Khamis, 5 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Dosa Bashar terhadap Syria

Posted:

Dosa Bashar terhadap Syria

Dosa Bashar terhadap Syria

"BAGAIMANA anda boleh membunuh 1,500 orang dalam tempoh kurang daripada sejam?"

Soalan itu tadi bukanlah teka-teki untuk menguji kepintaran anda. Sebaliknya itulah persoalan yang dilontarkan oleh seorang aktivis keamanan, Mohamed Zeyara, 19, kepada beberapa orang awam di Kanada kira-kira dua minggu lalu.

Pelbagai reaksi diterima dan rata-ratanya memberikan jawapan senjata kimia adalah senjata paling berkesan untuk membunuh ramai orang dalam tempoh yang singkat.

Semua itu dipaparkan dalam video bertajuk Canadians react to chemical massacre in Syria (Reaksi rakyat Kanada terhadap pembunuhan beramai-ramai di Syria) yang berdurasi lima minit 25 saat di laman YouTube.

Seorang daripada rakyat Kanada yang belum jelas tujuan soalan tersebut ditanyakan kepadanya bertindak menanyakan kembali apa tujuan pembunuhan secara beramai-ramai itu?

Insiden kejam tersebut didakwa dilakukan oleh rejim tentera Presiden Bashar Al-Assad dengan menggunakan senjata kimia sewaktu menggempur pinggir Damsyik, Syria pada 21 Ogos lalu. Antara kawasan yang terbabit ialah Jobar, EinTarma dan Zamalka yang terletak di timur Damsyik.

Rentetan serangan tidak berperikemanusiaan itu, kebanyakan kedai dan pasar raya di Damsyik dipenuhi oleh penduduk tempatan yang berebut menyimpan bekalan makanan sebagai persediaan dalam menghadapi kemungkinan yang lebih buruk.

Pertembungan politik

Rakyat Syria semakin terhimpit kerana harga barangan meningkat secara mendadak berikutan permintaan yang tinggi.

Namun, kesan gangguan fizikal dan psikologi terhadap rakyat Syria memberikan trauma yang mendalam dan mendapat perhatian masyarakat dunia secara umum.

Perang saudara di Syria, yang juga dikenali sebagai Kebangkitan Syria yang tercetus sejak 15 Mac 2011 apabila penunjuk perasaan di Damsyik mahu tahanan politik yang disokong mereka dibebaskan dari penjara.


SEORANG lelaki mendukung mayat kanak-kanak perempuan yang maut akibat terhidu racun kimia.


Pada April 2011, tentera Syria diarah untuk mematahkan pemberontakan yang berlaku semasa demonstrasi jalanan dengan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.

Selepas berbulan-bulan dikepung tentera, penunjuk perasaan berubah menjadi pemberontak bersenjata. Difahamkan, puluhan ribu penunjuk perasaan telah dipenjarakan dan terdapat laporan mendakwa tahanan tersebut diseksa dengan keganasan di penjara.

Menurut laporan Badan Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria (SOHR) yang dikeluarkan pada 31 Ogos lalu, jumlah kematian melibatkan rakyat dan pasukan tentera Syria adalah seramai 110,371 orang.

Rakyat Syria, Kheireddine Nahleh, 53, berkata dia dan sebahagian besar penduduk negara itu sudah lali dengan bunyi dentuman bom yang berlarutan sejak dua tahun lalu.

"Kematian semuanya sama, sama ada dengan bedilan meriam ataupun peluru berpandu Amerika Syarikat. Saya tidak takut," ujarnya tanpa rasa gentar.

Difahamkan, serangan senjata kimia baru-baru ini telah mengorbankan seramai 1,429 rakyat tidak berdosa termasuk 426 orang kanak-kanak.

Insiden tersebut bukan sahaja mendapat perhatian pemimpin dari negara-negara Islam tetapi turut membuatkan Presiden Perancis, Francois Hollande terpanggil untuk mengecam serangan berkenaan.

Senjata kimia

"Jenayah pembunuhan beramai-ramai menggunakan senjata kimia di Damsyik tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang hukuman," katanya kepada pemberita akhbar Le Monde yang disiarkan pada 30 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Pakar Senjata Kimia di SecureBio Ltd. yang berpangkalan di England, Hamish de Bretton-Gordon berkata, mangsa senjata kimia di Syria mengalami simptom menggelupur di seluruh badan akibat kesan keracunan yang menyerang saraf mereka.

"Saraf pada badan mangsa musnah secara berperingkat-peringkat oleh sejenis bahan kimia seperti sarin," ujarnya dalam wawancara bersama ABC News.

Biarpun ada dakwaan mengatakan rakaman mengenai kesan senjata kimia ke atas rakyat Syria yang dimuat naik di laman YouTube adalah palsu, Hamish tidak meragui sedikitpun kebenaran rakaman berkenaan.

Katanya, kanak-kanak tidak boleh memalsukan penderitaan yang dialami dan beliau sememangnya terkejut sekiranya video tersebut adalah lakonan semata-mata.


PAKAR senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (bertopeng gas) membawa sampel bahan kimia sambil diiringi pejuang bebas di Damsyik.


Bashar bagaimanapun menafikan serangan senjata kimia itu dicetuskan oleh rejim tenteranya dan mendakwa kenyataan itu tidak berasas.

Pakar Senjata Kimia merangkap Penganalisis Penyelidikan di Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (England), Dina Esfandiary memberitahu, tanda-tanda yang dialami mangsa adalah mirip dengan kesan serangan senjata kimia.

Dina menyimpulkan senjata kimia yang digunakan tentera Syria bukan daripada jenis sarin seperti yang dipercayai oleh orang ramai.

"Jika senjata kimia tersebut ialah sarin, sistem saraf pasukan paramedik biasanya akan turut terjejas ketika mereka merawat (bersentuhan tanpa pelindungan) mangsa. Mungkin senjata kimia yang digunakan merupakan campuran pelbagai jenis bahan kimia.

"Kebanyakan mangsa mengalami masalah sesak nafas, wajah yang kebiruan, mata mereka seakan-akan mengembang dan tiada seorangpun mangsa menunjukkan tanda-tanda mereka mengalami kecederaan di luar badan," jelasnya.

Kegunaan asal sarin ialah sebagai racun perosak. Ia pernah digunakan oleh rejim tentera Iraq pada zaman Presiden Saddam Hussein bagi membunuh ribuan penduduk di bandar utara Halabja di utara Iraq pada tahun 1988.

Mangsa yang menghidu sarin atau terkena serapan gas kimia tersebut pada kulit akan mengalami kesan kelumpuhan pada sistem saraf dan otot di sekitar paru-paru yang menyebabkan maut.

Pada tahun 2012, Laporan Kongres Perkhidmatan Penyelidikan (CRS) mendedahkan hanya empat negara yang disahkan sebagai mempunyai senjata kimia iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Korea Utara dan Syria.

Syria dilaporkan menghasilkan senjata kimia dari jenis gas sarin, Tabun dan VX.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved