Ahad, 8 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kitar semula susu tamat tempoh

Posted:

Kitar semula susu tamat tempoh

Kitar semula susu tamat tempoh

SETIAP kali menyebut tentang susu ibu, pasti ramai membayangkan bayi dalam dakapan ibunya untuk menyusu. Namun demikian, bagi ibu-ibu berkerjaya, alat atau pam perahan merupakan sandaran di tempat kerja untuk mengumpul stok susu untuk diberikan kepada bayi ketika berjauhan.

Susu yang disimpan di dalam bekas steril dan bertutup boleh bertahan sehingga enam jam pada suhu 26 darjah Celsius ke bawah. Ia boleh juga disimpan di dalam peti sejuk tidak melebihi 72 jam, peti sejuk beku satu pintu (dua minggu), peti sejuk beku dua pintu (tiga bulan) dan peti sejuk beku (enam bulan).

Namun, apabila susu yang disimpan melepasi tempoh, ia mengalami susut nilai kandungan nutrisi dan tidak sesuai diminum dan terpaksa dibuang. Bagi sesetengah pihak, tindakan itu dianggap sebagai satu kerugian.

Namun di sebuah kediaman dua tingkat yang terletak di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor susu-susu ibu yang tamat tempoh ini diberi peluang kedua. Ia menjadi bahan penting dalam pembuatan sabun.

Langkah pembuatan

Bahan-bahan lain yang digunakan ialah ramuan semula jadi seperti susu kambing, kunyit, serai, minyak sayur-sayuran seperti minyak zaitun, kelapa dan kelapa sawit serta minyak pati.

Seramai tujuh orang wanita yang terdiri daripada golongan ibu dan bakal ibu, berkumpul di kediaman yang dikenali sebagai Bonda Villa bagi mengikuti satu kelas khas membuat sabun daripada susu ibu itu.

Berpakaian lengkap dengan apron dan penutup mulut, guru kelas itu, Sany Woo, telah menyediakan bahan-bahan yang akan digunakan untuk menghasilkan sabun unik itu.

Beliau dan konsultan penyusuan badan, Gina Yong, 40, merupakan ahli kumpulan sokongan penyusuan ibu yang dikenali sebagai The Breastfeeding Advocates Network (TBAN).

"Susu ibu yang digunakan untuk pembuatan sabun ini diperoleh daripada ibu-ibu yang menderma susu mereka yang telah melebihi enam bulan penyimpanan," jelas Woo ketika ditemui baru-baru ini.

Dengan para peserta mengelilingi meja makan, beliau memulakan kelas dengan menyukat semua ramuan yang diperlukan dengan teliti menggunakan sebuah mesin penimbang elektronik.


SETIAP bahan disukat bagi memastikan kuantiti yang dicampur tepat.


Terangnya, setiap bahan yang digunakan mempunyai peranan penting dalam sabun berkenaan. Contohnya, minyak zaitun berfungsi memberikan kelembapan, minyak kelapa sawit yang kaya dengan kandungan vitamin E bermanfaat untuk kulit dan dapat mengekalkan bentuk sabun, manakala minyak kelapa menghasilkan buih ketika sabun digunakan.

"Setiap kandungan mempunyai nilai perkadaran tersendiri. Jika mahu banyak buih, maka minyak kelapa ditambah. Namun, jika terlalu banyak, ia boleh menyebabkan kulit kekeringan," jelas Woo kepada peserta.

Langkah pertama jelasnya, ialah memproses susu ibu beku dengan bahan bukan organik, lai atau natrium hidroksida (NaOH) dan digaul sebati. Semasa mencampur kedua-dua bahan tersebut, bekas diletakkan dalam ketulan ais agar menstabilkan suhu susu di bawah 25 darjah Celsius bagi mencegahnya daripada rosak.

"Jika campuran bahan ini tidak bertukar warna begitu kekuningan, jadi ia dalam keadaan baik," ungkapnya sambil memasukkan kepingan NaOH sedikit demi sedikit sambil mengaul dengan susu.

Setelah itu, campuran minyak dan susu badan yang telah ditapis dimasukkan ke dalam satu bekas yang sama dan dipukul perlahan selama 45 minit sebelum dituang ke dalam acuan dan dibiarkan keras.

Setelah keras, sabun tersebut dipotong dan bersedia untuk digunakan sekurang-kurangnya selepas 24 jam.

Campuran bahan yang telah mengeras pada suhu bilik dipotong bergantung kepada saiz yang dikehendaki. Kemudian, buku-buku sabun itu dibiarkan lagi sebelum boleh digunakan dengan paling singkat selama 24 jam.

Lebih lama dibiarkan lebih baik bergantung kepada penggunanya nanti, menurut Woo. Selama enam minggu untuk kegunaan bayi, manakala empat minggu bagi orang dewasa.

Kelas itu menurut Woo, diadakan antara dua hingga tiga kali setahun.

Pengaruh

Sementara menunggu sabun yang dibuat siap, Yong memaklumkan penganjuran kelas, bengkel penyusuan bayi dan pertemuan kumpulan sokongan TBAN merupakan antara langkah yang diambil dalam meningkatkan kesedaran serta amalan penyusuan badan dalam kalangan wanita.

Katanya, kadar penyusuan bayi dengan susu ibu di Malaysia masih lagi pada tahap rendah iaitu sebanyak 14.5 peratus.

Jelas beliau, antara faktor yang mempengaruhi kadar itu ialah penggunaan susu tumbesaran atau formula yang mula mendapat tempat sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an.

Pengiklanan agresif susu tersebut meyakinkan umum bahawa susu tersebut mempunyai khasiat yang tinggi dan menjadi pilihan bayi, seterusnya mempengaruhi kaum ibu untuk memilih susu tersebut.

Selain itu, penggunaan susu ibu yang mudah berbanding susu formula menambah keyakinan orang ramai.

Yong menambah, status masyarakat yang dikaitkan dengan amalan menyusu badan pada waktu itu juga merupakan satu pengaruh penting.

"Tanggapan bahawa menyusukan anak dengan susu badan adalah amalan orang miskin dan malu untuk melakukannya di tempat-tempat umum meningkatkan penggunaan susu formula," ujarnya.

Justeru, kumpulan-kumpulan sokongan seperti TBAN diwujudkan bagi memberi kesedaran dan panduan kepada orang ramai betapa pentingnya penyusuan badan.

Yong berkata, walaupun masih rendah, kesedaran umum terhadap kepentingan penyusuan badan semakin meningkat.

"Malah, penganjuran Kempen Penyusuan Susu Ibu, pengenalan Polisi Penyusuan Susu Ibu Malaysia dan Hospital Rakan Bayi oleh pihak berkuasa memberi kesan terhadap amalan ini.

"Ia juga mewujudkan inovasi teknologi, kemudahan dan trend-trend fesyen baharu dalam amalan penyusuan susu ibu ini dan terus menggalakkan lebih ramai ibu menyusukan anak mereka," ujar beliau.


SUSU ibu yang disimpan boleh melepasi tamat tempoh tidak sesuai untuk bayi minum.


Manfaat

Dalam pada itu, Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Kuala Lumpur, Dr. Noor Haliza Yussoff berkata, susu ibu mengandungi nutrisi unik yang paling lengkap berbanding susu formula.

Jelasnya, susu badan mempunyai kandungan protein yang tinggi, kaya vitamin, karbohidrat dan lemak yang memainkan peranan dalam perkembangan otak, retina dan sistem saraf bayi. Selain itu ia juga mengandungi imunoglobulin iaitu antibodi yang penting terhadap imun badan bayi.

"Kandungan susu ibu sentiasa berubah mengikut keperluan bayi. Contohnya, kandungan protein dalam susu akan lebih banyak jika bayi yang lahir tidak cukup bulan.

"Ini tidak sama dengan kandungan susu formula. Walaupun nutrisi boleh ditambah, tetapi ia tetap dan tidak boleh mengikut keperluan bayi," jelasnya.

Mengulas mengenai pembuatan sabun susu badan yang diadakan oleh kumpulan-kumpulan sokongan penyusuan ibu, Dr. Noor Haliza mengakui tidak pernah mendengar perkara itu sebelum ini.

Ujarnya, sememangnya tidak pelik bahan-bahan tenusu dijadikan sabun kerana ia mempunyai sifat melembap yang baik untuk kulit.

"Wujud persepsi negatif dalam kalangan orang ramai mengenai sabun itu. Pasti ramai yang berasa geli mahu menggunakan. Ia kerana kebanyakan individu hanya menerima susu ibu untuk anaknya," katanya sambil menambah tiada masalah jika bahan tersebut dijadikan sabun.

Namun, tidak menolak kemungkinan ada stigma terhadap produk tersebut.

Sementara itu, penceramah agama, Ustaz Haslin Baharim ketika dihubungi memberi pandangan bahawa sabun yang diperbuat daripada susu ibu perlu diteliti.

Menurutnya, susu ibu yang dibiarkan lama sehingga rosak boleh bertukar menjadi darah. Justeru, ia memerlukan banyak perbincangan.

"Seperti juga pembuatan gincu daripada uri yang tidak dibenarkan," katanya.

Maka, perkara tersebut perlu dibincangkan dan diperhalusi pada peringkat jabatan agama atau majlis fatwa.

Mengulas mengenai susu lain yang dijadikan sabun seperti susu kambing, Haslin berkata, itu dibolehkan dan memang untuk kegunaan manusia.

Makanan eksotik etnik Newar

Posted:

Makanan eksotik etnik Newar

Makanan eksotik etnik Newar


BERKUMPUL di bhatti merupakan sebahagian daripada amalan sosial silam masyarakat Newar.


MENYUSURI lorong sempit berturap yang hanya beberapa minit dari hab pelancongan yang sibuk di Kathmandu, Durbar Square, seorang peniaga makanan, Uttam Manandhar giat menyediakan pelbagai hidangan seperti otak, tulang belakang dan buah zakar kerbau.

Hidangan itu mungkin kelihatan tidak menyelerakan bagi masyarakat Barat, namun bagi masyarakat etnik Newar, berkumpul di bhatti seperti itu merupakan sebahagian daripada amalan sosial silam yang telah tidak diketahui ribuan pelancong yang datang ke Nepal untuk mendekati budaya negara itu.

Kedai makan yang terletak di lorong-lorong sempit itu merupakan sebahagian daripada ratusan tempat makan dalam lubang dinding yang menyajikan minuman keras buatan sendiri dan pelbagai snek berasaskan daging kerbau.

"Ini merupakan makanan ruji masyarakat Newar. Saya rasa penduduk tempatan datang ke sini kerana makanannya murah, berkhasiat dan sedap," katanya sambil sibuk menyediakan hidangan saraf tunjang dan usus goreng.

Hidangan

Kedua-dua bahagian lorong itu dipenuhi lubang-lubang yang meletakkan kedai makan yang hanya boleh dikenali melalui tirai dipenuhi kesan minyak yang menutupinya.

Di bahagian dalam kedai, sedozen hidangan Newar, yang terdiri daripada nasi tumbuk dan bahagian-bahagian seekor kerbau, disajikan kepada masyarakat tempatan lapar yang menikmatinya bersama arak beras yang dipanggil raksi.

Pelanggan membayar 100 rupee (RM5.10) untuk satu hidangan yang mengenyangkan, sementara dua gelas raksi berharga 40 rupee (RM2).

Hidangan-hidangan yang ditawarkan termasuk otak kerbau, phokso (paru-paru disumbat dengan daging cincang), kachila (daging mentah), kulit kerbau bakar, sup saraf tunjang dan usus goreng.

Menurut Uttam, walaupun pelancong berduyun-duyun mengunjungi kuil-kuil abad ke-17 dan tarikan-tarikan lain demi menikmati pengalaman sebenar Kathmandu, mereka jarang mengunjungi tempat makan ini.

"Tempat ini mungkin gelap dan tidak sebaik jika dibandingkan dengan kedai-kedai makanan lain di Kathmandu. Tetapi setelah mereka merasai keenakan sajian ini, mereka pasti akan tergoda," ujarnya.

Sebuah bhatti biasa mungkin dikunjungi 60 orang pelanggan dengan meraih pendapatan bersih sebanyak 4,000 rupee (RM204) sehari.

Walaupun kos tenaga kerja rendah, pemilik kedai biasanya berperanan sebagai pelayan dan tukang masak.


ANTARA hidangan yang ditawarkan ialah otak kerbau, paru-paru disumbat dengan daging cincang, kulit kerbau bakar, sup saraf tunjang dan usus goreng.


"Kami amat sibuk pada lewat tengah hari dan petang kerana pelanggan kami, terutamanya masyarakat Newar, akan datang ke sini untuk makan dan bersosial," jelasnya.

Sementara itu, di bawah sinaran sebiji mentol dalam sebuah bilik panjang yang dipenuhi meja dan kerusi kayu, seorang pelanggan, Narendra Gopal Shrestha, sedang menikmati sepinggan stu kentang dan jeruk kacang soya serta timun bersama cuka dan cili.

"Saya membesar dengan makanan Newar di rumah dan menikmatinya setiap hari. Sajian enak ini murah dan tidak terdapat di mana-mana kecuali di Kathmandu.

"Anak-anak saya lebih gemar mengunjungi restoran-restoran mahal yang menawarkan makanan segera seperti piza dan burger. Saya rasa hanya generasi lama sahaja menghargai hidangan ini," ujarnya.

Beliau memaklumkan makanan-makanan tersebut mencerminkan kekayaan budaya yang diperoleh daripada gabungan unik agama Buddha dan Hindu masyarakatnya.

Tambahnya, ia juga mengimbau sejarah pertanian masyarakat Newar ketika mereka membekalkan makanan itu kepada pekerja-pekerja ladang mereka.

Modenisasi

Menurut pakar-pakar makanan, walaupun terdapat beberapa bhatti di setiap lorong sedekad lalu, jumlah tersebut kian berkurangan.

Menurut penulis makanan, Shekhar Kharel, kedai-kedai makan ini wujud sebelum kedatangan restoran makanan segera dan budaya makan di luar.

"Sekitar tahun 1970-an, golongan-golongan kreatif akan meluangkan masa di kedai makan itu," ujarnya.

Shekhar percaya pelanggan kini semakin berpengetahuan dan maju, seiring dengan sikap terbuka Kathmandu sejak beberapa dekad lalu.

Ia sekali gus menjadikan restoran-restoran yang menawarkan hanya sejenis hidangan semakin lapuk.

"Bhatti merupakan sepupu miskin kafe-kafe mewah suatu kawasan kejiranan.

"Sungguhpun mereka diancam dengan kehadiran pendatang baharu, namun ia mempunyai pelanggan setia. Kedai-kedai makan ini mungkin dapat mengekalkan kegemilangan mereka jika memodenkan sedikit tawaran yang disediakan kerana anda tidak dapat merasai keaslian hidangan di tempat-tempat lain," katanya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved