Selasa, 6 Ogos 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Amalan sunah di Aidilfitri

Posted:

Amalan sunah di Aidilfitri

Amalan sunah di Aidilfitri

Oleh AHMAD LUTFI ABDUL WAHAB

AMALAN menziarah kubur boleh dilakukan pada hari raya untuk mengenang mereka yang telah pergi.


HARI Raya Aidilfitri merupakan hari yang penuh dengan kegembiraan bagi seluruh umat Islam. Ini kerana pada hari itu segala keampunan dan rahmat daripada Allah diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Hari yang mulia ini merupakan hari kemenangan umat Islam yang telah menumpaskan godaan nafsu sehingga mereka berjaya menamatkan perjuangan melakukan ibadah puasa, solat tarawih, tadarus al-Quran dan ibadah-ibadah yang lain.

Menjelang Aidilfitri umat Islam bagaikan bayi yang baru dilahirkan oleh ibu mereka dalam keadaan fitrah dan bersih daripada segala dosa. Aidilfitri juga hari merayakan kebesaran Tuhan dan hari mentauhidkan keesaan-Nya.

Maka di mana-mana kita lihat rata-rata umat Islam menyambut dan merayakan Aidilfitri dengan gema takbir yang membesarkan Allah dan tahlil mentauhidkan-Nya. Kebesaran Allah dapat dilihat melalui rahmat dan maghfirah-Nya pada bulan Ramadan dan anugerah lailatulqadar yang cukup istimewa.

Sebelum kedatangan Islam, orang-orang jahiliah dahulu juga menyambut hari raya mereka dengan cara yang tersendiri. Mereka meraikannya dengan berbagai-bagai kemaksiatan seperti minum minuman keras dan menyembah patung berhala.

Setelah kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, hari raya itu diganti dengan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Rasulullah bersabda: "Dahulu kalian mempunyai dua hari yang kalian melakukannya untuk bersenang-senang dan sungguh Allah telah menggantikan kedua-duanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha."

Solat Aidilfitri buat kali pertama disyariatkan pada tahun pertama Hijrah, namun Rasulullah baru dapat melakukannya pada tahun kedua Hijrah. Hukum mendirikan solat sunat ini menurut Mazhab Syafie dan Mazhab Maliki sunat muakad yakni sunah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah.


UMAT Islam perlu menghiasi malam raya dengan alunan takbir yang memuji kebesaran Ilahi sempena meraikan kemenangan berpuasa pada bulan Ramadan.


Ibnu Abbas meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Apabila datang Hari Raya Aidilfitri, para malaikat berbondong-bondong turun ke atas permukaan bumi dan berdiri di sebuah tempat sambil berkata yang dapat didengari oleh seluruh makhluk ciptaan Allah kecuali manusia dan jin: 'Wahai umat Nabi Muhammad! Keluarlah kalian menuju kepada Tuhan Yang Maha Pemurah dan mengampuni daripada segala dosa, apabila mereka bergerak dan berada di tempat solatnya, Allah berfirman kepada para malaikat-Nya: 'Wahai para malaikatku! Apakah balasan bagi seorang hamba yang telah menyelesaikan pekerjaannya? Para malaikat menjawab: 'Wahai Tuhan dan Pemimpin kami, selayaknya baginya untuk diberikan ganjaran. Allah berfirman: 'Saksikanlah oleh kalian! Sesungguhnya Aku memberi pahala bagi mereka yang berpuasa dan solat. Reda serta ampunan-Ku untuk mereka, berlalulah, kalian telah Aku ampuni."

Ketika meraikan hari raya, kita hendaklah melakukan dan meninggalkan beberapa perkara yang telah diterangkan oleh Rasulullah seperti:

* Diharamkan berpuasa pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Seperti yang disebutkan oleh Rasulullah: "Sesungguhnya dilarang berpuasa pada dua hari raya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha." – Riwayat Bukhari dan Muslim.

* Membersihkan diri dan mandi sebelum pergi ke masjid

Sa'id bin Jubair berkata: "Sunah-sunah Eid itu ada tiga perkara, berjalan kaki ketika menuju ke masjid, mandi sebelum solat dan makan setelah waktu Subuh."

Imam Nawawi mengatakan: "Seluruh ulama bersepakat sunahnya mandi sebelum solat Aidifitri."


DISUNATKAN memakai pakaian baharu bagi menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang diperoleh.


* Makan beberapa biji kurma dalam jumlah ganjil sebelum ke masjid

Sebelum ke masjid untuk mendirikan solat sunat Aidilfitri, kita digalakkan makan terlebih dahulu manakala pada Hari Raya Aidiladha, disunatkan tidak makan sebelum ke masjid. – Riwayat Bukhari

* Bertakbir pada waktu terbenamnya matahari iaitu masuk waktu solat Maghrib hingga keluarnya imam menuju ke mimbar pada keesokan hari

Banyak riwayat daripada Nabi Muhammad dan perkataan para sahabat yang memerintahkan untuk menghiasi malam hari raya dengan bertakbir kepada Allah. Muhammad bin Syihab al-Zuhri berkata: "Kami sentiasa bertakbir sejak melangkahkan kaki menuju ke masjid sehingga keluarnya imam."

Selain itu, malam Hari Raya Aidilfitri merupakan waktu yang paling baik untuk berdoa. Imam Syafie pernah mengatakan: "Ada lima malam yang doa seorang hamba itu cepat dikabulkan oleh Allah iaitu malam Hari Raya Aidilfitri, malam Hari Raya Aidiladha, malam Jumaat, malam awal Rejab dan malam Nisfu Sya'aban."

* Mengucapkan tahniah kepada sesama saudara Muslim

Dianjurkan kita mengucapkan tahniah sesama kaum keluarga dan rakan seagama kerana telah berjaya melaksanakan ibadah selama sebulan pada bulan Ramadan. Pengucapan selamat ini telah mula dilakukan sejak zaman sahabat.

* Memakai pakaian yang bagus atau baharu

Jika berkemampuan, pakailah pakaian yang baik dan elok serta memakai minyak wangi sebagai penghormatan pada hari yang mulia ini. Ia merupakan tanda syukur dengan memperlihatkan nikmat yang telah diberikan oleh Allah.

* Disunatkan untuk solat Aidilfitri berjemaah

Pada pagi Syawal, kaum lelaki, wanita, orang musafir dan kanak-kanak disunatkan mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Bagi wanita yang haid, mereka boleh duduk di luar masjid.

Songkok jenama Style Tun

Posted:

Songkok jenama Style Tun

Songkok jenama Style Tun

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my


PERMINTAAN songkok Style Tun agak tinggi menjelang Aidilfitri.


PENGUSAHA songkok Style Tun, Sardi Dahar, 55, yang mewarisi perniagaan arwah bapanya, Dahar Dato, di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah sejak tahun 1930-an sering menjadi tumpuan orang ramai.

Gerai songkok yang beralamat di Lot A-1-07 itu lazimnya menjadi tumpuan orang ramai yang mahu mencari kelengkapan hari raya termasuklah songkok istimewa yang dikenali sebagai Style Tun.

Gerai Sardi pasti menjadi persinggahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad setiap kali beliau berkunjung ke Kompleks Pekan Rabu menjelang Aidilfitri.

Terbaharu, pada 22 Julai lalu, Tun Mahathir seperti biasa singgah di gerai Sardi dan mencuba songkok Style Tun.

Kedai pilihan Tun

Menurut Sardi, Tun Mahathir pada masa itu terpaksa menempah songkok baharu kerana ukuran songkok yang sesuai dengan Tun Mahathir iaitu ukuran lilit kepala 22 inci dan tinggi songkok 4 1/4 inci tiada stok.

"Biasanya memang ada songkok Style Tun yang sesuai untuk Tun Mahathir di kedai saya tetapi kehabisan stok kerana permintaan tinggi menjelang hari raya.

"Tun sudah menempah songkok Style Tun dan saya bertungkus-lumus menyiapkannya," katanya ketika ditemui di premisnya.

Kata Sardi, beliau bersyukur dan berasa bangga kerana kedainya menjadi pilihan Tun Mahathir sejak sekian lama.


SONGKOK keluaran Sardi berkualiti dari segi jahitan dan kekemasan selain selesa dipakai.


"Selain Tun Mahathir, kedai saya pernah dikunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan banyak lagi," ujarnya.

Menurut bapa kepada empat orang anak ini, beliau mewarisi kemahiran membuat songkok daripada arwah bapanya yang berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia.

"Bapa saya berhijrah ke negara ini untuk berniaga dan perniagaan songkoknya saya warisi sehingga hari ini," katanya.

Ujar Sardi, beliau kerap membantu bapanya membuat songkok dan mampu menghasilkan songkok sendiri ketika umurnya dalam lingkungan 20-an.

"Saya merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik. Saya satu-satunya anak yang mewarisi kemahiran membuat songkok daripada bapa," jelas Sardi.

Menceritakan tentang idea menghasilkan songkok Style Tun, beliau berkata, ia tercetus apabila seorang pelanggan mencadangkan supaya Sardi menghasilkan songkok yang berbeza.

"Pelanggan itu kata songkok yang saya hasilkan pada masa itu biasa sahaja dan mudah didapati di Kuala Lumpur, jadi saya terus fikir untuk menghasilkan rekaan songkok yang berbeza.

"Selepas itu, tercetuslah idea untuk menghasilkan songkok yang mempunyai ciri-ciri seperti ringan, boleh lipat, jahitan halus dan tidak mengecut jika terdedah kepada panas," jelasnya.


TUN MAHATHIR mencuba songkok kegemarannya sambil diperhatikan pemilik kedai Songkok Style Tun, Sardi di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar baru-baru ini.


Harga songkok Style Tun ialah RM120 berbanding songkok biasa yang dikenali sebagai Songkok Malaysia RM75 seunit.

Tempahan songkok

"Saya menghasilkan songkok Malaysia sebanyak 20 unit sehari manakala songkok Style Tun hanya lima unit sehari," katanya sambil memberitahu, pelanggan perlu menempah songkok Style Tun manakala stok Songkok Malaysia sentiasa ada.

Kata Sardi, sejak bulan Januari lalu, beliau menerima sebanyak 500 tempahan songkok Style Tun.

"Saya amat mementingkan kualiti songkok dari segi material, kekemasan, jahitan dan keselesaan ketika memakainya," jelasnya.

Menyentuh tentang jenama Style Tun yang digunakan pada songkok keluarannya, kata Sardi, beliau memohon kebenaran daripada Tun Mahathir untuk menggunakan gambar beliau pada kotak songkok berkenaan.

"Tun Mahathir beri kebenaran dan pesan kepada saya supaya menghasilkan songkok yang berkualiti demi menjaga nama baik beliau," jelasnya.

Sardi kini merancang untuk membuka sebuah kilang membuat songkok bagi mengembangkan perniagaannya.

Trend baharu warna kediaman

Posted:

Trend baharu warna kediaman

Trend baharu warna kediaman

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my

DUTA Jenama Dulux Paint, Eric Leong menyatakan terdapat lima tema warna cat yang ideal dan cantik untuk menghiasi panel dinding kediaman pada hari lebaran.


HARI Raya Aidilfitri menjelma lagi. Justeru, tidak hairanlah jika sebahagian besar umat Islam di negara ini sibuk membuat persiapan bagi memastikan kediaman sentiasa ceria dalam menyambut kehadiran tetamu-tetamu pada pagi lebaran.

Ada yang merancang menukar perabot baharu, tidak kurang juga yang berkira-kira mahu menukar langsir, permaidani, lampu hiasan dan sebagainya.

Bagi yang mempunyai bajet lebih mungkin mempunyai perancangan untuk mengecat rumah tahun ini.

Bagaimanapun disebabkan terlalu banyak pilihan warna yang tersedia pasti menyulitkan untuk membuat pilihan terbaik dan sesuai untuk kediaman.

Lima tema

Menyedari hakikat itu, Duta Jenama Dulux Paint, Eric Leong baru-baru ini berkongsi trend pilihan warna kepada pelanggan yang mahu suasana baharu untuk kediaman tetapi tidak tahu di mana harus bermula.

Menurut Eric, terdapat lima tema yang berbeza diketengahkan pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini iaitu Simple Celebration, Newly Weds, Candy Raya, Family Home dan Mostly Masculine yang diinspirasikan daripada buku Dulux ColourFutures 2013.

Katanya, perkara asas yang harus ditekankan oleh setiap pemilik kediaman ialah menentukan gaya hiasan dengan mengambil kira corak kehidupan mereka seisi keluarga.

"Misalnya, warna-warna bumi Family Home diinspirasi daripada palet Home Factor sesuai bagi golongan berkeluarga yang mahukan suasana ringkas dan tidak terlalu menonjol," katanya.

Jelas Eric, bagi golongan bujang, beliau menyarankan tema Mostly Masculine yang diinspirasikan daripada palet Switching Off.


KOLEKSI katalog Dulux membantu pelanggan memilih cat warna mengikut cita rasa dan kesesuaian ruang kediaman.


"Ketenangan rona dalam tema ini sememangnya mendamaikan. Dengan barisan palet yang mengunjur daripada kelabu indah ke biru mewah, ia menyerlahkan kesempurnaan untuk gaya kemas, moden dan melambangkan cita rasa tinggi.

"Bagi pasangan baru berkahwin, disarankan menggunakan tema Newly Weds daripada palet Visual Solace yang menggabungkan warna-warna pastel lembut bagi memberikan suasana romantik, anggun dan ringkas,"ujarnya.

Tambah Eric, pemilihan tema dan warna yang sesuai penting kerana ia mampu memberikan kesan tertentu pada ruangan, memperkuatkan hiasan dalaman dan menonjolkan keseluruhan ruangan yang ada.

Justeru katanya, sebelum mengecat rumah dan mengatur dekorasi hiasan dalaman, pelanggan perlu memahami makna dan pengaruh setiap warna terhadap karakter diri mereka.

"Warna bukan saja menyerlahkan ruang dalaman malah dapat menghasilkan persekitaran yang ceria, kreatif dan penuh ketenangan.

"Ia bukan saja menggambarkan personaliti pemiliknya malah mampu menambahkan nilai estetika sesebuah kediaman," ujarnya.

Jelas Eric, sekiranya pelanggan tidak gemar bereksperimentasi dengan warna-warna dinding rumah, mereka boleh memilih jalan selamat dengan bermain dengan warna aksesori, kemasan dan perabot.

"Misalnya, pasu berwarna hijau zaitun dan langsir bercorak kelabu asap di ruang tamu.

"Bahagian sofa atau meja makan pula dimeriahkan dengan penggunaan kusyen atau skaf besar berwarna-warni pastinya memberikan elemen berbeza berbanding sebelumnya," katanya.

Bagi pelanggan yang masih ragu-ragu dengan pilihan mereka bolehlah mendapatkan perkhidmatan perundingan warna Dulux melalui e-mel, telefon atau berkunjung sendiri ke pejabat akzonobel berhampiran.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved