran, tapi saya telah memaklumkan kepada pihak yang sewajarnya.

Adakah hal ini berlakukerana anda mengambil terlalu banyak tawaran sehingga tidak mampu mengawal jadual?

Saya tidak ambil banyak tawaran sebenarnya. Saya memang sudah susun jadual saya bersama pengurus saya. Saya tidak ambil tawaran yang bertindih kerana kami faham ia akan menyukarkan komitmen yang diberi kelak.

Berkemungkinan hal ini berlaku kerana saya terkejar- kejar ingin seimbangkan nyanyian serta lakonan. Namun bagi pihak produksi memang tiada masalah. Kami sudah bincang awal tentang jadual saya bersama pihak produksi.

Apakah tindakan yang mungkin akan anda lakukan?

Apa yang saya boleh katakan, mungkin sebelum ini saya tidak sedar akan kesilapan yang dilakukan. Saya mahu lama dalam industri ini. Justeru, kalau boleh saya tidak mahu melakukan kesilapan untuk mematikan karier saya sendiri.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved