Selasa, 10 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tersingkir bukan tersungkur

Posted:

Tersingkir bukan tersungkur

Tersingkir bukan tersungkur

PADA era tahun 1980-an di bumi Emiriyah Arab Bersatu, bersatu dua hati dan perasaan yang kemudian dicanai menjadi sebuah cinta sejati.

Cinta antara seorang pemuda Arab dan gadis Korea Selatan yang kemudiannya bersatu di alam rumah tangga itu kemudian membuahkan dua orang zuriat - salah seorang daripadanya dinamakan Amina El Shafei.

Pada usia 29 tahun, Amina kini bangkit untuk menjengah status selebriti bertaraf antarabangsa biarpun dia bukanlah artis yang berkebolehan menyanyi, berlakon atau berteater.

Kejaguhan memasak seperti yang dibuktikan Amina menerusi kemunculan dalam program realiti TV popular, MasterChef Australia musim keempat (MasterChef Australia 4) yang disiarkan di Astro menerusi saluran Lifetime (709) itu telah meletakkan namanya untuk dikenali di seluruh dunia.

Apa yang menimbulkan inspirasi, kebangkitan Amina yang merupakan antara peserta kesukaan ramai dalam MasterChef Australia 4 itu bukan kerana dia berjaya meraih gelaran juara program masakan tersebut.

Malah, dirinya tidak tersenarai dalam kalangan 10 peserta terbaik.

Dia sebenarnya telah tersingkir sejurus sebelum senarai 10 peserta terbaik diumumkan layak untuk meneruskan perjuangan dalam memburu gelaran juara program tersebut.

Namun, tersingkir daripada MasterChef Australia 4 bukan bermakna dirinya langsung tersungkur.

"Sudah tentu saya dilanda emosi kesedihan apabila tersingkir daripada MasterChef Australia 4, sementelah saya hampir-hampir layak tersenarai dalam kalangan 10 peserta terbaik program itu," tuturnya ketika ditemui semasa dia hadir di Kuala Lumpur baru-baru ini yang dibawa khusus oleh Lifetime.

Kembara

Memiliki seraut wajah yang senantiasa menguntumkan senyuman manis penuh ikhlas, Amina ternyata seorang individu yang cukup ceria - sama seperti yang kelihatan ketika dia beraksi dalam MasterChef Australia 4.

Ungkapnya: "Selepas tersingkir daripada MasterChef Australia 4, saya berasa diri ini kosong. Ini kerana saya sudah terbiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti dalam program itu tetapi apabila tiba-tiba saya tidak lagi berada di situ, saya akui agak sukar untuk kembali meneruskan aktiviti memasak. Saya mengambil masa untuk kembali membiasakan diri di dunia realiti."


FIGURA ini begitu kagum dan bangga dengan hasil tanaman segar di Tasmania, Australia.


Selepas meninggalkan segala kenangan manis dan pahit sepanjang berada dalam program tersebut, aura keyakinan dalam dirinya untuk kembali memasak sedikit demi sedikit menyerap dalam dirinya.

"Saya kembali sibuk dengan mengadakan kelas memasak dan demonstrasi memasak," ujarnya yang menetap di Sydney bersama ibu, bapa dan adik perempuannya, Eman, 24.

Amina mengakui, impak daripada penyertaan dirinya dalam MasterChef Australia 4 telah membuka jalan yang terbentang luas buat dirinya untuk meraih kejayaan pada masa depan menerusi bidang masakan.

"Selain cuba mengutip pengalaman dalam bisnes dengan membantu rakan yang mengusahakan restoran masakan Asia Barat, saya juga sedang dalam proses menyiapkan penerbitan buku masakan yang dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun depan," ujarnya yang juga dalam proses merangka sebuah laman web interaktif mengenai segala kegiatan dirinya untuk dihubungkan dengan Twitter dan Facebook.

Peminat muzik jazz ini juga memanjatkan kesyukuran kerana dia kini mampu memenuhi impiannya yang gemar mengembara.

"Selain sudah mengembara ke serata Australia, saya telah berpeluang menjejakkan kaki sejak awal tahun ini ke Sepanyol, Portugal, Maghribi, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan kini, Malaysia. Pada bulan September ini, saya dijadualkan ke London dan dalam proses perbincangan untuk ke Pakistan," tuturnya.

Disangka Melayu

Bercerita mengenai kunjungannya ke Malaysia, Amina tiba-tiba tergelak.

Katanya: "Ketika saya di Kuala Lumpur ada ramai orang yang bercakap menggunakan bahasa Melayu dengan saya. Mereka sangka saya orang Melayu, padahal saya langsung tidak faham apa yang mereka perkatakan."


AMINA (berdiri tiga dari kanan) bersama kesemua peserta yang bersaing sesama sendiri dalam gelanggang program MasterChef Australia 4.


Ujarnya lagi, di Malaysia dia begitu kepingin untuk merasai kelazatan murtabak.

"Selain murtabak, saya tidak ingin melepaskan peluang untuk menikmati nasi lemak, ais kacang dan asam pedas. Semuanya lazat!" ungkapnya.

Bagaimanapun, apabila ditanya apakah makanan kegemarannya, beritahu Amina: "Saya tidak mempunyai makanan kegemaran. Ia bergantung kepada mood dan cuaca tempat saya berada sebenarnya."

Namun kata Amina, dia mempunyai tiga bahan masakan yang paling disukainya iaitu minyak zaitun, bawang putih dan yogurt.

"Anda boleh mulakan masakan dengan minyak zaitun. Apabila ia berada dalam kuali, banyak yang boleh dihasilkan daripadanya. Bawang putih pula merupakan bahan asas dalam masakan dan saya sangat sukakan yogurt. Ketiga-tiga minyak zaitun, bawang putih dan yogurt sememangnya merupakan 'penghuni' tetap peti sejuk saya," akuinya.

Falsafah

Di sebalik sifatnya yang gemar berjenaka, Amina memiliki falsafah tersendiri dalam melakukan aktiviti memasak.

"Memasaklah daripada hati. Kalau tidak minat memasak tetapi sekadar memasak kerana terpaksa, maka makanan yang dimasak itu tidak akan lazat dimakan," tegasnya.

Tambahnya: "Sebab itu masakan ibu kita lazat kerana mereka memasak dengan penuh rasa kasih sayang."

Ujar Amina, minatnya dalam masakan bercambah apabila melihat kedua-dua ibu dan bapanya memasak di rumah ketika dia di zaman kanak-kanaknya dahulu.

"Biarpun bapa merupakan seorang akauntan manakala ibu pula seorang jururawat, namun mereka berdua gemar memasak di rumah. Merekalah inspirasi saya," tuturnya.

Menyingkap tentang institusi kekeluargaan, Amina menegaskan, dia juga mengimpikan untuk membina keluarga sendiri.

"Suatu hari nanti, saya mahu berkahwin dan memiliki anak-anak sendiri. Lelaki pilihan saya biarlah yang mempunyai ciri-ciri seperti bapa - penyayang dan prihatin," ujar Amina sambil menguntumkan senyuman penuh makna.

Dilabel besar kepala, Waris fokus belajar

Posted:

Dilabel besar kepala, Waris fokus belajar

Dilabel besar kepala, Waris fokus belajar

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


BARU muncul dengan single Botingkek, Waris kini sedang dalam proses merakam lagu Gadis Jolobu, berkolaborasi dengan Hattan.


PERNAH timbul khabar angin mengatakan penyanyi baharu yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Mixology Music, Waris sudah semakin besar kepala dan kurang berdisiplin.

Dakwaan itu timbul ekoran tindakan Waris atau nama sebenarnya, Muzammil Alias, 24, menolak pelawaan untuk penggambaran fotografi selain sukar memberikan kerjasama untuk sesi temu bual dengan beberapa buah akhbar tempatan.

Waris yang mula popular dengan lagu rap Rembau Most Wanted sekitar awal tahun ini, kini muncul dengan single terbaharu, Botingkek.

Kosmo! bertemu dengan Waris pada perlawanan bola sepak sempena Fiesta Muzik & Bola Eravaganza Era FM di Stadium Hang Jebat, Melaka baru-baru ini dan terus mendapatkan maklum balas daripadanya berhubung isu tersebut.

Kosmo!: Timbul beberapa dakwaan sebelum ini bahawa Waris kini sudah besar kepala dan sukar memberikan kerjasama kepada rakan media. Benarkah?

WARIS: Tidak mungkin! Bukan saya sengaja menolak sesi fotografi atau sukar memberikan kerjasama untuk temu bual tapi saya terpaksa buat kerana pelajaran.

Kalau betul saya perlu membatalkan temu janji pada saat-saat akhir, saya akan berbincang terlebih dahulu dengan individu atau wartawan terbabit.

Sejujurnya, saya tidak boleh memberikan fokus terhadap semua perkara dan hanya boleh meluangkan masa pada hujung minggu atau cuti semester.

Adakah ini bermakna Waris tidak bersedia untuk menjadi artis buat masa sekarang kerana gagal memberikan kerjasama untuk urusan yang penting seumpama itu?

Saya harus utamakan pelajaran dan setakat ini tidak ada lagi perkara negatif timbul mengenai saya.

Saya sendiri terkejut apabila diberitahu akan tuduhan saya sombong ini. Alhamdulillah, kerjaya sebagai penyanyi mampu sedikit sebanyak menampung pelajaran saya.

Mungkin juga Waris terkejut dengan budaya dunia seni yang datang secara mendadak dalam hidup peribadi anda?

WARIS berharap masyarakat memahami situasi dirinya yang sedang belajar walaupun menceburkan diri dalam bidang nyanyian.


Tidak timbul rasanya isu saya mengalami kejutan budaya kerana saya sudah bersedia sebelum mula merakamkan lagu pertama dulu.

Saya akui saya terkejut dengan penerimaan peminat terhadap lagu saya dan tidak menjangka sama sekali akan meledak seperti sekarang. Alhamdulillah orang sudah mula mengenali saya walaupun bukan lagi terkenal.

Apakah penjelasan Waris apabila ada pihak yang mendakwa sukar sekali untuk berhubung dengan anda sama ada melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS)?

Sebab pelajaran! Apabila waktu kuliah, saya minta maaf saya tidak boleh diganggu kerana mahu memberikan fokus dan mahu menghormati pensyarah saya.

Orang ramai perlu faham situasi saya. Kalau boleh saya utamakan, saya akan utamakan mana-mana yang perlu.

Bagaimanakah pula persediaan Waris pada masa akan datang?

Mungkin perkara ini akan mengganggu saya tapi saya akan cuba melakukan yang terbaik. Saya mahu tamatkan pengajian bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Selangor terlebih dahulu.

Dalam tempoh setahun setengah lagi, barulah saya boleh memberikan fokus dalam kerjaya seni. Kalau saya melayan (media) lebih, pensyarah pula akan kata saya kekwat (sombong), jadi saya tidak boleh menangkan hati sesiapa buat masa sekarang. Mana-mana yang saya boleh layan, saya akan layan.

Sementara itu, apakah perkembangan terkini Waris?

Saya dalam proses merakamkan single terbaharu berjudul Gadis Jolobu bersama Hattan dan masih belum siap lagi kerana berdepan sedikit masalah.

Nabila, Keisha trauma

Posted:

Nabila, Keisha trauma

Nabila, Keisha trauma

Oleh MALIAH SURIP

NABILA begitu sedih dengan kejadian yang berlaku, namun bersyukur kerana Keisha berada dalam keadaan selamat.


PETANG Ahad lalu, hujan yang turun membasahi hampir kesemua negeri di Malaysia membawa cerita duka buat aktres Nabila Huda.

Aktres tersebut telah terbabit dalam sebuah kemalangan di Kilometer 71, Lebuh Raya Karak dekat Bentong sekitar pukul 3.20 petang.

Pada waktu itu, dia menumpang naik kenderaan pacuan empat roda milik rakan artis, Syazwan Zulkifli pulang daripada melakukan promosi drama Jodoh Itu Milik Kita di Karnival Planet Gempak Astro di Kuantan, Pahang.

Kenderaan tersebut dikatakan hilang kawalan akibat jalan licin lalu terbalik beberapa kali.

Bersama Nabila ialah anak kesayangannya, Keisha Laila Zaidi, berusia empat tahun.

Akibat kemalangan tersebut, Keisha patah tangan kiri dan luka-luka. Nabila pula mengalami luka serta menerima jahitan pada tapak kakinya selepas dia terpijak banyak kaca yang pecah sewaktu mahu menyelamatkan Keisha yang tercampak keluar dari kenderaan tersebut.

Sementara itu, Syazwan yang memandu turut mengalami kecederaan kecil.

Selepas kemalangan, mereka telah dikejarkan ke Hospital Bentong, Pahang sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Pakar Damansara, Selangor sebaik tiba di ibu kota.

Bagaimanapun, hanya Keisha yang dimasukkan ke hospital tersebut.

GAMBAR terbaharu Keisha Laila yang kini berada di kediaman Amy Search selepas dibenarkan pulang ke rumah.


Berbicara dengan Nabila melalui sistem WatsApp sehari selepas kemalangan, aktres tersebut memberitahu, dia masih trauma dengan kemalangan yang berlaku sekelip mata.

"Saya masih trauma dengan apa yang terjadi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana walaupun kami semua cedera, namun selamat. Terima kasih atas doa semua orang terhadap kami," ujarnya.

Tambahnya yang berehat seminggu daripada menjalani sebarang penggambaran, apa yang cukup menggusarkan dirinya adalah keselamatan anaknya, berbanding dirinya sendiri.

Tentang dirinya sendiri, Nabila menulis: "Saya hanya mengalami luka-luka pada beberapa bahagian badan manakala tapak kaki menerima jahitan kerana dimasuki kaca.

"Sekarang, badan baru terasa sakit dan saya sedang dalam perjalanan ke hospital untuk menjalani imbasan pada seluruh badan."

Aktres berusia 29 tahun itu saat ditanya tentang tindakan bekas suaminya, Zaidi atau Eddie yang meluahkan rasa kecewa di halaman Twitter mengenai musibah yang menimpa anak mereka, hanya memberi jawapan ringkas.

"Sebagai ibu, saya sangat sedih apabila kejadian ini berlaku. Ia tidak dirancang tetapi sudah terjadi. Saya sedih. Tak apalah, biar dia mahu tulis apa."

Sementara itu, Keisha kini menetap sementara di kediaman bapa Nabila, Amy Seacrh. Vokalis tersebut sewaktu dihubungi melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana biarpun anak dan cucunya mengalami kecederaan, namun apa yang penting mereka berada dalam keadaan selamat.

BEGINILAH kenderaan pacuan empat roda milik Syazwan yang terbalik beberapa kali dalam kemalangan membabitkan dirinya bersama Nabila dan Keisha di Lebuh Raya Karak dekat Bentong, Pahang, Ahad lalu.


"Keisha hanya mengalami luka dan selepas menjalani imbasan seluruh tubuh, doktor mengesahkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman.

"Walaupun dia selamat, namun Keisha agak trauma dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun, apa yang paling penting, cucu dan anak saya selamat," ujarnya yang merancang untuk menjaga Keisha sehingga pulih dan menghantar cucu sulungnya itu ke prasekolah bersama anak bongsunya, Qaqa At-Tameemi, 4.

Pada masa yang sama, pelakon yang terkenal menerusi drama rantaian Juvana, Syazwan gagal dihubungi. Dia menutup telefon bimbitnya, namun sempat menulis beberapa perkembangan terkini menerusi laman Twitter miliknya termasuk memuat naik gambar kenderaan miliknya yang terbalik pada hari kejadian.

Malah, Syazwan yang sempat 'diserang' bekas suami Nabila, Eddie yang mendakwa dia bersikap tidak prihatin, membidas dengan menyatakan kekesalannya terhadap musibah yang telah menimpa mereka.

Antara petikan Twitter Syazwan kepada Eddie: "Saya bukan manusia yang tiada perasaan. Maafkan saya, saya faham perasaan awak dan saya juga kesal dengan apa yang terjadi."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved