Khamis, 5 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Punya agenda tersendiri

Posted:

Punya agenda tersendiri

Punya agenda tersendiri

SOPAN dia bersalaman dan memperkenalkan diri. Senyum bertaut sebelum bicara kami meleret berjam-jam. Dari satu topik kepada topik lain bicara kami melompat.

Pada saat rancak berbicara, banyak mata memerhati, cuba meneka siapa lelaki kurus dengan rambut lurus halus di hadapan saya yang pada masa sama, hampir rokok tidak terlepas dari tangannya sepanjang sesi temu bual berlangsung.

Dia, Amerul Affendi Mohd. Mawardi. Ironi, memang tidak terkenal langsung tuan punya diri. Mencari berita berkaitan dirinya menerusi Google hampir tiada.

Hanya khalayak yang pernah menonton hasil 'permainannya' dalam bidang teater sahaja barangkali tahu betapa hebat lelaki berusia 28 tahun ini memukau hadirin untuk terkesima dengan kemampuannya. Sementelah, dia sendiri bukan jenis tersua- sua kepada media untuk mencari secebis publisiti.

Memang, dia sendiri mengakui bahawa tidak banyak orang yang mengenali dirinya. Tak, padahal dia bukan pucuk muda dalam bidang lakonan. Juga, bukan terlalu lama dalam lapangan ini.

Malah, portfolio kerjanya juga belum masuk dalam kategori puluhan. Namun, dalam hitungan jari naskhah yang dimainkannya, ia bukan naskhah biasa-biasa.

Sebaliknya, Amerul sempat bermain dalam beberapa filem seperti Tolong Awek Aku Pontianak, Bikers Kental dan Bunohan.

Lawan mainnya dalam sesebuah naskhah juga selalu bersama aktor Bront Palarae atau Zahiril Adzim yang merupakan teman-teman baiknya.

Terbaharu, Psiko, Pencuri Hati menjadi naskhah terkini yang menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.

Bagaimanapun, mengapa selalu khalayak terlepas pandang tentang dirinya?

Saat soalan itu diajukan kepada anak kelahiran Temerloh, Pahang ini, dia hanya tersenyum. Ringkas dia menjawab: "Tidak pasti," dan menyambung senyum semula.

Jujurnya, luah Amerul juga dia tidak melakukan kerja lakonan untuk menjadi popular dan dijulang tinggi.

Ujarnya: "Saya sedar, dikenali orang itu perlu tapi itu bukan matlamat saya. Saya berlakon kerana saya sukakan proses kerja itu sendiri."

AMERUL tidak mementingkan kuantiti produk lakonannya tetapi lebih kepada menilai impak penglibatannya dalam sesebuah naskhah.


Jelas Amerul, kerja lakonan dijalaninya kerana ia bagai meresap sebati di dalam diri secara semula jadi dan tiba-tiba. Dia mengakui bahawa tidak pernah terfikir dirinya mempunyai bakat dalam bidang seni.

"Di sekolah, saya selalu kena buli dan bersendirian. Saya tak ada kawan, sehingga sewaktu berada di tingkatan enam, saya tiba-tiba terjebak dalam pementasan teater di sekolah sehingga masuk ke peringkat negeri.

"Saya bawa watak lelaki India untuk teater berdasarkan karya sastera, Jalan Sempit dan saya menang sebagai pelakon pembantu lelaki terbaik. Sejak itu, saya kira saya mungkin ada bakat dalam bidang ini," cerita Amerul sambil ketawa mengingati semula kronologi bagaimana dia pertama kali terjebak dalam dunia seni.

Terdorong daripada langkah tersebut, dia kemudian memilih jalan yang lebih serius dengan mendaftar diri di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), Kuala Lumpur.

Katanya, tidak sangka dia diterima menjadi pelajar di akademi tersebut dan menuntut dengan individu-individu hebat seperti Ahmad Yatim, Namron, Zakaria Afirin dan Marlia Musa.

Hari ini, selepas meninggalkan akademi tersebut pada 2008, Amerul melebarkan kariernya perlahan-lahan. Dari dunia teater yang kecil, dia ikut masuk menyertai 'padang' yang lebih besar melalui skrin televisyen dan filem.

Alter ego

Naskhah terkininya, Psiko, Pencuri Hati sekali lagi menjadi kayu ukur kepada kredibilitinya. Menerusi pemerhatian media yang telah menonton filem tersebut pada tayangan perdana yang diadakan minggu lalu, lakonan Amerul sebagai Man dan O Sidi, begitu menonjol.

Bermula hari ini, kemampuannya akan dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia yang bakal keluar menyaksikan filem tersebut di pawagam.

Hanya mengangguk tanda faham dan terima kasih terhadap pujian yang diberikan kepadanya, Amerul menjelaskan, Man yang dilabelkan sebagai karakter hitam merupakan watak paling 'senang' untuk dilakon- kannya.

"Man ialah alter ego (peribadi kedua) O Sidi. Man boleh dijelaskan sebagai nafsu apabila O Sidi tidak mampu membuat keputusan sendiri. Mengajak orang membuat jahat, sangat mudah. Sangat!" katanya yang tidak suka menonton lakonan pelakon lain terlebih dahulu untuk belajar kerana melihat ia lebih kepada satu peniruan.

Dia membetulkan sedikit kedudukannya, mengetuk punggung rokok supaya mampat sebelum menyambung bicara.

Ujarnya: "Bagaimanapun, sejujurnya saya rasa belum cukup puas dengan watak tersebut. Saya merasakan kelompongan pada asas 'persahabatan' Man dan O Sidi."

Diajak bercerita tentang pembikinan naskhah milik Namron itu, Amerul pantas memberitahu sutradara tersebut sebagai seorang psiko.

Katanya, sepanjang 18 hari penggambaran, setiap pelakon diberi kebebasan untuk membentuk karakter tersendiri.

"Kami tak punya skrip. Sehari sebelum penggambaran, dia (Namron) cakap esok kita shooting dan kami mula berimaginasi membentuk karakter sendiri berasaskan jalan cerita yang diberikan," ujarnya tentang proses mengenal watak yang dilakukannya bersama rakan pelakon lain seperti Sharifah Amani, Syed Hussein dan Bront Palarae.

Sekolah seni

Diasak terus tentang kehidupannya dan populariti, Amerul memberitahu. kelangsungan hidupnya bukan sekadar dalam bidang lakonan, sebaliknya dia mempunyai rumah penerbitan Seni Suri Jawi yang muncul dengan karya pertama tulisan Wanji Aswandi, Mahar Ke Syurga.

Amerul juga menjelaskan, bukan dia menentang untuk menjadi orang popular.

Sebaliknya, sejak dulu dia selesa dengan kehidupan yang dijalaninya. Punya makan dan pakai yang cukup dan kehidupan yang sederhana sudah memadai buatnya.


MENGAKU dia mempunyai lebih banyak peminat dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa impak lakonannya dalam drama Cuak di Astro Ceria.


"Saya tidak menentang popular. Saya tahu benda itu (popular) penting untuk artis tapi setakat hari ini saya selesa dengan kehidupan saya. Saya juga tidak rasa terbeban tidak cukup duit atau sebagainya. Semuanya serba sederhana dan cukup makan pakai.

"Saya pun tak pernah terfikir macam mana kalau saya jadi orang popular sebab seperti yang saya jelaskan, saya masuk dalam dunia ini kerana saya sukakan proses mencari karakter dalam diri saya sendiri untuk dimuntahkan pada saat saya berlakon," jelasnya perlahan-lahan.

Disogok dengan kesederhanaannya bagai tidak realistik dengan kehidupan sebagai anak seni yang barangkali akan terus berada dalam industri untuk tempoh 30 tahun akan datang, Amerul tersenyum. Ternyata, dia punya jawapan tersendiri tentang perkara yang dijolok kepadanya.

Anak keempat daripada enam beradik ini memberitahu, selain mempunyai bakat seni, dia sebenarnya mahu menjadi pendidik dengan kelulusan yang diperoleh.

Menimba ilmu di Aswara dan kini melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Seni Persembahan di Universiti Malaya (UM), Amerul menyasarkan tempoh 15 tahun akan datang dia mungkin kembali ke kampungnya di Temerloh dan membina sebuah pondok seni untuk remaja di kampungnya.

"Saya punya impian untuk buka sekolah seni atau mungkin sebuah pondok pendidikan untuk budak-budak kampung belajar tentang seni. Sebab itu saya tidak risau sangat tentang masa depan saya dalam bidang ini.

"Saya kira, cukup kalau saya masih mampu bermain teater dan terbabit dalam naskhah yang berkualiti, berbanding saya terlalu banyak berlakon tetapi ia tidak memberi sebarang impak," jelasnya yang teruja untuk kembali bermain teater dengan Zahiril dalam masa terdekat ini.

Sherry Ibrahim kecewa dijadikan bahan gosip

Posted:

Sherry Ibrahim kecewa dijadikan bahan gosip

Sherry Ibrahim kecewa dijadikan bahan gosip

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

FIGURA ini bakal muncul dengan sebuah projek baharu bersama LOL Entertainment.


BARU-BARU ini muncul artikel yang mendakwa Sherry merupakan seorang aktres yang sombong dan tidak mahu menghadiri uji bakat yang telah dijalankan oleh sebuah produksi drama.

Sebagai seorang pelakon yang komited dan profesional dengan kariernya, Sherry ternyata seorang yang tidak mudah melatah.

Ikuti temu bual Sherry bersama Kosmo! tentang isu tersebut.

Kosmo!: Boleh ceritakan tentang perkembangan terkini Sherry?

SHERRY: Setakat ini saya tiada tawaran berlakon drama atau telefilem. Bukan saya tidak mahu ambil tawaran, namun ada beberapa tawaran yang bertindih dengan perkara lain yang saya ingin lakukan. Jadi, saya terpaksa tolak. Namun, kelak saya akan tampil dengan sebuah projek baharu bersama LOL Entertainment iaitu syarikat pengurusan saya kini.

Bercerita tentang tawaran berlakon, ada yang mengatakan anda kini semakin sombong. Boleh komen?

Saya bukan begitu. Sebenarnya ia merupakan perkara lama. Bagi saya, ia perkara remeh dan tidak perlu diperbesar-besarkan sebenarnya kerana ia tidak benar sama sekali. Tanyalah sesiapa yang mengenali saya, mereka tahu saya bukan begitu.

Sejujurnya, ini pertama kali ada orang mendakwa saya berperangai sedemikian. Ia merupakan perkara yang tidak profesional dan tidak sangka sampai keluar artikel tentangnya.

SHERRY enggan memanjangkan tentang gosip yang mendakwa dirinya sombong dan enggan menghadiri uji bakat di sebuah produksi drama.


Bagaimanakah Sherry tahu tentang perkara ini?

Saya juga tidak perasan tentang hal itu. Namun, setelah disampaikan kepada saya, terus saya baca artikel tersebut dan terkejut dengan apa yang didakwa. Pada hari tersebut, bukannya saya tidak menegur penerbit itu, namun saya tidak perasan akan kehadirannya.

Jika saya sombong, mengapa saya hadir ke sesi uji bakat dan saya isi borang serta ambil skrip untuk dibaca. Saya pelik kenapa mahu diperbesar-besarkan isu ini dan jujurnya, saya kecewa sebab sampai nak masuk akhbar.

Sherry juga telah didakwa tidak mahu menghadiri uji bakat dan ingin terus mendapatkan watak tersebut?

Tidak benar. Saya memang telah ambil skrip dan isi borang untuk menghadiri uji bakat. Saya pergi ke sana, dan tanya dengan penerbit tentang watak saya. Jika saya sombong, mengapa saya hadir ke sana? Biarlah jadi seorang yang profesional. Saya boleh menjawab semula, namun apa gunanya berbuat demikian. Saya rasa ia perkara mudah yang boleh diselesaikan.

Adakah perkara ini akan mengganggu periuk nasi Sherry sebagai seorang pelakon?

Tidak sama sekali. Bukan saya mahu bercakap besar, namun sebelum ini ada pengarah dan penerbit yang memuji cara kerja saya. Saya memang sangat komited terhadap karier saya dan tidak pernah ada yang membuat aduan.

Mungkin ada apa-apa yang Sherry ingin sampaikan kepada individu yang menyampaikan cerita ini?

Tiada apa-apa. Saya tidak mahu panjangkan isu ini. Cuma apa yang saya ingin katakan, jangan dengar sebelah pihak sahaja. Biarkan sahaja, saya tidak mahu memperoleh publisiti murahan melalui perkara sebegini.

Teka-teki pernikahan Bront

Posted:

Teka-teki pernikahan Bront

Teka-teki pernikahan Bront

oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

BRONT tiba-tiba mengeluarkan kenyataan menerusi sebuah portal di internet menafikan dia sudah berkahwin.


BRONT PALARAE, nama yang tidak perlu lagi diperkenalkan kepada peminat filem tempatan. Lelaki tinggi lampai ini memang dikenali dengan bakat lakonannya yang luar biasa dan terlibat dengan banyak filem hebat serta produksi teater.

Bagi yang mengikuti perkembangan Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, memang jarang dirinya dikaitkan dengan kontroversi yang membidas tentang isu peribadi mahupun kisah cinta.

Mungkin wujud sekali dua isu yang memanaskan namanya dalam industri, namun ia tentang lakonan adegan babak ranjang yang dilakonkan bersama Nadiya Nissa dalam filem Jiwa Taiko.

Bagaimanapun pada tahun lalu, Bront pernah digosipkan bercinta dengan pasangan pelakon wanita yang bergandingan dengannya dalam filem Juwanita.

Pelakon yang dimaksudkan ialah wanita tinggi lampai, Cristina Suzanne Stockstill dan ketika itu mereka mengakui sedang berkawan.

Kembali sunyi dan hanya memberi fokus terhadap lakonan, secara tiba-tiba pada hari Selasa lepas, nama Bront kembali panas yang mana keluar sebuah artikel dalam sebuah akhbar tempatan yang mendakwa Bront telah pun bernikah.

Bront dikatakan telah melangsungkan majlis tersebut secara senyap-senyap dan ramai antara rakan rapat yang mengenalinya juga tidak tahu menahu tentang berita pernikahan tersebut.

"Saya minta maaf, majlis ini secara tertutup dan hanya dihadiri oleh saudara-mara terdekat.

"Kalau boleh, saya tidak mahu menghebahkan perkara ini kerana banyak hati yang perlu saya jaga, terutamanya rakanrakan artis dan media.

"Sebab itu saya lakukan pernikahan ini secara tertutup," jelas Bront enggan memberi komen lanjut seperti mana yang dipetik daripada sebuah akhbar tempatan pada 2 September lepas.

Artikel tersebut juga telah mendedahkan bahawa Bront telah menjalani akad nikah dengan wanita yang merupakan kenalan lama hanya dengan sekali lafaz pada 31 Ogos di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail.

Walau bagaimanapun pada hari yang sama artikel itu tersiar, Kosmo! cuba menghubungi aktor tersebut untuk meminta komen mengenai isu berkenaan, namun dia sekadar memberi jawapan ringkas.

"Saya mengaku saya sudah berkahwin. Majlis pernikahan tersebut dihadiri oleh keluarga terdekat seramai 30 orang. Namun, kakak dan ibu saya tidak dapat menghadirkan diri di majlis tersebut. Saya akan mengadakan majlis resepsi di Hatyai, Thailand kelak," ujar Bront.

Namun, keesokan harinya keluar pula artikel Bront menafikan kepada sebuah portal di internet bahawa dia sudah berkahwin.

Katanya: "Bagi saya, 31 Ogos (tarikh dikatakan berkahwin) merupakan Hari Kemerdekaan dan saya sekarang ini sedang mempromosikan filem terbaharu saya, Psiko Pencuri Hati.

"Saya tidak mahu sebarang isu yang boleh menganggu promosi filem terbaharu saya ini," ujarnya.

Katanya lagi, ini merupakan kali kedua dirinya didakwa telah berkahwin. Malah tegas Bront, pada tarikh dia dikatakan berkahwin itu, dia berada di sebuah konti radio atas urusan kerja.

"Pada tarikh tersebut saya turut berada di sebuah konti radio tetapi jari saya tidak berinai pun. Saya rasa lebih baik jika bertanya sendiri pada sumber yang mengeluarkan berita tersebut (akhbar terbabit)," ujarnya.

Sehubungan itu, Kosmo! turut menemu ramah beberapa rakan baik Bront yang ternyata terkejut dengan berita pernikahan tersebut.

"Saya memang sangat terkejut dengan berita yang disampaikan ini. Memang saya juga tidak tahu-menahu tentang pernikahannya.

"Namun bagi saya, dia berbuat demikian mungkin kerana punya sebab tersendiri atau mungkin juga untuk menjaga hati keluarga.

"Apa pun, saya berharap mereka bahagia," tutur Remy yang ditemui di majlis Cabaran Dashing 2 di Vertigo, The Gardens pada Selasa lepas.

Selain itu, Cristina pula ketika dihubungi enggan mengulas lanjut tentang berita pernikahan rakannya itu.

"Saya tidak mahu cakap apa-apa tentang ini. Bagai manapun sebagai rakan, saya akan mendoakan kebahagiaan mereka," bicara Cristina ringkas.

Sementara itu, ujar aktor berwibawa Khir Rahman: "Saya baik dengan Bront sebagai rakan industri tetapi tidak dari segi peribadi. Jadi, saya tak tahu dia sudah berkahwin atau tidak.

"Jika benar (sudah kahwin), saya kira molek kalau Bront jangan lari (daripada cerita sebenar), tetapi hadapinya supaya tak timbul fitnah di kemudian hari."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved